Minda Pengarang: Kaedah perlu dicari elak kebergantungan kepada amah asing

Minda Pengarang: Kaedah perlu dicari elak kebergantungan kepada amah asing

KEMELUT membabitkan pembantu rumah warga asing yang bekerja di negara ini semakin merumitkan dan memerlukan tindakan segera untuk menyelesaikannya. Bermula daripada isu pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa cedera didera majikan di Malaysia sehingga kepada tindakan kerajaan Indonesia melarang rakyatnya ke negara ini untuk berkerja dalam sektor berkenaan � menarik perhatian semua. Senario yang ada memperlihatkan negara semakin terikat dengan permasalahan ini dan ruang untuk mengatasinya semakin sempit berikutan kesukaran mendapatkan pembantu rumah warga tempatan bagi memenuhi permintaan yang tinggi. Sehingga kini ada 251,355 pembantu rumah dari 14 negara sumber sedang berkhidmat di negara ini dan 51.7 peratus adalah warga Indonesia. Tindakan kerajaan Indonesia menghalang warganya bekerja di Malaysia, tentunya memberi masalah besar kepada majikan tempatan yang memerlukan perkhidmatan berkenaan. Namun kesediaan kerajaan Filipina untuk membekalkan sehingga 60,000 pembantu rumah dari Mindanao, selatan Filipina mungkin dapat menyelesaikan masalah itu untuk sementara waktu. Kedatangan pembantu rumah Filipina mungkin dapat mengurangkan sedikit masalah yang kita hadapi. Bagaimanapun, untuk jangka masa panjang, kita perlu memikirkan kaedah terbaik untuk mengurangkan pergantungan ke atas pembantu rumah asing. Sekiranya gagal, kita bakal berdepan dengan pelbagai masalah pada masa depan kerana untuk menggaji pembantu rumah sekarang, bukan murah kosnya, sedangkan perkhidmatan yang diberikan belum mencapai tahap terbaik.

Berikutan pergantungan kepada pembantu asing, kita semakin terperangkap dengan 'tarik tali' yang dilakukan pihak luar. Walaupun pembantu rumah warga Filipina boleh menggantikan sebahagian rakan mereka dari Indonesia, ia tidak dapat menyelesaikan masalah, selagi wanita tempatan enggan menceburi bidang berkenaan. Selain bayaran gaji rendah, tahap pendidikan tinggi yang diterima gadis tempatan ternyata menyukarkan mereka untuk duduk diam melakukan kerja rumah yang penuh kongkongan berbanding kerja di sektor lain yang lebih menjaminkan masa depan. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil sektor perkhidmatan pembantu rumah akan terus bergantung kepada warga asing yang akhirnya membebankan majikan dengan pelbagai kos. Mungkin saranan yang sebelum ini diutarakan termasuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di kawasan berhampiran tempat kerja boleh dipertimbangkan semula. Ini perlu bagi membolehkan ibu bapa menempatkan anak mereka di pusat jagaan berkenaan dan mengambilnya selepas waktu pejabat. Persoalannya, sanggupkah keluarga yang selama ini bergantung kepada pembantu rumah asing untuk melakukan semua kerja rumah, menjaga anak dan sebahagiannya memasak, mengambil alih tugas berkenaan selepas pulang ke rumah. Selagi penduduk negara ini tidak dapat mengubah sikap, kemelut membabitkan pembantu rumah asing ini akan berterusan, malah pihak luar akan terus bermain tarik tali bagi menguntungkan mereka. Bagi menangani masalah ini, semua pihak perlu segera berbincang bagi mencari langkah terbaik untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap pembantu rumah warga asing.

0 comments: