Zambry, Nizar sama rata di sisi undang-undang

Zambry, Nizar sama rata di sisi undang-undang
Oleh Khirul Bahri Basaruddin
rencanabh@bharian.com.my

DATUK Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahukan supaya permohonannya untuk mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali memberi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung statusnya sebagai Menteri Besar Perak didengar panel lima hakim.

Tindakan terbaru Mohammad Nizar itu menunjukkan beliau masih mempercayai sistem kehakiman di negara ini untuk mencari jalan penyelesaian kemelut negeri Perak yang sudah berlarutan lebih tiga bulan. Malah, beliau sendiri sejak awal lagi menggunakan mahkamah untuk mengadu nasib selepas kehilangan jawatan Menteri Besar pada 5 Februari lalu.

Mohammad Nizar memberi kepercayaan kepada barisan peguamnya yang diketuai Sulaiman Abdullah mengemukakan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapat beberapa perintah perisytiharan mahkamah berhubung jawatan Menteri Besar yang pernah disandangnya.

Atas keyakinan kepada sistem kehakiman negara itu, beliau ditakdirkan menang kes itu pada 11 Mei lalu apabila Hakim Datuk Abdul Aziz Rahim bersetuju dengan hujah dikemukakan barisan peguam Mohammad Nizar bahawa beliau Menteri Besar yang sah.

Dewan perbicaraan mahkamah yang dipenuhi penyokong Mohammad Nizar menjadi gempar kerana mereka tidak percaya apa yang mereka dengar itu satu kenyataan atau mimpi pada siang hari. Apabila digosok mata dan selepas itu membuka mata mereka seluas-luasnya, mereka melihat sendiri hakim membaca keputusan lisannya yang memberi kemenangan kepada pemimpin mereka.

Sebaik saja prosiding tamat, riuh dewan perbicaraan itu dan kedengaran penyokong Mohammad Nizar tidak berhenti-henti memuji hakim yang pada pandangan mereka seorang yang berani menegak keadilan, sekali gus memulihkan kepercayaan orang ramai ke atas sistem kehakiman negara yang mereka dakwa sudah lama terpalit dengan pelbagai skandal.

Begitu juga dengan pemimpin besar pembangkang seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak ketinggalan memberi ulasan memuji tindakan hakim berkenaan. Bagi mereka, lorong yang selama ini gelap, akhirnya kini sudah diterangi cahaya, keyakinan baru itu muncul apabila pihak mereka menang kes mahkamah.

Satu lumrah yang diamalkan pembangkang apabila bercakap soal sistem kehakiman negara. Malah, Mohammad Nizar sendiri tidak ketinggalan mengeluarkan kenyataan.... 'keputusan mahkamah menunjukkan wujud keadilan dalam sistem kehakiman negara dan saya menerimanya dengan penuh rasa syukur'.

Bagaimanapun, kata-kata pujian itu luntur selepas kira-kira 20 jam keputusan diumumkan apabila Ramly membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Abdul Aziz pada 12 Mei lalu.

Tidak seperti pemimpin Barisan Nasional (BN) yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menerima keputusan Mahkamah Tinggi dengan hati terbuka dan bersedia untuk merayu keputusan itu, pemimpin pembangkang menyambut keputusan Ramly dengan pelbagai tuduhan kesat.

Begitu juga Mohammad Nizar yang baru beberapa jam memuji sistem kehakiman negara, beliau dilaporkan melahirkan rasa terkejut dengan keputusan itu yang diputuskan hanya dalam masa singkat. Malah, pemimpin Pas seperti Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar berani membuat tuduhan ada 'tangan ghaib di belakang' hakim membuat keputusan yang memihak kepada Zambry.

Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang pula membuat tuduhan keputusan yang berubah hanya dalam jangka masa sehari menunjukkan mahkamah kini umpama gelanggang 'sarkas' yang menjadi pentas untuk Umno/BN terus menyalahgunakan kuasa mereka.

Malah, mereka menyerang keperibadian Ramly dengan mendakwa nama hakim itu pernah disebut dalam rakaman video Hakim VK Lingam yang mencetuskan kontroversi tidak lama dulu. Dakwaan itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin.

Mereka juga mendakwa kini rakyat mula sangsi dan bingung akan mudahnya mahkamah diperguna BN sewenangnya. Malah, keputusan mahkamah pada 11 Mei hanya diskripkan untuk sengaja memperlihatkan Mohammad Nizar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat 'gila kuasa' mahu masuk secepat mungkin ke pejabat Menteri Besar.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayob, pula berkata bukan hanya lima hakim sebaliknya hakim itu perlulah mereka yang mempunyai integriti dan juga telus dalam menjalankan tugas mereka.

"Jika tidak kita bimbang keputusan Khamis (hari ini) nanti akan berpihak kepada BN kerana hakim yang mendengar rayuan itu terdiri daripada mereka yang boleh dibeli," tegas beliau.

Salahuddin turut menegaskan jika hakim yang dipilih tidak mempunyai integriti, kepentingan awam tidak akan terbela dalam kes berkenaan.

Pemimpin pembangkang mengeluarkan kenyataan sesedap rasa memperkecilkan sistem kehakiman apabila keputusan tidak memihak kepada mereka. Pada masa sama, pujian melangit akan diberikan kepada pihak sama jika mereka menang atau sesuatu kes menyebelahi mereka.

Yang menghairankan ramai, mereka masih menggunakan saluran mahkamah untuk mencari penyelesaian walaupun sejak awal lagi mereka sudah meragui hakim yang mendengar kes mereka. Apa yang dapat dilihat di sini, pembangkang menggunakan mahkamah untuk mendapat keuntungan politik dengan menggambarkan badan kehakiman berat sebelah serta berada di bawah telunjuk kerajaan apabila mereka kalah.

Hari ini, penentuan sama ada Mahkamah Rayuan akan memberi kemenangan kepada Mohammad Nizar berhubung permohonannya untuk mengetepikan keputusan Ramly atau membenarkan rayuan Zambry bagi menolak penghakiman Abdul Aziz.

Sebarang keputusan hanya memberi kemenangan kepada satu pihak, ia termaktub dalam undang-undang. Sesiapa tidak berpuas hati boleh membuat rayuan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Mereka yang datang ke mahkamah termasuk Mohammad Nizar mengetahui apa yang mereka boleh dapat dan tidak boleh dapat apabila pertikaian dirujuk kepada mahkamah untuk penyelesaian.

Sehubungan itu, Mohammad Nizar atau Zambry perlu menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh mahkamah dengan hati terbuka, terutama kepada Mohammad Nizar yang bertindak membawa status beliau sebagai Menteri Besar ke mahkamah.

Apabila kes itu diputuskan hari ini, Mohammad Nizar dan pemimpin pembangkang serta penyokong mereka perlu merenung kepada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Sama ker? Nizar terpaksa menunggu lebih drpd sebulan, ZAMBRY pula tak sampai beberapa jam. Isunya bukan sistem kehakiman tetapi sesetengah org yg dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penghakiman

0 comments: