Pengaruh Nixon dalam Obama

Oleh Ku Seman
Ku Hussain

Di sebalik "kekalahan" kepada dua wartawan akhbar Washington Post, Carl Bernstein dan Bob Woodword yang membongkar skandal Watergate tahun 1975, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Richard Nixon seorang realis melihat hubungan negaranya dengan dunia luar.

Walaupun selepas memegang tampuk kerajaan Nixon "diwariskan" sekian banyak masalah, beliau mempunyai pandangan yang jelas mengenai kedudukan AS dalam hubungan dengan negara lain, waima musuh utama AS.

Nixon menjadi Presiden ketika rakyat terutama golongan muda bangkit membantah tindakan AS terlibat dalam perang Vietnam. Luahan suara orang muda AS ini dapat dikesani dalam banyak genre budaya popular seperti filem dan muzik. Nixon berjaya mengembalikan ketenangan apabila mendengar suara hati orang muda dan rakyat supaya AS tidak harus terlibat mencari musuh di luar negara.

Hal yang hampir sama juga berlaku semasa Bush melancarkan perang ke atas Iraq hingga memusnahkan negara tersebut. Pungutan suara memperlihatkan penentangan terhadap tindakan Bush tetapi Bush memekakkan telinga. Bush tetap mahu melangsaikan hutang bapanya kepada Saddam Hussein kerana bapanya gagal menghancurkan Iraq dalam masa "tiga hari" dalam Perang Teluk awal 90-an dulu.

Nixon mengenepikan bongkak dan ego AS dengan membentangkan dasar luar yang mendekati negara-negara yang menjadi musuh. Nixon percaya, ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Dasar luar Nixon telah menamatkan perang Vietnam walaupun memalukan AS, sanggup menemui musuh ketat seperti pemimpin komunis China, Mao Zedong untuk membina kepentingan AS pada masa depan. Wawasan Nixon tepat apabila kini China bakal menjadi kuasa ekonomi besar dan AS perlu berbaik-baik dengan China.

Dasar luar AS di tangan Nixon adalah antara yang paling jelas dalam sejarah negara itu. Nixon menjadi satu-satunya Presiden AS yang paling banyak diperkatakan, popular, dibenci sekaligus amat digeruni oleh musuh politik kerana kelicikannya. Tetapi dalam warna-warni peribadi Nixon, beliau diakui hebat dalam membentuk dasar luar ketika menerima tanggungjawab membina semula AS yang runtuh di tangan Presiden Lyndon Johnson. Sebenarnya Johnson juga melangsungkan dasar luar J.F Kennedy yang mati dibunuh pada 22 November 1963.

Dasar luar Nixon 40 tahun lalu kini dilangsungkan oleh Presiden Barack Obama, orang kulit hitam pertama yang menjadi Presiden AS selepas melangkahkan kaki ke Rumah Putih awal tahun ini. Selepas empat dekad akhirnya AS mengakui bahawa kuasa besar bukan lagi di tangan AS. Obama menjadi ular yang menyusur akar membuka lembaran rundingan dengan musuh-musuh AS; Presiden Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Venezuela, Hugo Chevez, melihat semula isu Iraq dan Rusia.

Nixonisme dalam pentadbiran Obama begitu jelas apabila satu demi satu dasar luar Obama yang dizahirkan selepas menjadi Presiden mengingatkan kita kepada Nixon seorang pemimpin gila kuasa tetapi realistik tentang masa depan AS. Maka tidak hairan kalau Obama dan Nixon berdiri sebagai realis yang meninggalkan keangkuhan AS sebelum ini.

Pilihan raya

Semasa kempen pilihan raya Presiden pada 16 Mei 1968, Nixon berkata, "Majoriti bukan kelompok kuasa tetapi kesatuan idea. Lelaki dan wanita dari semua latar belakang, semua parti mesti memberikan kesimpulan yang sama."

Obama juga berpendirian yang hampir sama dengan Nixon apabila berkata dalam kempen pilihan raya Presiden tahun lalu, "Majoriti baru bukan saja Demokrat tetapi juga Independen dan Republikan yang mencari pemimpin dan percaya bahawa kita terdesak dan mahukan sesuatu yang baru."

Kedua-dua petikan ini memperlihatkan persamaan laras prinsip kepimpinan antara Nixon dan Obama. Malah Obama dilihat melangsungkan dasar-dasar luar Nixon yang terbengkalai selepas dijatuhkan oleh akhbar Washington Post. Bayangkan selepas ruang masa 40 tahun AS tidak memanfaatkan jalan yang dirintis Nixon untuk menjalinkan hubungan dengan negara-negara yang berpotensi memberi manfaat kepada AS. Selama itu juga AS memperkecilkan Rusia dan China. AS gelojoh melancarkan demokrasi cara AS di Asia Barat. Ternyata konsep demokrasi yang diuar-uarkan oleh Bush tidak berhasil dengan kebangkitan negara seperti Iran yang mempunyai hubungan sangat akrab dengan Rusia. Rusia menjadi pembekal uranium kepada Iran yang didakwa AS bahan membuat senjata nuklear. Tetapi Iran mendakwa loji nuklear itu untuk tujuan tenaga. Maka AS terpaksa berhati-hati untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran kerana Rusia ada di belakang Iran.

Obama melihat ruang-ruang kegagalan Bush menundukkan Iran. Kerana itu dunia terkejut apabila Obama menghulurkan rundingan tanpa ugutan kepada Iran, musuh yang hampir diserang oleh Bush.

Walaupun karakter dan kehidupan peribadi Nixon sangat berbeza dengan Obama, kedua-dua mereka mempunyai pemikiran politik yang sama setidak-tidaknya melihat secara realistik himpitan terhadap AS dari luar.

Sesetengah pengkaji politik melihat kekuatan dan ketepatan dasar luar Nixon kerana beliau memiliki Henry Kissinger. Pada mulanya Kissinger menjadi penasihat keselamatan dan dinaikkan menjadi Setiausaha Negara. Kissinger banyak memainkan peranan memantapkan dasar luar Nixon terutama yang melibatkan hubungan AS dengan China dan Rusia.

Robert Dallek dalam bukunya, Nixon and Kissinger : Partner in Power antara lain menulis, "Hujah mengenai kejayaan perang Iraq, hubungan dengan China, Rusia serta ketegangan di Asia Barat antara Israel dan dunia Arab, saya percaya ia boleh dilihat dalam konteks Nixon dan Kissinger dan kuasa mereka untuk kebaikan dan sebaliknya."

Siapa pasangan Obama kalau dilihat dalam konteks Nixon dan Kissinger? Adakah Setiausaha Negara Hillary Clinton mampu dan boleh memainkan peranan seperti Kissinger 40 tahun lalu? Di sinilah kurangnya Obama kerana Hillary bukan Kissinger yang sangat pragmatik, realistik dan pintar dalam hubungan antarabangsa.

Obama realistik bahawa China akan menjadi kuasa ekonomi baru dan banyak faedah apabila AS mempunyai hubungan baik dengan China. Maka tidak hairanlah apabila dalam kempen pilihan raya Presiden tahun lalu, Obama banyak menekankan tentang pemulihan imej AS di mata dunia.

Dasar luar

Obama memperlihatkan bayangan dasar luarnya untuk tidak meneruskan dasar Bush terutama terhadap isu Iraq, Afghanistan, Iran dan mencari formula untuk berbaik-baik dengan Rusia. Selepas memasuki Rumah Putih, Obama menzahirkan dasar luarnya mendekati musuh-musuh AS sebagai bukti pendiriannya yang menolak unilateralisme era Bush.

Ketika Obama menerima "baton" daripada Bush, situasinya sama seperti Nixon yang menerima "baton" daripada Johnson. Nixon dihadiahkan dengan Perang Vietnam yang sangat kompleks oleh Johnson yang akhirnya berjaya ditamatkan walaupun AS mengalami kekalahan moral dan fizikal yang memalukan. Ini antara bukti memperlihatkan wujudnya nixonisme dalam pentadbiran Obama. Malah dasar luar Nixon itu masih relevan dalam konteks pasca perang dingin.

Obama realistik bahawa AS tidak boleh hidup dalam kesombongan yang diciptakan oleh Presiden sebelum ini. Dasar luar Bush yang mahu membuat pengstrukturan semula politik di Asia Barat dengan "menawan" Kuwait, menyerang Iraq dan merancang menyerang Iran kini telah dialih seratus peratus. Obama menambah 17,000 bala tentera di Afghanistan untuk membantu tentera Afghanistan memerangi Al Qaeda di sempadan Pakistan yang dianggap "syurga" pengganas.

Walaupun kini AS menjadi negara kuasa besar tunggal selepas keruntuhan Kesatuan Soviet dan negara-negara blok komunis dua dekad lalu, tentangan terhadap AS tetap hebat. Dasar luar Obama kelihatan sangat berhati-hati dengan kegagalan Bush selepas tragedi 11 September 2001. Bush tidak seperti Nixon, tragedi serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan cepat diselesaikan dengan menyerang Afghanistan yang dianggap "paksi kejahatan". Di sinilah bermulanya kejatuhan Bush apabila mencipta masalah baru tanpa menyelesaikan masalah yang sedia ada.

Selepas Afghanistan, Bush menyerang Iraq dengan alasan sangat mudah iaitu mempunyai loji senjata nuklear. Tetapi Bush tidak berkeras dan bertegas dengan Korea Utara yang secara terang-terangan mengaku membangunkan senjata nuklear. Serangan ke atas Iraq juga bertolak dari tragedi WTC tetapi sehingga kini tidak menguntungkan AS, di segi moral atau material.

Kejatuhan Nixon bukan kerana kegagalan dasar luar tetapi beliau seorang yang mabuk kuasa dan lupa daratan apabila di puncak kuasa. Dalam kelicikan "membunuh" musuh politik, Nixon terlupa kepada orang- orang di sekelilingnya yang belot apabila musuh menawarkan imbuhan yang lebih besar.

Misalnya bekas "orang kuat" Nixon sendiri seperti Alexander Butterfield dan John Dean. Butterfield menjual rahsia Nixon kepada beberapa buah penerbitan dan mereka menjadi kaya raya kerananya. Sementara Dean dipercayai ialah Deep Throat yang menjadi tukang bocor rahsia kabinet Nixon pada kedua-dua wartawan Washington Post hingga mengakibatkan kejatuhannya. Benarlah mata pen itu setajam pedang. Ini adalah kesilapan Nixon yang tidak pernah takut kepada ketajaman pengaruh dunia kewartawanan sehinggalah akhbar Washington Post menumbangkan beliau dengan skandal Watergate. Semoga Obama tidak melihat remeh kuasa wartawan dan media. Keberkesanan dasar luar juga memerlukan sokongan media.

Jangan seperti Nixon yang menganggap wartawan tidak lebih tukang sibuk dan pemusnah hidup dan kariernya. Kita boleh melihat kejatuhan Nixon dalam filem All The President's Men (1976) walaupun filem arahan Alan J. Pakula ini mempunyai ruang untuk berbohong terutama mengenai manusia seperti Nixon.

Nixon adalah manusia politik yang istimewa. Beliau salah seorang Presiden yang paling articulate dalam sejarah AS. Pandangan yang dialirkan menerusi The Memoirs of Richard Nixon (1990) memberikan perspektif hidupnya yang menarik. Maka tidak hairanlah kalau Obama menjadikan idealisme Nixon sebagai jurupandu politiknya.
Realiti TV Islam

RANCANGAN realiti tv sememangnya sudah menjadi fenomena di seluruh dunia. Di mana-mana masyarakat dunia kini semakin teruja dengan rancangan televisyen yang menonjolkan kisah atau pertandingan realiti yang berlaku yang membenarkan orang ramai memberi pandangan atau sokongan mereka terhadap undividu yang bertanding.

Contoh terbaik di Malaysia pastinya Akademi Fantasia (AF7) yang baru melabuhkan tirainya minggu lepas.

Lambakan program sebegini bukanlah sesuatu yang baru dan ia kini semakin menular dan mendapat perhatian ramai bersesuaian dengan kehendak semasa dan kecanggihan teknologi sekarang.

Namun bukan semua masyarakat dan negara menerima perkara ini sebagai satu keperluan dan bagi negara-negara Arab mereka masih belum dapat menerima rancangan-rancangan sebegini untuk disiarkan di negara mereka.

Namun langkah sebuah stesen televisyen satelit Mesir, 4shbab menyiarkan sebuah program realiti yang dikenali sebagai Islamic Idol yang mengikut format American Idol dilihat cuba memecah dominasi konservatif.

Stesen 4shbab yang membawa maksud "Untuk Pe muda-pemudi" adalah hasil cetusan idea seorang petugas media Mesir, Ahmed Abu Heiba yang menegaskan misinya adalah untuk menyebarkan mesej bahawa orang Islam juga boleh menjadi moden dan berhubung dengan dunia hari ini.

Selain itu rancangan ini dilancarkan bagi mencari dan mempromosi bakat baru untuk saluran video berunsur Islam yang pertama dalam dunia Arab dan semua lagu yang disampaikan berbentuk keagamaan dan nasihat.

"Sebelum ini, kita gagal menyebarkan mesej ini. Apa yang saya cuba lakukan adalah menggunakan bahasa universal muzik untuk menunjukkan rupa sebenar Islam," kata Abu Heiba semasa ditemuramah baru-ba ru ini.

Saluran baru yang dilancarkan pada Februari lepas dan dapat ditonton di negara-negara Arab adalah satu usaha untuk menarik perhatian anak muda yang mementingkan agama namun pada masa sama, berhadapan dengan pengaruh pop Barat.

Dari segi konsep persembahan mereka mengikut rentak terkini dunia hiburan seperti hip hop serta rock namun lirik yang dinyanyikan cenderung kepada keagamaan seperti mengajak manusia berpakaian menutup aurat dan kesukaran dalam menunaikan sembahyang lima waktu, membantu ibu bapa membantu ahli keluarga dalam menyiapkan kerja rumah dan sebagainya.

Terdapat antara mereka yang berpakaian ranggi seperti seorang artis dan ada antara mereka yang berpakaian tradisi masyarakat arab.

"Saya mengakui Allah sebagai Tu han, agamaNya sebagai anutanku, dan Pesuruh-Nya sebagai ikutanku," demikian antara lirik nyanyian yang didendangkan oleh salah seorang peserta.

Bagaimanapun hakikat kehidupan kebanyakan penduduk masih dibayangi kelompok majoriti yang berpegang teguh kepada ajaran Islam konservatif dan golongan wanita masih lagi dilarang mengambil bahagian dan penonton wanita dipisahkan dengan lelaki.

"Saya cuba untuk memasukkan wanita dalam program sebegini namun saya percaya masyarakat kita masih belum bersedia untuk ini.

"Perkara ini merupakan sesuatu yang sangat serius namun perkara ini tidak mustahil untuk berlaku. Ia akan mengambil masa dan fasa tertentu dan ia akan mengambil masa yang sangat panjang," kata Abu Heiba. - Hafizahril hamid
Pai Asmaradi Perdana Quay


MENJAMU selera di Perdana Quay memberikan satu pengalaman berbeza kepada pengunjung dengan suasana Itali.


BAGI yang pernah melancong ke Pulau Langkawi, yang dikenali sebagai Permata Kedah, pastinya mengenali Pekan Kuah, Padang Mat Sirat, Underwater World, makam Mahsuri dan mungkin Pantai Chenang.

Namun sebenarnya, pulau yang mempunyai 104 buah pulau dan menerima status geopark dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ini sebenarnya masih banyak lagi menyimpan lokasi kunjungan yang perlu dilawati.

Salah satu yang menarik perhatian ialah Telaga Harbour yang terletak di Pantai Kok. Bagi yang sering ke lokasi kereta kabel menuju ke Gunung Raya, pastinya mereka akan melalui Telaga Harbour.

Terletak 12 kilometer daripada Lapangan Terbang Padang Mat Sirat, Telaga Harbour dibangunkan dengan suasana Mediterranean.

Menariknya, berada di sini pasti akan membuatkan kita terlupa sejenak yang kita masih berada di bumi Malaysia selepas asyik dengan mercu tanda ala Itali.

Bukan apa, dengan keadaan kawasan yang masih menghijau dan kurang pembangunan sekeliling di samping latar depan dengan pelbagai bentuk dan saiz kapal layar sedang berlabuh, pastinya kenangan sesiapa yang pernah ke Mediterranean akan mula mengimbau kembali.

Apa pun secara dasarnya, Telaga Harbour merupakan destinasi pelabuhan untuk kapal-kapal layar persendirian berlabuh dan berehat selepas puas membelah ombak dan lautan di serata dunia.

Lebih menarik, Telaga Harbour merupakan destinasi pilihan bagi Negarawan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadikannya lokasi kunjungan setiap kali berada di Permata Kedah ini. Mungkin anda bertuah untuk berjumpa dengan bekas Perdana Menteri ke-4 itu.

Malah, kapal layar Tun Mahathir, Apanama, yang sudah didaftarkan bakal menjadikan Telaga Harbour sebagai pangkalan setelah siap kelak.

Tun Mahathir ketika mengetuai negara satu ketika dulu pernah berkata: "Saya melihat penduduk Eropah suka makan dan minum sambil melihat kereta dan orang lain lalu-lalang, mungkin kita di Malaysia patut buat begitu."

Dan pastinya, hari ini, impian itu sudah menjadi kenyataan dengan hasilnya dapat kita lihat di Telaga Harbour.

Namun umum kurang mengetahui bahawa Telaga Harbour bukan hanya sekadar pelabuhan kapal-kapal layar persendirian semata-mata. Ia sebenarnya boleh dikunjungi oleh sesiapa hanya untuk bersantai dan juga menjamu selera.

Lebih-lebih lagi di Perdana Quay (disebut perdana ki) - salah satu antara dua hartanah Telaga Harbour - terdapat jaringan restoran, kafe dan juga bistro bagi menjamu selera.

Restoran dan bistro itu bukan sekadar restoran biasa namun menghidangkan pelbagai menu makanan daripada selera Malaysia, Asia, Itali, Perancis, China, Thailand, Rusia dan juga kafe-kafe santai bagi mereka yang hanya mahu duduk sambil menghirup kopi dalam kedinginan malam sambil memerhatikan laut terbentang luas.

Selain Perdana Quay, satu lagi hartanah yang terdapat di Telaga Harbour dikenali sebagai Petronas Quay.

Selain restoran, bistro dan kafe, Perdana Quay yang merupakan lokasi utama di Telaga Harbour turut menjadi pilihan pejabat pelbagai syarikat korporat.

Selain itu, Perdana Quay yang dimiliki dan diurus oleh Tradewinds Corporation Berhad bakal melihat satu hotel butik dengan 122 bilik dibuka tahun depan.

Berbalik ke Perdana Quay, bagi mereka yang pernah ke sini, di sinilah terletaknya The Loaf, bakeri yang dimiliki Tun Dr. Mahathir berkonsepkan teknik tradisional Jepun.

Di sini, mereka pasti akan dapat merasai hasil tradisi roti dan pastri Jepun Chef Utama, Yukichi Matsubara. Malah, duduk dan bersantai di The Loaf sahaja sudah memberikan anda kedamaian sambil relaks dan menenangkan diri.

Mungkin umum melihat The Loaf hanya satu lagi bakeri biasa yang menghidangkan pelbagai menu kek, roti, pastri dan juga biskut, namun The Loaf ada tarikannya.

Antara yang menjadi tarikan di The Loaf ialah Pai Asmara yang dihasilkan oleh Chef Matsubara dan pasukannya.

Pai Asmara yang dihasilkan menggunakan ekstrak tongkat ali pastinya akan membangkitkan berahi dan selera mereka yang mencubanya buat pertama kali.

Waktu malam, Perdana Quay antara lokasi yang meriah dikunjungi oleh pelancong terutama pelancong asing. Namun tiada hiruk pikuk serta bunyi muzik kuat. Hanya alunan muzik perlahan pelbagai lagu merdu menjadi halwa telinga bagi pengunjung.

Malah berada di situ sambil menjamu selera degan rakan-rakan pastinya memberikan anda kesenangan untuk berbicara tanpa gangguan sehinggakan deruan alunan ombak perlahan yang memecah ke tebing Perdana Quay masih dapat didengari.

Bukan hanya itu, sesekali, pengunjung akan didendangkan dengan kumpulan pemuzik jalanan yang akan bergerak dari satu ke satu meja mengalunkan apa jua bentuk lagu yang dipinta. Tidak dilupa, pertunjukan teater dan juga kebudayaan selain live band pasti mengisi malam pengunjung ketika berada di situ.

Bagi yang berkesempatan di Perdana Quay, anda pasti akan terserempak dengan pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor yang kini menguruskan fasiliti bot dan pelayaran di situ.

"Pejabat saya di sini, laut, bot, jeti, semuanya di sini. Saya tidak biasa berkerja 9-5 di dalam bilik berhawa dingin, pejabat saya sehingga pukul 12 tengah malam dan sesiapa sahaja boleh datang dan berborak," kata Azhar ketika diajukan mengenai dirinya kini.

Maklumat lanjut mengenai Perdana Quay dan Telaga Harbour lawat laman web Telaga Harbour Park di www.telagaharbour.com atau hubungi 04-9591826, 03-91063000.

Akibat membiarkan LTTE berleluasa

Oleh HAFIZAHRIL HAMID


IKA di Asia Tenggara kita boleh berbangga dengan kemajuan Singapura sebagai sebuah negara pulau yang berjaya memartabatkan kedudukannya sebagai antara negara maju di dunia. Negara pulau lain seperti Hong Kong yang kini dikembalikan kepada China dan Taiwan yang masih tidak diiktiraf kewujudannya sebagai sebuah negara bebas oleh kebanyakan negara di dunia, tetapi mampu muncul sebagai antara negara yang sangat berpengaruh dari segi ekonominya.

Namun ini tidak berlaku bagi sebuah negara pulau yang bebas dan merdeka serta berpuluh kali ganda lebih besar iaitu Sri Lanka. Negara itu baru-baru ini berjaya membebaskan diri dari belenggu penguasaan Pemberontak Harimau Tamil Eelam (LTTE) setelah pemimpin tertingginya, Vellupillai Prabhakaran terbunuh dalam satu serangan pada Isnin lalu.

Bebanan inilah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Sri Lanka selama lebih 25 tahun yang membantutkan pembangunan dan menyukarkan kehidupan penduduknya. Akibat keganasan LTTE kebanyakan rakyat negara itu terpaksa hidup di dalam kemiskinan walaupun pada awal kemerdekaannya negara ini dilihat kehadapan dari segi perancangan pembangunan dan ekonominya.

Semua ini adalah akibat membiarkan keganasan LTTE berlarutan padahal kegiatan mereka ini boleh dihentikan lebih awal jika kerajaan lebih bersungguh-sungguh menangani hal ini. Ada yang menyatakan kegiatan rasuah yang berleluasa antara pegawai tinggi kerajaan dan tentera menjadi punca LTTE tidak boleh diperangi sebelum ini. Ada yang menyalahkan penyokong LTTE di seluruh dunia yang menyalurkan dana kewangan sebagai punca kegiatan mereka ini masih utuh dan berkembang.

Namun yang pasti masalah yang dicetuskan oleh pemberontak LTTE ini telah memaksa kerajaan mengeluarkan belanja sangat besar untuk memerangi kumpulan ini. Seharusnya peruntukkan yang besar kepada ketenteraan di Sri Lanka dibelanjakan untuk membangunkan negara dan memberi kesenangan hidup kepada rakyat.

Terdapat laporan bahawa satu dana telah disalurkan dari Kanada berjumlah sekurang-kurangnya AS$730,000 (RM2.55 juta) dan dari United Kingdom AS$390,000 (RM1.37 juta) setiap bulan pada tahun 1990-an.Itu hanya dana dari dua buah negara namun hakikatnya banyak lagi dana yang disalurkan dari negara-negara lain di seluruh dunia.

Memang ada asas yang jelas untuk kenyataan di atas. Jika seluruh ketumbukan tentera digunakan sepenuhnya untuk memerangi LTTE sejak 20 tahun lepas, pasti kegiatan mereka tidak akan berkembang hingga berjaya menguasai dan menubuhkan kerajaan di beberapa wilayah kawasan utara dan timur laut.

Malah tanpa bantuan dan sokongan yang diberikan oleh mereka yang bersimpati dengan perjuangan ini dari seluruh dunia, pastinya segala peralatan ketenteraan dan pembiayaan sara hidup ahli-ahlinya tidak akan dapat dipenuhi.

Sejarah LTTE sebagai sebuah pertubuhan pengganas paling kejam yang turut menarik perhatian antarabangsa sememangnya tidak boleh disangkal lagi. LTTE diasaskan oleh Prabhakaran pada 5 Mei 1976 dan serangan pertama dilakukannya sendiri apabila dia membunuh Datuk Bandar Jaffna, Alfred Duraiyappah.

Keturunan Tamil adalah minoriti di negara ini dan untuk mendapat kuasa memerintah kumpulan pemisah seperti LTTE sangat diperlukan.

Perjuangan LTTE berjaya menarik keyakinan etnik Tamil Sri Lanka dan selatan India berdasarkan perjuangan Prabhakaran menuntut keadilan daripada kerajaan Sinhala.

Perjuangan LTTE terus subur di kalangan etnik Tamil kerana dianggap sebagai “pembela masyarakat Tamil” di Sri Lanka. LTTE mendapat keyakinan besar memandangkan mereka berjaya mendesak kerajaan tunduk kepada kuasa dan kewujudan LTTE sehingga berjaya membentuk “dua kerajaan bagi wilayah tertentu”.

Kawasan utara dan timur laut ditadbir oleh LTTE sementara kawasan tengah, barat dan selatan dikawal oleh kerajaan.

Sri Lanka hanya mengambil pendekatan membendung pergerakan LTTE selepas Prabhakaran mempromosikan perjuangan bersenjata terhadap kerajaan dengan serangan ke atas Jafna, di utara pada 23 Julai 1983 dalam peristiwa yang digelar sebagai “Black July”.

India mula campur tangan pada 1987 atas desakan sebahagian rakyatnya yang keturunan Tamil, ditambah dengan kedudukan Sri Lanka yang hanya terletak 31 kilometer dari negara itu. Penghantaran bekalan makanan ke Jaffna oleh New Delhi dan pasukan pengamannya untuk membantu Sri Lanka dalam proses penyerahan senjata pemberontak, bagaimanapun gagal memujuk LTTE walaupun kebanyakan kumpulan pemberontak lain bersetuju berbuat demikian. Akhirnya pasukan pengaman India meninggalkan Sri Lanka atas permintaan Colombo pada 1990.

Nama LTTE semakin digeruni apabila serangan berani matinya berjaya membunuh Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 21 Mei 1991 di Madras. Kemudian diikuti dengan pembunuhan Presiden Sri Lanka, Ranahingse Premadasa dalam satu perarakan pada 1 Mei 1993.

Bibit perdamaian mulai muncul pada tahun 2001 ketika Ranil Wickramasinghe dilantik menjadi Perdana Menteri Sri Lanka. Tindakan pertamanya ialah mengadakan perjanjian gencatan senjata dengan LTTE yang membawa kepada keamanan sementara selama kira-kira 20 bulan.

Usaha Sri Lanka untuk berkompromi dengan LTTE bukanlah sesuatu yang baru. Malah pada awal penubuhan LTTE pada 1970-an, Colombo membenarkan pertubuhan itu bergerak bebas berdasarkan kaedah perjuangan yang tidak mengancam keselamatan negara.

Dasar berlembut kerajaan Sinhala terus dikekalkan dalam menghadapi LTTE apabila kerajaan mengadakan perjanjian damai dengan menjadikan Norway sebagai orang tengah bagi penyelesaian konflik pada Februari 2002.

Serangan

Namun tindakan LTTE yang masih melakukan serangan terhadap kerajaan termasuk ke atas pemimpin elit kerajaan seperti pembunuhan Menteri Luar, Lakshman Kadirgamar pada 12 Ogos 2005 dan serangan bom ke atas pemimpin dari luar negara seperti menyerang duta Itali, Jerman dan AS pada 27 Februari 2007 menyebabkan kerajaan mengambil pendekatan untuk menghapuskan LTTE secara menyeluruh.

Selain itu, pergolakan politik antara parti di Sri Lanka turut memusnahkan impian damai ini. Presiden Chandrika Kumaratunga, menggantung Parlimen Sri Lanka pada 4 November 2003 ketika Wickramasinghe dalam lawatan rasminya ke Amerika Syarikat (AS) dan mengerahkan tentera mengambil alih kerajaan serta meletakkannya di bawah perintah darurat.

Pendekatan yang lebih keras mula diambil terhadap LTTE apabila sekutu Kumaratunga, Mahinda Rajapakse menggantikan beliau sebagai Presiden dengan kemenangan tipis ke atas Wickramasinghe pada 2005.

Sejak dari itu, Presiden Rajapakse tidak lagi memandang ke belakang lagi dan pertempuran berat sebelah berlarutan sejak dari itu. Bermula 2 Januari lalu, Mahinda mengumumkan kejayaan tentera kerajaan menawan Kilinochchi iaitu “ibu negeri” pentadbiran LTTE selama kira-kira sedekad. Seminggu kemudian kumpulan pemberontak itu meninggalkan Jaffna untuk berlindung di hutan Mullaitivu, timur laut Colombo.

Dengan tamatnya pengaruh dan penguasaan LTTE di Sri Lanka, banyak pihak menyatakan bahawa kerajaan negara itu telah menggunakan pendekatan ketenteraan semata-mata serta menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan penduduk awam.

Hakikatnya Sri Lanka pernah menawarkan saluran diplomasi tanpa pertumpahan darah bagi menghadapi LTTE. Sri Lanka pernah menawarkan pengampunan termasuk kepada Prabhakaran pada 20 April lalu.

Namun tawaran itu ditolak oleh LTTE. Prabhakaran masih mengekalkan hasrat meneruskan perjuangan dengan anggota LTTE disemai dengan kesanggupan membunuh diri demi perjuangan.

Satu perkara menarik tentang LTTE ialah pertubuhan ini pengasas kepada serangan berani mati dengan menggantung atau melekatkan bom pada badan anggota mereka. Dilaporkan sebanyak 168 serangan telah dilancarkan sejak dari 1980-an hingga 2000 oleh kumpulan “Black Tiger”.

Selain itu LTTE pernah dikaitkan melatih anggota kumpulan pejuang Palestin di selatan Lebanon. Malah kerajaan India menemui bukti LTTE mempunyai pertalian rapat dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebelum pembunuhan Rajiv Gandhi.

Beberapa pertubuhan perisikan turut menemui bukti bahawa LTTE terlibat dalam memberi latihan kepada kumpulan Abu Sayyaf dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mempunyai kaitan rapat dengan Al-Qaeda pada tahun 1990-an.

LTTE turut mempunyai sejarah panjang penglibatan anggota kanak-kanak sebagai anggota barisan hadapan malah dilaporkan kebanyakan anggota terbaru mereka merupakan kanak-kanak yang kehilangan keluarga akibat dari kejadian tsunami pada 2004.

Namun sejarah kekejaman LTTE yang tidak boleh dilupakan ialah peristiwa pembersihan etnik membabitkan penduduk beragama Islam dan keturunan Sinhala di kawasan yang dikuasai mereka. Dilaporkan anggota LTTE bertindak kejam terhadap mereka yang enggan meninggalkan wilayah yang dikuasai mereka. Antara kekejaman yang dilakukan LTTE ialah menguasai dengan paksa 35,000 ekar tanah milik penduduk Tamil Islam di utara Sri Lanka dan kemudian menghalau mereka pada 1985.

Penduduk Islam di daerah Chavakacheri turut menerima nasib yang sama apabila anggota LTTE memasuki sebuah masjid dan mengarahkan mereka meninggalkan rumah pada Oktober 1989. Tidak lama kemudian rumah mereka telah dirompak dan dimusnahkan. Pada 3 Ogos 1990, sebuah masjid di Kattankady telah diarah tutup ketika sedang menunaikan solat Jumaat sebelum 147 dari 300 jemaah ditembak mati. Ketegangan semakin meningkat apabila LTTE menghalau kesemua penduduk Islam di Jaffna. Mereka telah diarahkan berkumpul di Stadium Osmania dan pada petangnya mereka telah dihalau dengan hanya membawa 500 rupee dan harta benda mereka telah dirampas. Secara keseluruhannya dianggarkan 75,000 penduduk Islam telah dihalau keluar dari wilayah utara yang dikuasai mereka. Malah menurut jumlah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa lebih 70,000 rakyat negara itu terkorban akibat keganasan LTTE dan kebanyakan mereka adalah penduduk keturunan Sinhala.

Pengajaran yang boleh diambil daripada apa yang berlaku di Sri Lanka ialah inilah padahnya akibat dari membiarkan satu pertubuhan haram seperti LTTE memberontak dan bertindak membelakangkan undang-undang negara untuk merampas kuasa secara ganas.

Oleh kerana kerajaan gagal membendung pergerakan ini dari awal serta terlalu berdiplomasi telah mengakibatkan LTTE bertindak sesuka hati selama 25 tahun terutama dalam melakukan kezaliman ke atas rakyat. Padah dari terlalu berdiplomasi akhirnya memakan diri sendiri.

Ini adalah satu contoh yang boleh diambil iktibar bahawa jangan sama sekali memberi ruang kepada pertubuhan haram yang melakukan tindakan seperti pihak pemberontak yang bertindak ganas dalam mencari penyelesaian.

Sri Lanka kini mungkin sudah boleh memikirkan langkah seterusnya yang perlu dilakukan dalam membawa kemakmuran dan kekayaan kepada penduduknya. Walaupun dilihat agak terlewat namun usaha memulihkan kedudukan negara dan masyarakat diSri Lanka perlu dilakukan.

Namun apa yang pasti mereka telah banyak belajar akibat dari terlalu memberi muka kepada pemberontak haram dan keperluan bertindak sebegini mungkin dilihat kejam bagi sesetengah pihak. Namun apabila mereka ini sudah mencapai tahap memijak kepala mungkin tiada sebarang jalan lain yang dilihat sesuai selain menyerang balas. Keselamatan rakyat dan kedaulatan sesebuah negara pastinya bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan dan tidak boleh dikompromi kepentingannya.
Ryan membunuh lagi kerana cemburu

SATU-SATU mangsa pembunuhan Verry Idham Henyansyah alias Ryan pembunuh bersiri yang membunuh 11 mangsa yang dikerat-kerat ialah Hery Santoso.

Di dalam buku The Untold Story of Ryan yang ditulis sendiri oleh Ryan semasa berada di dalam penjara dia menceritakan pembunuhan Hery dilakukan kerana rasa cemburu.

Pada bab 'Titik Hitam Kehancuranku', Ryan yang merupakan seorang gay menceritakan pada 11 Julai 2008 adalah masa paling bahagia sejak dia mengenali Novel Andrias yang disifatkan sebagai lelaki paling indah dalam hidupnya.

Pukul 7.15 malam seorang teman Ryan yang juga seorang gay, Hery Santoso, datang ke Apartmen Margonda Residence di Depok.

Tujuannya ketika itu adalah untuk berkenalan dengan seorang doktor bernama Viktor yang juga tinggal di apartmen yang sama.

Ketika menunggu Viktor, Ryan mengambilkan air kosong untuk Hery yang juga turut masuk ke dalam biliknya bernombor 309C.

"Awalnya aku keberatan kalau Hery ikut masuk ke dalam bilikku kerana aku bersama Novel pernah berjanji, agar tidak ada orang lain yang masuk selain kami berdua," kata Ryan di dalam bukunya.

Kemudian, Hery memegang foto Novel yang ada di atas meja di sudut ruangan.

"Boleh tidak aku kawan dengan dia?" ujar Hery. "Tolong jangan ganggu, dia kekasihku," jawab Ryan.

Wang

Bahkan Hery menyatakan sanggup membayar sejumlah wang agar dapat berkenalan dengan Novel.

Dengan nada yang marah, Ryan mengingatkan Hery agar segera diam. "Tolong sopan. Dia kekasihku," tegasnya.

Lalu Ryan menampar wajah Hery dan berlakulah perkelahian. "Tanpa disedar tangan kiriku memegang sebilah pisau dapur yang berada di meja televisyen tersebut. Spontan aku menusuk pisau dapur ke arah perut Hery," cerita Ryan.

Apabila tersedar, Ryan terhidu bau hanyir darah dan potongan tubuh manusia.

"Aku ketakutan luar biasa, banyak potongan daging di sekeliling ku, ditambah cairan berwarna merah. Bau hanyir yang luar biasa menyengat hidung ku."

Oleh kerana panik dan bingung akhirnya potongan tubuh Hery Santoso dimasukkan ke dalam beg pakaian dan beg plastik.

"Mahu dibuang ke mana potongan tubuh ini? Saat itu aku sangat lemas, panik, jijik, takut, dan bingung," kata Ryan. Akhirnya dia membuang mayat berkenaan di suatu kawasan sunyi dan kemudiannya ditemui orang yang lalu di kawasan itu yang akhirnya membawa penangkapannya serta terbongkarnya pembunuhan bersiri yang dilakukannya.
Kaca Mata: 100 hari penuh pancaroba perkuatkan iltizam Zambry

Oleh Hishamuddin Aun
hisamaun@nstp.com.my


AHLI Umno Bahagian Tanjung Malim menjulang Zambry yang kekal sebagai Menteri Besar Perak apabila Mahkamah Rayuan kelmarin, membenarkan rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Saban hari helah pembangkang terdedah untuk penilaian rakyat Perak

WUJUD semacam pertikaian lebih seminggu lalu terhadap tarikh sebenar genapnya 100 hari Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Besar Perak.

Tafsirannya haruslah berbeza-beza di antara pihak-pihak yang berlainan kepentingan, tetapi kepada tuan punya badan sendiri, ia tidak pun memberi apa-apa perbezaan.

Kepada Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar � apa saja tafsiran berbeza baik oleh Istana Perak, Dewan Undangan Negeri Perak mahupun mahkamah adalah tidak sah.

Di kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) pula, 100 hari buat Dr Zambry jatuh pada Sabtu, 16 Mei lalu andainya tarikhnya mengangkat sumpah pada 6 Februari lalu dikira sebagai hari pertamanya dalam jawatan itu.

Dalam pada itu, ada pula yang beranggapan beliau terlucut jawatan buat sehari apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, 11 Mei lalu.

Keesokannya pula, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Dr Zambry untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu. Ia bermakna Dr Zambry kekal sebagai Menteri Besar sehingga kes rayuannya diputuskan mahkamah.

"Ia tidak menjadi apa-apa beza kepada saya jika tempoh 100 hari itu genap pada 16 Mei atau 17 Mei," kata Dr Zambry semalam. "Kedua-dua hari itu berlalu tanpa sebarang acara untuk meraikannya."

"Saya tidak memerlukan 100 hari untuk penilaian dibuat ke atas saya. Dari mula lagi, saya mahukan pegawai kerajaan dan rakyat Perak menilai kerja saya dari hari pertama tanpa perlu terikat kepada tempoh khusus," katanya.

Lantaran itu, tiada pulut kuning tersaji untuk dijamu. Tiada juga majlis keraian untuk menandakan cukupnya satu tempoh singkat yang sebaliknya harus dirasakan teramat panjang.

Sebaliknya, pada ingatan Dr Zambry, hujung minggu lalu itu seperti biasa sarat dengan mesyuarat dan program bersama rakyat � berlawanan dengan dakwaan Pakatan Rakyat kononnya segala-galanya terhenti sejak beliau memegang tampuk kuasa.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak turut tidak terhindar daripada soalan berkaitan dengan pencapaiannya sepanjang tempoh berkenaan.

"Pertamanya, saya tidak berasa sudah melalui tempoh 100 hari sebagai Menteri Besar. Terlalu banyak untuk dilakukan dalam tempoh amat singkat hingga saya berasa segala-galanya baru berlaku semalam.

"Keduanya, sudah banyak yang dilakukan kerajaan BN dalam tempoh itu dan saya boleh senaraikannya satu-persatu. Pencapaian terbesar haruslah keupayaan menangani krisis di Perak yang saya sendiri dapati ada kalanya sukar difahami," katanya.

Saban hari, padanya, berlalu tanpa ada sehari pun yang tidak menonjolkan sesuatu yang baru � sama ada ia isu baru yang dibangkitkan pembangkang atau sekadar tuduhan baru yang tujuannya hanyalah untuk terus memporak-perandakan keadaan.

Benarlah jika ada tanggapan tidak ada pernah ada hari yang tidak menonjolkan Perak sebagai fokus berita � tanpa mengira ia atas sebab-sebab yang betul atau bersalahan.

"Inilah yang saya panggil tyranny of the minority � kezaliman pihak minoriti � dengan memaksakan kehendak mereka ke atas rakyat tanpa mereka mahu memikirkan apakah kesannya.

"Mereka enggan menerima hakikat mereka sudah kehilangan majoriti dan dengan membelakangkan prinsip demokrasi, kepentingan rakyat dikemudiankan daripada kepentingan peribadi mereka sendiri," kata Dr Zambry.

Beliau, bagaimanapun, tidak sekali-kali pernah mengizinkan semua halangan itu untuk menjejaskan usaha-usahanya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Perak.

"Saya tidak akan pernah membiarkan diri saya terpesong oleh segala dakyah mereka," katanya. "Saya hanya mahu meneruskan kerja-kerja saya kerana saya berasa amat bertanggungjawab untuk terus berkhidmat."

Saban hari juga, Dr Zambry berasakan dirinya dan apa yang cuba dilakukannya semakin diterima dan difahami rakyat � di sebalik gambaran berlawanan yang mahu terus ditonjolkan oleh musuh politiknya.

Dalam pada itu, ada juga teguran di kalangan rakan dan kenalan bahawa Dr Zambry terlalu banyak tersenyum di waktu krisis. Ada kalanya Menteri Besar diharapkan agar lebih menyerlahkan keseriusan.

Pandangan itu harus membuat beliau tersenyum lebih lebar.

"Saya hanya boleh menjadi diri saya sendiri tanpa terikut-ikut apa yang orang lain nak saya jadi," katanya. "Dah itu sifat sebenar saya, itu juga yang dikehendaki sesetengah orang lain.

"Saya boleh saja menunjukkan sifat saya yang bengis, tapi itu jugalah yang dimahukan pembangkang supaya mereka boleh bercerita saya ni tak mesra rakyat atau sebagai tanda saya risau dan menggelabah."

Terbaru, keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang mengesahkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah, harus melenyapkan sebarang pertikaian.

Keputusan sebulat suara tiga hakim mahkamah berkenaan antara lain merumuskan Sultan Perak membuat keputusan betul melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar selepas mendapati Mohammad Nizar kehilangan sokongan majoriti, keputusan sama ada membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dalam bidang kuasa Sultan, Mohammad Nizar mesti meletak jawatan apabila permohonannya untuk pembubaran DUN ditolak dan tiada peruntukan khusus atau mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak untuk diadakan undi sokongan majoriti di DUN Perak.

Bukan pun menghairankan jika Pakatan Rakyat enggan memperakukan keputusan itu � sudah resmi mereka apabila kalah berhujah di mahkamah, pilihan mereka adalah untuk menang berhujah di jalanan.

Sesiapa saja boleh membuat kesimpulan daripada percanggahan tindakan Mohammad Nizar yang pada satu ketika menyatakan akur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu tetapi pada ketika yang lain akan mengetuai protes berlapar selama tiga hari bermula Selasa ini.

"Mereka sudah menunjukkan belang sebenar," kata Dr Zambry. "Saya cuma ingin bertanya kepada Datuk Seri Mohammad Nizar apakah tindakan itu yang dituntut oleh agama?"

Pertikaiannya kini harus bukan lagi kepada tempoh 100 hari yang sudah dilepasi oleh Dr Zambry, tetapi berbalik kepada Mohammad Nizar yang mengizinkan dirinya untuk terus diperkudakan.

Salahkah Dr Zambry untuk terus tersenyum menanti siapakah pula yang akan dipersalahkan pembangkang selepas ini?

Soal Jawab: Kem Erdogan lawan ulama hakis dasar Pas


Prof Mad Dr A Nidzamuddin Sulaiman, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pertambahan mendadak golongan profesional galakkan parti jadi kuda tunggangan DAP

Soalan:
Menjelang pemilihan Pas, timbul perdebatan siapa yang patut dipilih sama ada calon mewakili ulama atau profesional. Pada ketika ini ramai mengatakan ahli Pas sendiri sebenarnya mahu profesional menjadi pemimpin untuk disesuaikan dengan keadaan semasa?

Ini adalah isu besar dalam Pas dan turut menjadi masalah kepada banyak parti berteraskan Islam di negara lain. Hakikat bahawa golongan ulama dicabar oleh golongan profesional atau golongan muda sudah menjadi isu lazim dalam banyak negara Muslim.

Golongan ulama sudah lama memimpin Pas dan mempunyai pelapis seperti Datuk Dr Haron Din dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk meneruskan kesinambungan. Namun, berlaku sedikit anjakan iaitu kelihatan semakin ramai profesional memegang jawatan penting seperti Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bekas Menteri Besar Perak), Datuk Kamarudin Jaffar dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Ketika Pas dipimpin Allahyarham Datuk Fadzil Noor, golongan ini dinamakan intelektual Islam dan ini menunjukkan mereka sudah lama wujud tetapi kini lebih dikenali sebagai profesional. Walaupun berlatar belakangkan kerjaya profesional seperti doktor perubatan, jurutera atau ahli akademik, jiwa Islam dan semangat mereka kepada perjuangan amat kental dan juga mahir menangani pelbagai isu agama, perjuangan parti dan isu ummah dewasa ini.

Kini, bilangan mereka semakin bertambah dan semakin berpengaruh. Saya melihat ini sebagai perkembangan sihat. Meskipun dianggap profesional, semangat dan komitmen mereka kepada perjuangan tidak boleh dipertikai.

Pengetahuan dan kemahiran mereka mengenai agama juga amat tinggi. Jika mereka diberi peluang memegang jawatan utama, Pas tidak akan berubah banyak dasarnya, malah boleh menjadi lebih progresif. Namun, tidak bermakna golongan ulama mesti dipinggirkan kerana mereka tetap penting kepada parti.

Apa yang menjadi isu ialah tidak wajar parti menetapkan hanya ulama menjadi pemimpin utama, apatah lagi sudah ada Majlis Syura dianggotai golongan ulama yang bertindak sebagai lembaga pengarah menggubal keputusan penting.

Pada zaman ini, keterbukaan (menerima golongan profesional) menjadi pilihan orang ramai. Mungkin mereka tidak akan menyuarakan isu ini secara terbuka pada muktamar parti, tetapi tuntutan pengiktirafan kepada golongan profesional tetap berkembang dan tidak boleh dielakkan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden Pas selepas Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menawarkan diri bertanding jawatan itu. Adakah keputusan ini disengajakan bagi mengelak seorang daripada dua tokoh ini daripada tenggelam?

Kedua-dua pemimpin ini tonggak utama parti dan memiliki cara tersendiri dalam kepemimpinan. Walaupun kadangkala berlaku perselisihan pendapat seperti isu muzakarah atau muqabalah, mereka saling menghormati. Sudah tentu parti tidak mahu kehilangan salah seorang daripada mereka, maka disusun seolah-olah tidak berlaku sebarang cabaran.

Nik Aziz pula tidak pernah menyatakan hasrat untuk memegang jawatan presiden atau mencabar Hadi. Kedua-dua faktor ini menjadikan keadaan lebih damai dan berupaya mengawal perpaduan dalam parti. Dalam budaya politik Melayu, cabaran kepada pemimpin tertinggi jarang sekali berlaku. Dalam parti Melayu di negara kita, tidak ada presiden parti yang pernah dicabar dan kalah termasuk Umno. Masyarakat Melayu beragama Islam memang sentiasa mengutamakan penghormatan tinggi kepada pemimpin utama.

Mereka lebih selesa dengan cara mengelak pertandingan walaupun amalan ini sebenarnya boleh mempersoalkan darjah keterbukaan dalam parti atau mudahnya, amalan demokrasi yang membenarkan pertandingan.

Adakah kepemimpinan baru Pas yang bakal dipilih mampu membawa perubahan kepada parti dengan pendekatan yang lebih banyak menggunakan pendapat golongan profesional atau kekal dengan imej dan amalan sekarang?

Kehadiran profesional akan menghasilkan pasukan bercampur antara golongan muda dan senior. Penggemblengan tenaga akan merumuskan pelbagai dasar atau keputusan yang progresif tetapi masih tidak lari daripada prinsip asas yang dipegang.

Pengaruh dan desakan golongan profesional dipercayai akan membawa Pas kepada era baru yang berbeza daripada era ulama terdahulu. Golongan muda ini lebih sederhana meskipun berpegang kepada prinsip agama. Memang kadangkala boleh melahirkan perselisihan kecenderungan atau cara pelaksanaan.

Jika tidak dapat ditangani secara berhemah, perselisihan kecil tetap boleh membawa kepada krisis lebih besar.

Adakah Prof melihat Pas mampu membentuk ikatan kuat dalam Pakatan Rakyat dan meningkatkan keyakinan rakyat terutama pengundi bukan Islam?

Pas memang dikenali sebagai parti yang bergerak atas landasan agama. Matlamatnya jelas dan tidak ada keraguan dalam hal ini.

Satu tugas besarnya ialah bagaimana bentuk pelaksanaan dalam kedudukannya bersama Pakatan Rakyat dan masyarakat Malaysia yang amat kompleks. Sepanjang ceramah dan manifesto, ia kelihatan mudah dalam usaha menarik keyakinan orang ramai, namun dalam realiti, perasaan skeptikal masih belum dapat dihapuskan terutama di kalangan bukan Islam. Ini adalah tugas utama Majlis Tertinggi Pas.

Alasan parti itu sudah mendapat sokongan pengundi bukan Melayu belum cukup meyakinkan bahawa ia sudah mendapat sepenuh keyakinan masyarakat. Dalam menghadapi perubahan gaya sokongan pengundi, perkara yang menjadi keutamaan mereka ketika ini ialah perhitungan politik, bukannya peningkatan keyakinan. Wujud andaian tanpa kerjasama DAP, tidak mungkin Pas mendapat undi bukan Islam yang tinggi seperti pada pilihan raya raya umum dan pilihan raya kecil lalu.

Dalam konteks ini, golongan profesional boleh memainkan peranan utama memastikan matlamat parti tercapai.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi, baru-baru ini mendakwa politik sogokan mula menular dalam Pas dan ia mengejutkan kerana selama ini Pas menjadikan Islam sebagai teras perjuangan serta dilihat parti yang bersih. Adakah ini membuktikan Pas juga tidak terlepas daripada gejala melobi dan menyogok perwakilan, cuma sebelum ini ia tidak dihebahkan?

Itu adalah pandangan peribadi beliau, namun ia tidak mungkin keluar (disuarakan) tanpa sebarang pemerhatian atau desas-desus yang beliau dengar. Logiknya jika tiada angin, pokok tidak akan bergoyang. Ini bermakna memang wujud berita atau khabar mengenai gejala itu dalam parti yang sampai ke pengetahuan Ketua Dewan Ulama sehingga beliau menyuarakan pandangan dan kebimbangannya.

Walaupun parti ini bergerak atas nama Islam, perlu diakui aktor (watak) yang terbabit adalah manusia biasa dan tetap memiliki sifat lazim dalam politik dan persaingan kuasa. Pegangan jawatan membawa kepada peningkatan hierarki dan suara dalam parti.

Suara ini pula tidak dapat dipisahkan daripada pemilikan kuasa. Kerana kuasa, tidak menghairankan jika ada yang bertindak secara 'machiavellian'.

Mungkin keadaan melobi dan menyogok ini tidak seteruk parti lain tetapi disebabkan Pas bergerak atas nama Islam, sekecil mana saiznya pun ia tetap dilihat amat mencemarkan.

Berbalik kepada pemilihan dalam Pas, jawatan Timbalan Presiden hanya akan dicabar dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu. Adakah kehadiran dua orang kuat ini mampu menggugat kedudukan penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa?

Kedua-dua calon ini adalah pemimpin kanan Pas yang sedang meningkat naik. Kedua-duanya juga cukup popular dalam politik tanah air apatah lagi dalam Pas.

Mohamad Sabu lebih popular di luar atau dalam erti kata mudah, setiap ceramah politiknya sentiasa berjaya menarik perhatian khalayak yang besar, malah sudah boleh dianggap sebagai selebriti Pas. Namun perlu diingat bahawa bukan orang kebanyakan yang bakal mengundi pada pemilihan Pas nanti, mungkin hanya segolongan kecil.

Husam juga tidak mudah dipinggirkan kerana beliau mempunyai pengaruh dan penyokong. Bagaimanapun, saya berpendapat kedudukan Nasharuddin masih di depan kerana beliau dikenali ramai, diberi kepercayaan dalam pelbagai tanggungjawab dan melaksanakannya dengan baik.

Beliau kelihatan kurang bermain politik dan kurang bercakap tetapi kuat bekerja dengan penuh komitmen dalam tanggungjawab. Sikap kurang politiking ini tidak melemahkan sokongan, sebaliknya meningkatkan hormat penyokong terhadapnya kerana orang ramai lebih sukakan individu yang bekerja kuat untuk parti.

Keputusan Husam dan Mohamad Sabu untuk merebut jawatan lebih tinggi membuka ruang kepada Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar untuk mengisi jawatan Naib Presiden. Adakah Prof percaya susunan calon itu juga sebenarnya membabitkan wakil kumpulan tertentu atau pakatan?

Jika dilihat sekali imbas memang kelihatan pemilihan parti kali ini seperti semuanya sudah dirancang secara berpusat, tetapi saya kira lebih banyak unsur kebetulan.

Salahuddin melepaskan jawatannya kerana faktor usia dan cuba mendaki tingkat (jawatan) setangga di atas. Mahfuz juga pernah jadi Ketua Pemuda dan sememangnya kedudukan lebih tinggi selepas itu ialah Naib Presiden.

Unsur kebetulan yang kuat memang boleh mendorong pemerhati untuk melihat ini sebagai satu perancangan yang rapi, apatah lagi dengan tidak ada persaingan.

Ia seperti sudah disusun dengan teliti supaya kelihatan seperti dua pemimpin pergi dan dua lagi menyusul sebagai ganti.

Soal Jawab: Mat Sabu tetap selesa gaya politik agresif




Mohamad Sabu

Soalan:
Setiap kali menjelang Muktamar Pas, pasti ada isu melanda parti dan kali ini mengenai pertembungan di antara kumpulan pro ulama dan profesional atau kumpulan Erdogan. Adakah memang wujud keadaan ini atau ia diada-adakan?

Bagi saya, isu itu sengaja dicipta oleh pihak tertentu. Kita dalam Pas tidak ada masalah pun sebenarnya.

Tidak timbul isu ulama akan diketepikan (jika profesional mendominasi kepemimpinan), sebaliknya pemimpin ulama memang diterima dalam Pas.

Kita ada Majlis Syura dan Jawatankuasa Eksekutif untuk bekerjasama menentukan dasar parti dilaksanakan. Macam saya, saya tidak layak berada dalam Majlis Syura kerana bukan bidang saya. Kalau dilantik pun, saya tak mahu kerana memang tidak layak.

Ada yang meramalkan kepemimpinan ulama dalam Pas mungkin terhakis kerana pengaruh profesional semakin berkembang. Bagaimana saudara menilai ramalan berkenaan dan melihat masa depan Pas dalam suasana politik di Malaysia yang kian mencabar?

Dasar Pas tetap dasar Islam dan ia memang terkandung dalam perlembagaan parti. Seperti saya sebut tadi, kita terima kepemimpinan ulama dan kita juga ada Majlis Syura untuk memastikan dasar perjuangan Islam dalam Pas tetap kita laksanakan, tidak ada masalah kalau ada gandingan pemimpin profesional dan ulama.

Kita ada Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis Syura, tetapi mungkin orang tidak begitu nampak peranan Majlis Syura.

Pengaruh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan semakin meluas dalam Pas, benarkah dakwaan itu?

Saya tidak nampak perkara ini (pengaruh Anwar semakin berkembang dalam Pas)... bagi saya, tak ada pun.

Pada pemilihan ini saudara dicalonkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas. Apakah sudah ada keputusan untuk menentang penyandang, Nasharuddin Mat Isa?

Tunggulah...saya akan umumkan pendirian dan keputusan rasmi saya nanti.

Apa yang sebenarnya mendorong saudara menawarkan diri merebut jawatan kedua tertinggi dalam parti itu?

Saya menawarkan diri kerana ingin membantu Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kerana saya percaya boleh menyumbang ke arah itu.

Saya akan membantu untuk memastikan Pas terus mendapat sokongan daripada orang Islam dan bukan Islam serta badan bukan kerajaan (NGO). Saya rasa boleh memberi sumbangan untuk membawa NGO dan bukan Islam bersama Pas.

Selama ini, saudara lebih dilihat sebagai orang di barisan hadapan Pas sehingga pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tidakkah saudara berasa seperti menjadi beban kepada Pas?

Kerja macam itu akan saya teruskan kerana saya lihat orang NGO, belia dan bukan Islam memang lebih suka cara macam itu... kena tangkap polis, berlawan dan bercakap mengenai isu yang ada kepentingan umum... mengenai rasuah, keadilan dan juga ISA kerana saya ada pengalaman dalam bidang macam ini. Kalau nak bercakap pasal agama, ia bukan bidang saya... jadi, saya kurang bercakap hal itu.

Saudara mahu teruskan cara saudara berpolitik, tetapi ditakdirkan saudara jadi Timbalan Presiden, kemudian ditahan pihak berkuasa untuk satu tempoh. Tidakkah saudara berasa ia merugikan Pas kerana tidak dapat menggunakan khidmat Timbalan Presiden?

Dalam berpolitik, kita tak boleh berfikir begitu. Kadangkala kita fikirkan A tetapi ia jadi B. Saya akan teruskan cara saya sebab kelebihan saya di situ.

Kita ambil contoh kes mata lebam Anwar Ibrahim. Kes itu menyebabkan berlaku satu kebangkitan di kalangan rakyat. Apa pun, saya akan memberikan sumbangan kepada parti mengikut apa yang saya tahu dan boleh lakukan.

Bagaimana saudara melihat peluang untuk menang jawatan Timbalan Presiden kerana penyandang jawatan itu dan seorang lagi calon juga bukan calang-calang orang?

Tak apalah... saya tak boleh komen mengenai perkara ini, tapi kalau saya bertanding (jawatan Timbalan Presiden), adalah orang akan sokong saya.
Lokasi paling berhantu

Kawasan perkuburan, rumah tinggal, tempat penyembelihan haiwan dan lokasi kejadian bunuh dikenal pasti paling tinggi dengan aktiviti hantu. Mungkinkah lokasi terbaru adalah lebuh raya berikutan kemunculan misteri hantu kebaya merah di Gurun, Kedah?




MUNGKIN ada yang tersenyum menonton iklan terbitan Proton yang memaparkan adegan puntianak ditegur ibunya kerana tidak memakai tali keledar penumpang belakang.

Akibatnya dia terhumban ke jalan raya apabila pemandu wanita kereta Proton itu terkejut sewaktu menekan brek kecemasan.

Iklan 30 saat itu cukup popular sekitar akhir 2007 kerana ia dipaparkan dalam bentuk lucu biarpun sekadar kempen kerajaan berhubung kesedaran pemakaian tali pinggang keledar.

Ironi, ramai pasti seram sejuk jika paparan sedemikian adalah realiti dalam kehidupan sebenar.

Namun ada juga yang pesimis kononnya hantu tidak wujud dan sekadar mainan perasaan semata-mata. Malah berdasarkan rekod saintifik, belum pernah ada manusia mati akibat dibunuh oleh hantu.

Terbaru, kawasan Gurun di Kedah mendapat perhatian ramai ekoran pendedahan beberapa pihak yang mendakwa melihat hantu hingga mereka terlibat dalam kemalangan.

Anehnya, lembaga eksentrik itu dikenali berdasarkan jenis pakaiannya - baju kebaya merah.

Kisahnya bertambah menarik apabila 'wanita kebaya merah' itu dipercayai roh jelmaan mangsa kemalangan maut yang tidak tenteram.

Kawasan lebuh raya makhluk itu berlegar kebetulan pernah mencatatkan banyak nahas ngeri suatu ketika dulu.

"Hakikatnya sejak dulu lagi manusia mudah takut kepada hantu akibat pengaruh filem cereka yang sebetulnya tidak berasaskan logik," jelas Ketua Penyelidik Kumpulan Pengkaji Paranormal terkenal tempatan atau PSI, Syed Abdullah Hussien Alattas.

Popular dengan gelaran Uncle Seekers, beliau mendedahkan Malaysia kemungkinan besar ialah negara yang paling banyak memiliki hantu.

Lebih menarik, perkara itu disahkan pula ramai pengkaji Barat berdasarkan kepada buku tulisan mereka sejak tahun 1896 hingga 1960-an.

Peliknya dalam tempoh kurang 100 tahun itu, ribuan buku penulis asing bercakap mengenai hantu di Malaysia mendedahkan negara kita 'mewah' dengan lebih 700 jenis hantu. Itu setakat jumlah yang baru sahaja dikenal pasti dan didaftarkan di dalam katalog.

"Angka sebenar mungkin banyak lagi tetapi mujur Malaysia selepas dibentuk pada 1963, menyaksikan semakin kurang penulisan ilmiah berkaitan hantu.




"Jika tidak tentu jumlah hantu negara kita sudah mencecah lebih 1,000 jenis," terang beliau dalam nada berseloroh.

Mengulas mengenai kepercayaan kepada hantu, masyarakat Orang Asli dikenal pasti paling tinggi memiliki jumlah hantu.

Ini berkait rapat dengan faktor kehidupan mereka yang banyak bergantung kepada alam sekeliling kerana mereka tinggal di dalam hutan.

Manakala kaum Melayu, ujar Syed Abdullah, tidak ketinggalan mempercayai sejumlah besar hantu, menjadikan mereka sebagai bangsa bertamadun moden yang 'meriah' dengan pelbagai makhluk halus.

Setakat ini, bilangan hantu dalam masyarakat Melayu dianggarkan ada 300 jenis.

Ini berdasarkan kajian beliau selama 19 tahun sejak 1989 dengan sokongan 17 penyelidik tetap dan 26 lagi separuh masa yang membentuk kumpulan PSI.

Mereka turut mendapat bantuan daripada sembilan bomoh dan 85 sukarelawan yang menjelajah ke seluruh negara.

Tidak hairanlah tema hantu juga menjadi pilihan pembikin filem genre seram bermula dengan Pontianak pada 1957 membawa kepada 33 filem. Antaranya Sumpah Orang Minyak (1958), Badang (1962), Si Tora Harimau Jadian (1964), Puaka (1974) dan Toyol (1981).

Namun, hantu biarpun sering dikaitkan dengan orang mati tetapi berdasarkan tinjauan Uncle sendiri ke atas bilik mayat Hospital Kuala Lumpur mendapati para petugasnya langsung tidak bimbang diganggu oleh makhluk halus itu walaupun bekerja keseorangan pada lewat malam.

Jurnal yang sempat menemu bual beberapa pekerja mortuari awam di sebilangan hospital kerajaan turut terkejut melihat mereka bertugas seperti biasa. Bagi individu terbabit, tiada apa yang perlu ditakutkan apatah lagi momokan hantu.


WANITA berkebaya merah (dalam bulatan) yang dirakam pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gurun, Kedah.


"Mengarutlah, mana mungkin orang mati boleh hidup!" Itu jawapan standard mereka.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, ada juga yang mengamalkan petua tertentu seperti membaca ayat Kursi selain tidak takbur dan yang penting, jangan panik!

"Mungkin sudah biasa bertugas di situ namun pemerhatian pasukan saya menunjukkan tiada aktiviti paranormal di sekitar bilik mayat atau kejadian aneh meskipun dipenuhi dengan ribuan mayat termasuk yang mati dibunuh, lemas atau terbakar," terang beliau lagi.

Bagaimanapun, pada umumnya kawasan perkuburan dan jirat Cina merupakan tempat paling banyak aktiviti hantu dicatatkan diikuti rumah tinggal atau bangunan terbiar lama, tempat penyembelihan haiwan ternakan, lokasi kejadian bunuh dan langgar lari mati.

Bercakap mengenai makhluk halus, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelaskan bahawa umat Islam perlu mempercayai kewujudan hantu sebagai ciptaan Allah berpandukan kepada pelbagai dalil al-Quran dan hadis Nabi.


ORANG Asli memiliki paling banyak hantu - UNCLE SEEKERS.


"Namun Islam sebagai agama yang lengkap berasaskan sumber kitab Allah dan sunah Rasulullah mendidik umatnya menitikberatkan soal ilmu.

"Ini bermakna kita perlu melakukan banyak kajian tertentu berhubung kehadiran hantu di alam dunia," katanya.

Justeru beliau merujuk usaha pihak tertentu menggunakan teknologi canggih untuk mengesan makhluk halus yang boleh dianggap sebagai pendekatan sesuai bagi mendedahkan masyarakat dengan kewujudan hantu secara ilmiah selain memperbetulkan salah tanggapan umum selama ini.

Perompak ala MacGyver


ROMPAKAN van sekuriti selalunya melibatkan jumlah wang yang banyak.


NILAI rompakan dalam beberapa minit melibatkan wang jutaan ringgit. Pelakunya pula beraksi seperti dalam filem.

Van sekuriti yang dikawal ketat tiba-tiba bergerak sendiri, sistem keselamatan kenderaan itu dimanipulasi hingga mengelirukan pihak berkuasa dan tiada sebarang kesan cap jari ditinggalkan kerana penjenayah memakai pita pelekat pada jari masing-masing.

Begitulah liciknya 'perompak-perompak jutawan itu'.

Selasa lalu, tiga penjenayah berjaya melarikan sebuah van sekuriti bersama lapan karung berisi wang RM8.24 juta di Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur.

Drama bermula apabila mereka yang bersenjatakan dua pucuk pistol merampas van tersebut daripada dua pengawal keselamatan yang menunggu di dalam van yang sedang mengutip wang di sebuah syarikat telekomunikasi.

Ketiga-tiga penjenayah terbabit amat licik hingga dapat mengelirukan pihak polis yang menyangka tiada wang dapat diambil daripada van tersebut yang ditinggalkan 200 meter dari lokasi kejadian.

Beg kosong sengaja ditinggalkan bagi menunjukkan seolah-olah penjenayah terbabit panik dan kesuntukan masa untuk melarikan wang tunai selepas enjin kenderaan itu mati tiba-tiba.


KAMAL AFFENDI


Sistem immobiliser yang digunakan pada van terbabit telah dimanipulasi hinggakan polis lebih menumpukan usaha membuka pintu yang ditutup secara automatik jika berlaku sesuatu di luar jangkaan, termasuk rompakan.

Kehilangan itu disedari hanya selepas kiraan semula dilakukan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan setakat ini hanya empat kakitangan syarikat keselamatan berusia 30 hingga 40-an yang ditahan.

Pihak polis juga cuba mencari bukti yang dapat mengaitkan rompakan itu dengan dua geng penjenayah terkenal iaitu Geng Mamak atau Geng Deva.

Mengikut rekod, terdapat tujuh kes rompakan van sekuriti sejak tahun 2006. Nilai terkecil yang dirompak ialah RM300,000 dan paling besar pula RM8.24 juta.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berpendapat rompakan melibatkan van sekuriti memerlukan perancangan yang teliti oleh penjenayah.

"Ia melibatkan modus operandi yang besar. Jadi perancangannya bukan mengambil masa sehari dua tetapi mungkin sudah bertahun lamanya.

"Mereka mengkaji pergerakan van itu, situasi dan operasi yang dilakukan pengawal keselamatan sebelum melakukan rompakan.

"Tindakan itu memang berisiko tetapi lebih besar risiko hasilnya lebih tinggi," katanya.

Kamal Affendi mendakwa penglibatan orang dalam mungkin memudahkan rompakan.

"Saya rasa faktor sogokan wang boleh jadi terlibat. Ini kerana orang luar tidak mengetahui prosedur dan kawalan yang dilakukan pihak syarikat keselamatan.

"Sistem itu mereka sahaja yang tahu dari segenap segi termasuk aspek keselamatan. Namun penjenayah kini sebenarnya licik dan kreatif seperti watak utama siri drama MacGyver.

"Syarikat keselamatan itu harus lebih berhati-hati pada masa akan datang untuk memastikan ia tidak berulang. Namun saya yakin kerjasama pihak syarikat dan pihak polis dapat menyelesaikan kes ini sebaiknya," ujarnya.

Van tak ikut garis panduan

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Shaheen Mirza Habib mengakui ada segelintir ahlinya tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan, termasuk menggunakan van yang tidak memenuhi standard prosedur operasi (SOP).

"Van keselamatan perlu kalis peluru dan dilengkapi tiga bahagian, iaitu tempat pemandu, pengawal dan simpanan wang," ujarnya.

Katanya lagi, segelintir syarikat keselamatan hanya menggunakan van biasa yang diubahsuai secara ala kadar bagi menjimatkan kos.

"Harga sebuah van keselamatan yang lengkap boleh mencecah RM200,000, tetapi demi menjimatkan kos perbelanjaan mereka hanya menggunakan van yang harganya tidak sampai RM100,000," katanya lagi.

Beliau memberitahu, sesetengah syarikat juga menawarkan perkhidmatan pada harga serendah RM40 bagi setiap 10 kilometer perjalanan pemindahan wang, sedangkan garis panduan yang ditetapkan persatuan mengesyorkan caj RM110.

Aminah jadi posmen anak




"SAYA jenis ibu yang cemburukan anak-anak. Ke mana mereka pergi, saya harus tahu, dengan siapa mereka berkawan, apa yang mereka buat, saya juga perlu tahu. Pendek kata, semuanya kena diberitahu.

"Cara ini bukan untuk mengongkong kebebasan mereka, tetapi untuk didik mereka supaya tidak membelakangkan ibu bapa dalam apa jua perkara.

"Mereka masih bebas memilih dan membuat keputusan tetapi perlu berbincang dahulu dengan orang tua," ujar pemilik raut wajah manis, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, 54.

Menurut ibu kepada tiga orang anak ini, proses membesarkan anak-anak bukan satu perkara yang mudah.

Katanya, tanggungjawab tersebut tidak hanya tertumpu kepada penyediaan tempat tinggal, makan minum dan persekolahan malah menuntut pengisian rohani dan emosi yang bakal membentuk sahsiah anak-anak.

"Jika sejak kecil ibu bapa lepas tangan, tidak mustahil timbul pelbagai masalah pada kemudian hari.

"Kurangnya komunikasi antara anak dan ibu bapa boleh mencipta jurang yang sangat dalam seterusnya memberi impak kepada hubungan tersebut untuk jangka masa panjang.

"Keadaan ini jika dibiar berlarutan boleh menyebabkan ibu bapa hanya mengenal wajah anak mereka tetapi tidak dapat mengenali karakter sebenar anak mereka, bagaimana anak mereka berfikir, apa yang anak mereka perlukan dan sebagainya," ulasnya.

Aminah yang ditemui Jurnal semasa melancarkan Kempen Kenali Anak Kita turut menggesa ibu bapa supaya mewujudkan suasana saling mengambil berat di samping meluangkan masa untuk 'melabur' demi anak-anak.

"Melabur bukan hanya soal wang, tetapi juga menanamkan akhlak, ilmu, kemahiran dan cara hidup yang sihat.

"Ramai beranggapan anak-anak hanya boleh dilentur dan didik ketika mereka masih kecil.

"Ada juga anggap tugas membesarkan anak itu selesai selepas anak-anak tamat sekolah dan bekerja, namun itu juga salah kerana tanggungjawab antara anak dan ibu bapa tidak pernah berakhir.

Kecut perut kerlingan bapa

Dibesarkan dalam keluarga yang besar, Aminah memberitahu sewaktu kecilnya boleh dikatakan beliau cukup takut dengan bapanya.

Menyifatkan bapanya sebagai seorang pemimpin autokratik, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk memahami gerak dan bahasa tubuh bapanya itu.

Adakalanya, terlihat sahaja kerlingan si bapa, ia sudah cukup untuk mengecutkan perutnya.

"Zaman kanak-kanak saya sering dibayangi dengan ketegasan bapa dan rejim disiplinnya. Memang ada banyak peraturan dan undang-undang. Namun, di sebalik ketegasan itu, bapa juga seorang yang pemurah dengan kasih sayang.

"Ada masanya, apabila dia marah, rasa macam nak gugur jantung dibuatnya, tapi ada masanya juga kami bergurau senda dan berbual mesra.

"Pendekatan yang bapa gunakan banyak mengajar kami 10 beradik tentang erti disiplin, tanggungjawab dan bekerjasama. Mengutip pengalaman daripada bapa, saya praktikannya pula ketika membesarkan anak-anak," katanya.

Memiliki tiga permata hati, Dr. Adila Murni, 29, Amirul Hijaz, 25 dan Aiman Hafiz, 18, Aminah dan suami, Ahmad Ridzwan Mohd. Salleh, 59, mengamalkan ketegasan dan keterbukaan dalam mendidik anak-anak.

"Suami saya merupakan bekas pegawai tentera udara, jadi beliau lebih tegas dalam mendidik anak. Namun, walaupun garang, anak-anak masih berpeluang untuk berkomunikasi dengannya.

"Saya pula lebih lembut dan terbuka sebab itu anak-anak sering jadikan saya posmen kalau nak bercakap dengan bapa mereka," ujarnya.

Menceritakan pengalaman membesarkan anak, Aminah memberitahu dia bertuah kerana selepas tiga tahun berkahwin, dia diterima bekerja di Bahagian Pembangunan Keluarga LPPKN. Secara tidak langsung, beliau banyak belajar di situ.

"Selain belajar sendiri, sokongan dari keluarga terutama suami dan kakak banyak membantu saya. Memandangkan saya anak kesembilan daripada 10 beradik, banyak petua yang saya cedok daripada mereka.

"Saya juga tidak malu untuk bertanya kepada ibu-ibu dan rakan-rakan supaya dapat bertukar-tukar pandangan dalam mendidik dan mengasuh anak.

"Suami pula amat memahami tanggungjawab saya sebagai ibu bekerjaya. Dia banyak menampung kekurangan saya dalam memastikan anak-anak mendapat didikan sempurna," katanya.

Zahra si penakluk selat


PERAIRAN Lumut, Perak, menjadi lokasi Zahra Masoumah berlatih.


SIAPA sangka di sebalik senyuman manis yang terukir pada wajah gadis berusia 18 tahun ini, tersimpan satu iltizam menggunung yang hanya mampu dikecapi dengan seribu satu keberanian dan kecekalan.

Bagi Zahra Masoumah Abdul Halim, misi berenang merentasi Selat Inggeris yang dijadualkan awal Julai ini merupakan langkah pertamanya sebelum menyahut cabaran renangan jarak jauh yang lebih mencabar.

Katanya, peluang mengekori kejayaan dua rakyat Malaysia yang sebelum ini berjaya mengharungi badai ombak selat sejauh 34 hingga 37 kilometer (km) itu adalah sesuatu yang sangat bermakna lebih-lebih lagi bagi perenang remaja sepertinya.

"Kejayaan Datuk Abdul Malik Maidin dan Lennard Lee merentasi Selat Inggeris sememangnya mengagumkan namun apa yang bakal saya lakukan pada 3 hingga 6 Julai nanti, bukanlah untuk menyaingi mereka.

"Sekiranya berjaya menamatkan cabaran merentasi selat itu dari Dover, selatan United Kingdom ke Calais, utara Perancis, saya berhasrat menakluk empat lagi selat berlainan benua dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang," katanya.




Sebelum ini pada Ogos 2003, Abdul Malik berjaya berenang merentasi Selat Inggeris dengan catatan masa 17 jam 35 minit. Manakala setahun selepas itu, Lee, seorang pelajar jurusan perubatan di Universiti Cambridge, berjaya melakukannya dalam masa 9 jam 45 minit.

Tidak pernah bersua muka dengan dua perenang terbabit, Zahra Masoumah bagaimanapun mengakui sangat menghormati Abdul Malik dan Lee.

"Catatan masa mereka sangat hebat dan dalam mengharungi misi ini, soal masa bukanlah keutamaan. Paling penting, saya mampu melaksanakannya tanpa gagal," katanya.

Zahra Masoumah dijangka akan dipertemukan dengan Lee di United Kingdom yang difahamkan turut membantu persiapan misi berkenaan di sana.

Sekiranya beliau berjaya dalam misinya itu, Zahra Masoumah bakal melakarkan sejarah tersendiri sebagai perenang wanita Islam di dunia yang berjaya melepasi selat itu.

Bakal berlepas ke United Kingdom pada 27 Mei ini bersama adik lelakinya, Salman Ali Shariati, 11, diiringi jurulatih peribadi, Arof Osman, Zahra Masoumah optimis latihan intensif yang diharunginya khususnya di perairan Lumut dan Selat Dinding sejak setahun lalu mampu membantunya menjayakan misi tersebut.

"Saya akan berada di sana lebih sebulan bagi membiasakan diri dengan keadaan suhu air laut yang sejuk.

"Walaupun jarak renangan Selat Inggeris adalah lebih pendek daripada renangan yang pernah saya lakukan sebelum ini, cabaran besarnya adalah cuaca sejuk sehingga 15 darjah Celsius selain arus air laut yang kuat," katanya.

Jelasnya, setiap perenang Selat Inggeris perlu melepasi syarat kelayakan iaitu mampu berada dalam air sekurang-kurangnya enam jam tanpa henti.

Penyerang Wah Yah kebal

Metamfetamin, sejenis dadah narkotik, boleh memberi kerosakan kekal pada otak. Disebabkan itu, tidak mustahil ia membuatkan penjenayah berasa kebal.


DALAM sekelip mata keluarga Jafri kehilangan dua insan tersayang dalam insiden rompak dan bunuh pada petang Rabu lalu.


“ABANG, perompak masuk rumah!” mungkin itulah kata-kata terakhir pemilik salon, Wah Yah Mat Zi, 42, yang didengari suaminya, Jafri Tajul Aripin, 47, pada petang Rabu lalu.

Mendengar isteri menjerit di hujung talian telefon sebelum terputus, bapa kepada empat orang anak itu bergegas pulang ke rumah.

Runsingnya memikirkan keselamatan isteri dan anak di rumah.

Namun, kepulangannya cukup menghampakan. Biarpun sempat melihat kelibat perompak berlari keluar, ketibaan pekerja bank itu ke rumah teres satu tingkat di Taman Pinji Seni, Ipoh, Perak itu ternyata sudah terlambat.

Betapa luluhnya hati melihat tubuh si isteri terbujur kaku di ruang tamu. Berlumuran darah dan tidak bernyawa. Di sisinya pula tubuh pembantu rumah dalam keadaan yang sama.

Rasa perit menatap tubuh kecil anak bongsunya yang baru berumur lima tahun dengan kesan tikaman dan tetakan hanya Tuhan yang tahu.


WAH YAH


Siapa dapat menjangka perompak berusia 26 tahun dan bertubuh sederhana itu tergamak membunuh sehingga tiga nyawa sekali gus? Selain Wah Yah, turut terbunuh ialah anak beliau yang berusia lima tahun, Ermin Denish dan pembantu rumah warga Indonesia, Dani Miasih, 21.

Bukan dengan satu tikaman, tetapi beberapa tikaman dan tetakan!

Jafri, memberitahu dia sempat menetak perompak itu menggunakan sebilah parang pada beberapa bahagian tubuhnya.

Peliknya, perompak berkenaan tidak menunjukkan rasa sakit langsung, jauh sekali mengaduh kesakitan. Dia seperti kebal daripada kesakitan.

Suspek yang cuba melarikan sebuah komputer riba itu bagaimanapun berjaya ditahan. Namun, yang pasti, tiada nyawa dapat dikembalikan.

Wah Yah meninggalkan tiga lagi anak iaitu Mohd. Aizat Adreen, 17, Nur Safura, 13, Nur Afini, 10.

Memiliki tiga rekod mencuri sebelum ini, suspek disyaki berada di bawah pengaruh dadah semasa melakukan rompakan yang bertukar menjadi pembunuhan kejam itu.

“Jika benar individu yang membunuh Wah Yah Mat Zi, Ermin Denish, dan Dani Miasih, merupakan seorang penagih dadah, maka tindakan agresifnya yang mengakibatkan kematian itu besar kemungkinan berlaku berikutan kesan gian atau tarikan daripada dadah jenis narkotik (opiat).

“Tetapi untuk 10 tahun terkini, dadah yang lebih hampir ialah metamfetamin atau meth yang lebih dikenali sebagai ice atau syabu dan beberapa nama lain.

“Sejak akhir-akhir ini dadah jenis ini memang banyak mendatangkan masalah kepada penggunanya,” ujar ahli terapi ketagihan dan ahli terapi psikologi Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Chris Sekar, 55, sekali gus menjelaskan perlakuan penagih dadah yang semakin hari semakin ganas.

Selain menyumbang kepada tingkah laku agresif, dadah jenis metamfetamin itu juga boleh menyebabkan keresahan, melonjakkan keghairahan seksual, lebih bertenaga, psikosis iaitu halusinasi, teruja, tingkah laku yang obses dan sangat berani sehingga sanggup untuk merompak atau membunuh.

Penagih tiada niat membunuh

Lebih teruk, pengambilan dadah jenis itu boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak.

Malah, kata Chris, ketika melakukan jenayah, minda penagih dadah berada dalam keadaan terdesak, sangat resah, hanya memikirkan satu perkara pada satu masa dan hanya memikirkan duit untuk membeli bekalan dadah yang seterusnya.

“Tetapi saya pasti mereka tidak berniat untuk membunuh langsung. Dalam kebanyakan kes jenayah, penagih tidak mempunyai sasaran khusus untuk menyerang mana-mana mangsa.

“Selalunya, wanita yang memiliki beg tangan atau mereka yang berada di luar bank akan menjadi sasaran mudah,” kata Chris, bekas penagih tegar yang sudah bebas daripada kesan ketagihan sejak 30 tahun yang lalu itu.

Apabila berada dalam keadaan di hujung tanduk dengan penagih dadah, Chris menasihatkan agar mangsa memilih untuk menyelamatkan nyawa daripada menghalang penagih dadah mendapatkan barangan yang mereka ingini.

“Dengan keadaan minda mereka yang sebegitu, langkah terbaik ialah untuk menyerahkan saja harta milik kita,” pesannya yang menambah kos dadah jenis meth ialah antara RM30 hingga RM50 per dos.

Bagaimanapun, Chris menegaskan, bukan semua jenis dadah boleh menyebabkan penagih menjadi ganas mahupun ketagihan.

Perkara pertama yang perlu diketahui ialah jenis dadah yang diambil. Ada dadah yang tidak menyebabkan ketagihan, ada yang tidak menyebabkan penagih menjadi agresif.

Pakar Runding Perubatan Ketagihan, Pusat Rawatan Pakar, Dr. Mahmud Mazlan, pula berkata kesan ketagihan metamfetamin berbeza berbanding heroin.

“Penagih heroin hanya sanggup melakukan jenayah apabila memerlukan wang untuk membeli dadah.

“Jenayah yang dilakukan hanyalah kecil-kecilan,” katanya yang menambah penagih heroin hanya bertindak agresif apabila mengalami tarikan yang teruk. – FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Suami jual tubuh isteri

Murni pernah menjadi pelacur, mengedar dan menagih dadah, ahli kumpulan kongsi gelap dan orang tengah membawa PATI ke negara ini sehingga dia digelar mayat tidak berguna.




BENTUK badan Murni masih menarik walaupun sudah berumur 51 tahun. Namun penghuni pusat pemulihan masalah sosial, Rumah Sinar Salam di Chow Kit, Kuala Lumpur ini belum dapat melupakan kenangan zaman gelapnya dahulu yang penuh dengan dosa dan noda.

Dia pernah menjadi pelacur, penagih dan pengedar dadah malah ahli kumpulan kongsi gelap. Dia juga menjadi orang tengah membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini dengan bayaran RM5,000 untuk setiap PATI.

Kedegilan sejak kecil menjadi punca dia terjebak dengan semua kegiatan tidak bermoral itu.

“Saya nakal dan degil sejak kecil lagi. Mungkin disebabkan itu, ibu tidak pernah mempedulikan saya kecuali bapa.

“Malah saya tidak mahir menulis dan membaca kerana tidak bersekolah sehingga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kini. Tetapi tidak mengapalah, rezeki di mana-mana,” katanya yang bekerja sebagai pencuci di sebuah pusat beli-belah.

Dia yang berasal dari Negeri Sembilan berkahwin pada usia 17 tahun namun hanya sempat melayari kehidupan berumah tangga selama dua tahun kerana tidak disukai keluarga mertua.

Murni mempunyai seorang anak lelaki hasil daripada perkahwinan pertama.

Pernikahan kedua menjadi neraka baginya.

Disebabkan kecewa mahligai perkahwinan yang dibina runtuh lagi, Murni mengambil keputusan berhijrah ke Klang, Selangor dan menampung kehidupan seharian bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makanan.

Di situ, dia berkenalan dengan Razali dan terus mengambil keputusan berkahwin walaupun perkenalan mereka tidak sampai sebulan.

“Razali cukup pandai mengambil hati. Dia perwatakan menarik dan pandai menggoda menyebabkan saya terpikat hingga saya berkahwin dengannya.

“Mulanya, Razali seorang yang baik dan penyayang tetapi satu hari dia meminta saya berhenti kerja sebagai pembantu kedai dan beralih kepada pekerjaan yang lebih lumayan pendapatannya.

“Saya dibawa ke sebuah hotel dan diminta melacur. Tentunya saya enggan tetapi dipaksa melakukannya. Jika enggan teruk dipukul dan ditampar. Sejak itu bermulalah kehidupan saya sebagai pelacur.

“Dia juga mengajar saya minum arak dan menghisap dadah. Bayangkan saya dipaksa melacur ketika sedang sarat mengandung empat bulan. Ada pelanggan baik hati tidak melakukannya kerana kasihan tetapi kebanyakannya cukup kejam,” katanya sambil air matanya membasah pipinya.

Lari ke Johor

“Saya tidak tahan kerana terus diperlakukan sedemikian. Malah telah merata Semenanjung Malaysia ini saya pergi untuk melacur. Jika ingin lari, tapak kaki akan singgah di pipi ini.

“Malah dalam sehari saya pernah dilanggan 10 orang pelanggan. Tidak tahan saya memohon bantuan daripada seorang polis untuk lari ke Johor.

“Saya disembunyikan di sebuah rumah India sebelum menaiki kereta api ke Johor. Nasib baik terlepas, jika tidak saya mungkin telah dibunuh oleh suami,” ujarnya.


KERUNTUHAN perkahwinan bukan asing bagi Murni yang pernah terjebak dalam kancah sosial. - Gambar hiasan


Tetapi kerana kebiasaan dan mudah mendapatkan wang menyebabkan Murni kembali terlibat dengan perbuatan tidak bermoral itu.

“Mulanya saya kembali bekerja di kedai makan tetapi berapa sangatlah pendapatan yang diperoleh. Saya kembali menjadi pelacur. Perwatakan juga berubah menjadi seorang tomboi.

“Keluarga sendiri tidak peduli. Malah saya bergerak lebih jauh lagi dengan mengedar dan menghisap dadah, menjadi ahli kongsi gelap serta orang tengah membawa PATI ke negara ini.

“Bukan sukar, kenalan kita ramai. Dengan perbualan telefon dan kita tentukan masa semua boleh jalan. Lumayan, seorang PATI boleh dapat RM5,000.

“Saya juga tidak pernah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana tiada bukti. Tetapi menggelar saya mayat hidup kerana tidak berguna dan sering mendatangkan masalah,” ujar Murni.

Murni cuba untuk berubah namun beliau sering tersilap langkah memilih suami untuk kembali kepada jalan yang benar.

“Setelah sekian lama terlibat dengan noda dan dosa saya ingin kembali insaf. Saya menerima pelawaan seorang pemandu teksi untuk menjadi isterinya.

“Namun saya sangkakan panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Suami ketiga baik dan alim tetapi terlalu cemburu. Saya tidak dibenarkan bersembang sekali pun dengan jiran.

“Saya terkurung di rumah. Sekadar memandang lelaki pun saya akan teruk dibelasah. Malah saya pernah dipukul di sebuah kedai makan kerana sifat cemburunya itu,” katanya kesal.

Kahwin dan cerai ekspres

“Kemudian saya bercerai dengannya. Tidak lama selepas itu saya kahwin lagi dengan rakan sekampung. Tetapi dia sangat pemalas dan tidak mahu bekerja.

“Saya menampung makan dan minum, dua kotak rokoknya sehari dan anak-anak. Kalau tidak dapat, makian dan sepak terajang diterima.

“Menghilangkan bosan, saya pergi seorang ke kedai arak dan minum sepuasnya. Saya juga mula mengedar pil khayal di kelab. Ini semua kerana lelaki tidak berguna itu sehingga saya meminta cerai,” katanya.

Namun semuanya berubah selepas dia menemui seorang pekerja keselamatan yang benar-benar ikhlas di Chow Kit sendiri.

“Malah dia membenarkan saya tinggal di rumahnya dan memberi wang belanja seharian cuma saya tidak berkahwin dengannya.

“Dia sering menasihati saya supaya berubah dan meninggalkan kegiatan lama, serta meminta saya solat dan banyak ke surau untuk menambah ilmu pengetahuan agama.

“Memang sukar untuk berubah tetapi saya perlu tekad. Apa gunanya saya menjadi pelacur selamanya kerana impian diri ini ingin hidup normal seperti insan lain,” katanya yakin.

Perjuangan penulis muda: Perjuangan apa?
Oleh Baha Zain
bahazain.blogspot.com

Generasi baru berdepan cabaran apabila bahasa Inggeris dianggap lebih berdaya saing

PADA 22 hingga 24 Mei ini sekumpulan penulis muda berhimpun di Melaka Bandar Raya Bersejarah. Apakah mereka akan menangani masalah sejarah tertentu atau mengimpikan sesuatu yang gemilang pada masa depan, baik atas nama peribadi atau suatu gerakan. Pokok perbincangan menjurus kepada: 'Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran', ungkapan yang bersifat umum dan lebih cenderung kepada sebuah pertanyaan.

Empat tahun yang lalu kumpulan penyelenggara serta petugas yang jumlahnya kira-kira sama mengadakan perhimpunan besar yang pertama, 3 hingga 6 Jun 2005 di Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor. Di situ masing-masing mengemukakan pandangan, harapan, cadangan dan malahan kritikan terhadap landskap persuratan semasa.

Pada umumnya dapatlah dirumuskan bahawa itu pertemuan untuk mengemukakan idealisme orang muda yang sangat ekspresif dan kritis terhadap lingkungan masyarakat dan budayanya, meskipun tidak menjawab segala permasalahan dengan jawapan yang konkrit dan terencana tindakannya.

Apakah pada kali ini mereka akan menetapkan apa perjuangan yang mahu diperjuangkan, ke mana arah hendak dituju dan dapat mengenal pasti satu persatu cabaran yang mungkin dihadapi seperti bagaimana perunding pengurusan mengajar pengarah urusan korporat menganalisis kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dalam pemetaan arah masa depan dunia perniagaan?

Kedua-dua pertemuan, dulu dan kali ini menumpang bumbung Rumah Pena dan bangunan agam Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk petugasnya bermesyuarat, merancang dan membuat persediaan. Hampir setiap orang daripada petugasnya adalah orang muda, bakat pengarang dan penggiat yang ghairah dengan persuratan. Baik dan buruk, berjaya tidaknya adalah tanggungjawab mereka.

Sebagai seorang yang pernah turut mengatur pertemuan penulis ketika zaman muda, saya tidak boleh mengkritik banyak keghairahan orang muda yang suka berhimpun. Ini adalah satu proses sosial yang dicetuskan oleh perasaan tanggungjawab terhadap masalah bersama, dan idealisme yang cuba menyempurnakan cacat cela dunia zamannya. Barangkali ini adalah proses kematangan alamiah yang terpaksa dilalui oleh orang yang dianugerahkan dengan hati nurani yang suka berkorban untuk orang lain.

Apa bezanya daripada pengalaman yang pernah kami lalui menyelenggarakan kegiatan seperti itu di Pena dan DBP pada 60-an bersama-sama penulis muda seperti Allahyarham Salleh Daud dan Hassan Ibrahim (kemudian bergelar Datuk) dan Bakar Hamid (sekarang Prof Emeritus)? Kami juga pada waktu itu baru saja mencecah usia 30-an dan Usman Awang pun baru 40-an.

Penulis muda yang terbabit sekarang jauh lebih canggih pendidikan, pembacaan dan kemudahannya. Selain itu, lebih lebar ruang kreativiti dan liku-liku persoalan yang dibahasnya.

Mereka berbicara segala macam teori dan pendekatan yang pada zaman dulu tidak kami kenal istilahnya, apa lagi konsep dan ruang lingkup permasalahannya. Apa yang menjadi topik dialog pada zaman dulu lebih tertumpu pada perkara yang asas seperti perjanjian hak cipta, kadar bayaran royalti, kursus penulisan, penerbitan majalah khas sastera, mengadakan majlis pembacaan puisi, ceramah serta forum, dan hadiah penggalakan. Kebanyakan kegiatan dan fikiran dialog dicurahkan bagi mengisi kemerdekaan dan memajukan bahasa kebangsaan, sastera dan kebudayaan supaya menjadi medium pengucapan kebangsaan bersama, lambang jati diri dan ejen pemersatuan bangsa.

Tidaklah pula boleh dinafikan bahawa bersamaan dengan perjuangan kolektif, terselit juga impian peribadi untuk menjadi terkenal dan diiktiraf nama, tetapi hasrat itu menjadi impian sampingan kerana halangan dan sisa budaya imperialis masih bercokol untuk dilawan. Walau bagaimanapun, kerjasama antara penulis kreatif, lepasan Universiti Malaya dan wartawan nasionalis di akhbar seperti Allahyarham Samad Ismail, bahasa dan sastera berkembang dan memberikan dampak yang ketara.

Lama-kelamaan pelbagai peluang, kemudahan dan hadiah penulisan diwujudkan pada dekad 70-an. Sehingga hari ini kemudahan dan hadiah berkenaan seolah-olah menjadi ciri khas yang menonjol dalam perkembangan sastera kebangsaan dan malah menjadi sasaran serta tujuan penulisan dari musim ke musim. Ramai yang berangan-angan hendak memenangi Hadiah Sastera Perdana, Hadiah S.E.A Write dan juga mengidam untuk menjadi Sasterawan Negara, suatu kemuncak impian kehidupan dengan pelbagai kemudahan dan kemuliaan dunianya. Perjuangan bahasa dan sastera yang sebenar dicuit-cuit seadanya saja.

Pada hari ini, kita dapat membaca analisis dan kritikan sastera melalui teori dan pendekatan yang pelbagai aliran seperti Absurdisme, Eksistensialisme, Kajian Budaya, Pascakolonial, Dekonstruksi, Historisisme, Kata Kunci, Pascamodenisme dan Orientalisme. Tidak kurang pula perbahasan mengenai pendekatan yang dilagang oleh sarjana tempatan seperti Takmilah dan Poetika Sastera Melayu.

Perbezaan yang ditunjukkan oleh penulis generasi muda ini menandakan kemajuan pendidikan kemanusiaan dan celik huruf bangsa kita. Hanya barangkali apakah tanda kemajuan ini dapat memecahkan banyak halangan zaman dan memberi jalan keluar bagi memenuhi hasrat kebudayaan yang lebih unggul dan rumit atau hanya menjadi latihan kecendekiawan pada saat berwacana dan berhimpun.

Jika pada zaman 30 hingga 40 tahun yang lampau, masalah yang besar ialah untuk mengadakan yang tiada, yang belum subur montok, tetapi pada masa sekarang ada masalah yang lebih besar dihadapi oleh penulis muda, iaitu melawan arah tergelungsur ke bawah bahasa Melayu daripada kedudukannya sebagai alat pengucapan ilmu dan persuratan.

Penulis muda secara intelektual dan ilmiah berhadapan dengan establishment yang sudah terperangkap dalam dilema politik budaya. Ini bukan kerja kecil dan mudah yang boleh diselesaikan sebulan atau dua bulan. Perlawanan ini, justeru memerlukan semangat yang keras dan keyakinan yang kuat kerana penulis muda bukan saja berhadapan dengan asakan globalisasi, tetapi berhadapan dengan politik yang berkuasa di dalam negara.

Ini bukan masalah teks lawan margin, atau pusat lawan 'the other' dalam pembicaraan kritikan sastera, tetapi perlawanan yang nyata dalam kehidupan yang nyata setiap hari.

Menulis dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu yang sejak merdeka (1957) secara rasmi digalakkan kerajaan, terutama melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, kini menghadapi masa depan yang suram apabila bahasa itu tidak akan berkembang hebat sebagai bahasa ilmu kerana bahasa Melayu sudah dicabut peranannya sebagai bahasa pendidikan sains dan teknologi serta pada masa sama, disaingi bahasa Inggeris yang dianggap kunci bagi kemajuan masa depan negara.

Inilah senario kebahasaan dan persuratan sekarang. Tanpa berdolak-dalik lagi, inilah cabaran sebenar dihadapi penulis muda. Apakah isu ini akan dicuit-cuit seadanya saja pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009?