Sasaran Kata: Pemain kaku buat Liga M lesu

Bersama Norbakti Alias

Pegawai juga kekal dengan mentaliti lama tanpa usaha untuk 'menjual' pasukan

MUSIM baru kancah bola sepak Liga Super sudah bermula dengan rasminya sebaik sepak mula Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di antara Kedah dan Perlis di Stadium Darulaman, Alor Star, kelmarin.

Namun seperti sejak beberapa tahun lalu, bahangnya tidak begitu terasa malah bagi sesetengah pemerhati bola sepak tempatan, ia tidak ubah seperti 'pi mai pi mai tang itu juga'.

Tiada apa yang menarik untuk diperkatakan lagi kerana 'jurujual' produk Liga Super yang terdiri daripada pemain, jurulatih mahupun pengurus pasukan masih dengan mentaliti lama hanya menumpukan kepada persembahan di padang.

Inilah kekurangan utama dalam bola sepak negara. Sifat ketimuran yang digunapakai dalam era moden bola sepak ketika ini, jelas mematikan minat orang ramai.

Lihat sahaja Liga Perdana Inggeris (EPL). Hakikatnya, ramai yang sudah tahu kehebatan aksi pemain dengan corak fizikal tetapi pada masa sama, ada rencah menarik di luar padang membabitkan pengurus pasukan.

Persengketaan pengurus Manchester United, Alex Ferguson dan rakan sejawatannya di Arsenal, Arsene Wenger dan sebelum itu dengan Jose Mourinho (Chelsea) menambah tarikan kepada saingan di padang.

Malangnya, 'kelantangan' seperti itu tiada dalam Liga Malaysia. Jurulatih, jika boleh, enggan menyentuh pasukan lain khuatir akan mengecilkan hati rakan sejawatan.

Sebab itulah, ada jurulatih yang lebih gemar memberi komen 'bola itu bulat' atau 'kami sudah berikan yang terbaik', sesuatu yang kurang menarik dan sukar untuk dikembangkan oleh wartawan ketika membuat laporan.

Adakah kita pernah mendengar jurulatih antarabangsa memberi komen seperti itu dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia atau Piala Asia mahupun Pestabola Merdeka sendiri? Tapi percayalah, itulah yang sudah basi di telinga media dalam liga tempatan.

Tidak cukup dengan pegawai pasukan, pemain juga tidak banyak berbeza kerana lebih gemar mengelakkan diri daripada media.

Terbaru, seorang pemain dari salah satu pasukan beraksi dalam perlawanan sumbangsih yang tidak perlu penulis namakan seolah-olah mempermain-mainkan anak buah penulis yang mahu mendapatkan komennya menjelang perlawanan sumbangsih itu.

Ketika menelefonnya, pemain itu meminta wartawan itu menghubungi semula dengan memberi masa tertentu. Tapi setiap kali berbuat begitu, diberikan waktu baru dan akhirnya penulis meminta wartawan itu melupakan saja niatnya mewawancara pemain berkenaan.

Secara kasar, memang wartawan itu kehilangan satu laporan dan pemain itu pula tidak rugi apa-apa. Namun, sedarkah mereka bahawa penaja pasukan itu serta Liga Malaysia sudah kehilangan satu ruang untuk mempromosi kejohanan.

Sebenarnya tindakan seperti ini, bukan sesuatu yang asing dalam Liga-M kerana rata-rata semua persatuan bola sepak negeri tidak memberi penekanan untuk 'mengajar' pemain atau pegawai pasukan untuk berdepan media, sekali gus memberi pulangan kepada penaja mereka.

Ini cukup berbeza dengan pelumba motosikal dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia AAM-Petronas Sprinta yang bagi penulis cukup mesra media. Malah dikhabarkan ada penaja yang memberi kursus kepada pelumba untuk berdepan media.

Sebab itu, pelumba bukan sahaja selesa menjawab soalan media malah mampu memberi penerangan secara teknikal, sesuatu yang agak kurang kepada ahli sukan negara.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau gabungannya wajar memikirkan aspek ini kerana ia penting dalam memasarkan bola sepak dan pasukan masing-masing kepada bakal penaja.

Pegawai dan pemain wajar menjadi 'jurujual' untuk menjual produk iaitu bola sepak dan pasukan mereka agar dapat menarik perhatian peminat dan penaja, bukan sekadar mengharap wang ehsan daripada FAM semata-mata.

Penulis turut tertarik dengan langkah Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tidak memberi sijil kepada peserta Seminar Kepimpinan Sukan anjuran mereka minggu lalu kerana gagal hadir 80 peratus daripada sesi yang dijalankan.

Namun, alangkah baiknya jika MSN turut memotong bantuan kewangan kepada persatuan terbabit kerana mungkin 'pegawai' terbabit sibuk 'mencari' penaja sehingga tidak dapat menghadiri seminar.

Mungkin dengan langkah ini, pegawai terbabit tahu menilai di mana yang harus diberi keutamaan, bukannya bertindak pandai.

0 comments: