BESUT 4 Nov. – Kementerian Pengajian Tinggi akan mengenal pasti beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini untuk dinaik taraf mencapai tahap dunia, kata Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed.

Menurutnya, usaha giat dan rapi sedang dilakukan menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos lalu bagi mencapai matlamat tersebut.

Bagaimanapun katanya, kementerian berkenaan tidak menetapkan sebarang tempoh untuk tujuan itu kerana ia memerlukan masa yang agak lama dengan perancangan yang teliti bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Kementerian sebelum ini telah pun melancarkan pelan strategik yang menggariskan tujuh teras strategik antaranya menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguhkan penyelidikan dan inovasi serta mempergiat pengantarabangsaan.

“Menerusi pelan itu, kita berhasrat untuk menjadikan sebuah dua universiti tempatan bertaraf antarabangsa kerana pada masa ini tidak ada satupun daripada 17 IPTA negara ini yang mencapai tahap terbilang dan boleh dianggap bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian mula kerja pembangunan pertama Universiti Darul Iman (UDM), Kampus Besut di Mukim Tembila di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh serta Pengerusi Lembaga Pengarah UDM, Datuk Mohd. Azlan Hashim.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kelmarin berkenaan Kajian Reputasi Akademik dan Hasil Penarafan IPTA (Ares) yang mendapati tidak ada satupun daripada 17 IPTA di negara ini yang mencapai taraf dunia.

Rumusan Ares yang dijalankan oleh agensi itu mendapati hanya Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencapai tahap cemerlang dengan lima bintang sekali gus menjadi universiti yang menduduki tangga teratas dari segi reputasi IPTA di negara ini.

Kajian itu dijalankan menerusi kaji selidik yang dilakukan sejak Mei 2005 melibatkan 242 IPTA, dua institut ASEAN, sembilan syarikat korporat dan 19 badan profesional.

Sementara itu, ditanya tidakkah Malaysia agak terlewat untuk menaik taraf universiti tempatan bertaraf dunia, beliau berkata: “Tidak boleh buat hari ini, esok menjadi... kita perlu masa dan yang penting perlu usaha gigih kerana banyak pembaharuan perlu dilakukan dengan rapi.”

Bagi memastikan universiti tempatan bertaraf gemilang pada masa depan, Mustapa menambah, beberapa langkah akan diambil termasuk memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada tenaga pengajar di IPTA mempunyai kelulusan minimum Doktor Falsafah (PhD).

Malah, menurut beliau, kementeriannya juga menyasarkan untuk menambah bilangan tenaga pengajar asing yang pada masa sekarang hanya mempunyai 4.5 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga pengajar di semua IPTA.

Selain itu, pensyarah-pensyarah tempatan yang kini mengajar di luar negara juga akan dikenal pasti dalam usaha untuk meminta mereka kembali mengajar di tanah air.

“Kita memang berminat untuk menambah bilangan pensyarah asing terutama dari Eropah, bagaimanapun masalah kewangan menjadi antara kekangan utama yang dihadapi ketika ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kebanyakan pensyarah asing yang berada di negara ini berasal dari negara India, Pakistan, Asia Barat dan rantau Asia.

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Penerima organ jantung dan paru-paru baru, Siti Salmah Jasni, 18, hari ini memberikan tindak balas positif dengan menggerakkan jari dan bebola mata apabila doktor dan ahli keluarga berkomunikasi dengannya.

Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan di sini memberitahu, Siti Salmah telah sedar tetapi masih dalam keadaan kritikal.

Pelajar itu terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan belum berupaya untuk bercakap.

“Keadaan Siti Salmah itu adalah proses biasa yang dilalui pesakit yang baru menjalani pembedahan,” kata kenyataan tersebut.

Doktor-doktor di IJN akan terus memantau perkembangan kesihatan Siti Salmah sepanjang tempoh 24 jam akan datang dan hanya membenarkan ahli keluarga terdekat melawatnya.

Dalam kenyataan itu, IJN juga menyatakan penghargaan kepada keluarga penderma jantung dan paru-paru untuk Siti Salmah.

Organ jantung dan paru-paru milik seorang wanita berusia 20 tahun dari Kedah itu diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) awal pagi Jumaat lalu.

Siti Salmah yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari sejak lima tahun lalu menjalani pembedahan pemindahan organ yang mengambil masa selama lapan jam.

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ashari Yunus berkata, Siti Salmah mempunyai peluang cerah untuk sihat seperti sedia kala kerana paru-paru dan jantung yang baru didermakan kepadanya didapati sesuai dan mampu berfungsi dengan baik.

“Namun pelbagai kemungkinan boleh terjadi dan setiap hari kita perlu mengawasi Siti Salmah sebagaimana yang IJN lakukan terhadap penerima jantung, Tee Hui Yee dan pesakit lelaki dari Sarawak yang terlibat dalam pembedahan pemindahan paru-paru baru-baru ini,” katanya.

Kisah Siti Salmah, pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor yang merayu sumbangan jantung dan paru-paru dipaparkan dalam Utusan Malaysia tiga minggu lalu.

Oleh SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR 4 Nov. – Kerajaan negeri memberi jaminan projek pengeluaran dan pemprosesan batu kapur dolomit di Pulau Langkawi yang dijangka bermula pada Mac tahun depan tidak akan menjejaskan pulau legenda itu sebagai taman geologi dunia.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek perlombongan yang melibatkan pelaburan sebanyak RM600 juta itu akan dilaksanakan mengikut kelulusan undang-undang termasuk keperluan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA).

“Meskipun pulau itu kini dikenali sebagai Langkawi Geopark, ia tidak bermakna aktiviti ekonomi akan dihentikan di situ.

“Aktiviti ekonomi seperti pelaksanaan projek melombong dolomit akan berjalan seperti biasa mengikut undang-undang,” katanya.

Mahdzir menyatakan demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Pengeluaran dan Pemprosesan Mineral Dolomit antara Kedah Corporatian Berhad (KCB), Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) dan Metro Pinnacles Sdn. Bhd. (Metro) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Projek perlombongan itu melibatkan tiga kawasan di Langkawi meliputi Bukit Batu Putih, Pulau Dayang Bunting dan Pasir Telang Hantu akan diusahakan oleh syarikat Kuala Langat Mining Sdn. Bhd. (KLM) dengan pemegang sahamnya terdiri daripada KPS sebanyak 41 peratus dan KCB serta Metro masing-masing 20 dan 39 peratus.

Ia melibatkan empat fasa dan mengambil masa selama tujuh tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut Mahdzir, kerja-kerja pelaksanaan pembangunan, pengeluaran dan pemprosesan batu kapur dolomit di pulau peranginan itu akan mengambil kira meminimumkan kesan pencemaran kepada alam sekitar terutama bunyi bising, habuk, gegaran dan pencemaran sumber air.

Katanya, langkah awal kepada kawalan pencemaran alam sekitar ialah melantik juruperunding bagi membuat kajian EIA selain memastikan pemantauan berterusan dilaksanakan.

Beliau berkata, projek usahasama yang akan dijalankan itu dijangka akan memberi keuntungan kepada kerajaan negeri selain menjana aktiviti baru di Langkawi.

“Pada masa sama, penduduk di negeri ini juga akan mendapat manfaat besar daripada pelaksanaan projek berkenaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di situ,” katanya.

Oleh Nik Hariff Hassan

KUCHING: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memperkenalkan kaedah biologi hijau iaitu menggunakan kerengga, nama saintifiknya oecopylla smaragdina, bagi menangani masalah makhluk perosak yang menjejaskan pokok balak di negara ini.

Pakar Kaji Serangga FRIM, Dr Grace Tabitha Lim, berkata penggunaan kerengga diperkenalkan menerusi kaedah 'Aplikasi Teknologi Hijau Kerengga' yang dijalankan di kawasan pokok kayu balak di FRIM, Kepong, sejak 2000.

Katanya, secara tradisi habitat kerengga yang membiak pada pokok buah-buahan seperti rambutan, mangga, langsat, nangka dan manggis dapat melindungi buah daripada serangan ulat pengorek pucuk (Hypsipyla robusta) sehingga buah kelihatan cantik dan bermutu.

“Serangga itu boleh digunakan untuk mengawal makhluk perosak yang merencatkan pertumbuhan pokok balak, berasaskan kajian yang dijalankan di FRIM sejak tujuh tahun lalu," katanya kepada Berita Harian selepas menghadiri Seminar Penyelidikan Kemajuan Sains Perhutanan 2007 di Wisma STA di sini, kelmarin.

Seminar itu mengupas pelbagai isu kawalan biologi serangga perosak yang dilakukan enam pakar kaji serangga dari Amerika Syarikat dan Malaysia. Ia dianjurkan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Grace berkata, kerengga boleh digunakan untuk mengatasi masalah ulat pengorek pucuk bagi balak yang diusahakan di Sarawak, iaitu spesies mahogani (Swietenia mahagoni).

"Secara biologi kerengga akan mengambil sap (cairan manis) pokok mahogani dan hasil kumuh serangga simbion seperti afid dan koya yang dibuang sebagai bintil halus embun madu yang mempunyai kandungan gula tinggi sebagai makanan utamanya.

"Makhluk perosak sukar dikawal kerana ia hidup di hutan semula jadi menyebabkan habitat pembiakannya terlalu cepat sehingga menyebabkan pokok mahogani terencat pertumbuhan dengan mempunyai banyak cabang dan berkualiti rendah serta tidak bernilai untuk dipasarkan," katanya.

Beliau berkata, permintaan untuk balak spesies mahogani semakin meningkat bagi keperluan untuk menghasilkan perabot bermutu tinggi kerana struktur kayu yang keras dan corak kayunya yang cantik.

Grace yakin kajiannya akan memberi manfaat kepada pengusaha balak di seluruh Sarawak.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Jaipp terus kesan pergerakan pengikut Ashaari di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Semua 51 pengikut setia kumpulan al-Arqam yang diharamkan termasuk isteri Ashaari Muhammad, Hatijah Aam, 53, yang ditahan minggu lalu, dijangka didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Barat Daya, Balik Pulau, hari ini.

Ketua Unit Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Faizal Ibrahim, berkata mereka berusia 20-an hingga 50-an, akan hadir di pejabat Jaipp untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke mahkamah.

Katanya, selepas keterangan mereka diambil, kumpulan itu yang terdiri daripada 27 lelaki dan 24 perempuan termasuk dua remaja berusia 13 dan 15 tahun, akan dihadapkan ke mahkamah.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 9, Seksyen 12 dan 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP) 1996, yang masing-masing membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Mereka akan didakwa menghina atau ingkar arahan pihak berkuasa, mengembangkan ajaran yang bertentangan dengan fatwa dan mencetak atau menyebarkan buku dan lain-lain dengan cara bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Seksyen 9 membabitkan tuduhan menghina atau mengingkari arahan pihak berkuasa agama; Seksyen 12 - memberi, mengembangkan atau menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan fatwa dan Seksyen 13, cuba mencetak, menyiarkan, menerbitkan, merakam, menyebar atau dengan apa-apa cara seperti buku dan lain-lain dengan cara bertentangan.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan 51 orang dipercayai pengikut setia Ashaari ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Ara, Sungai Ara.

Jaipp yang mendapat bantuan anggota polis turut merampas pelbagai barang termasuk potret Ashaari dalam serbuan jam 10.15 malam itu. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Shahbudin Yahya, berkata operasi itu menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani ajaran sesat.

"Kejayaan ini menunjukkan Maipp dan Jaipp memandang serius masalah itu yang dianggap cuba merosakkan akidah umat Islam," katanya.

Mengulas lanjut, Shabudin berkata, pihaknya percaya perjumpaan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan ajaran Aurad Muhamadiah secara sulit.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan pergerakan dan kegiatan pengikut Ashaari di negeri ini.

"Kami berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan ajakan orang yang dikenali atau tidak dikenali untuk mengikuti ajaran kumpulan itu," katanya.
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

Penempatan pegawai dapat bentuk pasukan pengurusan cekap di jabatan, agensi

IPOH: Penempatan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat akan membantu meningkatkan integriti dan membentuk pasukan pengurusan yang cekap.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata penempatan itu bukan faktor penentu untuk meningkatkan keuntungan organisasi terbabit.

Katanya, pihak pengurusan yang bertanggungjawab dengan strategi yang tepat untuk membawa keuntungan lebih kepada syarikat atau organisasi.

"Pada masa sama BPR mempunyai Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan yang boleh membantu syarikat atau organisasi menggubal dasar pencegahan rasuah mereka.

"Jika dasar ini diguna pakai dan dilaksanakan, mereka akan membentuk pengurusan yang cekap dan penuh integriti untuk membawa keuntungan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri BPR Perak di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar.

Abu Kassim berkata demikian mengulas laporan akhbar semalam, pemantauan oleh BPR selama dua tahun membolehkan Amanah Raya Berhad meningkatkan keuntungan daripada RM3 juta pada 2004 kepada RM19 juta pada 2005 dan RM40 juta tahun lalu.

Katanya, peningkatan keuntungan itu hasil kepemimpinan Amanah Raya Berhad yang yakin kepada integriti dan BPR hanya membantu pengurusannya.

Sementara itu, Samsiah dalam ucapannya berkata, BPR Perak menerima 625 aduan daripada orang ramai dari Januari sehingga Oktober lalu dan hanya lima peratus daripada maklumat berkenaan dianggap tidak berkualiti.

Katanya, tahun lalu BPR Perak menerima lebih 780 aduan tetapi 20 peratus daripada maklumat itu tidak boleh digunakan untuk tindakan lanjut kerana maklumatnya tidak lengkap.

Beliau berkata, peningkatan jumlah maklumat yang berkualiti itu menggambarkan orang ramai percaya bahawa identiti mereka akan dirahsiakan BPR.

“Ada juga pengadu yang datang sendiri ke Pejabat BPR dan ini menunjukkan mereka tidak bimbang menjadi pemberi maklumat," katanya.

Samsiah berkata, BPR Perak sudah menubuhkan jawatankuasa bersama pencegahan rasuah dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak untuk meningkatkan integriti agensi berkenaan.

Katanya, Dewan Bandaraya Ipoh juga bercadang untuk menubuhkan jawatankuasa bersama mencegah rasuah tidak lama lagi.

Beliau berkata, jawatankuasa bersama itu penting untuk mencegah rasuah kerana aktiviti pencegahan lebih baik daripada menahan dan mendakwa pelaku rasuah.
IPOH: Pejabat Peguam Negara sudah menyiapkan draf pertama Akta Perlindungan Saksi, undang-undang khas bagi melindungi pemberi maklumat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata draf itu kini pada peringkat penelitian dan ulasan dari beberapa kementerian.

Katanya, jika semua kementerian terbabit dan Pejabat Peguam Negara berpuas hati, draf itu akan dibawa sebagai memorandum kepada Jemaah Menteri.

“Selepas Kabinet bersetuju dengan memorandum itu, barulah draf berkenaan dijadikan rang undang-undang untuk dibentang di Parlimen.

"Sekarang pun pada akta tertentu sudah ada usaha melindungi pemberi maklumat seperti Seksyen 53 Akta Pencegahan Rasuah.

"Secara umum, kita hendak menjadikan akta ini untuk semua. Lebih senang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim; Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed dan Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar.Dalam perkembangan berkaitan, Nazri berkata, tindakan BPR menahan dan mendakwa polis dan pegawai kerajaan tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu membezakan kerajaan yang memerintah, iaitu parti politik dengan pihak mentadbir negara, iaitu kakitangan awam.

Beliau berkata, lebih banyak tangkapan dan dakwaan dilakukan BPR, peluang calon BN untuk menang lebih baik.

"Kita mesti membezakan antara kerajaan yang dipilih dengan kerajaan mentadbir. Yang banyak kena dakwa di mahkamah ialah pegawai kerajaan, bukan menteri, bukan timbalan menteri atau setiausaha Parlimen.

"Yang hendak dipilih (dalam pilihan raya umum) wakil rakyat. Yang buat salah dan didakwa didakwa di mahkamah ialah pegawai kerajaan," katanya.

Sementara itu, Nazri berkata, beliau akan kekal bertanding di Padang Rengas jika dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang walaupun beberapa kenyataannya sebelum ini tidak popular.

Katanya, beliau menjalankan tugas sebagai menteri ketika mempertahankan institusi kehakiman atau menjawab bagi pihak BPR atau Pejabat Peguam Negara.
KOTA BHARU: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) mendapati ada balai polis di Kelantan masih menggunakan mesin taip ketika menerima laporan dan aduan yang dibuat orang ramai.

Pengerusi YPJM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Nawi, berkata mesin taip digunakan anggota polis balai berkenaan berikutan ketiadaan komputer untuk memudahkan urusan.

Beliau berkata, keadaan itu dikesan YPJM hasil lawatan terhadap 10 balai polis di Kelantan, terutama yang terletak di pedalaman pada Jumaat dan Sabtu lalu.

"Hasil lawatan, YPJM mendapati beberapa balai polis terutama di pedalaman Kelantan perlu dinaik taraf bagi memastikan anggota yang bertugas dapat memberikan khidmat dengan lebih cekap.

"Dalam dunia moden dan canggih ini, balai polis juga perlu moden supaya anggota yang bertugas dapat menjalankan tugas dengan lebih cepat dan berkesan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil terhadap balai polis sempena Program Lawatan Balai Polis 2007, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi; Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Kelantan, Hadi Mohd Salleh dan ketua polis daerah seluruh Kelantan.

Di majlis itu, Balai Polis Binjai dianugerahkan sebagai Balai Kumpulan A Terbaik, manakala Balai Polis Gua Musang Kumpulan Balai Polis B Terbaik.

Abdul Aziz berkata, keadaan balai polis yang serba kekurangan boleh menyebabkan pelbagai masalah, termasuk kelewatan menyelesaikan kes jenayah dalam masa singkat, selain memberi gambaran kurang baik kepada masyarakat.

Katanya, keperluan kemudahan asas itu sewajarnya diberi perhatian oleh kerajaan dan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan berasingan, Abd Aziz berkata, YPJM Kelantan akan memberi tumpuan kepada masalah sosial di kalangan remaja yang dilaporkan semakin serius di negeri ini.

Katanya, sebagai permulaan, yayasan itu akan mengadakan seminar arah aliran gejala sosial di negeri ini membabitkan 500 pelatih Institut Perguruan Kota Bharu (IPKB).
NIBONG TEBAL: Kerajaan memutuskan untuk membuat pelarasan Paras Garis Kemiskinan (PGK) di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mengikut kiraan purata bagi seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat minggu lalu kerana PGK yang ada sekarang berbeza berdasarkan pendapatan perkapita bagi setiap negeri.

"Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat pelarasan dan memantau pelaksanaan itu nanti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali berbentuk barang keperluan harian kepada 200 penduduk di Ladang Transkrian di sini, semalam.

Zainal Abidin berkata, selain kementeriannya, beberapa kementerian dan agensi kerajaan lain yang turut sama dalam pelarasan PGK termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Jabatan Perpaduan.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga terbabit untuk mengkaji kemiskinan di bandar. Matlamat pelarasan ini adalah untuk memastikan tiada lagi kemiskinan tegar menjelang 2010," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, ICU juga bertanggungjawab dalam membuat pelarasan bagi mewujudkan data kemiskinan supaya tidak berlaku pertindihan maklumat antara agensi kerajaan.

Mengulas mengenai kenaikan harga barang berikutan peningkatan harga minyak di pasaran dunia, Zainal Abidin menasihatkan agar setiap masyarakat khususnya penduduk kampung bijak dalam berbelanja.

"Bagi penduduk kampung mereka mempunyai pelbagai alternatif untuk berjimat contohnya bercucuk tanam dan sebagainya, bagaimanapun kenaikan harga barang tidak dapat disekat kerana ia adalah fenomena dunia," katanya. – Bernama

ISLAMABAD 4 Nov. – Tindakan Presiden Pervez Musharraf untuk kembali berkuasa dijangka memakan diri, menggugat kestabilan negara, mencetuskan serangan baru militan serta menyebabkan hubungan tegang dengan tentera.

Pervez yang merampas kuasa pada 1999 semalam telah mengisytiharkan perintah darurat, tindakan yang beliau dakwa akibat permusuhan dengan pihak kehakiman dan semakin meningkatnya tentangan oleh Al-Qaeda dan Taliban.

Para penganalisis berkata, kebimbangan sebenar Pervez adalah keputusan para hakim Mahkamah Agung yang akan membuat keputusan mengenai kesahihan pemilihannya sebagai Presiden pada 6 Oktober lalu.

Menurut para penganalisis, perintah darurat tidak akan melemahkan kedudukan militan yang berkubu di kawasan puak etnik di sempadan dengan Afghanistan tetapi mengukuhkan perjuangan dan meningkatkan serangan.

“Pervez melayari kapal kecil di tengah ribut politik yang besar dan tidak menentu.

“Beliau mungkin terselamat untuk sementara waktu tetapi beliau akan hanyut ditelan kemarahan, perasaan geram dan tekanan yang mahu mengembalikan keamanan dan kestabilan di Pakistan,” kata Rasul Baksh Rais, Profesor Saintis Politik di Universiti Sains Pengurusan di Lahore.

Selepas mengisytiharkan darurat, pasukan keselamatan telah menangkap beberapa pemimpin pembangkang dan peguam serta mengawal ibu negara daripada berlakunya bantahan beramai-ramai.

Beliau juga mengenakan sekatan yang ketat ke atas media dengan melarang sebarang bentuk penerbitan dan penyiaran yang mengkritik dirinya dan kerajaan.

Para penganalisis berkata, situasi yang berlaku lebih kepada undang-undang tentera berbanding darurat selepas Pervez menggantung hak-hak asas dan menambah, pembangkang tidak akan menerima keadaan itu untuk masa yang lama.

“Ia merupakan rampasan kuasa kedua oleh Pervez. Kami menuju ke arah ketidaktentuan kerana langkah ini akan dicabar oleh parti-parti politik,” kata Hasan Askari, bekas ketua sains politik di Universiti Punjab.

Penentang utama kepada langkah Pervez ini pasti datang dari bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto dan pemimpin pembangkang, Maulana Fazlur Rahman.

Rasul Baksh berkata, kebangkitan militan pasti akan memberikan tekanan kepada Pervez.

“Langkah ini akan memberi kesan kepada perang terhadap militan dan keganasan. Jika anda menekan demokrasi popular, anda hanya menyebabkan terhasil penentangan militan dan bersenjata,” jelasnya.

Penganalisis juga memberi amaran, bahaya terbesar akibat langkah Pervez ialah tentangan dari tentera yang menjadi tulang belakang rampasan kuasa 1999 dan pemerintahannya selama lapan tahun.

Menurut beliau, moral tentera berada pada tahap terendah akibat siri serangan dan penculikan ke atas tentera serta dikaitkan dengan perasan tidak puas hati rakyat.

“Darurat ini menyebabkan hubungan beliau dengan tentera semakin tegang tetapi kita akan menyaksikan penindasan selepas ini,” katanya.

– AFP

ISLAMABAD 4 Nov. – Pilihan raya umum Pakistan yang dijadual pada Januari ini mungkin ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat di negara ini.

“Oleh kerana darurat telah diisytiharkan, mungkin terdapat sedikit perubahan pada jadual dan tarikh pilihan raya.

“Kami harap proses demokrasi akan kekal atas landasannya,” kata Menteri Penerangan, Tariq Azim Khan.

Presiden Pervez Musharraf mengisytiharkan darurat petang semalam bagi menguatkan kuasa beliau ke atas cabaran yang diwujudkan oleh kumpulan pejuang pro-Taliban, badan kehakiman yang menjadi musuh beliau serta pesaing-pesaing politik.

Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan rasa “amat kecewa” atas tindakan Pervez, turut mendesak agar janji untuk mengadakan pilihan raya pada Januari ini diteruskan.

– Reuters

Oleh MAISARA ISMAIL

ISLAMABAD 4 Nov. – Media Pakistan hari ini lantang mengkritik tindakan Presiden Pervez Musharraf yang mengisytihar darurat semalam dengan menyifatkannya sebagai cubaan menjerumuskan negara ke dalam pemerintahan diktator.

“Pengisytiharan darurat itu berpunca daripada kebimbangan Pervez ke atas keputusan Mahkamah Agung mengenai kesahihan hak beliau untuk bertanding pada pilihan raya Presiden lalu,’’ tegas akhbar berbahasa Inggeris, The Dawn.

Pervez menang besar pada pemilihan Presiden Oktober 6 lalu tetapi keputusan mutlak masih tertakluk kepada pengesahan Mahkamah Agung yang sepatutnya diumumkan minggu ini.

“Tidak ada siapa yang akan menerima apa yang beliau beritahu, sama ada rakyat Pakistan mahupun negara penderma.

“Bolehkah seorang jeneral yang tidak mendapat mandat rakyat mampu mentadbir negara dan memerangi keganasan sendirian?’’ soal akhbar itu lagi.

Sementara itu, The News on Sunday, akhbar di bawah kumpulan media Geo iaitu saluran berita paling popular di Pakistan menegaskan bahawa ia adalah kesilapan paling besar oleh Pervez.

“Ini menunjukkan yang beliau gagal belajar dari kesilapan lampau.

“Langkah ini tidak akan menolong Pakistan memerangi pelampau. Tidak salah dikatakan darurat ini ditujukan kepada dua institusi: sistem kehakiman dan pihak media,’’ tegas lidah pengarang The News.

Menurut akhbar itu, pengisytiharan itu menjadikan semalam sebagai hari “Sabtu Yang Hitam” kerana tindakan itu akan terus mengancam Pakistan.

* MAISARA ISMAIL adalah bekas wartawan Business Times yang kini menetap di Islamabad.



LANGKAH KESELAMATAN: Tentera mengawal simpang jalan masuk ke kediaman Presiden di Islamabad, semalam.

Penahanan pembangkang, peguam anti-Musharraf sukarkan keadaan

ISLAMABAD: Polis menahan 500 aktivis pembangkang dan peguam semalam sehari selepas pemimpin tentera Presiden Jeneral Pervez Musharraf mengisytiharkan pergantungan Perlembagaan dan penguatkuasaan perintah darurat.

Amerika Syarikat dan beberapa sekutu Baratnya mengecam tindakan itu yang didakwa Presiden Pakistan itu sebagai tindak balas terhadap peningkatan kegiatan militan dan campur tangan badan kehakiman terhadap urusan kerajaan.


Kebanyakan rakyat Pakistan dan diplomat asing berkata, sebab utama Musharraf mengambil tindakan itu ialah untuk mengelak Mahkamah Agung bersidang bagi menentukan kesahihannya dipilih sebagai Presiden pada 6 Oktober lalu kerana masih memegang jawatan panglima tentera.

Antara tokoh pembangkang yang ditahan ialah bekas bintang kriket Pakistan, Imran Khan yang ditahan bersama-sama lapan penyokongnya di rumahnya di Lahore.

Bagaimanapun, berita terbaru menyatakan Imran berjaya melepaskan diri daripada tahanan polis itu.


"Beliau ditahan bersama penyokongnya di dalam rumah. Penyokongnya masih berada dalam rumah itu, tetapi Imran berjaya melarikan diri," kata seorang saudaranya.

"Polis masih berada di luar rumah itu," katanya.

Peguam terkenal dan tokoh pembangkang, Aitzaz Ahsan adalah antara yang pertama ditahan pihak berkuasa.

"Mereka sudah pun menyerahkan perintah tahanan selama 30 hari terhadap saya," kata Ahsan yang juga adalah Presiden Majlis Peguam Mahkamah Agung kepada wartawan di luar pekarangan rumahnya di Islamabad.

"Seorang manusia sudah meletakkan seluruh negara sebagai tebusan... sudah tiba masanya Jeneral Musharraf diusir," katanya.

Beberapa tokoh pembangkang dan peguam anti-Musharraf juga ditahan di Quetta, kata polis.

Javed Hashmi, pemimpin parti bekas Perdana Menteri, Nawaz Shariff, turut ditahan.

"Zaman pemerintahan Musharraf sudah berakhir. Masanya sudah tiba untuk mengakhiri peranan politik yang dimainkan tentera," kata Javed kepada wartawan ketika beliau dibawa ke dalam kenderaan polis di Multan.

Di Karachi, bandar raya terbesar Pakistan, Ketua Polis, Azhar Ali Farooqi, berkata polis tidak akan berlembut lagi.

"Dasar berlembut kita sudah berakhir. Kami tidak akan lagi teragak-agak mengambil tindakan, menahan dan menggunakan kekerasan jika perlu," katanya.

Selepas darurat diisytihar kelmarin, tumpuan rakyat Pakistan kini adalah kepada langkah selanjutnya oleh bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto.

Benazir, mengakhiri pembuangan negara selama lapan tahun bulan lalu, kembali ke Karachi semalam selepas seketika pergi ke Dubai. Beliau menggelar tindakan Musharraf mengisytihar darurat sebagai mengenakan pemerintahan mini tentera.

ISLAMABAD: Kalangan penduduk Pakistan meragui niat sebenar Presiden Pervez Musharraf mengenakan perintah darurat itu dan menyifatkannya taktik pemimpin itu memastikan sistem kehakiman negara itu di bawah cengkamannya serta memastikan kemenangannya dalam pilihan raya Presiden Oktober lalu terus kekal.

"Musharraf berbuat demikian kerana yakin Mahkamah Agung akan membatalkan kemenangannya itu," kata penduduk Islamabad, Asif Hussain.

"Beliau mahu terus berkuasa, biar apa pun caranya."

Musharraf sebelum ini memberi alasan pemberontakan kumpulan militan dan campur tangan mahkamah dalam pentadbiran kerajaan, sebagai punca perintah darurat itu dilaksanakan.

Mahkamah Agung dijadual membuat keputusan seawal hari ini, berhubung kesahihan kemenangan Musharraf berikutan bantahan pembangkang yang mendakwa kedudukannya tidak sah kerana bertanding ketika masih bergelar Panglima Tentera.

�Musharraf tidak mahu menunggu keputusan Mahkamah Agung kerana beliau sudah pun tahu nasibnya itu,� kata ahli perniagaan, Bashir Ahmed.

Tidak kurang yang mempertikaikan tindakan Musharraf mendakwa perintah darurat itu perlu bagi menghapuskan ancaman serangan Al-Qaeda dan Taliban di utara negara itu.

"Tindakannya itu hanya memburukkan lagi keadaan di kawasan berkenaan," kata Nasir Butt, peniaga di Lahore � ibu kota wilayah Punjab yang didiami 7 juta penduduk.

"Musharraf tidak akan dapat mematahkan kekacauan dan mewujudkan keamanan di kawasan bergolak seperti Waziristan. Malah, kita bimbang kemungkinan ia boleh meningkatkan lagi serangan bom dan bunuh diri."

Sementara itu, anggota polis dan separa tentera meneruskan sekatan ke kawasan utama kerajaan dan kemudahan penting di Islamabad berikutan undang-undang tentera yang dikuatkuasakan sejak malam kelmarin.

Jalan raya utama ke Parlimen, Istana Presiden dan Mahkamah Agung ditutup dan dikawal ketat anggota keselamatan. Operasi perniagaan berjalan seperti biasa, tetapi keadaan lalu lintas dan pasar utama sebaliknya lengang.

Ia disebabkan rakyat lebih berminat menghabiskan masa melihat berita di kaca televisyen dan akhbar bagi mendapatkan perkembangan terbaru. � AFP

Usaha temukan Suu Kyi, junta -- Misi Ibrahim di Myanmar dibayangi pengusiran diplomat PBB

YANGON 4 Nov. – Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari mengadakan perbincangan dengan dua menteri Myanmar hari ini tetapi pengusiran pegawai tertinggi PBB dari negara ini mungkin menyukarkan usaha untuk bertemu dengan ketua junta.

Ibrahim kini sudah dua hari berada di Myanmar dalam misi untuk mendesak pembaharuan politik dan rundingan antara jeneral-jeneral junta dengan pembangkang prodemokrasi.

Ini merupakan lawatan kedua beliau sejak junta tentera Myanmar melancarkan tindakan keras ke atas demonstrasi antikerajaan pada September lalu.

Beberapa orang diplomat berkata, Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Nyan Win dan Menteri Buruh, Aung Kyi yang telah dilantik sebagai pegawai perhubungan antara kerajaan dengan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Perselisihan

Jelas mereka lagi, Ibrahim berdepan dengan masalah untuk bertemu dengan ketua junta, Jeneral Than Shwe kerana wujudnya perselisihan dengan PBB.

Sehari sebelum beliau tiba di Yangon semalam, junta mengumumkan rancangan untuk mengusir diplomat kanan PBB di negara itu, Penyelaras Tetap, Charles Petrie atas tuduhan melampaui bidang tugasnya dengan mengkritik kegagalan kerajaan memenuhi keperluan ekonomi dan kemanusiaan negara ini.

Ibrahim dijangka terus berada di Naypyitaw di utara Yangon sehingga esok sebelum kembali ke ibu negara Myanmar untuk bertemu dengan Suu Kyi.

– AP

YANGON: Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ibrahim Gambari semalam bertemu seorang pegawai kanan junta di bandar terpencil Naypyidaw, Myanmar ketika kerajaan tentera itu mempertahankan langkah mereka untuk menyingkirkan seorang diplomat tertinggi PBB.

Seorang pegawai kerajaan yang enggan namanya didedahkan memberitahu AFP Gambari mengadakan perbincangan dengan Menteri Buruh Aung Kyi, yang dilantik regim untuk mewujudkan hubungan dengan pemimpin demokrasi, Aung San Syy Kyi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sekiranya diplomat Nigeria akan bertemu ketua junta, Than Shwe tetapi pegawai berkenaan berkata, Gambari akan bertemu Aung San Suu Kyi yang kini dalam tahanan kediaman di Yangoon, pada Selasa dan juga ahli parti Liga Demokrasi Kebangsaan.

Gambari memasuki hari kedua lawatan beliau ke negara itu untuk memberi tekanan perubahan politik dan mengadakan dialog dengan pembangkang berikutan tindakan tegas kerajaan September lalu yang membunuh sekurang-kurangnya 13 penunjuk perasaan dan menyaksikan beribu yang lain dipenjara.

Bagaimanapun pengumuman junta Jumaat lalu bahawa mereka tidak akan memperbaharui pengiktirafan terhadap Charels Petrie, pegawai PBB paling kanan di Myanmar, menjejaskan tujuan sebenar misi lawatan Gambari.

Akhbar kerajaan New Light of Myanmar semalam, menyiarkan komen yang mendakwa pasukan negara PBB tersilap memberi gambaran mengenai keadaan ekonomi dan kemanusiaan di sini dalam satu laporan bertarikh 24 Oktober.

Ia mendakwa bahawa penilaian tidak berasaskan bukti kukuh atau data sebenar dan ia tidak melambangkan objektif keadaan Myanmar.

Kenyataan Oktober itu dikeluarkan sempena Hari PBB yang mendakwa bantahan yang tercetus Ogos lalu berikutan kenaikan harga minyak menggambarkan kesukaran di negara miskin Myanmar itu.

"Bantahan itu jelas menunjukkan keadaan harian yang perlu ditempuhi bagi memenuhi keperluan asas dan keperluan penting untuk menyatakan keadaan kemanusiaan yang semakin merosot di negara ini," katanya.

Dalam surat yang diterima AFP dari Kementerian Luar Myanmar kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, junta mendakwa Petrie bertindak di luar kemampuan beliau dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan saja menjejaskan reputasi Myanmar, tetapi reputasi PBB. � AFP
SYDNEY: Tokoh politik antiimigrasi Australia, Pauline Hanson, berkata semalam penghijrahan orang Islam ke negara itu harus diharamkan.

Hanson, yang pada sekitar 1990-an menimbulkan kontroversi dengan mendakwa Australia diancam kebanjiran penduduk Asia, mengulangi cadangannya agar satu moratorium dikenakan kepada kemasukan orang Islam.

Bekas pengusaha kedai makanan segera itu berkata demikian dalam kempennya untuk kerusi Senat dalam pilihan raya 24 November ini.

Pada 1996 dengan menggunakan hujah anti orang asing beliau berkata, memenangi kerusi di dewan perwakilan Australia di bawah tiket One Nation Party.

Hanson berkata, isu pilihan raya paling penting bagi beliau adalah kehilangan nilai Australia, termasuk budaya negara itu, cara dan mutu hidupnya.

"Saya melihat industri, pembuatan, pertanian dan semuanya berkaitan Australia hilang.

"Saya berpendapat penghijrahan masuk... membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka untuk menginap di negara ini tanpa sebarang hasrat untuk hidup bangga sebagai orang Australia.

"Saya mencadangkan moratorium terhadap kemasukan penghijrah Muslim kerana saya percaya - bukan kerana agama mereka � tetapi menghalang orang Afrika membawa penyakit seperti AIDS ke negara ini," katanya. � AFP
LONDON: Putera Harry dilaporkan berdepan masalah ketagihan alkohol terutama selepas dilarang berkhidmat di Iraq apabila gambarnya yang disiarkan oleh akhbar Daily Mail menunjukkan putera itu tidak sekadar menghirup sebaliknya meneguk sebotol arak.

"Harry tidak menghirup minuman itu, dia terus meneguknya. Terdapat kebimbangan jika dia gagal mengawal tabiat itu, dia akan berdepan masalah ketagihan arak yang teruk," kata salah seorang rakannya.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan kesihatan dan gaya hidup anggota diraja berkata, putera itu memerlukan bantuan segera.

Beberapa hari sebelum ini, dia dilihat berada di sebuah kelab malam di London dengan teman wanitanya, Chelsy Davy, dan sekumpulan rakan rapat.

Meja Harry dipenuhi botol arak dan dia turut terbabit dalam pergaduhan dalam keadaan mabuk dengan seorang pengunjung yang didakwa mengeluarkan kata-kata tidak senonoh kepada Davy.

"Saya akan bunuh dia, saya akan bunuh dia," putera itu dilaporkan menjerit ketika diiringi kembali ke meja oleh pengawal peribadinya.

Kumpulan itu meninggalkan kelab malam berkenaan pada jam 3.30 pagi waktu tempatan.

"Anak muda berusia 23 tahun itu, pewaris ketiga takhta Britain, baru-baru ini menghabiskan £1,567 (RM10,969) di kelab malam tanpa menyedari makna wang sebanyak itu kepada orang biasa," kata ibu seorang rakannya. – Agensi
LONDON: Ibu hamil yang mengalami masalah berat badan berlebihan didakwa berisiko untuk mendapat anak hiperaktif, kata satu kajian terbaru.

Kajian berkenaan adalah pertama kali dibuat untuk mengaitkan berat badan ibu ketika hamil dengan masalah tumpuan anak-anak mereka.

Kumpulan penyelidik berkata, penemuan mereka bukan saja mempunyai kaitan dengan ibu yang mempunyai masalah berat badan tetapi juga mereka yang mempunyai berat badan berlebihan secara sederhana.

Kajian sebelum ini mendapati anak daripada ibu yang merokok ketika kehamilan berisiko sehingga sembilan kali ganda untuk berhadapan dengan masalah gangguan hiperaktif atau kurang tumpuan (ADHD).

Bagi kajian terbaru ini, penyelidik dari Universiti Uppsala di Sweden memantau sejumlah 12,500 kanak-kanak sejak dari mereka dalam rahim sehingga usia persekolahan.

Mereka mendapati satu daripada 10 kanak-kanak terbabit menghadapi masalah kesukaran memberi tumpuan dan hiperaktif.

Penemuan mereka dibuat ketika Britain berhadapan dengan krisis kegemukan.

Bulan lalu, satu laporan kerajaan memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 60 peratus daripada penduduk lelaki di negara itu akan berhadapan dengan masalah obes manakala 50 peratus adalah wanita dan 26 peratus lagi kanak-kanak menjelang tahun 2050.

Ia turut menambah bahawa bilangan kanak-kanak British yang mempunyai masalah ADHD semakin bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Dr Alina Rodriguez dari Universiti Uppsala.

"Ramai kanak-kanak dikesan mempunyai ADHD dan lebih ramai wanita mengalami masalah berat badan berlebihan apabila mereka hamil," katanya. – Agensi
LUXOR: Mesir semalam buat kali pertama mendedahkan wajar sebenar mumia muda, firaun Tutankhamun kepada tatapan umum sejak kematiannya akibat penyakit misteri, lebih 3,000 tahun lalu.

Tutankhamun yang mati pada usia 19 tahun, adalah firaun ke-12 yang memerintah selama 10 tahun.

Mumianya dialihkan dari makam asalnya pada 1922 kepada keranda khas yang dikawal suhunya bagi membolehkan proses awetan berterusan.

"Wajah sebenar firaun ini amat menakjubkan," kata pakar antikuiti terkenal Mesir, Zahi Hawass sambil menarik kain balutan yang mendedahkan bentuk muka seperti mayat rentung.

"Ia penuh misteri, kecantikan tersendiri dan bentuk giginya menyamai dengan anggota keluarganya yang lain. Usaha meletakkan dalam keranda ini membolehkan firaun ini terus kekal seadanya."

Tutankhamun yang dilantik sebagai firaun pada usia sembilan tahun, menjadi perhatian dunia selepas makam dan hartanya ditemui rakyat Britain, Howard Carter.

Topeng wajahnya diperbuat daripada emas seberat 11 kilogram yang turut disaluti batu permata.

Mumia itu terpaksa dibentuk semula wajahnya selepas Carter bertindak memotongnya kepada 18 bahagian bagi mendapatkan barangan kemas lain, kata Mustafa Wazery, Pengarah kawasan dikenali Valley of the Kings.

"Apa yang anda lihat adalah wajah yang tampan," katanya kepada wakil media.

"Beliau adalah seorang budak lelaki yang menarik dengan senyuman menawan."

Setiap hari, beratus-ratus pelawat melihat makannya di kawasan Valley of the Kings, di tebing barat Sungai Nil. Luxor – bandar di selatan Mesir.

Kehadiran pengunjung ini membawa bersama bakteria, kelembapan dan bahan pencemar lain.

"Berikutan itu, mumia berkenaan mungkin menjadi debu akibat peningkatan tahap kelembapan," kata Hawass yang juga Pengerusi Majlis Antikuiti Mesir. – AFP