Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Kira-kira 35 peratus daripada graduan yang menamatkan pengajian mereka sejak enam bulan lalu masih menganggur.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof. Dr. Hassan Said berkata, jumlah itu bagaimanapun masih rendah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara lain.

‘‘Puncanya pada graduan kita yang masih takut untuk mencuba sesuatu yang baru dan berlainan daripada apa yang telah mereka belajar.

‘‘Graduan kita terlalu fokus (pada satu perkara) dan tidak memandang kerja lain yang dirasakan tidak ada kena-mengena dengan kelulusan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama seminar pendidikan tinggi Arah, Cara dan Cabaran Baru Era PekerjaanGraduan di sini hari ini.

Seminar dua hari yang berakhir esok dihadiri kira-kira 200 wakil institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta politeknik dari seluruh negara.

Ia merangkumi lima sesi pembentangan termasuk forum yang membincangkan isu pekerjaan graduan selepas menamatkan pengajian di universiti.

Tambah Hassan, setiap graduan seharusnya memiliki kemahiran yang boleh ‘diubah suai’ dan tidak terikat dengan kursus yang diambil sahaja untuk bersaing bagi mendapatkan pekerjaan.

‘‘Kelemahan mereka menguasai pelbagai bidang dikenal pasti menjadi antara punca mereka gagal dalam temu duga untuk mendapatkan pekerjaan selain tiada pengalaman bekerja,” ujarnya.

Jelasnya, keutamaan selepas ini juga akan diberi kepada kerjasama antara universiti selain pendedahan terhadap sektor pekerjaan.

‘‘Kita mahu graduan sudah tahu tentang skop kerja mereka selain mengembangkan kemahiran mereka sendiri,” ujarnya.

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta semua 272 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kawasan, segera menubuhkan koperasi untuk faedah 717,000 ahlinya.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan koperasi itu bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melonjakkan sektor pertanian supaya lebih maju dan berdaya saing.

“Penubuhan koperasi diharap dapat memperkembangkan aktiviti ekonomi para petani, peladang dan penternak yang selama ini terhenti setakat menghasilkan produk pertanian sahaja.

“Sedangkan terdapat pelbagai aktiviti nilai tambah kepada produk yang dikeluarkan yang selama ini dikuasai oleh pihak lain,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Hotel Renaissance, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang dan Pengerusi Nafas, Datuk Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata, penubuhan koperasi itu diharap menjadi sayap utama Nafas dalam menjana ekonomi ahli-ahlinya terutama dari aspek pemasaran, pembungkusan dan penjenamaan produk.

“Saya berharap semua ahli LPP secara automatik menjadi ahli koperasi dengan hanya perlu membayar sebanyak RM1,000 setiap seorang sebagai pelaburan awal atau saham kepada koperasi tersebut.

“Jika perlu kita akan adakan jawatankuasa peringkat kementerian dan meminta nasihat tokoh-tokoh seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan mencontohi koperasi seperti ini di negara-negara seperti Korea, Jepun dan Australia yang terbukti berjaya meningkatkan pendapatan petani,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 bakal menyaksikan satu penganjuran terbesar apabila hampir 2,000 penyertaan diterima daripada pelbagai pihak untuk menyertai acara dwi tahunan itu.

“Melihatkan sambutan hangat ini, kementerian bersetuju untuk mengadakan MAHA selama 12 hari berturut-turut bagi membolehkan orang ramai benar-benar mendapat faedah daripada pameran itu,” katanya.

PASIR PUTEH 12 Nov. - Kerajaan Pusat memperuntukkan RM360 juta bagi membangunkan tiga projek utama di Tok Bali dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, pembangunan tersebut bertujuan menarik minat sektor swasta untuk melabur dalam projek berasaskan perikanan di bawah program Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, pembinaan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bernilai RM200 juta dan jalan dari bandar ini ke Tok Bali bernilai RM60 juta sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, di samping itu projek yang sedang dirancang ialah pembinaan Institut Kemahiran Mara (IKM) bagi jurusan marin dan kejuruteraan laut bernilai RM100 juta.

‘‘Beberapa tempat yang melibatkan kawasan seluas 20 hektar bagi pembinaan pusat kemahiran ini sedang dikenal pasti.

‘‘Ia bukan sahaja memusatkan kepada pembangunan infrastruktur tetapi mencakupi impak sampingan termasuk kemajuan perniagaan yang boleh diusahakan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Tekun Nasional (Tekun) Jajahan Pasir Puteh semalam.

Kamarudin berkata, antara kawasan yang sudah dikenal pasti ialah di Kampung Tasek dan di sekitar Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Terusan Semerak.

Beliau berkata, IKM akan berfungsi melatih belia dalam bidang penyelenggaraan bot termasuk membaiki enjin dan kaedah menangkap ikan mengikut sistem moden dan kaedah maritim terkini.
Oleh Amirullah Andi Nur

KUALA LUMPUR: Semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara wajar menubuhkan koperasi bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi petani, terutama di luar bandar yang masih ketinggalan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini yang mahu petani meneroka pelbagai peluang ekonomi.

Katanya, penubuhan koperasi sangat penting kerana dijangka berupaya menjana modal pusingan yang besar berikutan pertubuhan itu di seluruh negara kini mempunyai 717,000 ahli mewakili 272 cawangan PPK.

"Kita mengharapkan koperasi dicadangkan ini akan menjadi penggerak kepada pelbagai aktiviti perniagaan dan ekonomi petani di seluruh negara," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan pelancaran Nafas Holdings Bhd, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang; Pengerusi Nafas, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Ketua Pengarah LPP, Datuk Abd Rahim Ahmad.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, penubuhan koperasi itu yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, bukan perkara baru kerana ia sudah diwujudkan beberapa PPK sebelumnya.

Katanya, penubuhan koperasi itu juga bukan bertujuan menggugat operasi atau menjadi pesaing kepada PPK, sebaliknya mengukuhkan lagi kedudukan pertubuhan berkenaan.

"Koperasi yang dicadangkan ini akan diletak di bawah PPK dan diurus sebagai sebuah badan perniagaan secara profesional. Teras perniagaannya menjurus kepada bidang baru atau kurang diceburi PPK seperti pemasaran hasil tani.

"Bagi menjayakan cadangan ini, sokongan semua pihak perlu ada. Justeru itu, kita minta PPK mengadakan sesi penerangan kepada semua ahlinya bagi memastikan objektif penubuhan koperasi ini difahami sepenuhnya,� katanya.

Muhyiddin juga memberi jaminan akan membantu usaha penubuhan koperasi yang dicadangkan itu, termasuk mendapat bantuan daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

"Saya sendiri sudah memaklumkan perkara ini kepada Khaled dan beliau setuju. Kita harap selepas ini, koperasi PPK di Malaysia akan setanding dan berjaya seperti di Jepun, Korea, Belanda dan Kanada," katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid yakin Nafas mampu mencatatkan perolehan berjumlah kira-kira RM1 bilion tahun ini, berdasarkan pelbagai aktiviti ekonomi yang dilakukan, berbanding lebih setengah bilion ringgit tahun lalu.

Katanya, setakat September lalu, Nafas mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM923.54 juta dengan untung bersih sebelum cukai RM21.85 juta.

"Antara aktiviti ekonomi yang bakal menjana perolehan kumpulan ialah hasil sawit yang dibangunkan di kawasan seluas 13,925 hektar di Aceh, Indonesia selain kilang baja pertanian di Gurun, Kedah.

"Nafas juga kini menguasai kira-kira 30 peratus daripada pasaran jentera pertanian seluruh negara, selain pembabitan aktif dalam ternakan kambing, lembu dan ayam," katanya.

Tahun lalu, Nafas mencatatkan keuntungan bersih RM33.45 juta melalui perolehan sebelum cukai RM585.56 juta, berbanding RM19.42 juta (keuntungan bersih) dan RM517.05 juta (perolehan sebelum cukai) pada 2005.
KUALA LUMPUR: Satelit mikro kedua negara, RazakSAT yang sepatutnya dilancarkan akhir tahun ini ditunda ke satu tempoh antara tiga bulan pertama tahun depan berikutan masih tiada slot yang sesuai ditetapkan bagi pelancarannya.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Kong Cho Ha, berkata Space Exploration Technology (SpaceX) Amerika Syarikat, syarikat yang ditauliahkan untuk melepaskan satelit itu ke angkasa lepas masih menghadapi masalah menentukan slot yang sesuai bagi pelancaran.

Katanya, RazakSAT bernilai RM127 juta sudah siap sepenuhnya untuk dilancarkan namun kerajaan masih menanti makluman SpaceX tarikh sebenar pelancaran.

"Mungkin ada beberapa masalah teknikal yang menyukarkan pihak Amerika menentukan slot untuk RazakSAT. Jadi penangguhan ini tidak dapat dielakkan.

"Bagaimanapun kami berharap RazakSAT dapat dilancarkan pada suku pertama tahun depan, mungkin itu masa yang lebih ideal," katanya selepas merasmikan persidangan ke-28 Asian Conference on Remote Sensing" (ACRS 2007) di sini semalam.

Sebelum ini, RazakSAT dijangka dilancarkan ke orbit akhir tahun ini menggunakan pelancar Falcon-1 milik SpaceX. Pelancaran dijangka dilakukan di Pulau Kwajeilin, Kepulauan Micronesia berhampiran Lautan Pasifik.

Jika berjaya dilancarkan, satelit pencerapan bumi kedua negara itu mampu memberi resolusi lebih kecil iaitu pada jarak 2.5 hingga lima meter. Satelit mikro pertama, TiungSAT-1, dilancarkan pada 26 September 2000.

Mengulas persidangan ACRS, Kong berkata sambutan sangat menggalakkan dengan lebih 800 peserta daripada 44 negara menghadiri persidangan ketiga di Malaysia.

"Aplikasi remote sensing semakin dapat diterima ramai terutama negara membangun dan ternyata ini satu tanda positif dalam usaha kita memantau sebarang bencana terutama di rantau Asean," katanya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran perlu melantik sendiri cendekiawan sebagai anggota panel penulis dan penilai bagi memastikan kandungan buku teks sekolah mempunyai fakta tepat dan sesuai dengan perkembangan semasa.

Selain itu, kaedah pembelajaran melalui buku teks dibekalkan kementerian sukar difahami kebanyakan pelajar menyebabkan mereka mengutamakan buku rujukan.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Mohd Ali Hassan, berkata panel penulis dan penilai perlu diiktiraf kerajaan bagi mengelakkan sebarang perbalahan mungkin berlaku disebabkan fakta bercanggah.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa, selain banyak kesalahan fakta, menyebabkan ia perlu dinilai semula.

Malah, tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata berdasarkan penelitiannya terhadap buku teks yang digunakan di sekolah mendapati banyak kesilapan fakta yang mesti diperbetulkan bagi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat.

Selain itu, laporan juga menyebut kebanyakan guru terutama yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris berpendapat buku teks yang dibekalkan sebagai kurang membantu guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Malah, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim mengakui buku teks kurang membantu dalam proses pembelajaran.

Beliau yang juga guru Bahasa Melayu lebih senang menggunakan buku rujukan dan kaedah pengajaran sendiri dan mengelak daripada terikat dengan kaedah pengajaran dalam buku teks yang agak menyusahkan.

Beliau berkata, guru lebih gemar memilih buku rujukan sebagai sumber pembelajaran di kelas berbanding buku teks yang disediakan kementerian.

Oleh Irwan Shafrizan Ismail


ETIKA NIAGA: Shafie memperkatakan sesuatu kepada penerima Anugerah Khidmat Cemerlang, Jessica Ruran Agung (kanan) dan Oon di Seri Kembangan, semalam.

SERI KEMBANGAN: Peniaga disaran memanfaatkan buku 'Kod Etika Perniagaan Malaysia' yang dihasilkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menjamin perniagaan yang dijalankan beretika, sekali gus menarik kepercayaan pelanggan.

Menterinya, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata buku itu sambungan Prinsip Rukuniaga yang dilancarkan pada 2002 lalu, menyediakan garis panduan yang ditetapkan bagi menggalakkan peniaga memberikan perkhidmatan beretika.

"Buku ini juga menggalakkan peniaga menjual barang bermutu dengan harga yang kompetitif, selain menangani masalah lambakan barangan tiruan.


"Amalan beretika mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara menjadi pelanggan tetap di premis mereka kerana kepercayaan sudah terjalin antara peniaga dan pembeli," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Kedai Harga Patut 2007/2008 dan Pelancaran Buku Kod Etika Perniagaan Malaysia, di sini, semalam.

Mohd Shafie berkata, buku yang dilancarkan adalah sebahagian langkah kerajaan membantu peniaga dan pengguna mengelakkan mereka daripada terus dibeban dengan pelbagai tekanan termasuk kenaikan harga minyak.

"Buku ini menjadi model kod etika untuk diguna semua peniaga di negara ini selain satu cara mengekang inflasi yang sebelum ini usaha membendungnya banyak melalui penguatkuasaan saja," katanya.


Beliau berkata, kementeriannya berharap semua peniaga sama ada berskala besar atau kecil memiliki buku kod etika itu sebagai dokumen asas dalam folio operasi perniagaan.

"Penyediaan kod etika ini tercetus hasil daripada Pelan Integriti Nasional (PIN) dan dikeluarkan khusus untuk syarikat yang tidak berdaftar di Bursa Saham Malaysia, namun bagi yang tersenarai masih boleh menjadikannya sebagai rujukan," katanya.

Sementara itu, syarikat pengeluar pasu dan produk berasaskan tanah liat, Tenmoku Pottery Trading Sdn Bhd (Tenmoku) dan syarikat perniagaan kraf tangan, Paling Enterprise dipilih sebagai Premis Perniagaan Paling Cemerlang 2007/2008.

Kedua-duanya mengalahkan 600 penerima Anugerah Kedai Harga Patut yang mengkhusus kepada 14 kategori antaranya barang kulit/kasut/beg, barang elektrik & elektronik, barang kraf tangan/antik, kamera, kosmetik dan tekstil.

Eksekutif Operasi Tenmoku, Shavon Oon, berkata anugerah itu bertepatan dengan usaha pihaknya yang sentiasa menghasilkan produk terbaik, termasuk memberi penekanan bidang penyelidikan dan pembangunan.



GAMBAR (dari kiri): Ahmad Said dan Dahlan Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: Keinginan untuk menunaikan Rukun Islam kelima membuatkan pesara tukang kebun nekad menjual tanahnya semata-mata untuk membolehkannya dan isteri menunaikan ibadah haji.

Ahmad Said, 68, dari Manjung, Perak bagaimanapun tidak pernah menyesal tindakannya menjual tanah miliknya kerana memikirkan hanya dengan cara itu saja dia bersama isteri, Khatijah Mat Isa, 62, dapat menjejakkan kaki ke bumi Makkah.

Beliau bersyukur dalam usianya yang agak lanjut masih berpeluang menunaikan ibadah haji yang selama ini sudah lama dipendamnya.


"Saya tidak ralat menjual tanah kerana cara ini saja saya boleh mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kos perbelanjaan menunaikan haji.

"Jika diikutkan gaji bekas tukang kebun, berapa sangat yang dapat disimpan, tapi keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci yang tidak pernah padam membuatkan saya memutuskan menjual tanah milik kami," katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, di sini, semalam.

Beliau antara bakal jemaah haji KT4 yang menaiki Penerbangan Malaysia (MAS) MH8804 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 7.10 malam, semalam.


Ahmad Said yang mempunyai 13 anak, 55 cucu dan lima cicit berkata, meskipun boleh mengharapkan bantuan anaknya, beliau tetap mahu berusaha sendiri mencari wang untuk ke Tanah Suci.

"Meskipun kami ada ramai anak, mereka mempunyai tanggungjawab masing-masing kepada keluarga. Jadi, saya cari ikhtiar sendiri untuk ke Makkah," katanya.

Mengenai perasaannya bakal menjejakkan kaki buat pertama kali di Makkah, beliau berkata, perasaannya bercampur baur antara gembira dan risau kerana tidak mengetahui keadaan sebenar di sana.

"Apapun, kami serahkan kepada Allah kerana Dia yang maha mengetahui dan menentukan segala-galanya," katanya.

Peneroka dari Felda Trolak Timur, Dahlan Abdul Rahman, 65, turut bersyukur kerana hasil penat lelahnya mengumpul duit sejak lebih 20 tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.

"Setiap bulan saya tidak pernah gagal untuk menyimpan RM100 duit hasil menjual kayu getah dalam Tabung Haji dan selepas berpuluh tahun sabar menanti, syukur impian saya dan isteri, Kamariah Ishak, 55, untuk ke Makkah tercapai," katanya.

Beliau juga tidak pernah mengharapkan bantuan anak untuk menunaikan haji tahun ini kerana anaknya juga bukan daripada golongan berkemampuan.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya mendapati orang ramai mulai membanjiri kompleks berkenaan sejak jam 3 petang untuk menghantar jemaah haji.

