Pendedahan rasuah Mat Iraq pastinya berasas

Pendedahan rasuah Mat Iraq pastinya berasas

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

SEBAIK sahaja Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi menyentuh mengenai wujudnya gejala memberi "hadiah" kepada perwakilan menjelang pemilihan parti itu, beliau 'diserang' oleh beberapa pemimpin kanan Pas.

Mereka meminta Mohamed Daud membuktikan dakwaan itu kerana khuatir ia akan menjadi fitnah kepada parti. Mereka juga mahu tokoh yang digelar "Ustaz Mat Iraq" itu bertanggungjawab di atas tindakan berani tersebut iaitu bersedia menghadapi sebarang tindakan jika tuduhan berkenaan tidak benar.

Beliau diminta membuat penjelasan kepada Dewan Harian Pas Pusat sama ada dakwaannya itu berasas atau sebaliknya pada 18 Mei (kelmarin).

Meskipun begitu, Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengulasnya, tidak menolak kemungkinan wujud "politik wang" dalam parti itu dan mahu perwakilan pada Muktamar Tahunan menolak calon terbabit.

Sebenarnya pendedahan Mohamed Daud itu sedikit sebanyak menimbulkan persoalan dan sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai Pas sebagai sebuah parti yang mendokong perjuangan Islam sejak ia ditubuhkan pada 1951.

Ini kerana sebarang kepincangan di dalam Pas boleh mencemarkan kesucian Islam kerana Islam menjadi teras perjuangan parti itu. Atas asas itu juga, banyak pihak menganggap Mohamed Daud terpaksa menceritakan keadaan sebenar walaupun ia pahit.

Yang pasti, beliau sudah tentu lebih mengetahui mengenai hukum hakam Islam serta kesannya jika dakwaan itu tidak benar sama ada dalam konteks dunia atau pun akhirat.

Selain boleh mendatangkan dosa ia boleh menyebabkan hilang hormat masyarakat terhadap mereka yang melakukannya. Sebagai seorang pemimpin kumpulan ulama, Mohamed Daud tidak mungkin akan mengambil satu tindakan yang akhirnya boleh menyebabkan keyakinan masyarakat terhadapnya terhakis.

Dengan kata lain, Mohamed Daud bukan mewakili dirinya sahaja tetapi beliau turut mewakili institusi Dewan Ulama iaitu organisasi terpenting dalam Pas. Sebenarnya Mohamed Daud melakukan tindakan wajar bertujuan menyelamatkan Pas daripada dicemari oleh gejala itu.

Menginjak usia 58 tahun ini, sejauh manakah Pas berjaya membawa mesej dakwah kepada masyarakat? Persoalan ini sengaja ditimbulkan supaya semua pihak terutamanya pemimpin Pas berfikir sejenak sama ada ia berjaya melaksanakan kerja dakwah atau sebaliknya.

Dalam al-Quran banyak disebut tentang suruhan Allah SWT menunaikan solat, zakat, suruhan ke arah kebaikan, larangan terhadap kerja-kerja mungkar dan maksiat serta hubungan baik sesama manusia. Sengaja menimbulkan isu ini kerana terdapat segelintir pemimpin Pas serta ahliahli Pas sering berprasangka buruk terhadap orang lain iaitu di kalangan mereka yang bukan ahli Pas. Dan bukankah ini satu contoh akhlak yang tidak baik?

Mereka terlalu prejudis dengan menganggap orang lain tidak Islamik berbanding mereka dan dalam masa sama sering membuat tuduhan melulu. Bukankah Islam itu agama yang indah dan agama yang menganjurkan kasih sayang serta perpaduan di kalangan umat?

Seharusnya semua pemimpin dan ahli Pas tidak mempunyai prasangka buruk kepada semua pihak khususnya di kalangan umat Islam kerana kita sama-sama mentauhidkan Allah SWT dan mengakui dengan sepenuhnya bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah SWT.

0 comments: