Soal Jawab: 'Perjanjian isu amah perlu ditambah baik'

Oleh Ahmad Naim Tahir

KHAMIS lalu, Kerajaan Indonesia membuat keputusan membekukan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, gara-gara penderaan ke atas seorang amah negara itu, Siti Hajar Sadli, 33, satu lagi kes menggemparkan selepas nasib sama menimpa rakan senegaranya, Nirmala Bonat, lima tahun lalu. Wartawan Berita Minggu, Ahmad Naim Tahir mendapatkan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar untuk mengulas perkembangan itu. BOLEH Tan Sri mengulas mengenai keputusan Kerajaan Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia.

Keputusan berkenaan dibuat kerana Kerajaan Indonesia memutuskan untuk melakukan penilaian terhadap penempatan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) penata laksana rumah tangga atau pekerja domestik dari negara kami ke Malaysia.

Untuk itu, buat sementara waktu kita menghentikan penempatan TKI dalam sektor berkenaan ke Malaysia sehingga dilakukan penambahbaikan atau kajian semula terhadap perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara berhubung perkara ini.

Isu ini akan dibincangkan dalam pertemuan Kumpulan Kerja Bersama atau Joint Working Group kedua-dua negara dalam waktu terdekat. Bagaimanapun, bagi pekerja domestik yang ketika ini sudah dalam proses penempatan, mereka akan tetap dihantar ke Malaysia kerana keputusan menghentikan penghantaran itu hanya membabitkan pengambilan baru.

Keputusan itu bagaimanapun mengundang tanggapan yang Indonesia cuba membuat ugutan kerana tahu rakyat Malaysia amat bergantung kepada pembantu rumah dari negara itu dan apakah undang-undang sedia ada di Malaysia masih tidak mencukupi untuk melindungi TKI.

Sebenarnya, penempatan TKI ke Malaysia bermanfaat bagi kedua-dua negara, baik Indonesia mahu pun Malaysia. Namun adalah menjadi kewajipan kerajaan mana pun, termasuk Indonesia untuk melindungi warga negaranya.

Oleh kerana itu, Kerajaan Indonesia berharap dengan melakukan penilaian atau penyempurnaan MoU berkenaan, perlindungan ke atas TKI dapat dipertingkatkan.

Berhubung undang-undang sedia ada di Malaysia untuk melindungi TKI, kami tidak dalam posisi untuk menilai apakah peraturan dan undang-undang berhubung tenaga kerja yang ada di Malaysia cukup untuk melindungi pekerja Indonesia.

Yang menjadi pertimbangan kami adalah masih ada pelbagai hal berkaitan dengan permasalahan pekerja domestik Indonesia di Malaysia yang memerlukan penambahbaikan dan harus ditingkatkan seperti hak untuk mereka bercuti, kenaikan gaji, isu penyimpanan pasport dan lain-lain.

Bagaimana Tan Sri melihat keputusan Kerajaan Malaysia melarang agensi pembantu rumah mengambil pekerja yang tiada pendidikan asas bagi mengelak masalah komunikasi ketika berkhidmat dan membendung pelbagai masalah seperti penderaan yang dipercayai berpunca akibat kegagalan memahami arahan majikan.

Kami bersependapat dengan keputusan Kerajaan Malaysia yang mewajibkan pekerja memiliki pendidikan dan keterampilan. Dalam Undang-Undang Penempatan TKI yang digubal di Indonesia, kami sudah mewajibkan setiap TKI supaya terlebih dulu diberikan latihan dan dibekalkan dengan pengetahuan serta keterampilan yang diperlukan sebelum mereka dihantar ke luar negara.

Selain itu, semua majikan juga diwajibkan memberi cuti rehat sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah atau menggantikan dengan bayaran gaji sehari. Apakah dengan memberi cuti rehat itu akan menyelesaikan masalah penderaan.

Penderaan adalah perbuatan jenayah yang boleh berlaku di mana-mana pun, tetapi penderaan yang berlarutan seperti yang dialami oleh sesetengah pembantu rumah warga Indonesia seperti Nirmala Bonat dan Siti Hajar yang didera hampir tiga tahun akan dapat dicegah jika TKI ada peluang untuk bersosial atau berkomunikasi dengan orang lain.

Bagi kes penderaan yang berlarutan seperti itu, sudah tentu ia sukar diketahui pihak lain kerana mangsa tidak mempunyai peluang atau kesempatan untuk keluar dan bertemu dengan orang lain, misalnya pada hari cuti.

Ada juga majikan bimbang jika memberi cuti sebegitu, pembantu rumah berpeluang berkumpul, terbabit dengan jenayah atau mungkin juga berpakat melarikan diri daripada majikan. Apa pendapat Tan Sri.

Pada dasarnya, majikan yang baik tentu memahami beban kerja serta psikologi setiap manusia yang memerlukan waktu rehat dan suasana kebebasan, ia sifat hakiki manusia. Seandainya majikan memperlakukan tenaga kerja sebagai sebahagian daripada keluarga, mungkin pekerja itu tidak perlu diberikan cuti, tetapi kerana majikan pada umumnya tidak memberikan waktu rehat kepada pembantu rumah, maka perlu harus diatur kesempatan untuk pekerja itu berehat.

Seandainya ada majikan bimbang kesempatan bercuti itu digunakan oleh pembantu rumah untuk melakukan perbuatan jenayah, itu sebenarnya adalah tugas pihak berkuasa, dalam hal ini pihak polis (untuk mengambil tindakan).

Bila terbukti (melakukan jenayah), pelakunya harus dihukum sesuai dengan ketentuan undang-undang dan perlakuan itu. Dalam usaha menangani perkara negatif sedemikian, semua pihak perlu bekerjasama, baik kerajaan mahupun agensi (pembantu rumah).

Bagaimana Tan Sri melihat cadangan sesetengah pihak yang berpendapat kes penderaan pembantu rumah boleh diatasi jika pembantu beragama Islam ditempatkan bersama majikan Islam, bukan seperti sekarang di mana pembantu Islam juga dibenarkan bekerja dengan majikan bukan Islam.

Kerajaan Indonesia tidak menetapkan bahawa pekerja Muslim hanya dibenarkan bekerja dengan majikan Muslim. Yang penting adalah adanya kesedaran daripada majikan untuk menghargai hak beragama dan beribadah pembantu rumah mereka.

Bagaimanapun, jika cadangan supaya pekerja beragama Islam dari Indonesia hanya dibenarkan bekerja dengan majikan yang juga beragama Islam dianggap baik oleh Kerajaan Malaysia, maka kami akan menyokongnya.

Akhir sekali, bagaimana pula peranan Kerajaan Indonesia untuk sama-sama mencari jalan menyelesaikan masalah kebajikan tenaga kerjanya di Malaysia supaya wujud situasi menang-menang kepada kedua-dua negara.

Situasi menang-menang kepada kedua-dua negara itulah yang kita inginkan. Oleh kerana itu, penyempurnaan MoU antara Indonesia dan Malaysia berhubung pekerja domestik Indonesia selepas ini diharapkan dapat mencapai rumusan terbaik supaya dalam satu aspek, hak TKI terlindung dan dalam aspek yang lain, majikan di Malaysia akan mendapat pekerja dengan kelayakan yang sesuai seperti dikehendaki mereka.
Ancaman luar biasa keselamatan, bencana jejas kehidupan manusia

Oleh Zaini Mohd Said

SALAH satu tanggungjawab terpenting mana-mana kerajaan dan angkatan tentera adalah untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyat dilindungi daripada sebarang ancaman dan bahaya. Ia satu tanggungjawab yang berat, malah sejak kebelakangan ini sudah menjadi bertambah berat dan sukar lagi untuk dilaksana dengan berkesan.

Kecenderungan beberapa kuasa besar bertindak secara rakus dan unilateral terhadap negara-negara yang lemah menjadi salah satu penyebab. Keselamatan negara dan rakyat bertambah dirumitkan lagi oleh tindak-tanduk kumpulan militan dan pengganas antarabangsa yang operasi mereka boleh melangkaui sempadan dan diburu pula negara-negara lain. Kesan kekerasan dan keganasan melampau yang dilakukan oleh mereka itu kerap dilaporkan menerusi media semasa sejak sekian lama.

Pada masa sama, persaingan untuk menguasai kawasan zon ekonomi bertindih serta merebut hasil sumber asli yang berada di dalamnya yang ini sudah semakin berkurangan boleh dan menimbulkan masalah hingga tercetus perselisihan faham dan konflik ketenteraan antara negara yang bertelagah biar pun mereka yang berjiran rapat.

Malaysia sebagai contoh, kini berdepan pertikaian dengan beberapa negara serantau termasuk juga dengan Indonesia, Vietnam dan Filipina dalam perkara ini. Yang terakhir berlaku adalah persoalan hak eksploitasi di kawasan Ambalat atau Laut Sulawesi yang sedang cuba diatasi oleh kedua-dua pihak melalui usaha diplomasi awam dan tentera.

Perubahan ketara iklim dunia oleh sebab pemanasan global juga membawa masalah besar buat semua. Akibat daripada fenomena pemanasan ini, maka berlaku banjir besar di tempat tertentu dan kemarau berpanjangan di tempat lain. Bencana-bencana seperti ini dan juga yang lain seperti kejadian gempa bumi, tsunami, runtuhan tanah, bangunan dan sebagainya itu banyak juga menjejas kehidupan manusia.

Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila bencana itu memusnahkan tanaman dan pengeluaran hasil makanan yang secara langsung mengancam kehidupan manusia. Semuanya ini dapat membuat manusia menjadi marah dan tidak berfikiran secara rasional hingga sanggup menentang dan melawan pihak berkuasa mahu pun kerajaan kerana kelaparan dan kesusahan hidup. Angkatan tentera selalu dibabitkan dalam keadaan atau senario sedemikian untuk membantu pihak berkuasa awam dengan menggunakan segala sumber dan kepakaran yang ada padanya.

Keseluruhan keadaan ini pula tidak mungkin berubah menjadi lebih baik pada masa akan datang. Malah, amat besar kemungkinan ia akan menjadi lebih getir dan berbahaya lebih-lebih lagi bagi mana-mana kerajaan atau negara yang tidak bersedia untuk menghadapinya dengan segala rancangan, kemampuan, serta dana yang mencukupi untuk mengurangkan kesan sukar akibatnya.

Keadaan semasa sudah dianggap serius sehinggakan ramai penganalisis keselamatan berpendapat bahawa dunia dalam dekad awal abad ke-21 ini sedang berada pada persimpangan jalan yang sungguh berbahaya. Sekiranya keadaan tidak ditangani secara bijak dan berterusan, maka dunia boleh terjerumus ke dalam kancah keperitan jika tidak huru-hara yang sangat besar dan meluas tidak lama selepas itu.

Ancaman ketenteraan yang konvensional akan terus kekal menghantui keselamatan mana-mana negara, selagi manusia sanggup bermusuhan dan mampu melakukan kekerasan terhadap manusia yang lain. Angkatan tentera dan sistem pertahanan negara diwujudkan untuk berhadapan dengan ancaman-ancaman seperti ini yang boleh berupa serangan ketenteraan konvensional dari negara lain, keadaan tidak tenteram di dalam negeri serta juga melakukan tugas-tugas sekunder membantu pihak berkuasa awam menangani bencana alam semula jadi dan bencana lain.

Bagi ancaman ketenteraan, apa yang nyata bahawa kemajuan pesat yang tercapai dalam teknologi pembinaan persenjataan dan cara berperang sudah meningkatkan kuasa membunuh dan memusnah senjata berkenaan sehingga menjadi begitu kuat dengan kesan yang dahsyat sekali.

Malangnya, penduduk awam yang bukan 'combatant' atau musuh, turut menjadi korban, mendapat cedera dan mengalami kesengsaraan akibat penggunaan senjata-senjata ini yang kadang-kadang tersasar atau dengan sengaja ditujukan kepada mereka, kediaman mereka dan juga segala kemudahan lain yang ada.

Ia sudah pun jelas terbukti berlaku di Iraq dan Afghanistan apabila Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menyerang dan menakluk negara berkenaan. Serangan Israel ke atas Gaza juga sama apabila ramai mangsa yang mati dan cedera adalah penduduk awam Palestin dan bukannya pejuang Hamas. Peperangan menggunakan cara dan senjata konvensional sememangnya boleh menyebabkan kematian yang ramai serta kemusnahan besar kepada tentera dan juga awam.

Oleh kerana tidak dapat menandingi kemampuan dan taktik konvensional pihak lawan, maka ancaman tidak konvensional dan 'assymetric' diwujudkan oleh mereka yang lemah. Strategi dan taktik ini memang lebih banyak digunakan puak pelampau dan pengganas yang mengeksploitasi teknologi persenjataan, komunikasi dan elektronik yang sedia ada, juga bersama rakyat yang menyokong mereka, mampu mengakibatkan kemusnahan dan pembunuhan jauh lebih besar daripada kemampuan sebenar yang ada pada mereka.

Mereka memperjuangkan matlamat mereka ini melalui peperangan gerila, melakukan pembunuhan secara selektif, mengguna pengebom bunuh diri, bom kereta, keganasan terhadap penduduk awam serta juga dengan melakukan demonstrasi dan protes besar-besaran yang berpanjangan. Ia termasuk juga perbuatan sabotaj, pengkhianatan dan sebagainya. Apa yang menakutkan semua, adalah kemungkinan yang mereka sedang berusaha memperoleh dan menggunakan persenjataan nuklear, biologi dan kimia terhadap seteru mereka.

Semua yang dinyatakan ini adalah cabaran dan ancaman serius. Ia juga memberi petunjuk kepada keperluan untuk dipertingkatkan lagi kapasiti dan kemampuan angkatan tentera supaya benar-benar dapat mempertahankan negara dan melindungi rakyat. Pertahanan dan perlindungan ini bukan saja daripada ancaman serangan konvensional, tetapi juga daripada tindakan mana-mana pihak menggunakan peperangan, persenjataan, serta muslihat yang tidak konvensional atau pun 'asymmetric.' Ini termasuk jugalah dengan mengguna persenjataan nuklear, biologi dan kimia atau pun penentangan melalui demonstrasi yang sangat besar oleh mana-mana pihak sekali pun.

Dalam menghadapi dan menangani segala cabaran dan ancaman yang diterangkan itu, jelas ada menunjukkan kepada keperluan untuk disediakan perlindungan dan pertahanan bagi orang awam yang sering menjadi mangsa persenjataan dan taktik perang pihak yang bersengketa. Agak nyata bahawa pihak tentera juga perlu meningkatkan kapasiti dan kemampuan dalam semua aspek pengurusan bencana alam semula jadi dan yang disebabkan angkara manusia agar benar-benar berkesan.

Adalah diharap agar semua pihak terbabit secara terus di dalam bahagian pertahanan dan keselamatan negara dapat memikirkan akan apa yang sudah dinyatakan dan berbuat sesuatu dengan segera.

Penulis ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat
Pembalakan jejas Hutan Simpan Bintang Hijau

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

Kawasan tadahan punca utama bekalan air Kampung Changkat Berangan terancam

LENGGONG: Lebih 500 penduduk Kampung Changkat Berangan, Perak membantah rancangan untuk membalak di Hutan Simpan Bintang Hijau kerana kawasan tadahan air itu adalah punca utama bekalan air untuk kegunaan harian masyarakat setempat melalui projek air masyarakat.

Berdasarkan bukti penandaan zon pembalakan, kawasan tanah hutan simpan seluas 630 hektar itu sudah pun diwarta sebagai kawasan pembalakan sejak tahun lalu ketika di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Ketua Kampung Changkat Berangan, Hassan Shahriman, berkata pihaknya pernah menghantar bantahan kepada Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan kerajaan negeri bertindak membekukan projek berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sejak pemerintahan negeri diambil alih Pakatan Rakyat pada 2008, rancangan projek itu dibuka semula dan penduduk mendapati kerja menandakan kawasan mengikut zon sudah pun dimulakan pada tahun yang sama.

"Ini sajalah punca bekalan air penduduk, kami gunakan untuk kegunaan harian, bekalan air sawah dan kolam ternakan. Jika hutan simpan diteroka, kawasan tadahan air akan rosak dan punca air akan kering.

"Kami harap kerajaan baru Perak batalkan projek itu dan kekalkan ekosistem kawasan hutan di sini. Sudah banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk bina kolam takungan dan laluan ke bukit berkenaan, kenapa perlu dimusnahkan," katanya.

Berdasarkan tinjauan Berita Minggu bersama penduduk di banjaran Bukit Bintang, memang ada banyak pokok balak yang sudah ditanda cat merah menunjukkan kawasan yang akan ditebang. Difahamkan, ia dilakukan syarikat pembalakan yang sudah diberikan hak mengeluarkan balak di situ.

Ketika ini, penduduk Kampung Changkat Berangan yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuala Kangsar, bergantung sepenuhnya kepada projek bekalan air masyarakat yang menggunakan sistem paip yang disambung terus daripada punca air bukit untuk disalurkan ke rumah penduduk.

Mereka menikmati kemudahan itu sejak lapan tahun lalu dengan bayaran RM2 sebulan untuk kos penyelenggaraan dan sebelum ini mereka berkongsi dengan punca bekalan air masyarakat di kawasan Lata Kekabu dan Lata Papan Kuak, tidak jauh dari situ.

Selepas jumlah penduduk bertambah dan bekalan air tidak mencukupi, satu lagi takungan air dibina di Kampung Changkat Berangan menggunakan paip getah yang disambung sejauh 12 kilometer.

Ketua Cawangan Umno Kampung Changkat Berangan, Abdul Hamid Hussin, berkata beberapa kawasan lain yang pernah mengalami masalah sama kini menyesal kerana membenarkan aktiviti membalak di hutan simpan berhampiran sumber air mereka mengakibatkan sumber air tercemar.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu masalah sama berulang di tempat mereka kerana penduduk memerlukan bekalan air bersih, walaupun sudah disediakan bekalan air paip oleh kerajaan negeri.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merangkap pengerusi unit bekalan air masyarakat kampung, Ismail Mat Nali, berkata kerajaan negeri sebelum ini membelanjakan puluhan ribu menyediakan kolam takungan dan kemudahan laluan pejalan kaki ke bukit berkenaan.

"Kami yang jaga kawasan itu, bersihkan takungan setiap bulan atau setiap kali hujan lebat supaya kepala saluran paip tidak tersumbat. Jika projek membalak diteruskan, kami tidak boleh bagi jaminan jika berlaku sesuatu tindakan luar jangkaan," katanya.

Laluan ke kawasan takungan air itu sudah diturap melalui ladang kelapa sawit, manakala laluan berbukit pula disimen bagi memudahkan penduduk menyelenggara dan membersihkan kawasan.
Ancaman baru telefon murah

Oleh AMREE AHMAD

Tindakan India mengharamkan jualan telefon murah buatan China dan Taiwan kerana tiada IMEI mendedahkan bahaya senyap yang tidak disedari pengguna sejak sekian lama.




JIKA anda berhasrat hendak berniaga di India, antara produk yang mungkin sesuai dijual di pasaran negara itu ialah telefon bimbit. Jangan terkejut, pengguna talian mudah alih di negara rantau Asia Selatan itu kini mencecah lebih 415 juta orang.

Angka itu baru meliputi 36 peratus daripada keseluruhan penduduknya yang berjumlah 1.2 bilion. Jirannya, Pakistan turut mencatat senario yang sama dengan memiliki 93 juta pengguna telefon selular atau 58 peratus daripada jumlah penduduk.

Tetangga miskin, Bangladesh tidak kurang hebat apabila merekodkan 46.5 juta pelanggan atau 29 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Sekadar perbandingan, Malaysia agak jauh ketinggalan dengan cuma 20 juta pengguna.





TELEFON bimbit boleh digunakan untuk mengintip atau melakukan jenayah lain. - Gambar hiasan


Bagaimanapun pada minggu lalu, dunia gempar dengan tindakan drastik kerajaan India mengharamkan pengimportan telefon mudah alih dari China dan Taiwan. Alasannya ialah sebagai antara langkah keselamatan domestik.

Ini kerana telefon buatan dua buah negara itu dikesan tidak dilengkapi dengan International Mobile Equipment Identity (IMEI). Ironi, kod siri 15 digit itu sebenarnya bukan syarat standard pembuatan produk telekomunikasi.

Namun tidak ramai tahu bahawa tanpa IMEI, pengguna boleh melakukan sabotaj kerana panggilan yang dibuat gagal dikesan oleh operator telekomunikasi. Malah pihak berkuasa juga tidak dapat menjejaki rekod mesej pesanan ringkas (SMS) yang dikirim si penjenayah.

Langkah berani itu dipuji Presiden Persatuan Selular India, Pankaj Mohandroo yang sekian lama meminta pihak kerajaan berbuat demikian.

“Kami sudah letih berkempen mendesak kerajaan menyekat kemasukan telefon bimbit dari China dan Taiwan, bahkan ada bukti suspek pengganas siri serangan di Mumbai juga menggunakan produk telekomunikasi ini kerana ia tiada IMEI,” jelas beliau.

Ketiadaan siri itu yang biasanya dilekatkan di belakang telefon bimbit turut mendedahkan pengguna kepada risiko jika berlaku kecurian. Data di dalam telefon juga boleh dieksploitasi penjenayah untuk memintas dengar perbualan.

Hakikat yang tidak disedari ramai ialah telefon tanpa IMEI sebenarnya banyak terdapat di pasaran. Ia menerima permintaan tinggi kerana berharga murah. Di India, telefon sedemikian dijual dari serendah RM60 sehingga RM120 sebuah.

Kelebihan IMEI

Di Malaysia, telefon jenis ini lazim dikenali sebagai AP iaitu rujukan kepada telefon selular bukan tulen yang dipasang dalam negara. Ia tiada jaminan jika rosak dan berbeza dengan produk asli biasanya disebut sebagai Zitron atau Avax.

Sehingga kini, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu IMEI. Singapura yang terkenal dengan undang-undang ketat juga belum mewajibkan IMEI.




Tidak hairanlah republik itu menghadapi lambakan telefon bimbit tanpa IMEI yang dijual murah. Ada secara sinis berkata, ketiadaan IMEI membolehkan suspek militan berbahaya, Mas Selamat Kastari gagal dikesan sebelum dia meloloskan diri ke Johor.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini tidak memberi apa-apa ulasan berkenaan tindakan keras India itu. Malaysia cuma mewajibkan pendaftaran untuk pengguna baru sama ada pakej prabayar atau pascabayar.

Situasi sebegini bakal mendedahkan negara kepada risiko pemalsuan data pengguna kerana rekod pendaftaran boleh diubah suai. Bahkan peraturan mengenai IMEI tidak dinyatakan secara terang termasuk menerusi laman web SKMM sendiri.

Ini bermakna pemasangan kod IMEI adalah tertakluk kepada budi bicara pengeluar telefon bimbit. Mungkin ada berpendapat, IMEI mengganggu hak asasi individu kerana pergerakan dan data peribadi pengguna dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Ia ada kebenaran tetapi perkembangan semasa membuktikan IMEI lebih banyak kebaikan daripada keburukan terutama aspek keselamatan. Di Eropah, mangsa culik atau sesat di hutan mudah dijejaki dengan bantuan IMEI dari telefon bimbit.

Bayangkan walaupun bateri telefon itu sudah habis, pihak berkuasa dapat mencari mereka kerana frekuensi IMEI dipancar melalui isyarat bateri kecemasan. Jika dicuri, telefon tersebut masih boleh dikesan waima ditukar kad sim pemilik.

Obsesi menilik nasib

Sesetengah orang masih percaya kepada ramalan tentang nasib, untung, rugi, kekayaan, jodoh dan kematian daripada si penjual kata-kata di jalanan.


PENILIK nasib di jalanan China kerap didatangi generasi baru yang sekadar suka-suka mencuba.





RASA ingin tahu tentang sesuatu yang tidak terjangkau dengan kuasa, kewangan, waktu dan kesempatan kerap memerangkap orang dalam seribu tanda tanya.

Tidak hairanlah jika sejak sebelum Masihi, manusia sudah ghairah mencari jawapan kepada banyak persoalan melalui tilikan nasib. Hinggakan hal percintaan, perkahwinan, tempoh usia hinggalah ke tarikh kematian pun kalau boleh ingin diketahui mereka.

Maka wujudlah jurus dan perspektif lain yang kita kenali sebagai tilikan nasib. Ia dilakukan dengan tafsiran samar tentang maksud garis di tapak tangan, menilik corak serakan daun teh, ataupun menaakul kejadian melalui petanda pada organ dalaman haiwan.

"Sejak dahulu kala, manusia mahu mengatur hidup jauh lebih awal daripada hari yang sedang dilaluinya. Dari golongan hamba hingga ke maharaja, semua kaedah tilikan nasib mendapat permintaan yang hebat," ujar seorang pembaca tapak tangan jalanan, Li Zhuang.

Lelaki 62 tahun ini ditemui penulis di satu sudut jalan ketika berkunjung ke Guangzhou, China sedikit masa lalu.

Hanya berkepungkan kotak dan banting kuning yang terpapar motif tapak tangan serta set karakter Cina, ruang kecil itu didatangi orang sekali-sekala.

Menurutnya yang mencari makan melalui kemahiran itu sejak 30 tahun lalu, terdapat banyak cabang teknik yang digunakan dalam ilmu tilik nasib (suan ming) di kalangan masyarakat Cina. Namun, hanya empat kaedah yang masih diwarisi oleh para pengamalnya baik di China, Hong Kong dan Taiwan.

"Malaysia? Ramai Cina di sana, bukan? Orang Cina di mana-mana. Mesti ramai tukang tilik di sana," kata Li Zhuang tersengih selepas mengetahui negara asal penulis.

Dialek Kantonisnya hanya dapat saya fahami apabila diterjemah pemandu pelancong, Aaron Zhiwen.

Sambungnya lagi, selain ramalan melalui bacaan bentuk dan garis di wajah serta tapak tangan, kaedah kau cim juga mudah ditemui di kebanyakan tokong.

Ia melibatkan goncangan batang-batang buluh kecil hingga salah satu tercampak keluar dari bekasnya. Setiap batang buluh itu bertulis maklumat ramalan tahunan yang kemudiannya diperjelaskan oleh seseorang yang pakar atau sami.

Sementara teknik zi wei dou shu melibatkan kepakaran mentafsir kalendar Cina dan panduan kedudukan bintang, teknik bazi adalah yang paling disukai kerana ketepatannya. Ia melibatkan kiraan komprehensif empat komponen angka iaitu waktu, jam kelahiran, hari, bulan dan tahun.

Tidak percaya ramalan

"Berikan saya tapak tangan kamu," minta Li Zhuang. Dalam teragak-agak, saya menghulur tangan. Lama juga dia membelek garis tapak tangan saya.

"Tengok garis ini," terangnya bersungguh-sungguh namun penulis tidak faham garis mana yang dimaksudkannya.

"Kamu menghadapi jalan hidup yang sukar. Separuh usia kamu penuh dengan ujian. Kamu hanya akan senang apabila usia semakin meningkat.

"Dalam perhubungan, kamu cerewet tentang pasangan hidup selepas gagalnya cinta pertama," katanya yang langsung tidak meyakinkan saya.

Mujur dia tidak nampak reaksi saya yang membuntangkan mata dan menggetap bibir kerana cuba menahan diri daripada ketawa.

Aaron memberitahu, kemahiran teknik menilik nasib itu telah lama melintas faktor geografi. Ia tersebar hingga ke Korea, Vietnam dan Jepun serta negara Asia Selatan seperti India, Bangladesh dan Sri Lanka.

"Nasib, tuah, feng shui, karma dan survival kehidupan adalah teras kepada pencarian jawapan oleh tukang tilik dan juga individu yang berhajat mengetahui nasibnya," jelas Aaron.

"Generasi sekarang semakin melupakan ilmu ini. Mereka datang menilik pun sekadar suka-suka kerana tidak percaya. Hendak cari makan pun susah kalau begini," keluh Li Zhuang yang mengenakan bayaran serendah RMB10 (RM5) bagi setiap sesi ramalannya.


KESIBUKAN lalu lintas tidak mengganggu fokus pembaca tapak tangan di Dhaka, Bangladesh ini.


Li Zhuang mengakui bahawa dia dan isterinya kadangkala hanya dapat menjamah bubur nasi cair berlauk keladi kerana pendapatannya yang tidak seberapa hasil daripada menilik di jalanan.

Anak dan cucu mereka sudah berkahwin dan menjalani hidup sebagai keluarga moden di Shenzhen. dan semakin jauh daripada kepercayaan tersebut.

"Kalau dahulu, pembaca tapak tangan sangat berpengaruh hingga ada yang bertukar kerjaya dan menjadi manusia yang lebih baik selepas sesi ramalan. Malah, ada juga yang bercerai-berai dan membunuh diri kerana takut dengan bayangan takdir," jelasnya.

"Pernah tilik nasib sendiri?" Tanya saya kepadanya sebelum mencari peluang mengundur diri.


KEDAI tilik nasib seperti ini sinonim dengan negara oriental.


"Kalau pun saya mahu, saya akan rujuk kepada rakan-rakan yang lebih arif," jawabnya yang seolah-olah tidak senang dengan soalan itu.

"Kalau sudah 30 tahun buat kerja ini, pernahkah sewaktu muda dahulu uncle sudah tahu bahawa uncle akan menjadi seorang tukang tilik di tepi jalan ini dan menjamu keluarga dengan bubur dan sayur keladi sahaja?" Soalan saya menjadi lebih provokatif.

Lelaki itu terdiam sambil melipat kertas-kertas diagram ramalannya sambil mengerut dahi. Dicucuk rasa kesal kerana menyinggungnya dengan soalan itu, saya segera berterima kasih atas sesi temu bual tersebut lalu meninggalkannya di situ.

Gadis wusyu anggap diri musuh

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Atlet wushu negara, Chai Fong Ying, percaya pada kuasa minda untuk menumpaskan lawan.


PENUNTUT Perakaunan di UPM ini belajar wushu sejak usia empat tahun.


MELIHAT liuk lentok tubuh gadis berusia 23 tahun ini melakukan tai chi memang mengasyikkan. Gerakan lembut yang dicipta mengikut alunan muzik tampak begitu harmoni.

Sesekali, lompatan padu dan ketangkasan pemilik tubuh kecil molek ini menghayun pedang pasti memukau pandangan.

Sewaktu Jurnal menemuinya baru-baru ini, Chai Fong Ying sedang menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi tiga kejohanan besar sehingga hujung tahun ini termasuk Kejohanan Wusyu Dunia di Koahsiung, Taiwan, Julai ini.

Dua lagi ialah Kejohanan Wusyu Dunia di Toronto, Kanada yang dijadualkan pada Oktober ini dan Sukan SEA di Laos, Disember nanti.

Anak jati Batu Berendam, Melaka ini bukan calang-calang orang. Di gelanggang wushu, nama Chai Fong Ying bisa menggerunkan pihak lawan waima atlet dari negara China, tempat sukan mempertahankan diri ini berasal.

Muncul sebagai juara dunia sebanyak dua kali iaitu pada Kejuaraan Wusyu Dunia 2005 di Hanoi dan Beijing pada 2007, Fong Ying mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diatasi terutama dari aspek pergerakan lembut dan tangkas yang mendominasi beberapa rutin dan disiplin dalam permainan wusyu.

“Kadang-kadang saya macam tak percaya boleh menang,” kata beliau.


KELUARGA wusyu. Dari kiri: Fong Ying, adiknya Fong Wei, ibu, Teh Mary dan bapanya Chai Chin Chay.





Penerima anugerah Olahragawati Terbaik Melaka 2006 ini menambah: “Tapi saya percaya semua ini berkaitan dengan minda. Kita boleh mengawal perasaan jika mengetahui peluang untuk menang dalam satu-satu acara itu sama rata.”

Fong Ying pernah menjalani latihan di China selama sebulan. Namun katanya, tidak semestinya belajar dengan guru paling hebat boleh menjamin kita juga akan menjadi seorang yang handal.

“Sebenarnya belajar di mana pun sama saja. Yang penting diri kita sendiri. Walaupun belajar di China tapi jika malas memikirkan pergerakan yang lebih kreatif dan tidak memberi tumpuan pada latihan, kejayaan mungkin tidak berpihak pada kita,” ujarnya.

Ditanya mengenai pesaing terdekat dalam gelanggang wushu, pantas beliau menjawab: “Diri sendiri adalah musuh utama saya.”

Jelas Fong Ying, beliau tidak pernah menganggap atlet lain sebagai pesaing terdekat yang perlu dikalahkan.

“Jika saya berjaya mengawal hati dan minda untuk lebih fokus dan tidak melakukan sebarang kesilapan, peluang untuk beraksi dengan tenang dan cemerlang lebih cerah,” ujarnya.

Keluarga wusyu

Mendapat pendedahan terhadap sukan wushu seawal usia empat tahun, Fong Ying bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada bapanya yang aktif bermain wusyu. Bapanya kini menjadi jurulatih wusyu negeri Melaka.

“Boleh dikatakan saya lahir dalam keluarga wushu. Ayah menjadi jurulatih negeri manakala ibu pula ada mengajar orang sukan wushu.

“Saya dan adik, Chin Fong Wei adalah atlet negara, seorang lagi adik adalah atlet negeri dan yang bongsu sedang berjinak-jinak dengan sukan wusyu.

“Bila dari kecil didedahkan dengan wusyu, kehidupan kami seakan sudah sebati dengan sukan ini,” katanya yang mengakui hatinya sudah berpunya.

Fong Ying mula mewakili negeri Melaka pada usia 14 tahun dan mewakili negara tiga tahun selepas itu.

“Saya sendiri tak ingat berapa pertandingan dan pingat yang telah dimenangi.

“Selain dua kali menjadi juara dunia, kenangan yang tak boleh dilupakan ialah sewaktu memenangi emas pada Sukan Asia 2006 di Doha dan Sukan SEA ke-24 di Korat, Thailand pada tahun 2007,” ujarnya yang mahir dalam rutin taijiquan (tinju bayang) dan taijijan (pedang taiji).

Sambung pelajaran Julai ini

Fong Ying yang juga penuntut tahun dua Perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menyambung semula pengajiannya selepas dua tahun tertangguh.

“Dua tahun lepas saya terpaksa menangguhkan pengajian kerana jadual latihan yang ketat dan banyak pertandingan besar yang perlu disertai.

“Saya harap saya dapat masuk ke kelas semula Julai ini. Tetapi dalam masa yang sama, ada tiga pertandingan besar selepas itu, mungkin saya perlu manfaatkan masa yang ada untuk dua perkara ini.

“Tak mustahil juga saya akan jadi orang yang paling sibuk di MSN (Majlis Sukan Negara) dan UPM nanti,” katanya ketawa.


DUA kejohanan dunia sudah diraih Fong Ying.


Menyifatkan dirinya sudah ‘senior’ dalam sukan ini, Fong Ying menyasarkan akan bersara daripada beraksi dalam tempoh dua tahun lagi.

“Saya sudah tua, bagi peluang pada yang muda pula. Mungkin tahun ini atau tahun depan saya akan bersara, tetapi ia baru rancangan.

“Saya akan berbincang dengan keluarga dan pihak MSN dahulu sebelum membuat keputusan.

“Tidak mungkin saya akan menjadi atlet sampai tua, saya juga ada cita-cita sendiri. Rancangan saya, walaupun tidak lagi mewakili negara, saya mahu mengajar wusyu, kalau ada rezeki, saya mahu buka kelas wusyu.

“Saya berharap warisan ini tidak pupus di negara kita dan ia dapat diperluaskan sebagai senaman dan seni mempertahankan yang menyihatkan tubuh dan juga minda,” harapnya.

'Inilah bekalan akhirat saya'





Pendakwah serta pengasas Asrama Baitul Ummah ini pernah menjadi bapa ayam.










PENGORBANAN pengasas Asrama Baitul Ummah, Abdul Rahman Ramani Abdullah, 40, sememangnya besar.

Beliau sanggup menjual rumah dan barangan elektrik miliknya seperti televisyen dan mesin basuh demi mendapatkan wang membina rumah kebajikan itu yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur.

Berasal dari Sabak Bernam, Selangor, dia menceritakan saat kehilangan ibu bapa ketika berumur 12 tahun.

"Ayah dan ibu meninggalkan lapan orang anak termasuk saya yang merupakan anak keempat. Masing-masing belum pandai mengurus keperluan hidup.

"Kami berlapan mengambil keputusan membawa haluan masing-masing. Saya berhijrah ke Kuala Lumpur dengan berbekalkan modal RM10," ujarnya sebak.

"Sampai sahaja ke Kuala Lumpur saya tidur merempat termasuk di perhentian bas dan di tepi jalan sebelum diterima bekerja di sebuah restoran mamak di Sungei Way, Petaling Jaya.

"Saya buat kerja macam-macam daripada mencuci pinggan, mengambil pesanan hingga membancuh air minuman. Upahnya cuma tempat tinggal dan juga makanan untuk mengisi perut.

"Tetapi tidak lama selepas itu saya ditahan pihak berkuasa kerana bekerja di bawah umur. Selepas itu saya ditempatkan di rumah anak yatim kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Selangor.

"Saya tinggal di situ selama enam tahun iaitu sehingga umur 18. Rasa sedih juga kerana terpisah dengan adik-beradik kandung.

"Rumah itu menjadi tempat untuk berteduh dan mendapatkan sesuap nasi. Rumah anak yatim dahulu kurang menitikberatkan soal pendidikan berbanding sekarang," katanya.

Tersentuh dengar azan

Sebaik sahaja keluar dari rumah anak yatim, Abdul Rahman terus bekerja di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

"Sepanjang bekerja saya yang beragama Hindu banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu.

"Mungkin ini ketentuan Allah. Malah semasa kecil saya selalu menonton rancangan mengaji al-Quran di televisyen.

"Tetapi saya amat tersentuh mendengar laungan azan yang amat unik menyebabkan saya mengambil keputusan memeluk Islam," katanya sayu.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Abdul Rahman diberhentikan oleh majikannya. Dia terpaksa hidup merempat sekali lagi. Permohonannya untuk mendapat bantuan zakat pula tidak dilayan.


ASRAMA Baitul Ummah yang menempatkan anak-anak yatim menjadi 'pelaburan' akhirat Abdul Rahman.


Pernah dia dihalau kerana ingin tidur di masjid.

"Saya lihat ada beberapa orang musafir yang tidur di beberapa buah masjid di Kuala Lumpur, jadi saya minta supaya dibenarkan menumpang teduh untuk sementara waktu.

"Saya ada menunjukkan kad mualaf tetapi tidak diterima pihak pengurusan masjid. Saya bukan ingin mencuri dan membuat perkara tidak baik.

"Akhirnya saya kembali kepada kehidupan asal sewaktu mula datang ke Kuala Lumpur dengan menjadikan tepi longkang, taman permainan dan juga tepi jalan sebagai tempat untuk melelap mata," katanya.

Kemudian, Abdul Rahman bergaul dengan beberapa peniaga tepi jalan. Dari situlah dia mengenali kumpulan samseng yang mencari wang dengan cara yang mudah.

Kerana wang juga beliau hampir membunuh orang dalam satu pergaduhan. Dia turut terlibat dengan aktiviti pelacuran dan menjual VCD lucah.

Sebagai bapa ayam pula, Abdul Rahman mendapat komisen yang agak lumayan.

"Kadang-kadang saya dapat komisen RM200 seorang. Jika ada lima orang pelacur, sekali langganan dah RM1,000.

"Itu belum ikut pakej langganan berlainan yang hasilnya boleh mencecah ribuan ringgit sehari," kesalnya.

Ketika itu, namanya sangat dikenali di Jalan Pahang, Chow Kit dan Jalan Ipoh kerana kegiatan jenayah termasuk mengedar dadah.

Abdul Rahman mengakui pendapatannya ketika itu boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 sebulan. Dengan pendapatan sebanyak itu, semua hotel pernah menjadi tempat dia bermalam.

Hidayah kedua

Namun petunjuk Allah tiada siapa yang tahu.

"Ada seorang ustaz yang sering menasihatkan saya supaya berubah. Mulanya saya berdegil tetapi lama-kelamaan mula berfikir sampai saya harus sebegini.

"Melakukan dosa tidak menyenangkan hidup walaupun dilimpahi kemewahan," Abdul Rahman menarik nafas dalam-dalam.

Selepas itu, dia bersungguh-sungguh mencari ilmu agama sehingga ke sekolah pondok di Kelantan. Selepas beberapa tahun, dia diberi peluang mengajar ilmu agama kepada Orang Asli yang baru memeluk Islam di Hulu Klang, Selangor.

"Saya sedih melihat keadaan mereka yang kurang memahami ajaran Islam sehingga mendorong saya menubuhkan Asrama Baitul Ummah lima tahun lalu," ujarnya.

Asrama itu bukan sekadar membantu Orang Asli tetapi juga anak yatim, fakir miskin dan mualaf. Dibuka pada tahun 2004, asrama ini kini mempunyai 400 orang penghuni.

"Tetapi 50 orang sahaja yang tinggal di asrama kerana ruang tidak mencukupi. Cuma persekolahan mereka tetap dibiayai dan dipantau.

"Saya ingin mereka berjaya dunia dan akhirat. Jika membuat kesilapan, mereka akan dihukum sebagai satu pengajaran.

"Syukur ada yang telah melanjutkan pelajaran ke universiti mahupun kolej swasta. Inilah (Baitul Ummah) bekalan saya di akhirat nanti," ujarnya.

Sikap tak peduli H1N1
HAKIKATNYA tiada siapa daripada kita yang menyangka gelombang keduaselesema babi atau influenza A (H1N1) akan melanda negara sepertiketika ini.

Fenomena Michael Jackson
PENGHUJUNG karier seni Raja Pop ini penuh berliku. Namun MichaelJackson atau lebih akrab dikenali sebagai Jacko di kalangan peminatnya,tetap merupakan "jenama" yang tiada dua.

Antara perpaduan, penjenamaan, rombakan
TIGAperkara penting menjadi perhatian ramai akhir-akhir ini. Pertamacadangan perbincangan kerajaan perpaduan yang disyorkan oleh PresidenPas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan UMNO yang telah ‘dikebumikan’sebelum diberi peluang untuk bernyawa.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
SEBAGAI rakyat Malaysia, Awang amat berbangga dengan pencapaianPetronas yang terus merekodkan prestasi yang memuaskan bagi tahunkewangannya yang berakhir Mac lalu ketika iklim ekonomi dan perdagangandunia cukup membimbangkan.

Lupakan sahaja usaha penyatuan Melayu?
SETIAPkali terpacul isu perpaduan Melayu, maka riuh rendahlah seluruh alamMelayu. Timbul pelbagai cakap di kalangan orang Melayu sendiri. Bisingdan gempar alam Melayu dengan cadangan seumpama itu.

Maruah negara di tangan diplomat Malaysia
SEMEMANGNYA tidak dapat dinafikan diplomat Malaysia yang bertugas diluar negara memainkan peranan yang amat penting bukan sahaja untukmempraktikkan dasar luar Malaysia tetapi juga untuk menjadi "mata dantelinga" terhadap setiap isu yang membabitkan negara.

Zaman suram badminton Indonesia
BARU-baruini sebuah filem bertajuk King ditayangkan di pawagam-pawagam diJakarta. Filem itu mengisahkan seorang kanak-kanak yang menjadikanlegenda badminton Indonesia, Liem Swie King sebagai idola.

Tee Keat kena 'serang' di Parlimen
SEPERTIdijangka sesi sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu kecoh dengan gelagatLim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mengambil kesempatan kehadiranMenteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk mengasaknya denganpelbagai soalan mengenai projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).





Pakistan terperangkap dalam perang dicipta
HARIini, Pakistan menjadi negara yang terperangkap antara tentera sendiridan puak Taliban - menangani perang yang bukan 'perang' mereka.

Tangkap, buang, bunuh virus Influenza A
PENULARANInfluenza A (H1N1) kian membimbangkan. Berdasarkan laporan di laman webPertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sudah 109 negara dijangkiti denganlebih 55,867 kes, termasuk 245 kematian sehingga Rabu lalu.

Minda Pengarang: Faedah sumbangan Petronas terus dinikmati rakyat
KEUNTUNGANdiraih Petronas bagi tahun kewangan berakhir Mac lalu membolehkansyarikat minyak itu menyumbang sejumlah RM74 bilion melalui cukai dandividen kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu,Sabah dan Sarawak. Sumbangan Petronas tahun lalu kepada pendapatanKerajaan Persekutuan mencecah hampir 45 peratus berbanding 36.8 peratuspada 2007.







Kuasa unik Lightning Hybrids
Model hibrid terbaru ini cukup menggemparkan dunia automotif keranadidakwa dapat mencapai perbatuan sejauh 161 kilometer dengan hanya 3.78liter bahan api, selain rekaannya yang radikal.


Terapi alternatif beralkali
Walaupun masih baru di pasaran, namun produk penjagaan kesihatan yangdihasilkan oleh Permata Hijrah mendapat sambutan yang begitumenggalakkan.


Rahsia Allingham panjang umur
Lelaki tertua di Britain, Henry Allingham merupakan satu-satunyaanggota Tentera Udara Diraja (RAF) sewaktu Perang Dunia Pertama yangmasih hidup sehingga ke hari ini.


Srikandi bola sepak Iran
Wanita Iran tidak dihalang bermain bola sepak tetapi mereka perlumematuhi pelbagai syarat. Bagaimanakah mereka akhirnya boleh membuatsepak mula di padang yang dipenuhi penonton?


Malaysia syurga penggambaran
KETIKA Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Filem Negara,pembikin filem tempatan mahupun kementerian berkaitan sibukmengutarakan isu memperkenalkan budaya serta identiti Malaysia keseluruh dunia menerusi filem, Malaysia sebenarnya sudah berada di hatisegelintir pembikin filem dunia.


Sebab Jackie Chan suka Malaysia
SELAINdaripada tempat-tempat popular seperti Menara Berkembar Petronas danlokasi pelancongan popular, Malaysia yang kaya dengan kawasanperkampungan, bandar kecil, pulau-pulau dan perhutanan juga menjadipilihan produksi luar.


Darmen pencinta seni mridangam
Jari jemari Darmen bukan sahaja mahir mengetuk mridangam yangmengeluarkan irama merdu, malah dia mahir membaiki dan membikin semulainstrumen lama yang berasal dari India Selatan itu.


Nasib lumba kuda Iraq
Kelab yang sebelum ini dikendalikan oleh pihak kerajaan dan kinidimiliki konsortium ahli perniagaan daripada puak Syiah dan Sunnahpernah ditutup selama tiga bulan secara serta-merta selepas kejatuhanregim pimpinan Saddam Hussein enam tahun lalu.

Cerita tiga juara bina badan
Tiga juara bina badan berkongsi pengalaman dan pandangan berhubung masa depan sukan bina badan.


Sajian anjing laut
Bunyinya memang aneh tetapi perkara ini memang benar berlaku di Kanada.Rata-rata penduduk di sana gemar mempelbagaikan masakan dengan sajiananjing laut.
Sikap tak peduli H1N1

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my


HAKIKATNYA tiada siapa daripada kita yang menyangka gelombang kedua selesema babi atau influenza A (H1N1) akan melanda negara seperti ketika ini.

Sewaktu wabak influenza A pertama kali dikesan di Mexico April lalu, ramai beranggapan virus H1N1 itu terlalu jauh untuk merebak sehingga ke negara ini.

Meskipun sering kali diingatkan betapa virus itu boleh tersebar dengan pantas memandangkan ia boleh berpindah dari manusia ke manusia, namun ramai yang seolah-olah tidak ambil peduli.

Barangkali kerana merasakan berada di dalam zon selesa, maka langkah pencegahan dan berwaspada tidak begitu diberi perhatian.

Pandemik ini juga seolah-olah dipandang ringan oleh orang ramai.

Buktinya, di mana-mana waima di lokasi tumpuan pelancong sekali pun, tidak ramai yang mengambil pendekatan berjaga-jaga antaranya dengan memakai topeng.

Sehinggalah hari ini, wabak yang sudah membunuh kira-kira 250 orang dan menjangkiti 60,000 orang di seluruh dunia itu semakin tersebar luas di negara ini.

Sehingga semalam, 11 lagi kes baru H1N1 dicatatkan menjadikan jumlah kes di seluruh negara sebanyak 93 kes.

Apa yang membimbangkan, kes-kes tempatan juga mula menunjukkan peningkatan.

Ini bermakna, virus itu sudah mula tersebar di kalangan orang ramai yang berhubung secara langsung dengan pembawa virus berkenaan.

Membimbangkan juga apabila pelajar sekolah ketika ini dilaporkan antara yang menjadi mangsa.

Tanpa pengawalan yang ketat, wabak itu boleh menjadi bencana besar kepada negara memandangkan ramai yang terbabit secara langsung dengan persekitaran sekolah.

Kerana itu juga, langkah menutup beberapa buah sekolah yang pelajarnya disahkan positif H1N1 dilihat sebagai jalan pencegahan terbaik bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

Di beberapa negara seperti di Hong Kong, sekolah-sekolah di sana ditutup selepas beberapa kes H1N1 dilaporkan di kalangan pelajar.

Langkah kerajaan Hong Kong itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana negara itu ketika ini mencatatkan jumlah kes antara yang tertinggi.

Tidak dinafikan, langkah menggantung sepenuhnya sesi persekolahan merupakan antara kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan dalam mencegah penularan wabak itu di negara ini.

Namun, kerajaan perlu berhati-hati dengan langkah ini kerana bimbang ia akan mencetuskan situasi panik di kalangan orang ramai.

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu mencari jalan terbaik mengawal penularan wabak itu serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risikonya.

Bagi Pensyarah Kanan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Irfan Mohamad, selain hebahan media, kerajaan juga boleh mengambil beberapa pendekatan yang dilihat boleh membantu.

Beliau yang baru pulang dari Hong Kong turut berkongsi pengalaman di kalangan orang ramai.

Antaranya ialah dengan menyediakan kemudahan membersihkan tangan menggunakan dispenser automatik yang diletakkan di kebanyakan kawasan awam.

Ia termasuk di lobi-lobi hotel, lapangan terbang, kedai-kedai, kawasan tumpuan pelancong dan banyak lagi.

Tempat-tempat yang biasa dipegang dengan tangan seperti tombol pintu, butang lif, pemegang besi dalam komuter dan pengangkutan awam pula sentiasa dicuci dengan antiseptik.

''Sesetengah tempat yang sering dipegang itu pula dicuci sekerap sejam sekali. Butang lif misalnya, dilapik dengan plastik bagi memudahkan tujuan mencuci," ujar beliau.

Memandangkan virus H1N1 ini masih belum ditemukan antivirusnya, maka langkah terbaik yang diambil oleh seluruh negara ketika ini ialah dengan mengkuarantin pesakit.

Di negara yang terjejas teruk seperti Mexico, Australia dan Amerika Syarikat, kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya, restoran dan pub ditutup.

China dan Rusia pula mengharamkan import daging babi selain mengenakan kawalan pemeriksaan ketat ke atas pelancong.

Bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa kebanyakan kes yang berlaku di negara ini berpunca daripada virus H1N1 yang diimport dari luar negara.

Ini bermakna langkah terbaik ialah menghalangnya daripada memasuki negara ini dari mana-mana pintu masuk utama.

Secara mudahnya, kerajaan boleh sahaja mengeluarkan arahan supaya semua penerbangan terutama dari negara yang terjejas teruk dengan wabak H1N1 tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

Namun, mengongkong pergerakan manusia seperti itu bukanlah sesuatu yang praktikal dan kerajaan juga mungkin terpaksa berdepan dengan kecaman daripada negara lain.

Apa yang mungkin boleh dilaksanakan ialah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada orang ramai supaya tidak menangguhkan perjalanan ke luar negara apatah lagi untuk tujuan bersetuju.

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu meningkatkan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk utama lebih-lebih lagi di lapangan terbang.

Ketika ini, langkah pencegahan di pintu masuk utama itu sudah pun dilaksanakan dan ia sebenarnya jauh lebih ketat jika dibandingkan dengan beberapa negara lain.

Malah, kerajaan turut mengambil langkah mewartakan borang pengisytiharan kesihatan bagi membolehkan pemantauan ke atas penumpang dilakukan dengan lebih terperinci.

Bagaimanapun dengan kepantasan wabak ini tersebar, kerajaan tiada pilihan selain meningkatkan proses saringan dan pemeriksaan supaya tidak ada penumpang dengan simptom dijangkiti virus H1N1 lepas bebas.

Pemeriksaan yang ketat juga tambah Irfan, perlu bagi mengelak kemungkinan terdapat penumpang yang tidak jujur dalam mengisytiharkan status kesihatan mereka.

''Ini kerana mungkin terdapat penumpang yang dengan sengaja menyembunyikan simptom-simptom seperti batuk, demam dan selesema yang dihidapi mereka kerana bimbang percutian mereka terganggu," ujar beliau.
Antara perpaduan, penjenamaan, rombakan

Oleh Saranan Salleh


TIGA perkara penting menjadi perhatian ramai akhir-akhir ini. Pertama cadangan perbincangan kerajaan perpaduan yang disyorkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan UMNO yang telah ‘dikebumikan’ sebelum diberi peluang untuk bernyawa.

Memanglah mungkin orang Melayu tidak akan dapat bersatu padu. Dalam Pas sendiri cadangan tersebut ditentang oleh barisan pemimpin sendiri. Apatah lagi di kalangan sekutu Pas, DAP dan PKR. Sehinggakan Hadi terpaksa melupakan hasrat untuk berbincang tentang kerajaan perpaduan.

Cakap-cakap mengenai kerajaan perpaduan di kalangan Pas dan UMNO menyebabkan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam blognya mengemukakan persoalan kepada masyarakat Cina sama ada MCA patut keluar daripada BN atau tidak. Mengikutnya 75 peratus mengatakan persetujuan kewajaran tersebut.

Apakah tujuan sebenar Tee Keat membuat kajian tersebut di kala Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap tentang Satu Malaysia? Mungkin beliau ingin menggunakan keputusan kajian tersebut bagi membantu beliau membuat sesuatu keputusan.

Ketiga, Tee Keat juga menyatakan tidak ada salahnya kalau MCA berbincang tentang perpaduan dengan DAP atau sesiapa pun. Dah kalau dengan DAP pun boleh berbincang, mengapa tidak dengan Gerakan atau abang kepada DAP iaitu PAP?

Jangan sampai orang Melayu jadi “menang sorak kampung tergadai”. Ini yang membuatkan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menyuruh mencontohi parti Cina yang sanggup melupakan ideologi parti demi perpaduan mereka.

Pas dengan UMNO memang sudah tidak jadi. Sememangnya betul kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tidak wajar bagi satu bangsa sahaja dalam negara berbilang bangsa mentadbir negara.

Bagaimanapun, sejak kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008, macam-macam suara timbul seperti kajian ringkas bertanyakan patutkah MCA keluar daripada BN dan polemik tentang kontrak sosial yang dipersetujui semasa penubuhan Malaysia dulu.

Seruan yang terbaru sekali daripada anggota komponen BN ialah meminta dibenarkan ketua pengganas komunis, Chin Peng kembali ke negara ini. Ini semua adalah provokasi untuk menguji tahap kesabaran kita.

Pepatah Melayu mengatakan: “Lalu jarum lalu kelindan”. Dan apabila Pemuda Pas menyarankan agar Dasar Ekonomi Baru jangan dihapuskan, kita mendengar tentangan daripada MCA sendiri.

Ramai orang mungkin tidak sedar siapa sebenarnya yang untung besar sejak Rancangan Malaysia Pertama hingga Kesembilan. Kalau kita andaikan setiap rancangan lima tahun itu bernilai RM100 bilion tiap-tiap satu, kita dah lalui lapan rancangan. Ini bererti kita sudah belanja RM800 bilion.

Kita tahu RMK-9 bernilai RM220 bilion jadi kesemuanya berjumlah RM1.02 trilion. Orang Melayu dan Bumiputera dikatakan ada bahagian sebanyak 18 atau 19 peratus sahaja. Jadi siapa yang dapat sebahagian besar daripada RM1.02 trilion ini?

Kita semua tahu jawapannya. Habis kenapa hendak bising-bising lagi?

Adakah ini ekoran daripada cakap-cakap penjenamaan yang kerap kita dengar selepas pilihan raya tersebut? Apakah penemuan-penemuan daripada kajian yang dijalankan atas kekalahan teruk BN yang membuatkan parti-parti komponen ingin menjenamakan parti masing-masing?

Selain daripada UMNO yang presidennya telah bertukar dan disahkan di Perhimpunan Agung lepas, ada parti-parti komponen lain ibarat “tasik yang di atasnya nampak tenang tetapi di bawahnya berkocak kuat”.

Ada presiden yang tidak baik dengan timbalannya, ada presiden yang tak mahu bagi orang lain mencabarnya, ada yang sengketa dalaman terpaksa diselesaikan dengan keputusan Pendaftar Persatuan.

Penjenamaan ialah branding atau diberi nama baru tetapi penjenamaan sahaja tidak mencukupi kerana apa yang diperlukan ialah rombakan.

Kunci kepada rombakan ini ialah punca ketidakpuasan rakyat terhadap beberapa perkara berkaitan dengan kehidupan mereka, yang utamanya kos sara hidup yang melonjak dan janji yang tidak ditepati.

Kita boleh membuat andaian bahawa keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri selepas mengambil alih kepimpinan iaitu meliberalisasikan 27 sektor kecil perkhidmatan dan juga sektor kewangan yang mana ekuiti minimum Bumiputera tidak lagi disyaratkan adalah manifestasi daripada apa yang mungkin diperolehi daripada penemuan-penemuan kajian tentang kekalahan BN tersebut.

Begitu juga dengan perubahan kepada kementerian-kementerian yang antara lain telah melenyapkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, satu-satunya yang dianggap lubuk pembangunan kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Pada sebuah seminar tentang Satu Malaysia yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Melayu dan kerajaan Terengganu, ada panel yang menyatakan mungkin gagasan Satu Malaysia lahir disebabkan rasa bersalah orang Melayu. Ia kerana kewujudan ‘peruntukan-peruntukan’ dan keutamaan yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera seperti biasiswa, kuota, lesen, penyertaan dalam perkhidmatan awam, kepimpinan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan sebagainya yang sebahagian besarnya termaktub dalam Perlembagaan.

Sama ada pandangan tersebut betul atau tidak wallahualam. Bak kata Nabil Raja Lawak: “Lu fikirlah sendiri”.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

SEBAGAI rakyat Malaysia, Awang amat berbangga dengan pencapaian Petronas yang terus merekodkan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangannya yang berakhir Mac lalu ketika iklim ekonomi dan perdagangan dunia cukup membimbangkan.

Peningkatan perolehan sebanyak 18.4 peratus berbanding tahun kewangan terdahulu membolehkan syarikat minyak negara itu mencatat RM264.2 bilion. Ia menjadi perakuan bahawa pasukan warga kerja di bawah pimpinan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hassan Marican telah menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang.

Kos pengeluaran dan operasi yang tinggi bagaimana pun menjadikan keuntungan kali ini lebih rendah. Namun ia tidak mencacatkan rekod cemerlang yang dicatat itu. Sungguhpun keuntungan sedikit rendah, ia sebenarnya mampu mengisytiharkan dividen lebih tinggi iaitu sebanyak RM388.1 bilion.

Apa yang dilakukan oleh Petronas itu amat besar maknanya kerana secara langsung sumbangan dana untuk kerajaan terus meningkat menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM471.3 bilion sejak 1974.

Malah, kejayaan itu terus menjulang maruah negara di arena antarabangsa apatah lagi ia telah membawa pulang hasil pelaburan di beberapa negara asing termasuklah di Turkmenistan dan dari benua Afrika.


Awang – Syabas dan tahniah!
Lupakan sahaja usaha penyatuan Melayu?

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my


SETIAP kali terpacul isu perpaduan Melayu, maka riuh rendahlah seluruh alam Melayu. Timbul pelbagai cakap di kalangan orang Melayu sendiri. Bising dan gempar alam Melayu dengan cadangan seumpama itu.

Bukan Melayu juga bersuara tentang kerjasama antara Melayu dengan Melayu. Mereka tidak sekadar menjadi pemerhati. Tiba peringkat yang dirasakan sesuai, maka bukan Melayu melontarkan pandangannya tentang perpaduan Melayu.

Bukan Melayu memberikan pandangan lantaran kelompok yang mencetuskan idea tentang kerjasama Melayu di bawah kerajaan perpaduan terlebih dahulu telah menjalin 'hubungan' dengan mereka.

Hakikatnya kelahiran semula isu perpaduan atau kerjasama Melayu baru-baru ini cukup untuk menggambarkan apa sebenarnya 'penyakit' orang Melayu. Lebih daripada itu paparan babak akhir drama kerajaan perpaduan sedemikian rupa cukup untuk membuktikan bahawa penyakit orang Melayu semakin kronik.

Apabila pemimpin Melayu beragama Islam duduk sebaris dengan rakan bukan Melayu menolak cadangan yang dicetuskannya sendiri, tentu ia bukan paparan yang menarik untuk orang Melayu.

Ternyata dan terbukti bahawa bangsa Melayu yang semakin lemah dan rapuh apabila dikaitkan dengan soal perpaduan, tidak lagi mampu menaruh harapan atau cita-cita untuk melihat penyatuan bangsa di sebuah negara yang nama asasnya adalah Melayu.