Tabung Haji menyediakan khemah di pekarangan kompleks untuk keselesaan bakal jemaah dan ahli keluarga sementara menunggu kebenaran mendaftar masuk.

MELAKA: Putera Umno akan memastikan bidang pekerjaan dikuasai pekerja asing di negara ini dapat diisi puluhan ribu remaja dan belia tempatan yang tercicir dalam pelajaran dengan memberi mereka pekerjaan menerusi Program Skim Peluang Kedua.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata usaha berkenaan mampu mengatasi lambakan pekerja asing yang kini semakin membimbangkan kerajaan dan rakyat di negara ini.

"Dengan menyertai program berkenaan, golongan berkenaan berpeluang membantu kerajaan bagi mengatasi masalah lambakan pekerja asing.

"Putera Umno amat prihatin dengan masalah belia dan remaja yang gagal mendapatkan pekerjaan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang kurang memuaskan," katanya selepas merasmikan Perkampungan Belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), di Kampung Semabok Dalam, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) yang juga Pengerusi Belia DMDI, Datuk Idris Haron, Pemangku Ketua Umno Kota Melaka, Datuk Latif Tamby Chik dan Ketua Pemuda Umno negeri, Ashakari Abu Noor.

Abdul Azeez berkata, beliau sendiri akan mengetuai sekumpulan petugas Putera Umno menjelajah semua 191 kawasan Parlimen di seluruh negara bagi mencari belia yang tercicir untuk ditawarkan pekerjaan dalam bidang tertentu.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta mengkaji secara menyeluruh keberkesanan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (BI) berikutan prestasi murid yang menurun dalam dua subjek itu sejak pelaksanaannya pada 2003.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata sewajarnya pengajaran BI diperkukuh dan dimantapkan terlebih dulu.

"Kita tidak mahu keputusan yang dibuat berhubung pengajaran Sains dan Matematik dalam BI ini kelak akan mengakibatkan prestasi pembelajaran murid kita menurun," katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.

Perkara itu antara 21 resolusi hasil daripada Konvensyen Kebangsaan PIBG 2007 bertemakan Bersama Menangani Gejala Disiplin Murid di Melaka, Ahad lalu.

Resolusi itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan, Zulkifly Mohd Wazir.

Selain PIBG, saranan yang sama turut disuarakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu yang mahu pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik di sekolah rendah dikendalikan semula dalam bahasa Malaysia, manakala teknik pengajaran BI dimantapkan sebagai langkah lebih logik bagi menangani masalah penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar Melayu.
KUALA LUMPUR: Pembentangan Akta Pangkalan Data Profil Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi membolehkan pihak berkuasa keselamatan menyimpan DNA penjenayah untuk memudahkan proses siasatan dilakukan di Parlimen tahun depan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Prof Mohd Ruddin Ab Ghani, berkata ketika ini proses penelitian terhadap akta berkenaan memasuki peringkat akhir oleh pejabat Peguam Negara.

Katanya, ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet terlebih dulu sebaik saja proses penelitiannya selesai sebelum dibentangkan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) pada sesi Parlimen.

"Apabila akta ini diluluskan sebagai undang-undang ini nanti, semua penjenayah disabitkan bersalah diwajibkan memberi sampel DNA mereka kepada polis.

"Tidak ada satu jenis jenayah pun yang akan terkecuali untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data dikenali Bank Data DNA," katanya selepas merasmikan Simposium DNA Antarabangsa di sini, semalam.
Oleh Norfatimah Ahmad

KUALA LUMPUR: Panel bebas khas yang menyiasat kesahihan rakaman dan perbualan didakwa antara seorang peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara secara automatik dibubarkan sebaik menyerahkan laporan kes berkenaan minggu lalu.

Pengerusi panel berkenaan, Tan Sri Haidar Mohd Noor, berkata ahli panel khas diberi tempoh sebulan untuk melaksanakan tugas berkenaan dan laporan itu disiapkan dan dikemukakan dua hari lebih awal.

"Kami sudah melaksanakan tugas diamanahkan dan laporan sudah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid, minggu lalu.

"Setakat ini, tidak ada sebarang arahan baru diterima dan panel boleh dianggap dibubarkan selepas selesai melaksanakan tugas dan tempoh pelantikannya tamat," katanya ketika dihubungi semalam.

Difahamkan, Kabinet akan membincangkan hasil laporan panel khas itu pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini.

Baru-baru ini, dilaporkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menayangkan bahagian kedua klip video sembilan saat mengenai perbualan itu kepada media di pejabatnya.

Anwar dikatakan akan menayangkan bahagian ketiga klip video itu kepada media tidak lama lagi. Tempoh klip video penuh itu didakwa sepanjang 14 minit 16 saat.

Panel khas itu ditubuhkan selepas kerajaan memutuskan dakwaan dan spekulasi pihak tertentu berhubung isu berkenaan boleh menjejaskan keyakinan terhadap kredibiliti serta integriti sistem kehakiman negara.

Selain Haidar, panel turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan panel khas itu boleh bermesyuarat semula jika ada perkembangan baru dalam kes berkenaan.

Mengenai bahagian kedua klip video yang dimiliki Anwar, Haidar yang juga Bekas Hakim Besar Malaya berkata, pihaknya tidak keberatan untuk menjalankan tugas jika khidmatnya serta ahli panel lain diperlukan untuk tujuan sama.

"Terpulang pada kerajaan, jika perlu siasat (bahagian kedua klip video) kami akan lakukan," katanya.
DEWAN Rakyat semalam gamat seketika apabila seorang wakil pembangkang membawa isu cadangan pembelian kapal angkasa Russia, Soyuz TMA-11 oleh kerajaan yang dianggap sebagai satu pembaziran.

Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) juga mendakwa kos menghantar rakyat Malaysia ke angkasa yang mencecah RM100 juta sebagai pembaziran yang boleh dielakkan

"Buat apa membazir membeli roket, di sini sudah ada 12 roket," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2008.

Dua belas roket yang dimaksudkan Chong merujuk kepada bilangan wakil rakyat DAP di Dewan Rakyat kerana 'roket' adalah lambang parti itu.

Katanya, kerajaan tidak perlu lagi membazir lebih banyak wang rakyat untuk menghantar seorang lagi angkasawan.

Sindiran Chong itu bagaimanapun dibalas Lau Yeng Pheng (BN-Puchong) yang mencelah dengan menegaskan bahawa roket (lambang DAP) tidak boleh berlepas ke angkasa.

"Itu roket mana ada enjin, tak boleh terbang," katanya disambut gelak ketawa Ahli Parlimen lain.

Kenyataan itu juga membuatkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Lim Si Cheng mencelah: "Itu roket cuma atas kertas."

Malaysia dilaporkan menimbang tawaran Russia untuk membeli roket itu yang membawa angkasawan Malaysia pertama Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bulan lalu. � Bernama
Laporan Abdul Razak Raaff

KUALA LUMPUR: Sebanyak 86 program penjelasan mengenai pendekatan Islam Hadhari sudah dilaksanakan di seluruh negara oleh tujuh agensi berkaitan dilaksanakan sehingga Jun lalu.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata tujuh agensi itu ialah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Islam (Yadim).

Selain itu, Pejabat Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Kor Agama Angkatan Tentera Darat (Kagat), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Pelajaran Agama dan Moral (Japim) dan Jabatan Pengajian Tinggi.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai agensi menyelaras pelaksanaan Islam Hadhari pula akan melaksanakan pelbagai strategi penjelasan bagi meningkatkan lagi kefahaman masyarakat mengenai konsep itu.

"Antara program yang diadakan ialah ceramah, bengkel, kursus, mesyuarat dan perkampungan Hadhari.

"Kita berpuas hati ketika ini kerana masyarakat menerima dan memahami pendekatan Islam Hadhari sebagai usaha membangunkan negara," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Mutalib (BN-Maran) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini semalam.

Ahli Parlimen Maran itu ingin tahu jumlah program kefahaman pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari.

Menjawab soalan tambahan Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun) mengenai Islam Hadhari dikatakan satu agama baru, beliau berkata, ada sebahagian anggota masyarakat yang sengaja tidak mahu faham mengenai pelaksanaan Islam Hadhari.
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

KOTA BHARU: Isi kandungan semua buku teks yang digunakan sekolah ketika ini, masih relevan dengan perkembangan semasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, berkata kementerian sentiasa mengadakan perbincangan dengan pakar tertentu bagi meningkatkan kualiti penghasilan buku teks.

Katanya, dalam menghasilkan buku teks untuk kegunaan sekolah, kementerian juga mempunyai panel berkelayakan yang mampu memberi pandangan positif mengenai kandungannya.

"Kementerian sentiasa membuat kajian berterusan mengenai tahap kualiti kandungan buku teks dengan membabitkan bantuan beberapa tokoh tempatan atau panel khas.

"Kita akan sentiasa mengambil perhatian terhadap pandangan pihak yang mengatakan kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran dikatakan tidak relevan," katanya.

Beliau mengulas laporan Berita Harian semalam yang mengatakan kandungan buku teks untuk beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa.

Dr Zulkurnain berkata, kebanyakan kandungan buku teks yang dibekalkan kementerian adalah relevan dan adalah tidak benar untuk mengatakan semua kandungan dalam buku itu tidak relevan.

Katanya, mungkin ia perlu diperkemas dan dipertingkatkan lagi mengikut keperluan dan perkembangan semasa.

"Kajian berterusan akan dilakukan supaya buku teks yang kita keluarkan sentiasa relevan dan terkini. Sebarang fakta yang kita berasa perlu diperkemaskan, akan diperkemaskan mengikut perkembangan semasa," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun perkara mengenai relevan itu akan dibincang dengan pakar yang dilantik dan kementerian akan mengambil perhatian mengenai perkara berkaitan dengan kandungan.

Dalam perkembangan lain, Dr Zulkurnain menjelaskan bahawa semua pelajar yang memasuki persekolahan tahun depan, kini bebas daripada dikenakan sebarang yuran.

Katanya, laporan akhbar mengatakan tiga kategori yuran sekolah ditetapkan kementerian kelmarin mengelirukan.

"Kita kena perbetulkan perkara ini. Yuran sekolah sudah dihapuskan dan pelajar kini bebas daripada dikenakan sebarang yuran.

"Apa yang dilaporkan dalam akhbar ialah bermaksud sumbangan untuk membolehkan sekolah berkenaan melaksanakan pelbagai aktiviti tambahan nanti. Ini bukan yuran," katanya.

Beliau berkata, sumbangan itu bagi membolehkan sekolah terbabit mengadakan aktiviti secara teratur dan ia boleh dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Sekiranya tidak ada sumbangan seperti itu, sekolah mungkin tidak dapat melaksanakan pelbagai aktiviti tambahan pada masa depan," katanya.

Akhbar kelmarin melaporkan tiga kategori yuran sekolah ditetapkan iaitu kategori A membabitkan golongan berpendapatan tinggi dengan yuran dikenakan sebanyak RM38.50 dan RM55.50.

Manakala kategori B (RM30.50 dan RM44.50 dam kategori C (RM23.50 dan RM33.50). Namun begitu, bayaran boleh dikurangkan mengikut kemampuan ibu bapa selepas perbincangan dengan PIBG.
Oleh Shamsul Kamal Amarudin

LUMUT: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk meneruskan projek pembinaan kapal peronda generasi baru (NGPV) bagi menggantikan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang semakin usang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, projek itu diteruskan kerana memenuhi keperluan jangka panjang TLDM untuk meningkatkan keupayaan dan ketangkasan armadanya.

Bagaimanapun, katanya, bilangan kapal yang bakal dibina serta kos terbabit akan diputuskan oleh Kabinet.

Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BN Shipyard) dipertanggungjawabkan untuk membina enam NGPV dengan dua daripadanya iaitu KD Kedah dan KD Pahang sudah diserahkan kepada TLDM tahun lalu, manakala KD Perak dilancarkan di sini, semalam.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, NGPV keempat dijangka dapat disiapkan menjelang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2007), Disember ini.

Katanya, mengikut jadual ditetapkan semua enam NGPV yang membabitkan kos RM6 bilion akan disiapkan menjelang akhir 2009.

"Kerajaan pada dasarnya bersetuju program ini (pembinaan NGPV) dilanjutkan, iaitu tambahan daripada enam kapal itu, kerana didapati memenuhi keperluan TLDM dan kapal yang ada sekarang semakin uzur.

"Jadi kita terpaksa terus program penggantian. Jumlahnya akan diputuskan oleh kerajaan tetapi pada dasarnya program ini tidak akan tamat selepas enam kapal ini.

"Perancangan asal ialah 27 kapal, tetapi akan dibuat secara berperingkat. Kita buat enam dulu kemudian tambah mengikut kemampuan kewangan," katanya pada sidang media selepas Upacara Penamaan dan Pelancaran NGPV Ketiga KD Perak di Limbungan BN Shipyard Pangkalan TLDM Lumut.

Majlis itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun. Turut berangkat, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim.

Najib berkata, kos bagi meneruskan projek itu dijangka tidak tinggi ekoran kos awal bagi pembinaan kapal berkenaan sudah diserapkan ketika pembinaan enam NGPV terbabit.

Sementara itu, Najib berkata, tender bagi pembelian helikopter baru bagi menggantikan helikopter Nuri akan dikeluarkan pada bila-bila masa dari sekarang.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata peranan TLDM semakin mencabar ekoran perkembangan keselamatan sejagat, tambahan pula dengan kedudukan Malaysia sebagai negara maritim dan negara dagang yang ke-19 terbesar di dunia.
MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengetuai penerima anugerah tokoh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pada Konvensyen Kelapan DMDI, di Bandar Hilir, di sini, pada 15 November ini.

Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata Perdana Menteri adalah satu-satunya penerima Anugerah Mansyur Shah DMDI (AMSD) yang hanya diberikan kepada pemimpin tertinggi Melayu Islam Nusantara.

"Seramai 12 penerima bagi Anugerah Tun Perak DMDI (ATPD) antaranya ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

"Anugerah ini turut diberikan kepada pemimpin asing iaitu tujuh gabenor dan bekas gabenor di kepulauan Indonesia serta Menteri Negara Kanan Ehwal Luar Singapura, Datuk Bandar Zainul Abidin Rasheed.

"Anugerah berkenaan adalah sebagai pengiktirafan DMDI atas kesungguhan, jasa dan pengorbanan mereka dalam kemajuan sejagat," katanya pada sidang media di Taman Seri Bunga di sini, semalam.

DMDI juga turut menghargai jasa 15 pemimpin belia, institusi pengajian tinggi (IPT), presiden persatuan dan yayasan dengan menganugerahkan mereka Anugerah Hang Tuah DMDI (AHTD).

Malah, dua wanita iaitu Bekas Pengerusi Biro Wanita DMDI, Datuk Hazizah Sultan dan Naib Pengerusi biro berkenaan, Ibu Sastri Yunizarti Bakry diberikan Anugerah Tun Fatimah (ATFD).

Semua anugerah akan disampaikan Perdana Menteri pada majlis perasmian konvensyen berkenaan.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, sepanjang 10 hari konvensyen berkenaan, 17 perjanjian usaha sama membabitkan anak syarikat kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi (IPT), syarikat tempatan serta luar negara ditandatangani.

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NOOR AZMAH IBRAHIM


IMEJ kenderaan Suzuki Jimny yang berkaitan dengan siasatan perbicaraan kes pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

SHAH ALAM 12 Nov. – Seorang pakar forensik digital memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mempunyai imej kenderaan pacuan empat roda jenis Suzuki Jimny di laluan Plaza Tol Kota Damansara pada 19 dan 20 Oktober 2006 tidak pernah diganggu atau diubah.

Mohd. Zabri Aidil Talib yang juga Juruanalisis Kanan Forensik Digital, Cybersecurity Malaysia membuat kesimpulan itu dengan alasan pergerakan imej serta masa rakaman yang tertera di dalamnya adalah konsisten.

‘‘Analisis ke atas frame-frame di dalam working copy (salinan daripada pita asal) serta masa khusus (time stamp) yang diberi mendapati semuanya konsisten.

‘‘Jika ada gangguan, pergerakan imej tidak konsisten atau tidak lancar kerana mungkin berlaku suntingan. Masa yang dirakamkan pada setiap frame juga akan melompat-lompat atau tidak konsisten,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah pada sesi pemeriksaan semula.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin masuk hari ke-57 hari ini.

Menjawab soalan peguam Ahmad Zaidi Zainal, Mohd. Zabri berkata, analisis untuk mengesan gangguan hanya dibuat pada masa tertentu iaitu 15 minit awal dan 15 minit selepas empat masa khusus yang diberikan oleh pengawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Tonny Lunggan.

Saksi pendakwa ke-49 itu memberitahu, analisis juga dibuat pada working copy yang didapati tiada sebarang perbezaan dengan salinan asal bagi tujuan meminimumkan risiko kerosakan.

‘‘Saya pastikan salinan asal juga tidak diganggu melalui hasil kiraan nilai md5 terhadap fail atau pita asal tersebut dan dibandingkan dengan working copy.

‘‘Saya dapati kiraan md5 di pita asal dan working copy adalah sama. Jika ia tidak sama, saya akan catat dalam laporan. Ia adalah fail yang sama. Identical (serupa) bermakna tiada tampering (pengubahan) pada fail CCTV tersebut. Setiap frame adalah konsisten pada fail working copy,” jelasnya.

Tambah Mohd. Zabri, setiap penemuan daripada analisis yang dilakukan pada rakaman CCTV diperiksa balas (cross check) oleh seorang lagi juruanalisis iaitu Razana Md. Salleh.

Menurut beliau, pendapat Razana turut diambil kira dalam setiap penemuan malah mereka berdua mengadakan perbincangan untuk mengesahkannya.

Mohd. Zabri juga mengaku laporan hasil analilisnya disahkan oleh tiga pegawai atasannya termasuk Ketua Jabatan Forensik Digital Cybersecurity Malaysia, Aswami Fadillah Mohd. Arifin.

Bagaimanapun, jelas beliau, pengesahan dan pemeriksaan balas itu bukan bermakna laporan tersebut tidak tepat atau konklusif tanpa kedua-duanya, sebaliknya ia merupakan formaliti bagi mematuhi prosedur operasi ( SOP) yang ditetapkan.

‘‘Cross check terhadap hasil analisis dan pengesahan pegawai atasan itu hanya formaliti yang bermakna laporan ini dikeluarkan oleh CyberSecurity Malaysia mengikut SOP yang diguna pakai,” katanya.

Menjawab soalan Hakim Mohd. Zaki, kata Mohd. Zabri, imej pemandu Suzuki Jimny di dalam rakaman CCTV langsung tidak dapat dilihat walaupun beliau menggunakan teknologi forensik digital paling terkini iaitu Video Focus.

Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan bersambung esok.

SHAH ALAM 12 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pihak polis telah menyerahkan 13 unit telefon bimbit, dua kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) dan dua komputer riba kepada Jabatan Digital Forensik Cyber Security Malaysia untuk diekstrak datanya dan bukan bagi tujuan analisis.

Ketua jabatan itu, Aswami Fadillah Mohd. Ariffin berkata, telefon bimbit pertama jenis Nokia model 6280 bernombor siri 357926008217932 diterimanya pada 9 November tahun lalu daripada Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad.

Menurut beliau, selepas pengekstrakan data dilakukan oleh juruanalisis, Razana Md. Salleh, telefon itu telah dipulangkan semula kepada Abdul Aziz pada pukul 2.45 petang, hari yang sama.

Aswami, 36, menambah pada 22 November 2006, seorang lagi pegawai polis, Supritendan Shukri Abdullah telah meminta bantuannya bagi mendapatkan data daripada 11 telefon bimbit termasuk yang diserahkan pada 9 November 2006, dua kad SIM dan dua komputer riba.

Menurutnya, bahan-bahan bukti itu diterima oleh beliau tetapi borang permintaan diisi oleh Razana dan mereka kemudiannya telah membuat pemeriksaan ke atas kesemua barang tersebut.

Saksi pendakwa ke-52 itu yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu kemudian diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah semasa disoal dalam pemeriksaan utama supaya melihat item pertama iaitu telefon bimbit jenis Nokia 6680 yang mempunyai nombor siri 358358000995498.

Walaupun telefon bimbit di hadapannya tidak mengandungi kad SIM, Aswami melalui catatan rekodnya membacakan nombor kad SIM telefon bimbit tersebut iaitu 502193200040797.

Bagaimanapun apabila diserahkan kad SIM (P66) yang sepatutnya terkandung dalam telefon bimbit itu, nombor siri kad tersebut yang tertera adalah berbeza iaitu 896019050877072879 256-H1WM.

Nombor siri ini, katanya, adalah nombor IMSI yang dibacanya menggunakan alat (tool) sim-con versi 1.1.

Tun Abdul Majid: “Bagaimana untuk tahu jika kad ini adalah sama dengan nombor yang kamu sebut 502193200040797?”

Aswami: “Apa yang kami selalu buat adalah membaca nombor IMSI yang unik kepada kad itu. Kaedahnya menggunakan tool (alat) yang bernama sim-con yang di ‘install’ (diprogram) pada komputer dan dibaca menggunakan slot kad SIM bersama alat yang dinyatakan tadi.”

Jelas beliau lagi, kad SIM (P66) tidak boleh dibaca pada masa ini kerana ia perlu menggunakan komputer.

Berikutan itu, Tun Abdul Majid telah memohon supaya saksi tersebut membawa komputernya ke mahkamah esok bagi pengesahan nombor siri kad SIM itu dan 12 kad SIM yang lain.

Dalam keterangannya, Aswami turut menyatakan kesemua barang-barang bukti itu telah diserahkan oleh Razana kepada Shukri pada 30 November tahun lalu.

Namun begitu, pada 4 Disember tahun yang sama, kesemua 15 barang itu dan dua lagi telefon bimbit jenis Nokia 6600 dan Nokia 3230 telah diserahkan semula kepadanya.

Kali ini, jelas beliau, 15 item yang terdahulu tidak lagi dibuat pengekstrakan data kerana ia mempunyai nombor rujukan yang sama tetapi pengekstrakan dibuat pada dua telefon bimbit baru tersebut.

“Kesemua barang-barang tersebut kemudiannya diserahkan semula kepada pegawai penyiasat Asisten Supritendan Tonny Lunggan pada 11 Mei lalu,” ujar beliau.

Tun Abdul Majid kemudian bertanya mengenai tanda pemotongan pada catatan telefon bimbit jenis Nokia 7610 bagi tujuan penyiasatan lanjut seperti yang terdapat pada borang penyerahan semula barang-barang kepada Tonny.

Aswami menjelaskan catatan itu ditandakan kerana terdapat perbezaan pada tarikh di dalam telefon bimbit itu dan tarikh apabila data diekstrak.

Ini bermakna, katanya, telefon bimbit itu tidak dipulangkan pada tarikh tersebut kerana apabila terdapat perbezaan, beliau bersama Razana telah menggunakan kaedah screen shot (setiap kandungan data diambil menggunakan kamera digital).

Jelas beliau, kaedah screen shot ini juga bukan satu analisis tetapi hanya perbuatan mekanikal.

Barang-barang bukti tersebut, katanya, bagaimanapun telah diserahkan semula kepadanya pada 18 Mei tahun ini sebelum kaedah ‘screen shot’ dibuat pada 21 Mei lalu bagi tujuan pemetaan (co-relation) data yang telah diekstrak dengan log daripada syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi.

Katanya, ia bertujuan mengenal pasti sama ada tarikh dan masa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang terkandung dalam telefon bimbit tersebut selaras dengan log syarikat komunikasi terbabit.

Oleh Norhashimah Mohd Radzali


SAKSI KE-52: Aswami ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Penggunaan teknologi terkini tidak mampu kenal pasti gambar CCTV

SHAH ALAM: Imej pemandu jip milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di plaza tol Kota Damansara dekat sini, tidak jelas, walaupun menggunakan teknologi perisian komputer yang terkini, Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu.

Juruanalisis Kanan Digital Forensik di Cyber Security Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai NISER), Mohd Zabri Aidil Talib, 28, berkata imej pemandu jip tidak jelas, walaupun selepas membesarkan beberapa keping gambar yang diambil daripada rakaman itu melalui 'teknik memfokus'.


Menjawab soalan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin sama ada terdapat perisian atau teknologi lebih canggih boleh digunakan bagi memperoleh gambar lebih jelas, Mohd Zabri berkata, perisian video forensik iaitu �Videofocus� yang digunakannya sekarang adalah paling terkini berbanding dengan peralatan forensik digital lain.

Terdahulu, peguam Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, mempertikaikan kemampuan dan kepakaran Mohd Zabri dengan mempersoalkan kapasitinya untuk memberi keterangan di mahkamah sebagai seorang pakar.

Mohd Zabri, yang juga saksi ke-49 pendakwaan mengakui Cyber Security juga tidak pernah menerima akreditasi daripada mana-mana pihak dan beliau turut bersetuju disebabkan perkara itu, tahap ketepatan dan kepakaran agensi itu boleh dipertikaikan.


Katanya, Cyber Security Malaysia adalah sebuah agensi kerajaan di bawah naungan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Beliau juga bukanlah kakitangan kerajaan kerana agensi itu adalah sebuah syarikat swasta yang mendapat pembiayaan kerajaan.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Mohd Zabri berkata sebelum ini keterangannya diterima di mahkamah untuk dua kes lain yang membabitkan rakaman CCTV dan kad kredit.

Katanya, tandatangan pengesahan yang dibuat oleh dua pegawai atasannya di dalam laporan analisis hanyalah prosedur syarikat dan tanpa tandatangan itu, ia tidak bermakna analisis yang dibuatnya boleh dipertikaikan.

Sementara itu, disoal balas peguam Sirul Azhar, Ahmad Zaidi Zainal, Mohd Zabri berkata, tiada sebarang perubahan (tampering) dibuat pada pita rakaman CCTV yang diambil di plaza tol itu.

"Daripada analisis dilakukan terhadap salinan pita rakaman CCTV itu, saya mendapati tiada sebarang perubahan atau suntingan yang dibuat dan imej yang dipamerkan juga adalah konsisten," katanya.

Menjawab soalan Tun Abdul Majid, Mohd Zabri berkata, tiada perubahan dibuat kerana jika suntingan dilakukan, beliau boleh mengenal pasti melalui pergerakan imej yang tidak konsisten dan tidak lancar pada pita berkenaan.

"Selain itu, masa pada rekod transaksi penggunaan kad Touch n' Go milik Sirul Azhar yang direkodkan pada setiap gambar yang diambil daripada rakaman CCTV adalah konsisten," katanya.

Mohd Zabri berkata, walaupun analisis itu hanya dibuat menerusi salinan pita rakaman dan bukannya pita asal, ia adalah tepat kerana tiada perubahan dikesan pada kedua-dua pita berkenaan.

Sementara itu, saksi ke-52, Ketua Jabatan Digital Forensik di Cyberjaya Security Malaysia, Aswami Fadillah Mohd Ariffin, 36, berkata beliau menerima 11 telefon bimbit, dua kad SIM dan dua laptop daripada polis berhubung kes berkenaan.

Beliau hanya mengenal pasti kandungan data yang terdapat dalam kad SIM itu dan bukannya melakukan sebarang analisis.

Aswami berkata, beliau melakukan 'screen shot' pada satu telefon bimbit jenis Nokia 6710 yang 'dipotong' bagi tujuan pemetaan data yang dipadankan dengan log panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada syarikat Telco.

Disoal Tun Abdul Majid, Aswami berkata, pemetaan data bermaksud kandungan SMS yang diambil daripada telefon bimbit akan dibandingkan dengan log daripada Telco, untuk menentukan sama ada tarikh dan masa yang terkandung dalam telefon bimbit selaras dengan log berkenaan.

Katanya, pemetaan data yang dilakukannya itu bagaimanapun tidak 100 peratus tepat.

Aswami akan menyambung keterangannya hari ini.

Perbicaraan bersambung hari ini.