UTUSAN MALAYSIA

Oleh: WAN MOHD. HAFIZ WAN HAMZAH

KUALA LUMPUR 24 Mei - Seorang pensyarah universiti hari ini mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Malah menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Beberapa ulama termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fatwa Muasaraahnya berpendapat nikah misyar adalah sah.

Mereka membenarkan amalan tersebut berdasarkan situasi mashalahat berlakunya ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin.

Perkahwinan misyar difatwakan harus oleh beberapa ulama negara Arab dan telah pun diamalkan di Arab Saudi serta beberapa buah negara Teluk.

Perbezaan antara perkahwinan misyar dengan mutaah ialah mutaah mempunyai tarikh atau tempoh tertentu bagi sesebuah perkahwinan manakala misyar tiada tempoh ditetapkan.

Isu nikah misyar mula menjadi tumpuan apabila beberapa pihak menggesa supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ia boleh dilaksanakan di negara ini atau tidak.

Ini kerana ada umat Islam di Malaysia yang berpendapat bahawa pernikahan tersebut merupakan salah satu cara bagi mengatasi masalah ramai wanita yang belum berkahwin.

Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.

``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah,'' tegasnya.

Apa yang menjadi masalah kata beliau, apabila timbul pertikaian berhubung siapa yang bertanggungjawab memberi nafkah dalam rumahtangga.

``Sekiranya tidak timbul soal siapa yang patut memberi nafkah atau siapa yang patut menanggung siapa, maka perkahwinan seperti itu tidak ada masalah untuk diamalkan.

``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.

Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak.

``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah.

``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.

Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan seumpama itu sepatutnya dibenarkan, berdasarkan permasalahan yang berlaku pada masa kini.

Bagaimanapun, katanya perkahwinan ini harus dilakukan secara jujur dan tidak disalahgunakan bagi menganiaya kaum wanita.
BERITA HARIAN

Oleh Mutazar Abd Ghani dan Shamshul Azree Samshir


PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan struktur baru tarif elektrik di Semenanjung membabitkan kenaikan pada kadar purata 12 peratus, berkuat kuasa bulan depan.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak membabitkan kira-kira tiga juta isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik kurang 200 kilowatt sejam (kwh) atau kadar bil bulanan kurang daripada RM43.60.

Kabinet memutuskan kadar sedia ada 21.8 sen setiap kWh bagi pelanggan kategori itu, dikekalkan.

Ketika mengumumkan struktur baru itu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencadangkan kenaikan purata 20 peratus bagi semua pengguna merangkumi sektor kediaman, komersial dan industri.

“Selepas dikaji dengan teliti dan dibincangkan mendalam, Kabinet meluluskan kenaikan 12 peratus secara purata,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Eksekutif TNB, Datuk Che Khalib Mohamad Noh.

Di TOKYO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan kenaikan itu berpatutan kerana 59 peratus daripada 5.1 juta isi rumah di negara ini dikecualikan daripada caj baru itu.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet mengambil kira kepentingan rakyat berpendapatan rendah, TNB dan syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

“Kerajaan tidak boleh ambil sikap tidak mahu menaikkan tarif kerana apa yang berlaku kepada TNB nanti boleh memudaratkan ekonomi kita. Kerajaan juga memikirkan kebajikan dan keperluan rakyat. Kita tidak mahu rakyat terlalu susah ekoran sesuatu tindakan yang kerajaan mesti ambil.

“Saya harap rakyat terima, ini tak boleh elak lagi walaupun ia jadi tindakan tidak popular. Tindakan ini melambangkan kita bertanggungjawab kepada pihak berkaitan, iaitu rakyat, TNB dan IPP,” katanya yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun.

Beliau menjelaskan, Kabinet juga memutuskan supaya Dr Lim meneruskan perbincangan untuk mencari rumusan terbaik berhubung kontrak pembekalan tenaga antara TNB dan IPP.

“Bukanlah satu tindakan yang melanggar kontrak apabila kita mencadangkan supaya kerajaan dan IPP berbincang untuk mengatasi masalah yang dihadapi TNB,” katanya.

Sementara itu, Dr Lim berkata, kedudukan kewangan TNB dijangka bertambah baik dengan pengenalan struktur baru itu, malah syarikat berkenaan dijangka mencatat perolehan tahunan sebanyak RM1.5 bilion.

Ini adalah kali pertama struktur tarif elektrik selepas tiada kenaikan diberi sejak 1997. Menerusi penstrukturan semula itu, 18 peratus atau kira-kira sejuta isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik pada kadar antara 201 kwh hingga 300 kwh atau bil bulanan RM44 hingga RM70, akan hanya mengalami kenaikan bulanan antara tiga sen hingga RM3.10.

Dr Lim berkata, kerajaan turut memperkenalkan tarif khusus untuk sektor pertanian, seperti penternakan ayam, penyembelihan, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, pemeliharaan ikan dan penanaman padi, yang lebih rendah daripada tarif komersial.

Tarif industri khas pula dikekalkan untuk pengguna industri yang merekodkan penggunaan elektrik pada kadar lima peratus atau lebih daripada kos operasi.

Beliau berkata, tarif baru elektrik itu juga mengekalkan diskaun 10 peratus untuk sekolah kerajaan, institusi pengajian tinggi awam, rumah kebajikan dan tempat ibadat.

Selain itu, kerajaan mengekalkan kadar tarif rendah bagi penggunaan elektrik di luar waktu puncak iaitu antara jam 10 malam hingga 8 pagi merangkumi pengguna dalam sektor komersial dan perindustrian.

Dr Lim berkata, struktur tarif berperingkat diputuskan selaras dasar kerajaan berhubung penggunaan sumber tenaga secara cekap.

“Sebagai contoh, pengguna boleh melaraskan alat penyaman udara kepada 24 darjah celsius dan bukannya 16 darjah celsius selain sektor perindustrian boleh menggunakan peralatan kelengkapan cekap tenaga,” katanya.
BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menaikkan tarif elektrik pada purata 12 peratus berkuatkuasa 1 Jun.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, yang mengumumkannya hari Rabu, berkata bagaimanapun isi rumah berpendapatan rendah yang menggunakan 200 kilowatt-jam (kWh) elektrik sebulan tidak akan terjejas dengan kenaikan itu.

Beliau berkata kadar sedia ada 21.8 sen setiap kWh bagi pelanggan berkenaan kekal tidak berubah.

Mengenai kira-kira satu juta isi rumah atau 18 peratus pengguna yang menggunakan antara 201 dan 300kWh elektrik sebulan dengan bil elektrik antara RM44 dan RM70 akan hanya mengalami kenaikan bulanan minimal antara tiga sen dan RM3.10, katanya pada sidang media di sini.

Dr Lim berkata kerajaan juga memperkenalkan tarif pertanian spesifik untuk membantu dan memodenkan aktiviti seperti penternakan ayam dan haiwan, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan dan penternakan ikan.

Tarif baru itu adalah lebih rendah daripada tarif komersil yang sektor pertanian sebelum ini diklasifikasikan di bawahnya.

Dr Lim berkata tarif khas perindustrian akan dikekalkan bagi pelanggan perindustrian yang penggunaan elektrik mewakili lima peratus atau lebih bagi kos operasi mereka.

TNB juga akan terus memberikan diskaun kepada sekolah-sekolah kerajaan, institusi pendidikan tinggi kerajaan, rumah kebajikan dan tempat ibadat, katanya.

Beliau berkata struktur tarif baru akan meningkatkan pendapatan tahunan TNB sebanyak RM1.5 bilion.

Pendapatan tambahan itu akan meletakkan TNB dalam kedudukan kewangan yang lebih baik untuk melabur semula dalam infrastruktur sedia adanya dari 2006-2010 bagi membolehkannya meningkatkan kebolehpercayaan dan kualiti bekalan dalam bidang utama seperti penjanaan, penyaluran dan pengagihan, katanya.

TNB dijangka melabur anggaran RM40 bilion untuk menaik taraf dan memperbaiki sistem bekalan elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dr Lim berkata kenaikan tarif, yang diluluskan pada mesyuarat Kabinet pagi ini "selepas perbincangan terperinci" diguna pakai untuk Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata kenaikan itu, yang pertama sejak 1997, diputuskan selepas pertimbangan sepenuhnya akan kesan cadangan TNB bagi struktur tarif baru ke atas majoriti penduduk Malaysia.

Dalam meluluskan cadangan itu, beliau berkata kerajaan telah mengambil kira kenaikan kos dan keperluan TNB untuk melabur semula dalam peralatan bekalan berikutan peningkatan permintaan dan perubahan persekitaran sosial Malaysia.

TNB telah mencadangkan kenaikan 20 peratus pada kadar tarif sedia ada bagi semua kategori pengguna dalam sektor kediaman, komersil dan perindustrian.
HARAKAHDAILY

Wed | May 24, 06 | 08:34:01 PM
Oleh Rizal Tahir
KOTA BHARU, 24 Mei (Hrkh) - Anggota Parlimen Kota Bharu, Dato' Zaid Ibrahim menarik balik kes samannya terhadap kerajaan Kelantan berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah ll (Hudud) yang difailkan kira-kira tiga tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Takiyuddin Hassan berkata, anggota Parlimen berkenaan memfailkan notis pemberhentian tindakan tersebut di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

"Kita telah menerima surat dari peguam kita mengatakan Dato' Zaid Ibrahim telah memfailkan notis pemberhentian tindakan tersebut di Mahkamah Persekutuan, di mana surat berkenaan bertarikh 5 Mei," ujarnya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Oleh kata beliau pada mesyuarat Exco yang bersidang tersebut kerajaan negeri bersetuju terhadap keputusan penarikkan itu dengan bersyarat dikenakan kos.

"Ini bererti kita bersetuju kes berkenaan ditarik balik tetapi dengan kos, di mana kos bakal ditentukan oleh mahkamah. Ia akan ditaksirkan pihak mahkamah,"ujarnya.

Sebelum ini Zaid melalui peguamnya sebagai pempetisyen membuat perisytiharan di mahkamah bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah ll 1993 bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

Ekoran itu, kerajaan negeri telah melantik peguam untuk mengendalikan kes berkenaan. Bagaimanapun perbicaraan ditangguhkan beberapa kali.

"Dan hari ini kerajaan negeri diberi maklum bahawa pihak pempetisyen telah menarik balik kes berkenaan.

Takiyuddin berkata, walaupun kerajaan negeri tidak mengetahui sebab sehingga pempetisyen menarik balik kes berkenaan, namun ia diterima dengan kos.

"Dalam mesyuarat Exco hari ini memang kita mengalu-alukan tindakan terbabit," ujarnya.

Takiyuddin juga berkata, Enakmen Jenayah Syariah ll adalah undang-undang yang sah kerana diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 dan disokong kesemua 39 Adun termasuk dua dari pembangkang.

Kedua-dua Adun berkenaan iaitu dari Sungai Pinang, Haji Nordin Salleh dan Adun Limbongan, Wan Mohd Najib Wan Mohamad.

Tegas anggota Exco terbabit apa yang lebih penting undang-undang hudud turut mendapat perkenan Sultan Kelantan, jadi ia telah menjadi undang-undang yang sah.

Bagaimanapun kata beliau kesahihannya akan terbatal sekiranya Mahkamah Persekutuan membuat satu deklarasi bahawa undang-undang berkenaan bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan.
HARAKAHDAILY

Wed | May 24, 06 | 07:38:52 PM
Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 24 Mei (Hrkh) - Kerajaan Kelantan bercadang mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Mohamed Nor Yaacop bagi membincangkan penggunaan dinar dan dirham.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, pertemuan itu akan diatur selepas kertas cadangan mengenai peranan Ar-Rahn berkaitan pengurusan dinar dan dirham disiapkan.

"Kerajaan negeri akan meneruskan hasrat ini sehingga menjadi kenyataan memandangkan ia memberi keuntungan kepada orang ramai apabila mengguna dinar dan dirham sebagai simpanan nilai," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Menurutnya, sebaik sahaja jawatankuasa ditubuhkan yang dianggotai pakar termasuk dari beberapa bank selesai menyiapkan kertas cadangan, pelaksanaan penggunaan dinar dan dirham dimulakan sekurang-kurang tempoh tiga bulan dari sekarang.


Husam juga berkata, Ar-Rahn yang diuruskan anak syarikat milik kerajaan negeri iaitu Permodalan Kelantan Berhad (PKB) mempunyai lapan pusat operasinya di seluruh jajahan.

"Ar-Rahn bakal menguruskan penggunaan dinar dan dirham sebagai tempat meletak nilai simpanan. Oleh itu tidak ada sebab kerajaan Pusat ingin menolak cadangan ini.

"Sebagai contohnya kalau kita pergi ke kedai emas, kita serahkan satu keping dinar untuk ditukarkan kepada wang biasa, jadi dia akan bayar kita RM350 untuk satu keping dinar," ujarnya. Sedangkan katanya, empat tahun lalu satu keping dinar berharga RM180.

Setiap tujuh gram perak bersamaan satu dirham, manakala satu dirham pula bersamaan RM9.

"Tahun lepas nilaian emas meningkat kepada 30 peratus dan ia dijangka meningkat lagi pada masa akan datang," katanya.

Ditanya mungkinkah dinar yang bakal dibuat menggunakan wajah Menteri Besar Kelantan, Husam berkata, "mood ni kita boleh buat macam-macam bentuk, cuma yang penting dalam Islam ialah berat," ujarnya.

Tambahnya, kalau satu dinar beratnya 3.25 gram dan satu dinar juga bersamaan dengan tujuh dirham.

"Itu dari segi berat dan ukuran pertukarannya yang telah ditetapkan dalam Islam, tetapi bentuknya boleh diletak macam-macam. Nak letak gambar kijang ke, bunga raya ke, gambar Tok Guru ke, sultan atau Pak Lah itu terpulang," ujarnya.

Bagaimanapun beliau yang juga Naib Presiden PAS menolak kenyataan Perdana Menteri tidak membenarkan Kelantan menggunakan dinar sebagai mata wang kerana itu bukan maksud sebenar kerajaan negeri.

Menurutnya, kemungkinan maklumat sebenar berhubung perkara berkenaan belum sampai sepenuhnya kepada Perdana Menteri sehingga beliau membuat kenyataan begitu.

Oleh itu beliau percaya sekiranya maklumat sebenar sampai kepada pengetahuan pemimpin terbabit, segala masalah dapat diselesaikannya dengan baik.

Beliau juga berkata, cadangan menggunakan nilai simpanan dinar ini bukan hanya untuk orang Islam, sebaliknya semua masyarakat di negeri ini. "Ini kerana, sesiapa sahaja yang menyimpan emas sebagai simpanan nilaiannya dan ia tidak akan susut, malah semakin bertambah," ujarnya.

Tambah beliau cadangan itu tiada unsur politik walaupun dikemukakan kerajaan pembangkang.

"Lagi pun ia adalah dasar kerajaan Malaysia sendiri, kita tidak lari dari dasar kerajaan dan Menteri Kewangan Kedua masih bercakap tentang 'dinar', jadi kami hanya menggunapakai cadangan itu," ujarnya.

Selain itu katanya, kebetulan pula rakyat Kelantan gemar memakai serta menyimpan barang kemas sehingga banyak terdapat kedai emas di negeri ini.

Kata beliau sekiranya kertas cadangan berhubung penggunaan dinar diluluskan kerajaan Pusat pada masa akan datang, kerajaan negeri akan menggunakan kemudahan itu untuk membayar gaji kakitangannya.

"Selain itu ia juga penting sebagai aset simpanan kepada bakal-bakal haji yang boleh digunakan mereka untuk menunaikan haji sekiranya diberi kebenaran kerajaan," ujarnya.

Menurutnya lagi nilaian dinar dan dirham boleh digunakan untuk deposit bagi tender balak pada masa akan datang memandangkan ia tidak bercanggah dengan dasar Kerajaan Persekutuan.
HARAKAHDAILY

Wed | May 24, 06 | 08:38:44 AM
Oleh Razak Beghani

Ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan, Dato' Husam Musa dalam Seminar Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Islam 2006 anjuran Pusat Kajian Strategik Kelantan, 21 Mei lepas sebenarnya melontarkan kembali suatu cetusan idea untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kekangan ekonomi.

Bagaimanapun isu ini mencetuskan kontroversi apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa berada di Sharm al-Sheikh Mesir, dengan tegas menolak apa yang dikatakan hasrat Kelantan untuk mempraktikkan perlaksanaan Dinar dan Dirham dalam tempoh tiga bulan lagi.

Sedutan daripada ucapan Husam

Seminar ini diadakan di atas impian Tuan Guru, Dato' Menteri Besar, untuk melihat sebuah bank berasaskan prinsip mudharabah yang walaupun impian ini memerlukan masa yang panjang untuk direalisasikan tetapi ini adalah sebuah impian YAB Menteri Besar dan insya-Allah pada suatu masa impian ini akan dilaksanakan sama seperti program-program yang telah kita laksanakan sebelum ini.

Allah SWT telah memberi izin kepada kita mencari keuntungan melalui jalan yang halal iaitu berjual beli yang sangat luas dan Allah mengharamkan riba. Dan telah menjadi satu cara Allah bila Dia on satu perkara dan off satu perkara tanpa Dia tidak memberi satu jalan keluar.

Riba kita tak perlu ulas kesan negatifnya kepada ekonomi dunia keseluruhannya, termasuk statistik -statistik dunia yang menunjukkan negara kurang maju yang meminjam dari negara maju berakhir dibelit oleh pinjaman-pinjaman yang besar.

Hari ini Amerika memerlukan pinjaman 2 billion US setiap hari untuk membiaya belanjawan defisitnya.

Seluruh dunia tahu kita perlu keluar dari belitan riba tetapi dunia tidak mempunyai jawapan selain Islam yang memberi jawapan terhadap sistem ini, tetapi malangnya kuasa negara Islam yang sebenar telah runtuh dan oleh kerana itu kita dalam proses memulihkan semula, bukan sahaja kuasa pemerintahan, malah seluruh sistem yang telah diasaskan oleh Islam.

Apa yang telah digembar-gemburkan seperti proses globalisasi, free trade, sebenarnya pada zaman keemasan Islam telah pun di’globalise’kan oleh Islam.

Pada waktu itu, mata wang tunggal ialah emas, yang dipanggil sebagai dinar diterima pakai di seluruh negara Islam. Oleh kerana itu, kita tidak ada masalah currency. Kita mempunyai single currency based on gold atau berasaskan emas.

Dan kita pada asasnya memiliki single citizenship yang tidak memerlukan batas-batas yang memerlukan visa ataupun pasport untuk memasuki mana-mana wilayah-wilayah Islam yang luas bahkan di luar wilayah Islam.

Sebab itu, wujud Jalan Sutera dan perdagangan laut sehingga ke kepulauan Maluku. Maluku adalah berasal dari root bahasa Arab al-Mulk atau al-Malik, yang kemudiannya menjadi Maluku, sebagai simbol Islam menguasai jalan perdagangan ini dan kebebasan perdagangan telah berlaku pada waktu itu.

Dan kemudiannya hanya apabila Islam runtuh, penjajah-penjajah telah memperkenalkan sempadan-sempadan berasaskan Negara Bangsa atau Nation State. Dan pada waktu itu, diperkenalkan visa yang kadang-kadang hendak memasuki negara Islam dengan negara Islam yang lain memerlukan 14 hari permohonan visa yang menghalang secara automatik pergerakan perdagangan bebas dan kemudian diperkenalkan mata wang berasaskan negara bangsa tersebut yang telah membataskan lagi kelancaran perdagangan bebas pada waktu itu bagi membolehkan penjajah menguasai perdagangan dunia.

Oleh kerana itu, sebenarnya, globalisasi dari satu segi sebenarnya adalah satu kebangkitan Islam yang universal, yang akan memulihkan semula perdagangan bebas sebenar, yang adil dan saksama kepada masyarakat dunia.

Dan dalam konteks ini, kita memerlukan pemulihan currency kita iaitu dinar yang berasaskan pada emas, dan perak iaitu dirham. Dalam sistem kewangan Islam, bagi memastikan tidak ada unsur riba, wang itu sendiri mestilah mata wang yang sebenar.

Bukan satu issuance paper money, keluaran wang kertas yang kemudiannya diperakukan sebagai gambaran nilai yang sebenarnya adalah satu ilusi. Oleh kerana itu, saya yakin kita memerlukan pemulihan penggunaan mata wang kita.

Satu masa, pada peringkat kerajaan kita seolah-olah seakan-akan sudah memahami kepentingan dinar dan dirham. Dinar ialah 4.3 gram emas iaitu ukuran yang telah ditetapkan pada Zaman Saidina Umar al-Khattab dan dirham ialah 7 gram perak. Dan satu dinar bersamaan 7 keping dirham.

Tetapi kemudian, selepas pertukaran perdana menteri baru, tajuk ini telah lenyap. Kerajaan Kelantan Alhamdullilah atas arahan YAB Tuan Guru telah mengambil inisiatif mengadakan satu jawatan kuasa untuk memulakan penggunaan dinar dan dirham melalui outlet ar-Rahn yang telah kita tubuhkan.

Suka saya memberikan sedikit latar belakang kepada kepentingan ar-Rahn dalam sistem kewangan negeri Kelantan. Saya masih ingat di Jalan Sultan Ibrahim suatu masa dahulu ada beberapa kedai pajak gadai di situ yang sentiasa dikerumuni oleh orang Islam.

Dan kedai pajak gadai ini mengasaskan perniagaaan mereka pada; pertama, interest di mana barangan yang ditukarkan sebagai pajakan dikenakan interest yang sangat tinggi, lebih kurang sistem along sekarang.

Yang kedua, mengenakan penilaian yang sangat rendah, misal kata barang seribu, dinilaikan sebanyak 300 ringgit dan dikenakan pinjaman tiga ratus ringgit, dikenakan interest yang sangat tinggi yang menyebabkan akhirnya yang menggadai tidak mampu untuk menebusnya yang akhirnya menyebabkan sebahagian harta orang Islam ditelan oleh sistem ini.

Hanya apabila YAB Tuan Guru pada waktu itu menjadi Menteri Besar dan atas bantuan Dato’ Hj. Halim yang ketika itu Timbalan Menteri Besar telah menyusun satu sistem ar-Rahn ini dan sehingga hari ini, kita telah mengeluarkan pinjaman atau aliran keluar masuk wang berjumlah 500 juta ringgit.

Dan ini membantu peniaga-peniaga kecil mendapatkan pinjaman mudah dalam bentuk gadaian barang kemas mereka yang tidak dikenakan interest, kita tukar kepada sistem bayaran simpanan, dan tidak ada sistem lesapan dan dengan penilaian yang sebenar. Dan ini telah berjaya menyelamatkan kewangan masyarakaat Islam Kelantan, tetapi lebih penting daripada itu, pada pendapat saya ialah melalui ar-Rahn telah memperkukuhkan sistem simpanan nilai rakyat Kelantan dalam bentuk emas.

Ini yang penting sekali kerana emas sahaja yang boleh menentang inflasi ataupun emas dan perak yang mempunyai nilai di atas dirinya sendiri dapat menentang inflasi.

Misalnya, dalam tahun 2005 emas di peringkat antarabangsa telah meningkat 30% sedangkan mata wang dolar telah merosot lebih besar daripada itu. Jika kita menyimpan wang di bank sekalipun, walaupun kita mendapat interest, ia ditelan oleh inflasi yang terus meningkat dan kejatuhan matawang kertas. Dan jalan yang paling selamat ialah kita simpan dalam bentuk Emas. Dan satu daripada bentuk emas itu ialah dalam bentuk kepingan yang dipanggil dinar.

Insya-Allah apabila persiapan ini selesai, kita akan memulakan peringkat yang paling awal, paling kecil sekali dengan menjadikan ar-Rahn sebagai outlet menjual dan membeli dinar. Dan Insya Allah kemudiannya kita boleh kembangkan untuk memberikan pilihan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan Negeri Kelantan untuk menerima gaji mereka sama ada dalam bentuk ringgit sebahagiannya, dan sebahagian lagi dalam bentuk dinar. Dan dengan itu, memerlukan bank-bank yang mempunyai simpanan wang emas.

Walaupun hari ini, keseluruhannya bank Islam tidak mempunyai akaun ini, tetapi saya yakin apabila sistem ini kita mulakan, bank dengan sendirinya memerlukan pembukaan akaun dalam bentuk emas yang akan kita gunakan dalam unit Dinar dan Dirham.

Dari sini, mungkin kita boleh perkembangkan lagi menjadikan sebahagian daripada bayaran yang diterima oleh kerajaan seperti premium pembalakan, sebahagiannya secara opsyen dibayar dalam bentuk dinar dan dengan sendirinya kita dapat memberikan satu simpanan nilai yang berkembang mengikut kadar inflasi sesebuah negara.

Insya-Allah perkara ini dalam proses, dan atas hasrat YAB Tuan Guru juga, kita telah berbincang dengan beberapa bank tempatan untuk memulakan satu akaun amanah bagi membolehkan rakyat Kelantan khususnya dapat melabur dalam akaun amanah ini untuk kita majukan beberapa projek dalam negeri Kelantan seperti pembangunan Bandar Baru Tunjong di mana pengambilan tanah sedang berlaku dan rakyat yang mempunyai wang dari jualan tanah mereka dan kita galakkan mereka melabur dalam akaun amanah ini untuk dilaburkan semula dalam bentuk pembangunan harta tanah di bandar tersebut.

Atas dua tiga konsep ini, kita berharap kita memulakan langkah utama lagi praktikal kepada dinar dan dirham,dan InsyaAllah pada suatu masa kita akan dapat menggantikan peranan US Dolar atau Euro pada masa akan datang. Di peringkat kerajaan Malaysia, saya ingat yang boleh mereka lakukan secara immediate ialah untuk membolehkan untuk jamaah haji diberikan satu kad online yang mencatitkan milik keping dinar mereka miliki sebagai deposit haji dan mereka boleh “cash”kan dinar ini di Arab Saudi dengan tidak memerlukan lagi conversion kepada dollar.

Saya berharap pada persidangan ini cita-cita YAB Tuan Guru untuk merealisasikan sebuah bank yang benar-benar berasaskan mudharabah dengan bantuan rakan-rakan kita sebagai panelis dan yang terakhir sekali saya difahamkan walaupun kita sudah memulakan sistem perbankan Islam agak alam tetapi dari segi regulation yang mengawal perbankan Islam saya difahamkan sesetengah bankers bahawa banyak lagi regulasi yang tidak memberikan invironment yang kondusif bagi bank-bank Islam berkembang selaras dengan prinsip-prinsip syariah yang sebenar, bahkan saya difahamkan beberapa produk bank Islam pada keseluruhannya masih perlu dikaji.

Kita berharap kerajaan Malaysia tidak statik dalam isu regulation perbankan Islam. Mesti dinamik bukan sahaja perbankan Islam itu mesti berkembang tetapi peraturan-peraturan yang mengawasinya dan memberikan ruang hidup untuk perbankan Islam ini mesti diberikan nafas yang dinamik untuk dipertingkatkan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dan dengan itu, barulah bank Islam dapat akhirnya benar-benar menjadi Islamic Banking, bukan hanya pada namanya. Hanya dengan itu, kita dapat lipat-gandakan kekuatan kewangan umat Islam. - mks.
ALOR STAR - Tuan rumah Sukan Malaysia Ke-11, Kedah berusaha melakarkan permulaan cemerlang bukan sahaja sebagai penganjur malah dalam saingan merebut pingat emas yang mula ditawarkan hari ini.

Tumpuan awal negeri Jelapang Padi itu sudah pasti kepada acara wusyu yang membuka gelanggang di Dewan Modenas, Kompleks Sukan Kriss Gurun dalam usaha untuk mencapai sasaran 60 emas mereka.

Dengan menganggap wusyu sebagai antara `lombong emas' utama mereka, Kedah mengharapkan `feng shui' yang baik untuk mendapat penghormatan menjadi kontinjen dan atlet pertama yang memenangi emas pada temasya kali ini.

Untuk itu, Kedah meletakkan harapan tinggi kepada pesertanya dalam acara Taijiquan lelaki, Ooi Shi Jia untuk merealisasikan impian itu.

Malah jika bernasib baik, Kedah dijangka menyapu dua daripada enam pingat emas yang ditawarkan hari ini.

Selain Shi Jia, Kedah mempertaruhkan peserta acara Changquan lelaki, Ng Say Yoke yang telah menjalani latihan di China baru-baru ini untuk meraih pingat emas kedua.

Sebanyak enam acara akhir dipertandingkan hari ini. Selain acara Taijuquan dan Nangquan lelaki, empat lagi acara ialah Nanquan dan Jianshu lelaki serta Nanquan dan Taijiquan wanita.

Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur merupakan kuasa besar sukan wusyu Sukma yang dijangka menjadi pencabar utama kepada Kedah.

Turut menawarkan pingat emas hari ini ialah acara skuasy individu apabila perlawanan akhir perseorangan lelaki dan wanita berlangsung di Kompleks Sukan Muadzam Shah di sini.

Pulau Pinang sudah pun memastikan satu pingat emas berada dalam genggaman mereka apabila dua pemain wanitanya, Low Wee Wern dan Nabilla Ariffin akan bertemu sesama sendiri di akhir.

Kontinjen Pulau Mutiara juga mempunyai wakil dalam perlawanan akhir bahagian lelaki menerusi Randy Lim yang akan bertemu pemain Perak, Choong Kam Hing.

Kedua-dua pemain ini melakukan kejutan di separuh akhir semalam. Randy yang diletakkan pemain pilihan keempat mengejutkan pemain pilihan pertama dari Selangor, Yuen Chee Wern manakala Kam Hing yang merupakan pilihan ketiga menewaskan pemain pilihan kedua dari Wilayah Persekutuan, Asyraf Azan.

Acara renang juga membuka gelanggangnya hari ini dengan menawarkan lapan pingat emas di Kompleks Akuatik Gunung Keriang di sini.

Acara akhir yang dilangsungkan hari ini ialah 200 meter gaya bebas lelaki dan wanita, 100 meter kuak dada lelaki dan wanita, 50 meter kuak lentang lelaki dan wanita serta 400 meter rampaian perseorangan lelaki dan wanita.

Atas kertas, tumpuan sudah pasti kepada perenang Selangor, Sarawak dan Negeri Sembilan jika pencapaian pada Sukma 2004 lalu diambil kira.


UTUSAN MALAYSIA


KUALA LUMPUR - Telekom Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila muncul selaku naib juara Liga Super di belakang Negeri Sembilan Naza menutup aksi terakhir semalam sebelum kempen Piala Malaysia bermula.

Walaupun Telekom tewas 3-0 kepada MPPJ di gelanggang sendiri, pasukan itu boleh menarik nafas lega apabila pasukan saingan terdekat, Peraktumpas 0-2 kepada juara Liga Super, Negeri Sembilan Naza.

Ketika Telekom meraikan kejayaan manis muncul naib juara, dua pasukan gergasi – Selangor danPahang pula menduduki dua tangga terbawah liga.

Ini bermakna Pahang yang masih segar dengan gelaran juara Piala FA dan Selangor akan mengharungi saingan playoff bulan depan buat menentukan peluang mereka untuk kembali semula ke Liga Super musim 2006/2007.

Di Stadium Hang Jebat, MPPJ terselamat kekal beraksi di Liga Super musim depan selepas menang 3-0 ke atas Telekom Melaka.

Gol-gol MPPJ dijaringkan menerusi Rachid Zmama (m-7, 73) manakala satu gol oleh Juan Manuel Arostegui pada minit ke-40.

Di Stadium Darul Makmur, juara Piala FA, Pahang mencatat kemenangan tipis 2-1 menewaskan Pulau Pinang E&O.

Pahang membuka tirai jaringan pada minit ke-35 hasil tandukan Hairuddin Omar.

Bagaimanapun pelawat menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-41 menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter yang dilakukan oleh Mat Saiful Mohamad.

Josiah Seton muncul hero menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84.

Di Stadium Perak, juara Liga Super Negeri Sembilan mudah menewaskan Perak 2-0.

Pelawat tangkas memecah kebuntuan jaringan gol pada minit ke-43 menerusi bekas pemain Olimpik, Idris Abdul Karim.

Idris meledakkan sepakan daripada jarak 20 meter mengenai palang sebelum bergolek masuk menerjah jaring pada minit ke-43.

Christian Bekamenga menambah gol kedua Negeri Sembilan Naza apabila mencipta jaringan pada minit ke-66.

Di Stadium Utama Kangar, Naib juara Piala FA, Perlis mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan selepas menewaskan Selangor 3-2.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh Philimon Chepita (m-2), Mohd. Nazaruddin Md. Zain (28) dan Adrien Jurad Chamrong (70).

Gol Selangor pula menerusi Wan Rohaimi Ismail (30) dan Bambang Pamungkas (49).

KEPUTUSAN LIGA SUPER

Pahang 2 P.Pinang E&O 1

Perak 0 NS Naza 2

Perlis 3 Selangor 2

Telekom 0 MPPJ 3

UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 23 Mei - Kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan sekurang-kurangnya 10 peratus tarif elektrik esok yang mungkin berkuatkuasa pada bulan depan.

Pengumuman itu akan dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang akan diadakan oleh Menteri Air, Tenaga dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik selepas mesyuarat Kabinet, esok.

Sumber-sumber berkata, jika kenaikan tarif itu diumumkan, kerajaan pastinya akan memegang pada janji bahawa kenaikan tersebut tidak membebankan rakyat.

Selain itu, kata mereka, struktur kadar baru itu juga akan menawarkan tarif khas bagi industri-industri yang kritikal terutamanya pertanian dan penternakan haiwan.

Sebilangan penganalisis ekonomi sebelum ini, telah mengunjurkan bahawa kerajaan akan membenarkan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menaikkan tarif secara minimum, pada paras 10 peratus sahaja.

Kenaikan tarif itu amat penting kepada TNB dalam usaha memastikan syarikat milik kerajaan itu mampu terus berdaya maju.

Syarikat utiliti itu perlu mendapat dana baru bagi meningkatkan keluaran tenaganya, memperbaiki infrastruktur elektrik, menangani kesan kenaikan kos bahan api dan melegakan beban hutang hampir RM30 bilion.

“Jika kenaikan itu diluluskan, ia adalah yang pertama sejak sedekad lalu. Kali terakhir, tarif elektrik dinaikkan oleh kerajaan adalah pada tahun 1997 sebanyak 8.3 peratus,” kata sumber-sumber itu.

Mengikut struktur tarif semasa, purata kadar bayaran bagi keseluruhan kegunaan domestik ialah 23.45 sen bagi setiap 100 kiloWat sejam (kWj) yang pertama.

Mengikut pecahannya, kegunaan 100 kWj yang pertama bagi kediaman ialah 21.8 sen, komersial 27.5 sen dan industri 21.25 sen.

TNB telah mengemukakan kenaikan tarif bagi pengguna yang bil bulanannya melebihi RM33 dan syarikat itu menjamin pengguna daripada kumpulan berpendapatan rendah iaitu 45 peratus daripada 6.2 juta pelanggannya, tidak akan terjejas.

CIMB Securities menganggarkan setiap kenaikan bersih satu peratus dalam harga tenaga akan meningkatkan perolehan sesaham TNB antara tujuh peratus hingga lapan peratus.

Pada 13 April lalu, TNB mencatatkan kerugian ekonomi sebanyak RM1 bilion apabila mengumumkan hasil kewangan bagi tempoh enam bulan berakhir 28 Februari 2006.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dilapor menyatakan, syarikat utiliti itu menghadapi cabaran kenaikan perbelanjaan operasi yang melebihi pertumbuhan permintaan elektrik berikutan lonjakan harga sumber tenaga sedunia.

Katanya, keadaan itu membimbangkan kerana kedudukan kewangan TNB sehingga akhir tahun ini tidak akan dapat dipertahankan jika permintaan supaya tarif elektrik dikaji semula tidak dilayan.

UTUSAN MALAYSIA
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM


PETALING JAYA 23 Mei - Seorang pelumba kereta yang juga bekas suami penyanyi dan pelakon Linda Rafar, Keifli Othman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengambil dadah berbahaya jenis methamphetamine di sebuah pusat hiburan, awal pagi Ahad lalu.

Keifli, 33, yang berambut perang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azroul Hisham Azulan.

Bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di 32-2, Jalan PJU, Mutiara Damansara di sini pada pukul 5 pagi, 21 Mei lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis jika sabit kesalahan.

Turut didakwa ialah 21 pengunjung lelaki dan lapan perempuan berusia antara 17 dan 35 tahun yang juga mohon dibicara.

Mereka termasuk bekas pengacara, Wan Putra Hafeez Datuk Hizani Hamzah, 25, dan model, Johan Hussein Bakhtiar, 34, empat pelancong warga Belanda, Roelof Stijnman, 27, Daniel Deckers, 25, Sabne Agnes, 24, dan Joes Bek, 26, serta penyunting video warga Indonesia, Kemal Masuara, 26.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes 9 Ogos ini.

Keifli dibebaskan selepas ayahnya, Datuk Othman Abdul Manan membayar wang jaminan.

UTUSAN MALAYSIA
Oleh DALIZA ARIFFIN dan NORIZAN ABDUL MUHID


KUALA LUMPUR 23 Mei - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pemilik Menara Matrade yang siap selepas sembilan tahun, menuntut siasatan turut dijalankan ke atas proses pemberian tender projek itu bagi meneliti jika wujud sebarang penyelewengan.

Ia juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya untuk mendakwa bekas-bekas pengarah syarikat kontraktor terbabit ke mahkamah.

Jika semua prosedur siasatan ini dijalankan, ia dijangka menjadi satu tindakan perundangan terbesar membabitkan kes urus tadbir korporat dalam sejarah negara.

Menterinya, Datuk Seri Rafidah Aziz menegaskan, cadangan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mendakwa pengarah syarikat pemaju dan kontraktor projek itu ke mahkamah sahaja tidak mencukupi.

Malah, kata beliau kemungkinan berlakunya penyelewengan semasa di peringkat pemberian tender tidak harus diketepikan dan harus disiasat kerana kerajaan, Matrade dan para usahawan telah menanggung kerugian akibat kelewatan projek itu.

``Saya rasa inilah punca berlakunya kelewatan projek ini, kita perlu siasat bagaimana tender itu diberi, kenapa dan siapa yang menawarkannya,'' kata beliau.

Kontrak asal pembinaan Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia itu diserahkan kepada Perangsang International Sdn. Bhd. (PISB), tetapi ditamatkan Mac tahun lalu ekoran kegagalan syarikat itu menyiapkan projek tersebut.

PISB, syarikat pelaburan kerajaan Selangor pada masa itu, kemudian dijual kepada pihak lain.

Bangunan yang dibina pada 1997 dengan kos asal RM167 juta itu meningkat kepada RM287.5 juta, dengan kira-kira RM64.8 juta dibelanja untuk kerja pembaikan setelah beberapa kecacatan dikesan.

Menara Matrade menjadi kontroversi setelah projek pembinaannya tertangguh begitu lama sebelum diserahkan kepada MITI hari ini.

Rafidah menerima secara rasmi menara itu bagi pihak MITI daripada Kementerian Kerja Raya di sini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Samy Vellu dan beberapa pegawai kanan kedua-dua kementerian.

Selain itu, Rafidah memberitahu, ekoran kelewatan projek berkenaan, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan RM120 juta.

``Dengan jumlah sebanyak itu, kita boleh membina dua lagi bangunan Matrade,'' katanya.

Rafidah berkata, siasatan menyeluruh itu perlu melibatkan pihak yang menawarkan tender, nama kontraktor yang terpilih, syarat-syarat tender dan kos projek.

Jelasnya, selain kos tambahan, Matrade juga hilang punca pendapatan daripada sewaan ruang pameran kepada peniaga memandangkan premis sementara agensi itu di Jalan Raja Laut di sini, adalah sempit dan terhad.

``Kita inginkan penjelasan dan berharap JKR tidak mengulangi masalah yang sama pada masa akan datang,'' tegasnya.

Rafidah juga secara sinis menyatakan sepanjang tempoh kelewatan projek tersebut, kementeriannya menyaksikan pertukaran tiga ketua pengarah, empat Ketua Setiuasaha kementerian dan tiga pengerusi Matrade.

``Nasib baik saya dan Samy masih memegang jawatan menteri yang sama. Kalau tidak, sehingga kami bersara pun, tidak mungkin rasanya kami berdua dapat menjejakkan kaki ke sini,'' kata beliau.

Sementara itu, Samy memberi jaminan akan mengheret pengarah syarikat PISB ke mahkamah selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara untuk berbuat demikian.

``Tindakan mahkamah akan diambil ke atas pengarah-pengarah syarikat terbabit biarpun mereka mendakwa syarikat tersebut tidak lagi wujud.

``Mereka sudah buat kesalahan besar seperti ini. Mereka harus bertanggungjawab dan tidak boleh lari sahaja daripada masalah ini,'' katanya.

Jelas beliau, pihaknya sudah memulakan siasatan mengenai perkara itu dan keputusan siasatan akan didedahkan apabila waktu sesuai kelak.

Bagaimanapun, jelas beliau, perkara itu tidak perlu dibentangkan pada mesyuarat Kabinet kerana ia adalah salah satu bidang tugas kementeriannya.

Kegagalan PISB menamatkan projek itu mengikut jadual mengakibatkan ia diarah membayar caj lewat serahan berjumlah RM41,750 sehari bagi tempoh 2,276 hari, iaitu sehingga tarikh kontrak ditamatkan.

PISB, sebelum dijual kepada sebuah syarikat lain, adalah subsidiari Kumpulan Hartanah Selangor Bhd. (KHSB), syarikat pelaburan kerajaan Selangor.

UTUSAN MALAYSIA
Oleh Rizar Tahir

KOTA BHARU, 23 Mei (Hrkh) - Keliru dan mudah melatah mungkin istilah sesuai digambarkan terhadap Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila terus menolak cadangan Kelantan mahu menggunakan nilaian dinar dan dirham di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa terkilan di atas ulasan yang begitu cepat diberikan Perdana Menteri berhubung perkara itu tanpa mendapat maklumat sebenar mengenainya.

"Kenapa terlalu cepat sangat buat kenyataan berhubung penggunaan nilaian emas dan perak. Sebenarnya kita boleh berunding, lagi pun ia bukan perkara baru.

"Ia sudah timbul sejak sekian lama dan saya pernah berjumpa dengan pemimpin Sepanyol dan German berbincang perkara ini," ujarnya kepada pemberita di sini, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, kerajaan negeri bercadang menggunakan nilaian dinar dan dirham bagi menjaga mata wang supaya tidak susut.

Oleh itu, pajak gadai Islam Ar-Rahn yang diurus di bawah Permodalan Kelantan Berhad diberi tanggungjawab untuk menjayakannya iaitu mengeluarkan syiling dalam bentuk emas (dinar).

Kelmarin ketika mengulas hasrat kerajaan Kelantan itu, Abdullah dilaporkan berkata, dasar kewangan negara tidak membenarkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang sendiri.

Sedangkan kenyataan awal Husam bukan mengeluarkan mata wang sendiri, sebaliknya menggunakan nilai emas yang dikenali sebagai dinar dan dirham (perak) bagi membolehkan orang ramai menyimpannya kerana ia tidak susut nilai.

Menteri Besar berkata, nilaian emas dan perak bukan hanya diguna di zaman Rasulullah s.a.w, sebaliknya sehingga zaman sekarang di kebanyakan negara.

Selain itu, menurutnya penggunaan dinar juga dapat mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab membuat wang kertas sendiri dengan menggunakan teknologi sekarang iaitu wang palsu.

Beliau juga berkata, Islam tidak suka melihat golongan wanita memakai banyak barang kemas di badan sehingga ada peraturan yang mewajibkan zakat dikenakan terhadap barangan tersebut.

"Bukan itu sahaja, malah ahli ekonomi juga tidak bersetuju dengan menyimpan barang kemas hanya di lengan, sebab fungsinya sepatut bergerak di pasaran.

"Kalau kita hanya menyimpan di tangan ia akan meluputkan harga nilaian tersebut, di samping masalah keselamatan kepada pemakainya. Untuk itu amat wajar ia dijadikan cagaran. Jadi apa peliknya kalau Kelantan membuat cadangan tersebut," ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menjelaskan cadangan penggunaan nilaian emas dalam dinar pernah dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed sebelum ini.

Ditanya adakah Perdana Menteri berasa takut terhadap komitmen kerajaan Kelantan yang mendahului negeri lain berhubung perkara itu, beliau berkata, sebagai pemimpin negara tidak perlu ada sifat sedemikian.

Bahkan katanya, perasaan takut tidak wajar wujud bagi melaksanakan sesuatu yang berfaedah kepada orang ramai.

"Kalau sekiranya Perdana Menteri takut juga, ini bererti orang bawahannya memberikan laporan yang tidak betul terhadap perkara ini," ujarnya.

Beliau juga berkata, sebagai sebuah negeri di bawah Kerajaan Persekutuan Kelantan tidak akan melaksanakan kaedah itu secara bersendirian tanpa persetujuan Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, menurutnya ia hanyalah suatu lontaran idea yang boleh dibincangkan bersama memandangkan cadangan berkenaan begitu baik serta berkesan untuk menjaga ekonomi.

Husam turut melahirkan rasa gembira di atas cadangan kerajaan negeri untuk mengeluarkan nilai mata wang emas dinar dan dirham sehingga mendapat maklum balas segera daripada Perdana Menteri.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berusaha untuk mengemuka dan menjelaskan cadangan itu supaya ia difahami semua pihak.

"Selepas mengemukakan cadangan itu kami meneruskan perancangan awal iaitu menjadikan pusat gadaian Islam Ar-Rahn sebagai institusi utama untuk melaksanakan hasrat terbabit dengan menjual dan membeli emas dalam bentuk dinar.

"Dan kita juga akan bertemu dengan pemimpin Pusat, sekurang-kurangnya Menteri Kewangan Kedua, untuk menjelaskan cadangan ini," tambahnya.

Menurutnya, Kelantan akan melaksanakan cadangan berkenaan secara berperingkat-peringkat memandangkan ia bukan perkara baru.

"Insyaallah kita tidak akan melanggar mana-mana peraturan yang telah ditetapkan kerajaan Pusat untuk melaksanakan cadangan penggunaan dinar dan dirham," ujarnya.

HARAKAHDAILY
Oleh Saufi Hamzah dan Azizan Hashim

SASARAN kembali menikmati aksi di pentas saingan Liga Super akhirnya dimiliki Kedah yang muncul juara Kumpulan A Liga Perdana setelah menundukkan NTFA 2-0 di Stadium Batu Kawan, malam tadi.



CERIA: Pemain Kedah
Shafizan Hashim memeluk
Marcos Magno (kanan)
selepas menjaringkan gol
kedua dalam perlawanan
Liga Perdana di Stadium
Negeri Batu Kawan,
malam tadi.

Kemenangan anak buah Azrai Khor Abdullah itu, sekali gus menghapuskan saki baki harapan Terengganu untuk merebut tempat automatik biarpun menang 5-3 mengatasi UPB Perak.

Langkahan itu terjamin setelah Kedah meraih 42 mata selepas 21 perlawanan, hanya satu mata mengatasi Terengganu yang memberikan saingan sengit untuk sepanjang pusingan ketiga Liga Perdana kali ini.

Buat Kedah, wira penjelma langkahan ke saingan elit itu ialah penggempur import, Marcos Magno yang membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 sebelum bertindak menggandakan kelebihan dengan gol kedua, 11 minit kemudiannya.

Pelawat cuba mencari gol tambahan menerusi asakan bertubi-tubi di sepanjang babak kedua perlawanan, namun kubu NTFA kebal bertahan menyerap segala ancaman untuk Kedah sekadar berpuas hati dengan kemenangan menerusi dua gol awal berkenaan.

Di Stadium Perak, keazaman Terengganu melakar kejayaan besar untuk cuba memintas Kedah bagaimanapun diganggu seketika apabila UPB berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi Peter Aisekhemi selepas hanya sembilan minit aksi.

Namun lima minit kemudiannya, Fabio Flor mengikat kedudukan sebelum Norizam Hassan menjaringkan gol kedua Terengganu pada minit ke-16. Andre Luis Vieira kemudiannya menyumbat gol pada minit ke-20 untuk babak kedua berakhir dengan kedudukan 3-1.

Selepas rehat, Terengganu menggandakan asakan dan Fabio Flor sekali lagi menjumpai sentuhan jaringan pada minit ke-70 sebelum Vieira turut menambah koleksi peribadi untuk gol kelima pasukannya, dua minit kemudian.

Namun kesungguhan kesebelasan Terengganu kemudiannya mula luntur apabila mendapat perkhabaran betapa Kedah sudah mendahului selesa untuk mengesahkan kemaraan ke liga utama berkenaan.

Situasi itu membolehkan UPB berusaha merapatkan jurang menerusi ciptaan dua gol - menerusi Fudje Mputu dan Ian Lloyd Mcanuss - dalam masa kecederaan untuk keputusan berakhir dengan kemenangan 5-3 buat Terengganu.

Dalam saingan lain, DPMM Brunei dan Sarawak mengesahkan tempat untuk bersama-sama Terengganu bersaing di peringkat play-off daripada Kumpulan A buat mencari tempat ke Liga Super musim depan.

Tiga tempat untuk ke peringkat play-off daripada Kumpulan B pula diisi PKNS, Johor FC dan Sabah setelah Melaka mengesahkan kelayakan automatik dengan kejayaan muncul juara kumpulan, minggu lalu.

Enam pasukan daripada Liga Perdana itu akan bersaing bersama-sama dua pasukan terbawah Liga Super, yang akan ditentukan hari ini, di peringkat play-off untuk menentukan enam lagi pasukan yang akan mencukupkan bilangan 14 pasukan di Liga Super musim depan.

BERITA HARIAN
BANGKOK: Thaksin Shinawatra meneruskan tugas sepenuh masa sebagai Perdana Menteri Thailand mulai hari ini, menamatkan tempoh rehatnya dalam politik yang diputuskan bulan lalu, kata jurucakap kerajaan, semalam.

Jurucakap itu, Suraphong Suwbwonglee, berkata Thaksin akan kembali meneruskan tanggungjawab penuhnya dengan meminta Kabinet menarik balik resolusi melantik Chitchai Wannasathit sebagai pemangku Perdana Menteri.

“Thaksin akan kembali bertugas esok (hari ini) bagi menangani masalah negara. Beliau tidak mahu kekosongan politik berlarutan kerana kita tidak tahu bila pilihan raya baru akan diadakan,” kata Menteri Pengangkutan, Pongsak Raktapongpisal dalam satu wawancara radio.

“Thaksin memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara ini,” katanya lagi.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Suranand Vejjajiva, pula berkata Thaksin akan mempengerusi mesyuarat mencari jalan memperkukuh ekonomi negara yang luntur kerana ketidaktentuan politik. – AP/AFP

Apapun, kepulangan Thaksin dijangka menimbulkan ketegangan baru serta mencetuskan kemungkinan demonstrasi jalanan oleh parti Pakatan Rakyat bagi Demokrasi yang memulakan bantahan sebelum ini. Parti pembangkang belum menunjukkan reaksi terhadap kepulangan Thaksin itu. – AP/AFP

Thailand diperintah kerajaan sementara tanpa Parlimen sejak pilihan raya 2 April lalu dibatalkan Makhamah Perlembagaan.

Thaksin bercuti sebaik saja selepas pilihan raya dan melantik Chitchai menggantikan tempatnya.

Bulan lalu, Raja Bhumibol Adulyadej menggesa mahkamah tertinggi negara itu menamatkan krisis politik kesan daripada pilihan raya dan mahkamah mengambil keputusan membatalkan pilihan raya yang dimenangi parti Thaksin, Thai Rak Thai. – AP/AFP

BERITA HARIAN
Oleh Shamshul Azree Samshir


nsken, MPUD pemangkin lahirkan usahawan mahir, berdikari serta berilmu

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam melancarkan dua badan khusus – Institut Keusahawan Negara (Insken) dan Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD), bagi mempercepatkan penguasaan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang 2010.

Badan itu akan menjadi pemangkin bagi melahirkan usahawan Bumiputera berkemahiran, berdikari, berilmu serta beretika selaras dasar Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika melancarkan Insken dan MPUD di sini berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat kini seolah-olah ‘terhenti’ pada kadar 18 peratus.

“Sehubungan itu, mesti ada usaha yang lebih gigih supaya ada peningkatan. Kita berharap dapat mencapai sekurang-kurangnya 20 hingga 25 peratus menjelang 2010,” katanya

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan timbalannya, Datuk Khamsiyah Yeop. Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan watikah pelantikan Ahli Majlis Penasihat Insken dan MPUD.

Insken yang penubuhannya diluluskan Kabinet pada 12 Januari lalu, menjadi agensi peneraju dalam menyelaras dan melaksanakan program latihan keusahawanan negara. MPUD pula menjadi mekanisme menyelaras dan memantau pelaksanaan strategi program pembangunan usahawan pada peringkat negeri dan daerah.

Najib mengaku usaha melahirkan usahawan Bumiputera berjaya pada jumlah yang ramai masih gagal, walaupun lapan pelan pembangunan Rancangan Malaysia sudah dilaksanakan.

Bagaimanapun beliau yakin usaha melahirkan usahawan Bumiputera berdaya saing boleh dicapai jika semua pihak mengikis persepsi negatif dan melaksanakan semua inisiatif bersungguh-sungguh.

“Walaupun masa sudah agak lama berlalu, ia tidak seharusnya menjadikan kita kecewa mahupun bersikap sinis bahawa Bumiputera tidak mungkin boleh berjaya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sudah menetapkan hala tuju dasar makro negara dengan hasrat mencapai pertumbuhan dan pengagihan kepada semua.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerima RM5.77 bilion dalam RMK-9 bagi melaksanakan pelbagai program melahirkan usahawan, pembiayaan, pendidikan dan promosi selain RM171 juta bagi penubuhan Insken.

Najib berkata, Insken adalah institusi yang unik kerana kepakaran, program pendidikan serta latihan diperoleh melalui sumber luar.

“Insken bukan sebuah lagi badan secara fizikalnya... ia tidak memerlukan pejabat korporat sendiri atau pengurus besar berkereta rasmi. Kita bukan mewujudkan agensi baru, sebaliknya hanya satu unit ditubuhkan di bawah kementerian.

“Apa dilakukan ialah semua projek dilakukan secara sumber luar atau program yang dikendalikan institut lain kerana kepakaran ada di kalangan komuniti,” katanya.

Beliau menyarankan usahawan Bumiputera supaya tidak terbabit dalam ekonomi ‘lama’ yang sudah banyak disertai peniaga lain.

"Amat penting bagi usahawan berhijrah ke bidang lain jika melihat perniagaan tidak berapa maju," katanya sambil memberi contoh bidang bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sektor perkhidmatan.

BERITA HARIAN
Oleh Masrina Mohd Yunos

KUALA LUMPUR: Polis percaya Ho Ping, kanak-kanak yang ditemui mati dalam beg pakaian di tebing Sungai Sitiawan, Lumut kelmarin, diculik abang iparnya selepas bapa mangsa menolak permintaan lelaki itu untuk meminjam RM80,000.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhd Fuad Talib, berkata bapa mangsa menolak permintaan menantunya itu kerana dia masih berhutang RM50,000.

“Siasatan mendapati suspek cuba meminjam RM80,000 lagi daripada bapa mentuanya, tetapi gagal kerana hutang lama masih belum dijelaskan. Berikutan itu, suspek dikatakan bertindak nekad menculik adik iparnya dan meminta wang tebusan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Lelaki berusia 28 tahun itu, yang ditahan di Subang Jaya pada 12 tengah malam Sabtu lalu, dipercayai membunuh dan membuang mayat Ho Ping selepas menculiknya dari rumah keluarga mangsa di SS19, Subang Jaya, kira-kira 7.30 malam Khamis lalu.

Anak pemilik ladang sayur di Cameron Highlands itu dilarikan ke Pulau Pinang dan Perak sebelum dibunuh di ladang sawit berhampiran Sungai Sitiawan, kira-kira lapan jam selepas diculik.

Mayat budak lelaki berusia tujuh tahun itu ditemui pasukan penyelamat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam sebuah beg pakaian terdampar di tebing Sungai Sitiawan pada jam 10.15 pagi kelmarin.

Sebelum itu, kehilangan mangsa dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya pada malam dia diculik dan satu lagi laporan dibuat keluarga Ho Ping sehari selepas itu apabila menerima panggilan seorang wanita yang meminta wang tebusan RM500,000.

Muhd Fuad berkata, siasatan mendapati kanak-kanak itu dipaksa menelan lima pil tidur ketika dibawa ke rumah sewa teman wanita lelaki berkenaan di Jawi, Pulau Pinang.

Muhd Fuad bagaimanapun berkata, bedah siasat pakar forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam mendapati kematian mangsa disebabkan kesukaran bernafas selepas mukanya dililit dengan sejenis plastik pembalut kuih.

“Leher mangsa juga mempunyai kesan cekik. Kita juga menghantar sampel darah mangsa ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya.

Polis sedang memburu teman wanita lelaki itu berusia lingkungan 30an yang dipercayai bersubahat menculik mangsa.

“Wanita ditahan di Jawi, kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin, bukan teman wanita suspek, sebaliknya rakan serumahnya yang juga warga China. Teman wanita suspek dipercayai masih berada di Pulau Pinang.

“Siasatan mendapati wanita itu datang ke Malaysia dan bekerja sebagai GRO sejak tiga tahun lalu. Dia juga menjalin hubungan dengan suspek sejak lapan bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, suspek dan teman wanitanya dipercayai merancang penculikan itu sejak sebulan lalu selepas membeli beg pakaian itu.

Kronologi:

18/5 - Mangsa diculik kira-kira jam 7.30 malam di kediamannya di SS19, Subang Jaya

19/5 - Mangsa dibawa ke rumah sewa teman wanita suspek di Jawi, Pulau Pinang dan diberi lima pil tidur.

- Dalam perjalanan ke Sitiawan, Perak, suspek singgah di sebuah kelab malam di Jawi untuk membeli sejenis dadah dan memaksa mangsa menelannya.

- Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah ladang kelapa sawit kira-kira satu kilometer dari Sungai Sitiawan sebelum mencekik dan melilit muka Ho Ping dengan plastik, kira-kira jam 3.30 pagi.

- Mayat mangsa dimasukkan dalam sebuah beg sebelum dicampak ke Sungai Sitiawan.

20/5 - Polis menahan suspek di Subang Jaya pada jam 12 tengah malam.

- Pada jam 5 pagi, suspek membawa polis ke tempat mayat mangsa dibuang.

BERITA HARIAN
KUALA LUMPUR - Kedah mengesahkan kemaraan ke Liga Super musim depan selepas mudah mengetepikan cabaran NTFA 2-0 dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Kumpulan A di Stadium Batu Kawan, semalam.

Kemenangan itu memastikan Kedah muncul juara Kumpulan A mengutip 42 mata mengetepikan saingan terdekat Terengganu yang turut menang menewaskan Perak UPB 5-3 tetapi sekadar mengutip 41 mata.

Kelebihan satu mata buat Kedah sudah cukup memastikan pasukan itu kembali semula beraksi ke Liga Super musim 2006/2007.

Kejayaan itu juga membawa Kedah mengiringi juara Kumpulan B, Melaka yang telah layak lebih awal.

Tugas Kedah belum berakhir apabila akan bertemu Melaka untuk membuat perhitungan menentukan juara Liga Perdana musim ini dalam perlawanan penentuan pada 10 Jun ini.

Buat Terengganu walaupun tidak layak secara automatik tetapi masih berpeluang mengiringi Kedah ke Liga Super, muncul naib juara Kumpulan A membolehkan mereka bersaing dalam perlawanan playoff bulan depan.

Turut mengiringi Terengganu dalam kumpulan A ialah Brunei DPMMM dan Sarawak.

Saingan dalam kumpulan B melihat Melaka muncul juara lebih awal manakala tiga pasukan layak ke perlawanan playoff pula membabitkan PKNS, Johor FC dan Sabah.

UTUSAN MALAYSIA
Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 22 Mei (Hrkh) - Kerajaan Kelantan bakal menjadi negeri pertama di negara ini menggunakan nilaian mata wang dinar dan dirham apabila ia dilaksanakan kira-kira tiga bulan lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, cadangan berkenaan dibuat bagi menjaga mata wang supaya tidak terus susut, sebaliknya meningkat mengikut perkembangan semasa.

Katanya, untuk menggunakan dinar (emas) dan dirham (perak) dalam konteks simpanan nilai, pajak gadai Islam Ar-Rahn diberi tanggungjawab penuh untuk menjayakannya iaitu mengeluarkan syiling dalam bentuk emas.

"Mereka boleh membeli dinar dari Ar-Rahn dan sekiranya mereka nak tunai, mereka boleh jual balik dinar berkenaan kepada Ar-Rahn,” katanya selepas merasmikan Seminar Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Islam 2006 di Hotel Grand Riverview, di sini, semalam. Seminar itu dianjurkan Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

Menurutnya, dengan cara itu dinar dijadikan sebagai simpanan nilai bagi mengatasi kesan inflasi di negara ini. Ini kerana, menurutnya harga emas akan naik dari semasa ke semasa mengikut perkembangannya, sedangkan mata wang kertas turun juga mengikut perkembangan yang sama.

"Sebagai contoh di zaman Rasulullah seekor ayam di Pasar Madinah berharga satu dirham, sekarang satu dirham kalau kita tukar di syarikat tukaran wang asing kita nak wang tunai, dia akan beri kita lebih kurang RM9.

"RM9 ni boleh dibeli ayam, jadi nilainya 1,400 tahun dahulu di zaman Rasulullah s.a.w kekal, di mana harga di zaman itu satu ekor ayam satu dirham," ujarnya.

Sambungnya lagi, dalam konteks dinar ini juga bukan berhasrat untuk mematikan pajak gadai lain, itu terpulang pada pengguna kaedah mana yang mereka ingin pilih.

Katanya, rakyat Kelantan perlu memahami simpanan emas adalah menguntungkan mereka memandangkan harga emas akan naik mengikut perkembangan semasa.

"Sedangkan sekiranya mereka menyimpan wang dalam bentuk kertas, harganya akan turun, jadi mereka akan diberi pilihan dibayar sebahagian gaji mereka dalam bentuk emas. Bank tertentu kini telah bersetuju untuk membuka akaun dalam bentuk simpanan emas.

"Sebagai contoh katakan akaun saya di bank berkenaan Husam bin Musa ada RM3,000 tunai dan dinar ada 200 keping. Sekarang saya pergi ke bank berkenaan nak keluarkan 10 keping dinar, tetapi saya nak keluarkan dalam bentuk RM.

"Di bank berkenaan tiap-tiap hari ada rates dia, katakan hari ini satu keping dinar harganya RM250, sedangkan empat tahun lepas satu dinar harganya RM180, jadi sudah naik RM70 dalam tempoh empat tahun.

"Jadi bank akan keluarkan pada saya dalam bentuk RM bersamaan dengan 10 keping dinar, jadi dalam akaun saya akan ada hanya 190 keping dinar," ujarnya.

Husam berkata, sekarang cadangan kerajaan negeri bukan menjadikannya sebagai mata wang, sebaliknya hanya sebagai simpanan nilai.

Tetapi tambahnya, sekiranya kerajaan Malaysia memikirkan sudah sampai masanya negara ini menggunakan dinar dan dirham sebagai mata wang, tidak menjadi masalah, sebaliknya ia merupakan cara yang baik dengan mengekalkan penggunaan RM.

Beliau berkata, kaedah itu sama seperti perbankan cara Islam dan perbankan konvensional bagi membolehkan masyarakat memilih kaedah mana yang mereka mahu.

"Jadi kenapa tidak negara kita mempunyai dua mata wang, iaitu matawang emas dan mata wang kertas biasa sebagaimana yang diamalkan sekarang," ujarnya.

HARAKAHDAILY
Oleh SAROJI MOKHTAR

KOTA BHARU 22 Mei - Kerajaan Pusat tidak seharusnya menolak cadangan kerajaan Pas Kelantan untuk merintis penggunaan nilai mata wang dinar dan dirham sebelum mendapat gambaran yang jelas mengenainya.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, cadangan itu sewajarnya dialu-alukan kerana ia perkara baik dalam menjamin dan mengukuhkan nilai mata wang dalam pegangan atau simpanan rakyat.

Katanya, ia bukan perkara baru tetapi pernah ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini untuk penggunaan nilai mata wang dinar secara meluas dan sangat mengejutkan apabila ia begitu cepat ditolak oleh Pusat.

``Ia tidak melibatkan pengeluaran mata wang sendiri seerti yang disangka. Soal ini (cadangan) boleh dibawa berunding,'' katanya kepada pemberita selepas berucap di Seminar Ekonomi Kewangan dan Perbankan Islam 2006 di sini hari ini.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataannya hari ini menyebut bahawa kerajaan negeri Kelantan tidak dibenarkan mengeluarkan mata wang sendiri mengunakan dinar emas.

Perdana Menteri berkata, dasar kewangan negara tidak membenarkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang sendiri.

Cadangan kerajaan negeri Kelantan untuk menggunakan nilai dinar dan dalam urusan ditimbulkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri, Datuk Husam Musa.

Husam dilaporkan berkata, dalam usaha menjayakan hasrat kerajaan Pusat sebelum ini, maka kerajaan negeri bercadang mengambil langkah awal dengan buat permulaan dalam urusan pajak gadai dalam tempoh tiga bukan lagi sebelum disusuli dengan pembayaran gaji kakitangan.

Nik Abdul Aziz berkata, boleh jadi Perdana Menteri tidak mendapat gambaran yang jelas sehingga cepat membuat komen terhadap cadangan kerajaan negeri itu seolah-olah kerajaan negeri akan mengeluarkan mata wang sendiri.

Katanya, kerajaan negeri sedar terhadap dasar kewangan negara tidak membenarkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang sendiri dan tidak akan buat perkara yang bercanggah dengan peraturan asas kewangan negara.

Ditanya adakah beliau akan berjumpa Perdana Menteri atau pihak Bank Negara untuk menjelaskan cadangan itu, beliau berkata, cadangan itu memang ada tetapi tidak semestinya beliau dan mungkin orang lain.

Sementara itu, Husam berkata, kerajaan negeri Kelantan akan meneruskan cadangan itu melalui pajak gadai berasaskan Islam, Ar Rahnu sebagai platform menjual beli mata wang dinar emas.

``Kita juga akan cadangkan bank-bank di negara ini supaya membuka akaun berasaskan nilai dinar emas,''katanya.

Justeru kata Husam, pihaknya akan berjumpa Menteri Kewangan II untuk menjelaskan cadangan dan program kerajaan negeri dalam tempoh tiga bulan.

UTUSAN MALAYSIA
Oleh Adha Ghazali, Norsharuddin Sapian dan Mohd Idris Sulaiman

SITIAWAN: Nasib kanak-kanak lelaki yang diculik di rumahnya di Subang Jaya, Khamis lalu, terjawab apabila mayatnya dijumpai dalam sebuah beg pakaian yang terdampar di tebing Sungai Sitiawan, dekat Lumut, pagi semalam.

Beg itu ditemui terapung dan tersangkut pada ranting pokok di kawasan hutan bakau oleh pasukan penyelamat, kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa yang berusia tujuh tahun, dipercayai dicampak dari jambatan selepas dibunuh.

Penemuan mayat kanak-kanak itu pada jam 10.15 pagi semalam, disahkan sendiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Hadi Ho Abdullah, yang mengetuai operasi mencari itu.

Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati beg berwarna biru yang berzip itu mengandungi mayat kanak-kanak terbabit.

“Kita masih menyiasat punca kematian dan mayatnya dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM), sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pengecaman dan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Usaha wartawan dan jurugambar membuat liputan penemuan mayat kanak-kanak itu di HSM, bagaimanapun dihalang sepasukan polis.

Budak itu dikenali sebagai Ho Ping, anak seorang pemilik ladang sayur di Cameron Highlands, dilaporkan hilang malam Khamis lalu, dipercayai diculik seorang lelaki yang ada hubungan keluarga dengannya di rumahnya di SS19, di sini, sebelum dilarikan ke Perak.

Bapa mangsa kemudian dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa menahan mangsa dan meminta wang tebusan RM500,000 untuk membebaskannya.

Berikutan itu, satu pasukan khas yang ditubuhkan untuk mengendalikan kes berkenaan berjaya menahan dua suspek iaitu bapa saudara mangsa berusia 28 tahun bersama teman wanitanya seorang warga China, berusia 39 tahun, pada Jumaat dan kelmarin.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam bagi mendapat perintah tahanan reman sehingga 26 Mei ini. Perintah itu dikeluarkan Majistret Maimunah Aid di kamarnya.

Difahamkan, kedua-duanya terbabit dalam kes itu dan perintah reman diperoleh untuk membantu siasatan.

“Selepas hampir 24 jam operasi mencari membabitkan 30 anggota polis dengan bantuan Pasukan Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin di sekitar Sungai Sitiawan dan Lumut, bermula jam 12.30 tengah hari kelmarin, mayatnya ditemui pagi tadi (semalam).

“Bagaimanapun kita masih menyiasat motif pembunuhan mangsa,” katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen keluarga mangsa di rumah mereka di sini tidak berjaya.

Selepas menunggu setengah jam di luar rumah, seorang wanita berusia lingkungan 30-an keluar dan meminta wartawan beredar kerana keluarga mangsa enggan ditemu bual.

Wanita terbabit kemudian menggantung sekeping nota bertulisan Cina di pintu pagar rumah yang berbunyi “kepada rakan-rakan wartawan, kami mohon maaf dan tidak mahu ditemuramah. Tolong jangan berhimpun di depan rumah dan jangan ambil gambar... salam sayang”.

BERITA HARIAN
KOTA BAHARU, 22 Mei (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan menghantar Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakatnya, Datuk Husam Musa bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi memperjelaskan cadangan negeri itu mempraktikkan penggunaan dinar emas dan dirham perak.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pada pertemuan itu nanti Husam akan memperjelaskan secara terperinci mengenai cadangan tersebut dan diharap Kerajaan Pusat dapat memahami maksud sebenar penggunaan dinar dan dirham itu.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah sempena Seminar Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Islam 2006 di sini, hari ini, Nik Aziz berkata cadangan penggunaan dinar dan dirham itu bukan satu perkara baru sebaliknya pernah dibincangkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Husam berkata Kerajaan Kelantan akan menjadi negeri yang pertama memperkenalkan penggunaan mata wang dinar emas dan dirham perak dalam tempoh tiga bulan lagi.

Katanya pajak gadai berasaskan sistem Islam, Ar-Rahnu sebagai platform pertamanya menggunakan mata wang itu yang kemudiannya akan diperluaskan seperti membayar gaji kakitangan awamnya dengan mata wang tersebut sebagai satu simpanan tunai kepada kakitangan terbabit yang menyimpannya di bank tempatan berasaskan akaun emas.

Husam bagaimanapun dilaporkan berkata ia bukan untuk menjadikan dinar dan dirham sebagai mata wang rasmi Kelantan dan kakitangan awam terbabit boleh memilih untuk menerima gaji dalam bentuk dinar atau pun ringgit seperti yang diamalkan sekarang.

Kenyataan Husam itu bagaimanapun mendapat reaksi Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pertama yang tidak membenarkan Kelantan mengeluarkan mata wang sendiri menggunakan dinar itu.

Sementara itu, Husam ketika ditemui berkata, kerajaan negeri akan tetap melaksanakan cadangan tersebut.

Penggunaan dinar emas tidak akan dapat digugat oleh mana-mana mata wang termasuk dolar Amerika kerana emas adalah satu komoditi dan mempunyai harga yang sangat stabil, katanya.

-- BERNAMA
AKADEMI Fantasia sudah masuk musim keempat tahun ini. Dalam tiga musim lalu, sejarah membuktikan pelajar lelaki tetap menjadi pilihan jutaan pengundi program realiti TV itu.

Juara-juara AF sebelum ini seperti Vince, Zahid dan Mawi dengan mudah mengenepikan pelajar wanita pada konsert terakhir program itu.

Mampukah pelajar wanita memecah rekod tradisi AF yang prolelaki pada tahun ini? Ia mungkin sukar tetapi tidak mustahil gelaran juara AF4 bertukar jantina pada 5 Ogos ini.

Sebelum program itu bermula pada 28 Mei ini, terdapat pandangan kononnya pelajar lelaki sekali lagi bakal bergelar juara AF4. Kata sesetengah pihak, mana mungkin pengundi wanita akan mengundi pelajar wanita. Undian mereka yang merupakan majoriti penonton AF pasti berpihak kepada pelajar lelaki, kata para pemerhati.

Selain itu, gimik juga memainkan peranan penting ketika berada dalam akademi. Juara AF3, Mawi, jelas dibantu gimik yang tidak dijangka.

Baru-baru ini, ketika para wartawan mendengar seketika persembahan vokal calon pelajar wanita yang akan bertarung pada Konsert Prelude AF4 Ahad ini, mereka merasakan ada kemungkinan kejutan akan berlaku dalam AF4.

Calon pelajar wanita tahun ini jelas memiliki vokal yang dianggap boleh mewarnai industri muzik tanah air. Pelbagai jenis vokal berkumandang pada majlis mengumumkan 20 calon pelajar AF itu.

Apakah episod malang Nija, Farah dan Amylea dalam AF yang lalu terus berulang pada AF4? Semua jawapan terletak pada tangan pengundi. Mencari penghibur berkualiti bukan terletak pada hujung jari.

Hakikatnya, banyak elemen perlu dinilai sebelum seorang pelajar itu dinobatkan juara AF4.

AF1

Vince atau Vincent Chong Ying Cern, 27, muncul juara AF musim pertama.

Pada konsert akhir AF1, Vince menyanyikan lagu Pernah dendangan asal oleh Ferhad dan lagu baru Tak Ingin Kehilanganmu.

Lebih 2,000 penonton hadir menyaksikan persembahan mantap Vince pada konsert kemuncak Akademi Fantasia yang berlangsung di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Kuala Lumpur.

Anak muda dari Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Suzuki Vitara berharga RM142,000, wang tunai RM10,000 dan piala.

AF2

Zahid muncul juara menerusi konsert akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dengan kemenangan itu, Zahid, 26, membolot hadiah sebuah kereta model Citroen C3 bernilai RM120,000, set teater rumah, pakej percutian ke Brunei, wang tunai RM10,000 dan piala.

Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin yang menyampaikan lagu berjudul Biarkan Bulan Bicara dan Milikku mengetepikan lima lagi finalis AF2 termasuk pencabar terdekatnya Linda.

Kemenangan Zahid itu memang sudah dijangka kerana anak kelahiran Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu adalah antara pelajar AF2 yang menjadi perhatian ramai.

Konsert akhir AF2 dikendalikan oleh pengacara Aznil Nawawi dan disaksikan oleh kira-kira 7,000 penonton.

AF3

Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani, 25, bukan setakat menjuarai AF3, malah turut emenangi Anugerah Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik – anugerah yang julung kali diperkenalkan oleh Astro.

Konsert terakhir AF3 memperlihatkan aura Mawi World yang meninggalkan tiga pelajar lain dengan peratus undian sebanyak 58 peratus. Pesaing terdekatnya, Felix, mendapat 30 peratus, Amylea (8 peratus) dan Marsha (4 peratus).

Kemenangan itu melayakkan Mawi membawa pulang hadiah bernilai lebih suku juta ringgit termasuk wang tunai RM20,000, pangsapuri di A' Famosa Melaka, kereta Suzuki Swift 1.5L Hatch, pakej percutian ke London dan Paris, sistem teater rumah dan peralatan elektrik serta lain-lain barangan.

Bagi Anugerah Vokal dan Persembahan Terbaik, Mawi memperoleh hadiah wang tunai RM6,000 berserta trofi.

Mawi yang mendendangkan lagu Seroja dendangan asal S. Effendi dan sebuah lagu baru, Aduh Saliha, ciptaan Pengetua AF3, M. Nasir, ternyata memukau 6,000 penonton yang memenuhi Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada konsert akhir AF3.

UTUSAN MALAYSIA
ALOR STAR - Perlawanan terakhir saingan Liga Perdana Kumpulan A antara Kedah dan Pulau Pinang NTFA di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang malam ini akan menentukan untung nasib skuad Sang Kenari sama ada mampu layak secara automatik ke Liga Super musim depan atau tidak.

Tatkala gelaran juara bagi saingan Liga Super dan Liga Perdana Kumpulan B masing-masing sudah dinobatkan kepada Negeri Sembilan Naza dan Melaka, status juara bagi Liga Perdana Kumpulan A pula hanya akan ditentukan kepada keputusan perlawanan malam ini.

Di atas kertas, pasukan Hijau Kuning memiliki kelebihan untuk menjuarai kumpulan itu apabila menerajuinya dengan kelebihan satu mata di hadapan Terengganu dengan masing-masing mempunyai satu perlawanan untuk ditamatkan.

Bagaimanapun, sekiranya skuad Sang Kenari tewas dan pasukan Terengganu berjaya menumpaskan Perak UPB di Stadium Perak, episod duka Kedah musim lalu yang kempunan untuk layak secara automatik ke Liga Super pasti berulang walaupun pasukan itu menunjukkan persembahan yang agak konsisten sepanjang musim.

Ia juga bermakna Kedah perlu mengharungi perlawanan playoff untuk layak ke Liga Super musim 2006/07 yang akan diadakan secara kalah mati timbal balik.

Menyedari hakikat itu, jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah awal-awal lagi telah menetapkan misi `mesti menang' apabila berkunjung ke Stadium Batu Kawan, hari ini.

Katanya, hanya kemenangan sahaja boleh menjamin Sang Kenari terbang tinggi melayakkan diri secara automatik ke liga utama musim depan.

``Kami sudah lama menunggu saat ini dan tidak mahu melepaskannya. Para pemain tidak diberikan pilihan lain kecuali menang kerana jika menang, kami tidak perlu fikir apa-apa lagi,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Azraai, skuad Hijau Kuning telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan terakhir itu yang mana semangat pemainnya juga dilihat sedang memuncak ketika ini.

Malah katanya, kehadiran semula K. Soley yang pulih daripada kecederaan serta Khyril Muhymeen yang pulang selepas bersama skuad bawah 20 tahun kebangsaan semakin menyuntik semangat pemain-pemainnya.

Sementara itu, Pertubuhan Perpaduan Melayu Kedah (Pemikad), menyeru para penyokong dan peminat bola sepak Kedah supaya membanjiri Stadium Batu Kawan untuk memberi sokongan kepada pasukan Hijau Kuning.

Yang Dipertuanya, Abdul Ghani Mehat berkata, sokongan warga Kedah amat diperlukan bagi membakar semangat pemain negeri itu dalam usaha untuk muncul juara Liga Perdana Kumpulan A.

Pemikad juga katanya menyediakan kemudahan bas kepada para penyokong dan peminat sekiranya mereka memerlukan pengangkutan ke sana.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menggunakan kemudahan tersebut boleh menghubungi Pemikad di talian 019-4963451 atau 012-5654768.

UTUSAN MALAYSIA
Daripada: AZNAN BAKAR

SHARM EL-SHEIKH (MESIR) 21 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau telah menjangka Barisan Nasional (BN) akan kehilangan beberapa kerusi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan sebab beliau membuat jangkaan itu, sebaliknya mengarahkan bedah siasat dilakukan bagi mengkaji secara mendalam punca kekalahan tersebut.

Katanya, walaupun kerajaan Sarawak masih mengekalkan majoriti dua pertiga tetapi kekalahan di sembilan kawasan itu adalah besar kerana dalam sejarah negeri itu, BN belum pernah tewas sebegitu besar.

``Maka kehilangan sembilan kawasan perlu dikaji sebaik-baiknya kalau ada mesej (daripada pengundi), apakah mesejnya,'' katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia pada Forum Ekonomi Dunia mengenai Asia Barat di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan ia berpunca daripada pengundi Cina yang beralih arah, Abdullah berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut tetapi tahu ada perkara yang tidak kena.

Ditanya sama ada sesuatu yang tidak kena itu telah dijangka, beliau berkata: ``Ya'' dan telah melahirkan pandangan itu kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu dikaji sedalam-dalamnya supaya tidak timbul salah tanggapan.

Beliau sendiri, katanya, akan bertemu dengan Abdul Taib apabila kembali ke tanah air nanti untuk mendapatkan pandangan berhubung kekalahan di sembilan kawasan terbabit.

``Kita kena buat penyelidikan melibatkan orang yang tahu apa yang sebenarnya berlaku dan barulah kita boleh membuat apa-apa tindakan untuk membetulkan keadaan,'' katanya.

Bagi tujuan itu, Abdullah juga telah meminta timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Timbalan Pengerusi BN untuk mengkaji perkara itu.

UTUSAN MALAYSIA
SHAH ALAM 21 Mei - Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Iqbal Hafiedz Ahmed Bazari mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelajar Melayu pertama dari Malaysia meraih gelaran pendebat terbaik Asia baru-baru ini.

Iqbal Hafiedz, 26 tahun, pelajar Fakulti Pengajian Perniagaan Antarabangsa UiTM dipilih sebagai pendebat terbaik dalam Pertandingan Debat Antara Universiti Seluruh Asia di Langkawi, Kedah yang diadakan selama seminggu bermula 6 Mei lepas.

Beliau berkata kejayaan yang diraihnya sangat bermakna kerana beliau mampu menewaskan 263 orang pendebat dari seluruh Asia dalam pertandingan berprestij itu dan melayakkannya membawa pulang hadiah sebuah trofi serta wang tunai RM1,000.

``Kejayaan ini memang saya nantikan dan ia menebus kekecewaan pasukan UiTM yang tewas di peringkat separuh akhir. Saya bangga kerana ia mengangkat nama anak Melayu dan Malaysia di peringkat antarabangsa,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebanyak 11 negara menyertai pertandingan debat tahunan itu seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Bangladesh, India, Korea Selatan, China, Jepun, Filipina, Brunei dan Singapura.

Iqbal Hafiedz, sebelum ini pernah mengharumkan nama negara dengan mewakili Malaysia ke Program Pendidikan Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November 2004 dan terbabit dalam Program Perkhidmatan Keagamaan Belia bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mempromosikan Keamanan Dunia dan Keharmonian Pelbagai Agama 2002 di Wilayah Phre, Thailand.

Beliau yang sudah sinonim dengan pertandingan debat antara universiti di negara ini turut membantu pasukan UiTM muncul julung kali sebagai johan Piala Debat Diraja ke-9 menerusi pasukan debat Bahasa Inggerisnya pada Disember tahun lepas.

Menurutnya kejayaan itu turut dikongsi bersama rakan sepasukan iaitu Danial Amir dan Adiba Shareen Syed Abdul Rashid Al'Ayubi (masing-masing pelajar Fakulti Undang-Undang) yang menjadi pendebat ke-5 dan ke-4 terbaik keseluruhan dalam pertandingan yang sama.

Iqbal Hafiedz berkata selepas ini pasukan debat UiTM akan menyertai Pertandingan Debat Australasia di New Zealand Julai ini dan berazam untuk mengharumkan nama UiTM dan Malaysia sekali lagi.

