Melindungi hak kanak-kanak HIV dan AIDS

Melindungi hak kanak-kanak HIV dan AIDS

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my


BERDASARKAN perangkaan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), seorang daripada 16 orang yang hidup dengan HIV ialah kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.

Setiap jam, 42 orang kanak-kanak di bawah 15 tahun dijangkiti HIV. Setiap hari, 740 orang kanak-kanak di bawah umur 15 tahun meninggal dunia kerana AIDS.

Terperangkap dalam kesilapan yang dilakukan oleh ibu atau bapa, kanak-kanak penghidap HIV dan AIDS menanggung beban sepanjang usia. Apabila seseorang kanak-kanak disahkan positif HIV, kesan yang ditanggung mereka melebihi aspek perubatan.

Stigma masyarakat yang masih memandang hina dan jijik memburukkan lagi nasib kanak-kanak penghidap HIV dan AIDS.

Diskriminasi dan penyisihan dalam masyarakat, membunuh mereka lebih cepat daripada kesan yang disebabkan oleh virus itu sendiri. Lebih malang, kanak-kanak yang membesar dalam ruang tanggapan serong itu terdorong memilih jalan lebih hitam dan semakin memusnahkan masa depan mereka dan mungkin juga orang lain.

Sebagai generasi masa depan, kanak-kanak memerlukan sebuah dunia yang selayaknya untuk didiami. Kerana itu juga bersempena sambutan Hari Memperingati AIDS sedunia tanggal 17 Mei lalu, UNICEF menarik perhatian masyarakat antarabangsa terutamanya media menerusi penerbitan risalah yang berjudul HIV & AIDS: Setiap anak dilindungi

Risalah yang berupa buku panduan media itu antara lain membincangkan mengenai impak sosial disebabkan HIV dan AIDS di kalangan kanak-kanak, generasi muda dan golongan wanita.

Ia merupakan kesinambungan usaha kempen UNICEF dalam meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan menjamin generasi yang bebas daripada HIV dan AIDS.

Kempen itu antara lain bertujuan mencegah penyebaran HIV daripada ibu kepada anak dan memberi rawatan pediatrik. Matlamat lain termasuk mencegah jangkitan di kalangan remaja dan golongan muda.

Tidak dinafikan, kunci kepada penyelesaian masalah itu adalah dengan menitikberatkan soal pencegahan. Selain itu, soal perlindungan hak termasuk dalam soal mendapatkan pendidikan, rawatan dan perlindungan tidak boleh diabaikan.

Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang disahkan oleh Malaysia pada 1995, mengiktiraf hak kanak-kanak untuk mengecap keamanan, kebebasan dan keadilan seperti orang dewasa. Prinsip utama CRC turut diguna pakai dalam agenda global bagi HIV dan AIDS. Ia termasuk:

n Hak untuk hidup, mengecap pembangunan dan mendapat perlindungan.

n Hak untuk tidak didiskriminasikan.

n Hak untuk melindungi kepentingan mereka.

n Hak untuk turut serta.

n Hak untuk penjagaan kesihatan dan pendidikan sebaik mungkin.

n Hak untuk dilindungi daripada penculikan, perdagangan kanak-kanak, keganasan, penderaan seksual dan eksploitasi.

n Hak untuk mendapat dan berkongsi maklumat.

n Hak untuk perlindungan peribadi.

n Hak untuk kekal bersama keluarga.

n Hak untuk mendapatkan rawatan alternatif jika diperlukan.

n Hak untuk didaftarkan kelahiran mereka.

Di Malaysia, isu dan kebimbangan terhadap permasalahan HIV dan AIDS yang ditunjukkan media semakin meningkat. Bahasa yang digunakan juga lebih bertimbang rasa. Namun tanpa disedari masih menggalakkan diskriminasi dengan menggunakan terma seperti "penagih dadah", "pelacur" dan "mangsa AIDS".

Dari kaca mata UNICEF, laporan mengenai HIV dan AIDS dalam ruang lingkup kanak-kanak dan golongan muda sewajarnya dipaparkan dari sudut kemanusiaan.

Ini kerana ia boleh menarik perhatian ramai dan membantu meyakinkan mereka tentang perlunya perubahan positif.

Hakikatnya, tidak ramai kanak-kanak yang positif HIV mampu bercakap secara terbuka mengenai kedudukan mereka.

Namun, suara golongan muda meskipun yang bebas dari HIV boleh menjadi alat berpengaruh dalam usaha mencegah penyebaran virus.

Mereka juga boleh memberikan pandangan yang lebih mendalam dan menarik tentang bagaimana kanak-kanak yang hidup dengan HIV patut dilindungi.

Media, yang lazimnya dikendalikan oleh orang dewasa, lebih kerap menumpukan kepada masalah yang ditimbulkan oleh golongan muda, bukan masalah yang dihadapi mereka dan mengapa ia berlaku.

0 comments: