KEPALA BATAS 26 Sept. – Ahli keluarga empat kanak-kanak yang mati lemas di tali air Rumah Pam Sungai Kereh di sini kesal kerana klinik kesihatan di kawasan itu ditutup ketika semua mangsa yang ketika itu dipercayai masih hidup dibawa ke situ untuk mendapatkan rawatan.

Menurut mereka, keempat-empat kanak- kanak malang itu mungkin dapat diselamatkan sekiranya Klinik Kesihatan Tasek Gelugor dekat sini dibuka dan bersedia menerima kes-kes kecemasan walaupun pada waktu rehat.

Salah seorang bapa mangsa, Saidin Ahmad, 47, memberitahu, selepas keempat-empat mangsa dibawa naik dari tali air itu, dia dan beberapa rakan melakukan bantuan pernafasan dan mendapati semua kanak-kanak itu masih bernyawa.

Saidin berkata, dia dan beberapa rakannya berlari-lari mengelilingi klinik tersebut sambil mendukung kanak-kanak terbabit termasuk anaknya sendiri, Mohd. Zaidi.

Mereka berkali-kali mengetuk pintu klinik itu dengan kuat supaya pintu dibuka tetapi hampa apabila tiada seorang pun kakitangan menyahut panggilan mereka.

Terkejut

Katanya, seorang tukang kebun yang bekerja di klinik itu kemudian membuka pintu klinik dan dia terkejut apabila mendapati terdapat beberapa jururawat di situ yang tergesa-gesa memakai tudung.

“Kami datang ke situ (klinik) kerana ia satu-satunya tempat paling dekat untuk mendapatkan rawatan, tapi saya dapati pintu klinik ditutup kononnya mereka tengah berehat. Munasabahkah alasan ini?

“Kalau hendak berehat pun, kenapa pintu mesti dikunci. Kalau tergamak mengunci pintu pun, kenapa tidak membukanya ketika kami menjerit-jerit meminta bantuan,” kata Saidin dalam nada kesal ketika ditemui di Hospital Kepala Batas (HKB) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, empat kanak-kanak prasekolah yang bersahabat karib mati lemas selepas terjun ke tali air Rumah Pam Sungai Kereh.

Mangsa, Mohd. Zaidi Saidin, 5; Badrul Hanif Ahmad, 6; Zulkifli Mohamad, 6, dan Mohamad Nur Aidil Hakimi Shaharudin, 6, lemas selepas mandi-manda bersama dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang.

Saidin yang juga bapa kepada Mohd. Zaidi berkata, selepas membuang masa menunggu di bilik rawatan klinik itu, mereka kemudian diberitahu pusat perubatan itu tidak dapat menghantar mangsa ke hospital kerana tiada ambulans.

Menurutnya, mendengar jawapan yang sangat mengecewakan itu, dia dan rakan-rakan membawa sendiri anak mereka ke HKB dengan bantuan orang awam yang kebetulan berada di situ.

Oleh Fazallah Pit




Bapa sedar anak terkorban selepas terjun cari mangsa

KEPALA BATAS: Empat kanak-kanak lelaki berusia antara lima dan enam tahun lemas ketika mandi di tali air dekat rumah pam Sungai Kreh, Lahar Tembun, Tasek Gelugor di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, hanya mampu disaksikan seorang rakan keempat-empat mangsa, Norshahira Arshad, lima tahun, yang ketakutan sambil menangis di tebing tali air berkenaan.

Lebih menyedihkan, seorang penunggang motosikal, Saidin Ahmad, 45, yang kebetulan melalui kawasan berkenaan, meluru terjun ke tali air itu bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit tanpa menyedari seorang daripada mangsa adalah anaknya sendiri.

Anak Saidin, Mohd Zaidi Mohd Saidin, lima tahun serta tiga rakannya, Mohd Nur Aidil Hakimi Shahruddin, lima tahun dan Badrul Hanif Ahmad serta Zulkifli Mohamed, kedua-duanya enam tahun, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Kepala Batas di sini.

Semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Lahar Tembun, malam tadi.

Sebelum itu, kehilangan keempat-empat mangsa disedari ibu saudara Mohd Nur Aidil Hakimi, Norbi Abdullah, 45, selepas terserempak dengan Norshahira yang berseorangan dan menangis di tebing tali air berkenaan.

Sebaik mengesyaki sesuatu yang buruk, Norbi terus meminta pertolongan Saidin yang kebetulan melalui kawasan itu.

Semua mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tasek Gelugor, tetapi klinik itu berkunci.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Wan Abdullah Tuanku Said, berkata tiga mangsa adalah murid Tadika Kemas Lahar Tambun manakala Mohd Nur Aidil Hakimi belajar di Tadika Cina Ling Chew.

"Polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dan mengklasifikasikan kejadian itu sebagai lemas," katanya.

Sementara itu, ibu Zulkifli, Halijah Omar, 39, terkilan kerana mereka sudah merancang untuk membeli pakaian raya anaknya petang semalam.

"Lepas anak saya balik dari tadika, dia kata mahu keluar. Sebelum keluar dia tanya bila nak beli baju raya. Zulkifli cakap dia mahu dua pasang bayu raya.

"Saya cakap petang ini (semalam) nak beli sebab bapa sudah janji," katanya ketika ditemui di Hospital Kepala Batas.

Rohaya Saad, 37, juga mengalami perasaan sama berikutan baju raya anaknya, Badrul Hanif sudah dibeli tetapi tidak sempat memakainya berikutan tragedi itu.

"Hati mana tidak sedih. Baju semua sudah dibeli tapi Badrul pula sudah tiada. Apalah ertinya. Inilah Aidilfitri yang paling memilukan buat kami sekeluarga," katanya.

Kejadian itu juga menyebabkan Hasnah Abu Bakar, ibu kepada Mohd Nur Aidil Hakimi mengalami kesedihan berikutan kehilangan satu-satunya anak yang menjadi rebutan hak penjagaan dengan bekas suaminya.

Dia terkilan kerana anaknya lemas hanya kira-kira sebulan sebelum dia memperoleh hak penjagaan penuh terhadap Mohd Nur Aidil Hakimi pada 27 Oktober depan.

Oleh KHAIRUL AZRAN HUSSEIN

PETALING JAYA 26 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini memberi amaran kepada media supaya tidak membuat spekulasi berhubung penahanan seorang lelaki disyaki pembunuh kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin.

Menurut Musa, media tidak seharusnya melaporkan cerita yang boleh mengganggu siasatan polis.

‘‘Tiada tangkapan (dalam kes Nurin Jazlin setakat ini), jangan buat cerita yang tidak betul kerana nanti akan mengganggu siasatan.

‘‘Kita juga akan memanggil penulis terbabit dan menyiasat dari mana dia mendapat maklumat yang tidak benar itu,” tegas Musa kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama petang ini yang mendakwa polis telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan dan penderaan seksual terhadap Nurin Jazlin.

Penangkapan itu dibuat di Lebuh Ampang di sini.

Menurut laporan itu, suspek yang bekerja sebagai ‘orang tengah’ di sebuah agensi pelancongan di bandar raya telah diajak oleh seorang rakannya ke sebuah kedai kopi di mana sepasukan polis telah menunggu untuk menahan lelaki itu.

Bernama yang memetik sumber polis berkata, serbuan tersebut dibuat selepas rakan suspek memberitahu polis bahawa lelaki itu mungkin mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam Nurin Jazlin.

Suspek juga disyaki terlibat dengan kes pencabulan dua kanak-kanak yang dilaporkan berlaku di Kampung Baru di ibu negara baru-baru ini.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Dia ditemui mati 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di depan premis perniagaan di Petaling Jaya pada 17 September lalu.

Ujian forensik mendapati Nurin Jazlin mati selepas didera secara seksual.

Polis mendapat beberapa ‘petunjuk’ baru dalam usaha mengesan pembunuh Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mati selepas didera secara seksual, 17 September lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ketika ini pihaknya tidak mempunyai suspek lain, kecuali lelaki dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi mayat Nurin Jazlin ditemui.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan apakah petunjuk baru yang telah diperoleh polis itu.

“Kita berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Oleh Suzianah Jiffar


DOA UNTUK TERSAYANG: Saridi (kiri) dan Zaleha (tiga dari kiri) bersama keluarga menziarahi pusara Haserawati (gambar kecil) di Kampung Ratau, Menggatal, semalam.

Ibu bapa budak mangsa rogol, bunuh sebak setiap kali melintas tempat mayat ditemui

KOTA KINABALU: Tragedi menyayat hati yang menimpa Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, 8, baru-baru ini dengan sendirinya mengembalikan ingatan keluarga Saridi Sahat dan Zaleha Abdullah terhadap penyeksaan yang dilalui tiga tahun lalu.

Hati ibu bapa mana tidak luluh apabila anak bongsu kesayangan yang dilihat ceria meninggalkan rumah ke sekolah tetapi kembali sebagai sekujur tubuh tidak bernyawa.

Haserawati Saridi, 9, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tebobon, Menggatal adalah antara statistik kanak-kanak malang yang menjadi mangsa rogol sebelum dibunuh pada 8 Januari 2004 ketika berjalan ke sekolah dari rumahnya di Kampung Ratau, Tebobon, kira-kira 25 kilometer dari sini.

Anak bongsu enam beradik itu dirogol dan dibunuh di kawasan semak lereng bukit berhampiran tepi jalan Kampung Ratau tidak jauh dari SK Tebobon, di antara jam 7 pagi hingga 8 pagi.

Mayatnya ditemui seorang penduduk di kawasan hutan kampung berkenaan dalam keadaan berbaju kurung seragam sekolah dan berlumuran darah dengan kesan tikaman.

Keluarga mangsa yang ditemui di rumah neneknya di Kampung Ratau dekat sini, mengakui kehilangan Haserawati banyak mengubah , menjelaskan sehingga sekarang mereka sekeluarga berasa amat kehilangan sejak pemergian Haserawati yang disifatkan dibunuh dengan kejam.

Zaleha yang kelihatan tenang menyifatkan pemergian anak bongsu mereka itu menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga banyak berubah, terutama ketika menyambut fajar Aidilfitri.

"Dulu dialah penawar kami siang dan malam. Kami layan keletah manjanya dam kami penuhi kehendaknya setakat mampu, terutama setiap kali menyambut raya... maklumlah, anak bongsu.

"Haserawati anak manja, pemalu, tidak sombong, suka membantu di rumah dan cukup gemarkan biskut makmur.

"Dia tak nak ketinggalan mengerjakan tarawih di surau berhampiran dan turut pergi mengaji. Semua itu yang membuatkan Aidilfitri kami terasa kosong kerana sebahagian besar kemeriahannya hilang bersama Haserawati," katanya.

Sejak kejadian berkenaan, Zaleha berkata, mereka sekeluarga menyiapkan sekurang-kurangnya dua pasang baju kurung untuk disedekahkan kepada keluarga kurang berkemampuan yang mempunyai anak perempuan seusia anak bongsunga itu.

Amalan itu, katanya, sedikit sebanyak mengubat rindu mereka untuk membuat persiapan Haserawati yang tidak kalah mahu bergaya menyambut raya.

Zaleha mengakui masih sukar menahan sebak setiap kali melintasi jalan berhampiran tempat kejadian menyayat hati itu.

"Pernah juga saya pengsan ketika lalu di situ. Bukan mudah menerima kenyataan sepahit ini.

"Jika dia pergi secara aman, mungkin penerimaan kami berbeza tetapi hakikat adalah sebaliknya," katanya yang sering menziarahi pusara Haserawati bagi melepaskan rindu.

Tertuduh dalam kes itu, Jamaludin Saripuddin, 26, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan bagi kesalahan merogol. Dia berdepan satu lagi dakwaan membunuh kanak-kanak itu yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu tindakan diambil ke atas kementerian yang didapati melakukan pembaziran seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2006.

Pengerusinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, tindakan itu perlu diambil bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang pada masa hadapan termasuk meningkatkan keupayaan kerajaan menghindar perkara tersebut.

Untuk itu, katanya, PAC akan mendalami semua aspek yang telah diaudit dengan mesyuarat pertama akan diadakan pada 4 Oktober 2007 untuk mendapat penjelasan, bermula dengan Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita akan mendalami semua isu yang terkandung dalam laporan tersebut dengan bermesyuarat setiap dua minggu dan bertemu dengan semua kementerian yang terbabit.

“Dalam kita melihat laporan, kita juga harus mencari jalan bagaimana dapat mengesyorkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang telah melakukan pembaziran,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat penyampaian taklimat laporan tersebut oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kepada PAC di Parlimen di sini, hari ini.

Antara isu yang menarik perhatian ramai dalam laporan tersebut adalah teguran Ketua Audit Negara terhadap proses pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada kadar melebihi harga pasaran hingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.

Dalam hal ini, Shahrir berkata, tindakan awal dan pencegahan perlu dibentuk bagi mengelak kerugian tersebut berulang pada masa akan datang.

Shahrir turut menegaskan wujud kelemahan pihak audit dalaman dalam melaksanakan tugas dengan cekap di kementerian dan jabatan kerajaan.

Katanya, keupayaan mereka dalam badan kerajaan perlu dipertingkatkan bagi membantu mengelak sebarang kerugian sebegini.

Ditanya mengenai cadangan PAC agar laporan Audit Negara dibentangkan dari semasa ke semasa di Parlimen supaya sebarang masalah dapat dikesan dengan cepat, beliau berkata, langkah ini memerlukan perubahan pada seluruh sistem perundangan.

``Oleh kerana kerajaan menguatkuasakan undang-undang, ia mesti datang daripada mereka dan kerajaan mesti memperbaiki tadbir urusnya,’’ tegas Shahrir.

Ambrin dalam salah satu pembentangannya pula berpendapat, negara sudah pun memiliki sistem yang menyeluruh untuk mengelakkan sebarang pembaziran namun keberkesanannya sebenarnya lebih bergantung kepada faktor manusia.

“Ini melibatkan sikap dan cara berfikir. Dalam hal ini, latihan berterusan diperlukan bagi memastikan semua pegawai yang terlibat sedar akan tanggungjawab yang harus dilaksanakan,’’ ujarnya.

Oleh Ali Mahmood


Azmi Osman.

TEMERLOH 26 Sept. – Azmi Osman, pegawai kanan polis berpangkat supritendan yang semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini dihadapkan pula ke mahkamah di sini atas dua tuduhan berasingan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.732 juta.

Dengan tuduhan di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini, jumlah wang daripada aktiviti haram yang didakwa diterimanya kini berjumlah RM3.995 juta.

Bagi tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen Temerloh, Azmi, 52, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil aktiviti haram sebanyak RM2,093,300 pada 6 Februari 2002 dan 20 Disember 2002 melalui akaun semasa Malayan Banking Berhad di No. 1, Jalan Haji Kassim, Mentakab dekat sini.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 7 Januari 2003 didakwa menerima wang hasil aktiviti haram RM683,850 di tempat yang sama menggunakan akaun semasa yang sama.

Azmi bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ishak Bakri.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Azmi didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda RM5 juta atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad mencadangkan mahkamah mengenakan wang ikat jamin RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh seperti pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, N. Sridharan memohon supaya wang jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan akaun dan harta tertuduh telah disita selain tertuduh menghidap sakit jantung.

Hakim Ishak kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dalam kedua-dua pertuduhan itu dan mengarahkan Azmi menyerahkan dokumen perjalanannya kepada pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

BPR menahan Azmi di Putrajaya dua hari lalu.

Dzulkifli memohon kepada mahkamah supaya kedua-dua kes di Mahkamah Sesyen Temerloh itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama tiga lagi pertuduhan mengikut seksyen yang sama dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 31 Oktober depan.

Mahkamah bersetuju dengan permintaan pendakwa raya itu dan mengarahkan supaya kedua-dua kes itu dibicarakan bersama tiga lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada tarikh yang telah ditetapkan.

Azmi yang ditahan oleh BPR di Putrajaya dua hari lalu telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.263 juta.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan polis disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu.

Azmi pernah bertugas sebagai Ketua Balai Polis Maran dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh antara tahun 1997 dan awal Januari 1999.

Selepas itu, dia bertugas di Jabatan Turus D7-Maksiat dan Perjudian IPD Johor Bahru dari tahun 1999 hingga 2005 sebelum bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

SHAH ALAM: Seorang saksi mengakui cuai ketika membaca laporan polis hingga pegawai penyiasat kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Asisten Superintendan (ASP) Tonny Anak Lunggan ditulis sebagai lelaki India dan suspek dalam kes itu.

Ketua penyelia pejabat pertanyaan Balai Tun HS Lee, Koperal Siros Mat Isa, 46, berkata kesilapan itu berlaku ketika membaca laporan polis dibuat ASP Zulkarnain Samsudin dalam Sistem Laporan Polis (PRS), pada 7 November 2006.

Katanya, catatan tangan �ASP Zulkarnain D9 mengambil percakapan beramaran daripada lelaki India di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL)� dalam buku laporan POL 41 ditulis oleh pembantunya, Lans Koperal Ramzan Kamarudin.

(Melalui PRS, laporan polis dibuat Zulkarnain dapat dipaparkan di skrin komputer semua balai polis, dicetak dan ditampal dalam buku laporan POL 41)

Siros yang juga saksi ke-32 pendakwa, berkata beliau cuai ketika membaca laporan tertulis: �Pada 7 November 2006, jam 2 petang, saya (Zulkarnain) bersama Cif Inspektor Koh Fei Cheow, membuat pertanyaan berhubung Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pegawai penyiasat ASP Tonny A/K Lunggan, penama ini akan mendedahkan maklumat ...... terdahulu, saya bacakan peruntukan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah kepada penama�

Siros berkata, apabila melihat perkataan �A/K� pada nama ASP Tonny, beliau beranggapan ASP Tonny adalah seorang lelaki India dan silap apabila menganggap ASP Zulkarnain mengambil percakapan beramaran daripada ASP Tonny.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah bagaimanakah Ramzan boleh tersilap ketika menulis di dalam buku POL 41, Siros berkata, perkara itu berlaku kerana pembantunya menyalin kembali apa yang ditaip olehnya dalam laporan 24 jam.

"Laporan 24 jam itu adalah laporan dalam masa sehari pada tarikh sama, yang dibuat saya sebagai seorang ketua penyelia di pejabat pertanyaan," katanya.

Tun Abdul Majid: Jadi, Ramzan tiru apa yang kamu taip dalam laporan 24 jam dan tulis dalam buku laporan POL 41?

Siros: Ya.

Tun Abdul Majid: Bila kamu sedar ASP Tonny bukan lelaki India?

Siros: Ketika saya dipanggil ke IPKKL untuk berjumpa dengan ASP Tonny dan perbicaraan kes ini sudah pun bermula ketika itu.

Tun Abdul Majid: Dan pada masa itu juga baru kamu sedar catatan kamu dan Ramzan adalah satu kesilapan?

Siros: Ya.

Menjawab soalan Tun Abdul Majid, Siros berkata beliau tidak tahu sama ada laporan dibuat ASP Zulkarnain yang ditampal dalam buku Pol 41 itu sudah dipinda atau tidak.

Disoal peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, Siros berkata jika ada pindaan, laporan yang mempunyai nombor report yang sama akan ditampal di tempat sama di mana laporan asal ditampal.

Siros berkata, bagaimanapun tiada pindaan dibuat pada laporan Zulkarnain yang ditampal dalam buku POL 41 itu.

Saksi ke-33, Ramzan, 42, berkata beliau membaca salinan laporan Zulkarnain yang diterima daripada Siros sepintas lalu sebelum menampalnya dalam buku POL 41.

Ramzan juga mengakui beliau tersilap menulis mengenai ASP Zulkarnain mengambil percakapan beramaran daripada seorang lelaki India di dalam buku berkenaan.

"Saya menyalinnya daripada ringkasan jenayah yang dibuat oleh penyelia saya (Siros) pada skrin komputer. Saya hanya tulis saja berpandukan laporan yang dibuat oleh beliau," katanya.

Disoal Tun Abdul Majid, Ramzan berkata, beliau hanya membaca laporan yang dibuat Zulkarnain sepintas lalu dan tidak menyedari kesilapannya.

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Pakar kimia dapati 18 persamaan tulisan dengan buku nota dirampas

SHAH ALAM: Pakar kimia semalam mengesahkan kertas A4 tertera nama bapa Abdul Razak Baginda, alamat rumahnya, nombor telefonnya dan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang ditemui di pejabat tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri di Bukit Aman, pada 12 November 2006, ditulis sendiri penganalisis politik itu.

Penganalisis dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Wong Kong Yong, 48, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi semalam, berkata beliau membuat kesimpulan itu selepas membandingkan tulisan di atas kertas berkenaan dengan beberapa spesimen dokumen tulisan tangan Abdul Razak.

Spesimen itu termasuk dua buku nota yang dirampas dari pejabat Abdul Razak di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 13 November lalu.

Wong yang juga saksi ke-30 pendakwaan berkata, hasil perbandingan dokumen yang dipertikaikan (kertas bersaiz A4) dengan spesimen dokumen tulisan tangan tertuduh, beliau mendapati ada 18 persamaan antara kedua-duanya dan hanya satu perbezaan.

"Kesimpulannya, saya mendapati hampir semua tulisan tangan yang dipertikaikan dan ditandakan sebagai P80A ditulis oleh orang sama apabila dibandingkan dengan spesimen ditanda sebagai P105A, P105B, P85A dan P86A kecuali tulisan tangan di tengah kertas A4 itu," katanya.

Wong berkata, pada jam 2.49 petang, 17 November tahun lalu, Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Tonny anak Lunggan datang ke pejabatnya di Petaling Jaya, dan memintanya membuat perbandingan dan analisis beberapa dokumen yang dibawa dalam sampul surat.

"Tonny menyerahkan empat sampul surat mengandungi sekeping kertas yang dipertikai kesahihan tulisannya, dua buku nota mengandungi spesimen tulisan tangan yang ditulis 'milik Abdul Razak Abdullah' (ditanda P85A dan P86A) dan dua set dokumen yang setiap satu mengandungi lima keping kertas mengandungi spesimen tulisan tangan tertuduh ketiga itu (ditanda P105A dan P105B).

(Spesimen 10 keping dokumen mengandungi tulisan tangan itu ditulis Abdul Razak pada 14 November tahun lalu yang diambil polis di bilik soal siasat di Balai Polis Bukit Aman sebagai contoh tulisan bagi tujuan perbandingan)

Wong berkata, beliau kemudian membuat perbandingan antara P80A iaitu dokumen yang dipertikai dengan P85A, P86A, P105A dan P105B bagi menentukan sama ada terdapat persamaan atau perbezaan karakter antara dokumen terbabit.

"Persamaan yang saya analisis termasuk karakter tulisan, pembentukan huruf dan angka serta sambungan antara huruf, manakala perbezaan adalah saiz tulisan yang menunjukkan kepelbagaian.

"Melalui analisis perbandingan, saya mendapati ada 18 persamaan, antaranya pembentukan nombor '4' dan '2', pembentukan huruf 'le' daripada perkataan �lekir, dan pembentukan huruf 'mi' daripada perkataan 'Aminah'," katanya.

Ketika diminta Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup untuk membuat perbandingan tulisan pada kertas A4 (P80A) dengan buku nota milik Abdul Razak (P105A) dan memberikan beberapa contoh persamaan, Wong berkata sebahagian perkataan dan ayat dalam P80A boleh didapati dalam P105A.

Sebahagian perkataan dan ayat itu adalah: 'Datuk Abdullah Malim Baginda, 22, Jalan Setiajaya, Damansara Heights, 50690, Kuala Lumpur,' diikuti nombor telefon '012-2132303 (nombor telefon bimbit Abdul Razak), 'Bilik 823, Hotel Malaya, Jalan Hang Lekir (hotel penginapan Altantuya) dan di bawahnya, ada perkataan 'Aminah' (panggilan untuk Altantuya).

Wong berkata, beberapa contoh persamaan yang didapati melalui perbandingan tulisan itu adalah melalui angka 8 daripada 'Bilik 823', perkataan 'jalan', angka 4, perkataan 'Setiajaya', 'Abdullah', 'Baginda', 'Heights' dan 'Aminah'.

Katanya, melalui perbandingan beliau mendapati antara contoh persamaan itu boleh dilihat melalui pembentukan perkataan dan palang serta bagaimana perkataan itu ditulis.

Manoj: Contohnya?

Wong: Angka 8 ditulis bermula dari bahagian atas kiri dan juga berakhir di posisi sama manakala terdapat bentuk gelung pada angka 4.

Manoj: Bagaimana dengan perkataan, seperti 'alan'?

Wong: Pembentukan perkataan dan turutan huruf juga sama termasuk huruf 'j' yang kelihatan lebih bulat.

Manoj: Contoh lain seperti perkataan 'Heights'?

Wong: Sambungan dan urutan bagi 'ghts' adalah sama.

Manoj: Bagaimana pula dengan huruf 'l' dalam 'lekir'?

Wong: Huruf itu menunjukkan turutan sama melalui gelungan pada dasarnya.

Sementara itu, Wong berkata pada 26 Jun lalu beliau turut melakukan analisa perbandingan terhadap sekeping nota, empat keping memo, satu sampul surat dan sehelai kertas bersaiz A4 untuk menentukan sama ada ia ditulis orang sama.

Beliau berkata, hasil perbandingan itu, beliau mendapati semua tulisan yang ada pada dokumen itu yang ditanda P22A, P22B, P22C, P22D, P22E, P23A dab P21A ditulis orang sama.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Deputi Superintendan (DSP) Lim Meng Seah memberitahu mahkamah, satu nota ditulis 'You love money or your life' (Anda sayang wang atau nyawa) adalah antara nota yang ditemui polis di pejabat Abdul Razak pada 9 November tahun lalu.

Beliau berkata, nota itu dan empat lagi memo Hotel Malaya termasuk bertulis 'I came with my father waiting outside' (Saya datang bersama bapa saya menunggu di luar) kemudian dirampas di pejabat tertuduh ketiga.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.
YANGON: Polis Myanmar semalam dilaporkan melepaskan tembakan dan menyembur gas pemedih mata bagi menghalang penunjuk perasaan yang diketuai sami Buddha, memulakan perarakan baru dari mercu tanda utama Yangon.

Diplomat Perancis di sini dilaporkan berkata polis menembak ke arah penunjuk perasaan dan beliau yakin beberapa mangsa terkorban.

"Polis mula menembak ke arah udara, tetapi kemudian menghala senjata ke arah penunjuk perasaan. Kami tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa yang terkorban," kata Emmanuel Mouriez yang dipetik radio Perancis, RTL.

Sementara itu, Reuters memetik sumber hospital sebagai berkata, seorang penunjuk perasaan terbunuh dan lima cedera dalam tunjuk perasaan di Yangon, semalam.

Sekurang-kurangnya 100 orang, termasuk beberapa sami turut ditahan ketika pihak berkuasa cuba menghentikan demonstrasi terbabit.

Menurut saksi, sekumpulan 200 sami lain yang dilindungi penyokong yang membentuk rantaian manusia, juga dibawa keluar dari Pagoda Shwedagon

Bagaimanapun, apabila keadaan reda, kira-kira 10,000 sami dan pelajar terus mengadakan tunjuk perasaan, sekali gus melanggar perintah junta tentera mengharamkan perhimpunan.

Kira-kira 5,000 sami dan 5,000 pelajar bersama anggota parti pembangkang yang diketuai Aung San Suu Kyi yang dikenakan tahanan dalam rumah, berarak dari kuil Shwedagon ke kuil Sule di tengah-tengah Yangon tetapi disekat oleh tentera dalam perjalanan.

Dalam perarakan berasingan, 300 sami menuju ke kediaman Suu Kyi, ikon demokrasi Myanmar, sambil diekori trak tentera yang membawa kira-kira 40 anggota bersenjata, kata saksi.

Kumpulan sami terbabit bagaimanapun menggesa penyokong mereka supaya tidak menyertai perarakan itu dan melakukan keganasan.

Sementara itu, kira-kira 1,000 orang berhimpun di sekitar Pagoda Sule berhampiran dewan bandar raya Yangon, kawasan tempat perhimpunan utama bagi bantahan yang memuncak dan menjadi ancaman terbesar kepada pemerintah junta dalam masa 20 tahun.

Askar bersenjata mengepung Pagoda Sule, tetapi setakat ini mereka tidak mengganggu orang ramai sebaliknya hanya menantikan sekiranya penunjuk perasaan terbabit berarak ke seluruh bandar. � AFP

Oleh Azhar Abu Samah di New York

MYANMAR perlu mengelak daripada mengambil tindakan keras terhadap penunjuk perasaan di Yangon kerana tindakan sedemikian akan memburukkan lagi keadaan, sekali gus menjejaskan nama baik Asean, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata, Malaysia percaya cara terbaik untuk menyelesaikan masalah di Myanmar ialah menerusi perdamaian dan mempercepatkan proses pemulihan demokrasi di negara berkenaan.

"Lebih baik kembali ke meja rundingan," katanya ketika diminta mengulas laporan junta tentera Myanmar memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap lebih 100,000 penunjuk perasaan yang diketuai sami Buddha di Yangon.

Kelmarin, dalam ucapan pembukaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, berkata Amerika akan mengenakan tindakan sekatan dari segi kewangan terhadap anggota penting junta Myanmar dan mereka yang memberikan bantuan.

Ketika ini, Amerika mengehadkan import dan eksport serta urus niaga kewangan dengan Myanmar dan sekatan senjata.

Syed Hamid berkata, duta khas PBB ke Myanmar, Ibrahim Gambari sudah menyatakan kesediaan ke Myanmar untuk membantu menyelesaikan kemelut berkenaan.

"PBB boleh memainkan peranannya kerana Myanmar enggan membenarkan Asean terbabit secara langsung. Asean akui keadaan di negara itu sukar dan tidak mahu campur tangan tetapi mahu ia diselesaikan kerana tidak mahu keadaan di Myanmar memberi beban dan memalukan Asean," katanya selepas menghadiri mesyuarat peringkat menteri di PBB dan perbincangan dua hala di sini, semalam.

Antara mesyuarat dihadiri ialah menteri luar Asean bertemu Presiden Bank Dunia, mesyuarat Asean dan Negara Teluk, Jawatankuasa Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) Mengenai Palestin. Mesyuarat dua hala pula membabitkan Menteri Luar Iran, Tunisia, Emiriyah Arab Bersatu dan Sudan.

Beliau berkata, Asean bimbang PBB akan mengambil tindakan tegas terhadap Myanmar berdasarkan perkembangan semasa, sekali gus masyarakat antarabangsa akan memberikan reaksi segera, termasuk mendesak negara itu dikenakan sekatan antarabangsa.

Mengenai pertemuan dengan Menteri Luar Sudan, Dr Lam Akol Ajawin, Syed Hamid berkata, Sudan meminta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membantu secara ketara dalam memulihkan keamanan dan membantu memajukan negara itu kerana sebelum ini kehadiran Barat lebih menonjol.

"Mereka amat memerlukan bantuan kerana selama ini hanya ikrar bantuan saja yang diperoleh dan ia tidak pernah tiba," katanya sambil menambah Malaysia sudah menyatakan kesediaan membantu menyediakan biasiswa kepada 127 pelajar Sudan, termasuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tiba di sini semalam untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-62.

Perdana Menteri diiringi isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah.



Pasukan penyelamat Vietnam masih mencari 93 pekerja hilang

HANOI: Sebuah jambatan yang masih dalam pembinaan di selatan Vietnam runtuh semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 60 pekerja dan menyebabkan 93 yang lain hilang tertimbus atau cedera, kata pegawai.

Jambatan sedang dibina menyeberangi Sungai Hau, cawangan Sungai Mekong di bandar selatan Can Tho, laluan perjalanan sibuk yang menghubungi Delta Mekong dan Bandaraya Ho Chi Minh.

Sekurang-kurangnya 60 orang terkorban, kata Dang Van Tam, Pengarah hospital besar Can Tho.

Walaupun pihak berkuasa menyebut kira-kira 93 yang lain hilang atau cedera tetapi pengerusi jawatankuasa rakyat kawasan Can Tho, Vo Thanh Tong, berkata pada hari biasa, sehingga 140 orang akan bekerja di bahagian jambatan yang runtuh.

Agensi berita Vietnam pula melaporkan kira-kira 250 orang bekerja di bahagian yang runtuh itu ketika kejadian pada jam 8 pagi itu.

Di New York, Perdana Menteri Nguyen Tan Dung yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mengarahkan pihak berkuasa melakukan operasi menyelamat besar-besaran serta menyiasat punca tragedi berkenaan.

Edisi internet akhbar VNExpress melaporkan, mangsa yang terperangkap membuat bising bagi menarik perhatian ketika ahli keluarga mangsa turut menyertai usaha menyelamat.

Pasukan penyelamat masih menggali di bawah runtuhan mencari mereka yang masih tertimbus, kata Le Viet Hung, Timbalan Ketua Polis Can Tho.

"Keadaan di tempat kejadian kelam-kabut. Ketika jambatan runtuh bunyinya seperti satu letupan besar. Ia adalah kemalangan paling besar pernah saya saksikan," kata Hung.

"Kami sedang bertungkus-lumus untuk mencari mereka yang masih hilang. Beberapa pasukan kecemasan dari empat hospital sudah dikerah ke kawasan ini," katanya.

Pembahagian bahagian jambatan yang runtuh itu dikawal selia oleh syarikat Jepun, Taisei Corp, Kajima Corp, Nippon Steel Corp dan Nippon Koei-Chodai.

Tiada laporan menyatakan rakyat Jepun terkorban atau hilang dalam kejadian berkenaan.

Jambatan itu masih belum dibuka kepada lalu lintas. Kawasan pembinaan sepanjang 2.75 kilometer, jambatan empat laluan itu bermula pada 2004 dan dijangka siap tahun depan. Ia dijangka menjadi jambatan gantung kabel terpanjang di Asia Tenggara.

Pekerja penyelamat menggunakan kren dan peralatan lain untuk mencari mereka yang terselamat dalam runtuhan, kata Tong.

Bahagian jambatan yang runtuh adalah setinggi 30 meter dan sepanjang 100 meter dan didirikan di atas tebing sungai di Wilayah Vinh Long. Pekerja baru saja menuangkan konkrit pada bahagian jambatan kelmarin, kata Tong.

Jepun menyediakan pinjaman 25 bilion yen (RM749 juta) bagi pembinaan jambatan berkenaan yang merangkumi 85 peratus daripada kos keseluruhan, kata Yoshifumi Omura dari Bank for International Cooperation, Jepun di Hanoi. Baki kos ditanggung kerajaan Vietnam. � AP


PROTES... Sekumpulan sami Buddha mengadakan bantahan tanpa menghiraukan kehadiran polis antirusuhan sewaktu perarakan antijunta tentera di Yangon, semalam. – AFP.
YANGON 26 Sept. – Sekurang-kurangnya tiga maut sementara 22 yang lain termasuk beberapa orang sami Buddha, cedera apabila pihak berkuasa bertindak menyuraikan demonstrasi antijunta yang terbesar dalam tempoh 20 tahun di sini.

Sumber hospital memberitahu, enam orang dimasukkan ke hospital kerana cedera terkena tembakan tetapi tiga daripada mereka gagal diselamatkan.

Menurutnya, dua daripada mangsa yang maut terdiri daripada sami Buddha.

Sekurang-kurangnya 17 sami Buddha turut cedera apabila polis menggunakan kekerasan.

Junta tentera telah mengharamkan semua perhimpunan melebihi lima orang dan mengenakan perintah berkurung di waktu malam selepas berlangsungnya perarakan antikerajaan selama lapan hari oleh para sami di Yangon.

Bagaimanapun, satu perarakan menuju ke pusat bandar Yangon hari ini menyebabkan berlaku ketegangan antara penunjuk perasaan dan polis.

Pihak berkuasa dilaporkan telah menembak ke udara, memukul sesetengah sami dan menyumbat mereka ke dalam trak tentera selain turut melepaskan gas pemedih mata.

Seorang diplomat Perancis, Emmanuel Mouriez berkata, askar pada mulanya melepaskan tembakan amaran sebelum benar-benar menembak penunjuk perasaan yang tidak mengendahkan arahan kerajaan.

Sehari selepas junta tentera memberi amaran bahawa tidak lagi tolak-ansur, pihak polis dilihat menggunakan baton untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang terdiri daripada pelajar dan sami Buddha.

Saksi menyatakan bahawa puluhan penunjuk perasaan termasuk beberapa orang sami yang dihormati, ditahan semasa berlakunya rusuhan di Yangon itu.

Pasukan tentera menggunakan kawat berduri untuk mengepung kawasan di sekitar Pagoda Shewdagon yang menempatkan kira-kira 500 sami Buddha.

Ini adalah kali pertama pihak berkuasa negara ini menggunakan kekerasan untuk menyuraikan tunjuk perasaan yang sebelum ini dibiarkan begitu sahaja.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran ketika bilangan penunjuk perasaan semakin ramai.

Ketegangan bermula bulan lalu apabila junta menaikkan harga minyak secara drastik yang menyaksikan banyak kenderaan tidak bergerak dan harga tambang pengangkutan awam naik.

Sementara itu, seorang ahli politik prodemokrasi, Win Naing serta pelawak terkenal, Zaganar ditahan hari ini kerana didakwa membantu tunjuk perasaan yang diketuai oleh sami bagi menjatuhkan junta tentera.

Naing, lewat 70-an, ditahan kerana memberi makanan dan minuman kepada sami Buddha iaitu kumpulan yang memainkan peranan penting dalam protes antijunta terbesar dalam tempoh 20 tahun.

“Dia telah ditahan pada jam 2.30 pagi tadi,” kata seorang rakan dan juga diplomat Barat yang bertugas di Yangon.

Zaganar, 40, dituduh membekalkan makanan kepada sami-sami sejak kelmarin iaitu ketika mereka melancarkan demonstrasi yang berjaya menarik 100,000 orang untuk berarak di jalan-jalan raya Yangon.

– AFP



BANTAH KERAJAAN: Rakaman televisyen menunjukkan pasukan keselamatan menembak gas pemedih mata dalam usaha menyuraikan orang ramai di Yangon, Myanmar semalam yang mengadakan tunjuk perasaan menentang kerajaan tentera.

Askar, polis lepas gas pemedih mata suraikan demonstrasi

YANGON: Berpuluh ribu rakyat berkumpul semula dalam bantahan antikerajaan di Yangon, di sebalik usaha menamatkan demonstrasi itu oleh rejim tentera, kata saksi semalam.

Penunjuk perasaan, termasuk sami, berarak di pasar utama di hab komersial negara itu, sejam selepas tentera dan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan tembakan amaran untuk menyuraikan bantahan di sekitar Sule Pagoda.

Di sekitar pagoda itu, 10,000 penduduk berkumpul, tetapi tentera sekali lagi melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menyuraikan orang ramai, kata saksi.

Sementara itu, masyarakat dunia memerhati penuh minat tunjuk perasaan dicetuskan perasaan tidak puas hati berikutan kenaikan mendadak harga minyak disusuli dengan tindakan junta memukul sami.

Di SINGAPURA, republik yang yang mempengerusikan blok Asean, semalam menggesa pihak berkuasa Myanmar 'sedaya upaya menahan diri' dalam menangani penunjuk perasaan.

Kementerian Luar negara itu mengeluarkan kenyataan sejurus selepas saksi di Yangon berkata tentera dan polis melepaskan tembakan amaran dan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Di THAILAND, pihak berkuasa berkata mereka memantau rapat krisis politik di Myanmar ketika pemimpin tentera negara itu mengarahkan pegawai keselamatan menamatkan bantahan besar-besaran yang menarik lebih 100,000 penduduk.

"Kerajaan diraja Thailand memantau rapat situasi di Myanmar," kata kementerian luar dalam satu kenyataan yang disiarkan lewat kelmarin.

Di JEPUN, negara penderma utama Myanmar semalam berkata, ia menekan junta untuk bertindak dengan sabar ketika berusaha menamatkan bantahan besar-besaran terhadap kerajaan tentera.

"Kerajaan Jepun menggesa kerajaan Myanmar mengambil reaksi sabar. Kami akan terus memantau perkembangan di negara itu," kata Menteri Luarnya, Masahiko Komura, kepada sidang akhbar.

Di PERANCIS, seorang menterinya mengecam tindakan polis ke atas penunjuk perasaan dan menyifatkan ia sebagai 'tidak boleh diterima' sambil menggesa sekatan lebih keras dikenakan terhadap junta di Yangon.

"Keadaan semakin teruk. Kita dan sekutu Eropah perlu lebih berwaspada dan mengenakan tekanan lebih ke atas pihak berkuasa Yangon," kata Menteri Hal Ehwal Eropah, Jean-Pierre Jouyet. � AFP

BOURNEMOUTH, England 26 Sept. – Perdana Menteri Britain, Gordon Brown hari ini menggesa Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bermula hari ini, membincangkan isu yang berlaku di Myanmar secara serius.

Brown juga menegaskan tiada seorang pun akan terlepas daripada hukuman akibat perlanggaran hak asasi di negara itu.

“Saya berharap agar mesyuarat Majlis Keselamatan diadakan serta merta untuk membincangkan isu ini serta melihat apa yang boleh dilakukan.

“Perkara pertama yang patut dibuat ialah menghantar segera utusan PBB ke Myanmar,” kata Brown yang ditemui selepas persidangan Parti Buruh.

Beliau mengeluarkan kenyataan ini sebagai tindak balas perkembangan terbaru bantahan antijunta tentera yang kini mengorbankan tiga nyawa.

“Saya fikir semua orang kini tahu bahawa keseluruhan isu sekatan akan menyaksikan satu dimensi yang baru.

“Seluruh dunia sedang memerhati perkembangan di sana, kekejaman dan pelanggaran hak asasi manusia oleh junta itu tidak lagi boleh dibiarkan,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri Itali, Romano Prodi pula mendesak Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat tergempar mengenai Myanmar dalam usaha menghentikan keganasan di sana.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Portugal yang kini memegang jawatan Presiden EU untuk mencari jalan terbaik menangani isu Myanmar.

– AFP

Nyza Ayob
Wed | Sep 26, 07 | 5:34:18 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Tindakan kejam dan sadis yang dilakukan oleh pembunuh Nurin Jazlin Jazimin ternyata mencemarkan kesucian bulan Ramadan, di mana kebanyakan umat Islam sedang berusaha mempertingkatkan dan membersihkan diri dari dosa dan noda.

Perkara ini ditegaskan Ketua Wanita JIM, Profesor Madya Dr Harlina Halizah Siraj.

Beliau yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Nurin Jazlin, menjelaskan, ekoran daripada kejadian ini, cadangan demi cadangan dianjurkan, tindakan dan hukuman diperketatkan.

Malah katanya, tidak kurang juga yang cuba meletakkan kesilapan dan kesalahan di atas bahu pihak tertentu seperti ibu bapa dan pihak berkuasa.

Tegas pakar obstetrik dan ginekologi UKM ini , jenayah seksual ini tidak mungkin akan dapat dibasmi dengan tindakan `hangat-hangat tahi ayam', sebaliknya ia perlu dilakukan dengan muhasabah diri dan refleksi yang jujur bagi mencari punca dan penyebab utama jenayah seperti ini berlaku.

Harlina juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa fenomena peningkatan keganasan seksual di kalangan masyarakat berkait rapat dengan ikatan spiritualiti dan pegangan akidah individu yang longgar.

"Tanpa adanya perasaan takut kepada kemurkaan Tuhan dan rasa harap kepada keredhaan-Nya, jiwa manusia dengan mudah diperdayakan oleh nafsu syahwatnya. Apabila syahwatnya mengganas dan menjadi raja, individu tersebut tidak akan teragak-agak melakukan sesuatu yang di luar dari jangkaan kebiasaan kita.

"Integriti dan amanah tidak lagi menjadi identiti diri. Perkara pokok mengenai keteguhan iman dan takwa inilah yang perlu ditanamkan setiap masa dan ketika dalam diri individu terutamanya generasi muda,"katanya, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Dalam hal ini beliau mengharapkan ibu bapa memuhasabah diri secara jujur dan telus serta menilai semula sejauh manakah konsep akidah dan kepercayaan ini berakar umbi dalam jiwa anak-anak mereka.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan agar ibu bapa sentiasa lebih peka dengan aspek keselamatan anak-anak di luar rumah.

"Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mereka dididik dengan acuan nilai dan moral yang tinggi, berpaksikan kepercayaan agama yang dianuti.

" Fahaman materialistik dan gaya hidup hedonistik yang begitu berleluasa di kalangan keluarga moden hari ini, mestilah digantikan dengan cara hidup sederhana yang menekankan tentang integriti, amanah dan keseimbangan," katanya.

Selain itu tambahnya, pihak berwajib disarankan memberikan fokus yang serius dalam usaha menanamkan nilai agama dan kerohanian yang tinggi kepada ahli-ahli masyarakat.

Beliau juga mengharapkan agar segala unsur yang terbukti merosak jati diri generasi muda dan dewasa ditangani dengan tegas, berkesan dan berhemah. - mks.

KEPALA BATAS 26 Sept. - Empat kanak-kanak lelaki, berumur lima dan enam tahun, lemas di kawasan rumah pam Sungai Kreh, Lahar Tambun, Tasik Gelugor di sini hari ini.

Mayat-mayat kanak-kanak tersebut telah dijumpai awal petang ini, kata polis.

Mayat Mohd Zaidi Mohd Saidin dan Mohd Noraidil Hakimi Shahruddin, kedua-duanya berusia lima tahun, serta Badrul Hanif Ahmad dan Zulkifli Mohamed, kedua-duanya enam tahun, ditemui pada pukul 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Wan Abdullah Tengku Said berkata, tiga daripada mangsa adalah murid Tadika Kemas Lahar Tambun kecuali Mohd Noraidil Hakimi yang belajar di Tadika Cina Lin Ching.

Keempat-empat rakan itu dilaporkan bermain bersama-sama seorang kanak-kanak perempuan, Nor Shahira Arshad, di kawasan rumah pam itu apabila tragedi itu berlaku kira-kira pukul 1.15 petang ini.

Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat dan telah pun dituntut oleh keluarga masing-masing untuk urusan pengkebumian di tanah perkuburan Lahar Tambun.

Bapa allahyarham Mohd Zaidi, yang dikenali sebagai Mohd Saidin ketika ditemui pemberita di Hospital Kepala Batas berkata, beliau kebetulan sedang melalui kawasan kejadian itu apabila Nor Shahira meluru ke arahnya dan memberitahu bahawa keempat-empat rakannya itu terjatuh ke dalam sungai.

Mohd Saidin berkata, beliau terus ke tempat kejadian dan terjun ke dalam air untuk mencari kanak-kanak berkenaan.

Beliau secara berseorangan berjaya mengeluarkan mayat mangsa satu demi satu dari sungai itu.

Mohd Saidin berkata, beliau pada mulanya tidak mengetahui bahawa anaknya terlibat dalam tragedi itu sehinggalah beliau menjumpai mayat keempat iaitu anaknya sendiri.

Wan Abdullah berkata, maklumat lanjut mengenai kejadian itu belum diperolehi dan satu-satunya saksi tragedi itu, Nor Shahira, masih terkejut untuk memberi keterangan. - Bernama

KEPALA BATAS: Empat kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di kawasan rumah pam Sungai Kreh, Lahar Tambun, Tasik Gelugor di sini jam 1.15 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Wan Abdullah Tengku Said berkata, operasi mencari kanak-kanak yang belum dikenali itu sudah digerakkan.

Maklumat lanjut mengenai kanak-kanak itu dan bagaimana kejadian itu berlaku belum dapat diperoleh. — Bernama

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Laporan siasatan nahas helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Genting Sempah pada Julai lalu akan diserah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, Najib yang juga Menteri Pertahanan akan meneliti terlebih dahulu laporan tersebut sebelum pengumuman mengenainya dibuat.

Beliau berkata, hanya pagi ini Lembaga Penyiasat Khas TUDM menyerahkan laporan itu kepada beliau, setelah tertangguh ekoran beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Pasukan penyiasat kita perlu melihat dari pelbagai sudut kerana prosedur siasatan adalah rumit. Kita perlu spesifik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, satu sidang akhbar akan diadakan esok berhubung laporan berkenaan.

Nahas pada 13 Julai itu mengorbankan juruterbang, Kapt Nor Azlan Termuzi; pembantu juruterbang, Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof; Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin dan Mohd Azmi Md Yassin; serta Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Muhammad Ridzuan Ahmad.

Mereka dalam penerbangan ke Kuantan dari Pengkalan TUDM Sungai Besi di sini.

TUDM kini memiliki 30 helikopter Nuri yang perkhidmatannya akan digantikan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun ini. - Bernama

KUALA LUMPUR: Laporan siasatan nahas pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Genting Sempah pada Julai lalu diserah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, Najib yang juga Menteri Pertahanan akan meneliti terlebih dahulu laporan berkenaan sebelum pengumuman mengenainya dibuat.

Beliau berkata, hanya pagi ini Lembaga Penyiasat Khas TUDM menyerahkan laporan itu kepada beliau, setelah tertangguh ekoran beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Pasukan penyiasat kita perlu melihat dari pelbagai sudut kerana prosedur siasatan adalah rumit. Kita perlu spesifik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata satu sidang akhbar akan diadakan esok berhubung laporan berkenaan.

Nahas pada 13 Julai itu mengorbankan juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi, pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof, Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin dan Mohd Azmi Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Muhammad Ridzuan Ahmad.

Mereka dalam penerbangan ke Kuantan dari Pengkalan TUDM Sungai Besi di sini.

TUDM kini memiliki 30 pwsawat Nuri yang perkhidmatannya akan digantikan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun ini. — Bernama

Oleh Johan Afandi

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai kanan polis yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki memiliki harta bernilai jutaan ringgit secara meragukan, semalam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM1.263 juta.

Superintendan Azmi Osman dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, dipercayai menjadi pegawai polis pertama di negara ini didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dia yang juga bekas Pegawai Turus Bahagian Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu.

Azmi yang ditahan di rumahnya di Shah Alam pagi kelmarin, menghadapi tuduhan pertama menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM71,870.70 pada 19 Ogos 2003 melalui akaun semasa Malayan Banking Berhad bernombor 501011803326 cawangan City Square, Jalan Wong Ah Fook di sini.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima wang berjumlah RM941,930 antara 13 Januari dan 17 November 2004 serta RM250,000 pada 5 April 2005, hasil daripada aktiviti haram melalui akaun serta bank sama.

Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) akta berkenaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pelucutan Hak, Jabatan Peguam Negara, Zulkifli Ahmad di depan Hakim Mahkamah Sesyen Zanol Rashid Hussain manakala tertuduh diwakili peguam, C N Sritharan.

Tertuduh yang memakai kemeja cerah dan seluar gelap, tenang ketika tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan menggeleng sebagai tanda mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan.

Zulkifli meminta mahkamah menetapkan jaminan RM200,000 bagi semua tuduhan tetapi dibantah Sritharan yang mengemukakan 10 alasan dan meminta wang jaminan ditetapkan RM10,000 bagi setiap tuduhan.

Sritharan memberitahu mahkamah, anak guamnya menghadapi masalah kesihatan dan sakit jantung serta sedang bercuti sakit selama 10 hari bermula Rabu minggu lalu hingga Jumaat ini.

"Anak guam saya mempunyai seorang isteri dan lima anak, semuanya masih bersekolah, terpaksa menanggung malu serta berhadapan dengan masalah kewangan berikutan menghadapi dua perintah penyitaan pada Ogos 2005 dan Disember 2006, yang menyebabkan semua akaun semasa, simpanan dan pelaburan dibekukan," katanya.

Zulkifli membantah alasan Sritharan kerana pegawai perubatan hospital mengesahkan penyakit Azmi bukan sakit jantung, sebaliknya hanya sakit dada dan cuti sakit diberikan supaya dia dapat berehat serta sihat untuk hadir di mahkamah.

Beliau berhujah, semua wang dan harta tertuduh dibekukan untuk dijadikan bukti di mahkamah dan Azmi tetap menerima gaji bulanan sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti biasa.

Zanol Rashid kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM200,000 untuk ketiga-tiga tuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes itu pada 31 Oktober ini.

Oleh HASNURUL MOHAMED


Azmi Osman.

JOHOR BAHRU 25 Sept. – Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.263 juta.

Tertuduh, Azmi Osman, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Dia hadir di mahkamah dengan ditemani peguam bela, N. Sridharan.

Tertuduh ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya, semalam.

Dalam pertuduhan pertama, Azmi didakwa pada 19 Ogos 2003 di Malayan Banking Berhad di Lot M1022, Level 3, Johor Bahru City Square, Jalan Wong Ah Fook di sini melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM71,870.70 melalui akaun semasa Malayan Banking Berhad.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 13 Januari 2004 dan 17 November 2004 didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM941,930 di tempat yang sama menggunakan akaun semasa yang sama.

Dalam pertuduhan ketiga, pada 5 April 2005 dia didakwa di tempat yang sama, akaun semasa yang sama dan pertuduhan kesalahan yang serupa menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM250,000.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan polis disiasat kerana disyaki mengumpul harta bernilai RM9 juta secara haram sejak beberapa tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulkifli Ahmad mencadangkan agar tertuduh ditawarkan jaminan RM200,000 atas kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin manakal dokumen perjalanan seperti pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Pihak peguam bela mengemukakan 10 alasan ketika meminta wang jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Antaranya ialah akaun dan harta tertuduh telah disita selain tertuduh sakit jantung.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh membuat akujanji supaya menyerahkan dokumen perjalanan kepada pegawai BPR.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, esok, tertuduh dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, atas dua lagi pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR: Kebanyakan ibu bapa dan guru memberi reaksi pelbagai terhadap cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan persekolahan satu sesi bagi membolehkan kanak-kanak berada lebih lama di sekolah.

Tinjauan Berita Harian mendapati, ibu bapa dan guru berpendapat pelaksanaan dasar itu kelak akan mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri dan perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum dilaksanakan supaya memberi kebaikan kepada semua pihak.

Guru Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Yusri Shah Yaacob, 31, berkata beliau bersetuju dengan cadangan itu kerana ia memudahkan guru untuk menjalankan aktiviti kokurikulum apabila guru serta pelajar tidak perlu datang semula ke sekolah untuk mengikuti aktiviti berkenaan.

"Dasar sekolah satu sesi ini juga boleh membantu sekolah dua sesi yang mempunyai masalah kekurangan guru untuk menguruskan aktiviti kokurikulum kerana pembahagian tugas akan berjalan lebih lancar.

"Selain itu, dasar ini juga memberi peluang kepada guru yang sebelum ini bekerja pada sesi petang mempunyai masa terluang untuk melaksanakan urusan lain serta menghabiskan masa bersama keluarga dan anak-anak," katanya.

Sementara itu, seorang guru yang hanya mahu dikenali dengan nama Rosniza tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia menyebabkan tanggungjawab guru menjadi lebih besar selain bimbang ibu bapa akan bersikap lepas tangan dalam mendidik anak mereka.

Oleh Wan Faizal Ismayatim

Projek perintis di 15 sekolah di Terengganu sejak 2005 berjaya: Hishammuddin

KOTA BHARU: Sistem persekolahan satu sesi akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 2010 bagi membolehkan pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk kegiatan kokurikulum, selain membendung kejadian tidak diingini di luar waktu sekolah.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kajian untuk pelaksanaan langkah itu sedang dijalankan untuk diguna pakai oleh semua Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Katanya, persekolahan satu sesi mampu memperkasakan SK sebagai sekolah pilihan majoriti ibu bapa yang turut menjadi keutamaan kementerian dalam mewujudkan persekitaran selamat, sekali gus melegakan ibu bapa yang bekerja.

"Saya rasa, kita boleh melaksanakannya (persekolahan satu sesi) pada 2010, iaitu sebaik berakhir tempoh lima tahun Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan rombakan menyeluruh sistem pendidikan sedia ada.

"Saya juga percaya ini adalah peringkat terbaik sistem pendidikan kita. Selari harapan menerapkan pendidikan menyeluruh secara memanjangkan masa pada sebelah petang bukan saja untuk akademik, tetapi kegiatan berfaedah," katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada media sebelum Majlis Khatam al-Quran Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Kali Kedua yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di SK Padang Garong 2, di sini, semalam.

Hishammuddin mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin supaya persekolahan satu sesi diwujudkan bagi membolehkan kanak-kanak berada lebih lama di sekolah sebagai cara membendung jenayah seksual dan pembunuhan golongan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, persekolahan satu sesi sehingga jam 4 petang akan melegakan ibu bapa yang bekerja kerana tahu anak mereka berada di sekolah dan lebih selamat daripada tinggal sendirian di rumah.

Mengenai kaedah yang akan diguna pakai, Hishammuddin berkata, ia akan dilaksanakan berdasarkan laporan kajian projek perintis membabitkan 15 sekolah di Setiu, Terengganu yang mengamalkan persekolahan satu sesi sejak 2005.

Katanya, sehingga kini lebih 60 peratus sekolah seluruh negara melaksanakan persekolahan satu sesi, manakala sekolah yang masih kekal dua sesi terletak di bandar yang berdepan masalah kekurangan tanah.

"Pelaksanaan persekolahan satu sesi di sekolah dua sesi boleh dilakukan melalui pembinaan bangunan sekolah lebih tiga tingkat kerana di bandar besar kekurangan tanah.

"Baru-baru ini, saya memberi kelonggaran untuk membina bangunan lebih tiga tingkat di SMK Jalan Cochrane (Kuala Lumpur). Kaedah itu boleh diguna pakai kerana pembinaan bangunan lebih tinggi dari dulu tidak menimbulkan masalah.

"Saya juga menunggu laporan kajian di Setiu dan akan melihat kedudukan dan masalah sekolah satu sesi sekarang seperti fizikal dan tenaga pengajar yang perlu diisi sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, persekolahan satu sesi juga tidak menyebabkan berlakunya lebihan guru kerana pelaksanaannya dibuat secara berperingkat yang mana sekolah yang kekurangan guru untuk aktiviti tertentu diisi daripada lebihan guru di sekolah dua sesi.

Selain itu, katanya, pelaksanaan sekolah satu sesi di sekolah swasta, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Antarabangsa boleh dilaksanakan melalui kesepakatan Lembaga Sekolah yang memerlukan pendekatan berbeza.

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan dan penderaan seksual terhadap Nurin Jazlin Jazimin, 8, di Lebuh Ampang di sini hari ini.

Suspek itu, yang bekerja sebagai “orang tengah” di sebuah agensi pelancongan di bandar raya telah diajak oleh seorang rakannya ke sebuah kedai kopi di mana sepasukan polis menunggu untuk menahan lelaki itu.

Sumber polis berkata, serbuan itu dibuat selepas rakan suspek memberitahu polis bahawa suspek mungkin mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam Nurin.

Rakan suspek itu juga memberitahu polis bahawa lelaki yang disyaki itu mungkin terlibat dengan kes pencabulan dua kanak-kanak yang dilaporkan di Kampung Baru dengan menggunakan terung.

Difahamkan sebelum penahanan itu, rakan suspek telah meyakinkan suspek bahawa beliau mempunyai satu rancangan perniagaan yang perlu dibincangkan di kedai kopi itu.

Kira-kira pukul 2 petang, suspek tiba di kedai kopi itu dengan rakannya telah sedia menunggu.

Menurut rakan suspek, mereka pada mulanya membincangkan tentang usaha sama perniagaan sebelum menukar topik kepada perkara-perkara peribadi.

“Pada masa ini, saya menghantar SMS kepada sepasukan anggota polis berpakaian biasa yang menunggu di luar kedai kopi itu untuk bertindak.

“Lelaki berkenaan kemudiannya meminta saya menemui rakan perniagaannya dan mula berjalan ke arah sebuah bangunan yang terletak di seberang jalan.

“Pada saat inilah, saya menghubungi polis,” katanya di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, masih terlalu awal untuk polis mengulas mengenai penahanan suspek.

Difahamkan suspek itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Pada 20 Ogos, Nurin Jazlin dilaporkan hilang oleh bapanya Jazimin Abdul Jalil, selepas keluar seorang diri untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, di sini.

Di sebalik liputan meluas media dan usaha besar-besaran mencarinya, Nurin Jazlin tidak dapat dikesan.

Pada 17 September, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan tangga sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya.

Hasil ujian DNA mendapati mayat itu adalah Nurin Jazlin dan bedah siasat mendapati mangsa juga didera secara seksual.

Suspek berkenaan, yang memakai baju kemeja lengan panjang berwarna biru dan berseluar hitam, membawa sebuah beg untuk bertemu dengan rakannya di kedai kopi itu.

Difahamkan lelaki itu yang berasal dari Segamat, telah bertunang dengan seorang penyambut tetamu di sebuah hotel di sini. - Bernama

KUALA LUMPUR: Polis percaya pembunuh Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mayatnya ditemui dalam beg pakaian di Petaling Jaya, minggu lalu, dipercayai masih bersembunyi sekitar ibu negara.

Sumber memberitahu suspek juga dipercayai ketakutan kerana bukan saja diburu polis tetapi turut menjadi sasaran kecaman orang ramai yang marah berikutan tindakannya membunuh kanak-kanak tidak berdaya itu.

Katanya, polis juga sedang melakar wajah suspek berdasarkan maklumat seorang pemilik rumah, Ahad lalu, yang mendakwa pernah menemui lelaki itu kira-kira dua minggu sebelum mayat kanak-kanak itu ditemui.

"Ia dijangka siap dalam waktu terdekat dan gambar itu akan diedarkan kepada semua pegawai dan anggota polis selain pihak media bagi membantu memburu penjenayah berkenaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, Berita Harian melaporkan satu lagi petunjuk diperoleh polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin, apabila seorang lelaki mencurigakan dilaporkan mahu menyewa sebuah rumah tidak jauh dari mayat kanak-kanak itu ditemui, 17 September lalu.

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Bapa Nurin Jazlin, 8, Jazimin Abdul Jalil akur dengan Akta Perlindungan Kanak-Kanak yang membolehkan ibu bapa didakwa sekiranya didapati cuai menjaga anak mereka.

Namun, beliau berharap supaya pihak berkuasa menilai kes pembunuhan anaknya itu secara adil dan telus kerana pembunuhan Nurin Jazlin merupakan perbuatan jenayah, bukannya akibat kecuaian.

Menurut Jazimin, ibu bapa yang sewajarnya diambil tindakan melalui akta tersebut ialah mereka yang dengan sengaja mengabaikan anak masing-masing hingga anak mereka sanggup melakukan perbuatan jenayah seperti merompak dan merogol.

Tegasnya, ibu bapa yang kehilangan atau kematian anak gara-gara perbuatan penjenayah tidak seharusnya dipersalahkan kerana perkara yang berlaku adalah di luar jangkaan mereka.

“Setiap ibu bapa pasti berusaha memastikan keselamatan anak mereka dan tiada ibu bapa yang ingin melihat anak kecil mereka dibunuh atau dicederakan dengan sengaja.

“Tetapi, sekiranya anak mereka dibunuh orang, wajarkah ibu bapa yang dikatakan cuai sedangkan kami telah berusaha, namun takdir Allah lebih menyayanginya,” katanya sedih ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebelum ini bahawa ibu bapa kanak-kanak malang, Nurin Jazlin yang diculik dan didera secara seksual sehingga meninggal dunia boleh didakwa di mahkamah jika terdapat unsur kecuaian.

Tragedi

Menurut Mohamed Nazri, walaupun seluruh negara cukup bersimpati dan bersedih dengan tragedi itu, namun undang-undang negara perlu diutamakan.

Mengulas lanjut, Jazimin berkata, beliau tidak marah atau ambil hati dengan kenyataan menteri berkenaan kerana ia dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Kematian anak saya adalah di luar kuasa saya dan isteri tetapi kami tetap pasrah dan berharap perkara itu tidak dihadapi oleh ibu bapa lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon pihak berkuasa menumpukan kepada usaha mengesan pembunuh anaknya sehebat mungkin sebelum memberi perhatian kepada Akta Perlindungan Kanak-Kanak demi keadilan buat anaknya.

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes pembunuhan kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin, 8, supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, maklumat yang diterima daripada orang ramai sangat penting bagi membolehkan polis mengumpul maklumat mengenai kejadian itu dari semua sudut.

“Polis amat memerlukan kerjasama orang ramai membantu polis memberkas pembunuh terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keprihatinan seorang pemilik rumah yang membuat laporan polis berhubung tindakan mencurigakan seorang lelaki yang mahu menyewa rumahnya bersama anak perempuannya beberapa hari sebelum mayat Nurin jazlin ditemui.

Pemilik rumah berkenaan dikatakan turut membantu polis membuat lakaran wajah suspek.

Khalid bagaimanapun berkata, polis tidak dapat menyiapkan lakaran wajah suspek kerana maklumat yang diberikan tidak lengkap.

“Kita tidak boleh buat fotofit suspek pembunuh Nurin Jazlin dengan hanya berpandukan laporan orang ramai kerana setiap laporan yang diterima perlu disiasat terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, kita mengalu-alukan orang ramai membuat laporan jika mempunyai maklumat.

“Namun polis akan mengumpul dan mengkaji laporan tersebut sebelum mengeluarkan fotofit (lakaran wajah) suspek,” katanya.

Setiap laporan jelas Khalid, akan disiasat bagi memastikan kesahihannya.

“Jika laporan yang diterima relevan, barulah kita akan melakarkan fotofit suspek,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid meminta semua pihak bersabar dan memberi masa kepada polis untuk melakukan tugas mereka supaya siasatan secara adil dan telus dapat dijalankan.

Sementara itu, menjawab satu soalan, Khalid berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada rambut yang dijumpai dalam beg berisi mayat Nurin masih belum diterima dari Jabatan Kimia.

Oleh ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Orang ramai bukan sahaja berpeluang berkomunikasi dengan angkasawan pertama negara di angkasa lepas secara langsung setiap hari, malahan dapat berinteraksi dengan angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang lebih berpengalaman.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, stesen televisyen berbayar Astro yang dilantik sebagai pusat transmisi akan menyediakan rangkaian komunikasi dari empat lokasi iaitu Astana dan Baikonur, Kazakhstan; Moscow, Rusia serta Houston, AS secara serentak.

Jelasnya, ia merupakan pertama kali rangkaian sedemikian diwujudkan dan akan dipancarkan ke semua stesen televisyen tempatan.

“Melalui rangkaian ini, penonton boleh mengemukakan soalan dan para angkasawan itu akan menjawab segala kemusykilan.

“Kita sudah uji rangkaian ini dan ia ternyata berjaya,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran saluran Angkasa1 di sini hari ini.

Angkasa1 merupakan saluran baru di Astro yang akan memulakan siaran pada 8 Oktober ini iaitu dua hari sebelum pelancaran angkasawan pertama negara ke angkasa lepas hingga angkasawan itu pulang ke bumi pada 21 Oktober ini.

Saluran baru itu akan menggunakan bahasa Malaysia dan boleh diakses melalui saluran 588 Astro.

Selain pelancaran dan kepulangan angkasawan negara, saluran tersebut juga akan menyediakan program- program menarik lain secara langsung.

Antaranya sesi komunikasi dengan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS); temu ramah bersama Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; temu ramah dengan ibu bapa angkasawan serta saintis Program Angkasawan Negara.

Menurut Jamaluddin, program- program yang disediakan itu seharusnya tidak dilepaskan oleh golongan muda khususnya pelajar sekolah yang berminat untuk mendalami bidang aeroangkasa.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Astro TV, Rohana Rozhan.

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi diberitahu tiada had masa bagi mana-mana pegawai atau anggota polis untuk membuat permohonan bagi meminda atau membetulkan laporan apabila mereka menggunakan Sistem Laporan Polis (PRS).

Penyelia Unit PRS Bahagian Teknologi Maklumat (IT) Bukit Aman, Koperal Sim Gek Huang, 35, berkata anggota atau pegawai boleh membuat permohonan pindaan laporan polis pada bila-bila masa.

Sim berkata, berdasarkan pengalamannya menyelia sistem itu dan memantau laporan dibuat anggota lain, beliau belum pernah mendengar ada permohonan untuk meminda laporan ditolak berdasarkan alasan had masa.

Menjawab soalan peguam K K Wong yang mewakili penganalisis politik Abdul Razak Baginda (tertuduh ketiga) ketika sesi pemeriksaan balas, saksi ke-26 pendakwaan itu bagaimanapun berkata, ada permohonan pindaan yang ditolak tetapi bukan atas alasan had masa.

"Contohnya satu laporan yang berkaitan dengan narkotik, jika kandungan dadah hendak dipinda, kami akan tolak permohonan itu dan meminta pengadu membuat laporan polis baru," katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah, pada 7 November tahun lalu, Asisten Superintendan (ASP) Zulkarnain Samsudin membuat permohonan untuk meminda laporan polis yang dibuatnya mengenai pendedahan Koperal Sirul Azhar Umar berhubung barang kemas milik Altantuya.

Beliau berkata, Zulkarnain menghubungi melalui telefon dan memintanya menyemak laporan polis dibuat di Balai Tun H S Lee kerana beliau tertinggal beberapa ayat dalam laporan itu dan turut memaklumkan perenggan atau ayat mana yang perlu ditambah.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, beliau kemudian membuat draf pembetulan dengan mencatat apa yang perlu ditambah dalam laporan terbabit dan memasukkannya dalam satu senarai laporan.

"ASP Zulkarnain meminta saya meminda namanya dengan membuang huruf 'h' dan membuang satu 'd', selepas itu beliau meminta saya menambah nama suspek di barisan ayat kedua dengan menulis nama Sirul Azhar Umar.

"Beliau juga meminta saya meminda perkataan 'penama' di barisan ketiga kepada 'suspek' dan menambah perkataan 'sesuatu' selepas perkataan �mendedahkan� serta perkataan 'yang' selepas ayat 'di kawasan hutan' ditukar kepada 'ada'.

"Sementara itu bagi ayat 'berhubung dengan Travers Report', beliau meminta saya tukarkan kepada perkataan 'bersangkut'," katanya.

Sim berkata, selepas membuat draf pembetulan itu, beliau meminta Zulkarnain menghantar laporan kerosakan melalui Unit Sokongan.

Katanya, selepas menerima laporan kerosakan, beliau menggunakan kemudahan sistem pentadbir untuk menambah ayat dan pinda ayat mengikut laporan itu.

Tun Abdul Majid: Pembetulan dalam sistem dibuat oleh kamu?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Rujuk P76. ini adalah laporan yang dipinda?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Nombor laporan, waktu dan tarikh adalah sama, Cuma kandungan yang berubah?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Selepas laporan dibuat, adakah ia harus dihantar semula ke balai?

Sim: Ya, ia harus dicetak semula dan ditampal pada Buku Laporan Balai yang dilakukan oleh Zulkarnain sendiri.

Tun Abdul Majid: Jika tiada arahan oleh Zulkarnain untuk cetak dan tampal laporan yang dipinda, pada buku laporan balai masih ada laporan polis lama?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Dalam kes ini sepatutnya dia beritahu pada anggota balai Tun H S Lee?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Rujuk P76, bahagian tarikh lahir Zulkarnain iaitu 5/10/2073, dan umur adalah 33 tahun satu bulan. Bagaimana boleh berlaku sedemikian?

Sim: Apabila disemak balik oleh pihak pengaturcara komputer, didapati ketika pindaan ini dibuat, terdapat masalah.

Tun Abdul Majid: Kedua-dua laporan asal dan pindaan masih di dalam sistem?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Jika laporan asal tiada dalam sistem, yang akan dipaparkan adalah laporan yang dipinda?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Sejak bila?

Sim: Selepas pindaan itu dibuat.

Tun Abdul Majid: Sebaik pindaan dibuat, laporan asal terhapus?

Sim: Saya andaikan begitu. Buat masa sekarang yang boleh dilihat dalam sistem adalah laporan yang dipinda.

Tun Abdul Majid: Jadi sama ada laporan asal hapus atau tidak, kamu tidak tahu?

Sim: Saya tidak pasti.

Tun Abdul Majid: Laporan asal disimpan di mana?

Sim: Kami simpan dalam satu fail manual.

Sementara itu, menjawab soalan peguam bela Kamarul Hisham Kamarudin, Sim bersetuju Zulkarnain tidak menyatakan sebab mengapa pindaan dibuat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

Perbicaraan bersambung hari ini.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar meminta RTM mengeluarkan surat rasmi sekiranya beliau ‘digam’ stesen televisyen itu.

Kata Sharifah Aini, andai kata perkara itu benar, mengapa tidak RTM memaklumkan kepadanya menerusi surat rasmi.

“Sekurang-kurangnya, tahulah saya sebab sebenar ‘digam’ RTM. Saya sedih diperlakukan seperti ini, tanpa memberi peluang membuat penjelasan, saya terus dihukum.

“Saya tidak marah dengan apa yang berlaku, cuma berilah surat penjelasan,” katanya pada sidang media dan majlis berbuka puasa di Restoran Rebung, Bangsar, semalam.

Sharifah Aini berkata, beliau bergiat aktif dalam industri seni sejak 39 tahun dan dalam tempoh itu pelbagai dugaan sebagai insan seni dihadapinya.

Apa pun, saya tahu perkara ini berlaku selepas saya menarik diri menjayakan konsert Orkestra Simfoni Putrajaya 15 Julai lalu. Namun, penarikan diri itu ada sebabnya,” katanya.

Beliau berkata, penarikan diri itu dibuat kerana ibunya, Sharifah Noor Syed Ahmad, 72, sakit dan disahkan doktor menghidap radang paru-paru dan serangan jantung serta mendapatkan rawatan di Singapura.

“Jadi, sebagai anak salahkah saya mengutamakan ibu sendiri yang sedang sakit. Saya percaya sesiapa yang ada di tempat saya ketika itu akan berbuat demikian. Meninggalkan kerjaya demi ibu tersayang,” katanya.

Sharifah Aini berkata, beliau sudah memaklumkan penarikan dirinya seminggu sebelum konsert Orkestra Simfoni Putrajaya itu berlangsung.

Katanya, beliau menghantar e-mel kepada penolong penerbit konsert itu yang dikenali sebagai ‘Peace’ menjelaskan penarikan dirinya.

“Saya tidak tahu akhirnya ini yang terjadi. Tapi, saya masih menyimpan salinan e-mel yang dihantar kepada ‘Peace’ itu. Andai kata mereka mahukan buktinya, saya ada,” katanya.

Pada 23 September lalu, dalam ruangan Jeling Kak Pora di Berita Minggu, Sharifah Aini dikatakan ‘digam’ kerana lagu nyanyiannya tidak lagi disiarkan stesen Radio Klasik Nasional dan selepas `dirisik’ didapati semua stesen RTM tidak menyiarkan lagu biduanita itu.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada penarikan diri penyanyi lagu Bunga Tanjung itu daripada menjayakan konsert Okestra Simfoni Putrajaya.

Sebahagian penunjuk perasaan memegang bendera ‘Merak Bertempur’ berwarna merah ketika mengadakan perarakan antijunta tentera Myanmar di Yangon, semalam.
YANGON 25 Sept. – Sami Buddha yang mengetuai perarakan antikerajaan terbesar dalam tempoh hampir dua dekad mengingkari arahan junta tentera Myanmar hari ini supaya mereka tidak mencampuri urusan politik.

Sebaliknya mereka meneruskan protes di dua bandar terbesar di negara ini.

Berpuluh-puluh ribu sami dengan diiringi penyokong berarak keluar dari pagoda Shwedagon di sini untuk memprotes secara aman buat hari kelapan berturut-turut.

Bilangan lebih kecil melancarkan tunjuk perasaan serupa di bandar kedua terbesar, Mandalay.

“Protes ini bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat tetapi juga untuk sami yang memperjuangkan demokrasi dan rakyat berpeluang menentukan masa depan mereka sendiri.

“Rakyat sudah tidak tahan lagi dengan kerajaan tentera,” kata seorang sami kepada Associated Press (AP).

Demonstrasi itu dilancarkan sekalipun junta memberi arahan tegas kepada sami Buddha supaya menghentikan segala aktiviti politik dan kembali ke wat mereka.

Penunjuk perasaan juga tidak menghiraukan penyokong junta yang meronda di bandar ini untuk memberi amaran perhimpunan besar-besaran tidak dibenarkan.

Bilangan penunjuk perasaan di Yangon hari ini seperti semalam mencecah 100,000 orang, menjadikannya demonstrasi terbesar sejak pemberontakan 19 tahun lalu.

Kerajaan setakat ini belum mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan protes itu.

Bagaimanapun diplomat berkata, askar telah dikerahkan secara rahsia ke pusat bandar Yangon dan boleh diarah untuk bertindak pada bila-bila masa.

Beberapa sekolah di sini juga ditutup.

Khabar angin tersebar di seluruh Yangon mengatakan askar diarah untuk menembak penunjuk perasaan manakala sebilangan askar didakwa mencukur kepala untuk menyamar sebagai sami bagi menyusup masuk ke dalam kumpulan penunjuk perasaan bagi mencetuskan kekacauan yang akan mengundang tindakan keras kerajaan.

Hospital juga dilaporkan bersiap sedia untuk menerima pesakit dan penjara dikosongkan bagi memberi ruang kepada mereka yang ditangkap.

Terdahulu, pihak berkuasa di sini menggunakan pembesar suara untuk mengumumkan bahawa sami diarah tidak terlibat dalam “urusan sekular” dan mendakwa anasir tertentu cuba mencetuskan huru-hara.

Dalam perkembangan yang sama, masyararakat antarabangsa telah merayu kepada pihak junta tentera supaya tidak mengambil tindakan ke atas para penunjuk perasaan yang terbabit.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat George W. Bush dalam ucapannya di Perhipunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengumumkan sekatan baru ke atas junta tentera dan mendesak negara-negara lain supaya mengikuti langkahnya.

‘‘AS akan mengetatkan sekatan ekonomi terhadap ketua-ketua regim itu dan penyokong kewangan mereka,’’ kata beliau.

– AP

BANGKOK 25 Sept. – Junta tentera Myanmar mengadakan mesyuarat tergempar di “Pejabat Perang” di ibu negara barunya hari ini untuk merangka tindak balas terhadap protes antikerajaan.

Seorang diplomat di Yangon yang mendedahkan perkara itu bagaimanapun tidak dapat memberi keterangan lanjut mengenai mesyuarat di Naypyidaw, 450 kilometer ke utara Yangon itu.

Sementara itu, askar Divisyen ke-22, yang digunakan untuk menumpaskan pemberontakan pada 1988, telah diundurkan dari negeri Karen.

“Kerajaan mengarahkan askar itu berundur dan kembali ke Yangon,” kata pegawai tentera pemisah Karen Kolonel Nerda Mya.

Beliau percaya askar berkenaan akan digunakan untuk bertindak ke atas penunjuk perasaan seperti yang berlaku pada 1988.

– Reuters



JADI TUMPUAN: Sami Buddha berarak di Yangon kelmarin membantah kenaikan harga minyak oleh junta tentera.

Tragedi 1988 mungkin berulang di Myanmar

YANGON: Jeneral Myanmar mengancam mengambil tindakan terhadap sebarang cubaan demonstrasi terbaru semalam dan meletakkan kenderaan tentera di pagoda Shwedagon, yang menjadi tempat perhimpunan utama bantahan terbabit.

Kenderaan pembesar suara juga mengelilingi Yangon tetapi tidak menyatakan secara jelas tindakan yang akan dikenakan selepas tunjuk perasaan anti junta terbesar diadakan sejak 1988 apabila tentera bertindak melumpuhkan demonstrasi antikerajaan dan membunuh sekurang-kurangnya 3,000 orang.

"Orang ramai tidak digalakkan mengikut, menggalakkan atau mengambil bahagian dalam perarakan seumpama ini. Tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar arahan," kata mesej disiarkan di seluruh bandar terbesar Myanmar itu.

Penyiar juga mendakwa kelompok tertentu di kalangan sami Buddha terbabit mencetuskan bantahan dengan niat untuk mewujudkan kekecohan.

Amaran selain kemunculan sebilangan kecil askar Ligth battalion 77 di luar rumah ibadat terkenal di Myanmar itu menimbulkan kebimbangan peristiwa 1988 berulang.

The Burma Campaign UK berkata sumbernya melaporkan bahawa junta memesan 3,000 jubah sami berwarna merah dan meminta askar mereka membotakkan kepala kemungkinan untuk diserapkan dalam perarakan sami.

Pada 1988, kali terakhir rakyat negara itu muncul di jalan bersama 10,000 yang lain, ejen yang melakukan provokasi dilihat bersama dalam kumpulan terbabit bagi membolehkan tentera mencari alasan untuk campur tangan dan mengeluarkan arahan.

Walaupun lebih 150 orang ditahan sejak 19 Ogos lalu berikutan membantah kenaikan harga minyak, junta masih enggan meletakkan tentera mereka di jalan mungkin sebagai berhati-hati tidak mahu peristiwa 1988 berulang.

Penempatan tentera pertama kali dilihat semalam dengan kemunculan kenderaan tentera di kuil Shwedagon, yang menjadi tumpuan utama pergerakan bantahan terbabit sejak ia disertai sami seminggu lalu.

Selepas dianggarkan 50, 000 hingga 100,000 penunjuk perasaan disuraikan semalam, stesen radio memetik Menteri Hal Ehwal Agama, Brigadier Jeneral Thura Myint Maung berkata bahawa tindakan terhadap sami kanan akan diambil jika mereka tidak mengawal keadaan. � Reuters

TOKYO 25 Sept. – Ahli Parlimen veteran, Yasuo Fukuda yang berjanji membawa kestabilan dan kesederhanaan ke dalam arena politik Jepun dipilih menjadi Perdana Menteri oleh dewan rendah Parlimen hari ini.

Fukuda memperoleh 338 undi di dewan rendah, berbanding 239 undi yang diperlukan bagi meraih keputusan majoriti.

Pesaing terdekatnya, pemimpin pembangkang Parti Demokratik Jepun, Ichiro Ozawa mendapat 117 undi.

Keputusan itu memastikan Fukuda dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri Jepun pada lewat hari ini.

Ozawa telah memenangi pengundian di dewan tertinggi Parlimen yang dikuasai oleh pembangkang tetapi keputusan dewan rendah lebih diutamakan mengikut peraturan politik Jepun.

Fukuda, 71, menjadi orang pertama mengikut jejak langkah bapanya untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Beliau telah berjanji untuk mengekalkan kedudukan Jepun sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dalam kempen memerangi keganasan, memperbaiki hubungan dengan negara-negara jiran di Asia dan menangani jurang ekonomi yang melebar di negara ini.

Sementara itu, Fukuda hari ini juga mengumumkan pelantikan Menteri Luar, Nobutuka Machimura sebagai Ketua Setiausaha Kabinet.

Akhbar Jiji Press dan agensi berita Kyodo melaporkan, tempat Machimura diisi oleh bekas Menteri Pertahanan, Masahiko Komura.

Fukuda berkata, menteri kewangan akan dipegang oleh Fukushiro Nukaga manakala jawatan menteri pertahanan diserahkan kepada Shigeru Ishiba.

Machimura yang kini mengetuai Parti Demokratik Liberal (LDP), akan menjadi Ketua Setiausaha Kabinet yang juga pembantu kanan dan jurucakap kepada Fukuda.

– AP

NEW YORK 25 Sept. – Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dikritik secara terbuka apabila beliau hadir untuk menyampaikan ucapan di sebuah universiti terkemuka Amerika Syarikat (AS) semalam.

Kemunculan Mahmoud di Universiti Columbia itu berlaku sehari sebelum beliau dijadual berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), tetapi kehadirannya di sini telah mencetuskan kontroversi hangat lebih-lebih lagi kerana pendirian lantang beliau menentang Israel.

Mahmoud telah diejek dan dicabar oleh hadirin berhubung pandangan beliau mengenai peristiwa Holocaust.

Beliau dilihat menerima segala kenyataan yang dilontarkan ke arahnya dengan tenang tetapi mengadu mengenai “layanan tidak mesra” yang diberikan oleh para pegawai dan pelajar universiti tersebut.

Presiden Iran itu menggunakan kesempatan tersebut untuk menyangkal dakwaan beliau menafikan Holocaust pernah berlaku.

Beliau juga menegaskan, Iran berhak untuk membangunkan program tenaga nuklear bagi kegunaan awam dan Teheran tidak ada hasrat untuk membina senjata nuklear.

Bagaimanapun, sebelum beliau berucap, Mahmoud terpaksa duduk mendengar kritikan demi kritikan selama 10 minit daripada Presiden Universiti, Lee Bollinger.

Presiden Columbia itu sebelum ini dikecam hebat oleh pertubuhan Yahudi dan ahli politik AS kerana menjemput Mahmoud.

“Tuan Presiden, tuan menunjukkan segala ciri seorang diktator yang kejam dan berfikiran sempit.

“Mengapa tuan begitu takut dengan rakyat Iran yang melahirkan pandangan menuntut perubahan?” tanya Bollinger sambil menuduh Presiden Iran itu mengambil tindakan keras ke atas ahli akademik, golongan homoseksual dan penentang kerajaan di Iran.

Apabila beliau bangun untuk berucap, Mahmoud menuduh Bollinger melemparkan penghinaan dan dakwaan tidak berasas.

Mahmoud meneruskan ucapannya dengan menuduh AS cuba menyekat hasrat Iran untuk mencapai kemajuan saintifik menerusi program nuklearnya.

“Kami tidak percaya pada senjata nuklear kerana ini bertentangan dengan naluri manusia.

“Saya fikir ahli politik yang mahu membina bom atom atau mengujinya merupakan golongan yang mundur dari segi politik,” tambah beliau.

– AFP

NEW YORK: Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad dikecam ketika muncul berucap di Universiti Columbia kelmarin dengan presiden universiti berkenaan menggelar tetamunya itu sebagai 'diktator kerdil dan kejam' tanpa terlebih dulu mendengar ucapannya.

Kemunculan Ahmadinejad di Universiti Columbia, sehari sebelum beliau dijadualkan berucap di perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan keras pemimpin Iran itu terhadap Israel sebelum ini.

Bagaimanapun, Ahmadinejad kelihatan tenang menjawab segala kecaman terhadapnya walaupun disorak, diejek dan dicabar dengan keras berhubung pendapatnya mengenai 'holocaust' atau pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi di tangan Hitler pada perang dunia kedua.

Sebelum dapat berucap, Presiden Iran itu terpaksa duduk mendengar kecaman pedas presiden universiti di New York itu, Leo Bollinger yang sebelum ini dikutuk keras oleh kumpulan Yahudi dan ahli politik Amerika Syarikat kerana mempelawa Ahmadinejad untuk berucap di universitinya.

Bollinger berkata: "Tuan Presiden, Tuan mempamerkan segala tanda seorang diktator kerdil dan kejam.

"Kenapakah Tuan begitu takut untuk membenarkan rakyat Iran menyuarakan pandangan mereka mengenai perubahan yang mereka mahu? Kenapakah Tuan mengecilkan holocaust?"

Apabila akhirnya berpeluang berucap, Ahmadinejad berkata kenyataan Bollinger adalah penghinaan kepada maklumat dan pengetahuan yang dimiliki mereka yang hadir untuk mendengar ucapannya itu.

Ahmadinejad dengan tenang menjawab satu persatu isu yang dibangkitkan termasuk tujuan sebenar program nuklear Iran, keperluan membenarkan kajian ilmiah terhadap holocaust dan yang paling kuat mendapat ejekan daripada mereka yang hadir ialah jawapannya mengenai homoseks. – AFP

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Polis hari ini menahan reman dua lelaki warga Afrika dan dua wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam seorang kerani kewangan dan rakan serumahnya yang ditemui mati akibat ditikam di sebuah pangsapuri di Metro Perdana Timur 2, Kepong dekat sini, semalam.

Dua suspek warga Afrika yang merupakan pelajar kolej swasta dan jiran mangsa ditahan di kediaman mereka pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Turut ditahan, dua wanita warga Indonesia yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah yang dikatakan melawat suspek yang merupakan rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran berkata, keempat-empat suspek berusia 20-an dan 30-an itu direman selama enam hari sehingga 30 September ini.

“Polis masih menyiasat kemungkinan kedua-dua wanita itu turut terlibat dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, mayat kedua-dua mangsa, Wong Tan Yong, 32 dan Ang Ching Ping, 36, ditemui oleh adik perempuan Ching Phing yang kebetulan ke rumah mangsa kira-kira pukul 10.30 pagi.