Kuasa unik Lightning Hybrids




Setiap orang punya cita rasa tersendiri apabila berbicara mengenai jentera automotif. Ada yang obses dengan kelajuan, ada yang gilakan rekaan bentuk yang futuristik tetapi ada pula yang tergoda dengan kuasa sebuah jentera mesra alam.

Justeru, apabila kereta hibrid yang menggunakan gas-elektrik mula membuat debut di pasaran, syarikat-syarikat automotif dunia bersaing hebat untuk melahirkan jentera terbaik.

Jentera hibrid banyak dilahirkan di Jepun dengan menyaksikan Toyota dan Honda antara dua gergasi automotif yang membuktikan kepada dunia mengenai komitmen jentera hijau mereka.

Toyota begitu sinonim dengan Prius manakala Honda cemerlang dengan Civic Hybrid dan Insight Hybrid.


PANDANGAN sisi LH4.


Beberapa gergasi lain yang turut mencuba nasib terjun dalam dunia jentera hibrid termasuklah General Motors, BMW, Mercedes Benz dan Ford Motor.

Kemudian timbul pula kereta hibrid yang paling diperkatakan baru-baru ini iaitu prototaip LH4 yang dihasilkan oleh syarikat Lightning Hybrids. Diasaskan pada tahun 2008, Lightning Hybrids merupakan sebuah syarikat penyelidikan automotif dan perkilangan yang berpengkalan di Loveland, Colorado, Amerika Syarikat (AS).

Syarikat tersebut menghasilkan dua buah jentera hibrid hidraulik biodiesel yang memiliki kemampuan seperti sebuah sports sedan. Tidak terhenti di situ, rekaan fizikalnya yang berbeza dianggap sangat luar biasa dan menggoda.

Dengan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar, kehadiran prototaip jentera berkod LH4 ini dilihat tiba tepat pada masanya.


TEKNIK reka bentuk kerangka konvensional dihasilkan daripada tiub krom molybdenum.


LH4 merupakan salah satu pesaing dalam pertandingan Progressive Insurance Automotive X Prize 2010 yang menampilkan rekaan-rekaan terhebat di seluruh dunia dengan taruhan hadiah bernilai RM35 juta.

Pertandingan itu bakal mengiktiraf rekaan kenderaan yang bersih, mampu dikeluarkan dan dapat mencatat perbatuan melebihi 100 batu bagi setiap gelen minyak.

Diperbuat daripada material gentian karbon dan hanya seberat 794 kilogram, pintunya boleh dibuka seperti telefon bimbit flip (clampshell), sekali gus menampilkan rekaan yang begitu aerodinamik.

Teknik reka bentuk kerangka konvensional dihasilkan daripada tiub krom molybdenum, membentuk elemen struktur utama LH4 yang hampir sama dengan penghasilan jentera Formula dan Indy.

Kamera cermin sisi

Diinspirasikan daripada model Chevrolet Corvette tahun 1963 terutamanya di bahagian belakang, LH4 dilengkapi dengan cermin sisi yang digantikan dengan kamera dan skrin-skrin LCD bersaiz sebuah iPhone.

LH4 dipasang dengan enjin biodiesel dua injap binaan Volkswagen berkuasa 90 bhp (67 kW) dan digabungkan bersama sistem hibrid hidraulik Rexroth dengan kuasa 150bhp (112 kW).


SISTEM enjin hibrid hidraulik bioadiesel boleh dimasukkan secara retrofit (dipasang) ke dalam enjin biasa.





Ketua Pegawai Eksekutif Lightning Hybrids, Dan Johnson menyatakan, setakat ini, tiada satu firma atau pengeluar yang mengaplikasikan teknologi tersebut ke atas kenderaan-kenderaan kecil.

Sebelum ini, sistem hibrid hidraulik Rexroth hanya digunakan pada trak.

Bagaimana teknologi hibrid hidraulik ini berfungsi?

Ia sebenarnya terhasil daripada enjin diesel bercekapan tinggi dan digabungkan dengan satu sistem momentum atau penggerak yang unik. Sistem inilah yang menggantikan transmisi dan enjin konvensional.

Pam-pam dan kotak penyimpanan hidraulik digunakan untuk menyimpan tenaga, tidak jauh bezanya dengan apa yang dilakukan oleh motor-motor elektrik dan bateri dalam kenderaan elektrik.

"Kami sangat teruja untuk mengetengahkan bagaimana sistem hibrid hidraulik Rexroth ini berfungsi. Pandu uji sebenar akan dijalankan pada lewat musim panas ini.

"Lightning Hybrids juga akan menjawab pertanyaan paling popular yang ditanya iaitu bagaimana ia dibuka. Pada masa yang sama, kami akan menunjukkan fungsi pintu dan pengunjung boleh duduk di dalam kereta ini," tambah Johnson, sambil memberitahu LH4 telah membuat kemunculan pertama di Denver Auto Show pada April lalu.

Ciri-ciri enjin

Lightning Hybrids yang mempunyai hanya 12 orang kakitangan kini merancang untuk meningkatkan bilangan itu kepada lebih 300 orang dalam tempoh empat tahun akan datang.

Model sports sedan dengan kapasiti empat tempat duduk ini dikatakan mampu bergerak sejauh 161 kilometer dengan hanya kurang empat liter bahan api, sama ada diesel atau biodiesel.

Lebih menakjubkan, prestasi LH4 mampu memecut dari titik pegun ke takat 60 mph (70 km/j) dalam tempoh kurang enam saat.

Sehingga kini, Lightning Hybrids masih banyak berahsia tentang perincian reka bentuk spesifik LH4 kerana masih menunggu proses pemfailan paten di AS dan antarabangsa yang dilakukannya selesai.

Syarikat tersebut menjelaskan bahawa ia banyak memfailkan paten. Paling signifikan adalah reka bentuk enjin hidraulik yang diintegrasikan dengan omboh berpaksi (integrated hydraulic axial piston engine).

Antara ciri enjin itu termasuklah ia ringan (kurang 1 lb/hp), tiada transmisi, tidak mempunyai berat injap dan aci sesondol, selain pemulihan tenaga membrek (braking recovery) sehingga 100 peratus.

Maknanya, satu unit alat pengumpul (accumulator) yang beroperasi dalam kuasa tekanan antara 5,000 hingga 7,000 psi akan menyediakan ruang penyimpanan tenaga akibat aktiviti membrek, sebelum memberikan kuasa untuk meneruskan pecutan.

Bagi mereka yang berminat, LH4 akan mula dipasarkan pada tahun 2011. Syarikat tersebut kini sudah pun mempunyai senarai menunggu.

Jentera berwarna hitam itu bakal dijual pada harga antara AS$39,000 hingga AS$59,000 (RM136,500 hingga RM206,500) seunit. Prototaip itu mula dikilangkan sejak Januari lalu.

Jentera ini turut dibangunkan dalam varian tiga roda bersama empat tempat duduk yang diberi nama LH3. Lebih menarik lagi, sistem enjin hibrid hidraulik biodiesel itu boleh dimasukkan secara retrofit (dipasang) ke dalam enjin biasa yang dikenali sebagai Hybrid Retrofit System (HRS).

Namun begitu, model LH3 dan enjin pasang siap itu hanya akan mula menemui pelanggan menjelang pertengahan tahun 2010.

"Inilah revolusi teknologi enjin hibrid," kata Johnson.



Terapi alternatif beralkali


PASANGAN suami isteri ini mendengar penerangan daripada kakitangan Permata Hijrah (kanan) berhubung terapi alternatif beralkali.


ADA pepatah mengatakan bahawa mata adalah jendela hati. Dari mata, seseorang itu mungkin boleh membaca apa yang tersirat dalam jiwa manusia.

Malah, mata yang bersinar dan sihat juga merupakan daya tarikan dalam kalangan lelaki mahupun wanita. Justeru, ia membuktikan mata antara organ tubuh yang amat penting dan perlu dijaga.


DEMONSTRASI produk yang dikeluarkan oleh Permata Hijrah.


Jika tidak dijaga dengan baik, pelbagai masalah akan dihadapi termasuklah rabun, katarak, glaukoma dan sebagainya. Menyedari pentingnya penjagaan mata, dua sahabat baik, Zulkifli Dollah, 30 dan Mohd. Ali Yatim, 29, mengambil keputusan menubuhkan syarikat yang diberi nama Permata Hijrah.

Beroperasi di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan, Permata Hijrah merupakan sebuah syarikat pengeluar produk penjagaan mata iaitu penyegar mata sebagai produk utama dan penawar resdung.

Anugerah

Menurut Zulkifli merangkap Pengarah Urusan Permata Hijrah Enterprise, mereka menghasilkan produk tersebut berbekalkan pengalaman dan ilmu yang ada.

"Kita semua sedia maklum bahawa mata adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Tuhan. Oleh itu, amat penting bagi setiap individu mengekalkan kesihatan mata yang dimiliki.

"Sehubungan itu, Permata Hijrah menawarkan alternatif terapi alkaline melalui produk-produk yang kami hasilkan," ujar beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz Zulkifli.


SALAH seorang kakitangan memberi penjelasan berhubung produk-produk keluaran Permata Hijrah.


Antara produk tersebut ialah penyegar mata yang dihasilkan daripada sumber alam semula jadi dan kandungan bahan yang halal. Ini termasuklah formula air zam-zam, air suling bermutu tinggi, ekstrak mutiara serta ekstrak herba dan karangan laut.

Ia tidak memedihkan mata. Malah, produk ini menyejukkan dan menyegarkan mata.

"Alhamdulillah, walaupun baru dua tahun beroperasi produk kami diterima dalam kalangan masyarakat dan ia amat menggalakkan.

"Paling penting, semua produk keluaran Permata Hijrah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ia dikilangkan oleh kilang yang bertaraf GMP (Good Manufacturing Practice)," jelas Ustaz Zulkifli.


SEBAHAGIAN daripada produk penjagaan mata yang dihasilkan oleh Permata Hijrah.



ZULKIFLI DOLLAH


Sehingga kini, Permata Hijrah berjaya menghasilkan 50 produk kesihatan lain seperti losyen badan, kapsul tongkat Ali, kapsul kacip Fatimah plus, minyak kelapa dara, teh misai kucing, teh mas cotek, teh herba mutiara, pemakanan kesihatan, kopi untuk lelaki, minyak rambut dan set lengkap resdung.

Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui tentang produk-produk Permata Hijrah, orang ramai bolehlah mengunjungi Ekspo Perdagangan Mega 2009 yang berlangsung sejak 24 hingga 28 Jun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tidak ketinggalan, orang ramai juga berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan penjagaan mata secara percuma di gerai Permata Hijrah di Lot 1013 dan 1014, Dewan 2 KLCC.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.permatahijrah.com atau hubungi talian 019-910 3999 (Ustaz Ali) dan 019-910 7999 (Dr. Yasmeen).

Rahsia Allingham panjang umur




ALLINGHAM menyambut ulang tahun kelahirannya ke-113 pada 6 Jun lalu."ROKOK, wiski dan berseronok dengan wanita-wanita liar." Dalam nada bergurau, Henry Allingham, 113, menjelaskan mungkin itulah rahsia dia panjang umur. Allingham, mahu membuktikan bahawa faktor umur tidak memalapkan karakternya yang gemar bergurau.

Allingham, merupakan salah seorang daripada dua veteran Britain Perang Dunia Pertama yang masih hidup. Beliau yang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-113 pada 6 Jun lalu, mencatatkan jangka hayat yang menjangkau tiga abad.

Dilahirkan pada 1896, lelaki yang pernah hidup pada zaman perang itu mengakui menjadi simbol pengorbanan dari satu generasi ke satu generasi merupakan satu pengembaraan yang menakjubkan. Beliau yang diraikan pada satu majlis ulang tahun ke-30 pasukan scout tempatan, turut mengimbau memori yang tersimpan 100 tahun yang lalu.

Majlis yang diakhiri dengan acara angkat sumpah itu juga mencatatkan sejarah apabila Allingham satu-satunya ahli scout tertua yang mengangkat sumpah untuk memberi khidmat terbaik kepada Tuhan, Ratu, membantu orang lain dan mematuhi undang-undang Scout.

Allingham menyertai pasukan scout bersama sepupunya pada 1908, setahun selepas pengasas pasukan tersebut, Lord Baden Powell menjemput 22 orang kanak-kanak lelaki menyertai satu kem perkhemahan.


WAJAH Allingham ketika muda.


Kem tersebut diadakan di Brownsea Island di Poole Harbour, selatan England. Meskipun berumur lebih 100 tahun, Alligham mempunyai memori indah yang masih terpahat dalam ingatannya. Alligham masih ingat bahawa dia juga salah seorang yang menyertai perkhemahan tersebut.

"Saya berasa sangat seronok dan mahu menyertainya sebelum itu tetapi tidak dapat melakukannya kerana ibu saya tidak mampu membelikan pakaian seragam," imbas Allingham yang juga bekas anggota Tentera Udara Diraja (RAF), Britain.

Selain diangkat sebagai veteran Britain tertua, beliau merupakan satu-satunya veteran Perang Dunia Pertama dan merupakan salah seorang tentera British yang terselamat dalam peperangan tersebut.

Rahsia panjang umur

Allingham dilahirkan di Clapton, timur London ketika pemerintahan Ratu Victoria berakhir. Beliau turut memegang rekod di Eropah sebagai lelaki ketiga tertua yang masih hidup.

Bagaimanapun, pada 29 Mac 2009, Guinness World Records menggelar Allingham sebagai lelaki tertua di Britian selepas mengambil gelaran tersebut daripada Tomoji Tanabe, 113, yang meninggal dunia di rumahnya, di selatan Jepun ketika tidur.

Beliau meninggal pada 19 Jun baru-baru ini.

"Realitinya, Henry Allingham merupakan lelaki tertua di dunia," ujar jurucakap di salah sebuah organisasi yang mencatatkan maklumat pemecah-pemecah rekod.

Menurut jurucakap tersebut, Tanabe mengamalkan pemakanan yang sihat seperti makan banyak sayur-sayuran. Beliau begitu mempercayai bahawa kunci utama untuk seseorang itu menikmati hidup yang berpanjangan ialah tidak minum minuman keras.

Ketika meraikan ulang tahunnya yang ke-113, Tomoji Tanabe memakai pakaian kimono dan menerima hadiah berupa cawan teh gergasi yang diukir nama dan tarikh lahirnya.


REKOD yang dipegang Tomoji Tanabe selama dua tahun telah diambil alih oleh Allingham.


Ketika sambutan ulang tahunnya, Tanabe berharapa dia dapat hidup dalam tempoh lima tahun lagi.

Tomoji Tanabe, yang dilahirkan pada 18 September 1895, meraikan ulang tahun kelahirannya di kampung halamannya, di Miyakonojo, Kyushu.

Namun, takdir menentukan bahawa dia hanya sempat hidup hingga 19 Jun lalu.

Tanabe pernah meluahkan bahawa dia mahu hidup dalam tempoh lima tahun lagi. Apakah rahsia beliau panjang umur?

"Mengamalkan gaya hidup sihat, mengelak daripada minum minuman keras dan minum susu pada tiap waktu makan tengah hari".

Sambil mengakui hidupnya bahagia, Tanabe juga makan agak banyak. Bagaimanapun, dia berpantang dengan tidak merokok, tidak minum minuman keras atau makan makanan ringan.

Sebelum kematiannya, Tanabe tinggal bersama salah seorang daripada anak dan menantunya. Beliau juga meninggalkan lebih 100 keturunan termasuk lapan anak, 25 cucu, 52 cicit dan enam piut.

Jepun mencatatkan salah sebuah negara di dunia yang mempunyai penduduk yang panjang jangka hayatnya iaitu mencecah 86 tahun untuk wanita dan 79 tahun bagi lelaki.

Ia dikaitkan dengan kemungkinan diet negara tersebut yang kaya dengan ikan dan nasi.

Jumlah warga Jepun yang hidup lebih 100 tahun meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam bulan lalu. Ia mencatatkan rekod setinggi 36,000 orang pada tahun ini.

Menjelang 2050, Bangsa-bangsa Bersatu (UN) menjangkakan, populasi warga emas yang berusia 100 tahun ke atas dijangka mencecah satu juta orang iaitu yang paling ramai di dunia.

"Kami ingin melihat lelaki Inggeris memegang rekod dunia sebagai lelaki tertua selepas Frederick Butterfield, 110, dari England memegang rekod yang sama. Bagaimanapun, beliau meninggal dunia lebih 35 tahun lalu," ujar Ketua Pengarang Guinness World Records, Craig Glenday.

Allingham dianggap simbol yang unik. Beliau mendedahkan rahsia bahawa rakyat Britain hidup lama. Pada 1911, ketika beliau remaja, dianggarkan terdapat hampir 100 warga emas yang berusia 100 tahun ke atas di Britain. Tiga tahun lalu, angka tersebut mencecah hingga 8,970 orang.




Di Jepun saja, dianggarkan jumlah mereka yang berumur 100 tahun ke atas dua kali ganda daripada Britain. Apakah rahsia mereka?

Kombinasi gen yang betul dan dibantu diet yang rendah lemak haiwan. Selain itu, penjagaan perubatan yang lebih baik dan kadar kelahiran antara faktor lain.

Menurut media British, Allingham merupakan seorang veteran tertua yang terlibat dalam peperangan tersebut di United Kingdom dan merupakan bekas anggota RAF.

"Perang adalah sesuatu yang bodoh. Tiada siapa yang menang dengan peperangan," ujar Allingham dalam satu temu bual dengan BBC.

Rakannya, Dennis Goodwin memberitahu ia berita yang memeranjatkan. "Allingham seorang yang berfalsafah. Dia akan mengambil satu langkah yang seolah-olah dia tahu semuanya," katanya.

Alat sokongan

Mengenai kesihatan Allingham, ketika usianya mencecah 110 tahun, beliau masih boleh berjalan seperti biasa tanpa bantuan alat sokongan. Tetapi hari ini, beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk menjalani rutin hariannya.

Bayangkan, pada umur yang sebegitu, beliau mampu mengimbau kembali perkara yang berlaku lebih 100 tahun lalu, cuma bentuk fizikalnya yang kelihatan semakin kurus.

Datuk kepada enam orang cucu, 12 orang cicit, 14 piut dan seorang oneng itu menyertai Perkhidmatan Udara Tentera Laut Diraja iaitu merupakan pelopor kepada pasukan RAF pada tahun 1915. Setahun selepas itu, beliau menyertai Peperangan Jutland yang merupakan pertempuran tentera laut terbesar.

Sejak tahun 2001, wajahnya menjadi sumber inspirasi dalam Persatuan Veteran Perang Dunia Pertama. Pengorbanannya dalam membangkitkan kesedaran golongan muda mengenai sejarah pertempuran peperangan tersebut antara objektif Allingham.

Bapanya meninggal dunia sewaktu usianya baru mencecah tiga tahun. Beliau dibesarkan oleh ibu, datuk dan neneknya serta memperoleh pengajian di Sekolah Majlis Daerah London, sebelum bekerja sebagai pelatih pengendali alat pembedahan di Hospital Barts, London.

Allingham mengikuti bidang ketenteraan pada Ogos 1914 sebagai penghantar surat. Tetapi, tidak lama kemudian dia terpaksa berhenti kerja dan menjaga ibunya yang sakit. Setelah ibunya meninggal dunia, beliau terpilih menyertai anggota Perkhidmatan Udara Tentera Laut Diraja (RNAS).

Kerjayanya bermula sebagai mekanik udara kelas kedua pada 21 September 1915 dan ditempatkan di Chingford, England sebelum menghabiskan sesi latihan di Sheerness, utara Kent, England.

Selepas tamat pengajian, Allingham dipilih menyertai Stesen Udara RNAS di Great Yarmouth, di mana bidang kerjayanya meliputi pengendalian alat gantian kapal terbang.

Berkahwin

Pada September 1917, beliau dinaikkan pangkat sebagai Mekanik Udara Kelas Pertama dan ditempatkan di Western Front dan menyertai No. 12 Skuadron (RNAS).

Beliau bertukar ke Tentera Udara Diraja apabila RNAS bergabung tenaga dengan RFC pada 1 April 1918. Allingham menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya, Dorothy Cator pada tahun 1918 dan kemudian bersara pada tahun 1919.

Mereka berpindah di Eastbourne pada 1960 dan dikurniakan dua cahaya mata pada usia 50 tahun.

Selepas Perang Dunia Kedua, Allingham bekerja di sebuah kawasan perlombongan di Jerman. Pada tahun 1939, beliau dipanggil untuk membantu meneutralkan sistem perlombongan dan beliau berjaya melakukannya selama sembilan hari.

"Itu antara pekerjaan yang tidak dapat saya lupakan. Bayangkan dalam masa yang singkat, saya dapat melakukannya tanpa memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak," jelas Allingham.

Baru-baru ini, beliau diraikan bersempena majlis ulang tahunnya yang ke 113 bersama anggota keluarga, pasukan RAF dan Tentera Laut Diraja.

Kek ulang tahun hari lahirnya dihantar oleh Tentera Marin Diraja, sementara helikopter Tentera Laut Diraja berlegar-legar di ruang udara tempat majlis itu diadakan.

"Ia sungguh hebat, saya tidak pernah menjangkakan penghargaan seperti ini," katanya kepada wartawan.

Dalam pada itu, rakannya Harry Patch, 110, merupakan seorang lagi veteran Perang Dunia Pertama Britain yang masih hidup sehingga kini.

Srikandi bola sepak Iran

Oleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my

Wanita Iran tidak dihalang bermain bola sepak tetapi mereka perlu mematuhi pelbagai syarat. Bagaimanakah mereka akhirnya boleh membuat sepak mula di padang yang dipenuhi penonton?


PEMAIN bola sepak wanita Iran perlu mematuhi syarat-syarat dikenakan kerajaan.


BOLA SEPAK merupakan sukan paling popular di dunia. Ia dimainkan oleh segenap lapisan masyarakat, sama ada lelaki mahupun wanita.

Namun di Iran, untuk mempunyai sebuah pasukan bola sepak wanita kebangsaan, ia bergelut dengan pelbagai halangan sebelum boleh ditubuhkan.

Pasukan wanita itu hanya mendapat kebenaran bermain secara terbuka pada tahun 2006, iaitu setahun selepas penubuhannya.

Pasukan tersebut berhadapan dengan pelbagai batasan termasuk kod pemakaian yang ketat seperti wajib mengenakan seluar dan baju berlengan panjang selain hijab sukan yang direka khas.

"Mereka juga hanya boleh bermain di hadapan penonton wanita sahaja untuk perlawanan di tanah air mereka," ujar Pengarah yang juga Ketua Pegawai Operasi Oak3 Films Pte. Ltd., Zaihirat Banu Codelli dalam satu temuramah telefon yang diadakan baru-baru ini.

Menurut wanita yang mengarahkan dokumentari Veil of Dreams itu, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai cabaran di negara yang berpegang kuat pada adat termasuk tentangan rakyat negara itu, pasukan wanita bola sepak kebangsaan Iran menunjukkan semangat yang sangat tinggi.

Bersama krew penggambaran yang juga terdiri daripada wanita, Codelli mengambil masa dua minggu untuk merakam pergelutan pasukan itu untuk melayakkan diri dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Asia Wanita 2008 dengan menghadapi pasukan wanita India.

"Mereka tidak sedih dengan keadaan yang menimpa. Setiap ahli pasukan itu terus bermain dengan penuh semangat," kata Codelli sambil memaklumkan bahawa perlawanan dengan India merupakan antara perlawanan antarabangsa terawal pasukan Iran.

Dokumentari itu bukan hanya berkenaan bola sepak dan persediaan pasukan tersebut, tetapi perkongsian hidup, perasaan, aspirasi dan juga cita-cita pasukan tersebut.


IRAN antara negara yang mempunyai skuad bola sepak lelaki digeruni di Asia.


Ini menjadikan sukan itu bersifat personal dan boleh dikaitkan dengan masyarakat dunia lain.

"Dengan pelbagai halangan dan isu yang terus timbul seperti ketiadaan pengalaman bermain di luar negara dan dilarang bermain di depan penonton lelaki, wanita-wanita yang berusia antara 15 sehingga 30 tahun ini tidak gentar," kata Codelli.

Halangan tidak hanya dikenakan kepada pasukan tersebut tetapi terhadap krew penggambaran Codelli sendiri.

Malah, wanita itu mengakui bahawa mereka terpaksa menggunakan pelbagai helah agar dokumentari yang direkod dapat diseludup keluar.

"Kamera kami pernah dirampas dan juga penggambaran selama enam jam pernah dimusnahkan," kata Codelli yang telah melakukan penyelidikan selama setahun sebelum penggambaran dimulakan pada bulan November 2007.

Diberitahu bahawa mereka tidak dibenar merakam perlawanan antara India dengan Iran kerana pasukan lawan itu tidak memakai hijab, Codelli dan krewnya mengambil langkah berani dan mencuba nasib mereka.

"Pada tiga hari pertama kami banyak melakukan penggambaran di luar stadium. Pada hari perlawanan itu, kami berjaya memasuki stadium seminit sebelum perlawanan bermula dengan menyamar seperti krew FIFA dengan membawa masuk tiga buah kamera.

"Walaubagaimanapun apa sahaja perlawanan yang dirakam, ia harus diisytiharkan dan dipulangkan kepada Persekutuan Bola Sepak Iran. Oleh itu, semasa perlawanan kami kerap menukar pita," ujar beliau.

Untuk mengelakkan pita mereka dirampas, Codelli menambah, saya menyertai keraian pasukan itu di padang selepas perlawanan dan dengan penuh berhati-hati memberikan pita terbaik kepada produser saya.


VEIL OF DREAMS mengisahkan mengenai suka duka pasukan bola sepak wanita Iran.


"Saya diberikan perhatian teliti oleh pihak berkuasa semasa perlawanan itu," kata wanita itu yang mengakui bahawa pengalaman membuat penggambaran di Iran adalah antara yang paling mencabar dalam pengalamannya selama 13 tahun dalam bidang produksi.

Ketika ditanya mengenai bagaimana idea membuat dokumentari itu tercetus, Codelli menjawab: "Idea timbul apabila saya bertemu dengan seorang produser dari New Zealand yang menyentuh mengenai subjek tersebut.

"Saya tertarik kerana ia mengisahkan semangat wanita-wanita ini," katanya.

Sungguhpun pelbagai syarat dan halangan yang dikenakan baik ke atas wanita Iran atau krew Codelli, wanita itu tetap mengakui Iran merupakan sebuah negara yang kaya dengan warisan dan sejarah dengan rakyat yang sangat mesra.

"Mungkin salah satu kelebihan saya, adalah kerana saya beragama Islam," kata wanita dari Singapura yang berdarah kacukan India dan Cina.

Veil of Dreams akan disiarkan di rangkaian Discovery (Saluran Astro 551) pada pukul 9 malam ini. Siaran ulangan akan ditayangkan pada pukul 1 pagi esok, Ahad (6 petang) dan Isnin (10 pagi).

Malaysia syurga penggambaran

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my



KETIKA Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Filem Negara, pembikin filem tempatan mahupun kementerian berkaitan sibuk mengutarakan isu memperkenalkan budaya serta identiti Malaysia ke seluruh dunia menerusi filem, Malaysia sebenarnya sudah berada di hati segelintir pembikin filem dunia.

Jika bukan atas dasar impak dan kualiti dari filem buah tangan anak Malaysia, setidak-tidaknya pemilihan Malaysia sebagai latar perfileman antarabangsa, sudah cukup untuk menyuntik rasa bangga semua, warganegara Malaysia khususnya.

Paling ketara, kemegahan Menara Berkembar Petronas bukan hanya menjadi mercu tanda Malaysia bahkan menjadi titik tumpu kepada pembikin filem luar memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran mereka.

Turut menjadi salah satu ikon dunia, tidak keterlaluan untuk menyatakan Menara Berkembar Petronas yang dibuka secara rasmi pada 31 Ogos 1999 merupakan identiti wajib kepada Malaysia.

Dunia mungkin kurang mengenali Malaysia tetapi kewujudan menara berkembar itu yang pernah menjadi bangunan tertinggi dunia dari tahun 1998 sehingga 2004 sebelum diambil alih oleh bangunan Taipei 101 cepat memancing para pembikin filem dunia memilih Malaysia atau Kuala Lumpur sebagai lokasi penggambaran.




Selain faktor ketinggian yang menarik perhatian ramai, struktur bangunan dan rekaan sofisikated turut menyumbang kepada populariti menara tersebut.

Filem Hollywood, Entrapment yang dibintangi aktor terkemuka, Sean Connery dan Catherine Zeta Jones telah membantu memperkenalkan Malaysia umumnya kepada dunia.

Walaupun menimbulkan kontroversi kerana menggambarkan Menara Berkembar Petronas berlatarbelakangkan kawasan perkampungan yang dirakamkan di Melaka, filem itu tidak dinafikan telah melonjakkan nama Malaysia.

Turut menjalankan penggambaran di stesen kereta api transit ringan (LRT), Bukit Jalil, kejayaan filem Entrapment telah mengundang lebih ramai pembikin memilih lokasi sama untuk rakaman termasuk filem Hindustan, Phir Bhi Dil Hai Hindustani (2000) yang dijayakan oleh Shahrukh Khan dan Juhi Chawla.

Pada tahun 2006, menara itu sekali lagi dijadikan fokus dalam filem iaitu dalam projek Bollywood, Don - The Chase Begins Again yang juga dibintangi Shahrukh Khan dengan Priyanka Chopra dan Kareena Kapoor.


REEMA


Mencatat kejayaan komersial, filem itu yang dirakamkan sebanyak 80 peratus di Malaysia juga memperkenalkan 42 lokasi menarik seperti Pulau Langkawi, Jalan Masjid India, Kampung Baru serta beberapa lokasi di sekitar ibu kota.

Disebabkan hampir kesemua filem Bollywood yang dirakamkan di Malaysia disertai Shahrukh Khan, dia telah dianugerahkan gelaran Datuk oleh negeri Melaka, tahun lalu.

"Ia satu penghargaan kepada saya dan juga semua aktor dari India. Saya sangat gembira kerana berjaya menawan ramai peminat di Malaysia.

"Apa yang lebih membanggakan, saya menerima anugerah yang diberikan oleh negara yang tidak memahami bahasa saya," kata Shahrukh Khan yang turut berlakon di Melaka untuk filem One 2 Ka 4 pada tahun 2001.

Menurutnya, Melaka merupakan sebuah tempat yang cantik dan dia akan kembali untuk berlakon dan bercuti di negeri itu.

"Melaka sangat cantik dan saya akan mempromosikan negara ini dengan menjalankan penggambaran di sini dalam masa terdekat.

"Selain berlakon, saya akan kerap datang bercuti dan melawat Malaysia. Saya amat mencintai Malaysia," katanya yang mungkin merakamkan filem Happy New Year di Malaysia.


PENGGAMBARAN filem The Life Is So Beautiful memakan masa hampir sebulan di malaysia.


Banyak sebabnya mengapa Malaysia dipilih sebagai lokasi penggambaran terutama untuk produksi Bollywood. Bukan sahaja kerana pangkalan peminat yang ramai, kepelbagaian tempat pelancongan serta budaya turut menyumbang kepada faktor Malaysia menjadi pilihan utama.

Malah mungkin tidak diketahui ramai, produksi filem Pakistan sebenarnya pernah menggunakan Malaysia sebagai latarbelakang filem mereka.

Terbaru, kehadiran pengarah, penerbit dan aktres popular dari Pakistan, Reema Khan yang menjalani penggambaran filem terbarunya, The Life Is So Beautiful di Malaysia membuktikan negara kita tidak pernah berhenti menerima kunjungan produksi filem luar.

Ditemui di taman tema air, Sunway Lagoon semasa menjalankan penggambaran filemnya, Reema berkongsi pandangan mengenai keunikan Malaysia sehingga menawan hatinya sebagai lokasi utama penggambaran.

Bakal berada di Malaysia selama sebulan, Reema memilih Putrajaya, Istana Budaya, KLCC, Cameron Highlands, Sunway Lagoon, Pulau Langkawi dan sekitar kawasan Kuala Lumpur bagi menyempurnakan produknya.

"Malaysia bagi saya adalah seperti syurga di bumi. Saya sendiri telah datang ke negara ini dan memilih lokasi penggambaran. Walaupun saya pernah berlakon di pelbagai negara seperti Kanada, Amerika Syarikat, Thailand, Australia, Turki dan Filipina, saya menyukai Malaysia," kata Reema yang fasih berbahasa Inggeris.


REEMA terkejut Shah Rukh diberikan gelaran Datuk oleh Malaysia.


Merupakan filem arahan kedua Reema, ini juga kali kedua aktres kelahiran Lahore itu melakukan penggambaran di sini. Filem pertamanya, Koi Tujh Sa Kahan (Who Is Like You) menerima sambutan memberangsangkan di United Kingdom (UK) serta Pakistan semasa ditayangkan pada Ogos 2006. Apa yang menarik, poster filem itu turut memaparkan imej menara kebanggaan Malaysia sebagai penghias.

"Pertama kali saya menjejak kaki ke Malaysia adalah pada tahun 2003. Ketika itu saya datang untuk merakamkan iklan Pepsi untuk pasaran antarabangsa. Setahun kemudian, saya turut terlibat dalam iklan Pepsi dan mereka mahu menjalankan penggambaran di Thailand.

"Namun, disebabkan terlalu menyukai Malaysia, saya telah meminta mereka untuk menjalankan penggambaran di sini. Tahun 2005 pula, saya telah mencatat sejarah penting dalam hidup saya kerana telah mengambil cabaran untuk menjadi pengarah.

"Produksi pertama saya itu telah direalisasikan di Malaysia. Saya turut melawat negara ini pada tahun 2006 dan 2007 untuk iklan dan majlis anugerah Lux. Tahun lalu pula saya datang untuk menjalankan recee bagi penggambaran kali ini," jelasnya.

Melihat kepada kekerapan Reema mengunjungi Malaysia, rasanya bukan sahaja kerana keindahan Malaysia yang menarik perhatiannya. Akui Reema, dia telah menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya.

"Malaysia merupakan negara Islam dan sebagai orang Muslim, saya berasa selesa di sini. Masyarakat di sini ramah dan rendah diri. Mereka suka senyum dan itu membuatkan saya sentiasa ingin pulang ke sini untuk bercuti atau bekerja.


REEMA (kanan) memberi arahan ketika penggambaran di Sunway Lagoon.


"Ditambah dengan makanan, budaya dan keindahan yang ditawarkan, saya tidak dapat memikirkan alasan lain untuk tidak memilih Malaysia," katanya yang juga merupakan penulis kolum bagi suratkhabar Khabreen di Pakistan.

Mula menceburi dunia hiburan pada usia 14 tahun, Reema pernah berlakon dalam 185 buah filem. Namun, disebabkan sudah muak dengan watak-watak yang sama, Reema mengambil keputusan untuk mengarah pada tahun 2005.

Walaupun kerja mengarah amat sukar dan tidak mempunyai masa rehat yang mencukupi, Reema suka apabila berpeluang untuk bekerja dengan orang-orang berbakat dari luar. Contohnya kali ini, dia berganding dengan syarikat Malaysia, Gemba Trans & Tours Sdn. Bhd. serta Skylink Management.

"Saya pernah bekerjasama dengan mereka empat tahun lalu dan berpuas hati dengan hasil kerja mereka. Jadi kali ini saya memilih untuk menggunakan khidmat Malaysia termasuk pelakon baru bernama Mariam," tambahnya mengenai filem yang bercerita mengenai kehidupan dan cinta yang tidak mengenal bangsa.

Turut dibintangi Ali Saleem, Johnny Lever, Moammar Rana dan dirinya sendiri, filem dalam bahasa Urdu akan ditayangkan penghujung tahun ini di Pakistan dan Malaysia. The Life Is So Beautiful turut akan menyertai Festival Filem Islam pertama di Malaysia pada November nanti.

Melihat kerjasama ini sebagai satu usaha mengeratkan hubungan Malaysia dan Pakistan, Reema tidak menghadapi sebarang masalah dalam mendapatkan kebenaran untuk menjalankan penggambaran. "Tidak ada masalah langsung. Semasa saya menghantar borang permohonan, pihak kedutaan di Malaysia banyak membantu.

"Ditambah dengan kerjasama orang tempatan, semuanya berjalan lancar. Mereka tahu saya mahu membantu mempromosi budaya dan negara ini," ujarnya yang akan menjalankan proses pasca produksi di India dan Thailand.

Memiliki syarikat produksi M & RK Production yang berpaksi di UK dan Pakistan, Reema suka menonton drama-drama Malaysia dan berharap untuk bekerjasama dengan pelakon Malaysia. Cuma apa yang membuatkan hatinya terkilan adalah kekurangan publisiti media tempatan terhadap filem-filem Pakistan.

"Saya sebenarnya agak terkejut apabila Shahrukh Khan dianugerahkan gelaran Datuk. Dia tidak pernah menerbit atau mengarahkan filem di Malaysia. Mungkin disebabkan produksi Bollywood lebih popular. Maka, mereka diberi lebih perhatian.

"Bukannya saya berasa cemburu atau marah tetapi saya dan filem saya telah melakukan banyak benda untuk mempromosi Malaysia. Sekurang-kurangnya kami mahu dihargai dan dibantu dari segi promosi," ujarnya.

Sebab Jackie Chan suka Malaysia

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

JACKIE CHAN


SELAIN daripada tempat-tempat popular seperti Menara Berkembar Petronas dan lokasi pelancongan popular, Malaysia yang kaya dengan kawasan perkampungan, bandar kecil, pulau-pulau dan perhutanan juga menjadi pilihan produksi luar.

Satu lagi bukti yang tidak kurang hebatnya, apabila filem yang pernah dicalonkan untuk anugerah Oscar, Anna and the King (pembikinan semula The King and I) yang diterbitkan pada tahun 1999 dirakamkan hampir sepenuhnya di Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.


MICHELLE YEOH dalam filem Police Story 3.


Filem itu yang dibintangi Jodie Foster dan Chow Yun-Fat (dengan pelakon tempatan Deanna Yusof, Melissa Campbell dan Patrick Teoh) berjaya membantu mempromosikan Malaysia dari sudut pandangan berbeza.

Produksi Hong Kong, After This Our Exile (2006) yang dirakamkan sepenuhnya di Ipoh, Perak dengan menggunakan loghat Perak turut mencatatkan kejayaan besar di Hong Kong dan Taiwan.

Filem yang dilakonkan Aaron Kwok itu membolehkan dia memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada majlis berprestij Golden Horse Award 2005/6 di Taiwan.

Filem Hong Kong lain iaitu Looking for Mr. Perfect (2003) dilakonkan oleh Simon Yam dan Shu Qi turut dirakamkan hampir 100 peratus di Sabah.




Filem Summer Holiday (2000) lakonan Sammi Cheng dan Richie Ren pula meningkatkan jumlah pelancong ke Pulau Redang, Terengganu.

Seorang lagi aktor terkemuka yang suka mengunjungi Malaysia ialah Jackie Chan. Pernah berlakon bersama Datuk Michelle Yeoh dalam filem Police Story 3 yang turut dirakamkan di Kuala Lumpur, Malaysia, Jackie juga menyimpan hasrat untuk berlakon di Malaysia sekali lagi.

"Saya mungkin akan datang ke Malaysia untuk menjalankan penggambaran. Tapi saya masih sedang mencari lokasi yang berkemungkinan di Ipoh. Saya mahu menjayakan sebuah filem berkonsepkan tahun 1940-an," katanya.

Memiliki pelbagai jenis perniagaan di Malaysia termasuk pusat gim dan kedai makan, Jackie memberitahu dia menyukai makanan tempatan yang membuatkan dia sering datang berkunjung.

"Selain daripada makanan, saya juga sukakan kehijauan di sini. Saya rasa Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana mempunyai cahaya matahari dan hujan secukupnya untuk mengekalkan tumbuh-tumbuhan.




"Walaupun Malaysia merupakan negara yang didiami pelbagai bangsa, saya rasa seperti berada di Hong Kong. Orang di sini amat ramah dan tidak membuatkan saya seperti berada di negara luar.

"Semua orang boleh bercakap banyak bahasa termasuk Mandarin, Kantonis, Inggeris dan Melayu. Semua bangsa hidup secara aman dan itu amat bagus yang membuatkan saya sentiasa ingin kembali ke sini," jelas aktor berusia 55 tahun itu.


FILEM After This Our Exile menjalani penggambaran sepenuhnya di Ipoh, Perak.


Pengarah terkemuka yang pernah memenangi anugerah Oscar untuk filem Brokeback Mountain (2005) juga pernah menggunakan video arkib berlatarbelakangkan Perak dalam filem Lust, Caution (2007) yang dibintangi pelakon tersohor Hong Kong, Tony Leung dan aktres China, Tang Wei.

Mungkin judul yang tersenarai selaku filem buatan di Malaysia itu tidak mewakili kesemua produk antarabangsa yang pernah dirakamkan di negara ini namun bilangan itu cukup untuk menjadi rujukan wajah dan rupa Malaysia ke peta filem dunia.

Dari satu sudut, sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab anak tempatan mempromosi negara ke peringkat antarabangsa sebenarnya sudah terlaksana.




Terjentik satu persoalan, cukupkah Malaysia sekadar menadah 'anugerah' yang dimiliki untuk diratah orang luar. Anak tempatan, terutama pembikin filem sepatutnya tercabar oleh situasi berkenaan, jangan sekadar bervisi tetapi tidak kesampaian.

Darmen pencinta seni mridangam

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
n.jagatheswary@kosmo.com.my

Jari jemari Darmen bukan sahaja mahir mengetuk mridangam yang mengeluarkan irama merdu, malah dia mahir membaiki dan membikin semula instrumen lama yang berasal dari India Selatan itu.




'JANGAN menilai sebuah buku daripada kulitnya'. Frasa metafora berbahasa Inggeris itu pantas tercetus dalam sanubari tatkala kagum melihat bakat jejaka tinggi lampai ini.

Pada usia yang masih muda, lelaki ini mempunyai kebolehan memalu alat muzik tradisional masyarakat India iaitu mridangam ataupun genderang.

Jari jemari jejaka berusia 20 tahun itu pula bukan sahaja mahir mengetuk mridangam yang mengeluarkan irama merdu, malah dia mahir membaiki mahupun membikin semula instrumen lama yang berasal dari selatan India itu.

Darmenthiran Krisnasamy, merupakan satu-satunya figura seni muda India tempatan yang memiliki ilmu pembikinan semula genderang yang semakin dimamah usia.

Anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu berkongsi pengalaman membikin semula mridangam dan keghairahannya terhadap alat muzik tradisional tersebut. Alat itu merupakan antara instrumen utama dalam industri muzik klasik masyarakat India sejak turun temurun.


PERALATAN yang digunakan untuk membaiki semula mridangam dibeli daripada seorang pembikin mridangam di India.


Dia yang ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini sempat mendendangkan salah satu irama kegemarannya, sambil memalu mridangam dengan penuh asyik.

Lebih mesra dengan panggilan Darmen, dia memberitahu, sejarah muzik masyarakat India merupakan antara yang tertua di dunia. Evolusi muzik di India secara spontan melahirkan dua cabang iaitu hindustani dan karnatik sangget.

"Hindustani adalah cabang muzik yang lebih tertumpu di utara India manakala karnatik sangget pula di kawasan selatan India," katanya yang segak dalam persalinan kurta iaitu pakaian tradisional lelaki India yang berona kebiruan.

Menurut Darmen, Mridangam terbit daripada dua perkataan bahasa sanskrit iaitu Mrid yang membawa maksud lempung dan Ang adalah badan.

Dipercayai bahawa alat tradisional itu ditemui dalam muzik karnatik sangget sebelum kewujudan tabla iaitu sejenis gendang yang terkenal dan diguna secara meluas dalam cabang muzik klasik hindustani sejak dahulu.

"Genderang panjang yang 'bermuka' dua itu dikatakan turut mengambil tempat dalam upacara ritual dan persembahan tarian klasik masyarakat selatan India iaitu barathanatyam," kata Darmen sambil memperaga beberapa buah mrindangam miliknya kepada Kosmo!.


TALI panjang daripada kulit yang dililit di permukaan 'badan' gendang ini perlu dimasukkan semula dengan penuh teliti.


Menurut anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu, ketiadaan kepakaran membaiki semula alat itu memberi satu kerugian kerana kos membaik pulih mridangam yang rosak agak mahal.

"Itulah yang mendorong saya mempelajari selok-belok kesenian ini. Ada ramai kenalan pemain mrindangam merungut apabila bahagian tepi alat itu rosak sehingga mereka terpaksa menghantarnya ke India untuk diperbaiki dengan kos yang tinggi daripada harga asal iaitu RM800 sehingga RM1,000,"jelasnya.

Ujarnya, dia juga merujuk maklumat daripada Internet dan tunjuk ajar seorang pemain mridangam yang semakin mencipta nama di India iaitu TRS Manikandan sebelum memulakan kerja-kerja membaik pulih alat ini," ujar Darmen yang meminati seni muzik sejak berusia empat tahun atas dorongan dua orang guru, Sri Hari Chandran dan Sri Suresh Kumar yang merupakan pengasas Nandi Arts di Akademi Seni India di Puchong, Selangor.

Menurutnya, kerja-kerja membaiki semula mridangam itu dilakukan dengan bantuan rakan-rakannya. Dia akan melakukan kerja-kerja seperti melilit tali kulit, menukar kulit baru permukaan tepi mridangam dan mengecat mridangam apabila ada masa lapang.

"Walaupun, kerja membaiki semula itu nampak mudah tetapi ia mengambil masa agak lama untuk membuat balik permukaan yang rosak itu. Tali panjang daripada kulit yang dililit di permukaan 'badan' gendang itu perlu dimasukkan semula dengan penuh teliti.

"Peralatan yang digunakan untuk membaiki semula itu dibeli daripada seorang pembikin mridangam di India. Setelah memperoleh peralatan tersebut dan dengan bantuan kawan-kawan, saya akan memulakan proses membaiki bahagian tepi kanan dan kiri alat ini," jelas Darmen sambil memberitahu seseorang memerlukan tenaga yang kuat untuk melilit tali kulit supaya dapat menghasilkan irama yang merdu.




Mengulas lanjut, katanya, dalam mengatasi masalah kerosakan itu, kebanyakan pemain mridangam khususnya di luar negara seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) membuat penyelidikan sendiri dan menggunakan skru besi sebagai pengganti tali kulit.

"Penggantian alat besi itu masih dapat mengeluarkan irama merdu yang sama seperti mridangam tradisional.

"Tetapi di negara ini, belum ada lagi yang menggunakan kaedah moden itu untuk memperbaiki kerosakan mridangam. Kadangkala keadaan cuaca yang berbeza juga mengundang masalah kepada mridangam," katanya.

Menurutnya, pada masa ini, dia hanya membuat kerja itu secara sambilan sahaja. Setelah memperoleh sepenuhnya kemahiran membuat ataupun membaiki mridangam, barulah dia akan memulakan perniagaan sendiri.

Nasib lumba kuda Iraq

Kelab yang sebelum ini dikendalikan oleh pihak kerajaan dan kini dimiliki konsortium ahli perniagaan daripada puak Syiah dan Sunnah pernah ditutup selama tiga bulan secara serta-merta selepas kejatuhan regim pimpinan Saddam Hussein enam tahun lalu.


BEBERAPA orang joki serius menunggang kuda masing-masing untuk sampai ke garisan penamat.


TUJUH ekor kuda baka istimewa itu memecut laju di atas trek, meninggalkan gumpalan debu sebelum kuda yang diberi nama Rose dan ditunggang Ali melintasi garisan penamat. Kuda-kuda itu deras berlari akibat dilibas oleh joki yang memakai baju sutera berwarna putih.

Sekumpulan kecil penonton di Kelab Ekuestrian mula bersorak sebelum mereka bergerak menuju ke arah pemenang.

Sementara itu, penonton yang lain berjalan untuk mengutip wang kemenangan atau menebuk lubang senarai peserta untuk perlumbaan akan datang. Senarai itu menyenaraikan nama-nama kuda lumba seperti Lover, Cordoba dan Sharqiya.

Hanya terdapat beberapa ratus peminat lumba kuda berkumpul di satu-satunya trek lumba kuda di Iraq pada petang itu.

Trek yang terletak di bahagian barat bandar itu telah dibuka sejak lebih 80 tahun lalu.

Ia berjaya mengharungi keganasan perang, pencerobohan askar asing dan arahan penutupan oleh kumpulan penegak ajaran agama.

Sehingga kini, trek tersebut masih mampu bertahan di sebalik keganasan antara mazhab di Baghdad yang timbul akibat pencerobohan askar yang diketuai oleh Amerika Syarikat pada tahun 2003.

Namun begitu, ketika bandar utama di Iraq itu terjejas akibat konflik berdarah, selain perang saudara antara puak Syiah dan Sunnah yang memaksa penutupan kelab-kelab malam dan premis hiburan, ajaibnya trek tersebut hanya ditutup buat sementara waktu.

"Inilah satu-satunya tempat di Iraq yang anda boleh melihat perpaduan nasional," seloroh ketua keselamatan trek, Mohammed Baha.

Kelab yang sebelum ini dikendalikan oleh pihak kerajaan dan kini dimiliki konsortium ahli perniagaan daripada puak Syiah dan Sunnah pernah ditutup selama tiga bulan secara serta-merta selepas kejatuhan regim pimpinan Saddam Hussein enam tahun lalu.

Ia nyata dapat bertahan walaupun mengalami masalah kecurian dan dibakar.

"Subsidi daripada kerajaan dibatalkan serta-merta. Kelab itu, kemudiannya berdepan kebankrapan, sebelum pemilik-pemilik kuda dan pengurusnya cuba menyelamatkannya," cerita setiausaha agungnya, Taleb Abdul Hussein.

"Selepas kejatuhan regim Saddam, pemilik kuda dan ahli lembaga trek mula membiayai kelab secara persendirian. Kini, keadaan bertambah baik," kata Hussien yang telah bekerja dalam dunia perlumbaan kuda selama 40 tahun.


SEGELINTIR penduduk Iraq masih tetap berjudi dengan meramal kemenangan kuda pilihan masing-masing walaupun menyedari ia haram di sisi ajaran Islam.


Hussein sangat menghargai sokongan daripada komuniti perlumbaan demi membolehkan kelab ini terus bertahan dalam mengharung waktu-waktu sukar.

"Kerajaan sekarang mengamalkan pendekatan agama yang konservatif. Jadi, mereka tidak berminat untuk menyokong kami," kata Hussien sambil menambah, kelab itu mampu mencatat keuntungan sehingga 32 juta dinar atau AS$27,600 (RM96,600) sebulan.

"Tetapi, komuniti kami sangat kecil dan tertutup. Ia terbina daripada semangat setia kawan yang dipelihara melalui hubungan persahabatan dan menyelesaikan sendiri segala masalah yang timbul," tambahnya.

Biarpun tradisi berkuda di negara Asia Barat sudah berusia berkurun-kurun lamanya, perlumbaan kuda di Iraq hanya bermula sejak tahun 1920-an. Ia mula diperkenalkan oleh kolonial British dan begitu popular dalam kalangan orang kaya serta berpengaruh.

Saddam dikatakan sangat menyukai kuda. Seorang bekas doktor veterinar kandang kuda yang menempatkan 150 ekor kuda milik Saddam Hussein, Mohsin Abed Hussein menyifatkan pemimpin itu sebagai penjaga kuda yang terbaik dalam keluarganya.

Namun begitu, anaknya Uday tidak menunjukkan minat terhadap sukan itu walaupun dia pernah dilantik sebagai presiden kelab ekuestrian.

"Meskipun ada majlis dianjurkan, Uday tidak pernah datang sekali pun ke trek," kata Saad al-Jaburi, seorang pesara general tentera yang bertugas selaku ketua pelayan kelab.

Kekayaan kelab semakin menurun pada tahun 1995 apabila aset kerajaan Iraq mula berkurangan dan merasai kesan sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).


ALI bersama kudanya, Rose. Ali mengakui hidup sebagai joki pada hari ini sukar berbanding sebelum Iraq menerima sekatan PBB.


Zaman kegemilangan perlumbaan kuda sudah lama hilang, ujar ramai pelatih dan joki kuda.

"Perlumbaan pada tahun 1970-an sangat bagus berbanding sekarang," kata Qaduri Hamid Mohammed, 72, seorang jurulatih kuda, Rose yang ditunggang oleh Ali dan berjaya menjuarai banyak perlumbaan.

"Kualiti mereka yang hadir juga baik. Perlumbaan dijalankan dengan begitu teratur, menyebabkan ramai delegasi datang dari luar negara. Perlumbaan kuda sangat dihormati dan menjadi aktiviti golongan atasan.

"Sekarang, keadaan agak kucar-kacir. Sesiapa sahaja dengan mudahnya boleh masuk ke dalam kelab. Malah, treknya pula terdiri daripada tanah berdebu berbanding rumput hijau sebelum ini," jelasnya.

Joki yang dilatih oleh Mohammed, Firas Majeed, 32, kini memperoleh gaji sekitar 80,000 dinar (RM244.00) sebulan. Dia mengakui hidupnya sekarang sangat sukar.

"Kami pernah mendapat gaji yang tinggi, insurans, boleh membeli kereta dan rumah. Tetapi sekarang, kami tidak memiliki apa-apa," katanya. - AFP

Cerita tiga juara bina badan

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Tiga juara bina badan berkongsi pengalaman dan pandangan berhubung masa depan sukan bina badan.




SIAPA tidak kenal dengan wajah Malek Noor dan Sazali Samad? Ya, kedua-duanya cukup dikenali melalui sukan bina badan.

Adakah ini satu gaya hidup atau sekadar sukan kegemaran masing-masing?

Umpama menggadaikan diri bertahun-tahun menahan sakit pada otot yang koyak, aktiviti bina badan memerlukan kekuatan mental dan fizikal hampir berpuluh-puluh kali ganda berbanding dengan senaman di gimnasium.

"Kekuatannya tidak datang bergolek. Jika diri tidak ghairah dari segi visual dan kehidupan realiti, keserasian sukar dikecapi dalam masa yang diperuntukkan," ujar Ubaidillah @ Nasri Ab. Latif.

"Ia sememangnya satu gaya hidup. Tak kira apa orang kata tetapi hanya mereka yang mampu dan benar-benar 'gila' boleh menjadi seorang juara dalam mengejar impian," tambah Ubai mengulas komitmen dan dedikasi dalam waktu 24 jam sehari bagi seorang ahli bina badan.

24 jam? Bukankah itu terlalu obses? Mungkin tidak, memandangkan penjagaan kesihatan, pemakanan dan senaman yang dilakukan tidak hanya meliputi satu-satu tempoh masa yang tertentu dalam sehari atau seminggu. Kadar konsisten dan kelangsungan amatlah penting bagi memastikan otot yang dibina tidak mengendur atau mengecut dan menggeleber.

"Sebab itulah, saya menegaskan bahawa ia adalah satu trend kehidupan dan bukan sejenis sukan semata-matanya," jelas arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini.


DARI kiri: Ubaidillah, Rosman dan Mohd. Zaha.


Beliau yang berkecimpung dalam sukan bina badan sejak tahun 1999, perlu mengharungi pelbagai cabaran dan detik-detik getir. Cabaran pertama adalah berdepan dengan keluarga yang melarang Ubai meneruskan hasratnya.

Daripada seorang yang makan sederhana dengan berat badan 48 kilogram pada usia 20-an, ibu bapanya yang terlibat dalam bisnes pemakanan dan penjagaan kesihatan, bimbang dengan jumlah hidangan yang diambil Ubai dalam kuantiti yang besar.

Hari ini, berat badannya mencecah 103 kilogram pada hari-hari biasa tetapi dikurangkan kepada 96 kilogram sekiranya perlu menyiapkan diri untuk pertandingan.

Muncul pula cabaran kedua iaitu kesuntukan bekalan kewangan yang terhad semasa masih belum bekerja tetapi melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Walaupun Ubai dapat menggunakan peralatan senaman di gimnasium Universiti Teknologi Mara (UiTM), namun beliau terpaksa membuat kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan membeli makanan tambahan dan suplemen.

"Sekiranya musim pertandingan, saya perlu berhabis hampir RM3,000 dalam tempoh tiga hingga empat bulan bagi mempersiapkan diri dengan makanan yang bernutrisi, pengambilan vitamin dan minuman yang berkhasiat," jelasnya.

"Atlet bina badan perlu menyediakan otot yang sesuai agar ia berkembang dengan sepatutnya. Macam bina bangunan, kalau tidak ada bahan binaan, macam mana hendak mendirikan strukturnya," tambahnya.


ROSMAN menunjukkan salah satu daripada senaman yang dilakukannya.


Selain itu, Ubai berkata, atlet bina badan akan memberi tekanan demi tekanan semaksimum yang boleh pada otot yang sama agar ia membesar seperti yang dimahukan.

Kejuaraan pertama yang dicapainya adalah di Sabah dengan membawa pulang gelaran Mr. Gym Sabah pada 1999. Sejak itu, Ubai tidak pernah menoleh ke belakang, biarpun selepas mendirikan rumah tangga dengan Rohani Yusuf. Kini, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Walaupun ada segelintir pihak menggambarkan dirinya sebagai antisosial kerana kurang meluangkan masa keluar bersukaria, Ubai lebih gemar menghabiskan masa senggangnya di pusat gimnasium California Fitness di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, lima kali seminggu.

Baru-baru ini, Ubai muncul sebagai juara Mr. Kuala Lumpur 2009.


MOHD. ZAHA (kiri) dan Ubai berlatih hampir setiap hari bagi mengekalkan tahap konsisten dan keseragaman otot badan.





Bagi Mohd. Zaha Abdul Hamid, 29, pula, beliau tidak pernah terfikir untuk melatih dirinya dalam sukan lasak ini sehingga menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Atas pelawaan seorang jurulatih bina badan, Zaha mencuba nasib lalu terpikat dengan 'teman' hidup barunya.

Tahun lalu, dia berjaya meraih gelaran Mr. ATM di tempat kedua dan hujung Mei lalu, menjuarai kategori novis pertandingan bina badan Mr. Gym & Man 'O' Classic, bersempena sambutan Hari Belia Kebangsaan di Kompleks Rakan Muda, Klang, Selangor.

"Saya agak bertuah kerana di TUDM, saya dan rakan-rakan menerima sokongan dan galakan. Bajet khas juga diperuntukkan di samping menyediakan hidangan makanan yang berkhasiat," kata Zaha yang merupakan bekas pelari pecut di bangku sekolah.

Setiap hari, kecuali hari Sabtu dan Ahad, Zaha akan berlatih pada waktu pagi dan petang. Pada hujung minggu, Zaha menukar jadual senaman kepada aktiviti lain seperti berenang. Semasa on season, yang mengambil persediaan masa tiga bulan sebelum melayakkan diri ke sesebuah pertandingan, Zaha turut berlatih pada hari Sabtu dengan tambahan masa dua jam.

Mengambil Sazali Samad sebagai pendorong hidup, Zaha dan Ubai mengeluh hakikat bahawa sukan ini kurang mendapat tajaan dan publisiti daripada orang luar. Dipandang sebagai sukan kelas dua, atlet seperti dirinya jarang mendapat perhatian sekalipun memiliki bakat berkelas antarabangsa.

Lihat sahaja pada pencapaian Sazali Samad yang sudah empat kali menjuarai kejohanan Mr. Asia. Tidak ketinggalan juga juara Mr. Universe. Anda juga pasti mengenali Malek Noor yang mengukir kejayaan tersendiri.

Dalam pada itu, Rosman @ Asik Hussain Thalha, 36, pemilik kedai Enzo Kopitiam adalah antara individu yang sanggup mengeluarkan duit untuk mengadakan acara sebegini. Sejak tahun 2004, beliau memperkenalkan Anugerah Man 'O' Classic dan menyelitkan kategori novis dari tahun itu.

"Tak lama lagi, sukan ini akan 'mati' jika tidak dibantu dari segi kewangan. Kemudahan gimnasium dan peralatan sukan sudah mencukupi, cuma kemungkinan akan menerima lebih ramai muka baru adalah tipis sekiranya keadaan ini berterusan," keluh Rosman yang memenangi gelaran Mr. Kuala Lumpur pada tahun 1998.

"Di negara jiran seperti Singapura dan Brunei, kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet untuk perbelanjaan bulanan atlet bina badan profesional.

"Kita pun tidak kurang hebat. Rakan seperjuangan seperti Bujang Tahar dan Uncle Vincent, masing-masing sudah berusia 79 tahun dan 78 tahun tetapi masih aktif dan memberi tunjuk ajar kepada atlet bina badan amatur," ujarnya yang berharap dapat menganjurkan pertandingan terbuka trofi bina badan peringkat Asia pada hujung tahun ini atau awal tahun 2010.

Bagaimana pula dengan penglibatan golongan wanita? Kesemuanya kurang bersetuju. Bukan hanya kerana Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada majoriti penduduk beragama Islam yang melarang wanita terlibat dalam aktiviti sebegitu rupa, ia tidak nampak 'cantik' dari luaran dan bertentangan dengan ciptaan sifat feminin pada diri wanita.

Sajian anjing laut

Bunyinya memang aneh tetapi perkara ini memang benar berlaku di Kanada. Rata-rata penduduk di sana gemar mempelbagaikan masakan dengan sajian anjing laut.


MUSIM memburu anjing laut bermula Mac hingga hujung April setiap tahun.


ANJING laut telah diburu sebagai sumber makanan sejak berzaman-zaman lamanya di St. Lawrence, Teluk Kanada. Kembali menerima sambutan dalam kalangan pencinta kulinari eksotik, menu anjing laut kini mula mendapat perhatian di restoran mewah apabila tukang masak kota besar menghidangknnya bersama buah epal sebagai menu utama.

Masakan itu juga dijamah dengan hidangan sos coklat atau koko.

Masakan tanpa lemak dan kaya dengan zat besi dan Omega 3 itu menjadikan anjing laut dilihat sebagai sumber nutrisi yang utama dan menyihatkan.

Sejak dahulu lagi, anjing laut telah dimakan secara mentah sebagai makanan tradisi oleh masyarakat pribumi Inuit.

Anjing laut juga merupakan makanan tradisi bergenerasi lamanya oleh golongan pemburu di timur Kanada yang menyediakannya secara panggang atau sesekali disediakan dengan sos merah.

Pada masa sekarang, anjing laut dihidangkan dengan nilai asli ala carte yang menjadi kegemaran pembuat makanan.

Kebanyakannya berbahasa Perancis dan terdiri daripada penduduk daerah Quebec yang mana terdapat budaya pencinta makanan yang pelbagai.

Ramai penggemar yang amat menyukai rasanya menyifatkan makanan itu mempunyai rasa seperti daging itik atau anak lembu.

"Tekstur dan badannya sangat unik," jelas seorang tukang masak Perancis di restoran Montreal's Au Cinquieme Peche, Benoit Lengnet.

Anjing laut muncul sebagai menu di restoran itu sejak dua tahun setengah yang lalu.

Namun, pada musim memburu yang amat singkat bermula Mac hingga hujung April, anjing laut menjadi hidangan istimewa bermusim. Ia bukannya sepanjang masa tetapi hanya untuk beberapa minggu dalam setahun sahaja.

Bagaimanapun, dengan adanya pelbagai kontroversi kerana aktiviti memburu anjing laut sentiasa dikecam oleh para pencinta alam sekitar di dalam dan luar negara, ia sedikit sebanyak menjejaskan populariti menu anjing laut dalam kalangan pencinta alam.

Dalam beberapa minggu lagi, Parlimen Eropah akan mengundi untuk memboikot terus kemasukan sebarang produk yang berasaskan daging anjing laut di negara-negara Eropah.


EKSPORT daging anjing laut kekal sederhana kerana aktivis pelindungan haiwan menyifatkannya amat kejam.


Penyumbang utama kemasukan daging haiwan tersebut adalah Kanada. Negara itu mula memburu pada 15 April bertempat di pantai timur iaitu laut Newfoundland dengan anggaran hasil buruan kira-kira 338,000 ekor.

"Sudah seminggu menu anjing laut mula dijual di sini dan hampir separuh daripada permintaan menu utama di restoran ini adalah menu anjing laut," beritahu Lengnet, yang menyediakan hidangan anjing laut dengan minyak truffle.

Sementara itu, Ketua Tukang Masak dan pemilik restoran the Bistro du Bout du Monde Luc Jomphe berkata, anjing laut merupakan produk jualan tempatan yang mendapat sambutan di sini.

Beliau merupakan pelopor dalam seni memasak berasaskan anjing laut dan Jomphe memulakannya sejak lima tahun lalu di Iles-de-la-Madeleine.

Bukti kejayaannya semakin dapat dilihat dan terus meningkat.

Salah satu daripada keistimewaannya adalah sajian anjing laut yang dihidangkan seperti dada itik yang disertakan dengan sos coklat atau koko beserta sayur-sayuran.

"Ia mengejutkan tetapi amat bagus. Dagingnya terasa ringan dan tidak seperti rasa ikan," kata seorang penggemar daging anjing laut, Maude.

Namun, trend ini belum lagi mencapai tahap kebiasaan kerana jumlah restoran yang menyediakan hidangan anjing laut tidak bertambah dengan drastik.

Pengeksportan daging anjing laut kekal sederhana kerana aktivis pelindungan haiwan menyifatkannya amat kejam.

Kerajaan Kanada membalas dengan menyifatkan pemburuan yang sudah berusia 350 tahun itu penting bagi lebih 6,000 nelayan dari utara Atlantik. Malah negara itu juga bergantung kepada pemburuan anjing laut lebih 35 peratus daripada sumber pendapatan.


SAJIAN anjing laut dihidangkan seperti dada itik yang disertakan dengan sos coklat atau koko berserta sayur-sayuran.


Dalam pada itu, Vigneau berkata, dia merupakan satu-satunya individu yang membuka kedai daging di Kanada yang menyediakan daging anjing laut.

Menurutnya, kedai daging miliknya itu menyediakan segala cadangan menu termasuk kepala anjing laut diselaputi dengan epal, anggur dan oren.

Selain itu, lemak daging anjing laut dan dagingnya pula disalut dengan kacang, sosej anjing laut dan filet anjing laut.

"Ia menuju ke arah peningkatan permintaan yang berskala besar.

"Permintaan semakin meningkat dan sejak beberapa tahun yang lalu, kita telah menolak banyak permintaan," kata Vigneau. - AP

Laksanakan keadilan sosial
Konsep Satu Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk SeriNajib Tun Razak menimbulkan semangat baru kepada banyak pihak diMalaysia terutama mereka yang berada dalam arus perdana. Bagaimanapun,kita tidak dapat nafikan, ada suara keraguan dan kebimbangan sesetengahpihak kerana mereka khuatir hak mereka akan terjejas atau diabaikan.

Melayu mesti kaji Cina
Pada hari Sabtu 20 Jun, Utusan Malaysia menyiarkan paparan danperbincangan isu-isu utama akhbar-akhbar berbahasa Cina dari 8 hingga13 Jun. Dalam senario negara sekarang, amatlah wajar dan tepat sekalikita dimaklumkan kandungan dan sentimen salah satu kumpulan suratkhabar yang mewakili kaum minoriti yang signifikan dalam masa depanpolitik kita.

UMNO perlu 'dakwah' Pas untuk kestabilan
CADANGANpembentukan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, DatukSeri Abdul Hadi Awang menghangatkan politik negara sejurus selepasmenutup sidang Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati Shah Alambaru-baru ini. Banyak pihak yang berfikiran skeptikal atau sangsi dantidak kurang yang memandang positif cadangan beliau itu.

BISIK-BISIK
USTAZ Nik Aziz Nik Mat nampaknya mulai berlembut mengenai isu gagasankerajaan perpaduan UMNO-Pas. Walaupun kata-katanya masih kabur, namunia sudah dianggap positif.

Bantu elak loceng amaran cemas H1N1
JUMLAHkes Influenza A (H1N1) di seluruh negara setakat petang semalam ialahsebanyak 50. Daripada satu kes yang disahkan pada 15 Mei 2009, kininegara sedang mengharungi gelombang pandemik yang menyerang dunia sejakApril lalu.

Cerita remeh tentang bahasa
SAYAselalu membayangkan negara luar sama dengan negara kita. Maksudnyapelancong tidak menghadapi masalah untuk berkomunikasi kerana merekasemua akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai 'bahasa dunia'sebagaimana yang difahamkan oleh pemimpin-pemimpin kita. Malahdifahamkan juga bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, bahasa lain tidakada ilmu. Lebih kurang begitulah maksudnya.

Perkaya bahan Bahasa Inggeris tempatan
BAHASAInggeris atau Bahasa Malaysia. Adakah itu persoalan atau pilihan danterbaru dicadangkan menjadi satu kewajipan untuk lulus dalampeperiksaan utama.

Nama Johari 'melekat' dengan muzik orkestra
Tajuk: Memoir Johari Salleh: Tegar Meladeni Industri Muzik

Pas, penyatuan Melayu, pembantu rumah
POLEMIK kerajaan perpaduan dalam Pas terus menjadi perbualan hangat dikalangan penulis blog tempatan dengan memberikan pelbagai pandanganmenurut kemahuan masing-masing. Pada masa yang sama, isu pembantu rumahyang didera majikan turut disentuh oleh sesetengah penulis lain.






Kerajaan perpaduan ubah landskap politik negara
BARANGKALIselepas penentangan terbuka terhadap pucuk pimpinan Pas yangmenyaksikan kejatuhan Allahyarham Datuk Asri Muda sebagai Yang Dipertuadalam muktamarnya di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1982, digantikandengan kepemimpinan ulama diketuai Allahyarham Datuk Yusof Rawa, partiitu tidak pernah menghadapi krisis besar sehinggalah apa yang berlakusekarang ekoran lontaran idea penubuhan kerajaan perpaduan olehPresidennya, Datuk Seri Hadi Awang.

Memahami Obama, politik Amerika Syarikat
PELANCARANPusat Kajian Amerika (Kamera) di Institut Kajian Oksidental (Ikon),Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 11 Mei lalu adalah satukesempatan tidak terduga yang tepat dalam sejarah Amerika Syarikat yangsangat menarik ini.

Minda Pengarang: Majikan patut biaya kos pekerja asing sakit elak tertunggak
KITAterkejut mendengar laporan mengenai tunggakan bil rawatan perubatanwarga asing terutama dari Indonesia di hospital kerajaan, meningkathampir sekali ganda kepada RM12.8 juta tahun lalu, berbanding RM6.7juta pada 2000






Membawa Internet kepada anda
Memasuki tahun ke-10 pengenalan perkhidmatan Perpustakaan Internet Bergerak, ia bukan sahaja menjadi gedung ilmu


DVD doktor bedah terlampau
Masyarakat Filipina enggan menerima permohonan maaf selebriti baru yangmenjadi mangsa rakaman video ghairah pakar bedah kosmetiknya keranamenganggap ia sangat memalukan.
Membawa Internet kepada anda

Memasuki tahun ke-10 pengenalan perkhidmatan Perpustakaan Internet Bergerak, ia bukan sahaja menjadi gedung ilmu kepada kanak-kanak, bahkan orang dewasa.
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my




BERHENTI di sebuah balai raya, beberapa budak kampung mula mengerumuni sebuah bas bersaiz sederhana yang telah diubahsuai. Perkataan Perpustakaan Bergerak yang tertera pada bahagian tepi badan bas sudah jelas menggambarkan isi dalam yang dibawa kenderaan itu.

Sambil masing-masing memegang sekeping kad keahlian, bahan bacaan yang biasanya sedikit berbeza berbanding dengan apa yang disediakan di perpustakaan sekolah, menyebabkan ramai pelajar meminjam buku di perpustakaan mobil itu.

Sebaik sahaja mendapat buku pilihan, kanak-kanak ini akan turun dari bas dan pulang ke rumah masing-masing dengan hati yang girang. Ini antara memori bagi kebanyakan budak kampung atau pelajar sekitar 10 atau 20 tahun lalu bersama sebuah bas bernama Perpustakaan Bergerak.

Awal tahun 2000, apabila ledakan teknologi maklumat berlaku di seluruh dunia tidak terkecuali di negara ini, Perpustakaan Bergerak di kebanyakan negeri juga mengalami transformasi. Kerajaan negeri Melaka sebagai contoh melengkapkan Perpustakaan Bergerak Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka dengan kemudahan Internet pada 2001.




Bagaimanapun, menjadi antara Perpustakaan Bergerak paling awal melengkapkan bas mobil mereka dengan kemudahan melayari Internet adalah Perpustakaan Kuala Lumpur yang memulakannya pada tahun 2000.

Menerusi Perpustakaan Internet Bergerak atau lebih dikenali sebagai Mobile Internet Unit (MIU), gedung ilmu mobil itu menyambut ulang tahunnya yang ke-10 pada tahun ini.

Menurut Ketua Unit Komunikasi Korporat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Anwar Mohd. Zain, idea mewujudkan MIU dicetuskan oleh pihak MIMOS Berhad (Mimos) tetapi dilaksanakan oleh Perpustakaan Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Raja, Kuala Lumpur.

"Kami tidak teragak-agak bekerjasama dengan Mimos kerana usaha ini dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang celik teknologi maklumat (IT).

"Pada peringkat awal, MIU hanya menggunakan dua buah bas yang telah diubahsuai. Namun melihat sambutan yang menggalakkan daripada pihak sekolah dan kawasan komuniti, kami menambah dua buah bas yang baru," jelas Anwar yang turut memberitahu Perpustakaan Kuala Lumpur bakal mengeluarkan dua buah bas yang baru pada Julai ini dan dijangka memulakan operasi pada Mac 2010. Penambahan itu menjadikan bilangan MIU sebanyak enam unit.


KEHADIRAN MIU boleh mengelakkan remaja melepak di kafe siber. - Gambar hiasan


Memandangkan anggaran keluasan kedua-dua jenis kenderaan ini adalah 8.2 kaki (lebar) dan 31 kaki (panjang), antara enam hingga tujuh buah meja untuk komputer riba diletakkan di dalam perpustakaan mobil itu, selain kira-kira 3,000 naskhah buku. Rutinnya, perpustakaan bergerak ini beroperasi di sekitar sekolah Kuala Lumpur, mengikut saranan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan, jentera itu juga mengunjungi kawasan perumahan di sekitar Kuala Lumpur yang telah memohon untuk mendapatkan khidmatnya dari Perpustakaan Kuala Lumpur.

Mengikut jadual lokasi perkhidmatan MIU, biasanya, perpustakaan bergerak itu singgah dua minggu sekali di sekolah dan sebulan sekali di kawasan perumahan.

Ini kerana mereka menyasarkan kumpulan pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, guru-guru dan komuniti masyarakat di sesebuah kawasan perumahan.

Kelompok komuniti pula terbuka kepada kanak-kanak, remaja, ibu bapa dan warga emas yang ingin merasai pengalaman menerokai dunia IT.

Walaupun kos proses pengubahsuaian sesebuah bas mencecah RM400,000 dan dilengkapi dengan peralatan yang canggih dan terbaik, tetapi keahlian perkhidmatan ini adalah percuma.

"Setiap pengunjung diberi masa 30 minit untuk mengakses Internet. Segala bahan rujukan atau info yang diperoleh menerusi Internet boleh dicetak di mesin cetakan laser berwarna pada harga 50 sen hingga RM1 sekeping.


DALAM Perpustakaan Internet Bergerak ini, para pelajar boleh mendapatkan informasi dan bahan bacaan untuk peperiksaan.


"Bagi kanak-kanak atau individu yang tidak mengetahui kaedah mengakses Internet, jangan bimbang kerana terdapat dua kakitangan bertugas di setiap unit MIU," ujar Anwar yang mengulas mengenai staf yang akan sentiasa memantau pengguna di dalam MIU.

Kehadiran staf itu bukan sekadar menguruskan proses peminjaman buku, malah turut memerhatikan para pelajar dan pengunjung ketika melayari Internet.

Ini kerana ahli MIU dilarang melayari laman sesawang seperti permainan komputer atau laman rakan sosial (Facebook, My Space, Friendster).

Sebaik-baiknya, mereka digalakkan melayari bahan-bahan yang boleh dijadikan rujukan peperiksaan atau maklumat berguna.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perpustakaan Kuala Lumpur, Cawangan Taman Tun Dr. Ismail, Rosidah Ismail, menjelaskan, MIU banyak mendatangkan impak positif kepada masyarakat.


ANWAR MOHD. ZAIN


"Selain menyediakan perkhidmatan percuma, ia dapat menyemai minat membaca masyarakat. Lebih menarik lagi, kanak-kanak dan golongan remaja boleh mempelajari penggunaan komputer dengan cara yang betul," ujar Rosidah kepada Kosmo!.

Beliau turut menyifatkan kehadiran MIU di kawasan perumahan dapat mengelakkan pelajar cenderung memilih kafe siber yang tiada hala tujunya.

Ini terbukti apabila sejak kebelakangan ini, Rosidah mendapati jumlah keahlian Perpustakaan Internet Bergerak meningkat sebanyak 30 peratus.

"Peratusan tersebut menunjukkan rakyat tempatan sudah mula berlumba-lumba menimba ilmu menerusi teknologi maklumat dan bahan bacaan.

"Kunjungan kami selama empat jam di sekolah dan kawasan komuniti turut dimeriahkan dengan penganjuran kelas komputer. Staf kami akan mengajar ahli mengenai akses Internet dan penggunaan pengisian asas komputer seperti microsoft word, power point dan excell," tutur Rosidah yang turut memberitahu setiap MIU apabila sampai ke lokasi, enjin bas atau trak akan dimatikan.

Namun, pengunjung masih boleh terus menggunakan komputer dalam suasana sejuk kerana perpustakaan itu menerima bekalan tenaga elektrik daripada generator yang diisi dengan minyak diesel untuk tempoh tiga hari sekali.


ROSIDAH ISMAIL


Di samping itu, perkhidmatan Perpustakaan Internet Bergerak turut menyediakan kemudahan projektor dengan layar untuk tayangan, televisyen LCD, pemain DVD dan lapan buah kerusi, dua buah meja tambahan serta atap yang dipasang di luar bas bagi aktiviti membaca di luar.

"Ia sungguh cantik dan moden. Apabila saya membaca buku, anak saya, Dhanesh Wigneswaran, 9, berpeluang melayari Internet menerusi komputer riba yang terdapat di dalam perkhidmatan ini.

"Sebagai pengunjung setia perpustakaan Internet, saya amat kagum dengan kewujudan perpustakaan berkonsepkan IT yang mobil. Ini membuktikan Malaysia mampu mempraktikkan program yang turut dilakukan oleh perpustakaan di luar negara," puji Jenniffer Francis, 42, yang membawa anaknya singgah ke Perpustakaan Internet Bergerak.


RUANG dalaman bas dan trak yang kemas serta selesa.


Jenniffer ditemui ketika Perpustakaan Internet Bergerak berhenti di Pusat Komuniti Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seorang pengunjung kecil, Soh Zoe, 6, yang petah berkata-kata, memberitahu, dia bukan sahaja seronok mendapatkan buku cerita bahasa Inggeris, tetapi pada masa yang sama, berpeluang belajar komputer dan cara melayari Internet.

"Tidak sangka sebuah bas boleh diubahsuai menjadi perpustakaan. Selain membaca, saya juga boleh belajar mencari bahan menerusi Internet," ujarnya.