Selain itu, UiTM turut mencipta kejayaan berganda apabila Fay Sarah Mustafa Kamal pelajar tahun akhir Diploma Fakulti Pengajian Perniagaan telah dinobatkan sebagai Juara Pidato Asia yang diadakan serentak dengan pertandingan debat itu.

UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 21 Mei - Semakin ramai penduduk Malaysia menghadapi masalah kecelaruan mental akibat tertekan dengan perubahan persekitaran, persaingan hidup dan peningkatan sosio ekonomi, kata seorang pakar hari ini.

Ahli Psikologi Klinikal Mahadir Ahmad berkata mengikut tinjauan Bahagian Bebanan Penyakit, Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan pada tahun 2000, 21 peratus daripada penduduk negara pada ketika itu mengalami masalah kecelaruan mental.

Selain itu, katanya berda-sarkan kes yang dilaporkan di hospital kerajaan sejak enam tahun kebelakangan ini, sebanyak 108,324 orang menghadapi masalah kecelaruan mental dan depresi dengan 58,265 orang berumur antara 30 dan 59 tahun.

``Mungkin lebih ramai yang menghidapnya tetapi disebabkan kurangnya kesedaran menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk tidak menerima rawatan dan kita tiada rekod kes yang tidak dilaporkan,'' katanya pada forum umum mengenai Kenali Kesihatan dan Kecelaruan Mental anjuran Pusat Kaunseling dan Psikologi Klinikal Kuala Lumpur di sini.

Mahadir berkata kurangnya promosi kesihatan mental secara menyeluruh terutamanya di kawasan luar bandar merupakan punca sesetengah masyarakat tidak melakukan pemeriksaan kecelaruan mental yang mereka dihadapi.

Mahadir berkata ini menyebabkan seseorang itu tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya mengalami dan mempunyai simptom masalah mental yang perlu dirawat segera.

Di samping itu, katanya terdapat stigma di kalangan masyarakat bahawa seseorang yang mendapatkan rawatan di hospital jiwa dianggap gila dan ini menyebabkan orang berkenaan tidak mahu menerima rawatan kerana takut dikatakan gila.

Beliau berkata media juga memainkan peranan utama dalam memupuk kesedaran di kalangan orang ramai tentang betapa pentingnya rawatan pakar psikologi sebagai pencegahan masalah kesihatan mental.

UTUSAN MALAYSIA

WAJAH KERIANGAN: Abdul Taib bersama timbalannya,
Tan Sri Alfred Jabu Numpang (kiri) dan Menteri Perumahan
Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Haji Openg
meraikan kemenangan BN di kediaman Ketua Menteri,
di Kuching, semalam.

KUCHING: Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat memerintah Sarawak apabila mendapat kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri kesembilan semalam.

BN memenangi 62 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk dua dimenangi tanpa bertanding pada hari penamaan calon 9 Mei lalu.

Kekalahan sembilan kerusi BN kali ini adalah yang kedua terbesar selepas tewas 20 kerusi daripada 48 kerusi pada pilihan raya negeri 1987.

Daripada sembilan kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang semalam, enam diperoleh DAP serta masing-masing satu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Bebas.

Ini adalah pertama kali PKR, yang bertanding di 25 kawasan menang di Sarawak.

Bagaimanapun, Pas yang meletakkan calon tunggal di Beting Maro di bahagian Sri Aman, sekali lagi gagal.

Semua 18 calon Parti Kongres Dayak Malaysia (MDC) yang bertanding atas tiket SNAP selepas parti baru itu gagal didaftarkan, juga tewas.

Pada pilihan raya negeri 2001, BN Sarawak yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), menang 60 daripada 62 kerusi.

Bagaimanapun, berikutan persempadanan semula kawasan, Sarawak kini mempunyai 71 kerusi. Pada pilihan raya negeri kali ini, PBB diperuntukkan 35 kerusi, SUPP (19), PRS (sembilan) dan SPDP (lapan).

Selepas keputusan akhir diumumkan pada jam 10.50 malam, PBB dan SPDP menang semua kerusi yang ditandingi, manakala SUPP (11) dan PRS (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan kejayaan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah pada jam 8.35 malam tadi dan lima minit selepas itu, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan pembentukan kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Pilihan raya kali ini adalah yang keenam diketuai Abdul Taib yang juga Pengerusi BN Negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi perbualan telefon dari Sharm El-Sheikh, Mesir, mengucapkan tahniah kepada Abdul Taib dan BN Sarawak atas kemenangan itu.

“Kemenangan itu membolehkan BN mengurus dan memberi khidmat kepada rakyat Sarawak,” katanya sambil meminta BN Sarawak mengkaji sebab kekalahannya di kawasan bandar.

Beliau dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai keputusan pilihan raya itu menerusi perbualan telefon yang disiarkan RTM.

Abdul Taib, yang menyambut hari lahirnya ke-71 hari ini, mengekalkan kerusi Balingian yang diwakilinya sejak 2001, setelah menewaskan pencabar tunggalnya, Ibrahim Bayau dari PKR dengan majoriti 5,726 undi.

Seramai 60 peratus daripada 859,051 pemilih mengundi dengan keputusan pertama diumumkan pada jam 5.40 petang membabitkan kawasan Krian yang dimenangi calon BN, Datuk Peter Nyarok Entrie daripada SPDP.

FAKTA NOMBOR
Kerusi dimenangi

62 - BN
6 - DAP
1 - SNAP, PKR, Bebas

BERITA HARIAN




KUALA LUMPUR - Kekecewaan Pahang pada 1995 akhirnya terubat apabila dimahkotakan selaku juara Piala FA edisi ke-17 selepas menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Skuad Tok Gajah terpaksa mengerah keringat sehingga mengharungi 120 minit babak perlawanan termasuk masa tambahan sebelum mendakap gelaran pertama persaingan bola sepak kalah mati negara itu selepas hanya muncul naib juara pada 1995.

Ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah muncul wira Pahang setelah meledakkan penalti keempat selepas Mitchell James Prentice, Josiah Seton dan Indra Putra Mahyuddin menyempurnakannya.

Buat Perlis, hanya Manzoor Azwira Wahid dan Madzlan Emoi menyepak masuk sedangkan sepakan Efendi Malik terkena palang dan Mohd. Lamin Conteh sempat diselamatkan penjaga gol Pahang.

Perlawanan akhir Piala FA ini merupakan kali ketiga yang ditentukan menerusi sepakan penalti selepas 1999 dan 2000 yang menyaksikan Kuala Lumpur dan Terengganu memenanginya.

Babak awal permainan ternyata kurang menyerlah akibat corak permainan berhati-hati kedua-dua pasukan malah tidak banyak gerakan cantik atau percubaan tepat menyapa pintu gol Pahang mahupun Perlis.

Hanya pada minit ke-24, sepakan percuma pemain Perlis, Adrien Jurad Chamrong sedikit mencabar kewibawaan penjaga gol Pahang, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi.

Peluang terbaik mencipta jaringan Pahang muncul pada minit ke-27 namun sepakan lemah Josiah Seton sekadar singgah tepat ke dakapan penjaga gol Perlis, Amran Omar.

Pahang terpaksa mengeluarkan ketua pasukan, Hairuddin Omar untuk digantikan dengan pemain veteran, Azizul Kamaluddin akibat kecederaan yang kemudiannya bertukar pula dengan Ahmad Wahid.

Pada minit ke-53, skuad Singa Utara nyaris-nyaris memecah kebuntuan jaringan gol apabila sepakan kencang Adrien ditepis keluar oleh Iqbal.

Mereka terus garang apabila cubaan Manzoor Azwira diselamatkan sebelum melintasi garisan gol oleh Shahril Faizal Sharifudin yang menolak keluar pada minit ke-61.

Pada minit ke-81, Pahang pula terlepas peluang menjaringkan gol apabila sepakan kencang Seton sekadar menyinggahi palang gol Perlis.

UTUSAN MALAYSIA
Oleh ZULKIFLI JALIL, BORHAN ABU SAMAH, MUSTAFA KAMAL BASRI, SAYED HESHAM IDRIS dan ABD. HALIM HADI

KUCHING 20 Mei - Barisan Nasional (BN) memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 daripada 71 kerusi untuk kembali memerintah Sarawak pada pilihan raya negeri kesembilan hari ini.

Pembangkang bagaimanapun membuat kejutan besar dalam tempoh 19 tahun dengan meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua pada pilihan raya negeri 2001. Pada 1987, pembangkang memenangi 20 kerusi, berbanding 28 BN.

Pembangkang menang di Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili manakala seorang calon Bebas di Ngemah.

Daripada sembilan kerusi itu, parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hilang lapan daripada 19 kerusi yang ditandingi manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula tewas satu daripada sembilan kerusi.

Kejayaan BN membentuk kerajaan negeri diketahui seawal 8.30 malam apabila memperoleh majoriti mudah 36 daripada 71 kerusi, yang diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Keputusan lengkap pilihan raya itu ialah: BN 62 (termasuk Daro dan Dalat menang tanpa bertanding), SNAP 1, DAP 6, PKR 1, Bebas 1 dan Pas 0.

Pada pilihan raya kali ini sembilan kerusi adalah kerusi baru ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika mengulas kemenangan itu mengucapkan syukur dan terima kasih kepada rakyat kerana memberi kepercayaan semula kepada BN untuk menerajui Sarawak.

``Ia memberi perangsang kepada saya dan rakan-rakan untuk berkhidmat lebih dedikasi lagi selepas ini.

``Apa pun, kita akan kaji apa ertinya kekalahan kita di beberapa kerusi. Nampaknya DAP dapat menjalankan propaganda yang dipercayai rakyat dan sama ada betul atau tidak, kita terima keputusan ini,'' katanya kepada pemberita di kediamannya di Demak di sini malam ini. Hari ini merupakan ulang tahunnya ke-70.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menghubungi timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui telefon dari Sharm El-Sheikh, Mesir, mengulas:

``Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana masih memilih BN untuk terus menerajui kepimpinan negeri itu.''

Bagaimanapun, dalam perbualan yang disiarkan secara langsung melalui TV1 malam ini, beliau meminta supaya satu kajian menyeluruh diadakan bagi mengenal pasti kelemahan sehingga menyebabkan kekalahan BN di sembilan kawasan terutama di bandar.

Najib pula berkata, mandat yang diperoleh itu memberi peluang kepada BN untuk menunaikan janji kepada rakyat Sarawak dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

``Kita boleh ambil iktibar daripada keputusan ini, hakikatnya 62 kerusi yang kita menangi adalah kemenangan besar, pembangkang tidak boleh menggembar-gemburkan pengaruh mereka (setelah memenangi beberapa kerusi),'' katanya.

Kepimpinan Abdul Taib di Sarawak pernah diuji pada pilihan raya 1987 apabila satu kumpulan pembangkang ketika itu dikenali ``Kumpulan Maju'' pimpinan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Yaakub menyapu 20 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan.

Pada pilihan raya negeri 2001, BN menang 60 daripada 62 kerusi yang ditandingi manakala masing-masing satu oleh DAP dan calon Bebas.

Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan kesemua empat Presiden parti-parti komponen BN termasuk Abdul Taib menang di kawasan masing-masing.

Abdul Taib mempertahankan kerusi Balingian, Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan mengekalkan kerusi Piasau, Datuk Seri Dr. James Jemut Masing yang mengetuai PRS menang di Baleh manakala Presiden SPDP, Datuk William Mawan Ikom di Pakan.

Beberapa pemimpin kanan PBB pula seperti Timbalan Presiden yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu mengekalkan kerusi Layar sementara seorang lagi Timbalan Presiden PBB, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg mengekalkan kerusi Satok.

Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Adenan Satem yang disebut-sebut sebelum ini sebagai pengganti Abdul Taib pula menang di kawasan baru yang ditandinginya, Tanjong Datu.

Sementara itu, DAP dalam reaksinya menyifatkan kemenangan itu sebagai isyarat jelas penerimaan rakyat kepada kepimpinan mereka.

``Ini akan membuat DAP lebih agresif untuk membawa isu-isu rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,'' kata Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giew.

UTUSAN MALAYSIA