Oleh Norhashimah Mohd Radzali


SAKSI KE-52: Aswami ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Penggunaan teknologi terkini tidak mampu kenal pasti gambar CCTV

SHAH ALAM: Imej pemandu jip milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di plaza tol Kota Damansara dekat sini, tidak jelas, walaupun menggunakan teknologi perisian komputer yang terkini, Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu.

Juruanalisis Kanan Digital Forensik di Cyber Security Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai NISER), Mohd Zabri Aidil Talib, 28, berkata imej pemandu jip tidak jelas, walaupun selepas membesarkan beberapa keping gambar yang diambil daripada rakaman itu melalui 'teknik memfokus'.


Menjawab soalan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin sama ada terdapat perisian atau teknologi lebih canggih boleh digunakan bagi memperoleh gambar lebih jelas, Mohd Zabri berkata, perisian video forensik iaitu �Videofocus� yang digunakannya sekarang adalah paling terkini berbanding dengan peralatan forensik digital lain.

Terdahulu, peguam Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, mempertikaikan kemampuan dan kepakaran Mohd Zabri dengan mempersoalkan kapasitinya untuk memberi keterangan di mahkamah sebagai seorang pakar.

Mohd Zabri, yang juga saksi ke-49 pendakwaan mengakui Cyber Security juga tidak pernah menerima akreditasi daripada mana-mana pihak dan beliau turut bersetuju disebabkan perkara itu, tahap ketepatan dan kepakaran agensi itu boleh dipertikaikan.


Katanya, Cyber Security Malaysia adalah sebuah agensi kerajaan di bawah naungan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Beliau juga bukanlah kakitangan kerajaan kerana agensi itu adalah sebuah syarikat swasta yang mendapat pembiayaan kerajaan.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Mohd Zabri berkata sebelum ini keterangannya diterima di mahkamah untuk dua kes lain yang membabitkan rakaman CCTV dan kad kredit.

Katanya, tandatangan pengesahan yang dibuat oleh dua pegawai atasannya di dalam laporan analisis hanyalah prosedur syarikat dan tanpa tandatangan itu, ia tidak bermakna analisis yang dibuatnya boleh dipertikaikan.

Sementara itu, disoal balas peguam Sirul Azhar, Ahmad Zaidi Zainal, Mohd Zabri berkata, tiada sebarang perubahan (tampering) dibuat pada pita rakaman CCTV yang diambil di plaza tol itu.

"Daripada analisis dilakukan terhadap salinan pita rakaman CCTV itu, saya mendapati tiada sebarang perubahan atau suntingan yang dibuat dan imej yang dipamerkan juga adalah konsisten," katanya.

Menjawab soalan Tun Abdul Majid, Mohd Zabri berkata, tiada perubahan dibuat kerana jika suntingan dilakukan, beliau boleh mengenal pasti melalui pergerakan imej yang tidak konsisten dan tidak lancar pada pita berkenaan.

"Selain itu, masa pada rekod transaksi penggunaan kad Touch n' Go milik Sirul Azhar yang direkodkan pada setiap gambar yang diambil daripada rakaman CCTV adalah konsisten," katanya.

Mohd Zabri berkata, walaupun analisis itu hanya dibuat menerusi salinan pita rakaman dan bukannya pita asal, ia adalah tepat kerana tiada perubahan dikesan pada kedua-dua pita berkenaan.

Sementara itu, saksi ke-52, Ketua Jabatan Digital Forensik di Cyberjaya Security Malaysia, Aswami Fadillah Mohd Ariffin, 36, berkata beliau menerima 11 telefon bimbit, dua kad SIM dan dua laptop daripada polis berhubung kes berkenaan.

Beliau hanya mengenal pasti kandungan data yang terdapat dalam kad SIM itu dan bukannya melakukan sebarang analisis.

Aswami berkata, beliau melakukan 'screen shot' pada satu telefon bimbit jenis Nokia 6710 yang 'dipotong' bagi tujuan pemetaan data yang dipadankan dengan log panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada syarikat Telco.

Disoal Tun Abdul Majid, Aswami berkata, pemetaan data bermaksud kandungan SMS yang diambil daripada telefon bimbit akan dibandingkan dengan log daripada Telco, untuk menentukan sama ada tarikh dan masa yang terkandung dalam telefon bimbit selaras dengan log berkenaan.

Katanya, pemetaan data yang dilakukannya itu bagaimanapun tidak 100 peratus tepat.

Aswami akan menyambung keterangannya hari ini.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Oleh Veena Rusli




Pembangkang mahu perangkap Yang di-Pertuan Agong ke kancah politik mereka: PM

PENAMPANG: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan parti pembangkang mendalangi perhimpunan dan perarakan haram dari Dataran Merdeka ke Istana Negara, di ibu negara kelmarin sebagai cubaan mengheret institusi beraja ke dalam kancah politik.

Perdana Menteri berkata, tindakan mereka menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia itu kepada Istana Negara, jelas satu cubaan memerangkap Yang di-Pertuan Agong untuk terbabit dalam agenda politik mereka.


Abdullah yang kesal dengan tindakan pihak terbabit dalam perhimpunan dan perarakan haram itu bagaimanapun yakin Yang di-Pertuan Agong lebih matang dan dapat memahami keadaan sebenarnya serta tidak akan terperangkap dengan politik pembangkang.

Diminta mengulas sama ada tindakan parti pembangkang mencemar kedaulatan institusi beraja dengan mengheretnya ke kancah politik, Abdullah berkata: "Tentu sekali... apabila bertindak begitu, mereka cuba mengheret atau memerangkap Yang di-Pertuan Agong dengan politik mereka".

Perdana Menteri berkata, perhimpunan dan perarakan haram itu juga sebenarnya gimik politik yang cuba dimainkan oleh parti pembangkang di dalam kerancakan pelbagai pihak meramalkan tarikh pilihan raya umum akan datang.


"Penganjuran demonstrasi seperti itu juga wajar dilihat sebagai tidak lebih daripada usaha pembangkang kononnya untuk menjuarai perjuangan masing-masing dalam meraih sokongan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-22 di sini, semalam.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Perhimpunan anjuran parti pembangkang bersama 26 badan bukan kerajaan (NGO) petang kelmarin itu, bermula di Dataran Merdeka dan berakhir di luar Istana Negara dengan penyerahan memorandum yang didakwa mengandungi beberapa tuntutan berhubung proses pilihan raya di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata, polis menganggarkan 4,000 orang menyertai perhimpunan haram itu di sekitar Dataran Merdeka hingga ke Masjid Jamek tetapi mereka berjaya disuraikan menggunakan gas pemedih mata serta penyembur air.

Polis terpaksa menahan 245 orang yang menyertai perhimpunan dan perarakan haram itu selepas enggan mematuhi arahan supaya bersurai tetapi semuanya dibebaskan semula selepas keterangan mereka diambil.

Abdullah berpuas hati dengan kecekapan anggota polis mengawal perhimpunan haram itu, yang menurutnya satu tindakan tidak bermanfaat dan hanya menimbulkan bebanan kepada pelbagai pihak serta menyusahkan rakyat.

"Apabila polis mengawal keadaan, akan berlaku sekatan jalan raya dan pemeriksaan yang dengan sendirinya menyusahkan rakyat. Itu sebab saya kata perhimpunan haram seperti ini bukan menyenangkan tetapi menyusahkan dan ramai orang marah," katanya.

Abdullah berkata, sebenarnya tiada siapa selain pembangkang yang suka perkara seperti itu berlaku kerana ia menyusahkan selain menjadi bebanan kepada polis kerana perlu mengawal keadaan kerana ia tanggungjawab mereka.

Oleh Veena Rusli


ERAT PERPADUAN: Abdullah bersama V Jothi (tiga dari kiri), Musa (tiga dari kanan) dan pemimpin parti komponen BN memotong kek ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC Sabah di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Iltizam, kesepakatan pemimpin persediaan penting hadapi pilihan raya

PENAMPANG: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan keyakinannya terhadap sokongan dan iltizam parti komponen di Sabah dalam memikul perjuangan Barisan Nasional (BN) secara berterusan. khususnya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri selaku Pengerusi BN berkata, kekuatan BN di Sabah mesti ditunjangi sokongan majoriti rakyat pada pilihan raya umum supaya wujud kesinambungan dari segi hubungan erat sedia ada dengan Kerajaan Pusat.

"Kita mahu BN mendapat undi majoriti pada pilihan raya umum kelak sebagai pengesahan terhadap penerimaan rakyat. Kekuatan BN mesti dapat dilihat, dirasai dan diakui rakyat Sabah. Saya yakin ia mampu dihasilkan jika kita sepakat dan bersefahaman,� katanya.


Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-22 di Dewan Hongkod Koisaan di sini, semalam. Hadir sama di majlis bertemakan 'Patriotisme Asas Perpaduan' itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan serta barisan pimpinan PBS.

Abdullah berkata, BN akan terus memiliki kekuatan jika parti komponennya teguh menjana kekuatan dan bijak menangani halangan.

"Di kalangan parti komponen, kita lebih banyak persamaan berbanding perbezaan dan kelebihan itu membolehkan semua pihak berdiri di landasan sama. Kita ada banyak kelebihan yang tidak membawa kepada pergaduhan atau pergeseran, jadi kalau kita jaga apa yang sama-sama milik kita, ia memberi kita kekuatan.


"Saya kenal pemimpin parti komponen BN dan semuanya menyedari hakikat masa depan adalah milik kita bersama dan kita yang menentukan hala tujunya," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya menjauhi perbalahan yang membawa kepada kelemahan dan boleh menyebabkan BN kehilangan kuasa, sekali gus tidak lagi berfungsi melaksanakan kejayaan demi kepentingan rakyat.

Mengakui kepentingan setiap pihak menyuarakan kepentingan masing-masing, Abdullah berkata, pertimbangan perlu juga diberi terhadap rakan lain kerana BN bukan terbentuk atas konsep bersendirian.

"Kita ada Umno, PBS dan parti lain yang memberi kekuatan kepada BN di Sabah, maka kepentingan semua pihak mesti diambil kira. Kerajaan Sabah mesti berusaha bersungguh-sungguh dan gandingan antara Kerajaan Pusat bersama negeri mesti diwujudkan.

"Saya tiada masalah dengan kerajaan BN Sabah sekarang. Saya telah, sedang dan akan terus bekerjasama terutama dalam hal berkaitan pembangunan," katanya yang gembira dengan perkembangan semasa Koridor Pembangunan Sabah yang dijadual dilancarkan akhir tahun ini.

"Tadi Ketua Menteri beritahu mesyuarat akhir mengenainya akan diadakan pada 16 November ini di Kuala Lumpur, jadi saya ucapkan terima kasih kerana Ketua Menteri mengotakan janji untuk pastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan cepat.

"Idea mesti diterjemahkan dalam bentuk rancangan dan kita kena pastikan apa perlu dibuat supaya ia berjaya. Rancangan untuk memajukan Sabah bukan mimpi, sebaliknya akan diterjemahkan dengan baik dan Koridor Pembangunan Sabah adalah antara usaha ke arah itu," katanya.

OlehSaufi Hamzah


SEMANGAT MUHIBAH: Najib dan Datin Seri R Indrani menyalakan pelita pada majlis rumah terbuka Deepavali peringkat kebangsaan 2007 di Kuala Lumpur, semalam.

Atasi masalah kaum, agama, budaya di meja rundingan secara muafakat: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu semua pemimpin kaum di negara ini memikul tanggungjawab bagi memastikan tiada pihak sengaja cuba memperbesar-besarkan atau mengapi-apikan isu perkauman.

Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap pemimpin perlu peka bahawa isu perkauman harus ditangani dengan baik kerana perpaduan adalah asas utama, bukan saja untuk membangunkan negara, malah untuk membentuk masyarakat progresif.

"Jangan main api perkauman, sekali menyala sukar dipadamkan. Api ketika kecil adalah kawan tetapi apabila menjadi besar, ia akan membawa padah serta kebinasaan yang tidak menguntungkan sesiapa, malah merugikan semua.


"Setiap kaum mempunyai sensitiviti. Seperti disarankan Perdana Menteri, isu berkaitan kaum, agama dan kebudayaan perlu diselesaikan di meja rundingan secara muafakat," katanya berucap merasmikan majlis rumah terbuka Deepavali peringkat kebangsaan 2007 di sini, semalam.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa timbalan menteri serta setiausaha Parlimen pelbagai kementerian.


Najib berkata, setiap pemimpin dan rakyat perlu peka bahawa apa saja yang mahu dilakukan bagi membawa pembangunan dan membela masyarakat di negara ini perlu dilaksanakan secara bersama serta berlandaskan perpaduan.

"Dengan perpaduan, tiada yang mustahil untuk dicapai dan Malaysia boleh menjadi sebagai model sebuah negara majmuk kepada seluruh dunia," katanya.

Najib berkata, sungguhpun Islam adalah agama rasmi negara ini, Perlembagaan memberi kebebasan kepada penganut agama lain untuk melakukan amalan mengikut kepercayaan serta budaya masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mempertahankan perpaduan yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu kerana muafakat dan kerjasama antara kaum itulah resipi terbaik membina kekuatan menghadapi cabaran yang kian melanda.

Sementara itu, katanya, Malaysia tidak memerlukan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan sebagai saluran untuk mana-mana kumpulan menyuarakan pandangan mereka kerana ia bukan budaya rakyatnya.

"Jika perhimpunan semalam (kelmarin) dapat mengumpulkan beribu-ribu orang, kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh menghimpun lebih daripada itu. Apa gunanya demonstrasi berarak ke sana ini kerana ia terdedah kepada sebarang kemungkinan yang boleh meruntuhkan segala yang dibina.

"Untuk meruntuhkan sebuah negara mudah, tapi untuk membinanya susah," tegasnya yang berharap rumah terbuka Deepavali peringkat kebangsaan dikekalkan dan dimantapkan selaras hasrat kerajaan memperkukuhkan perpaduan.

Oleh Amirullah Andi Nur


KESELAMATAN TERANCAM: Pemilik kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman terpaksa menutup premis mereka berikutan perhimpunan haram kelmarin.

Demonstrasi ke Istana Negara dianggap menghina institusi raja

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mengutuk tindakan pembangkang cuba mengheret institusi raja dalam kancah politik melalui penyerahan memorandum kepada Istana Negara dan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, di sini, petang kelmarin.

Sambil menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kenyataan itu, mereka sepakat berkata tindakan itu menunjukkan pembangkang semakin terdesak dan terpaksa berbuat apa saja untuk menarik sokongan rakyat.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata tindakan pembangkang itu salah dan tidak sepatutnya dilakukan kerana Yang di-Pertuan Agong adalah institusi berkecuali dan tidak boleh diperalatkan mana-mana pihak.


"Perbuatan mereka itu melampau dan boleh menjejaskan keamanan negara. Kalau nak berpolitik, biar hanya di kalangan parti politik dan rakyat biasa, jangan nak kaitkan pula dengan institusi raja," katanya.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata perbuatan pembangkang itu perlu dikutuk segenap lapisan rakyat negara ini kerana ia seolah-olah menghina institusi raja.

"Mereka sudah terdesak sebab pilihan raya semakin hampir. Harapan mereka kalau berbuat begitu, masyarakat luar akan membenci kerajaan pimpinan Pak Lah. Mereka sebenarnya silap, rakyat akan membenci mereka kerana mengganggu keamanan negara," katanya.


Oleh Amirullah Andi Nur


KESELAMATAN TERANCAM: Pemilik kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman terpaksa menutup premis mereka berikutan perhimpunan haram kelmarin.

Demonstrasi ke Istana Negara dianggap menghina institusi raja

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mengutuk tindakan pembangkang cuba mengheret institusi raja dalam kancah politik melalui penyerahan memorandum kepada Istana Negara dan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, di sini, petang kelmarin.

Sambil menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kenyataan itu, mereka sepakat berkata tindakan itu menunjukkan pembangkang semakin terdesak dan terpaksa berbuat apa saja untuk menarik sokongan rakyat.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata tindakan pembangkang itu salah dan tidak sepatutnya dilakukan kerana Yang di-Pertuan Agong adalah institusi berkecuali dan tidak boleh diperalatkan mana-mana pihak.


"Perbuatan mereka itu melampau dan boleh menjejaskan keamanan negara. Kalau nak berpolitik, biar hanya di kalangan parti politik dan rakyat biasa, jangan nak kaitkan pula dengan institusi raja," katanya.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata perbuatan pembangkang itu perlu dikutuk segenap lapisan rakyat negara ini kerana ia seolah-olah menghina institusi raja.

"Mereka sudah terdesak sebab pilihan raya semakin hampir. Harapan mereka kalau berbuat begitu, masyarakat luar akan membenci kerajaan pimpinan Pak Lah. Mereka sebenarnya silap, rakyat akan membenci mereka kerana mengganggu keamanan negara," katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata, tindakan pembangkang menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia kepada Istana Negara, selain mengadakan perhimpunan haram sebagai cubaan mengheret institusi Raja terutama Yang di-Pertuan Agong ke kancah politik.

Beliau menyatakan kecamannya itu selepas merasmikan Kongres ke-22 Parti Bersatu Sabah (PBS) di Penampang semalam. Bagaimanapun beliau percaya Yang di-Pertuan Agong tidak terperangkap dengan taktik politik pembangkang itu.

Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab pembangkang itu seolah-olah mencabar Perlembagaan negara dan perlu dielak daripada berulang agar tidak menjejaskan kestabilan.

�"Kita ada banyak saluran untuk menyalurkan pandangan dan atau cadangan. Janganlah kerana tidak berpuas hati, kita sanggup mengheret institusi raja sampai ke tahap ini. Demonstrasi seperti itu juga membebankan rakyat dan negara," katanya.

Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam menyifatkan tindakan itu sebagai helah jahat dan tidak bertanggungjawab pembangkang semata-mata untuk menarik sokongan rakyat selepas mendapati kerajaan sedia ada bertambah kukuh di bawah kepemimpinan Pak Lah.

"Kalau nak memerintah negara, bertanding pilihan raya kerana ini negara demokrasi. Janganlah berbuat seperti ini pada institusi raja kerana ia perlu dihormati seperti termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas, berkata semua pihak perlu mengambil iktibar daripada keruntuhan beberapa negara dunia akibat tidak ada sifat menghormati pemimpin utama negara.

"Kita jangan lupa, banyak negara jatuh atau hancur kerana perbuatan seperti ini. Jadi apabila Pak Lah bagi komen seperti ini, ia adalah sesuatu yang penting dan perlu didengar kerana kita tahu, rakyat tidak gemar budaya yang bukan-bukan," katanya.

Setiausaha Organisasi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Peter Chin Fah Kui, berkata adalah wajar pembangkang membawa isu yang mereka ingin ke pilihan raya akan datang.

"Kita setuju tindakan pembangkang itu seolah-olah ingin mendapatkan simpati daripada Yang di-Pertuan Agong dalam perkara yang berbau politik. Sewajarnya mereka kena gunakan pilihan raya, biar rakyat tentukan," katanya.

Veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani pula, berkata apa yang dilakukan oleh pembangkang itu menunjukkan mereka semakin terdesak disamping mencemarkan nama baik Malaysia di luar negara.

"Beginilah kalau orang yang sudah terdesak, tak ada isu cuba mereka-reka isu sehingga sanggup berbuat apa saja tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan negara ini. Kita harap perkara dapat ditangani," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Kajian Strategi Melayu, Datuk Dr Mohd Radzi Abd Latiff, berkata tindakan pembangkang itu bertujuan menipu rakyat, selain memalukan negara ini kepada masyarakat antarabangsa.

"Kalau hendak menggerakkan politik, mereka kena berterus terang. Jangan tipu rakyat dan cuba memperalatkan Yang di-Pertuan Agong. Malah, tindakan ini juga memalukan kita terutama pelancong yang sering kali dimaklumkan mengenai keharmonian negara ini," katanya.

Oleh Azrina Ahzan


BERI BANTUAN: Pramugari Boeing 747-400 membantu jemaah haji ketika menaiki pesawat sebelum berlepas dari KLIA, semalam.

SEPANG: Kumpulan pertama 380 jemaah haji Malaysia, berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam dengan pesawat Boeing 747-400 milik Penerbangan Malaysia (MAS).

Tahun ini, MAS menyediakan 108 penerbangan pergi dan balik untuk kira-kira 16,000 jemaah haji dari beberapa bandar raya di negara ini ke Makkah atau Madinah. MAS turut menambah jumlah penerbangan terus pergi balik dari Johor ke Madinah.

Selain KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, beberapa kumpulan jemaah dijadual berangkat ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.


Ketua Jabatan Haji dan Sewa Khas MAS, Kapten Nik Huzlan Nik Hussain, berkata pada musim haji ini, pihaknya mencetak panduan solat (jamak dan qasar) bersaiz poket untuk diedarkan kepada jemaah di dalam pesawat bagi kemudahan mereka.

"Tahun lalu, kita mencetak panduan ini dalam ukuran A4 hingga menyukarkan jemaah haji menyimpannya, jadi tahun ini kita mengambil keputusan mencetaknya dalam ukuran yang lebih kecil untuk keselesaan jemaah.

"Selain itu, kami turut memperbaharui rekaan pakaian pramugari bertugas dalam penerbangan haji bagi memenuhi kehendak jemaah berikutan maklum balas yang diterima tahun lalu,� katanya ketika ditemui selepas majlis menghantar kumpulan pertama jemaah haji musim ini di KLIA, semalam.


MAS juga menerima sumbangan pelbagai barangan seperti beg plastik, air mineral dan makanan ringan bernilai kira-kira RM80,000 daripada individu dan korporat untuk diedarkan kepada jemaah haji apabila tiba di Jeddah dan Madinah.

Sementara itu, seorang jemaah, Ramlah Abdul Rahman, 79, ketika ditemui erharap dapat menunaikan ibadat haji dengan sebaik mungkin walaupun mengalami sakit lutut hingga menyebabkan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk menaiki pesawat.

"Ini kali pertama saya ke Tanah Suci untuk menunaikan haji. Nasib baik ada anak dan menantu sanggup menemani saya dan saya berdoa supaya dapat menunaikan ibadat ini dengan baik dan dianugerahkan haji yang mabrur," katanya.

Amirul Shafiq Rodin, 15, pula hasrat mengerjakan haji pernah disuarakan kepada kedua ibu bapanya ketika beliau berusia enam tahun.

"Sejak kecil lagi, memang saya ingin pergi menunaikan haji lebih-lebih lagi bila melihat ibu bapa ke Tanah Suci buat pertama kalinya ketika saya berusia enam tahun. Alhamdulillah, impian saya dimakbulkan Allah tahun ini dan saya berharap akan mendapat haji mabrur," katanya.

Ibu Amirul, Tumisah Chekan, 55, pula bersyukur kerana dapat menunaikan hasrat anaknya yang belajar di tingkatan tiga Sekolah Menengah Unwanus Saadah, Kancong Darat, Banting, Selangor.

Tahun ini seramai 26,000 jemaah haji Malaysia dijadual berangkat ke Tanah Suci dan penerbangan terakhir untuk mereka ke sana dijangka berlepas ke pada 13 Disember ini.

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Angkasawan negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed akur dengan saranan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis supaya tidak mendirikan rumah tangga sehingga misi penghantaran angkasawan kedua negara selesai pada 2011.

Beliau berkata, soal kahwin bukan satu masalah besar baginya kerana menyedari keutamaan sekarang ialah memberi tumpuan sepenuhnya kepada misi program tersebut.

‘‘Misi yang akan datang ini lebih mencabar dari segi latihan dan eksperimen yang bakal saya kendalikan.

‘‘Saya sudah bersedia untuk memberikan fokus kepada misi utama program tersebut iaitu melaksanakan tugas untuk negara,’’ katanya ketika dihubungi di Moscow hari ini.

Beliau juga tidak menganggap saranan itu sebagai satu paksaan memandangkan ia demi memastikan kesempurnaan misi program nasional tersebut kelak.

‘‘Saya sedar bukan itu sahaja, malah banyak lagi pengorbanan yang perlu dilakukan dan saya memahaminya,’’ katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya adakah sudah mempunyai teman istimewa mahupun rancangannya untuk berumah tangga.

Semalam, Jamaluddin memintanya mempertimbangkan saranan itu semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Menurut menteri itu, ia bertujuan memastikan Faiz sentiasa dapat memberikan sepenuh fokus kepada setiap sesi latihan yang akan diikutinya.

Setuju nasihat Jamaludin bagi jayakan misi kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed bersedia melanjutkan zaman bujangnya sehingga misi kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dijangka penghujung 2010 atau awal 2011 selesai.

Dr Faiz yang dihubungi Berita Harian semalam, berkata beliau bersedia untuk tidak berkahwin dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang bagi memastikan hasrat negara untuk menghantar misi angkasawan kedua dapat dijayakan.

"Pada pendapat saya, kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis semalam (kelmarin) adalah satu nasihat demi kebaikan saya sendiri jika negara memutuskan untuk menghantar saya menjalankan misi angkasa lepas seterusnya.


"Saya percaya, apa juga tindakan atau syarat dikenakan kerajaan hanya untuk memastikan kejayaan dicapai dalam memajukan lagi industri sains dan teknologi negara setaraf dengan negara maju lain," katanya ketika dihubungi di Russia, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Jamaludin kelmarin yang tidak menggalakkannya berkahwin untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang sehingga selesai misi kedua ke ISS yang dijangka penghujung 2010 atau awal 2011.

Jamaludin berkata, langkah itu bagi memastikan Dr Faiz dapat memberi fokus atau perhatian sepenuhnya latihan keras yang bakal d

Minggu lalu, angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, mengumumkan hasratnya untuk mengakhiri zaman bujangnya pada 2009 iaitu setahun lebih awal daripada termaktub dalam kontraknya.

Dr Faiz yang berusia 27 tahun juga menandatangani kontrak itu dan jika terpilih untuk melaksanakan misi seterusnya dijangka pada 2010 atau 2011, beliau akan menandatangani kontrak lanjutan.

Ketika ditanya adakah beliau sudah mempunyai teman wanita istimewa, beliau enggan mengulas mengenainya.

Oleh KAMARULZAIDI KAMIS dan DALIZA ARIFFIN

BANGI 11 Nov. – Kerajaan wajar menimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai alternatif menggantikan minyak bagi menjana elektrik menjelang 2020, kata Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (ANM), Datuk Dr. Daud Mohamad.

Beliau berkata, jika negara terus bergantung kepada minyak bagi menjana elektrik sedangkan harga komoditi itu terus meningkat, kerajaan pasti tidak ada pilihan melainkan terpaksa menaikkan kadar tarif elektrik dalam jangka panjang.

‘‘Penggunaan minyak akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kenaikan kadar tarif elektrik yang tinggi selain meningkatkan kos operasi sektor perkilangan dan pembuatan,’’ katanya dalam satu temu bual dengan Utusan Malaysia di pejabatnya di sini.

Katanya, walaupun terdapat beberapa sumber tenaga alternatif seperti biodiesel, biogas, tenaga solar, tenaga angin, bioalkohol, arang batu dan hidro tetapi tenaga nuklear dilihat alternatif terbaik bagi negara kerana ia lebih murah dan mesra alam.

Daud berkata, pada masa ini lebih 80 peratus tenaga elektrik negara dijana menggunakan gas dan selebihnya menggunakan arang batu, minyak dan hidro.

‘‘Pada masa ini harga minyak mentah melepasi AS$90 setong dan trend menunjukkan harga komoditi itu akan terus naik melepasi AS$100 setong tidak lama lagi.

‘‘Tidak ada tanda-tanda harga minyak akan turun kembali di bawah paras AS$70 setong,’’ katanya.

Sehubungan itu, katanya, teknologi nuklear dilihat sebagai salah satu sumber tenaga alternatif yang boleh diteroka bagi mengelakkan negara terlalu bergantung kepada minyak dan gas.

‘‘Adalah tidak bijak membakar semua hasil minyak dan gas yang kita miliki untuk tujuan menjana tenaga elektrik, sedangkan komoditi itu boleh digunakan bagi menghasilkan produk nilai tambah yang boleh memberi keuntungan yang lebih besar kepada negara.

‘‘Malah penggunaan sumber minyak secara intensif akan menyebabkan sumber itu cepat habis dan tidak dapat diwarisi oleh generasi akan datang,’’ katanya.

Daud berkata, penggunaan tenaga nuklear juga lebih menjimatkan dalam jangka masa panjang, selain bahan buangannya boleh diproses semula untuk dijadikan bahan bakar hidrogen bagi kegunaan kenderaan.

Beliau berkata, tempoh pembinaan janakuasa nuklear juga mengambil masa yang singkat iaitu selama lima tahun.

Menurutnya, reka bentuk loji nuklear sekarang boleh bertahan sehingga 70 tahun berbanding hanya 40 tahun menggunakan teknologi lama.

Kata beliau, modal permulaan bagi membangunkan loji tenaga nuklear adalah sama dengan loji yang menggunakan minyak yang mengeluarkan kapasiti sama, namun dalam jangka panjang, penyenggaraan loji nuklear lebih murah dan dapat menjimatkan kos operasi sebanyak 25 peratus.

Beliau berkata, buat permulaan Malaysia perlu membina loji tenaga nuklear dengan kapasiti kira-kira 700 hingga 800 megawat elektrik iaitu kira-kira lima peratus daripada jumlah penggunaan tenaga elektrik dalam negara.

Katanya, bagi membina loji tenaga nuklear dengan kapasiti 700 dan 800 megawat elektrik, kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM1 bilion mengikut kos pada masa ini.

Menurut Daud, jika rakyat Malaysia dapat diberi maklumat yang jelas mengenai kebaikan tenaga nuklear dan sentimen negatif rakyat Malaysia terhadap penggunaan nuklear dapat dikikis, kerajaan tidak ada masalah untuk melaksanakan penggunaan tenaga itu menjelang 2020.

Katanya, Malaysia wajar melangkah ke arah penggunaan tenaga nuklear kerana Indonesia, Vietnam dan Thailand telah melaksanakan polisi untuk menggunakannya menjelang 2016, 2018 dan 2021.

Oleh RAJMAH HASAN

KUALA TERENGGANU 11 Nov. – Kementerian Pelajaran mengeluarkan satu garis panduan berhubung paras siling bayaran tambahan yang akan dikenakan ke atas pelajar pada sesi persekolahan tahun depan berdasarkan tiga pakej yang mengambil kira keadaan sosioekonomi sesebuah sekolah.

Difahamkan pekeliling garis panduan itu sudah dihantar kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) minggu lalu untuk diedarkan ke semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan seterusnya sekolah-sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, garis panduan itu dikeluarkan bagi memastikan jumlah bayaran tambahan ke atas beberapa kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah untuk kegunaan murid sepanjang tahun tidak membebankan ibu bapa khususnya yang berpendapatan rendah.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Terengganu 2007 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini, Alimuddin berkata, bayaran tambahan itu tidak termasuk Yuran Khas sebanyak RM4.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM9.00 bagi setiap murid sekolah menengah.

Katanya, garis panduan Sistem Pakej Bayaran Tambahan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan memansuhkan Yuran Khas bagi semua pelajar sekolah rendah dan menengah pada pembentangan Bajet 2008 di Dewan Rakyat pada 7 September lalu.

Mulai 1 Januari depan, ibu bapa tidak perlu lagi membayar Yuran Khas berkenaan yang dianggarkan membabitkan jumlah kutipan sebanyak RM32 juta setahun.

Alimuddin berkata, enam perkara yang disenaraikan sebagai perkhidmatan dan kemudahan tambahan yang boleh dikenakan bayaran tambahan secara tahunan ialah kokurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah, kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, skim perlindungan diri dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Beliau berkata, perkara-perkara itu dinyatakan hanya sebagai rujukan untuk pihak sekolah membuat penetapan terhadap bayaran tambahan yang akan dikenakan kelak.

Bagaimanapun, katanya, kadar bayaran tambahan sebenar yang akan dikenakan masih bergantung kepada budi bicara pihak sekolah setelah perbincangan diadakan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Sebagai contoh, pihak sekolah dan PIBG boleh menetapkan bayaran tambahan pada kadar lebih rendah daripada bayaran paras siling yang dicadangkan melalui skim itu jika didapati pendapatan ibu bapa agak rendah.

‘‘Sekolah juga boleh mengecualikan bayaran itu ke atas keluarga miskin terutama ibu tunggal dengan memohon kepada Pengarah Pelajaran Negeri,” katanya.

Salinan pekeliling garis panduan yang diperoleh Utusan Malaysia daripada JPN Terengganu menyatakan Sistem Pakej Bayaran Tambahan itu antara lain disediakan bagi memudahkan pengurusan pihak sekolah dan JPN meluluskan serta memantau semua jenis pembayaran.

Pakej pembayaran itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu A, B dan C mengikut jenis dan lokasi sekolah, bilangan murid serta status sosioekonomi masyarakat setempat.

Pakej A membabitkan sekolah yang berada dalam kawasan sosioekonomi tinggi dengan majoriti ibu bapanya kumpulan peniaga besar atau kakitangan awam kumpulan profesional.

Bagi sekolah rendah dalam kategori ini, paras siling bayaran tambahan yang ditetapkan oleh kementerian ialah sebanyak RM38.50, manakala bagi sekolah menengah pula sebanyak RM55.50.

Pakej B iaitu sekolah yang berada dalam kawasan sosioekonomi sederhana dengan majoriti ibu bapa terdiri daripada kumpulan peniaga sederhana atau kakitangan awam kumpulan sokongan pula menetapkan paras siling pada RM30.50 bagi sekolah rendah dan RM44.50 bagi sekolah menengah.

Sekolah yang dikategorikan Pakej C pula ialah yang berada dalam kawasan sosioekonomi rendah dengan majoriti ibu bapa terdiri daripada kumpulan peniaga kecil, bekerja sendiri, pekerja ladang atau kakitangan awam kumpulan sokongan II, sekolah kawasan pedalaman dan sekolah kurang murid (SKM).

Untuk pakej berkenaan, paras siling bayaran yang ditetapkan ialah RM23.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Pihak sekolah diminta memilih salah satu pakej pembayaran tersebut dengan mengambil kira persekitaran sekolah, pandangan guru-guru serta PIBG.

Berdasarkan pekeliling garis panduan tersebut, setiap sekolah perlu menubuhkan Jawatankuasa Khas Penentuan Bayaran Tambahan yang dianggotai oleh wakil guru-guru, ibu bapa dan dipengerusikan oleh pengetua atau guru besar untuk memilih pakej yang sesuai.

Pengetua yang bercadang mengenakan bayaran tambahan perlu mengemukakan permohonan pakej kepada Pendaftar Negeri melalui PPD untuk kelulusan dan mesti dikemukakan tidak lewat daripada 30 September setiap tahun.

KOTA BHARU 11 Nov. – Peluang untuk berdialog dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melalui Program Suhakam Bersama Rakyat Kelantan mendapat sambutan hangat apabila hampir 1,000 orang menyertainya.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Siva Subramaniam berkata, jumlah kehadiran itu di luar dugaan kerana penganjur pada awalnya, hanya menyasarkan sekitar 400 orang.

Walaupun dewan penuh sesak, menurutnya, sesi dialog berjalan penuh tertib dengan pelbagai isu dibangkitkan terutama masalah jenayah yang semakin membimbangkan, selain hak pendidikan dan kebajikan.

‘‘Kita ingatkan soalan berkaitan politik akan jadi tumpuan, tetapi sebaliknya banyak isu lain yang lebih dekat di hati mereka.

‘‘Atas faktor itu, kita berpuas hati hari ini kerana rakyat semakin faham bahawa hak asasi sebenarnya mencakupi konteks yang luas dan bukan sekadar politik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Suhakam Bersama Rakyat Kelantan di sebuah hotel peranginan di sini hari ini.

Selain kehadiran kakitangan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, program mendapat sambutan badan bukan kerajaan serta individu.

Naib Pengerusi Suhakam, Tan Sri Panglima Simon Sipaun menyampaikan ucaptama yang kemudian diikuti sesi dialog bersama peserta. Hadir sama Pesuruhjaya Suhakam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.

Sementara itu, Siva berkata, pihaknya akan meneruskan program yang sama pada masa hadapan di negeri ini dengan kemungkinan menumpukan kepada jajahan-jajahan lain.

Katanya, ini berdasarkan keyakinan Suhakam terhadap sambutan rakyat Kelantan berikutan jumlah kehadiran hari ini, merupakan antara yang tertinggi pernah dicatatkan.

‘‘Pendedahan akan diteruskan agar setiap peringkat masyarakat tanpa mengira latar belakang sedar tentang hak asasi masing-masing,” ujarnya.

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD

SEKIRANYA anda mengunjungi beberapa buah kedai jualan songket di sekitar bandar ini, mungkin jiwa anda berasa tenteram dan tertarik apabila menyaksikan lambakan songket memenuhi ruang legar jualan.

Namun di sebalik keghairahan anda menyaksikan pelbagai songket dengan konsep dan reka bentuk yang menarik, janganlah terkejut jika didapati hampir 80 peratus daripada songket tersebut sebenarnya songket import.

Ia merupakan sebahagian pemandangan biasa mengenai kedudukan pasaran songket di Terengganu sekarang.

Di sebalik kehebatan negeri ini sebagai sebuah negeri pengeluar songket utama negara, sebenarnya di Terengganu sendiri terdapat banyak lambakan songket import dan keluaran negeri jiran di pasaran.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati walaupun sebahagian besar songket di pasaran adalah yang import namun dari segi reka bentuk dan konsep ia seakan-akan sama dengan songket tempatan.

Cuma yang membezakannya adalah daripada segi harga kerana bagi sampin songket tempatan dijual antara RM300 hingga RM1,000 sehelai manakala songket import pula hanya RM100 hingga RM120.

Selain itu, kualiti kain songket import ternyata lebih keras berbanding tempatan yang lebih lembut dan halus.

Beberapa orang pengusaha songket ketika ditemui bimbang sekiranya gejala penjualan songket import dibiarkan berleluasa ia tentunya boleh membunuh industri songket tempatan.

Pengusaha songket, Ngah Mamat,70, berkata, pihaknya khuatir pengusaha songket tempatan mungkin gulung tikar sekiranya pihak berkuasa gagal membendung kebanjiran songket import di pasaran sekarang.

Katanya, jualan songket tempatan mungkin jatuh kerana harga dijual jauh lebih murah berbanding songket tempatan.

‘‘Sebagai contoh harga jualan bagi sampin import hanyalah dalam lingkungan RM100- 130 sehelai berbanding songket tempatan berharga antara RM300 hingga RM400,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Debu, di sini.

Ngah menambah, walaupun daripada segi kualiti songket tempatan ternyata lebih berkualiti tetapi kerana harga dijual murah menjadikan penduduk lebih gemar songket diimport.

Katanya, daripada segi corak dan reka bentuk hampir 98 peratus songket import menyerupai batik tempatan, cuma yang membezakan adalah daripada segi harga.

Ngah yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Kraf Negara 2002 oleh kerajaan berkata, songket yang usahakan dijual dalam lingkungan RM25 hingga RM15,000 sehelai.

Songket yang berharga di bawah RM500 menjadi pilihan pembeli golongan bawahan manakala orang kenamaan yang mengutamakan kualiti tidak mementingkan harga atau tidak berkira walaupun harga jualan mencecah RM15,000 sehelai.

Beliau yang mewarisi industri songket daripada ibunya hampir 50 tahun lalu, berharap kerajaan dapat membantu industri songket tempatan kerana ia menghadapi persaingan hebat daripada songket luar.

Katanya, ancaman songket Terengganu adalah songket keluaran negara India, Pakistan dan Indonesia dan sekiranya kebanjirannya gagal dibendung ia tentunya meruntuhkan industri songket tempatan.

‘‘Songket luar walaupun nampak cantik tetapi daripada segi kualiti dan mutu tidak dapat menandingi songket kita, tetapi kerana harganya murah menjadikan ia laris di pasaran.

‘‘Corak dan motif songket kita sama dengan songket luar... Ini berlaku kerana ada di kalangan orang kita menjual corak dan reka bentuk songket kita ke luar kerana ingin mendapat keuntungan cepat.

‘‘Mereka berbuat demikian mungkin kerana mendapat tahu songket mula mendapat perhatian di negara kita, jadi mereka lantas meniru corak yang sama bagi menerobos pasaran tempatan,” katanya.

Ngah yang mewarisi seni pembuatan songket dari ibu dan neneknya, Mariam Mohd. Amin dan Kalthom Mamat sejak kecil menggesa kerajaan membantu dengan menyekat penjualan songket luar yang berlegar di pasaran sekarang.

‘‘Kerajaan boleh mengenakan cukai yang tinggi terhadap songket luar atau pelbagai kaedah lain yang boleh difikirkan bersama,” tambah Ngah lagi.

Sementara itu pengarah Perbadanan Kraftangan Negeri Terengganu, Kamarulzaman Mera Hussin ketika ditemui berkata, pihaknya memandang berat kes lambakan songket import di pasaran tempatan sekarang.

Katanya, pihak kementerian kebudayaan, warisan dan kesenian bercadang memperkenalkan standard atau label bagi songket keluaran tempatan bagi mempastikan mutu produk yang dihasilkan.

Katanya, perkara ini sedang dilakukan oleh kementerian dalam usahanya memastikan songket tempatan terus mengekalkan mutu dan kualiti sejajar dengan keaslian songket tempatan.

Seiring dengan itu, Kamarulzaman menambah, pelbagai langkah dan usaha telah dan akan dilakukan oleh perbadanan itu bagi memastikan songket tidak terus berkubur.

Selain memperkenalkan beberapa skim latihan, bantuan dan pemasaran perbadanan itu dijangka memperkenalkan sijil atau tanda perniagaan songket keluaran tempatan.

‘‘Kementerian dijangka memperkenalkan sijil jaminan mutu bagi setiap produk songket ke arah memastikan produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan berkualiti.

‘‘Ia sekali gus meningkatkan pengeluaran dan kesedaran masyarakat untuk membeli dan mendapatkan songket tempatan yang ternyata lebih berkualiti berbanding songket import,” katanya.

KUALA LUMPUR: Kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa selain banyak kesalahan fakta, menyebabkan ia perlu dinilai semula.

Beberapa tokoh ilmuwan termasuk ahli Panel Penilai Buku Teks, berkata penilaian semula itu penting bagi memastikan buku teks yang digunakan untuk pembelajaran memenuhi hasrat ke arah pembentukan modal insan yang cemerlang.

Tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata, penelitiannya terhadap buku teks digunakan di sekolah menengah mendapati banyak kesilapan fakta yang mesti diperbetulkan bagi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat.

Selain itu, katanya, gaya penulisan dalam buku teks sejarah sekolah menengah juga boleh dianggap mengecewakan kerana ia gagal menerangkan secara jelas sesuatu peristiwa secara terperinci.

Beliau memberi contoh kesilapan fakta dalam buku teks sejarah Tingkatan Dua yang antara lain menceritakan mengenai peristiwa perjanjian Inggeris-Kedah membabitkan Francis Light dengan Sultan Kedah pada 1786.

Sejarah menunjukkan tiada sebarang persefahaman atau perjanjian ditandatangani berhubung perkara itu kerana ia dibantah Syarikat Hindia Timur Inggeris ketika itu, manakala pendudukan Francis Light di Pulau Pinang dibuat secara paksaan.

Selain itu, fakta yang menyatakan Negeri Selat hanya membabitkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura juga tidak tepat kerana Dinding turut pernah dijadikan Negeri Selat sebelum diserahkan kepada kerajaan Perak pada 1936.

"Penerangan bagi setiap topik sejarah yang diketengahkan juga tidak jelas menyebabkan pelajar hanya mengetahui sesuatu peristiwa secara asas dan menghafal fakta tanpa diperkukuhkan dengan kefahaman menyeluruh rentetan sebenar peristiwa.

"Akibatnya, pelajar kurang minat subjek sejarah dan apabila mereka memasuki institusi pengajian tinggi, pengetahuan mereka sangat cetek malah ada yang gagal mengingati apa yang diajar di sekolah," katanya dalam satu pertemuan kepada Berita Harian, di sini.

Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Dr Hashim Musa, pula berkata buku teks subjek berkenaan yang digunakan sekarang, ditulis pada pertengahan 2000 dan dicetak pada 2002.

Justeru, banyak isu yang dimasukkan sudah kurang atau mungkin tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa terutama jika dinilai dalam konteks usaha menjayakan aspirasi negara membangunkan modal insan cemerlang.

Beliau memberi contoh, perbincangan mengenai isu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memang sangat sesuai ketika itu tetapi ia sudah menjadi satu topik basi kerana negara kini bergerak ke satu tahap baru seperti pengenalan agropolitan dan projek luar bandar.

"Sewajarnya, buku teks sebagai bahan utama penambah nilai di peringkat sekolah menerapkan perkara ini supaya masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja sedar mengenai pelbagai peluang yang ada di kawasan luar bandar," katanya.

Pendapat itu turut disokong Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia tingkatan satu, Profesor Madya Dr Ahmad Mahmood Musanif yang berpendapat Bahagian Buku Teks, unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia perlu sama-sama terbabit menyediakan buku teks.

Katanya, punca utama guru tidak gemar menggunakan buku teks ialah kerana soalan peperiksaan yang disediakan tidak menjurus kepada bahan dalam buku teks, sedangkan mereka terpaksa memenuhi kehendak pelbagai pihak untuk memastikan pelajar cemerlang dalam peperiksaan.

"Jika soalan yang disediakan diambil daripada bahan atau sukatan pelajaran seperti di buku teks, pasti guru akan memaksimumkan penggunaannya dan ia sekali gus tidak merugikan pelaburan kerajaan menerbitkan buku teks," katanya.

Sementara itu, hasil soal selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 170 guru di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Labuan dan Selangor mendapati 62 peratus daripada mereka memilih untuk kurang atau tidak menggunakan buku teks jika ada pilihan lain.

Malah, kebanyakan guru terlatih dan mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya lima tahun itu, menyifatkan buku teks sebagai bahan bantu mengajar yang tidak mengikut isu semasa serta kurang latihan dalam mempersiapkan murid menghadapi peperiksaan.

GONDOL... Bukit Tanah Tinggi Lojing yang gondol akibat kegiatan membuka tanah untuk tanaman sayuran. Pemimpin Barisan Nasional Kelantan semalam mendakwa tanah di kawasan itu telah diberikan kepada beberapa syarikat dari luar negeri itu atas nama pertanian. – Bernama.

GUA MUSANG 11 Nov. – Kerajaan negeri Kelantan didakwa memberi kelulusan kepada beberapa syarikat yang menggunakan petani dari luar negeri ini untuk mengusahakan pertanian di Tanah Tinggi Lojing sejak setahun lepas.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Bazlan Baharuddin mendakwa kecuali projek diraja yang menempatkan pesara tentera, semua tanah lain diusahakan secara besar-besaran oleh petani dari luar Kelantan.

“Setakat ini kerajaan negeri hanya cakap sahaja tetapi tidak mampu memajukan tanah itu untuk rakyat Kelantan kecuali projek diraja itu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Bazlan yang membuat tinjauan ke kawasan itu berkata, hampir 100 peratus kawasan bekas tapak pembalakan itu diusahakan oleh petani luar yang menggunakan pekerja asing dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.

“Kerajaan negeri berdalih dengan pelbagai alasan apabila Barisan Nasional (BN) menyuarakan penyelewengan dalam pengagihan tanah kepada syarikat-syarikat tertentu termasuk dari Singapura,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri ini sepatutnya mengutamakan golongan belia Kelantan dalam mengusahakan kawasan itu secara berkelompok bagi membolehkan mereka berdikari.

“Apa yang mendukacitakan setakat ini tiada usaha ke arah memajukan belia Kelantan dengan pertanian menyebabkan belia terbabit menganggur,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sazmi Miah berkata, sistem penerokaan tanah tidak bersistematik di kawasan itu menyebabkan kemusnahan alam sekitar, aliran sungai terhalang dan pencemaran air sungai.

Dalam pada itu, Tok Batin Malu, 43, berkata, hanya sebilangan kecil belia Orang Asli bekerja di ladang sayur itu yang diusahakan oleh pengusaha Cina dari Perak.

Beliau berkata, walaupun ladang itu terletak berdekatan dengan perkampungan Orang Asli Pos Brooke tetapi yang bekerja kebanyakannya adalah warga asing.

Beliau kesal kerana orang tempatan berdekatan tidak dapat merasai nikmat kemajuan yang dibawa masuk dengan menawarkan penduduk kampungnya bekerja di kawasan projek itu.

“Kita harap lebih ramai belia Orang Asli dapat bekerja dan mengusaha sendiri tanah di kawasan ini... dapatlah kita rezeki lebih sikit,” katanya.

– Bernama

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD

HULU TERENGGANU 11 Nov. – Terdapat peneroka Felda negeri ini kini menikmati pendapatan bulanan yang mencecah lingkungan RM10,000 hingga RM12,000 sebulan.

Menurut Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abdul Hadi Mohd. Yusof, pendapatan sehingga RM12,000 sebulan itu juga dinikmati oleh peneroka di negeri-negeri lain.

‘‘Kenaikan harga sawit secara mendadak sehingga RM580 bagi satu tan metrik berlaku sejak dua tiga bulan lalu berbanding harga sawit sebelum ini hanya RM200 bagi satu tan metrik.

‘‘Pengurusan Felda yakin jika semua peneroka mengusahakan ladang sawit secara sistematik, pendapatan mereka mampu mencecah pulangan yang lebih tinggi,” kata Abdul Hadi kepada Utusan Malaysia selepas meraikan peneroka Felda yang bakal mengerjakan haji di Masjid Felda Bukit Bading di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan Felda mengenal pasti seramai 100 peneroka daripada keseluruhan 7,463 peneroka dari 15 rancangan Felda di negeri ini telah memperoleh pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.

Para peneroka selebihnya menikmati pendapatan dalam lingkungan RM2,000 hingga RM6,000 sebulan.

‘‘Peningkatan itu berlaku mungkin ekoran kenaikan harga kelapa sawit di pasaran selain kehidupan peneroka sudah mengalami peningkatan,” ujar Abdul Hadi.

Sementara itu, seorang daripada peneroka yang akan menunaikan haji, Awang Abdullah, 68, berkata, beliau sekarang memperoleh pendapatan RM6,000 sebulan selepas sawit yang diusahakan di kawasan seluas 10 hektar memperoleh hasil yang cukup lumayan.

‘‘Saya bersyukur kepada Allah kerana hasil keringat saya dulu sudah memberikan hasil yang lumayan. Dulu saya cuma dapat RM1,000 tetapi kini RM6,000 sebulan,” katanya.

Oleh JAAFAR AHMAD

JOHOR BAHRU 11 Nov. – Seorang kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBTPG), Mohd. Hair Ahmad, 50, terkejut apabila mendapati tiga pesaingnya sebagai ‘atlet’ dalam Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diadakan di Johor selama ini, merupakan adik-adik kandungnya yang berlainan ibu.

Menurutnya, ini kerana selama ini mereka tidak pernah menyangka memiliki pertalian darah walaupun sering bertemu dan bersaing dalam beberapa acara sukan PBT yang diadakan sejak lima tahun lalu.

Mohd. Hair berkata, pesaing sukannya itu ialah Siti Rohana, 44, Mohd. Rofingi Ahmad, 42 dan Siti Rofeah Ahmad, 39 yang kesemuanya merupakan kakitangan Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Menurut beliau, ini kerana mereka tidak pernah bersua dan mengenali antara satu sama lain setelah bapa mereka Ahmad Abdul Rahman, 69, berpisah dengan ibunya, Sumirah Daim, kira-kira 50 tahun lalu.

‘‘Namun saya bersyukur dan gembira apabila mengetahui yang kami ini adik beradik berlainan ibu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, mereka mula mengetahui mempunyai pertalian darah apabila pertama kali bertemu bapanya sempena Hari Raya Aidilfitri pada 27 Oktober lalu, yang turut diiringi ketiga-tiga kakitangan MPM itu.

‘‘Kami terkejut kerana tidak menyangka sama sekali yang kami ini adik beradik,” katanya.

Mohd. Hair menyifatkan pertemuan mereka sebagai rahmat kerana dapat menyatu dan mengeratkan lagi pertalian yang terpisah sejak sekian lama.

Sementara itu, adiknya, Mohd. Rofingi turut melahirkan rasa gembira apabila mengetahui bahawa Mohd. Hair yang selama ini dianggap sebagai rakan sukan sebenarnya abang kandungnya.

‘‘Saya tidak menyangka pemergian saya dan ayah ke tanah suci Mekah kerana mengerjakan haji tahun lalu membawa berkat sehingga menemukan Mohd. Hair yang terpisah dengan bapa sejak 50 tahun lalu,” kata Mohd. Rofingi.

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Penerima jantung dan paru-paru, Siti Salmah Jasni, 18, yang dilaporkan kritikal sebenarnya menunjukkan perkembangan positif walaupun selepas seminggu dibedah.

Utusan Malaysia difahamkan, Siti Salmah yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN sudah memberi sedikit tindak balas dengan mencelikkan mata seketika dan itu memberi keyakinan segalanya berjalan baik.

‘‘Doktor memantau keadaan Siti Salmah di ICU setiap saat. Ibunya juga sentiasa menemani walaupun berada di luar bilik kaca untuk mengelakkan jangkitan.

‘‘Ada perkembangan positif,” kata satu sumber IJN di sini hari ini.

Siti Salmah yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru awal bulan ini selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju mendermakan semua organ dan tisu badan wanita berkenaan.

Nasib Siti Salmah tidak seperti penerima jantung, Tee Hui Yee, 14, yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan memberangsangkan malah mencatatkan keputusan gred 1 A iaitu hampir tiada penolakan langsung pada sistem badannya dalam ujian biopsi selepas seminggu dibedah.

Namun pembedahan ke atas Siti Salmah 10 hari lalu sebenarnya telah ‘mengeluarkannya’ daripada tempoh bertahan dua tahun yang dilaluinya dengan menggunakan tangki oksigen selama sekurang-kurangnya 16 jam setiap hari.

Sumber itu menambah, orang ramai diminta tidak terlalu risau dengan keadaan Siti Salmah sebaliknya terus berdoa agar dia sihat dan dapat meneruskan hari-hari mendatang seceria gadis belasan tahun yang lain.

‘‘Ibunya (Sabariah Mustaffa, 49) selalu menangis. Berdoalah untuk kesihatan Siti Salmah dan keceriaan keluarga ini semula,” ujarnya.

Pengumuman rasmi IJN tentang keadaan Siti Salmah dijangka dibuat tidak lama lagi.

Oleh Baharom Bakar


TERPEGUN: Alimuddin (kanan) memasang kipas helikopter dicipta Kelab Aeronautic Tip Top SMK Tengku Ibrahim ketika Sempena Ekspo Pendidikan Terengganu 2007 di TTC, semalam.

Bayaran boleh dikurangkan ikut kemampuan ibu bapa selepas perbincangan dengan PIBG

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pelajaran menetapkan tiga kategori bayaran siling yuran tambahan sekolah tahun depan yang dijelaskan mengikut pendapatan keluarga pelajar dengan paras tertinggi bagi sekolah menengah sehingga RM55.50 dan terendah RM33.50, manakala sekolah rendah antara RM38.40 dan RM23.50.

Bagi kategori A, sekolah rendah dan menengah yang mempunyai pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi yang majoriti kumpulan peniaga besar dan kumpulan profesional, masing-masing perlu membayar yuran sebanyak RM38.50 dan RM55.50.

Kategori B membabitkan pelajar dari keluarga pendapatan sederhana, peniaga sederhana dan kakitangan awam sokongan membayar yuran siling RM30.50 (sekolah rendah) dan RM44.50 (menengah).


Kategori C, pelajar dari keluarga luar bandar, sekolah kurang murid, sosoiekonomi rendah dan kumpulan peniaga kecil siling yuran ialah RM23.50 (sekolah rendah) dan RM33.50 (menengah).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata harga siling yuran tambahan itu boleh dikurangkan berdasarkan kemampuan ibu bapa dan hasil perbincangan pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG).

"Kita beri garis panduan harga siling bayaran tambahan itu contohnya untuk MSSM (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia) RM2 dan insuran diri RM1.50," katanya katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Terengganu 2007 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini, semalam.

Oleh Baharom Bakar


TERPEGUN: Alimuddin (kanan) memasang kipas helikopter dicipta Kelab Aeronautic Tip Top SMK Tengku Ibrahim ketika Sempena Ekspo Pendidikan Terengganu 2007 di TTC, semalam.

Bayaran boleh dikurangkan ikut kemampuan ibu bapa selepas perbincangan dengan PIBG

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pelajaran menetapkan tiga kategori bayaran siling yuran tambahan sekolah tahun depan yang dijelaskan mengikut pendapatan keluarga pelajar dengan paras tertinggi bagi sekolah menengah sehingga RM55.50 dan terendah RM33.50, manakala sekolah rendah antara RM38.40 dan RM23.50.

Bagi kategori A, sekolah rendah dan menengah yang mempunyai pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi yang majoriti kumpulan peniaga besar dan kumpulan profesional, masing-masing perlu membayar yuran sebanyak RM38.50 dan RM55.50.

Kategori B membabitkan pelajar dari keluarga pendapatan sederhana, peniaga sederhana dan kakitangan awam sokongan membayar yuran siling RM30.50 (sekolah rendah) dan RM44.50 (menengah).


Kategori C, pelajar dari keluarga luar bandar, sekolah kurang murid, sosoiekonomi rendah dan kumpulan peniaga kecil siling yuran ialah RM23.50 (sekolah rendah) dan RM33.50 (menengah).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata harga siling yuran tambahan itu boleh dikurangkan berdasarkan kemampuan ibu bapa dan hasil perbincangan pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG).

"Kita beri garis panduan harga siling bayaran tambahan itu contohnya untuk MSSM (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia) RM2 dan insuran diri RM1.50," katanya katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Terengganu 2007 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini, semalam.

Alimuddin berkata, garis panduan mengenai harga siling bayaran tambahan itu sudah diedarkan kepada semua Jabatan Pelajaran negeri dan sekolah di seluruh negara, akhir bulan lalu.

Beliau berkata, pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara, termasuk perbincangan bagi menetapkan bayaran tambahan asalkan bayaran tidak membebankan ibu bapa.

"Penetapan harga siling diedarkan kepada semua sekolah seluruh negara hanyalah untuk panduan dan bayaran itu boleh dikecualikan, tapi perlu mendapat persetujuan pengarah Jabatan Pelajaran negeri," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika membentangkan Bajet 2008 September lalu, mengumumkan kerajaan memansuhkan yuran bagi sekolah rendah dan menengah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan pendidikan percuma bagi semua.

Beliau turut mengumumkan mulai tahun depan, yuran peperiksaan dimansuhkan dan skim pinjaman buku teks diperluas kepada semua pelajar tanpa mengira jumlah pendapatan ibu bapa atau penjaga mereka.

Alimuddin berkata, dengan pelupusan itu, ibu bapa tidak perlu lagi membayar yuran persekolahan dan peperiksaan, kecuali bayaran tambahan berkenaan.

"Pihak sekolah boleh mengecualikan bayaran kepada ibu bapa yang tidak mampu, tapi pihak sekolah perlu membuat permohonan kepada pengarah Jabatan Pelajaran Negeri," katanya.

Beliau yakin bayaran yuran tambahan yang dikenakan pihak sekolah itu tidak membebankan ibu bapa bagi sesi persekolahan tahun depan.

Sementara itu, Alimuddin berkata, kementerian memberi jaminan semua buku teks disediakan kerajaan akan dihantar ke semua sekolah sebelum sekolah dibuka.

Katanya, penerbit buku teks yang dilantik kementerian memberi persetujuan dan jaminan bahawa semua buku teks akan dihantar ke semua sekolah sebelum sesi persekolahan bermula.

"Dengan jaminan itu, semua pelajar boleh belajar menggunakan buku teks disediakan kementerian," katanya.

Oleh Hamzah Osman

Keputusan kekal harga tiket ke Langkawi membabitkan kerajaan Kedah, Pusat



LANGKAWI: Cadangan menaikkan tambang feri bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis yang dijangka bermula Khamis ini, ditangguhkan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, di sini, semalam sekali gus melegakan banyak pihak terutama penduduk pulau peranginan ini.


Tanpa mahu menjelaskan lanjut, Mahdzir berkata, keputusan menangguhkan kenaikan tambang feri itu membabitkan kata sepakat kerajaan negeri dan Pusat.

"Kerajaan negeri dan Pusat menangguhkan kenaikan tambang (feri)," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan pilihan raya Umno bahagian Langkawi, di pejabat Umno Bahagian, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Langkawi yang juga Ketua Umno bahagian, Datuk Paduka Abu Bakar Taib; Timbalan Ketua Umno bahagian, Datuk Nawawi Ahmad; Ketua Wanita, Mariyam Othman; Ketua Pemuda Kedah yang juga Ketua Pemuda Langkawi, Mohd Rawi Abd Hamid dan Ketua Puteri, Hisham Suhaily Othman.


Berikutan itu, tambang feri bagi kedua-dua laluan itu kekal pada harga lama iaitu RM18 untuk dewasa dan RM12 (kanak-kanak) bagi perjalanan ke Kuala Kedah, manakala masing-masing RM15 dan RM10 ke Kuala Perlis.

Penduduk tempatan dan kakitangan kerajaan yang bertugas di Langkawi turut kekal mendapat potongan harga RM3 dengan syarat mereka perlu menunjukkan kad pengenalan atau surat akuan majikan.

Sebelum ini, ura-ura kenaikan tambang itu dibantah keras penduduk tempatan yang menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan Pengerusi Biro Pengguna Umno bahagian Langkawi, Hashim Saad.

Difahamkan, jawatankuasa itu melakukan kempen mengumpul 80,000 tanda tangan penduduk tempatan termasuk Ketua Umno cawangan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Abu Bakar mengalu-alukan langkah kerajaan itu dan menyifatkannya sebagai satu tindakan wajar dan mendengar pandangan rakyat.

"Kita bersyukur kerana kerajaan menangguhkan kenaikan tambang feri itu," katanya.
SHAH ALAM: Lagu Samudera nyanyian Nora menepati ramalan ramai apabila mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-22 bagi kategori Etnik Kreatif di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam tadi.

Lagu sentuhan Johan Nawawi dan lirik Ahmad Fedtri Yahya itu terpilih pada pertandingan Muzik-Muzik 22 separuh akhir yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3.

Samudera mengiringi dua lagu lain yang turut menempa tempat pada kemuncak AJL 22, Januari depan iaitu Kasihnya Balqis dan Dirgahayu.

Lagu Kasihnya Balqis adalah ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik Moharis Yaakup, disampaikan dengan berkesan oleh Aishah.

Sementara itu, Dirgahayu yang dinyanyikan Ramlah Ram pula menerima sentuhan Radeen Sri, manakala liriknya diilhamkan Hairul Anuar Harun.

AJL 22 hanya menyediakan tiga tempat untuk lagu genre Etnik Kreatif disebabkan kekurangan penyertaan untuk kategori itu, berbanding empat tempat pada tahun lalu.

Sebanyak 10 ciptaan ditampilkan malam tadi yang diadili panel juri terdiri barisan komposer seperti Iman Wan, Khairil Johari Johar, Edry Abdul Halim; penulis lirik, Amran Omar; Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh dan Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan.

Separuh akhir Muzik Muzik 22 akan disusuli dengan persaingan kategori Balada di lokasi sama pada 18 November ini dan diakhiri kategori Pop/Rock, 25 November depan.