Di situ seolah-olah ada noktah selepas pesanan terakhir berbunyi "lupakan penyatuan Melayu". Melayu memang tidak boleh bersatu atau lebih tepat lagi Melayu enggan bersatu. Ada yang berkata, Melayu terlalu takut untuk melakukan eksperimen di bawah tajuk penyatuan atau perpaduan di kalangan Melayu.

Tetapi pada masa yang sama Melayu begitu berani bereksperimen menyatukan ideologi politik yang berbeza dengan bukan Melayu biar pun ada antara prinsip yang dipegang ditentang secara terang-terangan.

Contoh paling jelas cita-cita penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud dikritik dan diharamkan oleh bukan Melayu tetapi orang Melayu beragama Islam tidak kekok untuk berpakat dan bekerjasama dengan mereka.

Apa seterusnya nasib dan masa depan bangsa Melayu jika orang Melayu sendiri mempermain-mainkan usaha untuk memartabatkan bangsa sendiri sekali gus memelihara kesucian agama? Sedangkan kaum-kaum lain di negara ini bertungkus lumus memastikan agenda membangunkan bangsa mereka diperjuangkan secara bersama.

Perbezaan parti di kalangan bangsa lain tidak menghalang mereka untuk bekerjasama dalam memastikan apa yang dihajati tercapai. Biarpun tidak dilihat duduk semeja tetapi percayalah telah termeterai sumpah setia sehidup semati di hati mereka untuk bekerjasama memperjuangkan nasib bangsa dan agama mereka.

Sebab itu apabila muncul sesuatu isu yang dilihat boleh menjejaskan kepentingan mereka, maka barisan pemimpin bukan Melayu tanpa mengira yang menyokong kerajaan atau pembangkang akan sepakat.

Mereka senada membantah. Contoh paling jelas isu kuota Bumiputera. Parti-parti bukan Melayu tegas menyuarakan pendirian. Mereka tidak peduli jika bantahan itu tidak sealiran dengan parti lain yang sebumbung dan mempertahankan kuota Bumiputera.

Mereka bukan sekadar senada tetapi konsisten dengan penentangan itu sehingga kadangkala mampu mengusik pendirian kerajaan. Mereka percaya penyatuan jitu seperti itu mampu membuahkan hasilnya.

Kita tentu tidak lupa tentang desakan agar undang-undang pertukaran agama disemak semula. Ia begitu kuat diperjuangkan oleh bukan Melayu. Baik di pihak pembangkang mahupun pemimpin kerajaan begitu sepakat memperjuangkan hal tersebut sehingga kalangan menteri bukan Melayu tergamak menghantar memorandum kepada Perdana Menteri mahu semakan semula dilakukan.

Biarpun desakan mereka ditolak dan memorandum itu ditarik balik, namun mereka berani mencuba dan tidak malu jauh sekali menyatakan pendirian dan menyerlahkan kesepakatan masing-masing.

Banyak lagi hal lain yang menunjukkan betapa bangsa-bangsa selain Melayu begitu bersungguh-sungguh membentuk kesepakatan di kalangan mereka.

Itu belum lagi diselongkar usaha-usaha badan-badan perniagaan, pendidikan dan agama mereka yang mengetepikan perbezaan parti untuk memastikan bangsa mereka kekal di barisan hadapan.

Dan bukannya sesuatu yang mustahil jika satu hari kelak mereka membuang lambang-lambang parti untuk bernaung di bawah satu jenama dan memerintah negara yang bernama Malaysia ini. Itu bukan usaha yang salah, lantaran mereka kuat dan bersepakat. Kekuatan dan kesepakatan itu tidak ada pada Melayu.

Melayu yang beria-ia mengusulkan idea kerajaan perpaduan, beria-ia juga menerima bantahan di kalangan Melayu beragama Islam. Belum pun disusun syarat-syarat kerjasama mewujudkan kerajaan perpaduan, pendirian mereka menjadi goyah.

Dan apabila ditegur oleh rakan bukan Melayu dalam pakatan pembangkang tentang idea tersebut, suara pemimpin Melayu terus kendur. Lantas mereka berundur demi menjaga hati rakan dalam pakatan pembangkang.

Tidak apa jika Melayu tidak bersatu, biarkan Melayu mundur - yang lebih penting bagi mereka hentikan cadangan tersebut. Tidak seperti pemimpin bukan Melayu yang sanggup menghantar memorandum menyanggah pendirian 'tuan' mereka, pemimpin Melayu tidak sanggup berbuat begitu.

Pemimpin Melayu lebih rela mengaku kalah sebelum berjuang. Mereka tidak mahu dilihat memperjuangkan nasib bangsa dan agama. Mereka tidak mahu mencuba ke arah kebaikan. Mereka juga sanggup melihat orang lain bertepuk tangan lantaran satu lagi agenda membangunkan Melayu dan memelihara kesucian Islam terkubur begitu sahaja.
Maruah negara di tangan diplomat Malaysia

Oleh AZMI HASSAN


SEMEMANGNYA tidak dapat dinafikan diplomat Malaysia yang bertugas di luar negara memainkan peranan yang amat penting bukan sahaja untuk mempraktikkan dasar luar Malaysia tetapi juga untuk menjadi "mata dan telinga" terhadap setiap isu yang membabitkan negara.

Semasa merasmikan Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Malaysia Ke-7 pada Isnin lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengingatkan para diplomat Malaysia supaya sentiasa sensitif terhadap perubahan global. Mereka juga mesti mengenal pasti peluang serta cabaran yang boleh memberi impak positif kepada negara di peringkat antarabangsa.

"Saya percaya kepada para diplomat kita sekiranya mereka dapat melengkapkan diri dengan segala pengetahuan dan berupaya mempertingkatkan kemahiran dalam tugas masing-masing.

"Mereka tahu apa yang patut dilakukan dan bila ada perjumpaan, kita dapat memberikan mereka maklumat terkini serta menentukan apa keutamaan dan fokus yang patut diberikan," tegas Perdana Menteri.

Memang benar Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dan ini sudah tentu memberi kekangan yang begitu besar untuk mengenengahkan dasar luar terutama sekali perkara yang melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS). Menjadi lebih sukar jika Kuala Lumpur dan Washington mempunyai pandangan yang tidak selari mengenai sesuatu isu.

Dalam isu pembangunan nuklear Korea Utara umpamanya, Kuala Lumpur dan Washington mempunyai pandangan yang selari iaitu tingkah laku Pyongyang tidak akan membawa kebaikan bukan sahaja pada Semenanjung Korea malah seluruh rantau Asia Pasifik.

Tetapi Kuala Lumpur dan Washington mempunyai pandangan berbeza mengenai pembangunan nuklear Iran. Kuala Lumpur memahami hasrat Teheran membangunkan program itu untuk meraih kuasa elektrik. Tambahan pula Iran adalah ahli Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan pembangunan program nuklear untuk tujuan keamanan.

Malangnya Washington tidak sependapat dengan Kuala Lumpur kerana White House membuat tafsiran bahawa Teheran mahu membangunkan senjata nuklear.

Di sinilah kepakaran dan kemahiran diplomat diperlukan untuk menghujahkan pandangan Malaysia.

Mungkin ada yang sinis mengenai kemampuan Malaysia sebagai negara kerdil yang sudah tentu tidak mampu mempengaruhi dasar luar AS yang dipelopori oleh Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan isu besar seperti nuklear.

Pandangan itu mungkin ada kebenarannya. Semasa era pentadbiran George W. Bush yang mempunyai dasar kepimpinan unilateral, iaitu setiap keputusan yang dibuat tidak mengambil kira pandangan negara lain. Tetapi pentadbiran Barack Obama agak berbeza sedikit kerana beliau kelihatan mahu mengambil berat pandangan negara lain dan membuka pintu rundingan.

Obama ditafsirkan mempunyai pandangan yang positif terhadap Malaysia kerana semasa berucap di Kaherah pada 4 Jun lalu, Malaysia telah dikenal pasti sebagai negara Islam yang moden dan progresif.

Ucapan itu dianggap penting dan bersejarah kerana ia melibatkan dasar luar AS terutama sekali yang melibatkan negara Islam, yang sudah tentu bersabit dengan Palestin.

Ia penunjuk positif bagi Kuala Lumpur untuk memainkan peranan penting dalam isu yang melibatkan negara Islam tidak kira sama ada di Asia Barat atau rantau lain.

Diplomat Malaysia sepatutnya menggunakan peluang pandangan positif tersebut sebagai batu loncatan untuk memperjuangkan dasar luar bagi kepentingan Malaysia dan negara Islam lain.

Bukan menjadi kelaziman bagi seorang Presiden dari negara terkuat di dunia menggunakan Malaysia sebagai negara contoh dalam ucapan yang diteliti oleh masyarakat antarabangsa.

Kali terakhir Presiden AS menggunakan nama Malaysia sebagai contoh dalam ucapan ialah pada 11 Februari 2004 iaitu ketika Bush berucap mengenai penularan senjata pemusnah besar-besaran di National Defense University, Washington D.C. Malang sekali penggunaan ungkapan Malaysia pada ketika itu adalah untuk menggambarkan negara ini sebagai transit jaringan pasaran gelap nuklear yang diterajui oleh A.Q. Khan dari Pakistan.

Sudah pasti ramai rakyat Malaysia akan mempersoalkan jika White House mempunyai pendangan positif terhadap Malaysia. Bagaimana mungkin Laporan Penyeludupan Manusia yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS dua minggu lepas meletakkan Malaysia pada tahap yang begitu buruk sekali?

Perlu ditekankan sekali lagi disinilah tugas diplomat Malaysia di luar negeri memainkan peranan masing-masing untuk memperbetulkan tanggapan berat sebelah sesetengah pihak terhadap Kuala Lumpur.

Menarik juga diperkatakan apa yang telah dijelaskan oleh Perdana Menteri mengenai adanya usaha-usaha pihak tertentu untuk memburukkan Malaysia dalam media peringkat antarabangsa.

Di sinilah kepakaran dan kemahiran diplomat Malaysia diperlukan untuk berhujah terutama sekali perkara yang membabitkan maruah dan kedaulatan negara.

Para diplomat juga perlu memahami isu global semasa supaya nasihat yang tepat mampu disampaikan kepada Kuala Lumpur supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan sebelum ia terlambat.

Mahu tidak mahu AS adalah sebuah negara kuasa besar yang mampu mewarnai geopolitik dunia dan ini sudah pasti akan memerlukan Kuala Lumpur sentiasa berurusan dengan Washington.

Tetapi begitu ironis sekali, AS yang juga merupakan rakan niaga terbesar Malaysia masih tidak mempunyai duta yang mewakili negara ke AS.

Segala masalah pelantikan duta perlu diselesaikan dengan segera. Ini kerana setiap detik Malaysia tidak mempunyai duta ke AS, maka Kuala Lumpur akan sentiasa berada dalam landasan yang tidak kukuh apabila berdepan dengan Washington.

PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Zaman suram badminton Indonesia

Oleh Borhan Abu Samah
borhan.samah@utusan.com.my

BARU-baru ini sebuah filem bertajuk King ditayangkan di pawagam-pawagam di Jakarta. Filem itu mengisahkan seorang kanak-kanak yang menjadikan legenda badminton Indonesia, Liem Swie King sebagai idola.

Pengarah filem itu, Ari Sihasale memilih Swie King sebagai tokoh dalam filemnya kerana pemain badminton berkenaan telah mengharumkan nama Indonesia ke peringkat antarabangsa selain mempunyai sikap sering merendah diri.

Filem tersebut yang merupakan filem pertama mengisahkan kehidupan pemain badminton Indonesia diharap dapat meningkatkan semangat nasionalisme di kalangan anak-anak muda di negara republik itu.

Sayangnya filem yang baik itu ditayangkan ketika semangat terhadap sukan badminton memang mulai menurun berikutan prestasi yang merudum pemain kebangsaannya.

Terbaru pada Terbuka Indonesia, semangat sukan itu seolah-olah direnggut oleh prestasi buruk para pemain badminton tuan rumah yang menyaksikan mereka “berputih mata” tanpa sebarang gelaran termasuk yang disandang oleh Sony Dwi Koncoro selaku juara bertahan acara perseorangan lelaki.

Pasukan merah putih itu mungkin bernasib baik dapat mengirim pemain perseorangan ke acara akhir setelah dua pemainnya bertembung di peringkat separuh akhir iaitu Sony menentang Taufik Hidayat.

Bagaimanapun Taufik setelah menewaskan Sony, bagaikan tidak bermaya ketika berdepan dengan pemain nombor satu dunia yang juga pemain Malaysia, Datuk Lee Chong Wei dan menyerah mudah dalam dua set pada perlawanan akhir.

Chong Wei sebaik habis permainan terus memeluk Taufik yang merupakan sahabat karibnya. Mungkin kerana rasa bersalah terpaksa memalukan pemain tuan rumah itu dengan dua set yang mudah.

Memang sukar untuk dipercayai sebuah negara yang tidak pernah kering dengan bakat badminton serta banyak melahirkan pemain bertaraf dunia tiba-tiba sahaja merosot sedemikian rupa.

Prestasi hambar itu turut dipamerkan pada kejohanan sebelumnya iaitu pada Piala Sudirman di China apabila terkandas di peringkat separuh akhir, walaupun sasaran kejohanan itu adalah menempatkan diri ke pentas akhir.

Lantaran itu Persatuan Bulutangkis Indonesia terus mendapat kritikan pedas daripada pelbagai pihak.

Alan Budikusuma selaku peraih emas Olimpik 1992 berkata, skuad badminton Indonesia kini ‘miskin’ pemain pelapis.

Pemain muda yang ada dilihat masih tidak mempunyai prestasi yang setanding pemain senior dan terbukti apabila pemain utama cedera tiada pemain muda yang dapat memikul tugas itu.

Mustahil sebuah negara yang mempunyai lebih 200 juta penduduk tidak mempunyai bakat baru dalam sukan badminton.

Sebenarnya kejatuhan badminton Indonesia berpunca daripada krisis persatuan sukan berkenaan yang berpanjangan sehingga menyebabkan Taufik sendiri ‘tawar hati’ untuk berlatih dengan pasukan kebangsaan Indonesia dan memilih untuk menjalani latihan sendiri.

Terbaru jurulatih kebangsaan Indonesia, Hendrawan turut angkat kaki meninggalkan badan induk itu dan menyahut cabaran Malaysia sebagai jurulatih kebangsaan.

Pemergian jurulatih yang juga bekas pemain kebangsaan Indonesia yang mempunyai pengalaman tidak ternilai kerana pernah menjuarai pelbagai kejohanan antarabangsa badminton memang cukup memberi kesan.

Walaupun bekas pemain Indonesia, Christian Hadinata mengatakan pemergian Hendrawan ke Malaysia tidak mempengaruhi prestasi para pemain, tetapi realitinya tidak begitu.

Dengan prestasi buruk tersebut Indonesia dilihat sukar untuk kembali pada prestasi terbaiknya bagi menghadapi Kejuaraan Badminton Dunia pada 10 hingga 16 Ogos ini di India.
Tee Keat kena 'serang' di Parlimen

Oleh NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my


SEPERTI dijangka sesi sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu kecoh dengan gelagat Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mengambil kesempatan kehadiran Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk mengasaknya dengan pelbagai soalan mengenai projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Kekecohan bermula apabila Kit Siang bangun mencelah pada sesi soal-jawab bagi melahirkan perasaan tidak puas hati kerana Tee Keat, yang baru pulang dari menghadiri Pertunjukan Udara Paris di Perancis, dilihatnya seperti tidak membuat persediaan secukupnya untuk menjawab di Parlimen.

Tee Keat dalam jawapannya sebelum itu menafikan projek PKFZ menanggung hutang RM12.5 bilion kerana jumlah itu hanya andaian syarikat audit Pricewaterhouse Coopers (PwC) jika Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) menangguhkan pembayaran balik pinjaman kepada kerajaan menjelang tahun 2051.

"Ini jelas tertera dalam laporan PwC yang diumumkan, tetapi senario semasa sekarang memperlihatkan ada tindakan tegas lagi menyeluruh yang digariskan dan diambil oleh Kementerian Pengangkutan dan LPK.

"Hampalah individu putar belit yang menyebarkan pembohongan kononnya hutang PKFZ meningkat kepada RM12.5 bilion sekarang," kata Presiden MCA itu.

Jawapan Menteri Pengangkutan itu tidak memuaskan hati pemimpin veteran DAP itu sehingga menyebabkan beliau bangun mencelah secara tiba-tiba sambil menjerit: ''Projek sudah mati, sudah mati, siapa yang mematikan. Adakah projek ini lombong emas. Jelaskan mengapa kosnya menjadi berlipat kali ganda."

Tingkah laku Kit Siang itu menyebabkan Tee Keat menyindir dengan menyifatkannya seperti dalam keadaan histeria.

Tambah Tee Keat, tiada gunanya beliau bertegang urat dengan Penasihat DAP itu yang dilihatnya tidak faham isu yang diperkata olehnya sendiri.

Pertikaman lidah antara kedua-duanya, kemudiannya berlarutan pada sesi Penerangan Menteri Mengenai Laporan Semakan Kedudukan PKFZ apabila Tee Keat membacakan kenyataan empat muka surat berhubung isu itu.

Kit Siang mendakwa jawapan yang diberikan menteri itu adalah terlalu ringkas dan pendek. Presiden MCA itu didakwanya cuba menyembunyikan penglibatan bekas Presiden parti itu, Tun Dr. Ling Liong Sik dalam kontroversi berkenaan.

Isu itu kembali panas pada Rabu, ketika Kit Siang membahaskan Usul Kementerian Kewangan Mengenai Peruntukan Pengurusan Beberapa Kementerian Ekoran Penyusunan Semula Kabinet.

Dakwaan beliau wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terlibat dalam penyelewengan itu telah menyebabkan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) bangun mencelah dan mencabarnya supaya mengulang segala tuduhan tersebut di luar dewan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang menggulung usul itu pada Khamis juga tidak terlepas daripada asakan Kit Siang yang memintanya memberi penjelasan sama ada Kabinet membincangkan atau tidak pengeluaran surat jaminan kepada projek PKFZ.

Tindakan Kit Siang itu, menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa campur tangan dan dengan nada suara yang tinggi menegaskan bahawa soalan itu tidak seharus ditanya kerana Timbalan Menteri tidak boleh menghadiri mesyuarat Kabinet.
Pakistan terperangkap dalam perang dicipta

Oleh Ayesha Haroon

PASUKAN tentera diletakkan di seluruh Pakistan bagi menangani sebarang kemungkinan.

Tiada usaha ikhlas kerajaan pulih demokrasi, tangani kemelut di wilayah bergolak

HARI ini, Pakistan menjadi negara yang terperangkap antara tentera sendiri dan puak Taliban - menangani perang yang bukan 'perang' mereka.

Penduduknya sentiasa hidup dalam ketakutan - bimbang dengan ledakan bom atau diserang penyerang berani mati. Pada bila-bila masa saja, masjid, kafe internet atau restoran tepi jalan, boleh diserang. Kebanyakan rakyat Pakistan kini sudah terlalu biasa dengan pasukan tentera yang diletakkan hampir di seluruh negara.

Pihak bertanggungjawab – kerajaan dan tentera Pakistan, di samping negara-negara Barat menyedari betapa buruknya tindakan tentera di Swat dan Buner baru-baru ini – jutaan manusia tidak berdosa dibiarkan melindungi diri sendiri ketika bom menghujani mereka.

Mereka tidak diarah meninggalkan kediaman masing-masing, sebaliknya dibiarkan membuat keputusan sendiri. Justeru, mereka terpaksa berjalan berhari-hari lamanya, semata-mata untuk mencari kawasan perlindungan yang lebih selamat.

Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pakistan percaya bahawa satu-satunya tugas mereka adalah untuk mengekang puak Taliban daripada terus bermaharajalela.

Apa yang berlaku, hanya selepas kumpulan pelarian meningkat sehingga 1.5 juta orang dan menjadi bencana kemanusiaan terburuk dunia sejak pembunuhan beramai-ramai di Rwanda, baru negara luar termasuk AS membuat keputusan menghantar bantuan kecemasan.

Sekiranya Kerajaan Pakistan dan rakan-rakannya tidak menerima hakikat bahawa penderitaan rakyat sebenarnya boleh dielakkan, rantaian bencana yang sama akan berlaku apabila pasukan tentera memperhebatkan operasi di Waziristan dan beberapa daerah lain.

Pentadbiran AS amat bimbang dengan kemaraan puak Taliban ke dalam kawasan Pakistan. Apa lagi rakyat Pakistan sendiri. Tetapi kedua-dua pihak ini mempunyai dua jenis kebimbangan yang berlainan – bergantung kepada perbezaan persepsi dan suasana dialami.

Media dan Kerajaan AS memberi tumpuan kepada retorik yang dicetus terhadap kemungkinan senjata nuklear Pakistan akan jatuh ke tangan puak Taliban.

Negara barat lain, seperti diluahkan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown baru-baru ini – ancaman yang lebih condong kepada keganasan yang berlaku di sempadan Afghanistan dan Pakistan, akhirnya akan membahayakan keselamatan dunia.

Sebaliknya, rakyat Pakistan sendiri terpaksa berdepan dengan puak Taliban yang tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan dan bertindak ganas. Ledakan bom dan serangan berlaku di seluruh negara.

Pembunuhan Benazir Bhutto, gambaran ngeri yang disiarkan televisyen hampir setiap hari dengan manusia bergelumang darah dan diharungi lalat, semakin menggerunkan rakyat negara itu.

Hari ini, puak Taliban mula mengebom sekolah yang menerima pelajar wanita dan menyeksa wanita. Ini bukan wajah Pakistan sebenarnya. Sekiranya inilah perangai rakyat Pakistan, puak Taliban di daerah Swat tidak perlu mengebom sekolah kerana penduduknya sudah pasti tidak teragak-agak untuk menghalang anak perempuan mereka ke sekolah.

Penduduk lelaki dan wanita di Swat percaya mereka perlu memiliki ilmu pengetahuan, tetapi puak Taliban mengugut mereka yang berani untuk menuntut hak dari segi undang-undang atau perlembagaan.

Seperti diakui Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, di hadapan sebuah jawatankuasa Dewan Senat baru-baru ini - puak Taliban yang buta huruf, bersenjata dan berpegang kepada fahaman Wahabi ini sebenarnya diimport oleh AS dari Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain, bertujuan untuk melemahkan pencerobohan Soviet di Afghanistan pada 1980-an.

Selepas misi berjaya dan Soviet dihalau keluar, virus fahaman Wahabi dibiarkan merebak ke kawasan sempadan Pakistan.

Dalam tempoh lapan tahun pemerintahan diktator Jeneral Pervez Musharraf, tentera AS dan Pakistan menentang puak Taliban dalam wilayah puak etnik Pakistan. Tetapi serangan yang berlaku hanya sekali-sekala saja mendapat liputan berita.

Media massa tidak dibenarkan memasuki kawasan terbabit dan ramai wartawan tempatan terbunuh dalam suasana yang amat mencurigakan. Timbul alasan mudah mengapa Musharraf menjadi 'anak kesayangan' (blue eyed boy) media Barat – kerana dia tidak menghadapi masalah untuk menyempurnakan tugas diberi.

Musharraf dan tentera Pakistan berjaya menangkap dan menyerah ramai anggota Al-Qaeda yang amat dikehendaki AS, antaranya Khalid Sheikh Mohammed serta beberapa rakyat Mesir, Yaman, Arab Saudi dan lain-lain.

Bagaimanapun bagi rakyat Pakistan, undang-undang tentera Musharraf mencabul hak asasi mereka. Dia memberi tekanan kepada media setiap kali tidak bersetuju dengan laporan pengarang, meningkatkan khidmat perisik secara besar-besaran yang campur tangan dalam politik, serta tidak menghiraukan penderitaan rakyatnya.

Selepas lapan tahun dan kerugian berbilion dolar, rakyat Pakistan keturunan Taliban merampas kuasa di wilayah Swat, mengganas di daerah jiran, Buner dan menyebarkan kegerunan kepada seluruh rakyat negara itu.

Era pasca Musharraf, demokrasi Pakistan agak rapuh. Malah hari ini, tumpuan kerajaan terus kepada usaha menangani pembunuhan dan pengeboman yang berlaku. Tidak ada usaha yang benar-benar ikhlas pada peringkat politik arus perdana untuk menangani kemelut di wilayah bergolak, tidak ada usaha untuk memulihkan demokrasi di kawasan terbabit.

Lebih buruk tidak ada sebarang peruntukan disediakan untuk membantu hospital di Peshawar dan mana-mana hospital lain dengan bank darah yang mencukupi atau unit trauma – walaupun hampir setiap hospital menerima mangsa serangan bom hampir setia masa.

Tentera Pakistan lebih suka dilihat sebagai penyelamat negara daripada membetulkan keadaan, apa lagi untuk membuat keputusan yang boleh mengubah haluan dengan mematuhi perlembagaan negara itu.

Pada masa sama, kerisauan dan kebimbangan rakyat terus dibiarkan. Banyak persoalan tercetus terutama apabila semakin ramai rakyat menjadi pelarian, meninggalkan rumah tangga, harta benda dan tidak tahu bila akan kembali ke daerah masing-masing, serta semakin banyak tanah perkuburan wujud mencemarkan pemandangan indah lanskap negara itu.

Adakah parti politik satu hari nanti akan insaf bahawa mereka mesti berhenti melihat kepada AS dan mula menghulur bantuan kepada rakyat sendiri.

Persoalan lebih penting yang perlu diutarakan - adakah wajah musuh yang ada sekarang dapat dilihat dengan jelas? Siapa yang membekalkan senjata dan wang kepada puak Taliban? Dan adakah tentera Pakistan benar-benar mahu mengakhiri perang di negara sendiri?


Penulis ialah pengarang The News International di Lahore dan felo bersekutu di Asia Society. (Rencana disediakan oleh Project Syndicate)
Tangkap, buang, bunuh virus Influenza A


PENULARAN Influenza A (H1N1) kian membimbangkan. Berdasarkan laporan di laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sudah 109 negara dijangkiti dengan lebih 55,867 kes, termasuk 245 kematian sehingga Rabu lalu.

Wabak itu juga terus menular di Malaysia dengan lebih 100 kes dicatat, kebanyakannya kes import sehingga menyebabkan beberapa sekolah terpaksa ditutup.

Apa yang menggerunkan virus ini boleh membawa maut sehingga ada yang menyifatkan bahawa di Amerika Syarikat, setiap 1,000 orang yang dijangkiti, 40 perlu dirawat di hospital dan seorang akan meninggal dunia.

Fakta ini bukan bertujuan membawa panik kepada masyarakat, cuma dengan sedikit maklumat dan pengetahuan, kita akan lebih berhati-hati dan berusaha mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk mengelak diri menjadi mangsa.

H1N1 adalah sejenis jangkitan pernafasan dan mempunyai elemen daripada virus yang dijumpai dalam khinzir. Sungguhpun begitu, saintis antarabangsa menyatakan masih belum ada bukti menunjukkan bahawa penyakit ini tersebar kerana khinzir dan siasatan saintifik dari mana penyakit ini berasal sedang dilaksanakan di seluruh dunia.

Jika disoroti sejarah virus ini, ia pernah dikesan pada tahun 1918 dan ketika itu khinzir dan manusia mendapat selesema pada masa sama. Wabak terbaru 2009 ini adalah pertama dikesan pada April 2009 di Amerika Syarikat dan negara seperti Mexico dan Kanada.

Virus ini boleh merebak daripada air liur atau hingus seseorang yang sudah dijangkiti kepada individu yang lain. Antara cara termudah membendung jangkitan ialah dengan menutup hidung dan mulut ketika bersin atau batuk dengan tisu dan terus membuang tisu ke dalam tong sampah.

Jika kita hanya menutup dengan tangan, virus boleh merebak ke permukaan lain yang disentuh dengan tangan itu. Jika orang lain pula menyentuh permukaan itu dan menyapu muka mereka, sistem badan mereka juga boleh dijangkiti.

Namun, buat masa ini, pengkaji di Amerika sendiri masih belum mengenal pasti betapa mudah atau sukarnya virus ini merebak antara manusia. Namun satu kajian di Kolej Imperial London menjangkakan virus ini merebak dengan agak cepat dan mudah dengan anggaran setiap orang yang dijangkiti selesema ini boleh menyebarkannya kepada 1.4 dan 1.6 orang yang lain.

Ia merebak melalui batuk dan bersin individu yang dijangkiti kepada individu lain yang berhampiran dengannya. Antara tanda mereka yang dijangkiti virus ini serupa dengan tanda selesema biasa seperti demam, batuk, kesukaran pernafasan, sakit tekak, hidung berhingus, sakit-sakit badan, sakit kepala, kesejukan dan lemah-lemah badan.

Ada juga sesetengah individu yang dijangkiti melaporkan sakit perut dan muntah-muntah. Virus baru dikesan ini masih tidak diketahui asalnya membuatkan pengkaji dan pakar tidak senang duduk. Berikutan virus yang berterusan merebak, menyebabkan WHO mengisytiharkan tahap amaran fasa enam iaitu peringkat tertinggi pandemik terbabit.

Di benua Eropah saja, jumlah kes yang disahkan oleh pakar perubatan mencecah 3,000 kes dengan sehingga kini membawa kepada satu kematian. Negara Eropah itu termasuk Austria, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Itali, Belanda, Swizerland dan United Kingdom (UK).

Di UK, mangsa dikesan dijangkiti selesema babi kini mencapai 1,500 orang manakala di bahagian Timur dekat Tengah England di mana Nottingham terletak, sudah ada 18 kes dikesan namun tiada kematian dilaporkan.

Kes pertama dikesan pada 27 April lalu daripada mangsa yang pulang dari Mexico. Kematian pertama membabitkan jangkitan ini di UK disahkan oleh kerajaan Scotland pada 14 Jun lalu dengan beberapa lagi mangsa dalam keadaan kritikal.

Laporan akhbar aliran perdana di UK, Daily Telegraph baru-baru ini menyatakan berjuta-juta warga Britain mempunyai kebarangkalian dijangkiti virus ini. Jika terlalu teruk, sekolah mungkin akan ditutup. Sehingga kini, sehingga 20 sekolah pernah ditutup di England dan Scotland kerana sudah ada pelajar yang dijangkiti wabak.

Polisi menutup sekolah, menurut Profesor Neil Furgeson dari Kolej Imperial London menjangkakan ia boleh membendung satu dalam tujuh kes jangkitan dan seorang daripada lima kanak-kanak yang berpotensi dijangkiti.

Antara langkah pencegahan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan UK adalah dengan menghantar maklumat selengkapnya mengenai virus ini kepada rumah-rumah di UK. Selain itu, media massa juga diminta memainkan peranan menyedarkan masyarakat mengenai bahaya selesema ini.

Pelbagai kempen melalui laman web juga serta edaran di klinik-klinik turut dilaksanakan untuk memberi kesedaran serta maklumat cara pencegahan dan tindakan jika dijangkiti. Memandangkan pada peringkat ini, masih belum ada vaksin untuk selesema ini yang masih dalam peringkat kajian, kerajaan UK menggunakan ubat antivirus seperti Tamiflu dan Relenza yang cukup untuk separuh populasi masyarakat UK dalam tempoh menghasilkan vaksin.

Dalam menangani kes ini, Kerajaan UK menyatakan langkah menangani yang diambil adalah antara yang terbaik dan praktikal di dunia. Sistem yang diperkenalkan mudah difahami dan dilaksanakan penduduknya iaitu dengan menyarankan semua orang membawa tisu ke mana-mana, tutup mulut ketika bersin atau batuk dan buang tisu itu.

Slogan 'catch it, bin it, kill it (tangkap, buang, bunuh virus) diaplikasi kepada segenap masyarakat supaya virus tidak terus-terusan merebak. Nombor penting untuk dihubungi disertakan dalam risalah 11 bahasa termasuk bahasa Inggeris serta laman web untuk memberi panduan apa yang perlu dilakukan jika ada tanda-tanda wabak itu pada diri seseorang.

Risalah dalam bentuk CD audio, cetakan besar kepada orang tua-tua yang bermasalah penglihatan serta versi tulisan Braille boleh didapati secara percuma dengan membuat permohonan kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang bertindak seperti hospital kerajaan di Malaysia.

Infoline H1N1 juga dibuka untuk membolehkan masyarakat mendapat maklumat terbaru mengenai wabak ini dari semasa ke semasa. Langkah di pihak komuniti pula ialah dengan menyarankan masyarakat mewujudkan jaringan 'rakan demam' atau 'flu friends' yang terdiri daripada rakan taulan, saudara atau jiran tetangga.

Jika berlaku tanda-tanda H1N1 pada diri kita, maka rakan demam boleh membantu mengambil ubat atau membeli makanan. Dengan itu, individu yang dijangkiti tidak perlu keluar rumah dan merisikokan orang lain.

Buat masa ini, tiada warta yang menyarankan keperluan memakai topeng muka kerana kajian saintifik di UK mendapati topeng ini tidak melindungi manusia daripada dijangkiti H1N1. Cara terbaik ketika ini ialah dengan 'menangkap' virus terbabit dengan tisu dan membuangnya serta jangan benarkan ia menjangkiti orang lain. Mudah dan berkesan buat masa ini, namun kita tetap mengharapkan agar vaksin H1N1 dapat dihasilkan secepat mungkin.
Minda Pengarang: Faedah sumbangan Petronas terus dinikmati rakyat


KEUNTUNGAN diraih Petronas bagi tahun kewangan berakhir Mac lalu membolehkan syarikat minyak itu menyumbang sejumlah RM74 bilion melalui cukai dan dividen kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak. Sumbangan Petronas tahun lalu kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan mencecah hampir 45 peratus berbanding 36.8 peratus pada 2007. Malah, sejak lima tahun lalu Petronas sudah menyumbang RM267.7 bilion kepada kerajaan untuk kegunaan mengurus dan membangunkan rakyat serta negara. Syarikat yang tersenarai dalam majalah Fortune 500 dan antara syarikat terkaya di dunia itu cukup membanggakan rakyat negara ini kerana mampu bukan saja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah berjaya membuka ruang kepada penduduk tempatan untuk bekerja membangunkan industri berasaskan minyak di luar negara. Dengan merekodkan pendapatan tertinggi sejak penubuhannya pada 1974 iaitu sebanyak RM264.2 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu - meningkat 18.4 peratus berbanding tempoh sama sebelum itu - memperlihatkan kejayaan hala tuju yang dibawa pengurusan Petronas. Ini sekali gus memenuhi harapan rakyat untuk melihat Petronas bukan saja berkembang di dalam negara, malah memberi impak kepada dunia, terutama di rantau yang menjadi tumpuan pelaburan syarikat itu. Walaupun keuntungan bersih merosot 14 peratus kepada RM52.5 bilion berikutan kemerosotan harga minyak tahun lalu, Petronas masih boleh berbangga dengan pencapaiannya berbanding gergasi petroleum lain yang turut mengalami kerugian teruk berikutan harga minyak rendah di peringkat global.

Kejayaan Petronas ini perlu kita kekalkan, terutama dari segi pengurusannya yang cukup berkesan kerana ia satu-satunya syarikat milik kerajaan yang bukan saja dihormati di dalam negara malah syarikat gergasi minyak dunia yang dikagumi dengan keupayaannya beroperasi di 30 negara dalam masa yang cukup singkat. Kita amat berharap kerajaan dapat mengekalkan corak pengurusan yang diperkenalkan Petronas selama ini, yang lebih bersifat autonomi dengan kurang campur tangan kerajaan. Ini amat penting untuk membolehkan syarikat minyak negara terus maju, walaupun berdepan dengan turun naik harga minyak yang tidak menentu sekarang. Kita yakin kepemimpinan Presiden dan Ketua Pegawai Operasinya, Tan Sri Mohd Hassan Marican, mampu berdepan kemelut pasaran minyak sekarang, termasuk usaha mengurangkan kos operasi yang semakin meningkat pada masa ini. Dengan sumber simpanan petroleum negara yang semakin berkurangan, kita berharap Petronas dapat memberi perhatian bagi mengukuhkan struktur perniagaan dan operasi syarikat terutama di luar negara. Syarikat minyak itu tidak boleh lagi bergantung kepada sumber minyak negara, walaupun eksplorasi di kawasan luar pantai negara terutama di kawasan laut dalam, menunjukkan negara masih mempunyai simpanan minyak yang banyak kerana kos pengeluarannya cukup tinggi. Apapun, rakyat negara ini perlu berterima kasih kepada Petronas dan kakitangannya yang bertungkus-lumus untuk membuktikan syarikat milik negara mampu untuk bersaing di peringkat global dengan mencatat keuntungan besar. Sumbangannya kepada pendapatan negara membolehkan seluruh rakyat menikmati faedahnya dan inilah perbezaan Petronas berbanding syarikat minyak utama lain di dunia.