Malang yang berbau

Tiada siapa menyangka kejadian kebocoran gas di sebuah kilang memproses baja ikan di Tanjong Karang menjadi begitu dahsyat.




HADIRNYA tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Tidak berwarna dan mampu meruap. Identiti utamanya ialah bau yang cukup sengit, busuk dan memeningkan.

Lebih berbahaya, gas yang digunakan dalam mekanisme penyejukan ini boleh mengakibatkan insiden letupan jika berlaku kebocoran pada saluran sistem.

Dalam kejadian 11 Ogos lalu, enam orang telah mati akibat terhidu gas ammonia yang disyaki bocor daripada sistem pendingin kilang memproses baja ikan di Bagan Pasir, Tanjong Karang, Selangor.

Tragedi awal pagi itu mengorbankan dua pekerja Bangladesh, seorang pekerja tempatan, serta tiga penduduk kampung.

Niat tiga penduduk kampung itu untuk menyahut panggilan kod kecemasan akhirnya telah meragut nyawa sendiri.

Malah, lima lagi yang datang ke lokasi kejadian telah pengsan dan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan.

Hakikatnya, mangsa-mangsa yang mahu menghulurkan bantuan atas dasar kemanusiaan ini tidak tahu bahawa ancaman boleh berlaku sedahsyat itu.

Mungkin ada yang membandingkan kekecohan kemalangan itu dengan tragedi pelepasan gas sarin dalam sistem kereta api bawah tanah oleh pengikut ajaran sesat, Aum Shinrikyo, di Jepun suatu masa dahulu.

Dalam kejadian di Bagan Pasir itu, pihak bomba yang tiba ke tempat kejadian menyembur air untuk melarutkan gas ammonia manakala Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) dengan 13 anggota turut dipanggil.

“Perkara pertama yang dilakukan pihak kami adalah dengan menentukan bahan pencemaran. Kalau ia berkaitan ammonia, perlu diketahui juga sama ada pencemaran tersebut meruap ke udara atau tercemar dalam air,” ujar Penguasa Kanan 2 Hazmat, Zakaria Muhd.

Menurut beliau, ammonia yang meruap boleh dikesan kerana warnanya yang keputihan. Debu soda lazimnya digunakan untuk meneutralkan gas tersebut.

Air yang disemburkan juga perlu dilaras menjadi partikel air yang halus agar gas ammonia dalam udara dapat diperangkap dan dibersihkan.

“Antara faktor yang diambil kira dalam tindakan ini ialah anggaran kuantiti bahan pencemaran serta arah angin,” tambah beliau.

Gas berbahaya seperti ammonia mempunyai separuh ketumpatan udara. Sebab itulah ia hanya dapat dilarutkan dalam jumlah air yang banyak.

Menyerang sistem saraf

“Kita dapat mengesan simptom mereka yang keracunan. Antaranya adalah kegatalan dan kesakitan pada mata, mulut, telinga dan hidung. Kalau terkena kulit pun, seseorang boleh merasakan kesan kesakitannya,” terang Zakaria.

Antara simptom keracunan ammonia ialah batuk, sakit dada yang teruk dan kesesakan nafas. Ia juga menyebabkan gangguan pada sistem usus gastro hingga menyebabkan sakit perut dan muntah-muntah. Lebih teruk, ia menyerang sistem saraf lantas membuatkan seseorang lemah, pengsan dan berdepan dengan maut.


ADA yang menyamakan kebocoran gas ammonia di Tanjong Karang dengan pelepas gas sarin di stesen kereta api bawah tanah di Jepun.


Pakar kesihatan mengingatkan bahawa jika bahan kimia ini terkena pada kulit atau mata, hendaklah bahagian itu dibersihkan dengan air yang banyak sekurang-kurangnya selama 15 minit.

“Sekiranya berlaku di dalam kediaman, tindakan awal yang boleh dilakukan oleh ahli keluarga sebelum kedatangan pasukan keselamatan dan bantuan adalah dengan memindahkan mangsa ke kawasan lapang yang terhindar dari pencemaran gas ammonia. Keluarkan mereka dari ruang tersebut.

“Namun, bagi yang mahu membantu, pastikan bahawa mereka tidak menghidu gas tersebut terlalu banyak. Kain yang lembap boleh digunakan untuk menutup hidung dan mulut bagi menapis pernafasan,” ujar Zakaria.

Dugaan pulau keramat

Wartawan yang ditugaskan untuk menyiasat amalan khurafat di Pulau Besar, Melaka, diganggu peristiwa aneh.


SELAIN mengunjungi pulau ini untuk tujuan percutian, masih ada sekelompok manusia yang datang dengan pelbagai niat lain termasuk mengikuti ritual yang menyalahi hukum syarak.


BANYAK perkara bermain di fikiran saat hendak melaksanakan tinjauan ke destinasi kali ini. Mengikut kepercayaan sesetengah orang lama di Pulau Besar, hanya mereka yang terpilih mampu menjejakkan kaki ke tempat persemadian ahli-ahli sufi itu. Benarkah begitu?

Penulis sempat bertanyakan seorang warga emas di sebuah kampung di Umbai tentang kisah mistik pulau tersebut. Sambil menghisap rokok daun di beranda rumahnya, wanita itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

Dia sekadar mengingatkan penulis dan jurugambar, Mohd. Naim, bahawa pulau itu bersifat ‘keras’ dan kami perlu berhati-hati.

“Lagi satu, kau ni perempuan, kalau ke sana biarlah bukan dalam keadaan kotor (haid), bahaya. Macam-macam boleh kau jumpa.

“Sudah ramai orang pergi tapi tak dapat balik. Dekat pulau nanti, jangan cakap lepas. Kalau tak, ‘balasannya’ sekejap saja,” katanya seperti memberi amaran. Namun, dia juga berpesan agar penulis sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Perjalanan dengan bot dari Jeti Umbai ke Pulau Besar menyaksikan langit petang perlahan-lahan berganjak ke senja. Dugaan pertama kami adalah terpaksa berjalan sejauh tiga kilometer ke kawasan perkhemahan gara-gara van penumpang yang sudah penuh.

Walaupun bebanan beg yang dipikul memperlahankan langkah dan meletihkan tubuh, namun akhirnya kami tiba di tapak perkhemahan yang terletak berdekatan dengan sebuah kawasan yang dikenali sebagai Makam Tujuh Beradik.

Difahamkan, makam itu paling menjadi tumpuan. Di situlah kelihatan pengunjung pelbagai kaum dan dari latar belakang agama menjalankan upacara pemujaan mereka.

Malam itu, penulis agak terkejut bila tiba-tiba didatangi haid. Walaupun tidak sedap hati, misi untuk menyiasat aktiviti penyembahan yang dikatakan kerap berlaku di situ tetap diteruskan. Tepat pukul 11 malam, destinasi pertama ialah Makam Sultan Arifin.

Sementara Mohd. Naim merakam gambar pengunjung makam yang khusyuk meratib dan membaca mantera, penulis pula menaip maklumat di telefon bimbit.

Pada satu ketika tanpa diduga, penulis bagaikan diseru untuk mendongakkan kepala dan melihat ke arah makam yang jaraknya 60 meter dari tempat penulis.

Kering darah penulis apabila ternampak lembaga putih yang pakaiannya persis seorang pedagang Arab sedang berdiri bertentang mata. Menjadi lebih menakutkan adalah kelibat itu sangat tinggi, hingga hampir mencecah ketinggian pokok kelapa di sebelahnya!


KETIKA di tapak perkhemahan, Firdaus (kanan) diperkenalkan sebagai jurupandu kepada wartawan Jurnal yang buntu memulakan tinjauan di Pulau Besar.


Jantung laju berdegup dan kaki pun menggeletar. Macam-macam surah dibaca dengan harapan kelibat itu tidak mengganggu.

Walaupun tidak berlaku apa-apa, tinjauan tersebut berlanjutan hingga pukul 3 pagi. Penulis tidak berani bercakap tentang pengalaman tersebut kepada jurugambar selepas pulang ke khemah.

Penulis cuba melelapkan mata namun sering saja gagal. Suara bayi menangis, wanita ketawa mengilai, bunyi tapak kaki orang berjalan, serta sahutan burung hantu, bertubi-tubi menembusi gegendang telinga. “Tidak, aku tidak bermimpi,” getus hati penulis.

Budak bernama Firdaus

Tidak mudah hendak bergerak di pulau itu jika tiada penunjuk arah. Jurupandu yang berjanji membawa kami meronda di pulau seluas 168 hektar itu secara tiba-tiba membatalkan niatnya.

Mujurlah kami dipertemukan dengan seorang budak lelaki berkulit hitam manis bernama Firdaus. Dia peramah dan nampak comel dengan tubuh gempalnya. Umurnya baru sembilan tahun. Firdaus berulang-alik ke sekolah di Umbai dari Pulau Besar setiap hari.

Menurut cerita, dia mahir dengan semua makam yang ada di sekitar pulau itu.

“Firdaus bukan calang-calang budak. Dia disukai oleh bunian. Dia dulu pernah kena culik dengan makhluk Allah tu. Jangankan waktu siang, waktu malam pun dia berani berjalan,” kata tuan punya tapak perkhemahan.

Ternyata Firdaus tahu semua laluan di pulau itu. Dia juga begitu dikenali hinggakan mereka yang sedang bermeditasi di beberapa makam akan memberi salam dan menegurnya.

Semasa berjalan bersamanya, penulis dapati Firdaus kerap bercakap sendirian dan kadang-kadang seperti berbual dengan seseorang.

“Firdaus temankan kakak dan abang jalan-jalan ke Batu Belah, mereka baik,” begitulah antara butir bicara yang penulis dapat dengar.

Selepas penat berjalan, kami berhenti seketika. Mohd. Naim yang keletihan cuba melabuhkan punggungnya di satu sudut tembok batu sebelum Firdaus berteriak, Abang! Dia seperti mahu menghalang Mohd. Naim daripada duduk di situ.


BERDEKATAN dengan Makam Tok Janggut inilah kelibat lembaga putih yang berpakaian seperti seorang pedagang Arab dilihat hingga membuatkan penulis menggeletar lutut.


Selepas itu, Firdaus tidak berkata apa-apa. Seketika kemudian, Mohd. Naim membisikkan kepada penulis: “Ingat tak Firdaus panggil aku tadi? Bila aku terus duduk, seperti ada orang cubit aku. Entah-entah aku dah terduduk di atas tempat bunian!”

Pada malam ketiga, penulis asyik membebel seolah-olah menyalahkan cuaca panas yang menyebabkan penulis sukar melelapkan mata. Namun, tidak sampai tiga jam kemudian, angin datang menderu dan bertiup kencang. Khemah penulis nyaris diterbangkan.

Penulis menjerit memanggil Mohd. Naim di khemah sebelah, namun dia tenggelam dalam dengkurannya. Ketakutan terasa menjalar ke seluruh tubuh. Penulis hanya mampu menekup muka dan malam itu terasa sangat panjang.

Keesokannya, Mohd. Naim berjalan keadaan terdengkot-dengkot. Entah apa yang dilihat atau ‘ditegurnya’ di sebuah hotel terbengkalai di Pulau Besar. Dia mengadu ada sesuatu yang menolaknya secara tiba-tiba lalu menyebabkan kecederaan di kakinya.

“Ini satu petanda akhir untuk kita beredar dari tempat ini,” kata Mohd Naim.

Nyaris kena lelong

Bekas personaliti RTM, Azilah Akashah baru dapat memiliki kereta idaman selepas 19 tahun bekerja.


WANITA berbintang Pisces ini membuka Qasha Butik kerana minatnya terhadap fesyen.


LIMA tahun adalah tempoh yang disasarkan personaliti televisyen yang kini menjadi usahawan, Azilah Akashah, untuk meletakkan dirinya sebagai broker hartanah wanita berjaya di negara ini.

Azilah, 47, kini merupakan pemilik Azilah Properties Sdn. Bhd. dan Qasha Butik. Beliau juga pernah menjadi pengacara Selamat Pagi Malaysia dan pembaca berita sambilan di RTM selama 13 tahun.

Namun, gadis kampung dari Siputeh, Batu Gajah, Perak ini memberitahu, permulaan hidupnya biasa-biasa sahaja.

“Saya bukan berasal daripada keluarga orang kaya. Saya masih ingat lagi, pertama kali menjejakkan kaki di kampus Universiti Teknologi Mara Shah Alam, hanya bantal dan selimut yang saya bawa,” imbau beliau.

Selepas tamat pengajian, Azilah bekerja di sebuah bank selain mencuba nasib menjadi pembaca berita televisyen secara sambilan.

“Pada masa itu, saya langsung tak terfikir untuk terlibat dalam bidang glamor ini,” katanya.

Ibu kepada lima orang anak ini berpendapat pengalaman di RTM sangat berharga kerana di situlah beliau mempelajari banyak asam garam kehidupan.

“Kalau nak diikutkan mungkin saya dah pun bercerai-berai macam sesetengah personaliti televisyen lain. Dunia glamor banyak dugaannya.

“Mereka tak peduli kita dah berkahwin atau belum. Ada sahaja yang nak mengambil kesempatan. Syukur saya dapat bertahan hingga sekarang.

Sebagai pengacara Selamat Pagi Malaysia, banyak kenangan yang dikumpul Azilah.

Selain mengetahui banyak perkara baru, beliau juga berpeluang menemuramah ramai manusia ternama termasuk penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza, anak bekas Presiden Afrika, Nelson Mandela dan bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

Hampir muflis

Bosan dengan corak kerja di bank yang tidak fleksibel, Azilah mencuba nasib di sebuah syarikat hartanah walaupun sebenarnya beliau tiada pengalaman langsung dalam bidang itu.

“Hasilnya, imbuhan yang saya terima setiap bulan lebih daripada apa yang saya peroleh semasa bekerja di bank,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Azilah mengambil kursus Diploma Hartanah di UiTM selama tiga tahun. Sebelum itu, Azilah sudah pun memiliki diploma dalam bidang perhotelan dan katering.

“Projek pertama saya ialah menjual hartanah bernilai RM78,000 di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada tahun 1990.

“Pada masa itu, komisen yang dapat pun sedikit sahaja berbanding sekarang iaitu kira-kira 25 peratus daripada harga yang dijual berbanding 40 peratus kini.

“Sejak itu, saya terus serius dalam bidang ini. Alhamdulillah, rezeki saya ada. Walaupun sukar dan ada naik turunnya dalam perniagaan, tapi saya tabah,” ujarnya.




Menubuhkan Azilah Properties pada tahun 2001, tiada istilah berpatah ke belakang dalam hidupnya.

Menurut Azilah, untuk memasuki pasaran hartanah, seseorang itu harus tahu dengan siapa mereka berurusan dan juga berusaha membina jaringan kerja yang baik.

“Syarikat tak boleh iklankan hartanah yang hendak dijual beli sembarangan kerana terikat dengan undang-undang. Jadi kita perlu pandai cari rangkaian kerja,” terang Azilah.

Bagaimanapun, Azilah akur dengan dugaan dalam perniagaan. Tiga tahun selepas beroperasi, Azilah Properties mula menghadapi masalah hutang.

“Pihak bank hampir nak lelong syarikat saya kerana tak bayar hutang. Tiada bank lain yang nak tolong. Dalam akaun syarikat memang tak ada sesen pun lagi.

“Kawan-kawan pula banyak yang menjauhkan diri. Masa itu barulah saya tahu siapa kawan dan siapa lawan.

“Tapi saya bukan jenis yang senang mengalah. Saya terus berusaha untuk menyelamatkan hasil titik peluh saya. Dan saya bersyukur kerana Tuhan masih membuka ruang di hadapan saya.

“Masa itu ada seorang rakan yang bekerja di sebuah bank membantu meluluskan pembiayaan semula hutang saya walaupun nama saya telah disenaraihitamkan,” kata wanita berbintang Pisces ini.

Qasha Butik

Selama tiga tahun pertama itulah dirinya kerap dirundung masalah yang besar. Setelah meneliti kelemahan dan kekurangan teknik perniagaan, beliau bangkit dengan wawasan baru.

“Walaupun banyak rintangan yang dilalui, saya masih bertahan. Malah, bukan mahu cakap besar, saya baru sahaja membeli kereta idaman saya. Itu pun setelah 19 tahun bekerja,” bicaranya sambil melirik pada sebuah kereta Mercedes Benz di perkarangan pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Memandangkan kebanyakan agensi hartanah didominasi kaum lelaki, ia secara tidak langsung menyemarakkan lagi azam Azilah untuk merealisasikan misi hidupnya itu.

“Jarang-jarang sekali kita mendengar wanita Melayu menjadi ejen hartanah berdaftar di negara ini. Itulah yang membuat saya mahu terus bersaing.

“Apa yang penting kita jangan separuh hati melakukan kerja. Kalau nak, kena buat betul-betul. Kena ingat, nak berjaya bukan senang,” katanya.


AZILAH Properties dibina atas titik peluk Azilah dan hampir diisytiharkan muflis suatu ketika dahulu.


Qasha Butik adalah perniagaan kedua Azilah. “Nama Qasha Butik diilhamkan daripada nama ayah saya sendiri,” katanya tanpa dipinta.

“Hubungan kami anak-beranak memang sangat baik. Kalau ada apa-apa, ayah akan cari saya dulu. Masa dia sakit pun dia masih datang melawat saya di sini. Ayah suka memerhati, walaupun dia tak tunjuk tapi saya tahu dia sayangkan saya,” kenangnya.

Terletak di Bandar Baru Bangi, Qasha Butik menawarkan pelbagai pilihan pakaian wanita dan lelaki termasuk tudung, baju kurung dan baju Melayu yang eksklusif.

“Saya sukakan fesyen dan gemar menjahit walaupun kekurangan masa. Saya juga suka memanjakan diri di spa.

“Jadi, apa salahnya saya buka perniagaan sendiri berdasarkan minat saya itu,” ujar Azilah.

'Susah nak berhenti'




SUDAH lama pertemuan diatur dengan tuan empunya diri. Malah, hampir putus asa untuk memujuknya agar berkongsi cerita.

Akhirnya, lelaki ini mahu membuka mulut. Namun penuh syarat yang diletakkannya agar identiti serta keselamatan dirinya terpelihara. Tiada gambar dan perjumpaan. Hanya melalui telefon.

Mahu dikenali sebagai Ryan, gambaran bahawa dirinya seorang yang garang nyata meleset apabila suaranya cukup menyenangkan sepanjang dua jam berbual.

“Saya sendiri dah lupa bila mula ke kelab malam. Kalau tak salah, semasa di tingkatan tiga. Itu pun curi-curi masuk kerana belum cukup umur,” bicaranya.

Dua kali ditangkap oleh penjaga kelab malam tetapi itu tidak memberi kesan padanya. Dengan bantuan rakannya yang lebih dewasa, dia lepas tanpa sekatan.

Menurut Ryan, suasana bingit dengan lagu, lantai tarian yang sesak serta bauan arak dan rokok telah lama sebati dengan urat sarafnya.

“Biarpun apa kata orang mengenai tempat itu, saya tak kisah. Saya sendiri mula mengumpul rakan dan mengenali dunia ini melalui kelab malam,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pengambilan dan penjualan dadah di kelab malam, Ryan memberitahu, kebanyakan pengunjung mengambil pil seperti ekstasi, eramin 5 dan syabu atau ice. Setahu Ryan, kebanyakan mereka mendapat bekalan dari luar.

“Saya sendiri ambil ekstasi. Tapi untuk mendapatkannya, saya mengunakan orang tengah dan mengambilnya sebelum ke kelab.

“Kebanyakan mereka pun sama seperti saya. Lagi selamat. Telefon pembekal dan dia berikan kepada saya melalui kawan. Tiba pada saya, saya terus ambil. Itu cara saya. Tak payah nak simpan-simpan,” akuinya.

Sambungnya, kebanyakan yang mengambil pil adalah mereka yang gila menari terutama yang menggemari lagu-lagu dan tarian pantas seperti shuffle.

Lelaki yang berasal dari Sabah ini menjelaskan, keperluan tenaga yang luar biasa amat penting bagi golongan ini untuk terus menari sehingga berjam-jam lamanya.

“Untuk mendapatkannya, saya tak berani cakap. Ada 1,001 cara mereka untuk mendapatkannya. Harganya pula, tak menentu,” ujarnya yang turut mendedahkan, kebanyakan pengguna pil dadah ini tergolong daripada golongan belasan tahun.

Kod khas untuk beli dadah

Ryan menjelaskan, golongan yang mengambil pil dan ke kelab malam adalah golongan yang suka ambil risiko. Malah kata Ryan lagi, mereka adalah individu yang terlalu berani ambil risiko.

Menurutnya lagi, jangan terkejut sekiranya golongan yang ‘hanyut’ di kelab malam adalah mereka yang ada status dan profesional pelajar institusi tinggi.

“Kawan-kawan malah saya sendiri adalah daripada golongan profesional. Namun, saya ada cara dan prinsip saya sendiri ketika berhibur di kelab malam,” katanya.


RYAN mendakwa kebanyakan remaja yang mengambil pil adalah golongan yang gila menari, terutama tarian pantas seperti shuffle. - Gambar hiasan


Menyelami dengan lebih mendalam, pengakuan Ryan mengenai orang tengah bagi mendapatkan pil sebagai pelonjak keseronokannya berhibur agak memeranjatkan.

“Kami semuanya kerja dalam sektor masing-masing. Jadi masa untuk keluar mencari pil agak terhad dan kemungkinan akan membuatkan kami disyaki.

“Maka, kami berhubung melalui laman sembang dengan menggunakan kod khas, pada masa-masa yang tertentu sahaja. Jadi, semuanya berjalan lancar,” ujarnya sambil diiringi tawa halus.

Walaupun begitu, sejak kebelakangan ini, seperti ada satu perubahan di kalangan pengunjung kelab malam.

Menurutnya, label kelab malam sebagai ‘sarang’ aktiviti berkaitan dadah tidak lagi tepat.

“Saya tak nafikan ramai yang datang ke kelab malam ini megambil dadah. Macam saya sendiri. Tapi bukan untuk kepuasan semata-mata tapi lebih kepada escapetism,” ungkapnya jujur.


SELAIN menjadi lantai tarian, kelab malam dan disko menjadi tempat anak muda yang mahu bebas melakukan apa sahaja demi keseronokan.


Apabila ditanya mengenai dadah yang diambilnya serta tentang pil apakah yang menjadi kegemaran pengunjung kelab malam yang lain, Ryan terdiam sejenak sebelum menyambung bicara.

“Ekstasi. Itu yang paling mudah dan okey. Lainnya, mungkin 5 (eramin 5) yang sejak kebelakangan ini menjadi kegilaan budak muda. Harga pula, paling murah, RM50 sebiji,” jawabnya.

Kini, tatkala umurnya yang bakal mencecah 25 tahun, Ryan masih lagi ligat mengunjungi kelab malam sekiranya ada kelapangan bersama rakan-rakannya.

“Susah nak berhenti. Namun, satu yang boleh saya katakan, sehingga kini, aktiviti ini belum lagi menjejaskan tugasan rasmi saya di tempat saya. Jadi, tak ada masalahkan?” katanya bersahaja.


Pecahkan kubu Permatang Pasir
SEPERTI yang dikatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang -pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir memangmenarik.

ASEAN menuju Hijau
LUAR daripada kebiasaan, sambutan Hari ASEAN ke-42 pada 8 Ogos lalu diraikan tinggi di awan biru.

Apabila Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi
DUA minggu lagi semua warga Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan(dulu disebut Hari Kebangsaan) ke-52. Ketika menyambut kemerdekaannegara pada 31 Ogos 1957, jangan lupa hanya 11 negeri sahaja diSemenanjung Tanah Melayu yang diisytiharkan merdeka.

BISIK-BISIK
SEMUA pandangan yang disalurkan kepada akhbar Awang berhubung kenyataanNik Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak membantah tindakan segelintirpemimpin DAP menghina Islam, tidak menyenangi pendirian Mursyidul AmPas itu.

Rancang persediaan hari tua
Kebanyakankawan yang sebaya dengan saya sudah empat lima tahun bersara daripadapekerjaan mereka. Ada yang telah meneruskan kehidupan dengan membukaperniagaan dan ada juga yang bergantung kepada wang pencen daripadaperkhidmatan kerajaan mereka.

Antara gula dan topeng penutup mulut
DUA barangan ketika ini yang dikatakan menjadi tumpuan orang ramaitermasuk di Pahang ialah gula dan topeng penutup mulut dan hidung.


Rakyat Malaysia wajar berpandangan lebih positif terhadap Indonesia
PADA 8 Ogos lalu merupakan sambutan ulang tahun ASEAN. MenurutSekretariat ASEAN di Jakarta, sebanyak 548 juta orang meraikan ulangtahun ke-42 itu. Sambutan itu mengingatkan kembali Deklarasi ASEAN yangdibuat di Bangkok, Thailand pada 1967 iaitu 10 tahun selepas Malaysiamerdeka.

Petunjuk di sebalik hukuman 18 bulan ke atas Suu Kyi
HUKUMANtahanan rumah selama 18 bulan ke atas pemimpin prodemokrasi Myanmar,Aung San Suu Kyi oleh sebuah mahkamah di Yangon tidak dilihat secaranegatif oleh semua pihak. Ini kerana keputusan berkenaan tidaklahseteruk seperti yang dijangkakan oleh masyarakat antarabangsa selamaini.






Nik Aziz buka 'pintu tebatan banjir'
MEMBENARKANpemimpin parti bukan Islam bercakap mengenai Islam meskipun menghinaagama itu, dengan alasan mereka bukan Islam dan tidak memahami Islam,adalah ibarat memberi 'cek kosong' kepada seseorang untuk mengisiberapa jumlah wang yang dikehendakinya. Dalam politik, ia adalahgolongan yang Islam yang terlalu liberal.

Minda Pengarang: Sokongan swasta bantu pacu sektor pertanian
SEKTORpertanian disenaraikan sebagai satu daripada teras ekonomi negara dalamRancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Bersama sektor perindustrian danperkhidmatan, bidang pertanian dikenal pasti sebagai satu daripadatonggak utama ekonomi pada masa depan. Menerusi pelbagai inisiatif,kerajaan berharap sumbangan sektor pertanian dan industri asas tani,yang sebelum ini agak terkebelakang, dapat ditingkatkan. Tumpuan kepadasektor itu sebenarnya bukan saja untuk meningkatkan ekonomi tetapilebih penting limpahannya dapat memberi manfaat kepada rakyat,khususnya di luar bandar serta pedalaman. Pada masa sama, ia juga dapatmerealisasikan hasrat kerajaan menyediakan dasar jaminan bekalanmakanan, setanding yang diamalkan negara maju. Sejak beberapa tahunlalu, tumpuan terhadap sektor itu berkisar kepada usaha meningkatkanpembabitan rakyat. Pelbagai program seperti projek estet mini,pertanian berkelompok, skim siswazah tani dan penghasilan produkpertanian mengikut daerah, pesat berkembang. Manfaatnya jelas apabilasaban tahun, jumlah mereka yang mengusahakan bidang pertanian secarakomersial semakin meningkat manakala banyak tanah terbiar kini menjaditapak projek pertanian. Rakyat yang dulu melihat pertanian sebagaikegiatan sampingan, kini berstatus jutawan tani. Tumpuan berterusandalam sektor pertanian bernilai tambah seperti bioteknologi pulamembuka pelbagai peluang ekonomi baru yang berjaya dimanfaatkansehingga ke peringkat global.

Cakap-cakap
BILAnak masuk bulan Ramadan saja, peniaga atau pengedar mula buat hal. Iniberikutan masalah kekurangan gula yang melanda banyak tempatkebelakangan ini.

Titisan harapan: Kerap sakit pinggang, sendi
SUDAHlama kena penyakit ini? Itulah soalan cepu gangsa - meminjam ungkapansahabat baik yang juga pengacara televisyen dan penyampai radio, AbbyFana, yang sukar saya berikan jawapan tepat. Adakalanya saya terganggudan bosan bila ramai bertanya soalan popular ini. Sebenarnya sayasendiri tidak tahu sejak bila diserang scleromyxedema. Apapun, apabiladoktor tanya, saya perlu memberikan jawapan hampir tepat keranamaklumat ini penting bagi mereka.




Pengalaman digigit, ditendang kuda
Kerenah kuda menguatkan semangat Zulfakar Mohd. Derus untuk muncul sebagai tukang ladam mahir.
Pecahkan kubu Permatang Pasir


ROHAIZAT Othman (kiri) menerima watikah perlantikan sebagai calon Barisan Nasional DUN Permatang Pasir daripada Muhyiddin Yassin yang diumumkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.


SEPERTI yang dikatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir memang menarik.

Bagi Pas, menarik kerana parti itu bertanding di kawasan yang dinaungi Parlimen Permatang Pauh di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR). DUN dan Parlimen itu pula terletak di negeri Pulau Pinang yang kini diperintah oleh pakatan pembangkang dengan teraju kepimpinannya adalah DAP.

Sebab itu pengamatan Abdul Hadi menyimpulkan pilihan raya kecil kelapan sejak negara melepasi Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu sebagai menarik.

Sememangnya bagi pakatan pembangkang, DUN Permatang Pasir adalah medan untuk mereka memukul gendang dan mendendangkan irama kemenangan seterusnya, selepas satu demi satu pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini berada dalam genggaman mereka.

Biar pun dilihat membuat pelbagai 'onar' dan saling bercakaran, tetapi seperti yang ditegaskan oleh Abdul Hadi, Permatang Pasir merupakan titik pertemuan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang untuk bekerjasama dan bersatu hati.

Matlamat mereka hanya satu - mengekalkan kemenangan di situ sekali gus menafikan semua kata-kata bahawa pakatan umpama retak menunggu belah tidak benar belaka.

Segala perbalahan, ketidaksepakatan serta kerencaman pendapat termasuk menyentuh isu agama dan bangsa yang timbul di kalangan pakatan pembangkang sebelum ini amat diyakini oleh Pas akan 'dilupakan sementara' demi mengekalkan kemenangan di Permatang Pasir yang pasti akan menjulang kekuatan mereka sekali lagi.

Keyakinan dan semangat untuk menang serta meneruskan kesinambungan kemenangan itulah yang jika diamati masih tidak dapat dihayati oleh Barisan Nasional (BN) amnya dan UMNO khususnya.

Semangat mengetepikan semua perbezaan untuk memastikan kemenangan memihak kepada BN tanpa mengira dari parti komponen mana yang meletakkan calonnya semakin menyusut. Itu antara faktor kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu dan juga siri pilihan raya kecil yang berlangsung selepas itu.

Sepatutnya BN khususnya UMNO yang hanya mencatatkan sedikit peningkatan pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai baru-baru ini cepat belajar daripada kekurangan yang hakikatnya telah terserlah, disedari dan diketahui sejak lebih setahun lalu.

Kekurangan dan kesilapan itu mesti segera diatasi, dan bukannya dibiarkan melarat sehingga memberi kesan berpanjangan dan menjejaskan prestasi BN menyebabkan parti itu yang berapi-api menyatakan keyakinan akan menang tiba-tiba tersungkur.

BN yang beria-ia melahirkan harapan kononnya ada cahaya harapan untuk menyingkirkan parti lawan akhirnya kecundang sehingga dijadikan alat serta bahan gurauan setiap kali ada perisytiharan pilihan raya kecil sebagai membazir duit dan air liur berkempen ke sana sini.

Penyatuan jiwa di antara parti-parti komponen kurang terserlah menyebabkan parti yang meletakkan calon di sesuatu kawasan terkontang-kanting terpaksa 'membanting tulang empat kerat' bersendirian dengan sokongan di kalangan rakan-rakan yang lain hanya ternampak di penghujung jalan.

Hakikatnya trend dan tradisi itu tidak boleh dipanjangkan lagi. Jangka hayat BN bergantung kepada semua parti komponennya dan UMNO sahaja. Tanpa sokongan padu dan kerja keras anggota semua parti - cita-cita BN untuk mencatatkan kemenangan dalam apa juga pertandingan tidak akan tercapai.

Semua parti komponen BN mesti belajar daripada kejayaan pakatan pembangkang. Biar apa pun label yang dilekatkan kepada mereka, apabila tiba masanya mereka mencapai kesepakatan - tidak mengira dalam bentuk apa sekali pun sehinggakan perpecahan yang amat nyata sebelum pilihan raya gagal meranapkan keyakinan rakyat terhadap mereka.

BN - parti yang menguar-uarkan bahawa pakatan pembangkang di ambang perpecahan, akan terkubur, tidak lagi mendapat sokongan rakyat - pula terus mengekalkan prestasi mendukacitakan dengan gelombang biru tidak berupaya menembusi pagar pakatan pembangkang tidak mengira simbol apa yang bertanding.

Maka di Permatang Pasir yang menyaksikan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman menggalas amanat sebagai calon BN untuk pilihan raya pada 25 Ogos nanti, kesilapan-kesilapan lalu tidak boleh dibenarkan berulang.

Permatang Pasir bukan Manek Urai. Permatang Pasir dinaungi Permatang Pauh yang ahli Parlimennya tidak boleh dinafikan mempunyai sokongan dan pengaruh tersendiri waima apa pun apa yang dilakukan.

Permatang Pasir terletak di negeri yang pimpinannya tidak akan membenarkan BN bertapak atau kembali melebarkan sayap. Bagi barisan kepimpinan DAP, Permatang Pasir semestinya tidak akan diizinkan terlepas ke tangan BN biar pun antara DAP dan Pas sendiri ada sahaja yang tidak kena dan tidak mesra.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri berkongsi perasaan serta pandangannya bahawa Pas tidak akan menang mudah di Permatang Pasir. Rakan DAP dalam pakatan pembangkang itu dilihat terpaksa berhadapan dengan laluan sukar.

Semestinya pandangan Guan Eng itu tidak akan terhenti setakat di situ. Rakan-rakan pakatan pembangkang tidak akan memandang atau membiarkan ahli-ahli Pas bekerja bersendirian - dan segala kata-kata yang dilemparkan sebelum berlangsungnya pilihan raya akan ditelan seketika.

Segala persengketaan akan ditutup sementara.

BN juga mesti begitu. Segala rasa tidak puas hati, kecil hati dan percakaran senyap yang timbul di kalangan parti komponen mesti diketepikan. Permatang Pasir mesti menyatukan semua parti komponen BN. Di situ mereka mesti bekerja keras dan belajar melupakan sengketa lantaran pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan mereka masih gagal berbuat demikian.

Segala rasa tidak puas hati diterjemahkan dalam bentuk memboikot, tidak membantu jentera parti malah adakalanya meracun pengundi supaya mengundi pihak lawan. Manakala ada parti komponen yang muncul di saat akhir dan berkempen sambil lewa,

Setiap pilihan raya kecil baik di peringkat Parlimen mahu pun DUN adalah petunjuk prestasi BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, justeru jika pencapaiannya menyaksikan kemerosotan berpanjangan maka tidak mustahil pertembungan 2011 akan mengulangi prestasi Mac 2008.

ASEAN menuju Hijau

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(Yang mengikuti sambutan Hari ASEAN di Jakarta dan Bangkok pada 8 Ogos lalu)

LUAR daripada kebiasaan, sambutan Hari ASEAN ke-42 pada 8 Ogos lalu diraikan tinggi di awan biru.

Di dalam sebuah pesawat khas Airbus A320 milik AirAsia, hampir 150 orang delegasi terdiri daripada wakil kerajaan, duta asing dan media massa dari 10 negara ASEAN menyambut hari ulang tahun pertubuhan itu dengan cara yang agak unik. Selain acara memotong kek, sambutan turut diserikan dengan pertunjukan fesyen pakaian kebangsaan negara anggota ASEAN oleh pramugari AirAsia.

Turut serta dalam penerbangan dari Jakarta menuju ke Kuala Lumpur sebelum ke Bangkok itu ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Tony Fernandes.

Sambutan Hari ASEAN itu bagaimanapun bermula lebih awal dengan upacara menaikkan bendera di bangunan ASEAN, Jalan Sisingamangaraja, Jakarta Selatan.

Ia diikuti dengan penanaman pokok oleh Surin di laman bangunan ASEAN sebagai simbolik kepada tema sambutan Hari ASEAN kali ini iaitu Hijau.

Signifikannya AirAsia dalam sambutan Hari ASEAN kali ini adalah kerana peranan syarikat penerbangan tambang murah itu dalam menghubungkan kira-kira 600 juta penduduk di rantau ini.

Dengan 130 laluan merentasi 65 destinasi, syarikat penerbangan tambang murah itu juga menjadi simbol kepada kekuatan komuniti ASEAN dalam membawa rantau ini ke seluruh pelosok dunia.

Agak menarik ketika ASEAN masih lagi berdepan dengan cabaran yang lebih besar terutamanya kegawatan ekonomi global dan ancaman keganasan, Hijau dipilih menjadi tema sambutan kali ini.

Ternyata, tema Hijau itu tenggelam pada hari sambutannya apabila delegasi lebih banyak bercerita mengenai operasi pihak berkuasa Indonesia mengepung sebuah rumah di Temanggung, Jawa Tengah, pada hari yang sama.

Rumah itu disyaki dihuni pengganas paling dikehendaki di Asia iaitu Nordin Mat Top yang didakwa bertanggungjawab dalam dua siri pengeboman hotel mewah di Jakarta, 17 Julai lalu.

Di kalangan delegasi yang menyaksikan liputan secara langsung menerusi saluran Metro TV, Hijau ternyata tidak selari dengan keutamaan yang harus diberikan oleh ASEAN sekurang-kurangnya untuk ketika ini.

Apatah lagi Nordin pula dilaporkan berjaya meloloskan diri daripada kepungan itu sekali gus membayangkan bahawa perang terhadap pengganas belum berakhir.

Justeru mengapa Hijau? Tidak menolak hakikat kumpulan militan tidak hanya menjadi isu ASEAN malah global, namun Surin yakin setiap negara termasuk ASEAN, mempunyai mekanisme keselamatan tersendiri dalam mendepani ancaman itu.

Dalam masa yang sama jelasnya, ASEAN tidak boleh terlalu memberi tumpuan kepada ancaman yang nyata seperti kumpulan pengganas dan mengabaikan ancaman 'tidak nyata'.

Lebih lanjut, Surin menjelaskan Hijau juga dipilih sebagai tema berdasarkan kepada tiga cabaran utama yang perlu diberi perhatian oleh negara-negara anggota pada masa depan.

Pertama, cabaran dalam mengekalkan keseimbangan dan kelestarian alam sekitar yang bersih dan bermutu di sebalik pembangunan negara-negara anggota.

Menurut Surin, perubahan iklim melampau yang mencetus kepada fenomena alam luar biasa seperti taufan, kemarau, banjir besar dan sebagainya banyak disebabkan kerakusan manusia mengesampingkan alam atas nama pembangunan.

Malangnya, ASEAN tidak terkecuali daripada menerima impak buruk perubahan iklim itu yang mengorbankan jutaan nyawa penduduknya.

Justeru, sudah tiba masanya negara-negara ASEAN memberi keutamaan kepada aspek 'hijau' dalam setiap agenda pembinaan negara masing-masing.

Cabaran kedua ialah untuk 'menghijaukan' ekonomi rantau ini atau dalam erti kata lain menjadikannya lebih kukuh dan tahan terhadap krisis ekonomi global.

Kegawatan ekonomi yang bermula sejak awal tahun lalu dan masih membelenggu kebanyakan negara ASEAN ketika ini memerlukan rantau ini supaya lebih bersedia dengan model ekonomi tersendiri.

Hakikatnya, kebergantungan kepada negara-negara ekonomi utama menyebabkan ASEAN tidak mampu mengelak daripada turut terkena tempias krisis ekonomi meskipun yang tidak secara langsung berpunca dari rantau ini.

Hijau yang ketiga pula tambah Surin, untuk membawa ASEAN sebagai sebuah pertubuhan yang berorientasikan masyarakat seterusnya dihormati oleh seluruh penduduk dunia.

Surin dalam menegaskan cabaran ASEAN yang ketiga ini mempunyai impian yang lebih jauh iaitu untuk merealisasikan Komuniti ASEAN lebih awal daripada apa yang dihasratkan iaitu sebelum 2015.

Selepas lebih empat dasawarsa memperjuangkan usaha merapatkan hubungan, ASEAN hari ini ujar Surin seharusnya mampu menjadi sebuah platform dalam mewujudkan kesejahteraan di kalangan penduduk negara anggota.

Semangat ASEAN juga ujarnya, perlu melangkaui perhubungan antara kerajaan dengan kerajaan dan meluas dalam setiap lingkungan kehidupan masyarakat negara anggota.

Ia termasuk dalam kerjasama ekonomi, bidang swasta, media massa, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai lapangan lain.

''Seluruh masyarakat negara-negara ASEAN perlu merasakan bahawa ASEAN adalah sebahagian daripada mereka dan mendapat manfaat serta kelebihan secara langsung daripada kerjasama yang terjalin menerusi ASEAN ini," ujar beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vijjajiva dalam pidatonya yang bertajuk 'Peranan Thailand Dalam ASEAN' antara lain turut menyentuh mengenai sumbangan negara berkenaan sepanjang mempengerusikan pertubuhan itu.

Meskipun berdepan kelemut politik yang beberapa kali melumpuhkan kerajaan, namun ujar Abhisit, komitmen Thailand dalam menjayakan apa yang dirangka di bawah ASEAN tidak pernah diabaikan.

Malah, beberapa siri kejayaan juga berjaya dicatatkan hasil inisiatif yang digerakkan sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh Bangkok.

Antaranya kejayaan menarik penglibatan masyarakat negara anggota dalam pembinaan komuniti ASEAN menerusi penganjuran persidangan dan sidang kemuncak termasuk di Cha-am, Hua Hin dan Pattaya baru-baru ini.

Thailand juga tambah Abhisit, memainkan peranan yang menyeluruh dalam memperkenalkan ASEAN di setiap lapisan masyarakat.

Ia termasuk di kalangan pelajar-pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi pelbagai program.

Malah, Thailand juga menjadi negara ASEAN pertama yang menggalakkan kerjasama antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat menerusi kerjasama yang dikenali sebagai Pertubuhan ASEAN-Thailand.

Thailand juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan interaksi dengan negara-negara rakan dialog sehingga ada yang bersedia menghantar wakil atau duta masing-masing di ASEAN.

Malah, Thailand juga sebelum menyerahkan tanggungjawab negara pengerusi kepada Vietnam hujung tahun ini, sekali lagi akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 pada Oktober ini.

''Thailand mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap ASEAN dan sentiasa meletakkan ASEAN sebagai peluang dan pilihan yang penting ke arah menjadikan rantau ini lebih stabil, bersatu dan sentiasa menyedari kelebihan yang ada," ujar beliau.
Apabila Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

DUA minggu lagi semua warga Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan (dulu disebut Hari Kebangsaan) ke-52. Ketika menyambut kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, jangan lupa hanya 11 negeri sahaja di Semenanjung Tanah Melayu yang diisytiharkan merdeka.

Pada masa itu negara kita bernama Persekutuan Tanah Melayu dan Malaya dalam bahasa Inggeris. Lidah penjajah Inggeris tidak boleh menyebut Melayu seperti juga mereka tidak boleh menyebut Mesir lalu dipanggil Egypt.

Apabila Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai kita dan merdeka pada 31 Ogos 1963, barulah negara ini bernama Persekutuan Malaysia. Tetapi perkara penting yang mengiringi kemerdekaan negara kita ialah Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ia adalah undang-undang negara kita yang patut dipatuhi.

Bukan mudah menggubal undang-undang yang begitu 'cantik' dan boleh diguna pakai dalam negara berbilang bangsa ini.

Di dalam Perlembagaan Persekutuan itu, hampir semua perkara berhubung pembentukan negara bangsa ini disentuh.

Selama 50 tahun, semua kaum berpegang teguh pada Perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun ada cubaan untuk meminda, ia hanya berjaya dalam perkara-perkara tertentu sahaja. Semua ini berlaku kerana selama 50 tahun negara ini diperintah oleh kerajaan Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN).

Namun sekarang, apabila PKR, DAP dan Pas berjaya memecahkan tradisi majoriti dua pertiga di Parlimen, maka suara dan percubaan dilakukan untuk menggasak perkara-perkara sensitif dalam Perlembagaan.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, bermakna 18 bulan cerita mengasak-asak isu sensitif seperti dalam Perkara 3 (Islam agama rasmi), Perkara 5 (Kebebasan diri), Perkara 10 (Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan), Perkara 11 (Kebebasan agama), Perkara 12 (Hak-hak berkenaan pelajaran), Perkara 38 (Majlis Raja-Raja), Perkara 70 (Keutamaan Raja dan Yang Dipertua Negeri).

Selain itu ada yang masih tidak faham-faham tentang Perkara 72 (Keistimewaan Dewan Negeri), Perkara 89 (Tanah rizab orang Melayu), Perkara 90 (Peruntukan khas mengenai tanah adat di Negeri Sembilan, Melaka dan tanah pegangan orang Melayu di Terengganu).

Malah isu-isu yang kerap dijadikan pertikaian oleh pemimpin dan rakyat negara ini ialah Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan), Perkara 153 (Hak istimewa orang Melayu).

Setelah sekian lama isu-isu dalam perkara-perkara Perlembagaan di atas dimainkan, ternampak trend yang cuba mempertikaikan Perkara 181 (Pengecualian bagi Kedaulatan Raja-raja) dan Perkara 183 (Tiada tindakan yang boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja kecuali dengan keizinan negara).

Lebih 50 tahun, semua masyarakat berbilang kaum hidup dengan aman damai, tetapi selepas tsunami politik 18 bulan lalu itu, semua berubah.

Satu demi satu perkara dalam Perlembagaan Persekutuan ditekan dan mahu diubah. Hakikat yang mula dilupakan ialah Perlembagaan bukan sahaja menjaga dan memelihara hak-hak orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.

Kita hairan kenapa kelebihan orang Melayu sahaja yang diperkatakan, bagaimana tentang keciciran dan kemunduran Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi.

Bukan Melayu hendak semua sama rata atas prinsip hak asasi tetapi lupa keadilan kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang menjadi majoriti.

Kita tidak mahu kerajaan pimpinan Melayu diasak-asak dan akhirnya mengalah. Kita tak benarkan orang Melayu terpedaya dengan konsep sama rata.

Kita mahu orang Melayu bangkit bersuara dan sedarkan rakan daripada kaum lain supaya faham akan kedudukan negara.

Jangan dibiarkan tiang seri negara dibiarkan dihina tanpa ada rasa kesal di jiwa orang Melayu.

Jika kita ikut dan patuhi perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak layak disebut pun perkataan kaum Cina dan India selepas kaum Melayu dalam penulisan atau ucapan.

Dalam Perlembagaan tidak disebut pun kedudukan kaum Cina dan India. Definisi bangsa Malaysia yang disebut ialah Orang Asli, Melayu dan Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain.

Begitu juga kalau diikut Perlembagaan, tidak dibenarkan penubuhan sekolah jenis kebangsaan Cina atau sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Tetapi atas semangat perkongsian kuasa dan tolak ansur demi memelihara perpaduan antara kaum, maka semua yang 'tersasar' daripada Perlembagaan tidak diambil tindakan.

Tetapi sekarang, perkara yang kita bertolak ansur itu mahu terus dipertahankan dan yang hak milik pribumi pula mahu dikikis dan dihapuskan. Adilkah?
BISIK-BISIK

SEMUA pandangan yang disalurkan kepada akhbar Awang berhubung kenyataan Nik Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam, tidak menyenangi pendirian Mursyidul Am Pas itu.

Sebahagian besar daripada mereka yang menghantar surat pembaca dan SMS menyatakan mereka tidak dapat menerima perkara itu malah mempersoalkannya.

Pandangan-pandangan itu sebenarnya selari dengan reaksi para pemimpin Islam dan pelbagai pertubuhan lagi yang antara lain menganggap pendirian serupa itu akan mengikis perasaan kepekaan terhadap Islam.
Rancang persediaan hari tua

Kebanyakan kawan yang sebaya dengan saya sudah empat lima tahun bersara daripada pekerjaan mereka. Ada yang telah meneruskan kehidupan dengan membuka perniagaan dan ada juga yang bergantung kepada wang pencen daripada perkhidmatan kerajaan mereka.

Tidak kurang juga yang kurang sihat menghidap kencing manis, darah tinggi, gout dan macam-macam lagi.

Bagi mereka yang bekerja dengan syarikat swasta wang KWSP menjadi penyambung hidup. Ada juga yang bergantung semata-mata dengan pendapatan isteri mereka.

Walau apa pun kesimpulannya adalah dua perkara. Pertama seseorang itu memerlukan sejumlah wang yang agak banyak juga untuk meneruskan kehidupan selepas bersara.

Kedua sudah menjadi lumrah dunia apabila mencapai paras umur yang meningkat seperti 50 ke atas, seseorang itu boleh menghidap pelbagai jenis penyakit.

Sekiranya dia seorang bekas pegawai kerajaan, rawatan untuk penyakit dibiayai oleh kerajaan tetapi bagi mereka yang bukan pegawai kerajaan, kos rawatan penyakit mungkin tinggi kalau keluar masuk hospital.

Bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang bertanggungjawab, legalah sedikit kehidupan mereka.

Menurut suatu kajian bagi penduduk Malaysia lelaki purata berumur sehingga 74 tahun tetapi 14 tahun terakhir selalunya mengalami pelbagai jenis penyakit.

Contohnya kencing manis. Penyumbang utama ialah minum berkarbonat seperti Pepsi, Coca-Cola, Root Beer dan sebagainya. Tidak kurang juga sumbangan daripada teh tarik yang hanya teh dengan gula sebenarnya. Tetapi memanglah sedap dan tidak boleh berpisah bagi sesetengah orang.

Kalau dibincangkan, berapakah jumlah wang yang cukup untuk menampung kehidupan kita selepas bersara? Kalau hidup selama 10 tahun selepas bersara, jika ada RM1 juta sekalipun, ia bukan bernilai RM1 juta selama 10 tahun.

Kita harus ingat nilai mata wang akan merosot tahun demi tahun dan mungkin RM1 sekarang akan bernilai hanya 10 sen 10 tahun lagi. Bererti kalau seseorang itu sudah biasa dengan sesuatu taraf kehidupan mungkin kerana jawatan tingginya sebelum bersara, RM1juta kalau dibahagikan 10 tahun tidak lagi bernilai RM100 ribu setahun.

Berapa ramai di antara kita yang mempunyai simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM1 juta apabila kita bersara?

Ertinya kalau simpan di bawah daripada RM1 juta sudah tentu tidak mencukupi. Tambahan pula kalau ada anak-anak yang masih belajar di kolej atau di universiti. Kalau anak belajar di luar negara dan tidak ada biasiswa tentulah bertambah tertekan.

Oleh itu apakah yang harus dilakukan? Bagi seseorang yang ingin bersedia akan masa tuanya, dia perlu membuat persiapan beberapa tahun sebelum bersara. Itulah sebabnya kita semua perlu membuat perancangan diri sendiri.

Kita bertungkus lumus kadang-kadang membuat perancangan untuk syarikat atau organisasi kita tetapi kita jarang sekali merancang untuk diri kita sendiri. Misalnya bila sampai umur 40 hendak jadi apa? 50 ada di mana? Kitalah yang menentukan nasib kita.

Kalau kita tidak membuat perancangan hidup kita, nescaya kehidupan kita ibarat sepotong kayu yang hanyut di lautan, singgah di pantai di mana dipukul ombak.

Tidak ganjil kalau kita bertukar kerja lepas beberapa tahun berkhidmat dengan sesuatu badan atau syarikat demi masa depan kita dan keluarga kita. Kebanyakan anak muda yang baru bekerja tidak terfikir untuk membuat perancangan tentang masa depan mereka kerana masih seronok dengan kehidupan orang bujang.

Seseorang yang merancang masa depannya tahu apa yang hendak dicapainya. Mungkin dia tidak dapat mencapai setinggi yang dikehendakinya tetapi dia akan berusaha ke arah itu.

Ertinya dia mempunyai hala tuju kehidupan. Dia juga melihat apa yang diperlukan dari segi pengalaman dan kemahiran untuk mencapai sesuatu matlamat.

Misalnya ingin menjadi usahawan bila sampai umur 40 tahun. Dia harus membuat keputusan bidang apa dan dari mana dia boleh mendapatkan maklumat tentang idamannya sama ada daripada kajiannya atau daripada berinteraksi dengan mereka yang berpengalaman.

Dia juga harus menilai kelemahan dan kekuatan dirinya. Misalnya nak jadi usahawan tapi tak tahu akaun atau menyimpan buku. Kenalah cari jalan belajar. Kalau bahasa Inggeris tak lancar kenalah belajar bahasa Inggeris. Atau ada baiknya tahu bahasa Cina, eloklah belajar bahasa Cina.

Menilai kelemahan dan kekuatan diri seseorang itu penting untuk melengkapkan persiapan mencapai sesuatu hajat itu.

Begitu juga jenis pengalaman yang diperlukan. Mestilah sanggup melabur masa untuk sesuatu jangka masa yang panjang untuk mendapatkan pengalaman. Misalnya nak jadi kontraktor elektrik yang bertauliah, tentulah perlukan pengalaman beberapa tahun.

Kemudian kita juga kena mengakui halangan-halangan atau batasan-batasan dalaman dan luaran diri kita. Mengenal pasti halangan-halangan penting untuk mencari jalan mengatasi mereka.

Kita mestilah mempunyai kehendak yang kuat untuk berjaya dalam hidup, tidak semestinya hendak kaya saja. Kalau hendak jadi ahli sufi sekalipun kena belajar bertahun-tahun. Kenalah tahu syariat, tarikat, hakikat makrifat, zat, sifat, ismak ef'el dan iman, tawakal, ilmu, akhlak. Kenalah berguru barulah boleh sampai.

Saya syorkan semua keluarga menubuhkan sebuah syarikat supaya segala perbelanjaan boleh diserapkan ke dalam syarikat tersebut. Kenalah kenal pasti sesuatu jenis perniagaan seperti ubat kampung turun menurun yang boleh dikomersilkan.

Kalau isteri pandai menjahit boleh terima tempahan untuk menjahit atau pandai melakukan landskap, juga suatu perniagaan. Di Internet pun macam-macam jenis perniagaan yang ada tetapi hati-hati jangan sampai tertipu bila minta duit dulu dan menceritakan orang ini dan itu boleh dapat pendapatan beratus ribu sebulan, sedangkan barang yang dijual hanya RM40/RM50 saja.

Kita mesti buat siasatan dulu sebelum menceburkan diri supaya jangan sampai wang simpanan kita tergadai.

Hanya dengan ada suatu perniagaan saja masa depan kita boleh terjamin. Tak percaya?

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Antara gula dan topeng penutup mulut

Oleh YULPISMAN ASLI
utusanpahang@utusan.com.my

DUA barangan ketika ini yang dikatakan menjadi tumpuan orang ramai termasuk di Pahang ialah gula dan topeng penutup mulut dan hidung.

Laporan mengenai kekurangan gula yang turut menular ke Pahang, menyebabkan ada daerah dilaporkan mengalami kekurangan bekalan.

Puncanya mudah, orang ramai atau lebih tepat lagi pengguna, mudah terpengaruh dengan berita yang diterima sehingga bertindak membuat pembelian panik. Kesannya, bekalan gula berkurangan di pasaran.

Mujur gula dijadikan barangan kawalan oleh kerajaan menyebabkan peniaga tidak dapat menaikkan harga.

Jika tidak, dalam keadaan begini, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti harga gula akan melambung disebabkan permintaan yang luar biasa.

Tindakan pantas dan tegas Kementerian Perdagangan Dalan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam menangani masalah tersebut, menyebabkan orang ramai kini boleh menarik nafas lega.

Mengenai topeng penutup hidung dan mulut pula, alat itu semakin mendapat pasaran dek kebimbangan orang ramai yang semakin memuncak mengenai jangkitan virus selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang setakat Khamis lalu, telah meragut 51 kematian, termasuk di Pahang.

Bermula daripada laporan keadaan terkawal dan hanya melibatkan jangkitan di kalangan pengembara, kini wabak tersebut semakin 'mengganas' apabila ia membabitkan jangkitan tempatan menyebabkan banyak institusi pendidikan ditutup.

Permintaan yang tinggi, menyaksikan alat itu semakin laris di pasaran, ibarat 'pisang goreng panas.'

Buktinya, usaha penulis untuk membeli alat itu di beberapa kedai serbaneka dan farmasi sekitar Kuantan, beberapa hari lalu gagal.

Alasannya, topeng penutup mulut dan hidung habis disebabkan permintaan tinggi.

Kebimbangan orang ramai mengenai penyakit itu yang tiba-tiba 'membara', punca kepada kehabisan topeng penutup hidung itu di pasaran.

Sekiranya wabak itu terus menular, permintaan sudah pasti semakin meningkat.

Kebimbangan itu ditambah lagi dengan keadaan kualiti udara yang tercemar angkara pembakaran hutan di negara jiran.

Kesannya, orang ramai mula 'berebut- rebut' untuk mendapatkan topeng tersebut yang sebelum ini mungkin dipandang sebelah mata dan jika pun ada, hanya disimpan di dalam laci.

Kini, tersebar pula berita dari mulut ke mulut mengenai jumlah korban akibat wabak itu yang semakin meningkat di Kuantan.

Berita itu tersebar dengan cepat, sekali gus meningkatkan lagi kebimbangan orang ramai terhadap penularan wabak berkenaan di Pahang, khususnya di Kuantan.

Namun persoalannya, sejauh manakah kesedaran orang ramai mengenai kaedah pemakaian topeng penutup mulut dan hidung itu?

Adakah ia perlu diganti setiap hari atau memadai hanya memakai seunit secara berulang kali?

Bagaimana pula dengan kaedah pembuangan topeng yang telah digunakan dan sudah tentunya mengandungi pelbagai jenis virus atau bakteria?
Rakyat Malaysia wajar berpandangan lebih positif terhadap Indonesia


SUASANA kesesakan jalan raya di Jakarta. Pertumbuhan ekonomi Indonesia memberangsangkan berbanding dengan tujuh tahun lalu. - AFP


PADA 8 Ogos lalu merupakan sambutan ulang tahun ASEAN. Menurut Sekretariat ASEAN di Jakarta, sebanyak 548 juta orang meraikan ulang tahun ke-42 itu. Sambutan itu mengingatkan kembali Deklarasi ASEAN yang dibuat di Bangkok, Thailand pada 1967 iaitu 10 tahun selepas Malaysia merdeka.

Selain itu ulang tahun berkenaan seharusnya dijadikan oleh para pemimpin dan rakyat di negara anggota ASEAN melihat kembali sejauh mana usaha dilakukan untuk memakmurkan rantau ini.

Apa yang menarik berlaku di Yogyakarta iaitu salah sebuah bandar utama di Indonesia terletak di Jawa Tengah, pada 8 Ogos lalu terdapat lapan agensi pelancongan dari Malaysia dan Indonesia telah menyatakan persetujuan untuk mempromosikan pakej pelancongan baru yang diperkenalkan iaitu Pakej Pelancongan Warisan UNESCO.

Pakej yang mengambil konsep 1, 2, 3 iaitu satu matlamat, dua buah negara dan tiga destinasi akan mempromosi Borobudur di Yogyakarta dan dua lokasi warisan UNESCO iaitu Pulau Pinang dan Melaka di Malaysia.

Ini bermakna Malaysia yang menjadi tumpuan pelancong dari China dan Jepun akan turut menggalakkan mereka melawat Borobudur, manakala Indonesia yang menjadi tumpuan pelancong Eropah turut mempromosi Pulau Pinang dan Melaka.

Idea pakej pelancongan itu dibangkitkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Dr. Ng Yen Yen semasa lawatan pertama kali sebagai Menteri Pelancongan ke Indonesia dan bagi merealisasikan hasrat itu, Pengerusi Lembaga Penggalakkan Pelancongan, Datuk Dr. Victor Wee dan Timbalan Ketua Pengarah, Datuk Amiruddin Abu telah mengadakan pertemuan dengan agensi pelancongan yang berkenaan.

Semuanya berjalan lancar dan 16 agensi pelancongan terbabit tidak sabar untuk bekerjasama menjual pakej pelancongan tersebut yang turut mendapat sokongan Penerbangan Malaysia yang memberi tambang istimewa.

Langkah itu membuktikan bahawa Malaysia dan Indonesia dengan kedua-duanya anggota ASEAN mampu bekerjasama dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu yang tentunya menjejaskan semua sektor ekonomi terutama pelancongan.

Jadi tidak hairan ramai ahli perniagaan di Malaysia kini mulai membuka mata dan menyifatkan negara jiran Indonesia merupakan penyelamat kepada ekonomi rantau ASEAN. Ini jelas dilihat kerana ketika negara lain mengalami pertumbuhan negatif, Indonesia masih lagi mencatatkan pertumbuhan positif.

Seorang pengusaha restoran rakyat Malaysia di Jakarta menceritakan kepada penulis bagaimana perniagaannya di Malaysia terjejas kira-kira 40 peratus berikutan krisis ekonomi global, bagaimanapun perniagaannya di Indonesia sedikit pun tidak terjejas dan sekali gus menjadi penyelamat kepada perniagaannya keseluruhan.

Aktiviti perniagaan di Indonesia tidak terjejas kerana pasarannya tidak terlalu bergantung kepada eksport. Sebagai negara terbesar di ASEAN dan ketiga terbesar di dunia, Indonesia mempunyai pasaran domestik yang cukup besar dengan memiliki 280 juta penduduk.

Walaupun sebelum ini status negara ketiga di dunia paling berpotensi dari segi pelaburan asing selepas China dan India dianggap sebagai propaganda pihak tertentu, tetapi kini ia terbukti dengan jelas sekali.

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia berpandangan lebih positif terhadap negara jiran Indonesia walaupun kira-kira dua juta rakyat negara itu bekerja sebagai buruh binaan, pekerja ladang dan pembantu rumah di Malaysia.

Mungkin panggilan 'Indon' perlu dikikis dari lidah rakyat Malaysia kerana panggilan itu cukup tidak digemari oleh rakyat Indonesia kerana dianggap sebagai merendahkan darjat mereka.

Lidah rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan panggilan itu perlu dilatih semula agar tidak mengecilkan hati rakyat negara serumpun.

Kepada majikan di Malaysia, berhentilah bertindak kejam dan menganiayai pekerja negara jiran hanya kerana salah faham dan kurang mengerti budaya serta adat resam masing-masing. Kerana tindakan tidak bertamadun segelintir majikan sedemikian akan menyebabkan hubungan kedua-dua buah negara menjadi renggang.

Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak sendiri ketika baru memegang pucuk pimpinan negara menjadikan Indonesia sebagai negara pertama dilawatinya sebagai menunjukkan betapa pentingnya negara jiran itu.

Begitu juga Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono sendiri ketika menang pada Pilihan Raya Presiden baru-baru ini juga berharap supaya Perdana Menteri Malaysia adalah orang pertama yang mengucap tahniah kepada beliau dan ternyata hasrat Susilo itu tertunai apabila Najib merupakan orang pertama yang menelefon dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan Susilo mengekalkan pemerintahannya untuk penggal kedua.

Jika kita memandang negara jiran berkenaan dengan pandangan yang lebih positif maka akan dapat dilihat sebenarnya, banyak yang boleh dipelajari serta dikongsi demi kesejahteraan bersama.

Petunjuk di sebalik hukuman 18 bulan ke atas Suu Kyi

Oleh ROHANI IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

HUKUMAN tahanan rumah selama 18 bulan ke atas pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi oleh sebuah mahkamah di Yangon tidak dilihat secara negatif oleh semua pihak. Ini kerana keputusan berkenaan tidaklah seteruk seperti yang dijangkakan oleh masyarakat antarabangsa selama ini.

Hukuman ke atas Suu Kyi pada asalnya adalah penjara tiga tahun dengan kerja berat. Bagaimanapun, ia kemudiannya diringankan kepada tahanan di rumah selama setahun setengah apabila Ketua Junta, Jeneral Kanan Than Shwe menandatangani perintah khas meringankan hukuman berkenaan.

Ini bermakna Suu Kyi, 64 yang sememangnya berada dalam tahanan rumah selama 14 tahun akan terus berada dalam tahanan rumah semasa pilihan raya berbilang parti yang dijadualkan oleh junta tentera tahun depan.

Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga bekas Utusan Khas PBB ke Myanmar, Tan Sri Razali Ismail menyifatkan hukuman tahanan rumah itu mengambil kira banyak faktor selain melegakan penyokong Suu Kyi di Myanmar dan seluruh dunia.

"Tidak dinafikan banyak pihak akan berasa kecewa dengan hukuman berkenaan tetapi tahanan di rumah selama 18 bulan bermakna beliau akan terus berada di rumah seperti sebelum ini.

"Jelaslah junta tentera mengambil kira beberapa faktor dalam menjatuhkan hukuman ke atas beliau dan salah satu daripadanya ialah Suu Kyi dihormati oleh masyarakat di Myanmar dan di luar Myanmar. Jadi bagi junta tentera tidak perlulah Suu Kyi dipenjarakan atau dilenyapkan dari pandangan masyarakat sama sekali," katanya.

Razali berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada sesi Perbincangan Meja Bulat di antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) dan Forum Hubungan Antarabangsa Malaysia (MIAF) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai Utusan Khas PBB ke Myanmar, Razali merupakan orang tengah di antara kerajaan Myanmar dan Suu Kyi pada Oktober 2000. Bagaimanapun pada tahun 2006, Razali memutuskan untuk berundur daripada jawatan itu selepas mendapati usaha menamatkan kemelut politik di Myanmar menemui jalan buntu.

Ini kerana junta tentera menghalang beliau daripada melawat Myanmar dua tahun lalu menyebabkan Razali mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak sebagai Utusan Khas PBB ke negara tersebut.

Ditanya mengenai hukuman ke atas Suu Kyi baru-baru ini, beliau melahirkan rasa gembira kerana hukuman yang dijatuhkan menggambarkan junta tentera mengambil kira populariti Suu Kyi biarpun selama beberapa tahun banyak tuduhan negatif yang dilemparkan ke atas pemimpin prodemokrasi berkenaan.

"Saya rasa ada sesuatu yang boleh diterjemahkan daripada hukuman tahanan rumah selama 18 bulan itu. Kini junta tentera mula mengambil kira pandangan masyarakat.

"Mengenai Suu Kyi yang hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya, ia bukanlah satu perkara baru kerana selama ini beliau memang tidak layak untuk bertanding kerana bersuamikan seorang warga asing. Saya rasa Suu Kyi juga menyedari hakikat itu," jelasnya.

Tambah Razali, tempoh 18 bulan tahanan rumah Suu Kyi tidak harus dilihat secara negatif tetapi cuba mencari jalan untuk berunding dengan junta tentera ke arah proses damai.

"Pada pandangan saya, jika dua pihak yang bertelagah di Zimbabwe boleh melakukan sesuatu untuk memastikan wujud keadaan damai di negara mereka maka tidak mustahil bagi junta tentera untuk bekerjasama dengan masyarakat sivil dan puak minoriti di Myanmar untuk mewujudkan perdamaian.

"Biarlah tempoh 18 bulan hukuman ke atas Suu Kyi menjadi proses membina damai. Saya rasa mengenali Suu Kyi sedikit dan saya tahu beliau akan turut menyokong sebarang proses ke arah perdamaian biarpun beliau terus ditahan," katanya.

Razali berkata, Suu Kyi akan terus menjadi individu penting di pentas dunia dan tidak ada siapa yang boleh menghapuskan beliau begitu sahaja daripada perhatian masyarakat antarabangsa.

"Saya berharap tidak akan ada pihak yang melihat hukuman tahanan rumah selama 18 bulan ke atas Suu Kyi dari sudut negatif semata-mata," tambah beliau.

Katanya, proses demokrasi tidak berlaku dalam sekelip mata atau begitu sahaja tetapi perlu diusahakan oleh pelbagai pihak.

"Jika saya diberikan peluang, saya akan meletakkan seluruh jiwa dan raga saya dan mencuba sedaya upaya untuk melihat bagaimana boleh mewujudkan perdamaian di bumi Myanmar.

"Saya rasa kita kini sedang menuju ke arah perdamaian. Ada kemungkinan untuk proses damai berlaku dan tidak semua perkembangan di Myanmar pada masa ini bersifat negatif," jelas beliau.

Kata Razali, para pemimpin dalam ASEAN perlu tampil dan mengambil tindakan secara bijak untuk menyelesaikan kemelut politik di Myanmar dan bukan hanya mengeluarkan kenyataan untuk tajuk utama akhbar.

"Langkah-langkah serius perlu dirangka sebagai usaha awal untuk mewujudkan kerajaan sivil di Myanmar. Saya rasa pemimpin ASEAN perlu berbincang dengan China, India dan Amerika Syarikat (AS) mengenai perkara ini.

"AS mempunyai pengaruh yang besar dan sebarang usaha yang inginkan kejayaan perlu melibatkan negara tersebut," tambahnya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang turut ditemui pada majlis yang sama berkongsi pandangan dengan Razali mengenai hukuman ke atas Suu Kyi.

"Saya lihat proses pendemokrasian di Myanmar sudah bermula. Sebelum ini proses berkenaan seolah-olah terhenti sama-sekali. Saya berharap proses pendemokrasian di Myanmar akan berjalan lebih cepat.

"Saya fikir ini sahajalah yang dapat saya katakan kerana saya tidak mahu meletakkan Wisma Putra dalam masalah," jelasnya.
Nik Aziz buka 'pintu tebatan banjir'

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@nstp.com.my

BENDERA Barisan Nasional dan Umno memeriahkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir menjelang hari pengundian 25 Ogos.


Pendirian politik-agama Pas halalkan penghinaan DAP terhadap kesucian Islam


MEMBENARKAN pemimpin parti bukan Islam bercakap mengenai Islam meskipun menghina agama itu, dengan alasan mereka bukan Islam dan tidak memahami Islam, adalah ibarat memberi 'cek kosong' kepada seseorang untuk mengisi berapa jumlah wang yang dikehendakinya. Dalam politik, ia adalah golongan yang Islam yang terlalu liberal.

Apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang memberikan isyarat itu, ia sebenarnya menggambarkan sikap politiknya. Jika sebelum ini pemimpin DAP teragak-agak untuk bercakap soal Islam kerana bimbang reaksi garang daripada Pas, kali ini mereka sudah mendapat lesen besar. DAP adalah rakan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR). Ada pihak yang menganggap kenyataan itu sebagai muslihat politik Pas yang mahu memastikan terus kekal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 25 Ogos ini. Isnin ini adalah hari penamaan calon bagi kawasan itu yang diadakan berikutan kematian wakil Pas, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman baru-baru ini. Di kawasan itu ada 25.85 peratus pengundi Cina, 2.24 peratus India dan lain-lain, manakala 72.36 peratus adalah pengundi Melayu. Bagi Pas, undi kaum Cina amat penting untuk memastikan kemenangan dengan mengambil kira undi Melayu terpaksa berkongsi dengan calon Barisan Nasional (BN). Pas lupa tidak semua undi Cina boleh mereka peroleh kerana BN juga mendapat sokongan bukan Melayu.

Pas atas nama maruah, pastinya mahu terus bertanding di kawasan itu manakala rakan partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga menunjukkan minat untuk meletakkan calonnya. Berasaskan kepada sikap DAP, ia dilihat lebih berat untuk menyokong calon PKR. Sekali pun calon Pas yang dipilih, pemimpin parti yang kononnya memperjuangkan Islam itu juga bimbang terhadap sikap penyokong DAP yang kebanyakannya kaum Cina, bertindak menikam mereka dari belakang. Atas dasar itu, Pas terpaksa mengambil hati DAP dengan apa cara sekali pun. BN mencalonkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Sikap pemimpin Pas itu yang tidak membantah kenyataan pemimpin parti dalam pakatannya walau pun mereka menghina Islam, menunjukkan beliau sebenarnya membuat pendirian politik-agama. Jika teori politik-ekonomi membabitkan kuasa dan pemilikan organisasi politik termasuk media, politik-agama pula ialah pengaruh dan kuasa yang digunakan oleh seseorang terhadap kumpulan sasaran dengan menggunakan agama untuk tujuan politik atau sebaliknya yang mana politik digunakan untuk tujuan agama.

Pada suatu ketika, pemimpin Pas tidak sedikit pun bertolak-ansur dalam apa juga perkara yang membabitkan Islam. Mereka menuduh orang Umno kafir. Tidak siapa lupa bagaimana Pas dan DAP bertelagah mengenai negara Islam. Pas ketika itu melenting apabila ada pemimpin DAP yang dengan lantang mengatakan "langkah mayat mereka dulu jika Pas mahu menjadikan Malaysia negara Islam". Alasan bahawa mereka yang tidak memahami Islam boleh menghina Islam sukar diterima. Apakah umat Islam sanggup mendengar cacian daripada orang lain sedangkan kita tahu mereka tidak layak bercakap soal Islam. Jika semua hendak dihalalkan, apakah tindakan tentera Serbia terhadap umat Islam Bosnia-Herzegovina boleh dimaafkan juga kerana tentera Serb tidak faham Islam. Begitu juga segala perbuatan di Kashmir, Gaza atau Selatan Thai. Sikap pemimpin Pas ini tidak sedikit pun menggambarkan elit agama pemimpin Pas. Sebaliknya, kenyataan seperti ini menguatkan hujah bawa pemimpin Pas hari ini masih dikategori pemimpin agama tradisional. Mempercayai apa juga yang diperkatakan oleh pemimpin seperti itu seolah-olah pengikut mereka berada dalam komuniti primitif. Ia samalah seperti masyarakat yang percaya kepada kesaktian dukun, bomoh, tukang tilik, ahli sihir dan sebagainya untuk membantu mereka membuat keputusan. Bagi pemikiran primitif, mereka menyerahkan kepada kuasa kesaktian untuk menentukan nasib dan masa depan mereka. Oleh itu, polemik yang cuba diutarakan ini lebih sesuai kepada pemikiran masyarakat kampung. Golongan elit agama seharusnya menjurus kepada isu yang lebih besar seperti yang cuba dibawa oleh pelbagai pertubuhan dan organisasi yang berpegang kepada idealisme. Hari ini, pengaruh pemimpin agama tradisional semakin merosot dengan kepesatan urbanisasi. Pemimpin tradisional ini hanya masih berpengaruh di negara atau negeri yang miskin. Di kebanyakan negara, golongan elit agama tradisional sudah kehilangan kuasa. Sebaliknya, orientasi pemimpin semangat kebangsaan, masih mampu bertahan. Kebelakangan ini banyak soal sensitiviti agama dan kaum secara sengaja atau tidak sengaja, dibangkitkan. Isu Islam agak lebih menonjol dengan adanya blog-blog yang cuba mempersoalkan Islam. Isu kaum agak reda sedikit dengan wujudnya gagasan 1Malaysia yang mula mendapat tempat di persada politik tanah air. Isunya adakah orang Melayu tidak mahu lagi bercakap soal ketuanan Melayu kerana ia mungkin dianggap bercanggah dengan gagasan 1Malaysia. Atau, orang Melayu masih menganggap isu ketuanan Melayu masih relevan terutama dalam konteks perjuangan Umno. Walaupun setahun lalu banyak isu ketuanan Melayu dibangkitkan hinggakan peristiwa menghunus keris diulang-ulang, kebelakangan ini isu agama mendapat perhatian yang lebih besar oleh ahli politik. Jika orang yang bercakap itu tidak tahu soal Islam, disokong oleh mereka yang tahu soal hukum, ia sebenarnya menghuru-harakan keadaan. Pengikut mereka juga keliru. Tetapi disebabkan mereka dianggap sebagai pemimpin elit agama, apa saja yang dicakapkan dianggap betul belaka. Disebabkan, pemimpin parti Islam sendiri merelakan, orang bukan Islam bercakap dan menghina Islam, ia dianggap membuka 'pintu tebatan banjir'.
Minda Pengarang: Sokongan swasta bantu pacu sektor pertanian

SEKTOR pertanian disenaraikan sebagai satu daripada teras ekonomi negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Bersama sektor perindustrian dan perkhidmatan, bidang pertanian dikenal pasti sebagai satu daripada tonggak utama ekonomi pada masa depan. Menerusi pelbagai inisiatif, kerajaan berharap sumbangan sektor pertanian dan industri asas tani, yang sebelum ini agak terkebelakang, dapat ditingkatkan. Tumpuan kepada sektor itu sebenarnya bukan saja untuk meningkatkan ekonomi tetapi lebih penting limpahannya dapat memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di luar bandar serta pedalaman. Pada masa sama, ia juga dapat merealisasikan hasrat kerajaan menyediakan dasar jaminan bekalan makanan, setanding yang diamalkan negara maju. Sejak beberapa tahun lalu, tumpuan terhadap sektor itu berkisar kepada usaha meningkatkan pembabitan rakyat. Pelbagai program seperti projek estet mini, pertanian berkelompok, skim siswazah tani dan penghasilan produk pertanian mengikut daerah, pesat berkembang. Manfaatnya jelas apabila saban tahun, jumlah mereka yang mengusahakan bidang pertanian secara komersial semakin meningkat manakala banyak tanah terbiar kini menjadi tapak projek pertanian. Rakyat yang dulu melihat pertanian sebagai kegiatan sampingan, kini berstatus jutawan tani. Tumpuan berterusan dalam sektor pertanian bernilai tambah seperti bioteknologi pula membuka pelbagai peluang ekonomi baru yang berjaya dimanfaatkan sehingga ke peringkat global.

Dalam usaha menyemarakkan lagi sektor pertanian, lonjakan perkembangan ke peringkat seterusnya memerlukan sokongan swasta. Ini bagi membolehkan industri pertanian diusahakan secara lebih sistematik sekali gus membolehkannya melakukan transformasi supaya mendatangkan peluang yang melimpah ruah. Sokongan dan komitmen swasta memacu pembangunan pertanian dapat mempercepatkan lagi peralihan sektor itu daripada kaedah tradisional kepada lebih moden, dinamik, komersial serta berteknologi. Iltizam kerajaan menarik pembabitan sektor swasta dibuktikan dengan pelbagai penambahbaikan dalam sistem penyampaian berkaitan. Usaha ini diharap dapat merangsang lebih banyak syarikat terbabit sama memajukan sektor pertanian sebagai strategi serampang dua mata iaitu menjana keuntungan komersial sambil meningkatkan taraf hidup masyarakat. Dalam persekitaran ekonomi global yang suram ketika ini, langkah memperkasa sektor pertanian tepat pada masanya. Ketika pelaburan dalam bidang perindustrian kian berkurangan dan pendapatan daripada industri perkhidmatan semakin susut, pengukuhan sektor pertanian memang sesuatu yang amat diharapkan bagi menjamin ekonomi negara terus stabil. Ia juga diharap mampu mengurangkan import hasil pertanian negara yang kini dianggar berjumlah RM13 bilion setahun. Ini tentunya dapat memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran negara, sekali gus menyumbang ke arah kestabilan ekonomi. Pengukuhan sektor pertanian mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengelak mereka terlalu bergantung kepada kerajaan. Ia juga boleh membantu menerapkan budaya keusahawanan di kalangan masyarakat. Menyedari peluang yang terbuka luas dalam sektor pertanian, kita berharap sokongan sektor swasta untuk memacu pertumbuhannya, membawa manfaat besar kepada semua, seperti yang dijanjikan pepatah 'berbudi kepada tanah, lambat laun pasti mendapat faedah'.
Cakap-cakap

BILA nak masuk bulan Ramadan saja, peniaga atau pengedar mula buat hal. Ini berikutan masalah kekurangan gula yang melanda banyak tempat kebelakangan ini. Keadaan ini menyebabkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menawarkan RM10,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat terhadap mereka yang menyorok dan menyeludup gula. Mamat rasa ini taktik lama peniaga untuk untung lebih. Mentang-mentanglah gula sangat diperlukan menjelang hari perayaan nanti.

Mamat - teh tarik kurang manis satu
Titisan harapan: Kerap sakit pinggang, sendi

Oleh Karim Sulaiman
sitikarim@gmail.com

SUDAH lama kena penyakit ini? Itulah soalan cepu gangsa - meminjam ungkapan sahabat baik yang juga pengacara televisyen dan penyampai radio, Abby Fana, yang sukar saya berikan jawapan tepat. Adakalanya saya terganggu dan bosan bila ramai bertanya soalan popular ini. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu sejak bila diserang scleromyxedema. Apapun, apabila doktor tanya, saya perlu memberikan jawapan hampir tepat kerana maklumat ini penting bagi mereka.

Berdasarkan simptom penyakit ini, saya mungkin mendapat scleromyxedema sebelum 2000. Pada waktu itu, saya kerap sakit sendi, terutama kaki dan pinggang. Bagi menghilangkan sakit, hanya perlu dipicit. Sakit sendi itu semakin teruk pada 2000 membuatkan saya keletihan dan ada kalanya hampir jatuh apabila lutut terlalu sakit. Apabila bertemu doktor, saya hanya diberikan ubat sapu untuk melegakannya. Doktor memberitahu mungkin kerana kepenatan dan tekanan.

Saya masih ingat sewaktu menjadi Pengarang Berita Harian Metro, beberapa kali meredah lorong gelap di antara bangunan China Press dan Mutiara Bangsar seorang diri pada awal pagi untuk ke klinik berhampiran apabila tidak dapat menanggung kesakitan. Sakitnya sukar dibayangkan. Lutut bagai hendak tercabut dan pinggang bagaikan hendak putus. Hanya suntikan dapat meredakan kesakitan. Memang biasa bagi kakitangan Harian Metro bekerja hingga selepas tengah malam kerana ketika itu ia akhbar tengah hari.

Ada waktunya bila diserang sakit sendi saya hanya mengambil Panadol dan berehat. Walaupun diberi ubat tahan sakit, saya terlalu jarang mengambilnya kecuali jika terlalu sakit. Saya tidak mahu terlalu bergantung kepada ubat penahan sakit yang terbukti mempunyai kesan sampingan. Hingga kini, saya tidak mengambil ubat penahan sakit, sekadar menelan sebiji Panadol bila perlu.

Sakit yang saya alami itu, mengingatkan peristiwa seorang rakan yang meninggal dunia secara mengejut. Rakan saya itu memang nampak sihat, tetapi bedah siasat kemudian mendapati beliau meninggal dunia kerana serangan jantung. Hal ini mendorong saya membuat pemeriksaan kesihatan menyeluruh. Mana tahu saya juga berpenyakit.

Seminggu selepas pemeriksaan itu, saya menerima panggilan daripada doktor untuk bertemu segera. Agak cemas, mesti ada yang tidak kena dengan hasil pemeriksaan itu. Doktor memberitahu hasil ujian darah mendapati 'ada sedikit kerosakan pada hati' saya. Doktor mengesyaki saya terkena Hepatitis B, tetapi pemeriksaan lanjut mengesahkan saya bebas penyakit itu. Saya kemudian dirujuk ke hospital swasta untuk menjalani pemeriksaan menyeluruh. Pemeriksaan kali ini mendapati tahap kerosakan hati tidak begitu serius dan saya diberi ubat untuknya.

Doktor memberi beberapa kemungkinan terhadap apa yang berlaku, termasuk tekanan, masa dan corak kerja berbeza daripada biasa. Saya disarankan supaya bekerja pada waktu pejabat biasa dan tidur secukupnya pada waktu malam . Atas nasihat doktor, saya mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Pengarang Berita dan hanya mahu menjadi wartawan. Walaupun sayang meninggalkan Harian Metro, memikirkan masa depan dan keluarga terpaksa mengambil keputusan sukar itu. Pada masa itu, soal jawatan atau tiada jawatan tidak penting lagi. Kesihatan dan keluarga lebih penting daripada segalanya.

Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd ketika itu, Datuk Ahmad Rejal Arbee kurang bersetuju dengan keputusan itu dan menawarkan saya menjadi ketua di unit lain. Namun, saya tekad dengan keputusan itu dan berasa tidak mampu untuk menjadi ketua dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Akhirnya saya menjadi Penulis Khas di Berita Harian. Rezeki saya di situ dan saya reda dengan ketentuan-Nya.

Lain ceritanya apabila saya meninggalkan Harian Metro. Ada yang menuduh saya tidak suka bekerja di akhbar kecil. Ada juga yang kata saya dikenakan tindakan dan diturunkan pangkat. Itulah agaknya antara sebab Rejal kurang bersetuju ketika saya meminta untuk menjadi Penulis Khas dan menolak jawatan pengarang di unit lain. Saya masih ingat menerima pesanan daripada seorang rakan sekerja bertanyakan hal itu. Rakan itu sebelum itu sinis bertanya benarkah saya diturunkan pangkat. Saya tidak menjawabnya. Rakan itu kemudian meminta maaf selepas tahu keadaan sebenar dan saya memaafkannya. Begitulah resam hidup, tidak semua orang suka kepada kita.

Paling tidak seronok bila ada yang kata saya hendak kerja mudah. Ada yang menyindir saya sihat dan tidak nampak sakit pun bekerja di Berita Harian. Saya tidak tahu maksud sebenar mereka yang berkata demikian. Mungkin ingin menyatakan saya hanya pura-pura sakit supaya dapat lari daripada Harian Metro. Kesakitan itu bukan untuk ditunjuk-tunjukkan, seperti judul lagu popular Gaya Zakry, Derita Hati Ku Tanggung Sendiri.

Saya tidak peduli apa orang kata. Di unit baru, saya gembira kerana dapat aktif menulis semula. Saya berasa lebih sihat dan sakit sendi beransur kurang. Tetapi, saya menghadapi masalah lain apabila kulit menjadi kemerah-merahan dan gatal. Saya hanya menyedari perkara itu bila hidung tiba-tiba kemerahan-merahan. Awalnya, saya menyangka kulit terbakar kerana baru pulang daripada Hari Keluarga Berita Harian di Port Dickson, Negeri Sembilan tidak lama sebelum itu.

Kesan itu tidak kurang walaupun disapu krim. Kemudian timbul pula bintik-bintik kecil pada kaki dan tangan yang apabila digaru teramat gatal. Bintik-bintik kemudian membesar kehitam-hitaman. Apabila berpeluh, badan gatal. Pada waktu itu tidak boleh terkena panas. Terkena asap rokok pun badan akan gatal. Hingga kini pun saya menjauhi orang yang sedang merokok. Bintik-bintik itu hilang selepas disapu krim. Saya berpandangan, tiada masalah lagi. Tetapi, lain pula jadinya, kulit menebal. Hidung, telinga, tangan dan kaki menjadi besar. Keadaan pada masa itu cukup membimbangkan.
Pengalaman digigit, ditendang kuda

Kerenah kuda menguatkan semangat Zulfakar Mohd. Derus untuk muncul sebagai tukang ladam mahir.




"ABANG, hati-hati buat kerja ladam tu. Jangan sesekali leka...." Itulah kata-kata nasihat isteri yang kerap didengar oleh Sarjan Zulfakar Mohd Derus, 47, sebelum memulakan tugas sebagai tukang ladam di Unit Berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Bagi Zulfakar, kerjaya sebagai tukang ladam tidaklah bahaya. Dengan pengalaman selama 19 tahun dalam bidang itu, dia kini lebih arif tentang apa yang perlu dilakukan terutama dalam aspek keselamatan.

"Kepala lutut seorang rakan saya pernah beralih akibat dihempap kuda ketika sedang meladam. Akibatnya, beliau tidak lagi menjadi tukang ladam dan kini melakukan tugas-tugas khas sahaja," katanya kepada Kosmo!.

Bapa kepada lima orang anak itu, berkata, dia meminati kerjaya tukang ladam sejak remaja dan apabila cita-cita itu berjaya dicapainya pada tahun 1990, dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Zulfakar memberitahu, rutin hariannya bermula seawal pukul 6 pagi pada setiap hari bekerja dari Isnin sehingga Jumaat. Tetapi jika pihak majikan memerlukan khidmatnya pada hari Sabtu atau Ahad, terutama jika ada pertunjukan berkuda, dia akan bertugas pada hari-hari tersebut.

"Saya perlu sampai ke sesi taklimat tugasan setiap hari pada pukul 8.00 pagi di pejabat," katanya.


ZULFAKAR segak berpakaian seragam bersama kuda bernama Tuah.


Selesai mendengar taklimat, Zulfakar akan mengeluarkan kuda dari kandang untuk dibawa meronda di sekitar taman tasik.

Ketika dibawa meronda, dia boleh tahu sama ada ladam yang dipakaikan pada kuda tersebut masih elok atau perlu diganti baru.

Menurutnya, biasanya ladam yang perlu ditukar akan kelihatan haus dan longgar.

"Tengok kuku Tuah ni... dah panjang melebihi ladam. Ini juga petunjuk bahawa saya perlu menukar ladam baru untuknya," kata Zulfakar sambil membawa kudanya yang bernama Tuah ke tempat memasang ladam.

Jelas Zulfakar, jika ladam tersebut tidak ditukar baru, ia boleh menyebabkan kuku kuda melengkung melebihi ladam dan akibatnya kuda tersebut mudah terdedah kepada penyakit laminitis (radang pada kaki kuda).

Sebaik sahaja Tuah diikat di dalam kandangnya, Zulfakar membawa beberapa peralatan berupa pencungkil (hook pick) untuk mengorek dan menanggalkan kotoran dari kaki kuda, pisau bagi memotong kuku serta kikir untuk mengasah atau merata kuku yang sudah panjang.


UNTUK mengikir telapak kaki kuda, kaki depan haiwan itu perlu dikepit di celah kelangkang tukang ladam.


Selain itu, terdapat juga peralatan seperti penyepit, pencabut paku, penukul paku, penimbal dan ladam yang baru.

Apa yang menghairankan, kuda yang dipasangkan ladam tidak diberikan sebarang ubat pelali. Malah, pembantu bagi menenangkan kuda juga tidak ada.

Hanya Zulfakar bersama Tuah di situ. Barulah penulis sedar bahawa kerjaya itu berhadapan dengan risiko bahaya.

Kebarangkalian disepak, ditendang atau dipijak kuda boleh berlaku. Ia mungkin terjadi jika kuda berasa ngilu atau sakit semasa tukang ladam mengasah telapak dan memotong kuku terlampau dalam.


PELBAGAI saiz ladam.


Sesekali kedengaran dengusan kuda yang menunjukkan dirinya tidak selesa apabila kaki belakangnya diangkat.

"Kaki belakang kuda perlu dikepit pada lengan manakala, kaki di depan perlu dikepit pada kelangkang kaki tukang ladam.

"Kaki belakang kuda tidak boleh dikepit pada kelangkang kerana jika kuda marah, peluang untuk melarikan diri sukar. Kemungkinan ketika itu saya akan terjatuh dan dipijak kuda," kata lelaki yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu sambil menunjukkan teknik merias kuku kuda.




Menggembleng sepenuh tenaga untuk memegang kaki kuda sambil merias dan memasang ladam, tidak sampai 10 minit kemudian, manik-manik peluh kelihatan membasahi dahi Zulfakar.

Sesekali Tuah menarik kakinya dan bergerak-gerak untuk menyeimbangkan badannya. Situasi itu akan menyukarkan lagi Zulfakar untuk memasang ladam.

Namun, berkat kemahiran dan pengalaman yang lama, Zulfakar dapat melakukannya dalam masa yang sekejap.

Antara langkah-langkah pemasangan ladam adalah menanggalkan ladam, membersih dan mengasah kuku, menganggar saiz dan membentuk kuku, menganggar ketebalan telapak bagi tujuan memaku, mengukur saiz ladam pada kaki dan mengemaskini paku pada ladam.

Melihat butiran peluh pada dahi Zulfakar semakin deras menitik ke atas lantai tempat pemasangan ladam, penulis menyifatkan kerjaya itu memerlukan kemahiran dan kekuatan fizikal yang tinggi.

"Semakin lama saya asah dan corek, semakin lembut saya dapat merasakan permukaan telapak kaki kuda ini.

"Apabila sudah lembut, saya perlu berhenti. Jika saya teruskan juga, kemungkinan kuda akan merasa sakit. Keadaannya sama seperti manusia semasa memotong kuku iaitu jika terlebih potong, boleh menyebabkan luka," katanya.

Ladam dapat mengelakkan kuku kuda pecah atau retak, iaitu masalah biasa yang akan terjadi kerana kerap berjalan dan membawa beban di jalanan.

Ia juga boleh mengelakkan luka pada tapak kaki kuda. Penjagaan kuku yang tidak rapi boleh menjejaskan kesihatan sekali gus menyebabkan pergerakan kuda terbatas atau mungkin tempang.

"Kuda di unit ini bukan sahaja perlu membuat rondaan di sekitar tasik, tetapi turut terlibat dalam aktiviti pertunjukan. Jadi, kuku kakinya mesti dilindungi," katanya.

Selain itu, katanya, seni meladam kuda di Malaysia diperkenalkan oleh Majlis Ekuine Malaysia dengan kerjasama Institut TAFE Brisbane, Australia.

Berikutan kerumitan menggunakan khidmat tukang ladam asing, majlis itu melatih anak-anak Malaysia sebagai tukang ladam.

Mengulas lanjut, Zulfakar memberitahu, sebaik tamat tingkatan lima, dia melanjutkan pelajaran dalam bidang kimpalan gas di Institut Kemahiran Mara.

Tamat pengajian, Zulfakar mula mencari pekerjaan. Masih tidak bernasib baik dalam memperoleh pekerjaan, akhirnya bapa Zulfakar yang merupakan seorang jurulatih kawad rekrut penguatkuasa di Institut DBKL yang kini dikenali Pusat Latihan Penguatkuasaan (Pulatan), Sarjan Mejar Mohd. Derus Isa bertanya sama ada dia mahu bekerja sebagai tukang ladam di Unit Berkuda DBKL.

"Ibarat orang mengantuk disorong bantal, saya terima pelawaan bapa. Ketika itu, Unit Berkuda DBKL baru ditubuhkan dan kebetulan memerlukan tukang ladam.

"Majikan menghantar saya mengikuti latihan di Perth, Australia selama dua bulan.

"Selain itu, saya mengikuti kursus singkat yang dikendalikan tukang ladam (master farrier) dari Australia," katanya yang kini merupakan tukang ladam tahap ketiga.


KUDA yang dibawa meronda di sekitar tasik lebih kerap ditukar ladamnya berbanding dengan kuda yang hanya membuat pertunjukkan. - Gambar hiasan


Jelasnya, untuk bergelar master farrier, seseorang tukang ladam mesti berada di tahap kelima.

Ujarnya, jika tukang ladam ingin memiliki tahap tersebut, mereka perlu melepasi beberapa ujian tertentu.

Dalam dua atau tiga tahun sekali, jurulatih dari Australia akan datang ke unit tersebut mengendalikan kursus dan peperiksaan khas untuk tukang ladam.

Mengenang kembali latihan di Australia, Zulfakar dikehendaki memasang ladam pada seekor kuda yang agak liar.

Ketika itu dia tidak begitu mahir menangani kerenah kuda, tiba-tiba sahaja Zulfakar ditendang dan digigit kuda tersebut sehingga luka.

"Pengalaman itu tidak mungkin saya lupakan. Giginya yang tajam dan besar menyebabkan baju saya terkoyak dan belakang badan saya lebam," cerita lelaki itu yang pernah memenangi pertandingan tukang ladam peringkat Asia pada tahun 2000.

Malah ketika latihan juga, paha Zulfakar pernah terseret paku sepanjang dua inci semasa proses memaku kaki kuda dilakukan.

"Malang tidak berbau. Tiba-tiba kuda tersebut berasa tidak selesa dan menarik kakinya sebelum ketukan paku selesai dilakukan. Ini menyebabkan paku tersebut terkena pada paha saya,'' ujarnya.

Menurutnya, itulah cabaran awal yang perlu dia hadapi sebelum layak menjadi tukang ladam yang mahir.

Namun, katanya, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus bertahan sebagai tukang ladam sehingga hari ini.