Keakraban, kemesraan hubungan Malaysia-Brunei mengorak era baru

Keakraban, kemesraan hubungan Malaysia-Brunei mengorak era baru
Oleh Azizi Othman
bhnews@bharian.com.my

WALAUPUN ringkas dan terpaksa diringkaskan, lawatan kerja dua hari Datuk Seri Najib Razak ke Brunei pada Rabu dan Khamis lalu, jelas memberi impak positif kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang memang sudah sedia akrab dalam pelbagai bidang. Di sebalik hambatan waktu dan berita kembalinya ke Rahmatullah, Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memaksa lawatan Perdana Menteri disingkatkan bagi membolehkan beliau menziarah jenazah Allahyarham. Lawatan sulung Najib sejak mengambil alih teraju kepemimpinan awal bulan lalu tetap membuka banyak lembaran baru dalam konteks hubungan Kuala Lumpur-Bandar Seri Begawan. 

Paling ketara, tentunya pertemuan empat mata antara Perdana Menteri dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang diadakan malam Rabu lalu, di Istana Nurul Iman. Manifestasi keakraban hubungan antara kedua-dua pemimpin berkenaan jelas terbukti apabila pertemuan empat mata yang julung-julung kalinya di antara mereka yang pada mulanya dijadualkan berlangsung selama kira-kira setengah jam, berlarutan sehingga lebih sejam kerana kedua-duanya rancak berbual mesra dan membincangkan pelbagai isu membabitkan kepentingan bersama, mencakupi kerjasama ekonomi, politik, sosial serta agama. 

Memetik sendiri kata-kata Perdana Menteri selepas pertemuan itu, beliau menjelaskan ia berlangsung dalam suasana yang amat mesra serta menggambarkan keakraban hubungan Malaysia-Brunei sejak sekian lama. Tidak hairanlah jika beliau juga yakin bahawa hubungan kedua-dua negara selepas ini bakal memasuki era baru yang menjurus kepada meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang sama ada dari Brunei ke Malaysia atau sebaliknya. Malah dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin sudah mula mengadakan perbincangan mengenai beberapa projek secara khusus. 

 

Mengimbas kembali sejarah hubungan antara kedua-dua negara, umum mengetahui ia sebenarnya sudah wujud sejak berkurun lalu, cuma secara rasminya saja ia kurang daripada separuh abad. Hakikatnya, sejak zaman Kesultanan Brunei lalu, interaksi antara dua negara berjiran ini sudah wujud dan pelbagai kerjasama terjalin. Dengan kekukuhan ikatan bahasa, budaya malah persaudaraan, ia bertambah erat dari semasa ke semasa ditambah pula sokongan padu kepemimpinan kedua-dua negara ketika ini dan pada masa lalu. 

Najib berkata, menyedari potensi untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala itu masih terlalu besar, usaha memantapkannya pada masa depan akan ditumpukan dalam pelbagai bidang khususnya, pelaburan, pembangunan, pelancongan, pendidikan serta infrastruktur. Inisiatif itu diyakini dapat dijayakan kerana dalam pertemuan itu, Sultan Hassanal Bolkiah sendiri memaklumkan Brunei akan berusaha meningkatkan pelaburannya di Malaysia menerusi Agensi Pelaburan Brunei (BIA). 

Tidak cukup dengan itu, kedua-dua Malaysia dan Brunei juga memberi komitmen untuk segera menyelesaikan rundingan bagi membolehkan perjanjian mengelak cukai berganda (DTA) dimeterai untuk merancakkan lagi kerjasama ekonomi. Pada masa sama, langkah BIA untuk terbabit dalam projek pembangunan sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang di kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC), yang menjadi ikon pelaburannya di sini, pasti menghantar isyarat kerjasama kini sedia ditingkatkan lagi. 

Sebagai timbal balas, Brunei juga kini amat berminat mendapatkan kepakaran Malaysia dalam projek pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan dengan menawarkan tender untuk pelabur Malaysia menyertainya. Jika sebelum ini hanya dua atau tiga syarikat gergasi Malaysia yang melaksanakan projek di negara itu, angka berkenaan dijangka meningkat tidak lama lagi dengan skop kerja yang semakin meluas daripada pembinaan kediaman sehinggalah penyediaan infrastruktur. 

Satu lagi perkara penting dalam konteks keakraban dan kemesraan hubungan antara dua pemimpin berkenaan ialah ia dapat menyediakan asas untuk Malaysia dan Brunei menyegerakan penyelesaian rundingan berhubung isu persempadanan darat serta maritim. Jika sebelum ini, mungkin wujud sedikit kekeliruan mengenai perkara berkenaan, khususnya yang melingkari isu tuntutan bertindih terhadap wilayah Limbang, ia nyata tidak menjadi penghalang kerana kedua-dua pemimpin sudah sepakat bahawa perkara berkenaan akan dilihat dalam konteks persempadanan secara total. Lebih daripada itu, mereka juga sepakat supaya perundingan berkenaan segera dimuktamadkan. 

Selain itu, bagi membuktikan hasrat murni Malaysia memastikan sebarang keputusan berhubung isu sempadan itu tidak dilihat dalam konteks 'yang menang atau yang kalah', Kuala Lumpur jelas menyatakan bahawa pembangunan di wilayah berkenaan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa demi manfaat kedua-dua negara. Perkara itu sudah dinyatakan secara jelas dengan kedua-dua negeri bersempadan dengan Brunei, iaitu Sabah dan Sarawak juga menyatakan komitmen mereka melaksanakan pelbagai usaha ke arah itu. 

Dengan mengambil kira pelbagai usaha gigih sudah diambil kerajaan dan pemimpin tertinggi kedua-dua negara untuk membawa hubungan Malaysia-Brunei ke tahap baru, ia kini terserah kepada sektor swasta untuk menyambut isyarat berkenaan dengan mula meneroka secara lebih agresif peluang menyalurkan modal rentas sempadan kedua-dua negara. Dengan komitmen mempermudahkan pelbagai proses ke arah itu, usahawan dan pelabur perlu melihat potensi melabur di kedua-dua negara dari perspektif baru dan bukan hanya dalam bidang tradisional atau konvensional. 

Sesungguhnya, amanat Najib ketika beramah mesra dengan komuniti Malaysia di Bandar Seri Begawan sejurus sebelum berlepas pulang mengakhiri lawatannya, bahawa mereka perlu melakukan terbaik dan menyumbang kepada keakraban kedua-dua negara perlu dilihat dalam konteks lebih meluas. Bahawa dalam pada pembabitan mereka itu amat penting, ia sebenarnya satu tawaran terbuka kepada seluruh sektor swasta Malaysia untuk berusaha lebih giat mencari peluang pelaburan di Brunei. Hanya apabila itu berlaku, barulah keakraban hubungan antara kedua-dua negara, seperti yang dibuktikan kemesraan Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah akan benar-benar bermakna.

0 comments: