Cengkaman krisis ekonomi, politik tak jejas tumpuan bangunkan negara

Cengkaman krisis ekonomi, politik tak jejas tumpuan bangunkan negara
Oleh Azizi Othman
aziziothman@bharian.com.my

Transformasi nasional hasil tinjauan sendiri buktikan usaha Najib laksana pembaharuan dalam negara bukan sekadar retorik

SERATUS hari sebenarnya terlalu singkat untuk menilai keupayaan sesiapa. Sama ada kenalan baru, pelajar, pekerja, apatah lagi pemimpin tertinggi negara, tempoh lebih lama diperlukan untuk menganalisis kemampuan sebenar mereka. Begitupun, dalam dunia moden yang sering dihambat waktu ini, sesiapapun tidak mahu menunggu lama. Tidak kira sama ada untuk menuai hasil usaha sendiri, lebih-lebih lagi dalam menilai keupayaan orang lain, ramai berpendapat tiga bulan 10 hari sudah lebih daripada cukup.

Tidak hairanlah menjelang genap 100 hari pentadbiran Datuk Seri Najib Razak hari ini, pelbagai andaian, tanggapan dan analisis terhadap keupayaan beliau dibuat. Rata-ratanya cuba memberi hujah dan kesimpulan sendiri sekali gus menimbulkan polemik, tidak kurang juga perdebatan. Namun hakikat yang tidak dapat dinafikan, sejak Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan pada 3 April lalu, beliau sudah melaksanakan pelbagai perubahan, yang berteraskan agenda membela nasib rakyat tanpa diskriminasi jantina, kaum atau etnik di bandar mahupun desa.

Sejajar ikrar sumpah taat setianya ketika mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri keenam daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib menegaskan tonggak agenda pentadbirannya ialah 'memenuhi sedaya mungkin setiap aspirasi dan kehendak rakyat'. Bertitik tolak daripada komitmen itu, beliau mengilhamkan gagasan '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan membentuk barisan jemaah menteri yang bertemakan 'Kabinet Rakyat'.

Berbekalkan matlamat memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi menjelang 2020, Najib menjadikan usaha mengajak rakyat merombak minda masing-masing dan menggantikan amalan serta budaya kerja lapuk sebagai perkara teratas dalam senarai pembaharuan yang dilaksanakannya. Beliau menekankan bahawa setiap tindakan, keputusan, program, rancangan, projek, atau dasar yang diperkenalkan mesti melalui proses penilaian kritikal serta inovatif.

Menamakan proses ke arah itu sebagai 'Transformasi Nasional', Perdana Menteri sendiri menjadi ejen pencetus kepadanya dengan mempelopori pelbagai dasar yang dianggap tidak konvensional dalam usaha memecah kebuntuan minda masyarakat terhadap pendekatan pentadbiran radikal berorientasi prestasi yang cuba diterapkannya. Tidak cukup dengan itu, pembaharuan terbabit turut dijayakan secara menyeluruh mencakupi aspek kesejahteraan rakyat, hak asasi manusia, kebebasan, ekonomi, kewangan, politik, sosial, pembangunan baru, malah dasar luar negara.

Sebagai manifestasi komitmen serta kesanggupan beliau menyingsing lengan untuk memperjuangkan kesejahteraan rakyat, Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan 'tinjauan mesra' (walk about) bagi mengetahui lebih dekat denyut nadi rakyat. Program itu yang akan diadakan dari semasa ke semasa, sehingga ini sudah membabitkan kawasan seperti Kampung Kerinchi, Jalan Petaling, Puduraya, Brickfields, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di ibu negara; Pasar Kraf dan Pasar Besar, (Kota Kinabalu); Kampung Bintawa (Kuching); Pasar Malam (Sibu), dan Universiti Teknologi Mara (Shah Alam).

Hasil tinjauan, interaksi dan maklum balas yang diterima daripada program seumpama itu, Najib mengarahkan satu kajian menyeluruh dilakukan untuk menangani isu kenaikan tol yang membebankan rakyat. Prihatin dengan masalah pengangkutan di ibu kota, beliau juga mengarahkan langkah segera diambil untuk mengatasi kesesakan lalu lintas, membina kawasan letak kereta baru di Jalan Tuanku Abdul Rahman, manakala projek Plaza Rakyat yang terbengkalai disiapkan segera. Perdana Menteri juga meminta pihak berkaitan memperbaiki kemudahan di Hentian Puduraya.

Membuktikan usaha itu bukan retorik politik semata-mata, dalam tempoh tidak sampai 100 hari pentadbiran beliau, ada di antara projek kesejahteraan rakyat berkenaan sudah dimulakan dan hasilnya jelas kepada semua. Antaranya, Hentian Puduraya kini berubah wajah, kerja pembinaan di Plaza Rakyat kembali disambung, manakala kajian mengenai tol hanya menunggu masa untuk dibentangkan. Merentasi sempadan geografi, Najib juga mengumumkan kerajaan mengambil alih Sabah Medical Centre untuk menampung keperluan rakyat Sabah. Beliau juga memperkenalkan penubuhan Biasiswa Nasional yang dikhususkan kepada pelajar paling cemerlang di negara ini tanpa mengira kaum.

Umum menyedari, peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib berlaku dalam persekitaran ekonomi yang amat mencabar. Krisis global yang masih mencengkam dan senario politik tidak menentu di Barat serta Timur menuntut beliau tuntas mengatur strategi melindungi Malaysia daripada terhumban ke kancah kemelesetan. Itulah sebabnya, beliau pantas melakukan liberalisasi terhadap 27 sektor kecil perkhidmatan, melonggarkan sektor kewangan dan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi komprehensif bernilai RM60 bilion yang dijangka mampu bertahan sehingga 2010.

Bagi memastikan segala yang diatur mendapat pemantauan sebaliknya, kepemimpinan beliau melancarkan laman web khas untuk membolehkan rakyat mengetahui status terkini pelaksanaan projek serta mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempermudah proses pengeluaran lesen peniaga kecil dan penjaja bagi membantu mereka meraih manfaat segera daripada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan. Memastikan sokongan terhadap inisiatif itu mapan, beliau menubuhkan Majlis Ekonomi Negara yang akan mencari jalan membentuk model ekonomi baru berteraskan inovasi dan nilai tinggi.

Dalam konteks pengurusan ekonomi mikro, beliau meminta bank supaya terus mengeluarkan pinjaman kepada peniaga agar tidak terjejas. Sebagai timbal balas dan mengukuhkan institusi perkhidmatan kewangan, kerajaan menubuhkan Danajamin yang menyokong kerjasama dalam pasaran modal. Ia disusuli inisiatif terbaru melonggarkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC). Walaupun hangat didebatkan, khususnya berkaitan pemansuhan syarat pemilikan kuota Bumiputera dalam beberapa bidang, Najib mempertahankan bahawa langkah itu sebenarnya strategi serampang dua mata yang perlu diambil bagi menyuntik keyakinan pelabur asing, sekali gus menjamin pengagihan kekayaan secara lebih adil. Bagi menjamin dinamisme pelaburan domestik, kelonggaran garis panduan FIC dipadankan dengan penubuhan institusi baru, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dengan modal awal RM500 juta.

Menyedari sebarang dasar atau gagasan yang diilhamkan akan tinggal impian tanpa jentera pelaksanaan mantap, Najib memperkenalkan inisiatif pemodenan dan peningkatan mutu perkhidmatan awam dengan melancarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk semua menteri, timbalan menteri dan kementerian. Terasnya ialah pemodenan perkhidmatan awam menerusi dasar pintu terbuka dan laluan masuk yang pelbagai. Bagi membolehkan tenaga kerja terbaik swasta diserap dalam perkhidmatan awam, kerajaan melaksanakan inisiatif 'pemupukan bersilang' manakala pegawai awam dibenar menimba dan meningkatkan pengetahuan serta kebolehan mereka dengan mendapat latihan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam fasa kedua pemantapan usaha itu, kerajaan menjadikan Bidang Keputusan Utama (KRA) Nasional sebagai kaedah baru memacu negara ke tahap lebih berjaya dengan gabungan KPI. Kedua-dua KPI dan KRA akan dijadikan asas untuk lonjakan kecekapan perkhidmatan awam. Turut diumumkan ialah sambutan Hari Inovasi bagi menggantikan sistem Hari Q (Kualiti) yang sudah wujud sejak 1987. Ia sejajar usaha memupuk budaya inovasi dalam sektor awam.

Mengimbangi tugas lebih mencabar yang menuntut komitmen tinggi kakitangan awam, beliau juga mengumumkan 176,066 anggota awam kumpulan sokongan yang berkhidmat lebih 15 tahun dalam gred lantikan akan dinaikkan pangkat. Sebagai usaha menyediakan jaringan keselamatan sosial selaras ketidaktentuan ekonomi, dua skim baru turut digubal untuk kakitangan kerajaan, manakala lapan skim perkhidmatan dinaik taraf bermula 1 Julai lalu.

Dalam pada itu, pentadbiran Najib juga meneruskan dasar keterbukaan berpaksikan hak asasi serta kebebasan. Sebagai bukti komitmen ke arah itu, Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya selepas mengambil alih tugas, mengumumkan pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk pemimpin pertubuhan haram Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), sekali gus menarik balik penggantungan penerbitan akhbar parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan. Beliau juga menyatakan komitmen penuh kerajaan untuk mengkaji semula ISA dan susulan itu, 13 lagi tahanan ISA, termasuk beberapa pemimpin pertubuhan haram Hindraf dibebaskan.

Penarikan balik penggantungan lidah pembangkang itu dibuat Perdana Menteri atas nama mempertahankan kebebasan media di negara ini. Beliau pada masa sama turut memperakukan iltizam kerajaan untuk memberi institusi media di negara ini dalam membuat liputan tetapi ia hendaklah secara adil dan bertanggungjawab. Langkah itu sekali gus menandakan berakhirnya era 'kerajaan lebih mengetahui'. Ia secara tidak langsung juga membuktikan bahawa pentadbiran Najib serius untuk mendengar permasalahan rakyat yang disuarakan menerusi media.

Pelbagai pembaharuan diperkenalkan Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari pentadbirannya sehingga hari ini. Dari segi politik misalnya, beliau mengarahkan kajian dibuat terhadap Perlembagaan dan sistem pemilihan Umno supaya lebih ramai ahli terbabit, sekali gus membendung politik wang. Dari perspektif Felda pula, beliau memperkenalkan gagasan menjadikan tanah rancangan seluruh negara sebagai Gedung Makanan Negara selain memberi insentif pembiayaan perumahan bagi generasi kedua peneroka. Beliau juga melancarkan Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) bagi menjadikan korporat itu multinasional tulen.

Melihat pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan Najib sepanjang 100 hari pentadbirannya hari ini, jelas bahawa beliau membawa bersamanya angin perubahan yang bertunjangkan usaha memenuhi aspirasi serta tuntutan rakyat. Apa yang pasti, ada di antara pembaharuan yang dilaksanakan sudah membuahkan hasil tetapi bagi sesetengah yang lain, iaitu yang bersifat jangka panjang, tempoh 100 hari mungkin tidak cukup untuk menilai kejayaannya.

Debat mengenai isu ini juga pasti membuka pelbagai perspektif dan mengundang 1,001 hujah, sama ada yang memilih untuk melihatnya sebagai berjaya, mahupun sebaliknya. Ditambah dengan pihak yang mempunyai kepentingan politik atau peribadi, analisis terperinci sejauh mana pencapaian Perdana Menteri dalam memimpin pembaharuan mungkin menjadi lebih rencam. Sama ada mahu melihatnya sebagai sudah berjaya sebahagiannya atau sudah gagal sebahagiannya, terpulang kepada individu yang menilai.

Sekadar renungan dan kembali kepada realiti, jika ditolak waktu rehat, makan, minum, beribadat, tidur, perjalanan dan sebagainya, 'tempoh sebenar bekerja' yang mampu diperuntukkan seseorang, hatta Perdana Menteri sekali pun, mungkin hanya maksimum 12 jam sehari. Justeru, realitinya segala pembaharuan dan perubahan dilakukan Najib selama ini, hanya dibuat dalam tempoh 1,200 jam beliau melaksanakan amanah itu. Atas perkiraan inilah, penilaian sama ada beliau cemerlang, baik, sederhana atau gagal patut diberi. Anda sendirilah yang layak menentukannya. Benarlah kata isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor: "Rakyat adalah golongan paling layak menilai pencapaian Perdana Menteri mentadbir negara sepanjang 100 hari beliau menyandang jawatan".

Info

100 hari pentadbiran Datuk Seri Najib Razak Antara pembaharuan dan pencapaian Kesejahteraan Rakyat
# Memperkenalkan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
# Melakukan tinjauan mesra (walk about) untuk mengetahui denyut nadi rakyat.
# Mengarahkan kajian menyeluruh menangani isu kenaikan tol yang membebankan rakyat.
# Mengarahkan langkah segera diambil mengatasi kesesakan lalu lintas di ibu negara.
# Mengarahkan projek Plaza Rakyat yang terbengkalai disiapkan segera.
# Meminta kemudahan di Hentian Puduraya dibaiki.
# Memperkenalkan Biasiswa Nasional kepada pelajar paling cemerlang tanpa mengira kaum. Hak Asasi dan Kebebasan Media
# Membebaskan 13 tahanan ISA pada hari menyampaikan ucapan sulung sebagai Perdana Menteri.
# Menarik balik penggantungan penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan.
# Mengumumkan akan mengkaji ISA.
# Membebaskan 13 lagi tahanan ISA termasuk pemimpin pertubuhan haram Hindraf.
# Memberi kebebasan media membuat liputan. Ekonomi dan Kewangan
# Melakukan liberalisasi terhadap 27 sektor kecil perkhidmatan.
# Meliberalisasi sektor kewangan.
# Mengumumkan pakej rangsangan ekonomi RM60 bilion.
# Melancarkan laman web untuk membolehkan rakyat memantau pelaksanaan projek.
# Menubuhkan Majlis Ekonomi Negara.
# Menubuhkan Danajamin.
# Melonggarkan garis panduan FIC.
# Menubuhkan Ekuinas. Pemodenan dan Peningkatan Mutu Kualiti Perkhidmatan Awam
# Memperkenalkan KPI untuk semua menteri, timbalan menteri dan kementerian.
# Menjadikan KRA kaedah baru dalam pentadbiran kerajaan.
# Menjadikan KPI dan KRA asas melonjakkan kecekapan.
# Menaikkan pangkat 176,066 anggota awam kumpulan sokongan.
# Menggubal dua skim baru dan naik taraf lapan skim perkhidmatan.
# Mengkaji penubuhan skim pencen pekerja swasta dan tabung pemberhentian pekerja.
# Mencadangkan penubuhan Baitulmal Kebangsaan dan memperkasa Baitulmal negeri. Politik dan pembangunan baru
# Mengarahkan kajian terhadap Perlembagaan dan sistem pemilihan Umno
# Mencadangkan kajian dilakukan terhadap pembangunan tenaga nuklear dan sumber baru. Dasar Luar
# Melakukan lawatan rasmi ke China.
# Melakukan kunjungan hormat terhadap pemimpin negara jiran terdekat.

0 comments: