Mengisi hari kemerdekaan

Mengisi hari kemerdekaan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

SEKALI lagi sambutan hari kemerdekaan negara tenggelam di sebalik peristiwa lain yang lebih mencuri perhatian orang ramai. Jika tahun lalu sambutannya juga sepi kerana tumpuan terhadap pilihan raya kecil di Permatang Pauh, keadaan serupa turut berulang kali ini.

Hari kemerdekaan ke-52 negara yang hanya tinggal beberapa hari lagi seolah-olah tidak dipedulikan oleh kebanyakan daripada kita.

Sebaliknya tumpuan berlebihan diberikan kepada pelbagai isu lain terutamanya senario politik negara yang terus bergolak.

Pilihan raya kecil Permatang Pasir, kisah Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Kedah keluar parti dan beberapa isu lain menyebabkan kebanyakan kita merasakan semangat patriotik itu tidak lagi penting.

Barangkali inilah nasib sambutan hari kemerdekaan dalam melewati fasa kedua selepas 50 tahun negara bebas daripada cengkaman penjajah.

Barangkali juga inilah cara, trend dan budaya generasi selepas merdeka menyatakan rasa cinta dan bangga sebagai anak Malaysia.

Bagi mereka semangat itu tidak perlu dipertontonkan secara fizikal seperti mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga.

Memang benar mengibarkan bendera itu hanyalah simbolik semata-mata. Tetapi perkara yang tampak mudah itu juga sebenarnya bermula dengan kesedaran dan semangat patriotik yang tinggi.

Jika mengibarkan bendera pun tidak mampu dilakukan, layakkah kita bercakap tentang tuntutan pengisian kemerdekaan yang lebih besar? Tidak dinafikan sambutan hari kemerdekaan kali ini jatuh ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah berpuasa.

Namun ia tidak seharusnya menjadi alasan bagi umat Islam mengenepikan langsung semangat meraikan hari kebangsaan negara.

Dalam kita melipatgandakan pahala pada bulan Ramadan, tidak salah jika cuti umum hari kebangsaan diisi dengan aktiviti yang boleh menyemarakkan semangat patriotik.

Sebaik-baik sambutan hari kemerdekaan adalah dengan mengenang kembali pengorbanan dan susah payah pejuang kemerdekaan membebaskan negara daripada penjajah.

Meskipun kebebasan negara tidak membabitkan pertumpahan darah, namun kemerdekaan itu "tidak datang bergolek". Terlalu tinggi pengorbanan, keringat dan usaha yang dicurahkan oleh pejuang kemerdekaan kita.

Cabaran kemerdekaan negara ketika itu juga bertambah besar dalam konteks kepelbagaian etnik dan kaum.

Tanpa kompromi dan tolak ansur pemimpin-pemimpin pelbagai kaum terdahulu, adalah mustahil untuk satu bangsa Malaysia hidup aman dan makmur di bawah satu bumbung sehingga ke hari ini.

Jasa-jasa mereka juga merintis kepada kemajuan fizikal, ekonomi dan sosiobudaya masyarakat seperti yang dikecapi ketika ini.

Justeru, sambutan hari kemerdekaan seharusnya mengajak kita untuk melihat diri sebagai sebuah keluarga yang besar dan melangkaui batasan agama, etnik mahupun gender.

Setiap rakyat mesti berpegang pada nilainilai sebenar iaitu toleransi dan sikap saling menghormati. Nilai-nilai ini bukan hanya perlu dipertahankan dalam kehidupan masa kini, malah paling utama perlu diwariskan kepada generasi akan datang.

Persoalannya, adakah kita ketika menjelang sambutan ke-52 ini, masih kuat berpegang kepada nilai-nilai yang dipasak oleh pejuang-pejuang kemerdekaan silam?

Jika senario semasa politik negara dijadikan ukuran, bukanlah sesuatu yang sukar untuk menyimpulkan bahawa kita sebenarnya semakin terkebelakang dalam mendukung semangat toleransi antara kaum.

Politik saling menuntut dan mencabar sehingga melanggar sempadan kaum bukan lagi sesuatu yang asing hari ini. Malah ada yang lebih berani mencabar dan melanggar batas tanpa mempedulikan kemungkinan tercetusnya ketegangan agama.

Inilah natijahnya apabila politik cuba dipegang oleh individu yang rendah semangat patriotiknya.

Atas nama demokrasi dan kesamarataan, pemimpin selepas merdeka ini sangat vokal dalam perjuangan tanpa mengambil kira sensiviti agama dan kaum lain.

Kerana itu, sempena ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos ini, ada baiknya jika sejarah perjalanan kemerdekaan negara kembali disingkap dan diambil pengajarannya.

Menyelak sejarah bukan bermaksud kita mahu kembali ke masa lalu. Sebaliknya menjadikan ia sebagai panduan dan pedoman untuk melangkah ke depan.

Ia penting agar kita tidak lupa asal-usul dalam mengejar kemajuan.

Jika dulu sejarah hanya disemai di kalangan pelajar dan generasi muda yang kononnya semakin terhakis jati diri, nampaknya penerapan nilai-nilai sejarah itu lebih diperlukan oleh sebahagian besar ahli politik.

Bagi pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd Razali, fasa 50 tahun kedua selepas kemerdekaan sebenarnya memperlihatkan kejayaan pemimpin terdahulu.

Mereka menjunjung amanah sehingga memungkinkan pembangunan dan tahap pendidikan seperti yang dikecapi hari ini.

Menyelusuri sejarah kemerdekaan negara katanya, dapat kita teladani bagaimana perjuangan pemimpin terdahulu dalam menuntut kemerdekaan menggunakan platform politik.

Kewujudan parti politik pra kemerdekaan mempunyai matlamat yang jelas untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

Berbeza dengan hari ini, parti politik lebih menjurus kepada perebutan kuasa sehingga meminggirkan tanggungjawab dalam sebuah negara berdemokrasi.

Che Hamdan melihat satu sebab mengapa kelunturan semangat cintakan negara dan juga jati diri di kalangan masyarakat ialah kerana dos politik kepartian yang berlebihan. Setiap perkara dilihat berdasarkan pemikiran sempit kepartian, bukan atas dasar kenegaraan.

"Sehinggakan terdapat golongan yang tidak dapat membezakan antara kerajaan dan parti politik," katanya.

Kerana itu tambah Che Hamdan, semangat kemerdekaan sewajarnya ditunjukkan dengan penyatuan semua pihak dalam membentuk demokrasi yang matang.

Rakyat pelbagai kaum tanpa mengira fahaman politik perlu menyumbang kepada perlaksanaan dasar pemerintah yang diberi mandat untuk berkuasa oleh majoriti rakyat.

Manifestasi cintakan negara walaupun kelihatan agak ideal perlu ditunjukkan melalui kesediaan rakyat untuk berkomunikasi dengan pemerintah dalam bentuk yang lebih matang.

Ideologi politik seharusnya diketepikan kerana peluang untuk menyertai proses demokrasi melalui pilihan raya sentiasa ada setiap lima tahun sekali. Dalam masa yang sama, semua pihak juga perlu lebih proaktif dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Di pihak kerajaan, mesej kemerdekaan yang perlu ditekankan ialah bagaimana rakyat di peringkat sekolah rendah lagi difahamkan dengan ejarah perjuangan pembebasan negara. Juga bagaimana nikmat kemerdekaan ini telah memberi kesan yang besar kepada seluruh rakyat.

"Sekiranya rakyat memainkan peranan untuk saling memberi kesedaran mengenai makna kemerdekaan, semangat cintakan negara ini pastinya akan sentiasa tersemat," ujar Che Hamdan.

0 comments: