Hidupkan suasana politik baru di Manek Urai

CALON Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan sudah diumumkan.

Jika kertas pencalonan diterima, BN akan diwakili oleh bekas Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, manakala calon Pas diwakili oleh Mohd. Fauzi Abdullah.

Mungkin calon parti kecil lain atau Bebas akan turut bertanding bagi merancakkan pilihan raya itu.

Oleh kerana pilihan raya itu melibatkan calon daripada UMNO, Pas atau calon lain daripada bangsa Melayu maka pendekatan berkempen sepatut diubah.

Rakyat sudah jemu dengan pendekatan kempen yang 'panas' dan keterlaluan. Hentikanlah taktik provokasi, menakut-nakut orang ramai menjelang penamaan calon pada 6 Julai dan pada hari pengundian pada 14 Julai ini.

UMNO dan Pas, kedua-duanya berteraskan Melayu dan Islam harus memulakan satu budaya politik baru. Maksud budaya politik baru ialah amalan berceramah atau berkempen tidak perlu dipenuhi dengan kata-kata maki hamun, memburukkan imej individu, membuat tohmahan tanpa bukti kukuh dan bermacam-macam lagi.

Kita mahu Manek Urai menjadi gelanggang permulaan pendekatan politik baru dengan gaya kempen secara profesional dan matang.

Sudah 12 kali pilihan raya umum dan beratus pilihan raya kecil dilalui oleh ahli politik Melayu/Islam.

Bolehkah Manek Urai menjadi titik permulaan terhadap budaya politik baru ini? Perkenal dan bentangkan strategi dan hala tuju yang ingin dibawa oleh parti-parti politik demi kebahagiaan pengundi dan penduduk kawasan Manek Urai.

Jangan pecah-pecahkan kelompok Melayu yang kedudukannya semakin goyah. Jangan menyalahkan pihak lain kerana kegagalan cadangan kerajaan perpaduan.

Ceramah pemimpin Pas usah lagi mengandungi unsur-unsur politik samseng hingga sanggup 'bertumpah darah' untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Manek Urai.

Seluruh orang Melayu dan umat Islam negara ini menaruh harapan agar unsur-unsur provokasi yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram, malah boleh menakutkan para pengundi elok dielakkan.

Atas sebab itu, semua pihak yang mendokong parti masing-masing patut mengelak daripada perbuatan mengapi-apikan emosi penyokong.

Suasana aman di Manek Urai dijangka panas ekoran sikap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kembali menyerang UMNO.

Begitu juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terus mempertahankan kecamannya terhadap UMNO.

Sebenarnya suasana aman di Manek Urai perlu dipertahankan dengan Pas dan UMNO perlu memastikan penyokong masing-masing bertindak rasional dalam melaksanakan demokrasi dan usah menganggapnya sebagai medan peperangan.

Biar pengalaman pilihan raya lepas yang mencetuskan persengketaan, dendam dan keraguan dilupakan ketika keadaan perpecahan umat Melayu/Islam kini membimbangkan.

Sebab itu semua pihak perlu menghormati undang-undang dan peraturan pilihan raya secara ikhlas, tanpa tipu helah untuk melanggarnya.

Berkempenlah secara beretika dan akhirnya, biar pengundi Manek Urai membuat pilihan mereka dengan bijaksana.
BISIK-BISIK

MASUK secara sah menggunakan pesawat tetapi keluar secara haram menggunakan bot. Begitulah yang cuba dilakukan oleh 42 warga asing dari Afghanistan dan Pakistan.

Mereka menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk masuk ke negara lain melalui jalan yang salah.

Mujurlah usaha mereka dapat ditumpaskan oleh Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang di Perairan Selat Lumut dan Perairan Sungai Chondong semalam.

Awang amat dukacita jika penyeludupan keluar itu didalangi oleh tekong dan awak-awak Indonesia. Tindakan mereka bukan sahaja menjejaskan nama baik Malaysia tetapi mempertaruhkan nyawa manusia.

Justeru kejayaan polis marin ini adalah bukti kesungguhan Malaysia membanteras penyeludupan manusia, sekali gus menafikan kenyataan Amerika Syarikat bahawa kita tidak prihatin berhubung masalah ini.

Malaysia bukan sekadar memerangi penyeludupan manusia tetapi berusaha membanteras kemasukan secara haram ke negara ini. Malangnya sejak kebelakangan ini, warga asing sengaja membuat hal. Mereka sanggup menyeludup dadah dengan pelbagai cara yang dalam sesetengah keadaan sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

Awang harap, pihak berkuasa tidak berkompromi dengan kerenah warga asing ini sama ada yang datang sebagai pelancong atau pelajar.

Awang - Yakin dengan polis.
Biarkan Indonesia henti hantar amah

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

BENARKAH kes penderaan pembantu rumah warga Indonesia hanya berlaku di negara ini? Adakah negara-negara lain yang juga menggunakan khidmat amah dari republik itu berhati 'malaikat' sehingga tidak seorang pun daripada kalangan mereka mengalami penderaan secara mental mahu pun fizikal?

Persoalan itu mesti dijawab dengan ikhlas oleh pihak pemerintah di negara jiran. Saya sendiri pernah menemu ramah seorang pembantu rumah Indonesia yang pernah berkhidmat di Arab Saudi. Jalan ceritanya penuh air mata.

Dia pernah dihadapkan ke mahkamah di negara itu atas tuduhan cuba membunuh. Tindakannya itu didorong oleh tekanan perasaan lantaran tidak sanggup lagi didera mental dan fizikal oleh majikannya. Dia juga hampir menjadi mangsa rogol.

Menurut pembantu rumah yang kini 'bernaung' di bawah majikan di negara ini, dia tidak bersendirian melalui penderitaan itu. Banyak lagi rakannya yang didera.

Begitu juga dengan nasib pembantu rumah Indonesia yang berkhidmat di negara-negara lain. Cuma trauma dan kisah duka yang mereka alami tidak mendapat liputan media seperti di Malaysia.

Bagaimanapun keprihatinan pihak berkuasa dan media di negara ini terhadap nasib segelintir pembantu rumah Indonesia tidak mendapat tempat di hati pemerintah republik itu.

Tiada ucapan terima kasih sebaliknya mereka membalasnya dengan ugutan. Indonesia akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia - angkuh dan keras bunyi amaran mereka itu.

Hakikatnya, majikan di negara ini amat bertolak ansur. Pihak berkuasa di negara jiran sendiri amat arif bahawa pembantu rumah yang dihantar ke Malaysia paling rendah grednya. Mereka sekadar lulus sekolah asas. Tidak kurang yang buta huruf.

Lantas tahap kesabaran manusia berhadapan dengan amah yang perlahan pergerakannya dan lambat pemahamannya tentulah tidak setinggi majikan di Singapura, Hong Kong atau Arab Saudi yang mendapat khidmat amah kelas pertama.

Tetapi majikan di Malaysia masih bertolak ansur. Bayaran RM5,000 ke atas untuk menggaji amah yang berkebolehan kebanyakan tidak berbaloi dengan amah yang dihantar kepada mereka.

Apatah lagi jika wujud perbezaan bahasa dan agama. Tentunya akan timbul pelbagai cabaran dan ketidakserasian sehingga membawa kepada penderaan.

Tetapi adakah puncanya hanya pada majikan di negara ini? Sedangkan pembantu rumah menyatakan kesediaannya berkhidmat dengan majikan yang bukan sebangsa dan seagama.

Dan bukan semua majikan kategori itu lepas laku dengan memaksa amah mereka memakan babi atau memandikan anjing atau melarang bersolat. Ramai juga yang prihatin, cuma apabila satu kes mendapat perhatian meluas, maka semua majikan di Malaysia dibebankan dengan tuduhan yang sama.

Sebab itu dalam hal ini kerajaan kita mesti bertegas. Jika benar keinginan pemerintah Indonesia mahu menghentikan penghantaran amah ke negara ini, maka kita akurlah dengan kehendak mereka.

Lihatlah sejauh mana rakyat negara itu yang tertekan dari segi ekonominya mampu mengekang hasrat menyeberang ke negara ini. Lantaran bukan semua rakyat Indonesia berpelajaran tinggi untuk dihantar ke negara lain yang sebenarnya lebih cerewet dan pelbagai syaratnya.

Malaysia mesti menetapkan pendirian. Segala syarat baru yang ditetapkan kelak tidak boleh dipersetujui begitu sahaja. Malaysia mesti menunjukkan ketegasan. Dalam hal ini kebajikan majikan di negara ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Nik Aziz, McMahon, saintis realiti TV

ISU tuduhan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan UMNO sebagai ajaran sesat seperti Ayah Pin dan komunis mendapat perhatian di kalangan penulis blog minggu ini.

Turut disentuh ialah pandangan dua penulis yang masing-masing mengulas mengenai seorang veteran perang yang mengunjungi anaknya serta program realiti TV mencari bintang saintis.

Pandangan mengenai Nik Aziz ditulis oleh Dr. Zambry Abdul Kadir dalam blog rasminya (www.zambry.com) yang menganggap tuduhan tersebut menunjukkan Mursyidul Am Pas itu juga adalah insan politik yang tidak dapat lari daripada amarah politik.

Katanya, ini ditambah pula dengan indoktrinasi politik bencikan kepada UMNO begitu menunjang sejak sekian lama sehingga beliau melupai segala uslub al- da'wah yang sering jadi bahan kuliahnya.

''Bagaimanapun saya yakin apa yang diluahkannya adalah terzahir daripada amarah yang memuncak,'' tulisnya sambil menambah, selepas menyedari kesilapannya, Nik Aziz menyatakan kenyataan itu hanyalah kiasan.

Katanya, apa pun hujah beliau, menuduh UMNO atau mengiaskan UMNO seperti komunis, Ayah Pin dan sosialis adalah perbuatan golongan pelampau atau secara kiasannya juga menggambarkan keangkuhan ilmu.

''Saya hairan bagaimana tuduhan berat kepada kiasan UMNO sebagai sosialis boleh dihamburkan, tetapi dalam masa yang sama memeluk DAP seerat-eratnya yang jelas-jelas berfahaman sosialis,'' tulisnya.

A. Kadir Jasin (www.akadirjasin.com) pula menilai bahawa pandangan Nik Abdul Aziz itu sebagai kurang masuk akal atau bukan-bukan.

Katanya, mengkafirkan UMNO atau mana-mana kelompok Muslim bukanlah perkara baru kerana ia berlaku sejak zaman berzaman, termasuk di negara lain serta agama lain.

''Senjata paling bisa menikam musuh sesama Muslim adalah dengan menuduh seseorang itu kafir, sesat, murtad, jahil dan seumpamanya.

''Malah tok-tok guru pondok dan lebai-lebailah yang paling terdedah kepada membuat tuduhan dan andaian seperti ini,'' tulisnya.

Kata beliau, itulah salah satu cara golongan ini mengawal dan mengepung pengikut mereka dan menolak orang luar yang mengancam periuk nasi mereka, termasuk mereka yang lebih warak dan lebih berilmu daripada mereka.

''Hanya tok guru yang paling tinggi pekerti dan akhlaknya saja yang tidak mengeluarkan petua, arahan atau pandangan yang bukan-bukan. Apatah lagi mengatakan Tuhan mencarut,'' tulisnya.

Sementara itu, Syed Imran dalam Kuda Ranggi (kudaranggi.blogspot,com) menulis tentang seorang veteran Perang Dunia Kedua yang sudah berusia 89 tahun sanggup datang ke negara ini dari United Kingdom untuk menemui anak, menantu dan cucunya.

Katanya, John McMahon menjejak kaki buat pertama kali ke Malaysia semata-mata untuk menemui anak, cucu dan cicitnya.

''Apa yang menarik perhatian saya ialah semangatnya untuk menemui ahli keluarganya yang beragama Islam di Malaysia, yang menurutnya, buat kali terakhir sebelum dia pulang menemui penciptanya,'' tulis beliau.

Katanya, sebagai seorang veteran perang, disiplin ketenteraan masih jelas kelihatan pada gerak-geri dan tingkah lakunya.

''Dia berpakaian kemas dan bertali leher ke mana sahaja semasa di Kuala Lumpur. Begitu juga dengan cara dia bertutur dan bertegur sapa dengan orang yang diperkenalkan kepadanya.

''McMahon adalah peminat setia pasukan bola sepak Celtic United, sebuah pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana Scotland,'' tulis beliau.

Tindakan McMahon itu memperlihatkan bahawa kasih sayang seorang bapa, datuk dan moyang kepada anak, cucu dan cicitnya tidak mengenali sempadan dan jarak jauhnya.

Faisal Tehrani (tehranifaizal.blogspot. com) pula menulis tentang program realiti TV Star of Science, Yayasan Pendidikan Qatar.

Program tersebut menyaksikan 16 peserta berusia antara 21 hingga 31 tahun dari 11 negara menerokai pelbagai bidang sains untuk mencipta pelbagai alatan yang berguna bagi kegunaan orang awam.

Katanya, melalui program realiti seperti ini penonton bukan sahaja bertambah bijak malah didedahkan dengan interaksi bersama saintis terkemuka yang akan menjadi juri manakala pemenangnya juga dipilih melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Tulis beliau, mengapakah program realiti TV kita hanya tertumpu kepada usaha mencari bintang-bintang murahan untuk memeriahkan dunia pop sedangkan negara lain dengan usaha-usaha ke arah kemajuan masyarakat.

''Mengapakah kita kekal bangkrap idea dan muflis kreativiti? Bagaimana ilmuwan kita boleh terheret sama?

''Mengapakah kita yang mahu mengejar Wawasan 2020, masih mencari bakat anak wayang dan pilih kasih untuk membintangi filem murahan tentang mat rempit, pelacur, bohsia dan samseng?'' tulisnya.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL

lukman@utusan.com.my
Satukan orang Melayu/Islam melalui ekonomi

GESAAN oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria agar orang Melayu dan umat Islam mencontohi parti-parti Cina apabila sanggup melupakan ideologi politik demi kejayaan kaum sendiri haruslah diteliti sedalam-dalamnya oleh orang Melayu tidak kira apa pun fahaman politik dan latar belakang.

Parti-parti Cina meskipun berbeza politik tetapi mereka amat bersatu terutamanya dalam aspek pendidikan dan ekonomi.

Atas dasar ini, orang Melayu dan umat Islam perlulah merenung kembali kesatuan parti-parti Cina ini dalam memperkukuhkan kekuatan bangsa Melayu dan umat Islam. Sudah tentu satu cara yang boleh dilakukan untuk menyatukan orang Melayu adalah dengan memperkasakan ekonomi mereka.

Ini kerana ekonomi orang Melayu di Malaysia masih jauh terkebelakang berbanding dengan kaum lain. Maka jika agenda ekonomi orang Melayu dapat diperkasakan pada tahap yang lebih tinggi, sudah tentulah kesatuan dan penyatuan orang Melayu di Malaysia juga dapat diperkukuhkan.

Lima langkah disyorkan untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu dan umat Islam.

Pertama, menubuhkan satu badan yang dikenali sebagai Majlis Ekonomi Melayu dan Islam dan badan ini mestilah terdiri daripada tokoh-tokoh perniagaan, ahli akademik, ulama yang berwibawa dan disegani serta ahli-ahli politik Melayu tidak kira ideologi politik.

Majlis ini harus terbuka kepada semua orang Melayu dalam mengemukakan cadangan dan idea untuk memperkasakan ekonomi. Majlis ini juga boleh bertindak untuk melaksanakan beberapa langkah dalam membudayakan perniagaan dan keusahawanan di kalangan orang Melayu. Bahkan Majlis ini seharusnya bertindak dalam mengambil peluang sebaik mungkin dalam Industri Halal Hub bagi merangka agenda ekonomi orang Melayu dan umat Islam.

Kedua, pelantikan tokoh perniagaan dan profesional yang sememangnya berwibawa dan terbukti mampu membawa kejayaan dalam mengetuai syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar objektif untuk memajukan ekonomi orang Melayu tercapai.

Ketiga, GLC juga perlulah dielak daripada sebarang budaya ideologi politik kepartian agar orang Melayu yang berkerja di syarikat-syarikat berkenaan dapat bekerja dengan lebih objektif dalam memperjuangkan agenda ekonomi orang Melayu.

Keempat, memperkasakan Institusi Baitulmal, zakat dan wakaf dengan menyelaraskan tindakan yang lebih konkrit dan dapat membuahkan hasil yang lebih besar. Tindakan ini hendaklah berpandukan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak termasuklah para ahli akademik dalam memperkasakan institusi-institusi ini.

Kelima, membanteras budaya ali-baba lesen-lesen dan kontrak-kontrak kerajaan yang diberikan kepada orang Melayu dengan memantau lesen-lesen dan kontrak-kontrak yang diberikan. Langkah ini amat bertepatan agar orang Melayu dapat memperolehi kemahiran yang sebenar dalam dunia perniagaan dan bukannya sekadar memperolehi keuntungan jangka masa pendek sahaja.

ROHAMI SHAFIE

Pensyarah Perakaunan dan Kewangan, UUM
Kelincahan tarian pena Rashidah

Tajuk Buku: Memoir Rashidah Ismail: Pendeta Za'ba dan Kisah Silam

Pengarang: Rashidah Ismail

Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Terbitan: 2009

Harga: Kulit Lembut RM50.00

No. ISBN: 978-967-942-902-2 (paperback)

Pengulas: SAADAH JAFFAR

MEMOIR setebal 348 halaman ini melahirkan suara hati wanita yang suatu ketika dahulu pernah terjun ke dunia kewartawanan. Penceritaannya dirungkaikan menerusi Memoir Rashidah Ismail: Pendeta Za'ba dan Kisah Silam.

Sebenarnya, kisah yang dipaparkan oleh beliau amat menarik untuk ditelusuri baris demi baris. Beliau menyingkap suatu tirai sejarah yang merakamkan kisah suka duka, pahit maung, kehidupan masyarakat Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Singapura pada zaman sebelum Merdeka dahulu.

Mereka yang disentuh termasuklah sebilangan tokoh yang namanya sudah tidak dikenali atau diingati lagi oleh generasi semasa. Rashidah pernah bekerja di organisasi media seperti di surat khabar dan majalah.

Wanita yang kini menginjak ke usia 79 tahun, begitu banyak menghabiskan masa dengan membaca pelbagai bahan bacaan.

Beliau berpandangan, keghairahannya yang menjadikan rutin menulis dan membaca seperti makan dan minum sungguh memudahkan kerjayanya.

Hasilnya, beliau banyak melontarkan buah fikirannya untuk diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan bermula pada awal 1950-an di majalah Utusan Filem dan Sports, Berita Harian, Berita Minggu dan Utusan Melayu.

Kerjaya dan rentak hidup Rashidah banyak dipengaruhi oleh Pak Longnya, Pendeta Za'ba. Beliau pernah tinggal sebumbung bersama-samanya.

Rencah kehidupannya menjadi lebih menarik untuk terus diikuti kerana banyak kisah lain yang sempat dicoretkan oleh beliau menerusi paparan di dalam memoir ini.

Wanita ini yang juga anak saudara kepada Pendeta Za'ba, pastinya berjiwa kental kerana mampu menerima banyak cabaran, menggalas beban dan memikul tanggungjawab agar setiap tugasan yang diberikan kepadanya berjaya dilaksanakan mengikut kehendak ketuanya. Istilah biasa bagi orang surat khabar seperti dirinya adalah mengejar date-line.

Beliau sempat berkongsi cerita, menerusi kaca matanya mengenai keseronokan hidup bersama Pendeta Za'ba di dalam memoir ini. Menerusi bahagian ini juga pembaca boleh meneladani tentang kegigihan Za'ba iaitu salah seorang pejuang bahasa Melayu. Pengarang melahirkan rasa kecintaannya yang cukup mendalam terhadap keluarga Za'ba.

Sebahagian daripada tugasan rutin Rashidah adalah bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat bagi mewawancara dan mendapatkan sumber yang bakal dijadikan bahan tulisan.

Pelbagai ragam dunia pemberitaan dan kewartawanan cuba dikongsi oleh Rashidah untuk tatapan generasi selepas kelahirannya.

Khalayak dapat menyaksikan coretan kisahnya bersama-sama rakan-rakan wartawan sezamannya dalam bidang kewartawanan seperti Keris Mas, Hashim Hasan, Buyung Adil, A. Samad Ismail, Abdullah Husain, Asraf, Usman Awang dan lain-lain.

Rashidah juga beranggapan bahawa bekerja sebagai wartawan surat khabar adalah kerja yang paling mencabar minda dan susah sekali. Namun, pekerjaan itulah yang dilakukannya selama hampir 35 tahun. Berkat kecekalan hati dan berbekalkan semangat juang yang tinggi dengan disulam oleh azam yang kuat, beliau berjaya mengharungi pelbagai dugaan ketika menyelusuri bidang yang sangat-sangat diminatinya itu.

Tugasannya yang tidak menentu waktu dan ruang juga membawa dan menemukan beliau dengan pelbagai tokoh sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Pengalaman di dunia kewartawanan banyak mengajar Rashidah untuk hidup berdikari yang tidak ada kena mengena dengan dunia kewartawanan.

Rashidah yang mahir berbahasa Inggeris, juga berkemahiran sebagai penterjemah ini juga dapat menyaksi dan mencatatkan pelbagai peristiwa penting di sebalik kelincahan tarian penanya di dunia kewartawanan.

Bayangan kengerian perang ketika era Jepun di Tanah Melayu digambarkan dengan jelas oleh beliau lewat memoir ini. Secara tidak langsung, beliau juga pernah merasai kegetiran pahit maung hidup pada zaman tersebut.

Menurut beliau, mereka yang lahir selepas 1945, amat beruntung kerana terlepas daripada peristiwa perang dan zaman pemerintahan Jepun. Tetapi bagi yang pernah mengalaminya, Rashidah menganggap itulah zaman paling susah dalam kehidupan mereka. Bukan sahaja harga barangan mahal, kebanyakannya pula sukar didapati.

Bahan makanan penting seperti beras, gula, minyak masak, ikan kering, sukar didapati. Mula-mula memang ada, kemudian dijual di pasar gelap dengan harga yang tinggi. Beliau pula mula mual kerana hanya asyik makan sayur sawi.

Segala masakan dicuba untuk mempelbagaikan rasanya, termasuk ditumis, digoreng dan dimasak lemak, malahan rakyat digalak bercucuk tanam di halaman rumah. Di sana sini muncul pokok ubi kayu. Benarlah kata orang ketika itu 'zaman ubi kayu'.

Kehadiran memoir yang digarap dalam 10 bahagian ini turut diberi sentuhan kata pengantar oleh teman baiknya Puan Azah Aziz. Akhirnya, Rashidah berjaya memancang-mancang cerita sehingga menjadi pelbagai tema yang berlainan.
Baitulmal kebangsaan perlu disegera untuk pertingkatkan ekonomi ummah

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my

MEMPERKASA Baitulmal bukan hanya bertumpu kepada pengagihan dan penerimaan zakat semata-mata, malah mampu melindungi kepentingan dan membangunkan ekonomi umat Islam. - Gambar hiasan

Usaha penubuhan usah dipolitikkan, kesungguhan serta keikhlasan pihak terbabit diseru

WALAUPUN isu bagaimana untuk memperkasakan peranan Baitulmal sebagai institusi harta dan kewangan induk umat Islam di negara ini sudah lama diperkatakan, sama ada melalui pelbagai persidangan dan seminar, kertas kerja serta buku-buku ilmiah, ia masih lagi belum menjadi kenyataan.

Antara sebabnya ialah Baitulmal terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri atau lebih tepat lagi di bawah Majlis Agama Negeri, yang dinaungi oleh Raja atau Sultan masing-masing. Kerana itu, jelas terlihat perbezaan tahap pencapaian di antara Baitulmal yang ada di setiap negeri sekarang, bergantung kepada taraf hidup umat Islam di negeri itu, sikap majlis agama dan mutu pentadbiran negeri masing-masing.

Ada Baitulmal negeri yang dilihat cukup aktif dengan dana dan asetnya bernilai berbilion-bilion ringgit serta mampu menyaingi institusi kewangan konvensional, tetapi di kebanyakan negeri kegiatan Baitulmalnya lebih bertumpu kepada penerimaan dan pengagihan zakat semata-mata.

Justeru, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan pada Rabu lalu mencadangkan supaya diwujudkan sebuah entiti seumpamanya pada peringkat kebangsaan bagi menyelaraskan aset umat Islam, timbul harapan baru untuk melihat sebuah institusi yang benar-benar memainkan peranan itu tanpa mengenal batas sempadan negeri.

Memang konsep sebenar Baitulmal mencakupi peranan yang lebih luas jika dibandingkan dengan konsep perbendaharaan negara. Namun, skop pentadbiran dan penyelarasan Baitulmal di negara ini agak terhad kerana ia hanyalah sebuah institusi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Walaupun Majlis Agama Islam diberi kuasa untuk menguruskan Baitulmal, masih banyak faktor lain yang menjadi kekangan seperti kekurangan tenaga profesional, sumber dana dan dasar pentadbiran pada peringkat negeri. Keperluan sebuah institusi peringkat kebangsaan yang mampu menjana kekuatan dan keseimbangan ekonomi ummah semakin diperlukan sekarang kerana umat Islam kini menerima pelbagai cabaran sama ada dari dalam dan luar negara.

Konvensyen Baitulmal Kebangsaan selama dua hari itu berakhir dengan enam resolusi, termasuk memperkasa peranan Baitulmal sebagai pemenang amanah khazanah harta umat Islam dengan lebih bersistematik menerusi penubuhan Permodalan Baitulmal Kebangsaan (PBK).

Antara resolusi lain ialah menjadikan Baitulmal sebagai dana awam yang mempunyai hak untuk bertindak bagi pihak masyarakat Islam untuk melindungi kepentingan dan membangunkan ekonomi umat Islam di negara ini; meningkatkan pelaksanaan wakaf tunai dan dijadikan sebagai sumber utama serta menerbitkan sukuk dan juga instrumen kewangan lain dalam jumlah besar bagi mengukuhkan dana PBK; melahirkan modal insan berintegriti dan profesional ke arah meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dalam pengurusan harta benda Baitulmal; membabitkan cerdik pandai di kalangan pihak swasta dan awam serta individu bagi membantu merancang dan menggerakkan aktiviti sosioekonomi ummah.

Kita cuma berharap semua resolusi itu tidak hanya tinggal resolusi seperti lumrah kepada mana-mana persidangan dan konvensyen di negara ini. Apa yang penting ialah tindakan untuk memastikan resolusi itu menjadi kenyataan. Yang diperlukan ialah kesungguhan dan keikhlasan pihak-pihak yang terbabit, terutama kerajaan negeri.

Dari segi kepakaran dan sokongan Kerajaan Pusat, ia tidak menjadi masalah jika kejayaan institusi Islam lain, khususnya Tabung Haji dijadikan ukuran. Kita cuma berharap dalam senario politik semasa negara sekarang, jangan usaha murni ini juga turut dipolitikkan.

Cukuplah umat Islam di negara ini berpecah dengan soal-soal politik dan perebutan kuasa, tetapi dalam hal yang membabitkan masa depan ekonomi ummah, kita perlu berani dan ikhlas untuk sekata. Kita tidak perlu menoleh kepada sejarah kegemilangan Islam untuk membuktikan bahawa institusi berasaskan agama mampu memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi ummah.

Lawatan penulis ke Gereja Mormon di Salt Lake City, Utah beberapa tahun lalu mendapati sistem ekonomi mazhab terpencil Kristian itu, yang menyamai sistem zakat dalam Islam, berjaya menjadikan masyarakat minoriti di Amerika Syarikat itu berdikari dari segi ekonomi.

Konsep ekonomi Mormon, yang mereka dakwa berasaskan ajaran kitab suci agama itu, mengutamakan pemilikan ummah (penganut mazhab itu). Mengikut konsep itu, setiap ahli gereja (penganut Mormon) menyerahkan semua harta dan lebihan pendapatan mereka kepada gereja, yang kemudian mengagihkan semula kepada setiap sekeluarga pada kadar yang hanya cukup untuk menampung kehidupan.

Walaupun konsep itu tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya, nilai hidup bermasyarakat, kerjasama dan fungsi gereja memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi Mormon. Setiap penganut Mormon yang berkemampuan, menyerahkan 10 peratus daripada pendapatan kepada gereja dan dua peratus kepada pihak berkuasa, tetapi mereka masih memiliki harta peribadi.

Pada peringkat awal penempatan penganut mazhab itu di Utah, gereja menggunakan wang berkenaan bagi membina sistem perairan untuk pertanian dan kemudian mewujudkan industri kecil. Apabila ekonomi AS berkembang dan bertukar menjadi kuasa industri, ekonomi Utah bukan saja turut maju malah majoriti penganut Mormon menyertai sektor industri dan perdagangan walaupun pertanian terus diberi perhatian.

Hari ini, walaupun tiada siapa mengetahui kekayaan sebenar gereja Mormon, mereka menguasai sebahagian hartanah di barat dan utara AS, termasuk ribuan hektar ladang ternakan lembu tenusu, serta mempunyai kepentingan dalam pelbagai bidang seperti perbankan, syarikat insurans, perhotelan (rangkaian Marriot), akhbar dan stesen radio.

Malah, pakaian lusuh (bundle) yang dijual di pasar malam negara ini, dipercayai berasal daripada skim bantuan gereja itu untuk penduduk negara miskin, tetapi diseleweng oleh sindiket antarabangsa.

Kita tidak perlu mengikut konsep ekonomi Mormon untuk meningkatkan ekonomi ummah kerana sistem zakat dalam Islam sudah cukup sempurna. Yang kita perlu cemburu ialah kesungguhan mereka melaksanakan sistem itu secara berkesan sehingga manfaatnya bukan saja dinikmati oleh penganut mazhab itu, malah oleh umat Islam sendiri di negara miskin dan yang mengalami sengketa melalui skim bantuan kemanusiaan gereja itu, yang juga dakwah tersembunyi mereka ke seluruh dunia.
Minda Pengarang: Polemik hakim sebat pesalah perlukan penyelesaian bijaksana

RAMAI pihak termasuk di kalangan pengamal undang-undang terkejut dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal Abidin Kamarudin, Jumaat lalu, berhubung kes seorang pemuda berusia 20 tahun yang mengaku bersalah atas tuduhan merompak. Pemuda itu dikenakan hukuman 10 sebatan di premis mahkamah pada 15 Julai ini dengan Zainal Abidin sendiri akan melaksanakan hukuman itu, sambil disaksikan ibu bapa pesalah. Dalam keputusan yang jarang dibuat itu, Zainal Abidin menjelaskan hukuman sebat menggunakan 10 rotan halus yang disediakan mahkamah akan dilaksanakan terhadap Muhammad Syafiq Abd Wahab, 20, seperti diperuntukkan Seksyen 293 (1) (c) Kanun Acara Jenayah. Bagaimanapun, ada yang menyanggah dan ada pula yang memuji tindakan hakim itu. Bagi mereka yang tidak bersetuju, mereka berpendapat hakim mengadili sesuatu kes di mahkamah dan menjatuhkan hukuman, tidak wajar bertindak sebagai pelaksana hukuman itu kerana ia bercanggah dengan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan legislatif. Seperti kata Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, tindakan merotan pesalah tidak wajar dilakukan seorang hakim kerana beliau tidak boleh memainkan dua peranan sekali gus, iaitu sebagai hakim dan penghukum. Difahamkan, hukuman sedemikian pernah dijatuhkan dan dikendalikan 20 tahun lalu oleh seorang majistret, tetapi membabitkan kesalahan mengikut Akta Juvana. Memang ada peruntukan mengikut Akta Juvana yang membenarkan hakim berbuat demikian dan kes seperti itu pernah berlaku, tetapi tidak mendapat publisiti.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia pula berpendapat tindakan Hakim Mahkamah Sesyen itu sebagai pembaharuan dalam sistem kehakiman negara yang mampu menjadi teladan menghindari golongan muda terjebak dengan jenayah. Persatuan itu berpendapat tindakan berkenaan wajar kerana ia bergantung kepada budi bicara hakim untuk menjatuhkan hukuman, selagi termaktub dalam undang-undang. Malah, ada yang berpendapat tindakan hakim itu wajar diteruskan kerana ia mampu memberi impak besar dalam menangani jenayah. Dalam hal ini, kita berharap pihak pentadbir perundangan negara, terutama Ketua Hakim Negara meneliti percanggahan pendapat berhubung isu itu dari sudut perundangan dan hak asasi supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Hakikatnya, rotan yang disediakan di penjara dan mahkamah adalah berbeza. Tambahan pula, hakim tidak dilatih untuk menyebat atau merotan pesalah kerana kita semua sedia maklum, memang ada pegawai khusus dilatih untuk melaksanakan hukuman seumpama itu. Persoalannya, adakah ada keperluan bagi hakim menjadi penghukum. Memang benar Seksyen 293(1) (c) Kanun Acara Jenayah memperuntukkan hukuman merotan dalam mahkamah, tetapi apakah wajar hakim sendiri melakukannya? Semua ini perlu diteliti kerana akan pasti ada yang bertanya apa akan jadi jika ada hakim yang mahu melaksanakan hukuman lain di mahkamah? Kita berharap pihak yang berkaitan menyelesaikan kontroversi ini dengan bijaksana dan rasional.
Menangani selesema babi
Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

KES wabak Influenza A (H1N1) atau selesema babi di negara kita semakin membimbangkan. Sehingga semalam, 124 kes dilaporkan, termasuk 12 lagi kes baru, membabitkan 11 kes import dan satu kes jangkitan tempatan.

Disebabkan wabak itu, beberapa sekolah terpaksa ditutup seminggu. Malah, beberapa pelajar antarabangsa yang baru mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam turut dikuarantin selama seminggu, bagi memastikan ia bebas daripada wabak H1N1.

Apa juga natijahnya, wabak ini tidak perlu dipandang remeh. Ketika ini, penyakit berkenaan masih belum dianggap ke tahap serius di Malaysia sehingga memaksa pengisytiharan darurat. Namun, sebagai langkah berwaspada, kerjasama rakyat di seluruh negara amat diperlukan serta seharusnya lebih prihatin terhadap simptom penyakit.

Virus Influenza A H1N1 sudah diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 11 Jun lalu sebagai wabak pandemik atau berada pada tahap 6. Ini secara tidak langsung amat membimbangkan kita, terutama ia mudah merebak dengan pengangkutan udara.

Fasa pandemik sesungguhnya sudah merebak secara berleluasa ke seluruh dunia. Jika dilihat keseluruhan kes ini semakin meningkat dari sehari ke sehari. Laporan terkini WHO memaklumkan, sehingga Jumaat lalu jumlah terkumpul kes H1N1 ialah sebanyak 59,814 kes dengan 288 kematian membabitkan lebih 100 negara.

Negara yang dilaporkan mencatat kes tertinggi ialah Amerika Syarikat iaitu (21, 449); Mexico (8,279), Chile (5,186), Kanada (6,732) dan Australia (3,280).

Perkara utama perlu diketahui masyarakat ialah penyakit itu adalah disebabkan jangkitan virus secara langsung daripada babi yang dijangkiti kepada manusia dan mula dikesan di Mexico pada April lalu.

Bagaimanapun, sehingga ini, WHO belum mengeluarkan sebarang larangan melancong ke negara terbabit, sekadar meminta mereka menimbang dengan teliti mengenai risiko berkunjung ke negara yang dijangkiti H1N1.

Perlu diingat, jangkitan manusia ke manusia boleh berlaku secara langsung apabila rembesan cecair badan orang yang mendapat Influenza A H1N1 seperti air liur yang terpercik ketika bercakap, cecair mulut dan hidung ketika batuk dan bersin terkena terus kepada orang di sekeliling mereka.

Selain itu, jangkitan juga boleh berlaku apabila kita tersentuh bahan yang tercemar dengan virus seperti kertas tisu.

Bagi orang ramai yang mendapat demam, sakit tekak, sakit otot, sakit kepala, batuk, lemah badan dan rasa tidak selesa perlu mendapatkan rawatan segera ke pusat kesihatan kerana dikhuatiri mengandungi simptom jangkitan Influenza A H1N1. Dalam kes lebih serius, ia boleh menyebabkan radang paru-paru yang boleh membawa kepada kematian.

Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican meminta orang ramai menangguhkan perjalanan ke negara yang dilanda wabak kecuali jika betul-betul tidak dapat dielakkan. Perjalanan ke luar negara yang dilanda wabak boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan H1N1, sama ada ketika berada di negara berkenaan atau di dalam pesawat.

"Ini bukan saja akan menyebabkan anda jatuh sakit dan terpaksa dirawat di negara lain, malah anda dan keluarga akan dikuarantin jika terbabit dengan kes yang disahkan positif," katanya.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Muhammad Hatta Ab Aziz, pula berkata pihaknya yang menjadi Urus Setia Jawatan Pengurusan Bantuan Bencana Pusat adalah sebagai platform untuk menyelaraskan sebarang perkara secara bersepadu dengan agensi lain yang membabitkan isu keselamatan.

Justeru, dalam kes H1N1 ini, pembabitan MKN juga dianggap penting untuk memastikan wabak penyakit itu dapat dikawal supaya tidak terus menular sehingga menjejaskan keselamatan negara.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sudah mengadakan empat mesyuarat berkaitan H1N1 dan mesyuarat akan terus diadakan dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga.

"Setakat ini, wabak berkenaan masih terkawal dan orang ramai tidak perlu panik. Pelbagai langkah dan pelan tindakan sudah diambil kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dengan pencegahan dan pemantauan ketat.

"Walaupun ia belum mencapai tahap serius, tindakan berwaspada perlu diambil. Setakat ini, Malaysia mampu menangani isu itu. Tidak perlu lagi atau timbul isu kita wajar mengisytiharkan darurat. Situasi negara masih jauh untuk mencapai ke tahap itu," katanya.

Bagaimanapun, MKN tetap bersiap sedia dan segala tindakan juga tertakluk kepada arahan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, Muhammad Hatta menasihatkan orang ramai sentiasa bekerjasama dengan mematuhi arahan dan memahami isu wabak itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak sebarang kemungkinan penyebaran yang semakin serius pada masa depan.
Melayari Royal Selangor

Oleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my

Masih ramai beranggapan ibu pejabat Royal Selangor di Kuala Lumpur sebagai sebuah kilang tetapi pada hakikatnya orang ramai boleh melayari susur galur Royal Selangor di situ.




DIASASKAN di Malaysia pada tahun 1885 oleh Yong Koon, nama Royal Selangor telah berkembang sebagai salah satu nama yang gah dalam industri piuter dunia.

Dengan memiliki lebih daripada 500 artisan yang mahir, kilang piuter syarikat tersebut yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur merupakan kilang piuter terbesar di dunia.

Menawarkan ribuan produk berasaskan piuter, daripada perkakasan meja dan barangan cenderahati, kole logam tradisional dan set teh sehinggalah bingkai gambar dan peralatan meja yang elegan, Royal Selangor telah menerima banyak anugerah termasuk Anugerah Hadiah Terbaik 1997 dan Anugerah Red Dot untuk Rekaan Produk 2002 daripada Design Zentrum, Jerman.

Dari rangkaian ibu pejabat di Kuala Lumpur dengan hampir 30 bilik pameran di seluruh negara, produk Royal Selangor dieksport ke lebih 20 buah negara.

Eksportnya termasuk ke Jepun, Singapura, Hong Kong, China, Kanada, Britain dan Australia.


PUSAT pelawat Royal Selangor di Setapak, Kuala Lumpur ini dibuka pada tahun 2004.


Menurut Pengurus Pemasaran Pusat Pelawat Royal Selangor, Che Wan Azlan Che Wan, masih ramai beranggapan ibu pejabat tersebut sebagai sebuah kilang tetapi pada hakikatnya, orang ramai boleh melayari susur galur Royal Selangor di situ.

"Pusat Pelawat Royal Selangor telah dibuka pada tahun 2004 dengan memaparkan sejarah syarikat, memperkayakan ilmu dan pengetahuan orang ramai mengenai warisan mata wang timah, logam dan sains berkaitan serta betapa indahnya produk yang boleh dihasilkan daripada timah.

"Sungguhpun demikian, diakui masih ramai yang tidak mengetahui tentang pusat ini dan merasakan ia sebuah kilang," kata Azlan ketika ditemui Kosmo! di pusat lawatan itu baru-baru ini.

Dengan seni bina moden alunan kaca dan besi yang penuh dramatik, pusat pelawat seluas 40,000 kaki persegi itu ternyata bukan sebuah kilang biasa.

Kole gergasi

Satu tarikan awal di pusat itu ialah kole gergasi Royal Selangor yang diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai yang terbesar di dunia.

Terletak di pintu masuk, cawan logam setinggi 1.987 meter dengan berat yang mencecah 1,557 kilogram itu memberi pengunjung peluang bergambar berlatar belakang seni bina kaca dan besi atau kolam air yang indah.


KAFE Royal Selangor menawarkan pelbagai sajian enak kepada pengunjung.





Azlan menjelaskan, Pusat Pelawat Royal Selangor terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu Galeri, Kunjungan Kilang dan Pusat Jualan.

Bahagian Galeri membawa pengunjung melihat pelbagai paparan pameran yang bersifat interaktif dan pendidikan.

Tema Origins atau Asal mengimbau semula sejarah Royal Selangor iaitu bermula dengan kedatangan Yong Koon ke Tanah Melayu pada tahun 1885 dari Shantou, China sehinggalah sejarah yang ditempa pada hari ini.

Sudut Muzium Royal Selangor pula bukan sahaja memaparkan artifak-artifak seperti mata wang logam, ceduk kapal korek dan produk piuter, tetapi juga peralatan asal dan barangan peribadi yang digunakan Yong Koon dalam penghasilan barangan piuternya.

"Salah satu tarikan di sini ialah teko melon yang telah menyelamatkan nyawa seorang lelaki bernama Ah Ham ketika perang di sekitar Kajang, Selangor.

"Menariknya, teko yang dibuat pada tahun 1890-an ini merupakan satu-satunya gubahan dalam koleksi Royal Selangor yang tertera tanda kecemerlangan pengasasnya, Yu He Zu Xi yang bermaksud nama kedai sekali gus melambangkan kualiti komponen bermutu yang digunakan," jelas Azlan sambil menekankan betapa berharganya logam timah itu sejak zaman dahulu.

Di zon ini, pengunjung juga berpeluang mengimbau sejarah melalui paparan pakaian fesyen zaman pencarian timah pada abad ke-19.

"Pengunjung boleh mencuba kostum-kostum yang serupa dengan yang telah dipakai oleh golongan kaya dan kerabat Melayu serta Cina serta pekerja-pekerja lombong semasa zaman kegemilangan melombong bijih di Tanah Melayu," ujar Azlan.

Menurutnya, pengunjung juga boleh melihat replika Menara Berkembar Petronas setinggi 9.1 meter yang diperbuat melalui susunan 7,062 biji kole logam piuter.

Tinjauan Kosmo! mendapati pengunjung juga akan dibawa ke zon eksperimental yang membolehkan deria mereka dirangsang.


PUSAT Jualan seluas kira-kira 5487.8 meter persegi menawarkan koleksi produk piuter Royal Selangor, barangan kemas Selberan dan perak daripada Comyns.


Pengunjung boleh merasai pelbagai tekstur piuter di Hall of Finishes atau mendengar penjelasan bagi menyelami perbezaan resonan bunyi antara piuter dengan material organik dan metalik yang serupa di Kamar Loceng.

Di Dewan Bingkai Gambar, pengunjung boleh melihat kepelbagaian koleksi bingkai gambar Royal Selangor yang membenarkan mereka merasai dan menghargai fleksibiliti aloi tersebut.

Di sudut Sains Piuter pula, orang ramai boleh mengetahui nilai atomik bijih, antimoni dan tembaga yang merupakan komponen utama piuter.

"Selain itu, pengunjung juga boleh mengetahui berat piuter di planet-planet berbeza dan membandingkan ketumpatannya dengan logam lain," kata Azlan.

Dari Galeri, pengunjung dibawa mengunjungi kilang yang merupakan nadi Royal Selangor.

"Di sini, pengunjung boleh melihat dan merasai sendiri proses pembuatan produk piuter Royal Selangor dalam persekitaran yang selesa dan selamat," kata Azlan.

Kunjungan tersebut turut memaparkan penghasilan barang kemas mewah Selberan yang merupakan sebahagian daripada syarikat Royal Selangor.

"Dengan bayaran RM50 seorang, pengunjung boleh mendaftar di bengkel kerja tangan School of Hard Knocks.

"Dalam sesi setengah jam, peserta boleh menghasilkan mangkuk piuter mereka sendiri dengan menggunakan peralatan tradisional seperti yang digunakan oleh pembuat piuter lebih 100 tahun lalu," kata Azlan sambil memaklumkan bahawa pengunjung dapat membawa pulang mangkuk piuter tersebut berserta sijil.

Sungguhpun demikian, Azlan menambah, tempahan awal harus dibuat sekiranya pelanggan ingin menyertai bengkel tersebut dengan jumlah kumpulan terdiri antara lima sehingga 50 orang bagi setiap sesi.

Dimaklumkan, pada awal April lalu, Royal Selangor telah membuka sebuah kafe di situ bagi membolehkan pengunjung berehat dan menikmati hidangan.

Sebelum pulang, pengunjung tidak seharusnya melepaskan peluang untuk singgah ke sudut Pusat Jualan di kawasan seluas 18,000 kaki persegi.


PENGUNJUNG berpeluang melihat sendiri operasi pembuatan barangan piuter Royal Selangor di Pusat Pelawat Royal Selangor.


Menawarkan koleksi produk piuter Royal Selangor yang pelbagai, pengunjung juga boleh menikmati pilihan perhiasan diri mewah oleh Selberan dan perak oleh Comyns yang merupakan sebahagian daripada kumpulan Royal Selangor.

Sejak pembukaannya, Pusat Pelawat Royal Selangor telah memenangi Anugerah Tarikan Pelancong Terbaik Pelancongan Malaysia 2004 dalam kategori tarikan dengan identiti atau warisan negara.

Selain itu, ia juga menerima Anugerah Kecemerlangan Persatuan Pelancongan ASEAN 2005 atas tarikan pelancongan terbaru terbaik ASEAN.

Dengan menerima kunjungan penduduk tempatan dan pelancong asing dari segenap usia termasuk keluarga dan pelajar sekolah setiap hari, Royal Selangor turut menyediakan perkhidmatan jurupandu percuma bagi kemudahan pengunjung.

"Pusat ini bukan hanya untuk dilihat, tetapi memberi peluang kepada pengunjung menyelami penggembaraan dan pengalaman sebenar pembuatan piuter.

"Di sini, deria melihat, mendengar dan merasa dirangsang demi memberikan pengetahuan dan keseronokan kepada pengunjung," kata Azlan menamatkan bicara.

Tenaga solar ubah hidup

Tahun lalu, bilangan rumah yang dikuasakan oleh sistem solar di pedalaman Bangladesh meningkat kepada 300,000 buah walaupun kos pemasangannya agak mahal.


JUMLAH rumah yang dikuasakan oleh sistem solar di Bangladesh meningkat sehingga 300 buah.


SAMA seperti penduduk pedalaman di Bangladesh yang lain, Aidul Islam cukup faham tentang keperitan yang mereka alami setiap kali tibanya musim panas.

Lebih-lebih lagi apabila rumahnya yang berbumbung zink itu seolah-olah seperti ketuhar. Tenaga elektrik yang ada tidak mencukupi walaupun untuk menggerakkan kipas.

Bagi 100 juta rakyat Bangladesh yang kebanyakannya merupakan petani dan tinggal di kampung, cerita tentang bekalan elektrik hanyalah janji kosong yang dijaja oleh ahli-ahli politik menjelang pilihan raya.

Cuma kampung-kampung yang berhampiran lebuh raya atau ladang-ladang berskala besar dan lengkap dengan pam-pam sistem pengairan memiliki akses kepada grid kuasa elektrik negara. Namun begitu, bekalannya hanya untuk beberapa jam.

Bosan dengan janji-janji sambungan bekalan elektrik yang tidak pernah ditunaikan, Islam menyelesaikan masalah itu sendiri.

Sejak empat tahun lalu, dia membelanjakan sebanyak AS$335 (RM1172) untuk membeli panel solar yang dipasang di atas bumbung rumahnya yang diperbuat daripada bata lumpur dan zink.

"Ahli keluarga dan kawan-kawan fikir saya bodoh. Tetapi saya tahu ia sangat berbaloi walaupun harganya sama dengan jumlah gaji saya selama lapan bulan," kata Islam yang tinggal di kampung Nayeb Ali Bazar, 80 kilometer di utara Dhaka.

Ternyata, pelaburan tersebut memberi pulangan kepada tukang jahit berusia 40 tahun itu yang biasanya habis kerja apabila matahari mula terbenam.

Tenaga elektrik

Kini, hampir setiap hari dia menjahit sehingga lewat malam. Terima kasih kepada bekalan elektrik selama lima jam yang diperolehnya daripada panel solar. Malah, pendapatannya bertambah sekali ganda.

Bagi 70 peratus rakyat Bangladesh yang keseluruhannya mencecah 144 juta orang dan hanya mendapat sedikit akses tenaga elektrik atau tiada langsung, sumber tenaga alternatif menjadi satu-satunya pilihan.

Kurangnya pelaburan sejak sekian lama bermakna pusat jana kuasa yang dimiliki oleh kerajaan hanya mampu menghasilkan 3,500 megawatt kuasa elektrik setiap hari.

Sedangkan permintaan mencecah 6,000 megawatt dan meningkat sehingga 500 megawatt setahun berikutan kepesatan pertumbuhan perindustrian.

Kerajaan yang dipilih pada Disember lalu telah berjanji untuk menambah bekalan elektrik, tetapi menyatakan penambahbaikan tersebut memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.

Pada masa yang sama, angka menunjukkan rakyat Bangladesh menyelesaikan dilema itu sendiri. Tahun lepas sahaja, bilangan rumah yang dikuasakan oleh sistem solar meningkat kepada 300,000 buah. Sistem solar ini menyalurkan tenaga elektrik kepada lebih 2.5 juta orang.

Peneraju kepada pertumbuhan itu ialah Grameen Shakti, anak syarikat kepada penyedia utama kredit mikro, Grameen Bank.

Bersama 14 organisasi kecil yang lain, badan kebajikan itu menyediakan pinjaman dengan syarat-syarat yang munasabah bagi membantu golongan miskin untuk menghasilkan tenaga solar.

"Sistem solar dapat dijual dengan pantas di kawasan-kawasan pedalaman dan kami sedang berusaha untuk memenuhi permintaan," kata Ketua Grameen Shakti, Dipal Barua.

Tenaga solar

Pertumbuhan itu juga bermakna bertambahnya peluang pekerjaan baru.

"Kami telah berjaya mencipta 20,000 bidang pekerjaan. Malah 2,000 daripadanya menggaji wanita-wanita di kampung yang berupaya memperoleh pendapatan sehingga AS$100 (RM350) sebulan," kata Barua.

"Matlamat kami ialah memastikan separuh daripada rumah di kawasan pedalaman Bangladesh menggunakan tenaga solar menjelang tahun 2015 dan memberi pekerjaan kepada 100,000 orang wanita," kata pakar tenaga dari Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh, Shahidul Islam.

Menurutnya, perkembangan pesat penggunaan teknologi solar akan membantu mengurangkan kos panel solar tersebut.

"Apa yang kita lihat di kawasan pedalaman kini ialah satu revolusi hijau. Ia telah mengubah wajah Bangladesh yang sebelum ini berada dalam kegelapan," tambahnya.

Sebuah syarikat tempatan, Rahima frooz yang menghasilkan bateri untuk menyimpan tenaga solar terpaksa meningkatkan pengeluarannya sebanyak tiga kali ganda demi memenuhi permintaan para pelanggannya.

"Perniagaan tenaga yang boleh diperbaharui di Bangladesh merupakan industri hijau paling pantas berkembang di dunia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Rahimafrooz, Niaz Rahim.

"Ia akan menjadi industri yang bernilai berbilion dolar dalam tempoh enam tahun akan datang. Setiap aksesori solar kecuali panelnya kini dihasilkan di Bangladesh.

"Maknanya, kami mampu untuk memenuhi keperluan sendiri tidak lama lagi demi memastikan pertumbuhan ini berterusan."

Di utara Dhaka, Bhutuli, pemilik kedai runcit, Nurul Islam berjenaka bahawa kampungnya yang sebelum ini terkenal dalam penghasilan buah nangka kini lebih dikenali kerana bilangan panel solar yang terpasang di bumbung rumah-rumah di sana.

"Lebih menarik, apabila mempunyai tenaga solar ialah ketika pulang ke rumah pada pukul 10 malam dari tempat kerja, tiga orang anak saya sedang membaca buku.

"Kami tidak pernah mempunyai peluang untuk melakukan perkara ini suatu masa dahulu. Sistem ini telah mengubah takdir negara kami," katanya. - AFP

Apa kesudahan nasib Melayu?
Ke mana politik Melayu selepas ini? Itulah persoalan yang bermain difikiran kita, apabila segala usaha bagi memastikan sekurang-kurangnyadua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas duduk semeja berunding,hancur berderai.

Jangan ikut etika syaitan
SEPERTI diduga, apabila Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIAmengeluarkan kenyataan mengkritik gelagat sesetengah parti politik yangmendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan talipersaudaraan sesama Islam, beliau telah menerima kecaman yang hebat.

Gelagat pembangkang
KEPUTUSAN pakatan pembangkang menolak idea kerajaan perpaduan yangdicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jelasmembuktikan bahawa mereka tidak akan menerima apa sahaja cadangan yangboleh dilihat mampu memberikan keuntungan kepada kerajaan BarisanNasional (BN).

'Perbicaraan' sebelum perbicaraan
Seorangteman baru-baru ini menunjukkan kepada Awang sebuah akhbar terbitanparti pembangkang. Tujuan dia berbuat demikian hanya untuk menarikperhatian tentang beberapa isu semasa yang disajikan mengikutperspektif parti berkenaan.

Cabaran tangani isu setinggan
APABILA SENATOR DATUK RAJA NONG CHIK DATUK RAJA ZAINAL ABIDIN dilantiksebagai Menteri Wilayah Persekutuan, ramai tertanya-tanya siapakahbeliau.

Kenapa perlu mencela ulama?
KRISISpolitik yang berlaku di negara ini turut menjebakkan para ulama didalam konflik. Apa yang malangnya, jika mereka membuat kenyataanbertentangan dengan kehendak sesuatu puak, maka mereka akan dikecam.

Apa erti jadi orang Melayu
Pelbagaipihak mengata orang Melayu macam-macam. Ada yang mengkritik sikapnya,budayanya dan juga bahasanya. Orang Melayu bersifat perkaumanlah.Bahasa Melayu dikatakan macam-macam. Tidak sesuailah dengan zaman.Orang Melayu kena kuasai bahasa Inggeris untuk selamat. Biarlah merekakata macam-macam, tetapi sudah ditakdirkan orang Melayu dilahirkanMelayu.

Menilai konflik politik di Iran
PARA pelajar yang mengikuti mata pelajaran sejarah di sekolah dalammasa penjajahan dulu kadang-kala diajar hal-hal yang diputarbelitkanatau pendapat berat sebelah. Lalu kami diberitahu: orang Greece adalahpahlawan dan bangsa Parsi adalah orang jahat.

Pendidikan moral pelajar terpinggir
DATAKementerian Pelajaran serta statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkanjumlah salah laku melibatkan remaja masih bersekolah semakin meningkat.Makin membimbangkan bila data-data tersebut menunjukkan pelajar sekolahbukan sahaja sekadar terlibat di dalam kelakuan tidak sopan, melanggarperaturan sekolah seperti bising dalam kelas, datang lewat ke sekolah,ponteng tetapi juga menjangkau kepada perlakuan jenayah sepertigengsterisme, melakukan gangguan seksual, merogol malah hingga kepadamembunuh.

Seksanya hendak kahwin
PERKAHWINANbagi kebanyakan pasangan adalah sesuatu yang suci, indah dan abadi.Dari ketika menjalani proses percintaan hinggalah selesai upacara akadnikah adalah sesuatu yang biasa bagi setiap pasangan untuk melihatpasangan mereka sebagai pilihan terbaik.

Daulah Islamiyyah: Dulu dan sekarang
Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihan raya mereka menjadiberita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihan raya merekatidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negaratersebut. Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negaraclergy tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyatterhakis terhadap keputusan pilihan raya mereka, atau ada isu lain yangmendesak mereka bangkit, sama ada isu ekonomi, kezaliman, penindasandan seumpamanya.

Apabila selebriti turut aktif
DUNIAkini jika diamati walaupun di sebalik kepesatan pembangunan,kecanggihan teknologi, bangunan pencakar langit dan lambakan parajutawan hasil dari apa yang dikatakan kejayaan sistem kapitalis,hakikatnya ia masih lagi tidak banyak berubah.

Jual al-Quran di Indonesia
KEBANYAKANpeniaga Malaysia yang mengembangkan sayap ke Indonesia adalah di dalambidang cari gali minyak, perladangan dan telekomunikasi, tetapi seorangpeniaga yang ditemui penulis baru-baru ini menjual al-Quran.





Laporan Khas: Golongan muda paling ramai muflis
KUALALUMPUR: Angkara kad kredit, 120 pemuda berusia di bawah umur 25 tahundi negara ini diisytihar muflis sejak 2005, mewakili hampir 10 peratusdaripada jumlah yang diisytiharkan bankrap setiap tahun.

Bayaran minimum punca faedah tinggi
LEBIH70 peratus daripada peserta program pengurusan kredit yang diuruskanAgensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membabitkan mereka yangbermasalah dalam pembayaran kad kredit dan berdepan risiko dikenakantindakan undang-undang.

Belanja lebihi kemampuan bawa sengsara
MATI segan, hidup tak mahu - begitulah beratnya beban mereka yang muflis.

Soal Jawab: Elak kebergantungan satu sumber pembantu rumah
KHAMISlalu, Kerajaan Indonesia membuat keputusan membekukan sementarapenghantaran pembantu rumah ke Malaysia, gara-gara penderaan ke atasseorang amah negara itu, Siti Hajar Sadli, 33, satu lagi kesmenggemparkan selepas nasib sama menimpa rakan senegaranya, NirmalaBonat, lima tahun lalu. Wartawan Berita Minggu, Ahmad Naim Tahirmendapatkan Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA),Datuk Raja Zulkepley Dahalan untuk mengulas perkembangan itu.

Soal Jawab: 'Perjanjian isu amah perlu ditambah baik'
KHAMISlalu, Kerajaan Indonesia membuat keputusan membekukan sementarapenghantaran pembantu rumah ke Malaysia, gara-gara penderaan ke atasseorang amah negara itu, Siti Hajar Sadli, 33, satu lagi kesmenggemparkan selepas nasib sama menimpa rakan senegaranya, NirmalaBonat, lima tahun lalu. Wartawan Berita Minggu, Ahmad Naim Tahirmendapatkan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiaruntuk mengulas perkembangan itu.

Ancaman luar biasa keselamatan, bencana jejas kehidupan manusia
SALAHsatu tanggungjawab terpenting mana-mana kerajaan dan angkatan tenteraadalah untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyatdilindungi daripada sebarang ancaman dan bahaya. Ia satu tanggungjawabyang berat, malah sejak kebelakangan ini sudah menjadi bertambah beratdan sukar lagi untuk dilaksana dengan berkesan.

Pembalakan jejas Hutan Simpan Bintang Hijau
LENGGONG: Lebih 500 penduduk Kampung Changkat Berangan, Perak membantah rancanganuntuk membalak di Hutan Simpan Bintang Hijau kerana kawasan tadahan airitu adalah punca utama bekalan air untuk kegunaan harian masyarakatsetempat melalui projek air masyarakat.






Ancaman baru telefon murah
Tindakan India mengharamkan jualan telefon murah buatan China danTaiwan kerana tiada IMEI mendedahkan bahaya senyap yang tidak disedaripengguna sejak sekian lama.

Obsesi menilik nasib
Sesetengah orang masih percaya kepada ramalan tentang nasib, untung,rugi, kekayaan, jodoh dan kematian daripada si penjual kata-kata dijalanan.

Gadis wusyu anggap diri musuh
Atlet wushu negara, Chai Fong Ying, percaya pada kuasa minda untuk menumpaskan lawan.

'Inilah bekalan akhirat saya'

Pendakwah serta pengasas Asrama Baitul Ummah ini pernah menjadi bapa ayam.
Apa kesudahan nasib Melayu?

Oleh Zulkiflee Bakar dan Zin Mahmud


Ke mana politik Melayu selepas ini? Itulah persoalan yang bermain di fikiran kita, apabila segala usaha bagi memastikan sekurang-kurangnya dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas duduk semeja berunding, hancur berderai.

Ketika umat Melayu mendoakan akan wujud sedikit persefahaman antara kedua-dua parti itu tetapi semua tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan perpaduan ditolak oleh pakatan pembangkang, biarpun UMNO sudah menyatakan kesediaan untuk berbincang.

Pakatan berkenaan bukan hanya dianggotai oleh Pas tetapi juga Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang sudah pastilah dalam kamus politik mereka tidak ada istilah penyatuan atau perpaduan orang Melayu.

Pas yang keseluruhan ahlinya beragama Islam dan terdiri daripada orang Melayu terpaksa akur dengan tekanan PKR dan DAP, untuk menolak idea kerajaan perpaduan. Paling malang idea itu adalah cetusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pendirian Pas seolah-olah menunjukkan apabila berada dalam pakatan itu, mereka tidak mempunyai apa-apa suara lagi, selain daripada mengikut sahaja.

Itu hak Pas untuk membuat keputusan, malah menjadi hak Pas juga kalau mereka bersedia 'dibuli' oleh PKR dan DAP, tetapi dalam masa yang sebagai parti yang memperjuangkan Islam, tanggungjawab menyatukan umat Islam dalam satu saf biarpun berbeza ideologi politik terpikul pada bahu mereka sehingga kiamat.

Namun begitu apa yang lebih kita bimbangkan ialah apa kesudahannya terhadap kekuatan politik Melayu, selepas ini. Apakah ia akan semakin kuat dalam genggaman? Atau adakah ia akan terhakis sedikit demi sedikit hanya semata-mata kerana kita tidak mahu bersatu?

Kegagalan kita untuk mencapai kata sepakat biarpun dalam hal-hal menyentuh mengenai kepentingan Melayu dan Islam hanya akan melemahkan kekuatan politik orang Melayu. Ia disebabkan kita berpecah belah akibat ketaksuban kepada politik sempit masing-masing.

Ketika ini, kekuatan politik Melayu hanya bergantung kepada UMNO dan Pas tetapi kita harus ingat bahawa ada pihak ketiga yang sudah pasti tidak mahu kekuatan berkenaan berterusan.

Melalui propaganda mereka sebelum ini dan dibantu oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang tamakkan kuasa semata-mata, mereka sudah berjaya meruntuhkan empayar kekuatan politik Melayu melalui UMNO.

Apabila UMNO berada dalam keadaan agak lemah dan sedang berusaha bangkit semula, mereka mengatur pula strategi supaya Pas juga menjadi kucar-kacir. Lanjutan itu, apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencetuskan idea kerajaan perpaduan, mereka melihat ia kesempatan terbaik bagi mencetuskan perbalahan dalam parti itu.

Apabila perbalahan berlaku maka Pas akan menjadi kucar kacir dan sekali gus akan melemahkan parti berkenaan. Ternyata agenda mereka berjaya, Pas terbahagi kepada dua kelompok satu menyokong cadangan berkenaan manakala satu lagi pihak menentang.

Tetapi semua itu bukan agenda UMNO seperti mana didakwa oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa ''UMNO sekarang berpesta. Pesta bahawa Pas sudah masuk perangkap. Pas sama Pas kalut, Pas dengan pakatan bergaduh. Pas sudah bercelaru, Pas dengan pakatan pun bercelaru. UMNO sudah berjaya pecah belahkan orang Pas tetapi Alhamdulillah dapat dibendung dengan kenyataan saya baru-baru ini. Tidak boleh terima orang ini, boneka UMNO.''

Sebaliknya, ada agenda tersembunyi oleh pihak-pihak tertentu yang melihat idea kerajaan perpaduan hanya akan memperkukuhkan politik Melayu. Oleh itu, mereka mahu UMNO dan Pas terus berbalah. Mereka tidak akan benarkan kedua-dua parti itu duduk semeja membincangkan soal orang Melayu dan umat Islam.

Bagi mereka, kalau kedua-dua parti berbuat demikian ia akan memberikan ancaman kerana kuasa politik akan kukuh kembali, tidak kiralah sama ada UMNO atau Pas yang kuat.

Tetapi malangnya, gerakan tersirat ini tidak mampu dibaca oleh penyokong-penyokong Pas sehingga mereka sanggup mengecam sebarang usaha untuk UMNO dan Pas berunding.

Penyokong-penyokong berkenaan melakukan serangan habis-habisan bagi menggugat pendirian kepimpinan Pas supaya jangan sesekali melaksanakan idea itu biarpun ia datang daripada Presiden Pas sekali pun.

Penyokong

Tindakan kelompok yang ingin melemahkan Pas ini menjadi mudah, apabila adanya penyokong parti itu sendiri yang bersikap menentang idea Abdul Hadi. Kesudahannya bagi mengelakkan kecelaruan dan kekeliruan yang berterusan, idea itu terkubur begitu sahaja.

Malangnya ia terkubur bukan kerana Pas yang membuat keputusan tetapi akibat tekanan PKR dan DAP. Pemimpin-pemimpin Pas boleh berhujah apa sahaja termasuklah demi menjaga keharmonian dengan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang. Namun di luar, orang Melayu terutamanya yang tidak mempunyai parti akan mempertikaikan tindakan Pas itu.

Pas akan mengalami kerugian di dalam pilihan raya kerana pengundi Melayu atas pagar sudah pasti terfikir, kenapa perlu memberikan undi bagi memperkukuhkan Pas, kalau parti itu sekadar mengikut sahaja apa yang diputuskan oleh PKR dan DAP.

Akibat daripada tindakan itu, kemungkinan besar suara orang Melayu di dalam Parlimen akan semakin berkurangan dan hanya akan bergantung kepada UMNO sahaja.

Inilah bahana yang harus difikirkan oleh seluruh orang Melayu, mereka tidak harus melihat dari sudut kepentingan politik kepartian semata-mata, sebaliknya perlu memikirkan mengenai survival kuasa politik Melayu di negara ini.

Apa pun, dalam soal mempertahankan kekuatan politik Melayu ini, ramai yang melihat masih ada cahaya di hujung terowong bagi membolehkan UMNO dan Pas duduk semeja, berunding sesama mereka. Ia kerana biarpun perbezaan politik boleh menjadi tembok penghalang tetapi ikatan bahawa kita mengadap kiblat yang sama, suatu hari kelak pasti boleh menyatukan kita.

Persefahaman antara kedua parti itu amat penting demi masa depan politik orang Melayu, biarpun mereka berjuang dengan ideologi politik yang berbeza.

Bagaimanakah sebuah negara kecil yang dikelilingi oleh musuh di padang pasir dapat membangun dan maju tanpa banyak halangan? Jawapannya ialah negara berkenaan mendapat pelaburan masuk secara besar-besaran dari luar.

Negara yang dimaksudkan di sini ialah Israel. Negara ini, dari segi politik dan ekonomi didokong oleh orang Yahudi diaspora. Maksud diaspora di sinilah ialah mereka yang bertebaran tinggal di luar daripada negara yang dianggap sebagai tanah air mereka.

Kedudukan ekonomi bangsa Yahudi sememangnya kuat, khususnya di Amerika Syarikat dan Eropah Barat. Daripada golongan yang berjaya dan kaya inilah, wang disalurkan kepada Israel untuk membangun dan memajukan negara itu. Walaupun orang Yahudi berkenaan bukannya warganegara Israel. Mereka adalah warganegara Amerika dan negara-negara Eropah. Tetapi kerana sayangkan bangsanya, mereka memastikan pelaburan dilakukan ke atas Israel untuk memajukannya.

Begitu juga dengan China. Bagaimanakah sebuah negara yang ekonominya dianggap telah musnah kerana mengamalkan sistem komunisme telah berjaya bangkit dalam jangka waktu yang singkat dari dekad 80-an. Bayangkan bagaimana sebuah negara komunis yang apabila menukar sistem ekonominya kepada bentuk pasaran, dalam masa 20 tahun telah berjaya menjadi negara paling tinggi kadar pertumbuhannya. Bagaimanakah Deng Xiaoping berjaya menarik pelabur asing untuk datang ke negaranya apabila dia meminda sistem ekonomi China?

Jawapannya ialah daripada diaspora China. Iaitu ahli-ahli perniagaan China dari seluruh dunia, yang sebenarnya sudah tidak menjadi warganegara China. Meraka telah menyalurkan dana pelaburan ke negara leluhur mereka. Maka rakyat Amerika, Britain, Kanada, Malaysia, Thailand, Singapura dan lain-lain menyalurkan dana pelaburan ke negara itu.

Kejayaan China ini mendorong India untuk melakukan perkara yang sama. Mengapakah India yang mengamalkan sistem demokrasi sejak merdeka gagal maju seperti China? Banyak pihak mengatakan ia adalah disebabkan oleh polisi sosialis kerajaan Kongres pada awal negara itu mencapai kemerdekaan. Maka kini mereka telah mengubah polisi dan mahu mencontohi China.

Banyak ahli perniagaan keturunan India di Amerika dan Eropah yang kini diundang untuk melabur di India. Walaupun mereka sudah tidak menjadi rakyat India, tetapi semangat mereka mendorong untuk memajukan India. Pada masa akan datang China dan India akan menjadi penjana ekonomi dunia yang penting.

Apa yang dilakukan oleh Yahudi, China dan India diaspora ini tidak dianggap sebagai amalan perkauman. Bagi pihak Barat, usaha diapsora ini adalah suatu yang dapat diterima.

Maka Malaysia pun patut mencontohi mereka. Walaupun Malaysia adalah negara kecil dan tidak ramai keturunan negara ini yang berjaya besar di Amerika dan Eropah berbanding diaspora Yahudi, China dan India. Namun terdapat mereka yang berketurunan Malaysia, walaupun sudah menjadi warganegara Amerika atau Britain yang berjaya dan mampu untuk menyalurkan dana pelaburan ke negara asal mereka.

Justeru di samping usaha untuk meningkatkan pelaburan asing, Malaysia wajar juga mencari jalan mempelawa diaspora bekas rakyat, sama ada dari kalangan kaum China, India dan juga Melayu sendiri yang berjaya atas usaha sendiri di luar negara untuk pulang membuat pelaburan.

Bukanlah bermakna mereka wajar membuat pelaburan atas semangat sayangkan negara semata-mata tetapi usaha perlu dibuat untuk menjadikan pelaburan di negara ini menarik dan menguntungkan untuk mereka.

Tidak mengapa kalau mereka kembali untuk melabur dalam syarikat mengikut kaum masing-masing. Yang penting negara ini perlu dikemaskan supaya menarik bagi para pelabur.

Begitu juga di kalangan orang Melayu yang berjaya dalam perniagaan di Amerika, Britain, Australia dan lain-lain atas usaha sendiri. Mereka ini juga wajar digalakkan pulang untuk melabur di Malaysia. Bukan itu saja, mereka patut diajak untuk turut serta membangun dunia perniagaan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Ketika berusaha dalam persediaan untuk membawa masuk banyak lagi pelaburan dari luar, wajar sekali penelitian semula dilihat kepada polisi-polisi lalu mengenai pembangunan ekonomi negara. Perkara-perkara yang boleh menjejaskan kedatangan pelaburan baik berupa persepsi mahupun realiti wajar ditangani.


Perancangan

Di sinilah perancangan ekonomi amat penting digunakan bagi meletakkan kedudukan kepada keadaan yang lebih baik, terutama dalam keadaan mencabar sekarang ini.

Berkaitan dengan perkara ini pula ialah bagaimana meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu, walaupun sudah banyak mencapai kejayaan tetapi masih lagi perlu dipandu. Banyak pengajaran dapat diperolehi daripada kelemahan dan kegagalan polisi-polisi lalu dalam usaha membangunkan ekonomi Melayu terutama dari segi badan-badan perniagaan strategik.

Dalam hal ini, sememangnya soal ekuiti milik Bumiputera wajar menjadi perhatian. Ini kerana polisi-polisi meliputi zaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak berjaya sepenuhnya dalam memastikan ekuiti Bumiputera mencapai sasaran.

Pada masa lalu, soal perubahan keadaan ekonomi yang memungkinkan kehilangan ekuiti Bumiputera tidak diletakkan dalam jangkaan. Akibatnya setiap kali berlaku kegawatan ekonomi atau krisis kewangan, maka ekuiti Bumiputera akan menjadi mangsa.

Tambahan daripada itu juga, satu kaedah mesti dicari supaya Bumiputera tidak hanya menjadi rakan tidur dalam syarikat oleh kerana pegangannya yang rendah. Apa yang penting ialah penguasaan hakiki terhadap syarikat dan selanjutnya meningkatkan keupayaan berniaga bagi memajukan syarikat.

Apa yang perlu dirancangkan meliputi pelbagai lapisan daripada pelaburan untuk negara supaya ruang dana perniagaan menjadi luas. Seterusnya ia membolehkan rancangan-rancangan baru untuk mempertingkatkan dunia perniagaan Bumiputera.

Juga penting ialah dorongan baru bagi kesedaran untuk meningkatkan budaya perniagaan yang masih rendah. Bumiputera wajar ditingkatkan dengan kesedaran serta kemampuan berniaga setaraf dengan mana-mana bangsa yang berjaya di dunia.
Jangan ikut etika syaitan

SEPERTI diduga, apabila Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA mengeluarkan kenyataan mengkritik gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam, beliau telah menerima kecaman yang hebat.


