Keputusan Pemudah ke negeri

KUCHING: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua keputusan yang membabitkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) bagi memperbaiki sistem pentadbiran awam pada peringkat Persekutuan diperluaskan kepada pentadbiran negeri.

Perdana Menteri berkata, semua keputusan yang dicapai oleh Pemudah menerusi mesyuarat yang adakan baru-baru ini, sudah dimaklumkan kepada semua kerajaan negeri untuk diguna pakai dalam memperbaiki jentera pentadbiran negeri.

"Keputusan dan arahan, termasuk kaedah memperbaiki pentadbiran awam disampaikan kepada Menteri besar dan Ketua Menteri dalam mesyuarat baru-baru ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Kompleks Islam Sarawak di Jalan P Ramlee di sini, semalam.

Pemudah adalah inisiatif bersama sektor kerajaan dan swasta untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dan memudahkan operasi perniagaan di Malaysia.

Abdullah turut meminta jika ada arahan dan keputusan yang dibuat itu menimbulkan masalah, termasuk bercanggah dengan undang-undang negeri ia perlu dimaklumkan segera kepada Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

"Jika ada pihak di jabatan atau kerajaan negeri mempunyai idea baik yang boleh dilaksanakan, kemukakan kepada saya atau Ketua Setiausaha Negara untuk dibawa kepada mesyuarat Pemudah. Ini kemudian boleh disebarkan kepada jabatan lain di Pusat dan negeri," katanya.

Mengenai laporan panel bebas khas berhubung klip video yang didakwa membabitkan salah laku hakim, Abdullah berkata, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini untuk tindakan lanjut.

Mengenai mesyuarat dengan semua pemimpin parti komponen, Barisan Nasional (BN) di Miri, malam kelmarin, beliau berkata, hal berkaitan pembangunan Sarawak diberi penjelasan lanjut kepada pemimpin terbabit.

"Projek pembangunan yang di luar peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) turut dibincangkan untuk dilaksanakan, selain itu perbincangan turut membabitkan program pembangunan pelancongan di Sarawak," katanya.

0 comments: