KUALA LUMPUR, 15 Okt — Ibu gadis “jantung mekanikal” Tee Hui Yi yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN) berharap mesin ventilator yang membantu pernafasan anaknya itu dapat dibuka segera.

Dina Bato Sam Bua, 46, berkata, buat masa sekarang anaknya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin itu kerana mengalami kesukaran untuk bernafas secara normal.

“Bila alat bantuan pernafasan itu akan ditanggalkan bergantung kepada doktor yang merawat dan saya sedar bahawa ia akan dilakukan jika anak saya didapati menunjukkan perkembangan positif tetapi saya sedih melihat keadaan beliau,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, alat bantuan pernafasan itu pernah dibuka pada 9 Okt lepas setelah Hui Yi, 14, menunjukkan tindak balas positif dan bernafas secara normal, namun ia dipasang kembali selepas mengalami kesukaran bernafas.

Hui Yi yang menjalani pembedahan pindahan jantung pada 3 Okt terpaksa menjalani pembedahan kedua pada 5 Okt selepas badannya menolak jantung penderma pertama.-Bernama

MOSCOW 14 Okt. – Cip tempe, granola bar daripada roselle, nasi himpit beriani, kuih bangkit, gegulung pisang dan beberapa lagi makanan bercirikan Malaysia mula ‘dihidangkan’ di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) hari ini.

Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menikmati makanan tersebut pada waktu makan tengah hari di ISS iaitu pukul 2.30 petang waktu ISS bersamaan 6.30 petang waktu tempatan (10.30 malam di Malaysia).

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, makanan bercirikan Malaysia itu akan dirasai oleh semua angkasawan di ISS.

“Terpulang kepada angkasawan di ISS seperti Peggy Whitson, Yuri Malenchenko dan krew lain sama ada hendak merasai makanan tersebut.

“Bagaimanapun, Sheikh Muszaphar bukan hanya merasai makanan itu malah beliau akan melakukan kajian yang diamanahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menentukan sama ada ia bersesuaian atau tidak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semua makanan yang dibawa ke ISS disediakan oleh pihak Rusia mengikut resipi mereka.

Sebelum ini, Agensi Angkasa Itali juga mengesahkan angkasawannya menghadapi masalah makanan dan mengakui kepelbagaian jenis makanan memberikan kesan positif kepada angkasawan dari segi psikologi.

Makanan bercirikan Malaysia yang dibawa ke ISS ialah sate ayam, rendang daging, nasi himpit beriani, gegulung pisang, hirisan mangga kering, jeli halia, granola bar daripada roselle, kuih bangkit dan cip tempe.

Sementara itu, Penyelaras Sains Hayat untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, walaupun kandungan bahan dan rasa makanan berkenaan adalah sama namun ia telah diubah sedikit untuk disesuaikan dengan keadaan mikrograviti di ISS.

PUTRAJAYA 14 Okt. – Telepersidangan antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan angkasawan pertama negara yang dijadualkan malam ini tidak menjadi kerana masalah teknikal. Perdana Menteri menyuarakan rasa dukacitanya kerana tidak dapat berkomunikasi dengan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, yang kini berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), seperti yang dijadualkan pada 8.20 malam.

“Saya dukacita, tadi saya berharap untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Dr. Muszaphar, nampaknya tak ada peluang. Bagaimanapun kalau esok ada peluang saya masih mahu mengucapkan Selamat Hari Raya kepadanya,” kata beliau dalam satu temu bual bersama RTM 1 yang disiarkan secara langsung dari Seri Perdana di sini.

Telepersidangan itu akan diadakan semula pada 16 Oktober, pukul 9.04 malam.

Selain itu, Abdullah berkata, beliau juga ingin bertanya kepada Dr. Muszaphar mengenai perasaan dan kesihatannya berada di angkasa lepas selain perkembangan tugasan yang telah diamanatkan oleh rakyat Malaysia kepadanya.

“Dia bukan pergi untuk suka-suka, untuk jenguk permandangan bumi di bawah. Tetapi dia ada tugas yang perlu dilaksanakan semasa di ISS,” katanya.

Dr. Sheikh Muszaphar, 35, berlepas pada 10 Oktober bersama angkasawan Amerika, Peggy Whitson dan Jurutera Penerbangan Rusia, Yuri Malenchenko dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan untuk muncul sebagai warga Malaysia pertama yang meneroka angkasa lepas.

Kapal angkasa mereka, Soyuz TMA-11, bercantum dengan ISS pada Jumaat dan ketiga-tiga angkasawan itu memasuki ISS.

Abdullah berkata, peristiwa bersejarah itu juga menandakan Malaysia telah memasuki fasa kedua sains angkasa lepas dan meletakkan nama Malaysia antara negara elit dunia yang berjaya meneroka angkasa lepas.

“Saya berasa gembira, peristiwa bersejarah ini bukti kita ada kemampuan menghantar anak watan kita ke angkasa lepas,” katanya.

Negara akan terus memperhebatkan program-program yang berkaitan dengan sains angkasa lepas dan bekerjasama dengan negara-negara perintis dalam bidang itu seperti Rusia dan Amerika Syarikat bagi membolehkan lebih banyak penyelidikan dijalankan demi manfaat orang ramai.

“Kita mahu terus ambil bahagian dan terus positif dalam hal ini kerana hasil penyelidikan di angkasa lepas ada yang boleh kita guna untuk kepentingan manusia,” katanya.

Penglibatan negara dalam bidang angkasa lepas juga menunjukkan Malaysia menuju ke arah sebuah negara maju, katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis yang juga berada di Seri Perdana berkata telepersidangan itu tidak dapat diadakan kerana cuaca buruk di Moscow, Rusia.

Hubungan antara Pusat Kawalan Misi (MCC) dan ISS menggunakan sistem komunikasi dua hala frekuensi lampau tinggi (UHF) hanya boleh dilakukan dalam tempoh 10 minit apabila stesen angkasa itu melintasi ruang angkasa Rusia, katanya kepada pemberita.

Tetapi oleh kerana cuaca buruk itu isyarat audio dan visual tidak dapat dihantar ke Malaysia dan seterusnya Seri Perdana.

Jamaluddin juga turut meminta maaf kepada orang ramai kerana telepersidangan itu tidak dapat diadakan dan berkata pihaknya akan cuba mengadakannya semula pada malam 16 Oktober.

“Perdana Menteri telah dimaklumkan bahawa kita akan mencuba lagi untuk mengadakan telepersidangan dengan Dr. Sheikh Muszaphar pada malam 16 Oktober ini. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan kerana semuanya berjalan dengan lancar, cuma perhubungan kita dengan Moscow mengalami sedikit gangguan,” katanya.

Turut hadir ialah isteri Abdullah, Datin Seri Jeanne Abdullah, dan menantunya Khairy Jamaluddin yang juga Timbalan Ketua Pemuda UMNO.

– Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dukacita sidang video khasnya dengan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, dijadualkan malam tadi tidak dapat diadakan kerana masalah teknikal.

Sidang video dengan Dr Sheikh Muszaphar yang kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan dijadualkan jam 8.20 malam tidak menjadi kerana masalah teknikal di Pusat Kawalan Misi (MCC) di Moscow.

"Saya dukacita.... saya berharap dapat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Dr Sheikh Muszaphar. Saya juga ingin bertanya kepadanya pelbagai soalan seperti perasaannya, kesihatannya dan sama ada beliau sudah menjalankan eksperimen yang ditugaskan," katanya dalam temu bual dengan TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, yang turut berada di Seri Perdana berkata, sidang video itu tidak dapat diadakan kerana cuaca buruk di Moscow.

Laporan A Halim Yusof di Kazakhstan

Rendang daging, sate ayam untuk angkasawan

ANGKASAWAN pertama negara yang berada dalam keadaan baik dan sihat untuk melaksanakan beberapa kajian saintifik penting, berkongsi juadah makanan Malaysia dengan semua krew Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ketika hidangan tengah hari pada hari keempat (waktu tempatan), semalam.

Makanan berkenaan bukan saja sebahagian proses untuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha memberi ucap penghargaan dan memperkenalkan Malaysia kepada krew ISS, ia juga sebahagian daripada uji kaji bagi menilai tindak balas makanan berkenaan yang disediakan khas Mardi, dalam suasana angkasa lepas.


Pengarah Program Angkasawan Negara, Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, berkata antara makanan yang dibawa termasuk rendang daging, tempe goreng, nasi beriani, sate ayam dan kuih bangkit. Bagaimanapun, ia bukan makanan utama angkasawan di ISS.

Dr Zulkeffeli berkata, makanan berkenaan adalah versi yang sudah disesuaikan dengan keperluan di angkasa lepas, bukan saja untuk membolehkan ia tahan lama tapi melayakkan menjadi makanan di angkasa.

"Nasi beriani umpamanya, sudah dimampatkan seperti nasi himpit bagi mengelakkan butiran kecil nasi bertaburan di ISS hingga boleh memasuki hidung angkasawan,� katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sepanjang misi 10 hari di ISS, Dr Sheikh Muszaphar akan membuat kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi di angkasa lepas terhadap sel dan mikrob, serta uji kaji pengkristalan protein untuk kegunaan sektor industri.

Pengarah Institut Perubatan Molekular Biologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr A Rahman Jamal, berkata setakat ini semua penyelidikan diaktifkan dan Dr Sheikh Muszaphar faham dengan semua prosedur.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan membuat bedah siasat terhadap program angkasawan negara pertama sebelum membuat keputusan untuk menghantar angkasawan kedua.

"Kita akan membuat bedah siasat terlebih dulu dan selepas itu akan menilai kemungkinan pada masa hadapan," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya mengenai misi angkasa lepas negara akan datang dan kemungkinan menghantar Kapten Dr Faiz Khaleed bagi mengikuti misi itu pada 2009.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis pada sidang media di Moscow, Jumaat lalu, dilaporkan berkata Dr Faiz adalah calon utama bagi misi akan datang.

Dalam pada itu, Najib turut mengesahkan beliau akan ke Moscow pada 20 Oktober ini untuk menyambut kepulangan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan bukannya ke Siberia atas faktor keselamatan dan logistik.

"Pihak Russia menasihatkan kami untuk menunggu kepulangan Dr Sheikh Muszaphar di Moscow. Pendaratan angkasawan adalah di Siberia tetapi keadaan di situ tidak mengizinkan," katanya.


Dr Sheikh Muszaphar dijangka mendarat pada kira-kira 6 jam petang (waktu Moscow) pada 21 Oktober, di satu lokasi di Siberia sebelum diterbangkan ke ibu negara Russia.

Impian Malaysia untuk meneroka angkasa lepas yang dicetuskan sejak 2003, menjadi realiti apabila kapal angkasa Soyuz 15-S yang membawa angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome pada 10 Oktober lalu.

Pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa kapal angkasa itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) mencapai objektif pertama apabila ia berlabuh di ISS pada jam 10.50 malam Jumaat lalu.

Selain Dr Sheikh Muszaphar, misi kapal angkasa seberat 7,170 kilogram itu juga disertai Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko dari Russia.

Tiga angkasawan itu akan berada di ISS selama 10 hari dengan Dr Sheikh Muszaphar mengadakan tiga uji kaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan pengkristalan protein sebelum pulang ke bumi 21 Oktober ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, berkata wanita Malaysia mampu merebut peluang menjadi calon angkasawan sokongan kepada Kapten Dr Faiz Khaleed, jika misi ke angkasa lepas diteruskan.

"Saya yakin dengan kekuatan dan usaha berterusan wanita Malaysia sekarang, tidak mustahil kerusi calon bagi sokongan atau simpanan akan menjadi milik wanita," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kelmarin.

Shahrizat berkata keyakinan itu berdasarkan kebolehan wanita yang setanding dengan lelaki.

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

KLANG 14 Okt. – Selangor hari ini meminta pihak berkuasa agama Islam negeri lain bersama-sama bekerjasama dalam usaha membendung kewujudan semula ajaran sesat Al-Arqam yang didapati masih lagi aktif di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, ketika ini pihaknya mendapati kumpulan yang diwartakan sebagai ajaran sesat itu masih bergerak dan aktif dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Malah, kumpulan terbabit katanya, berani menerbit serta mengedarkan buku-buku berunsurkan Aurad Muhammadiah termasuk mengagung-agungkan pemimpin mereka, Ashaari Muhammmad dan sebagainya.

“Kita minta kerjasama pihak berkuasa agama seluruh negeri serta Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dapat membuat pemantauan serta mengambil tindakan bagi menangani masalah ini.

“Perkara ini perlu dibendung dari awal kerana kegiatan oleh bekas ahli kumpulan itu boleh mengancam keselamatan serta akidah umat Islam keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pad majlis rumah terbukanya di Dewan Datuk Ahmad Razali di sini hari ini yang dihadiri lebih 6,000 orang dari pelbagai kaum dari seluruh Selangor.

Pada 5 Ogos 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengisytiharkan fatwa mengharamkan Al-Arqam serta amalan-amalan yang berkaitan dengannya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut mengingatkan bekas-bekas pengikut yang cuba menghidupkan semula kumpulan terbabit supaya insaf serta kembali kepada ajaran Islam sebenar.

“Saya harap mereka supaya bertaubat dan kembali kepada ajaran Sunnah Wal-Jamaah kerana serta tidak taksub kepada pemimpin kerana ia merupakan satu perkara yang sia-sia,” ujarnya.

PUTRAJAYA: Semua pihak berkuasa agama atau majlis agama negeri perlu terus memantau percubaan pihak tertentu menyampaikan atau menghidupkan semula ajaran al-Arqam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata pihak berkuasa agama negeri mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan jika mendapati ada percubaan menghidupkan al-Arqam.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah sebuah agensi pusat yang menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran Islam di Malaysia tetapi kuasa adalah di bawah majlis agama Islam negeri.


"Bagaimanapun, jangan anggap Jakim tidak mempunyai kuasa langsung tetapi Jakim boleh menasihati atau mempengaruhi negeri atau pihak berkuasa agama dalam mengambil tindakan," katanya.

Akhir bulan lalu, Berita Harian melaporkan pendedahan bekas Penasihat Undang-undang al-Arqam, Zabidi Mohamed, bahawa tindakan kumpulan itu menyebarkan propaganda mahu menjatuhkan kerajaan sekarang menerusi SMS adalah untuk mencabar kerajaan sejauh mana boleh bertindak terhadap mereka.

Zabidi dilaporkan berkata, ini kerana mereka berpendapat kerajaan tidak mampu bertindak terhadap kumpulan itu yang kini berselindung di sebalik kegiatan perniagaan Rufaqa.

Beliau dilaporkan berkata, propaganda itu juga sebenarnya cuba menarik perhatian bekas ahlinya untuk menyatakan al-Arqam walaupun diharamkan tetapi masih wujud supaya kembali semula ke pangkuannya.

Zabidi dilaporkan berkata, bukti al-Arqam berselindung di sebalik perniagaan Rufaqa tidak sukar kerana ada dinyatakan dalam buku tulisan isteri bekas pemimpinnya, Ashaari Muhammad, Khatijah Am, bertajuk Pemimpin Paling Ajaib Di Zamannya.

Dr Abdullah berkata, selain majlis agama negeri, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) juga mempunyai kuasa termasuk menggunakan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika mendapati kegiatan kumpulan menyeleweng mengancam keselamatan negara.

Oleh Khairunnisa Kamarudin


MENYAYAT HATI: Roslinawati sedih atas kematian dua anak dan suaminya yang disyaki membunuh diri, di pangsapuri Taman Desa Ria, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Mangsa minum racun tinggal wang kos pengebumian diri, 2 anak

PETALING JAYA: "Sila gunakan duit ini untuk mengebumikan kami bertiga," itulah nota bersama wang tunai RM380 yang ditinggalkan Shamsul Hadi Yaakob, 32, yang ditemui mati terminum racun bersama dua anaknya di pangsapuri Taman Desa Ria, Jalan Klang Lama di sini, kelmarin.

Mayat penyelenggara stor itu bersama anaknya, Nor Malissa Nasuha, tujuh, dan Muhammad Fariz Hilmi, dua, ditemui di ruang tamu rumah berkenaan pada jam 1 tengah hari 1 Syawal lalu.


Nota itu yang turut ditulis 'Maafkan abang ke atas apa yang berlaku' ditemui berdekatan jenazahnya. Turut ditemui wang tunai RM380 dalam dompetnya, nombor akaun bank dengan baki RM400 dan sepasang baju Melayu baru di atas katil.

Shamsul dipercayai mencampurkan racun dengan air sirap dan memberi kedua-dua anaknya minum sebelum beliau sendiri meminumnya. Mayat tiga beranak itu ditemui bapa Shamsul yang datang memeriksa selepas anaknya tidak menjawab panggilan telefonnya, sejak malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, ketika dihubungi berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada masalah keluarga.


"Kita masih tunggu keputusan bedah siasat dan tiada unsur jenayah di dalam kes ini," katanya.

Polis turut menemui satu botol racun di tempat kejadian.

Difahamkan, isteri mangsa meninggalkan rumah kira-kira seminggu lalu berikutan perselisihan faham antara mereka.

Siti Rozlinawati Sudar, 27, ketika ditemui di rumah itu semalam, bagaimanapun enggan bercakap.

Ibu Shamsul yang hanya dikenali sebagai Azizah berkata, anak lelakinya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini.

"Kali terakhir saya bertemu arwah, Khamis lalu ketika datang mengambil kedua-dua anaknya. Ketika itu saya nampak dia seperti bermasalah.

"Apabila ditanya, Shamsul cuma cakap semua masalah akan terjawab pada Aidilfitri ini, tapi saya tidak sangka dia akan bertindak untuk bunuh diri bersama cucu saya. "Apa yang lebih menyedihkan arwah meninggalkan wang untuk kami mengebumikan mereka bertiga," katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, semalam.

Azizah berkata, setiap pagi arwah menghantar kedua-dua anaknya ke rumah beliau di Taman Medan dan mengambil mereka selepas pulang dari kerja pada sebelah petang.

"Jumaat lalu, Shamsul tidak menghantar anaknya kerana dia sudah bercuti tapi apabila suami saya menelefon, panggilan tidak berjawab sehingga malam. Saya ingatkan dia akan datang ke rumah untuk menyambut Aidilfitri tapi sehingga pagi raya (Sabtu) masih tiada jawapan atau panggilan.

"Kami terus ke rumahnya jam 1 petang dan mendapati pintu rumah berkunci dan tiada sesiapa yang menjawab. Kami kemudian memecahkan pintu dan menemui Shamsul bersama dua cucu saya terbaring di ruang tamu," katanya.

Jenazah tiga beranak itu dituntut jam 2 petang dan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Bukit Tandang di sini.

KULIM: Bapa kepada tiga beradik yang lemas di Sungai Mahang di sini Jumaat lalu mendakwa kerja mengorek pasir secara haram di sungai itu yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab penyebab kematian anaknya.

Mohd Zuki Abdul Majid, 38, berkata anak-anaknya tidak mungkin lemas jika tiada kerja mengorek pasir secara haram dijalankan di sungai itu seminggu sebelum itu.

Malah katanya, jika anaknya tidak terkorban, kanak-kanak lain di Kampung Ulu Mahang mungkin akan menjadi mangsa kerana perbuatan itu jelas menjadi ancaman kepada penduduk di situ.


"Secara kebetulan, anak-anak saya yang menjadi mangsa. Ia tragedi yang menyayat hati yang tidak pernah saya bayangkan. Saya kehilangan tiga daripada lima anak sekali gus.

"Kami pulang ke kampung ini dari Pelabuhan Klang, Khamis lalu bertujuh, tetapi selepas hari raya, saya dan isteri akan kembali ke rumah tanpa tiga anak," katanya.

Tiga anak Mohd Zuki, Muhammad Safwan, 12; Muhammad Nasrul, 10 dan Muhammad Hafiz, 8, lemas sejurus terjun ke dalam Sungai Mahang Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu disaksikan sendiri nenek mereka, Siti Aminah Abdullah, 58, yang menemani tiga beradik itu yang beria-ia hendak mandi di sungai berkenaan.

Siti Fatimah yang menyedari cucunya lemas cuba menyelamatkan mereka dan sempat memaut tangan Muhammad Safwan namun terlepas kerana dihanyutkan arus.

KUALA LUMPUR: Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Ibrahim Gambari, dijadual tiba di sini esok untuk bertukar pendapat dengan pemimpin negara dalam mencari jalan penyelesaian jangka panjang kepada kemelut politik negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mengesahkan Ibrahim mungkin menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau sendiri ketika lawatan itu.

"Saya bersetuju untuk bertemu kerana berpendapat ia penting dalam sokongan kita kepada usaha PBB untuk mencari satu penyelesaian (kepada kemelut politik di Myanmar), dan supaya beliau (Ibrahim) mendapat kerjasama semua negara Asean.


"Sehingga sekarang, saya rasa Kerajaan Myanmar menunjukkan reaksi positif dan ada tanda wujudnya penyelesaian membina untuk menangani isu berkenaan.

"Mari kita hulurkan apa saja sokongan diperlukan Ibrahim dalam usahanya untuk mencari satu penyelesaian yang kekal dan mampu bertahan," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, kelmarin.


Seorang aktivis memegang anaknya yang turut serta dalam bantahan antijunta di depan kedutaan Myanmar di Bangkok, semalam.

YANGON 14 Okt. – Junta tentera Myanmar yang menangkap enam aktivis politik terbabit dalam bantahan antikerajaan sebelum ini, hari ini mengecam usaha global untuk mengembalikan demokrasi di negara ini.

Kecaman itu dibuat serentak dengan kunjungan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari ke beberapa negara Asia bagi mendapatkan sokongan.

Ibrahim akan terbang ke Bangkok esok bagi mengadakan rundingan dengan para pemimpin Thailand.

Beliau kemudiannya, dijangka terbang ke Malaysia, Indonesia, China dan Jepun sebelum kembali ke Myanmar ketika meningkatnya tekanan terhadap junta tentera supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap penentang kerajaan dan membuka rundingan dengan para pemimpin pembangkang.

Misi Ibrahim kali ini bertujuan menyelaraskan usaha antara kerajaan-kerajaan utama di rantau Asia bagi membantu menyelesaikan krisisi.

Bagaimanapun, para pemimpin tentera Myanmar telah berulang kali menolak desakan supaya dilakukan pembaharuan dengan alasan, langkah mendemokrasikan Myanmar sedang dilakukannya dengan mengikuti tujuh langkah pelaksanaan yang diperkenalkan oleh junta tentera.

Pendirian keras junta tentera itu ditegaskan oleh junta tentera dalam akhbar rasminya, The New Light of Myanmar hari ini.

Dalam ruangan editorial, akhbar itu turut mengecam para penunjuk perasaan aman baru-baru ini sebagai pengkhianat yang “menyerahkan ibu pertiwi kepada negara asing.”

Pada masa yang sama junta tentera juga tidak mengendahkan desakan supaya menghentikan tindakan kekerasan terhadap para penentang kerajaan dan penunjuk perasaan.

Sementara itu, laporan terbaru menyebut enam aktivis politik telah ditangkap oleh pihak berkuasa Myanmar semalam dalam satu serbuan ke sebuah rumah perlindungan turut melibatkan dua pemimpin utama dalam tunjuk perasaan sebelum ini.

‘‘Tiada sebarang maklumat menyatakan di manakah mereka ditahan,’’ kata Amnesty International , sebuah kumpulan pemerhati hak asasi manusia yang berpusat di London.

– Agensi


Wakil khas PBB lawat Asia beri tekanan baru

YANGON: Pemerintah tentera Myanmar semalam melonggarkan sekatan di Yangon termasuk mengurangkan tempoh perintah berkurung dan menyambung semula komunikasi internet tetapi masih meneruskan kawalan keselamatan dan operasi menahan penunjuk perasaan prodemokrasi.

Perkembangan itu berlaku ketika Wakil Khas PBB ke Myanmar Ibrahim Gambari berada di Bangkok bagi memulakan lawatan ke Asia untuk memberi tekanan kepada pemerintah tentera Myanmar.

Kalangan pemerhati pula menyelar Singapura kerana meneruskan hubungan dengan junta, termasuk mengurus dan menerima pengaliran wang haram pemimpin tentera ke bank tempatannya.

Di ibu negara Myanmar itu, tentera menggunakan pembesar suara yang dibawa trak ke seluruh bandar raya itu lewat kelmarin memaklumkan rakyat mengenai tempoh perintah berkurung terbaru yang dikurangkan selama empat jam iaitu mulai jam 11 malam hingga 3 pagi. Sebelum ini, ia dikuatkuasakan mulai jam 10 malam hingga 4 pagi.

Kelonggaran itu, disertai dengan kehadiran tidak ramai anggota keselamatan di jalan raya di Yangon, menunjukkan junta yakin ia dapat menghentikan bantahan terbesar terhadap pemerintahannya dalam masa hampir 20 tahun.

Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International mendakwa pihak berkuasa Myanmar menahan empat lagi aktivis prodemokrasi di Yangon, ketika kebimbangan semakin memuncak berhubung nasib sekurang-kurangnya 1,000 penduduk yang ditahan selepas bantahan itu.

Sementara itu, pemerhati isu Myanmar menggesa Singapura mengotakan pendirian kerasnya mengecam kerajaan junta.

"Jika Singapura membekukan akaun bank itu, kerajaan junta Myanmar pasti lumpuh. Sepatutnya, rasa marah pemimpin Singapura yang meluap-luap itu dipraktikkan (dengan mengambil tindakan keras)," kata Debbie Stothard, jurucakap kumpulan hak asasi Alternative ASEAN Network on Burma. � AFP

Oleh Saiful Haizan Hasam


Dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan menutup muka mereka ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Seremban, semalam. – Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN 24 Okt. – Dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan seorang pengurus projek sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat dan bersubahat membuat perakuan palsu berhubung pembelian kamera digital untuk kegunaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong, Rembau.

Mereka bertiga yang dituduh melakukan kesalahan itu pada 17 Februari 2003 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sabariah Atan.

Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan dan Kemahiran KBS, Kamaruzaman Md. Ali, 38, dituduh memperakui kamera digital jenis Kodak DC4800 USA yang dibeli telah berfungsi dengan baik mengikut spesifikasi sedangkan ia adalah sebaliknya.

Menurut spesifikasi pembelian asal, kamera tersebut perlu dibekalkan bersama perisian Windows 2000 dan sebuah komputer peribadi yang memenuhi keperluan minimum sistem seperti sekurang-kurangnya mempunyai memori 128 MB RAM, pemacu CD ROM, port USB dan monitor berwarna.

Kamaruzaman yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah kini bertugas sebagai Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah.

Turut dituduh melakukan kesalahan itu ialah bekas Ketua Sekolah Binaan IKBN Chembong, Wan Asmawi Wan Shariff, 33, yang kini bertugas sebagai Ketua Unit Latihan IKBN Temerloh, Pahang.

Dia yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Temerloh semalam, tidak diwakili oleh peguam.

Sementara itu, Pengurus Projek Kosijaya Didactis Sdn. Bhd., Loh Siu Le, 38, yang diwakili peguam Ragunath Kesavan pula dituduh bersubahat dengan dua pegawai KBS itu untuk membuat perakuan palsu dan seterusnya memperakui Sijil Penerimaan Muktamad bagi pihak syarikatnya.

Pendakwaan terhadap mereka bertiga dibuat di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana satu yang lebih tinggi manakala pertuduhan terhadap Siu Le turut dibacakan bersama Seksyen 20(1)(c) akta yang sama.

Sabariah mengenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan kes itu disebut semula pada 12 Mac 2008.

Semalam, Kamaruzaman dan Siu Le masing-masing mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi tuntutan palsu berhubung pembelian kamera digital jenis yang sama untuk IKBN Bachok.

Ustaz Zainudin Hashim
Sun | Oct 14, 07 | 5:11:53 pm MYT

Umat Islam digalak dan dianjurkan melahirkan kegirangan dan kegembiraan tatkala ketibaan hari raya, sama ada dengan berpakaian serba baru atau menghiasi rumah dengan pelbagai perhiasan sederhana yang kelihatan menyerlahkan lagi suasana hari raya.

Hari raya adalah saat yang amat bahagia dan gembira khususnya bagi kanak-kanak.

Walaupun terdapat budaya masyarakat Cina yang lebih dikenali dengan pemberian â€Å“Ang Pau” pada sambutan tahun baru mereka, namun ia tidak menjejaskan akidah atau pegangan umat Islam dengan pemberian duit raya kepada golongan kanak-kanak. Ia satu amalan yang tidak ditegah Islam apatah lagi jika dibuat dengan penuh kesederhanaan dan tidak berlebih-lebihan mahu pun menunjuk-nunjuk.

Hanya pada hari raya sajalah kebanyakan kanak-kanak diberikan wang bergantung kepada kemampuan tuan rumah.

Apapun budaya memberi duit raya bukanlah satu pendekatan yang menyalahi tuntutan syarak. Amalan ini dibolehkan kerana dianggap sebagai satu sifat terpuji kerana bersikap dermawan. Sehubungan itu, baginda Rasulullah s.a.w. ada menyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

â€Å“Sesungguhnya Allah SWT Maha Dermawan dan Pemurah dan suka kepada orang yang bersifat pemurah dan dermawan, Dia juga suka kepada ketinggian akhlak yang luhur dan membenci sifat kikir." (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dengan darjat hadis yang sahih)

Tindakan positif dengan memberi duit raya tidak ada kena mengena dengan ajaran agama lain selain Islam, malah Islam telah memperkenalkannya sejak kedatangan nabi Muhammad s.a.w. yang sentiasa menganjurkan akhlak dan sifat terpuji.

Justeru, memberi duit raya kepada golongan kanak-kanak khusus pada kedua hari raya adalah amalan mulia yang diperakui oleh Islam sepertimana yang disebut dalam hadis nabi di atas. Bagi kanak-kanak yang menerimanya sentiasa bersyukur dan berdoa agar golongan pemberi dikurniakan limpahan rezeki yang baik pada masa-masa akan datang. Wallahu ‘Alam./tajdid

Oleh ISMAIL DAUD dan TAN MENG WAI

MERSING 13 Okt. – Empat orang mati lemas manakala lima yang lain termasuk seorang kanak-kanak cedera ketika cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut selepas feri yang mereka naiki terbakar berhampiran Pulau Tioman hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, feri itu yang membawa 98 penumpang dalam perjalanan dari Jeti Genting di Tioman ke Jeti Mersing di tanah besar.

Ketika kejadian, feri itu berada kira-kira tujuh batu nautika dari pulau peranginan tersebut dan dipercayai menghadapi masalah enjin.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Harun Arshad ketika dihubungi berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur, Hong See Tiew, 53, dan Teh Siew Lian, 52, masing-masing dari Klang dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Mereka yang cedera pula ialah Chong Ling Yi, 7, Ngow Lee Leng, 14, Lee Ling Yin, 35, Yong Sait Yen, 26, dan seorang petugas feri tersebut yang belum dikenal pasti identitinya.

Katanya, Ling Yi dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana melecur di muka dan tangan, Lee Leng dan Ling Yin dihantar ke Hospital Batu Pahat, manakala Sait Yen ke Hospital Mersing.

Petugas feri itu hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Mersing.

Harun berkata, seramai 90 penumpang lain berjaya diselamatkan oleh dua feri lain yang dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, mengikut rekod tiket, feri berhawa dingin itu membawa 75 penumpang dan lebihan penumpang itu dipercayai mereka yang mempunyai tiket untuk perjalanan kemudian.

Kata Harun, mereka dipercayai dibenarkan menaiki feri itu kerana masih terdapat kekosongan tempat duduk.

“Setakat ini, kiraan kita ialah 98 penumpang termasuk mereka yang meninggal dunia dan kita sedang mendapatkan maklumat lanjut dari syarikat feri itu tentang kemungkinan ada penumpang lain.

“Pada masa ini, operasi mencari dihentikan dan akan diteruskan jika maklumat menyatakan mungkin ada penumpang lagi yang belum ditemui,’’ katanya.

Daripada METRA SYAHRIL MOHAMED

MOSCOW 13 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) telah memulakan sesi penyelidikan mikrob di angkasa.

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, penyelidikan itu dilakukan sebaik sahaja roket Soyuz yang membawa Sheikh Muszaphar serta dua krew lain selamat mendarat di ISS pada pukul 6.50 petang semalam (10.50 malam waktu Malaysia).

‘‘Ia dimulakan dengan penyelidikan mikrob di angkasa dan kemudiannya mengenai sel di angkasa.

‘‘Pada hari ini, penyelidikan berhubung mikrob dan sel masih berterusan dan beliau akan berehat seketika sebelum menyambung semula tugas yang dipertanggungjawabkan itu,’’ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Roket Soyuz TMA-11 kini berada pada jarak 350 kilometer dari Bumi. Ia bercantum selepas berada di orbit selama kira-kira 47 jam dan mengelilingi Bumi sebanyak 700 kali.

Rabu lalu, Malaysia mencatat sejarah apabila misi menghantar angkasawan pertama ke angkasa berjalan lancar dan selamat.

Sheikh Muszaphar akan berada di stesen itu selama sembilan hari sebelum pulang ke Bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di ISS.

Di ISS, Sheikh Muszaphar akan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Mengulas lanjut, Zulkeffeli berkata, pada hari seterusnya, Sheikh Muszaphar akan memfokus kepada penyelidikan-penyelidikan lain seperti makanan di angkasa dan pengkristalan protein.

‘‘Beliau kini dalam keadaan yang baik. Pasukan penyelidik termasuk Kapten Dr. Faiz Khaleed akan membantu beliau melakukan penyelidikan melalui sistem komunikasi di Pusat Kawalan Misi (MCC),’’ tambahnya.

– Mingguan




Abdullah Ahmad Badawi, Jeanne Abdullah dan Najib Tun Razak melayani rakyat daripada pelbagai kaum yang mengunjungi Rumah Terbuka Perdana Menteri sempena Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gembira dengan kehadiran dua ahli keluarga baru pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini iaitu isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah dan cucu kelima yang dilahirkan pada 13 September lalu.

Perdana Menteri berkata, walaupun tidak dapat meluangkan banyak masa bersama mereka berikutan terpaksa memberi tumpuan kepada tugas negara tetapi beliau tetap gembira.

‘‘Pada bulan Ramadan ini memang saya banyak tempat kena pergi dan kebetulan pada tahun ini kena pergi ke luar negara, jadi saya sentiasa sibuk.

‘‘Sebenarnya kami berbuka puasa tiga kali sahaja di rumah, lain daripada itu di tempat lain dan saya juga berbuka puasa bersama isteri dalam kapal terbang sebanyak tiga kali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah secara lintas langsung oleh TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet di sini hari ini.

Abdullah diijabkabulkan dengan Jeanne pada 9 Jun lalu.

Nori, anak kedua Abdullah iaitu isteri Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Jibreil Ali Jamaluddin Abu Bakar di Pusat Perubatan Pantai.

Perdana Menteri mempunyai empat cucu lain menerusi anak lelakinya, Kamaluddin.

Abdullah menjelaskan, beliau juga gembira setiap kali menatap wajah cucu terbaru yang dilahirkan pada hari pertama Ramadan.

‘‘Saya ini jarang berada di rumah, jadi tak dapat tengok cucu selalu, tapi kalau dapat lihat cucu, saya dukung dia, memang saya suka dengan kanak-kanak ini,” ujarnya.

Sementara itu, Jeanne yang ditanya mengenai perasaannya memberitahu, beliau seronok kerana dapat bersama-sama Perdana Menteri mengadakan rumah terbuka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

‘‘Memang seronok sebab semua keluarga berada di rumah dan semalam kami berbuka puasa beramai-ramai pada hari terakhir Ramadan dan juga dapat bersama-sama menziarahi kubur Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood,” jelasnya.

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat menggunakan kesempatan sempena perayaan Aidilfitri untuk mengukuhkan perpaduan.

Menurutnya, tradisi kunjung-mengunjung rakyat berbilang kaum yang amat unik dan tidak terdapat di negara-negara lain perlu dipertahankan supaya terus segar.

‘‘Perkara positif dan sikap baik seperti ini sekiranya dikekal dan diperkukuhkan, saya yakin negara ini akan dapat melonjak kepada mercu kejayaan yang lebih hebat,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah sebuah stesen televisyen di Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Najib juga menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak luar yang menyifatkan hubungan kaum di negara ini semakin goyah.

‘‘Kenyataan itu adalah tidak berasas dan ia tidak boleh dilayan kerana dibuat oleh mereka yang kurang memahami keadaan negara ini,’’ katanya.

Sementara itu, Presiden MCA, Ong Ka Ting berkata, tradisi mengadakan rumah terbuka perlu diteruskan kerana ia dapat mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum.

“Kita patut berbangga kerana Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut rakyat beragama Islam bahkan oleh semua rakyat negara ini.

“Malah, suasana muhibah dapat dirasakan sejak bulan Ramadan apabila kita berbuka puasa bersama-sama,’’ katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, perpaduan rakyat negara ini yang utuh dapat membantu negara mengatasi apa jua cabaran.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu menyeru semua kaum meneruskan tradisi menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita ingin teruskan tradisi yang menyatupadukan rakyat negara ini. Melalui rumah terbuka seperti ini, mereka boleh berbincang antara satu sama lain,’’ katanya.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik pula menggalakkan semua rakyat negara ini bersama-sama menyambut perayaan setiap kaum.

Menurutnya, dengan saling kunjung-mengunjungi, semua kaum akan mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya sesama sendiri.

“Situasi unik ini jarang didapati di negara lain. Oleh itu, jangan memandang remeh sebarang unsur negatif yang boleh mengganggu gugat keamanan dan keharmonian negara ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, rumah terbuka ialah tradisi Malaysia yang sangat unik dan berupaya memupuk semangat muhibah dan harmoni sesama kaum.

“Orang ramai boleh membantu mencapai matlamat negara dengan berpegang teguh kepada semangat muhibah yang telah terjalin,’’ katanya.