Pandangan Harussani tidak lagi dilihat sebagai pendapat seorang ulama yang harus dihormati tetapi beliau dikecam dan dituduh sebagai menyokong UMNO. Segalanya berlaku apabila Harussani menyuarakan kekesalan berikutan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas dan UMNO. Beliau diserang habis-habisan di dalam blog-blog tetapi beliau tidak peduli semua itu.

‘‘Saya bercakap yang hak (benar), dalam Islam mengeratkan silaturahim antara saudara Islam adalah wajib, jadi saya hairan daripada rujukan mana sesetengah pihak itu ambil sehingga sanggup mencela saudara seagama,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. RADZI MOHD ZIN di pejabatnya di Ipoh, Perak.

Walaupun sekali sekala dalam berhujah, Harussani menyelitkan kata-kata gurauan namun nada beliau sentiasa serius apabila menekankan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Bagi Harussani, masa depan golongan itu dalam semua bidang termasuklah politik akan berhadapan dengan bahaya, jika mereka terus berpecah belah.

Harussani juga kecewa kerana ada sesetengah ahli politik begitu mudah mengeluarkan hujah yang mengelirukan dan mencela sesama Islam. Oleh itu beliau mengingatkan dalam apa pun perkara berkaitan hubungan sesama Islam, jangan sesekali mengikut etika syaitan.


MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri berhubung kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan, yang sekali gus menggagalkan usaha untuk menyatukan umat Islam di dalam UMNO dan Pas?

HARUSSANI: Sebagai orang Islam kita berpegang kepada Rukun Iman dan salah satunya ialah percaya kepada Allah, yang bererti kita mengucap dua kalimah syahadah, apabila kita mengucap dua kalimah syahadah kita masuk kumpulan muslim.

Apabila kita sudah masuk dalam kumpulan muslim, Allah sudah 'ikat' kita melalui firman-Nya dalam surat al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara kerana ini damaikanlah antara keduanya saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu mendapat rahmat-Nya."

Manakala Rasulullah SAW pula pernah bersabda bahawa, orang muslim itu adalah saudara bagi orang muslim yang lain, kemudian Nabi kata, siapa sebenarnya orang muslim itu, orang-orang muslim yang selamat daripada keburukan lidahnya dan keburukan tangannya. Maka itu Rasullullah sendiri dalam membentuk ajaran Islam baginda mempersaudarakan orang Islam.

Maknanya, itulah perjuangan utama kita iaitu mesti mempersaudarakan sesama orang Islam. Ia adalah perbuatan yang sebagaimana dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya bermaksud: … dan peliharalah hubungan silaturrahim… (an-Nisa': 1).

Oleh itu, kalau kita memecah belah orang Islam itu bukan ajaran Islam, itu ajaran syaitan. Tuhan sudah sebut bahawa syaitan itu bertujuan untuk membangkitkan di antara kamu permusuhan dan pergaduhan. Jadi pada saya, perpaduan itu adalah sesuatu yang cukup mustahak, perkara pokok yang wajib kita usahakan dalam apa bentuk pun. Berdasarkan kepada hujah itu, saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah satu idea yang cukup baik dan saya amat bersetuju dengan langkah tersebut.

Kalau kita lihat pada waktu ini, apabila orang Islam berpolitik, mereka berpecah sesama mereka. Ini berbeza dengan kaum lain, orang Cina contohnya, mereka pun berpolitik tetapi walaupun berada dalam parti yang berbeza-beza, mereka bersatu, ertinya mereka berpecah untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kita berpecah untuk menghilangkan sesuatu.

Mereka (orang Cina) berpecah supaya banyak suara atau banyak jurusan bagi membolehkan mereka menuntut sesuatu demi kepentingan bangsa mereka, begitu juga dengan kaum India, mereka berpecah supaya mereka mempunyai banyak jalan bagi menyuarakan tuntutan atau pandangan. Tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Kita memaki hamun sesama kita dan berpatah arang, berkerat rotan. Ini adalah satu perbuatan yang cukup buruk sekali. Ini bukan daripada etika Islam bahkan ia etika syaitan. Maka itu saya cukup kecewa apabila orang Islam sendiri menolak perpaduan dan lebih mementingkan perpaduan dengan bangsa asing daripada bersama orang Melayu.

Kita jangan lupa kedudukan Melayu dalam negara ini, hanya berapa peratus sahaja. Mungkin kalau kita bandingkan dari segi pecahan Islam dan bukan Islam, mungkin 50-50. Ia bermakna kalau kita berpecah suara kita menjadi minoriti, jadi bila kita hendak berjaya?

Dalam masa 18 tahun kebelakangan ini, ekonomi orang Melayu tidak bergerak, kaum Cina meningkat kepada 42 peratus, India (35 peratus), orang Melayu sudah 18 tahun tidak meningkat. Dalam 18 tahun itu juga, orang India yang sebelum ini berada di bawah orang Melayu kini naik mengatasi orang Melayu, kaum Cina yang sudah tinggi, kini melonjak, orang Melayu ketinggalan di belakang. Oleh itu, kalau kita berpecah lagi, keadaan umat Islam akan menjadi bertambah buruk. Allah sudah menyatakan perkara ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang mengingatkan kita bahawa jangan kamu berpecah, kamu akan gagal dalam hidup ini. Akan hilang wibawa kamu dalam masyarakat. Itu Tuhan sudah sebut terang-terang, kenapa kita memilih jalan perpecahan, ini yang saya paling kecewa.

Tetapi Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa pernah ditipu suatu ketika dahulu, apakah ini wajar?

HARUSSANI: Tak kan kerana perkara itu, ia tidak boleh dimaafkan? Kalau itu satu pengalaman tidak bolehkah kita baikinya supaya tidak berulang? Kita sudah ada perjanjian bagi memastikan perkara itu tidak berlaku lagi. Anak kita pun kadang-kadang buat salah dengan kita tetapi kenapa kita boleh makan bersama semula dan boleh beri nasihat? Allah pun menyeru memohon keampunan kepada-Nya dan menyuruh kita bermaaf-maafan.

Jadi tak kanlah hanya kerana satu peristiwa itu, kita hendak menjadikan sandaran, apakah kita hendak hancur? Ini yang menjadi masalah. Atau kita hendak pakai juga pepatah, biar papa asal bergaya? Maknanya kita jadi hero tetapi kita kalah, kita kecundang, apa gunanya semua itu.

Saya tidak peduli, apa pun orang nak tuduh bila saya bercakap macam ini. Di Kuala Lumpur, orang-orang muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata Mufti Perak sudah masuk UMNO, saya tidak pernah masuk mana-mana parti , UMNO pun tak suka saya.

Kalau UMNO tidak betul, UMNO saya 'bantai', kalau raja tak betul, raja saya 'hentam' saya nak kisah apa. Malah suatu masa dulu, Suharto ketika minum bersama saya, bila dia cakap tak betul dari segi hukum berkaitan faedah (bunga) bank, saya tegur. Pada hal seluruh ulama Indonesia sentiasa menyokong apa sahaja yang beliau kata, tetapi saya tidak.

Masalahnya apabila seseorang bertaraf Mursyidul Am dalam Pas bercakap, orang lebih mempercayai kata-katanya biarpun dia mengecam sesama Islam.

HARUSSANI: Kita pun tidak menafikan perangai pemimpin UMNO dahulu, sombong dan berlagak, tetapi sekarang sudah ada kesedaran berhubung kesilapan yang dilakukan. Tetapi kalau kita masih dengan hujah masing-masing, itulah masalahnya. Kita sudah tengok kaum India yang merupakan kelompok kecil sudah mempunyai suara yang cukup kuat tetapi kita semakin lemah kerana berpecah.

Bagaimanakah kita hendak satukan orang Melayu, kalau penyokong parti masing-masing terus mengamalkan politik sempit?

HARUSSANI: Kita lupakan soal politik, kita balik kepada agama kita, balik kepada Tuhan kerana Islam menyuruh kita bersatu kerana kita bersaudara sesama Islam, haram memutuskan silaturahim. Kembalilah kepada ajaran Islam jangan terlalu banyak politiking.

Kita berpolitik dengan tujuan mentadbir negara sahaja, bukan untuk berkelahi sesama kita, tetapi malangnya apa yang berlaku sekarang apabila orang Melayu kita masuk politik mereka menjadi taksub. Apabila bersikap demikian maknanya orang lain tak betul dia sahaja yang betul.

Contohnya, krisis politik di Perak, apabila pakatan pembangkang membawa kes itu ke mahkamah, pada mulanya mereka menang, mereka seronok. Kemudian apabila UMNO membuat rayuan dan menang, mereka (pakatan pembangkang) kata ini tidak boleh, ini tidak betul. Persoalannya apakah (keputusan) yang dahulu betul? Tak kan dulu seorang hakim dan sekarang tiga hakim, tiga yang buat salah. Kemudian buat rayuan kepada Mahkamah Agung, lima hakim yang bersidang membuat keputusan yang sama, jadi tak kan kita tidak mahu terima, tak kanlah hakim-hakim itu berat sebelah.

Oleh itu, saya tidak boleh terima tindakan pembangkang tetapi bila saya cakap macam ini mereka kata saya anti Pas, bila keluar kenyataan saya dukacita kerana kerajaan perpaduan gagal, mereka kata patutlah dapat (dianugerah) Tan Sri, sedangkan saya tak tahu fasal 'Tan Sri'. Sebelum ini saya berada di Mekah, balik sahaja ada surat suruh terima, bukan UMNO yang beri tetapi Yang di-Pertuan Agong.

Ada pihak mengkritik meminta Tan Sri jangan campur urusan politik, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Saya cuba melihat perjalanan politik mereka dan saya lihat ia tidak betul dari segi syarak, itu yang saya tegur. Begitu juga bila UMNO bersikap tidak adil atau sombong, saya akan tegur. Dalam soal Pas, saya pun tahu sikit-sikit fasal hukum Islam, oleh itu apabila apabila saya melihat tindakan mereka menyeleweng daripada hukum syarak, itu saya tegurlah. Tak kanlah kerana itu pun nak suruh saya masuk UMNO.

Memang saya tidak tahu politik, kalau nak suruh cakap fasal politik, saya tak tahu, suruh cakap fasal ekonomi, saya bukan ahli ekonomi. Sebab itulah kebanyakan ustaz-ustaz yang menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), apabila orang bahas ekonomi, dia tidak boleh bercakap. Golongan ustaz-ustaz ini hanya tahu soal dakwah, tidak tahu fasal politik. Kita perlu faham politik ini harus tahu semuanya.

Sebab itu saya tidak mahu terlibat dalam politik, kalau mahu dah lama saya boleh berbuat demikian. Saya fikir kalau saya jadi ahli Parlimen atau ADUN, jika orang bercakap perkara saya tak tahu, buat apa. Kita tengok dalam Parlimen, apabila bercakap soal agama Islam ia lebih banyak menyentuh soal zakat, wakaf dan urusan pejabat agama, itu sahajakah? Sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan, begitu juga ahli UMNO, kalau soal Islam tanya fasal berapa kutipan zakat, sepatutnya tak perlu tanya, itu kita punya.

Adakah dalam soal perpecahan umat Islam ini, para alim ulama harus campur tangan?

HARUSSANI: Selamanya kita sudah memainkan peranan, tiap kali bersyarah saya akan membangkitkan soal perpaduan, soal silaturahim, saya bangkit soal etika permasyarakatan, jangan lupa hukum bermasyarakat kerana kalau kita lupa dan buat silap sikit kita boleh menjadi fasiq, tapi siapa yang peduli?

Ketika memberikan tazkirah sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, semalam (Khamis) saya bercakap sedikit sahaja mengenai sembahyang. Saya tidak kupas berapa rakaat sembahyang, saya tekankan soal firman Allah bahawa sembahyang itu mencegah kamu daripada perbuatan keji dan mungkar. Bila kita sembahyang, pejamkan mata dan cuba lakukan pembetulan dalam diri, apakah kita mempunyai sifat-sifat seperti ego, takbur, sombong, marah, mengumpat orang dengki atau khianat kepada orang lain. Kalau ada sifat itu masa sembahyang kena buang, kalau ada sifat itu ketika sembahyang, maka sembahyang kita tidak terpakai, ini Allah tegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud; Celaka bagi orang yang sembahyang tetapi lari daripada hikmah sembahyang itu sendiri. (al-Maa'uun: 4-5)

Itu semua harus dihapuskan, bila sembahyang lahirlah dia sebagai insan Rabbani. Bila kita tidak ada sifat-sifat tak baik itu, kalau dia menjadi pemimpin ia akan menjadi pemimpin yang adil, pemimpin yang bertimbang rasa, bertanggungjawab dan jujur. Kalau dia seorang bapa dia seorang bapa yang bertanggungjawab, kalau suami dia akan berikan hak kepada isteri dengan sebaik-baiknya, kalau dia isteri dia akan menjaga suami dan anaknya.

Adakah kuasa yang menjadi penyebab atau faktor yang tersirat di sebalik yang tersurat menjadi punca keengganan menjayakan kerajaan perpaduan ini?

HARUSSANI: Jika kuasa menjadi matlamat sampai bila-bila pun perpaduan umat Islam tidak akan dapat dicapai dan pelaksanaan kerajaan perpaduan tidak mampu dilakukan. Sepatutnya, kuasa politik yang kita ada itu digunakan untuk mencapai perpaduan, keadilan dan persaudaraan.

Sebab itulah orang Arab tidak boleh menang melawan Israel. Begitu juga apabila setiap negara mengatakan ia lebih kuat daripada yang lain. Contohnya, Libya dan Mesir, sudah beberapa kali mereka berpecah akibat perbezaan politik. Ia berlaku kerana masing-masing merasakan mereka lebih berkuasa, ini masalahnya.

Kalau kuasa itu menjadi matlamat, maka kita tidak akan berjaya tetapi kalau matlamat kita adalah untuk melahirkan kedamaian, persaudaraan dan keadilan itu maka ia akan berjaya.

Dalam soal ini, kedua-dua parti terlibat, UMNO pun kalau mereka melihat kepada kuasa sahaja, ia tak kan ke mana, saya bukan nak kata kepada Pas sahaja.

Kalau persengketaan ini berterusan apa yang berlaku kepada orang Islam?

HARUSSANI: Jika ini dibiarkan berterusan, orang Islam akan hancur. Bila berpecah, kita akan jadi lemah dan hilang wibawa termasuk kuasa politik. Jika ini berlaku, hancurlah kita, ini yang saya lihat.

Ada bertanya kenapa saya berani bercakap, Saya hanya bercakap yang hak (benar), apa hendak jadi, jadilah. Politik tidak lagi dilihat sebagai alat tetapi bagi mendapatkan matlamat iaitu kuasa, kalau itu tujuannya habislah orang Melayu dan Islam.

Apa yang paling merisaukan ialah keyakinan orang kepada individu bertaraf ulama, akibatnya apa sahaja dia cakap orang akan percaya, biarpun ia boleh memberi kesan yang buruk kepada perpaduan umat Islam, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Rasulullah pernah mengingatkan takutlah kamu kepada penyelewengan ulama kerana dia mempunyai pengaruh. Tetapi kita sama-sama Islam dan berilmu kita boleh timbang sendiri, jangan kita taksub tak tentu fasal, lepas itu kita gelar orang macam-macam, dari segi syarak itu haram.

Firman Allah: Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum mencela kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicela itu lebih baik daripada yang mencela dan janganlah para wanita mencela wanita yang lain, boleh jadi wanita-wanita itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mencela dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk-buruk… (al-Hurujat: 11).

Tetapi apa yang kita lihat ada panggil orang komunis, ayah pin, ini apa? Tambahan pula yang dengar itu pula orang tak tahu. Contohnya seorang doktor bila dia bagi ubat orang percaya, tok bomoh cerita fasal penyakit barah orang terus percaya sebab dia tok bomoh. Pada hal dia pun tak tahu apa-apa.

Islam menerima perbezaan pendapat. Malah al-Quran dalam surah an-Nisa' ayat 59 menjelaskan bagaimana menghadapi perbezaan pendapat. Soalnya, mengapa terdapat parti-parti politik yang terlibat tidak mahu mentaatinya?

HARUSSANI: Dalam ayat itu Allah berfirman yang maksud-Nya, Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan ulil amri, kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.

Sepatutnya, sebagai saudara seagama, kita patuh kepada arahan Allah. Kita juga wajib patuh kepada pemerintah selagi mana tidak diarahkan membuat maksiat. Kalau tidak taat, maka kita durhaka. Sekali pun jika pemimpin itu zalim.

Rasulullah SAW bersabda: Bantulah saudaramu baik yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Baginda ditanya, Kalau yang dizalim kami boleh menolong tetapi bagaimana dengan yang menzalimi wahai Rasulullah? Baginda menjawab, kamu pegang kedua tangannya atau kamu cegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara kita menolongnya.

Sepatutnya hubungan sesama Muslim itu penuh dengan kasih sayang bukannya menyemai sikap benci membenci atau keras. Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka (Muslim)…(al-Fath; 29)

Rasulullah SAW bersabda, "Seorang Muslim itu adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh… janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah saling bermusuhan dan janganlah kamu saling menipu… jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."

Kesimpulannya, bagaimana kita hendak selesaikan kemelut ini?

HARUSSANI: Kalau ulama perlu ambil peranan untuk selesaikannya, kita harus kembali ke pangkal jalan. Asas utama yang perlu adalah perpaduan, silaturahim dan hormat-menghormati. Perseteruan, pecah belah dan persengketaan adalah ajaran syaitan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan di antara kamu… (al-Maidah: 9).
Gelagat pembangkang

oleh Zulkiflee Bakar


KEPUTUSAN pakatan pembangkang menolak idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jelas membuktikan bahawa mereka tidak akan menerima apa sahaja cadangan yang boleh dilihat mampu memberikan keuntungan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Walaupun idea itu dilahirkan oleh Abdul Hadi yang merupakan salah seorang Presiden kepada parti yang bergabung dalam pakatan berkenaan, namun ia tetap ditolak.

Tindakan pembangkang itu menunjukkan mereka terlalu yakin dengan kemampuan yang ada, justeru mereka berpendapat hanya mereka yang terbaik dan tidak perlu mewujudkan sebarang kerjasama dengan BN.

Isu kerajaan perpaduan dan sikap pembangkang itu hakikatnya, adalah lanjutan daripada tingkah laku mereka yang semakin memualkan dan ingin berpolitik sepanjang masa.

Sememangnya, senario politik negara jauh berbeza selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, kedudukan pembangkang yang semakin kukuh dan kehilangan majoriti dua pertiga BN serta terlepasnya 30 kerusi UMNO di Parlimen telah memungkinkan rakyat melihat suasana yang agak membimbangkan.

Kejayaan pembangkang di Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan serta menguasai majoriti kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan telah mengakibatkan pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR, DAP dan Pas berasa begitu yakin bahawa mereka semakin diterima rakyat.

Tanpa mahu mengkaji dengan lebih mendalam kenapa BN mengalami kekalahan, pembangkang menganggap impian mereka untuk memerintah negara ini semakin hampir dan meletakkan sasaran Pilihan Raya Umum Ke-13 sebagai kemuncaknya.

Cita-cita dan impian mereka hanya satu iaitu menubuhkan kerajaan persekutuan, biarpun antara mereka acap kali berlaku pertentangan dari segi ideologi dan tindakan.

Sebenarnya tidak salah untuk pembangkang berbuat demikian tetapi mereka seharusnya bertindak profesional dan bukannya semakin menunjukkan belang politik mereka sehinggakan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan BN dianggap tidak betul.

Kekuatan yang dimiliki tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Mereka tidak menjadi kelompok pembangkang yang objektif, sebaliknya rakyat terus dihidangkan dengan sandiwara politiking pembangkang yang tiada kesudahannya. Walaupun pucuk pimpinan negara sudah berubah tetapi pembangkang tetap pembangkang.

Mereka berusaha meraih sokongan rakyat dengan menggambarkan seolah-olah apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan adalah salah.

Senario

Bagi pembangkang, mereka sahaja yang sempurna, pakatan mereka sahaja yang hebat, mereka sahaja terdiri daripada pemimpin berwibawa dan tindakan mereka sahaja yang betul.

Sikap pembangkang ini dapat dikupas melalui beberapa senario yang berlaku sejak selepas pilihan raya umum lalu. Penulis mencatatkan senario tersebut sebagai panduan kepada semua pihak untuk menilai bahawa inilah sikap pembangkang yang sebenar.

Senarionya adalah seperti berikut;

l Apabila keputusan mahkamah menyebelahi mereka, ia akan dianggap melambangkan ketelusan badan kehakiman tetapi apabila keputusan sebaliknya, mahkamah akan dituduh berat sebelah dan berlaku campur tangan kerajaan.

l Apabila mereka merancang menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang pada 16 September lalu dengan cara hendak membeli 31 anggota BN, mereka anggap ia demokrasi. Tetapi apabila BN menubuhkan kerajaan di Perak setelah ada wakil rakyat pembangkang menjadi calon Bebas mereka kata ia pencabulan demokrasi dan terpekik terlolong mahukan DUN dibubarkan.

l Apabila ada pemimpin mereka didakwa di mahkamah, mereka anggap itu fitnah, tetapi apabila mereka menuduh pemimpin BN dengan niat memburukkan beliau, mereka kata ia demi keadilan.

l Apabila UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC, mereka anggap ia perbuatan salah tetapi apabila mereka bekerjasama dengan DAP, mereka kata parti mereka untuk semua.

l Apabila ada pemimpin UMNO atau BN didakwa terlibat dengan kegiatan tidak moral, mereka desak letak jawatan tetapi apabila ada pemimpin mereka terlibat biarpun ada bukti, mereka kata ia konspirasi dan itu soal peribadi.

l Apabila media arus perdana menyiarkan sesuatu berita, mereka anggap itu permainan jahat media milik kerajaan tetapi apabila media mereka menyebarkan fitnah dan tohmahan mereka anggap itu kebebasan media.

l Apabila kerajaan menghantar anggota polis yang ramai ke kawasan pilihan raya mereka akan kata, itu usaha untuk menakutkan pengundi tetapi apabila mereka menang, mereka kata pasukan keselamatan telah menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

l Apabila mereka menang pilihan raya, mereka akan kata rakyat semakin menolak BN tetapi apabila mereka kalah, mereka akan tuduh BN guna pengundi hantu dan SPR tidak telus.

l Apabila ada pihak terlalu ekstrem membuat tuntutan untuk kaum tertentu mereka anggap itu kebebasan bersuara tetapi apabila ada orang Melayu yang menyokong kerajaan menyeru hak Melayu dipertahankan mereka kata itu perkauman.

l Apabila mereka kemukakan idea sampai satu dunia pun tahu, mereka kata ia demi kepentingan rakyat dan negara tetapi apabila idea itu ditolak oleh rakan pembangkang sendiri mereka kata ia idea jahat UMNO dan tohmahan untuk melemahkan pembangkang.

l Apabila polis melarang daripada mengadakan demonstrasi haram demi menjaga ketenteraman awam, mereka tuduh ia menyekat hak asasi manusia tetapi apabila mereka lakukan juga dan polis bertindak mengikut lunas undang-undang mereka kata, polis kejam.

l Apabila UMNO hendak berbincang sesuatu isu dengan MCA atau MIC, mereka akan dakwa UMNO takut kepada kedua-dua parti itu tetapi apabila mereka hendak berbincang sesama sendiri, mereka kata ia melambangkan kesepakatan.

l Apabila UMNO berikrar terus perjuangkan hak orang Melayu berdasarkan Perlembagaan, mereka anggap UMNO perkauman tetapi apabila mereka beria-ia menuntut untuk kaum tertentu, mereka kata itu demi kesamarataan sebagai rakyat Malaysia.

l Apabila ada rakan dalam pembangkang menuduh BN macam-macam, mereka kata, itu bagus tetapi apabila kenyataan mereka disanggah oleh rakan sendiri mereka akan kata media putar belit fakta dan cuba melaga-lagakan pembangkang.

Mungkin melalui tindakan tanduk sedemikian, mereka yakin rakyat akan mempercayai apa yang mereka kata tetapi hakikatnya, mereka hanya mampu memperdayakan 'yang di bawah' tetapi 'yang di atas' mengetahui segala-galanya.

Suatu hari kelak pasti kebenaran akan terhasil juga kerana rakyat semakin bijak menilai, siapa sebenarnya hanya tahu berpolitik dan siapa pula bersedia berkhidmat untuk kesejahteraan mereka.

Bagaimanapun sehingga menanti pilihan raya umum akan datang, tindak tanduk pembangkang ini akan berterusan. Mereka akan mencari apa juga jalan memburukkan kerajaan BN.

Dalam soal ini terserahlah kepada rakyat untuk menilainya tetapi apa yang pasti sejarah politik negara telah membuktikan bahawa apabila rakyat berasa muak, maka mereka tahu apa yang harus dilakukan.