BPR usaha jadikan MACA hab latihan

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan mahu merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai hab latihan dan penyelidikan di rantau Asia Pasifik.

Beliau percaya dengan visi berkenaan, MACA yang memberi latihan kepada anggota BPR dan agensi tempatan, dapat membantu membasmi amalan rasuah di rantau ini.

"Ia menjadi aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya MACA berperanan lebih aktif secara global dalam membantu negara lain membanteras rasuah.

"MACA ditubuhkan untuk menjalin rakan perkongsian dengan agensi pencegah rasuah di seluruh dunia," katanya pada Seminar Mengenai Rakan Kongsi Swasta-Awam Dalam Membanteras Rasuah dan Melindungi Integriti di sini, semalam.

"Kami harap rakan kami dari negara Asean menggunakan akademi ini sebagai hab latihan bagi mempertingkatkan program integriti untuk pegawai mereka," katanya.

MACA ditubuhkan pada Disember 2005.

Pada seminar itu, seorang peserta Vietnam Nguyen Van Chinh berkata, sektor awam dan swasta mempunyai tanggungjawab mencegah dan memerangi amalan rasuah.

"Pada 2005, kerajaan Vietnam meluluskan Undang-Undang Pencegahan dan Membanteras Rasuah. Oleh itu, seluruh masyarakat harus memainkan peranan bersama dalam membasmi rasuah," kata rektor Kolej Latihan Inspektor itu.

Apabila memerangi rasuah, Nguyen berkata, setiap negara harus meningkatkan kesedaran dan memperkukuhkan sistem politik negara masing-masing.

Ini termasuk kursus latihan untuk kakitangan awam dan orang awam serta pelancaran program anti rasuah dalam media cetak dan elektronik di peringkat akar umbi, katanya. � Bernama

0 comments: