Krew ISS dijamu sate, nasi himpit, tempe

MOSCOW 14 Okt. – Cip tempe, granola bar daripada roselle, nasi himpit beriani, kuih bangkit, gegulung pisang dan beberapa lagi makanan bercirikan Malaysia mula ‘dihidangkan’ di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) hari ini.

Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menikmati makanan tersebut pada waktu makan tengah hari di ISS iaitu pukul 2.30 petang waktu ISS bersamaan 6.30 petang waktu tempatan (10.30 malam di Malaysia).

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, makanan bercirikan Malaysia itu akan dirasai oleh semua angkasawan di ISS.

“Terpulang kepada angkasawan di ISS seperti Peggy Whitson, Yuri Malenchenko dan krew lain sama ada hendak merasai makanan tersebut.

“Bagaimanapun, Sheikh Muszaphar bukan hanya merasai makanan itu malah beliau akan melakukan kajian yang diamanahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menentukan sama ada ia bersesuaian atau tidak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semua makanan yang dibawa ke ISS disediakan oleh pihak Rusia mengikut resipi mereka.

Sebelum ini, Agensi Angkasa Itali juga mengesahkan angkasawannya menghadapi masalah makanan dan mengakui kepelbagaian jenis makanan memberikan kesan positif kepada angkasawan dari segi psikologi.

Makanan bercirikan Malaysia yang dibawa ke ISS ialah sate ayam, rendang daging, nasi himpit beriani, gegulung pisang, hirisan mangga kering, jeli halia, granola bar daripada roselle, kuih bangkit dan cip tempe.

Sementara itu, Penyelaras Sains Hayat untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, walaupun kandungan bahan dan rasa makanan berkenaan adalah sama namun ia telah diubah sedikit untuk disesuaikan dengan keadaan mikrograviti di ISS.

0 comments: